Sultan Brunei mahu undang-undang Islam dilaksana segera |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 11 Okt: Sultan Brunei hari ini menitahkan agar pemerintah negara itu melihat keperluan untuk melaksanakan undang-undang syariah dengan segera, serentak dengan undang-undang sivil di negara itu. Baginda yang bertitah di mesyuarat Majlis Agama Islam di bangunan Majlis Undangan di sini berkata,perlaksanaan undang-undang itu tidak harus lagi ditangguh lebih lama kerana kelengkapan untuk melaksanakannya sudah ada. Akta Jenayah Islam jika difahami dengan betul ujarnya, adalah yang terbaik kerana ia datang dan dicipta oleh Allah Yang Maha Kuasa dan tidak manusia. "Kita tidak harus melambatkan dan sebaliknya merebut petunjuk itu secara positif. "Apa lagi di sana untuk menunggu? Kita sudah mempunyai bangunan mahkamah yang mengagumkan, ramai pakar telah dihasilkan dan bahawa negara telah mencapai kemerdekaan. Apa lagi?" soal baginda. Menurutnya, setiap individu bertanggungjawab untuk melakukan perbuatan baik yang merupakan permintaan dari Allah Maha Kuasa. Sehubungan itu ujarnya,undang-undang Islam penting untuk mengawal semua masalah dalam hidup, agama, keturunan, minda dan kekayaan. "Walaupun ia adalah tanggungjawab kita, ia perlu dipenuhi bagi Allah Maha Kuasa," titah baginda lagi. Memetik laporan Brudirect.com, undang-undang Islam ujar baginda, adalah pengetahuan dan sistem yang unik dan sangat cantik dan sudah tentu akan dipilih apabila difahami, namun jika ia tidak difahami, ia akan dibenci. "Tetapi sejak manusia tidak mahu memahami, undang-undang itu dilihat sebagai buruk dan menakutkan. Segala puji bagi Allah yang Maha Kuasa, kita dipandu oleh-Nya untuk melihat dengan jelas keindahan undang-undang Islam. "Saya memberi mandat kepada agensi-agensi atau institusi yang berkaitan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Majlis Agama Islam, Negeri Jabatan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Mahkamah Syariah dan semua pihak untuk bekerjasama dan berurusan secara kolektif dan telus sehingga undang-undang ini mula membuahkan hasil," titah baginda lagi. Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Pg Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman berkata, Majlis Agama Islam Brunei adalah badan tertinggi dalam membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda dalam menegakkan kesucian Islam di negara ini. [Baca berita asal] |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5926-sultan-brunei-mahu-undang-undang-islam-dilaksana-segera
Hudud: Pemuda PAS junjung kasih kepada Sultan Brunei |
Dr Raja Ahmad Al-Hiss |
KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Istana Nurul Iman, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan BA1000, BRUNEI DARUSSALAM Assalamualaikum wrt, Ampun Tuanku MENJUNJUNG KASIH MERAFAK SEMBAH BERSAMA KERAJAAN BRUNEI DI ATAS TITAH PELAKSANAAN SYARIAT ISLAM Patik, dari Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia (LA DPPM) ingin merafak sembah menjunjung kasih diatas titah Tuanku Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Al-Mu'izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Kerajaan Brunei Darul Salam diatas hasrat dan saranan Tuanku yang mahu memartabatkan Syariat Islam di negara Tuanku. Sebagai pemerintah kerajaan berdaulat yang majoritinya adalah umat Islam, usaha Tuanku untuk memartabatkan Islam dengan melaksanakan syariat Islam di negara Brunei merupakan usaha luhur dan murni yang perlu dijadikan contoh tauladan kepada semua negara Islam khususnya dari Asia Tenggara. Betapa kekukuhan iman yang mendalam mendorong Tuanku Sultan bertegas untuk melaksanakan syariat Islam di negara Tuanku dengan mengenepikan segala persepsi buruk musuh Islam terhadap syariat Islam. Patik berpandangan, seharusnya pemimpin Islam di negara umat Islam yang lain merasa cemburu serta teruja untuk melaksanakan perkara yang sama di negara masing-masing. Islam yang diturunkan oleh Allah SWT perlu ditegakkan dalam semua lapangan kehidupan sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun negara dan merangkumi semua bidang daripada pendidikan, perekonomian, perundangan, pentadbiran, sehinggalah kenegeraan. Islam juga membawa keamanan dan kesejahteraan serta mampu menyelesaikan permasalahan gejala keruntuhan akidah dan akhlak yang sangat serius dalam masyarakat. Ternyata Tuanku Sultan telah mendahului perkara ini dengan hasrat melaksanakan syariat Islam di Brunei dan membuktikan tidak ada halangan untuk dilaksanakan. Justeru tidak ada alasan bagi pemimpin umat Islam di negara lain untuk melaksanakan perkara yang sama di negara masing-masing. LA DPPM dan seluruh rakyat di Malaysia juga merasa bangga kerana Tuanku Sultan menekankan peri pentingnya menjadikan Sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai pegangan tertinggi dalam kehidupan rakyat di negara Brunei dan sudah pastinya suasana kehidupan di Brunei hasil dari syariat Islam yang diterapkan menjadi suatu impian indah kepada umat Islam di Malaysia. LA DPPM yakin, hasil dari pelaksanaan syariat Islam nanti, maka lahirlah masyarakat dan negara yang penuh dengan barakah, keamanan, keharmonian, ketenteraman dan keadilan. Ia juga sudah tentu menjadi suatu dakwah yang berkesan kepada negara-negera bukan Islam lainnya di rantau Asia ini. Akhirnya, LA DPPM dan seluruh umat Islam di Malaysia sentiasa mendoakan kesihatan dan kekuatan kepada Tuanku Sultan agar terus mentadbir negara Brunei Darussalam. Umat Islam juga turut mendoakan agar negara Brunei Darussalam terus dberikan keamanan dan ketenteraman, jauh dari malapetaka, bala bencana serta hidup dalam keredhaan Ilahi dibawah lembayung Syariat Islam. Ampun Tuanku, Patik sudahi dengan menjunjung kasih. Wassalam Yang Diamanah YM DR RAJA AHMAD AL-HISS Pengerusi Lajnah Antarabangsa Merangkap Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/6462-hudud-pemuda-pas-junjung-kasih-kepa
Parti Islam Indonesia bentuk Aliansi Hijau |
M Faqih |
JAKARTA, 21 Dis: Parti-parti Islam di Indonesia tidak mahu lagi situasi politik negara umat Islam terbesar di dunia itu ditentukan parti didominasi kumpulan nasionalis sekular seperti yang ada sekarang. Malam tadi mencetus satu lembaran baru yang menuntut keikhlasan penuh bagi membentuk acuan baru politik berlandas dimensi Islam apabila satu aliansi baru dibentuk. Mengejutkan apabila aliansi itu dinamakan Aliansi Hijau dengan logo berbentuk seperti berlian hijau yang bergaris dua putih di tengah. Aliansi itu dibentuk melalui kesepakatan dengan perjanjian persefahaman di antara Partai Bulan Bintang (PBB) dan Partai Kebangkitan Nasional Ulama (PKNU) dengan penuh sesak kehadiran penyokong di sebuah hotel di sini. Dr H.M. Kaban - Ketua Umum PBB MoU itu ditandatangani Ketua Umum PBB, Dr H M Kaban dan Ketua Umum Dewan Tertinggi PKNU, Drs H Chairul Anam dengan disaksikan pemimpin tertinggi kedua-dua parti dan penyokong dari seluruh wilayah Indonesia. Drs H Chairul Anam - Ketua Umum PKNU Suara sokongan dengan laungan Aliansi Hijau bergema dalam dewan yang memuatkan lebih 1,000 peserta. Turut serta beberapa lagi pemimpin partai Islam lain bagi memberi dokongan awal. PAS dan kerajaan Kelantan turut diwakili Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri, Wan Nik Wan Yussof dan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Drs Zainuddin Awang Hamat, Pengarah IT PAS Pusat, Suhaimi Embong dan 13 lagi delegasi. Mereka tiba petang semalam. Penasihat Umum PBB, Prof Dr Yusri Indera meminta lebih banyak lagi parti-parti yang berteras Islam bergabung dalam Aliansi Hijau bagi membentuk satu kekuatan baru mendepani cabaran demokrasi di Indonesia. Katanya, parti-parti Islam perlu membentuk satu sepakat baru bagi membaiki semula demokrasi pilihan raya di Indonesia yang masih lagi tempang sehingga sekarang. “Pemilu 2009 adalah yang paling buruk dalam sejarah negara Indonesia. Keadaan itu perlu dibaiki dan tidak boleh selama-lamanya dibiarkan begitu,” katanya memulakan ucapan pidato barisan pemimpim utama kedua-dua parti di majlis penuh bersejarah itu. Ketua Majlis Ulama PKNU, KH Abdul Adzim Suhaimi berkata, semangat hijrah memuncul satu persepakatan baru di antara dua partai umat Islam yang terbesar di Indonesia. Kata beliau Islam menjadi panduan bagi umat Islam Indonesia bagi menentukan hala tuju baru. “Payung-payung Islam yang banyak terdapat di Indonesia hendaklah bangunkan satu perubahan politik. Bagi mencapai hasrat itu keikhlasan menjadi tuntutan paling penting kedua-dua pihak,” ujarnya. Dr H M Kabam dengan ucapan yang penuh bersemangat berkata, kesepakatan partai-parti Islam di Indonesia sudah lama ditunggu penduduk Islam di negara itu. Menurutnya rakyat tidak boleh mengharapkan perubahan dilakukan pemerintah yang ada sekarang kerana ia semakin jauh daripada falsafah sebenar kemerdekaan negara. “Pemilu 2009 dilakukan dengan cara tidak jujur sehingga melahirkan produk yang tidak jujur dan muncul pemimpin yang tidak jujur. Semuanya bohong belaka,” ujarnya mendapat tepukan gemuruh. Drs Chairul Anam tidak mahu aliansi itu hanya sekadar perjanjian sahaja dan perlu betul-betul menjadi hijau yang boleh menakutkan pemerintah yang ada sekarang. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7143-parti-islam-indonesia-bentuk-aliansi-hijau
Kempen pilihan raya di Indonesia selama 21 hari |
M Faqih |
JAKARTA, 22 Dis: Ketika Malaysia masih lagi terkial-kial mencari arah bagi menentukan tempoh kempen seperti dituntut Bersih 2.0 iaitu selama 21 hari, Indonesia sebenarnya sudah mengamalkan polisi itu sejak pilihan raya 2009. Malah, pada pilihan raya sebelum itu, tempoh kempen bagi setiap parti politik dibenarkan sehingga sebulan. Pimpinan Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia, Sri Suranti bagaimanapun berkata, kempen melalui media massa boleh dilakukan sehingga dalam tempoh sembilan bulan tujuh hari. Katanya, kelebihan yang ada di Indonesia sesiapa sahaja boleh berkempen di media massa sama ada cetak atau elektronik asalkan mereka berkemampuan untuk membayarnya. “Kita tidak bataskan had kempen mereka di media massa. Ini boleh memberi kelebihan kepada mereka yang berwang. Saya difahamkan ini agak berbeza dengan apa yang berlaku di negara jiran. “Komisi Pemilihan Umum Indonesia tidak menghalang mana-mana parti politik berkempen melalui media massa asalkan mereka mampu membayar,” katanya pada pertemuan dengan rombongan kerajaan dan PAS Kelantan di pejabatnya semalam. Rombongan dari Kelantan diketuai Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof. Hadir sama Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat dan pasukan IT PAS Pusat serta PAS Kelantan dalam misi lawatan sambil belajar di Indonesia. Pada kunjungan semalam mereka turut melawat pimpinan Parti Keadilan Sejahtera, Parti Bulan Bintang dan berkunjung ke markas WAMY Indonesia. Ketika menjawab soalan Sri Suranti berkata, biar pun tempoh kempen begitu lama, namun tidak berlaku perkara-perkara yang melanggar peraturan termasuk amalan rasuah bagi menarik sokongan dan provokasi. Katanya, Komisi Pemilihan Umum Indonesia sentiasa memantau gerak kerja kempen calon bagi memastikan peraturan yang ditetapkan tidak dilanggar. Beliau juga memberitahu kuasa penuh bagi menentukan kebenaran berkempen setiap parti politik berada di bawah bidang kuasa badan itu dan bukan ditentukan pihak polis. “Cuma pihak kami mengemukakan jadual permohonan untuk berkempen secara terbuka setiap parti-parti politik kepada pihak polis terlebih dahulu. Misalnya setiap calon parti yang bertanding dibenarkan berkempen tiga kali sehingga berlangsung pilihan raya. “Kempen selama 21 hari dibenarkan selepas calon-calon sudah ditentukan. Bagaimanapun kempen melalui media massa dibolehkan lebih awal iaitu lebih sembilan bulan,” katanya. Menurutnya juga penggunaan dakwat kekal sudah lama diamalkan dalam pemilu di Indonesia, di mana dipastikan bahan digunakan halal. Kata beliau dakwat tersebut boleh bertahan lama dan tidak mudah hilang. Wan Nik yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan berkata, pengendalian pilihan raya di Indonesia kelihatan lebih telus selepas berlaku reformasi pada 1998, setelah rakyat bangkit secara menyeluruh. Katanya, kejayaan reformasi sehingga berjaya menambahbaik badan pengendali pilihan raya membolehkan pilihan raya diadakan lebih telus dan adil. Zainuddin berkata, Malaysia sepatutnya mengambil contoh beberapa perkara yang lebih terbuka diamalkan dalam pengendalian pilihan raya di negara ini. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7167-kempen-pilihan-raya-di-indonesia-selama-21-hari
No comments:
Post a Comment