Bajet BN lebihkan wakil rakyat dari rakyat |
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 7 Okt: Pakatan Rakyat sependapat elaun ahli Parlimen bukan keperluan utama untuk dinaikkan sebaliknya kerajaan harus menekankan integriti Parlimen itu sendiri. Mengulas belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi, ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan seharusnya menekankan aspek ketelusan Parlimen untuk memerangi salah tadbir negara. "Elaun untuk ahli Parlimen bukanlah satu keutamaan yang perlu disegerakan tapi yang penting ialah integriti Parlimen, integriti untuk memerangi rasuah dan kelengkapan menyiapkan prasarana Parlimen itu lebih penting sekarang ini," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS ketika ditemui di lobi Parlimen siang tadi. Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang pula berkata, bajet 2012 seharusnya lebih memfokuskan kepada kepentingan rakyat, bukan wakil rakyat. "Bajet 2012, kita mahu ia lebih fokuskan kepada rakyat, bukan ahli Parlimen itu sendiri," katanya. Sementara itu, ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, sebaiknya elaun dan kemudahan kakitangan Parlimen ditingkatkan. "Bukan masanya untuk tambah elaun ahli Parlimen sebaliknya lebih perlu tambah elaun staf dan pembantu Parlimen," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Najib dalam pembentangannya berkata, kerajaan bercadang untuk mengkaji semula elaun dan kemudaha ahli Parlimen. Katanya, elaun baru itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan, namun tidak mendedahkan kadar kenaikannya. Sejumlah RM232.8 bilion diperuntukkan bagi belanjawan 2012, RM20.8 bilion lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu RM212 bilion. Perjuangan Pakatan Salahuddin dalam pada itu menyifatkan pengumuman bayaran khas sebanyak RM3,000 kepada bekas anggota serta duda dan balu polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat sebagai kesedaran yang diperjuangkan Pakatan Rakyat. "Mereka harus berterima kasih kepada pembangkang yang memperjuangkannya khususnya Mat Sabu (Moohamad Sabu) yang mengutarakan isu itu dan hari ini keluarga mereka mendapat paling tidak pun bayaran khas," katanya. Namun beliau turut berharap keluarga bekas tentera ini diberikan pencen tetap setiap bulan. "Tetapi bagi saya mereka harus diberikan pencen untuk mendapat imbuhan daripada jasa mereka," katanya. PAS sebelum ini mencadangkan agar semua keluarga anggota polis yang mati semasa mempertahankan rumah pasong Bukit Kepong pada tahun 1950 menuntut pampasan daripada kerajaan British. Namun Najib dalam pembentangannya sempat menyindir Pakatan Rakyat tidak mengenang jasa pejuang kemerdekaan apabila menimbulkan isu Mat Indera sebagai pejuang negara. "Kita tidak sekali-kali seperti sesetengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka," katanya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5855-bajet-bn-lebihkan-wakil-rakyat-dari-rakyat
Bajet 2012: Najib cedok belanjawan Pakatan |
Muhammad Faizal |
KUALA LUMPUR, 7 Okt: Kerajaan hari ini dalam mengumumkan bajet 2012 telah memperuntukan sebanyak RM232.8 bilion bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu mengumumkan bajet tersebut menjelaskan daripada peruntukan tersebut RM181.6 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan manakala RM51.2 bilion pula diletakan bagi perbelanjaan pembangunan. Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifly Ahmad ketika diminta mengulas tentang bajet yang telah diumumkan itu menjelaskan bajet tersebut adalah lebih terjurus kepada gula-gula politik ataupun peruntukkan pilihanraya. "Bajet yang diumumkan oleh Najib itu hanyalah lebih kepada untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang. "Secara jelas beliau berada dalam keadaan tertekan apatah lagi apabila melihat belanjawaan yang telah diumumkan oleh Pakatan Rakyat (PR)sebelum ini,"jelasnya. Tambah Dr Dzulkifly lagi tekanan yang dihadapi oleh Najib itu apabila melihat belanjawan PR yang lebih tertumpu kepada pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat. "PR melihat tekanan yang dihadapi oleh Najib adalah tentang hasrat PR yang telah berjanji ingin melakukan pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat, kita melihat beliau terpaksa bertindak balas terhadap usaha PR itu. "Tetapi persoalan yang jelas ingin PR utarakan bagaimana pengagihan semula itu ingin dikembalikan semula kepada yang berhak tanpa ada sebarang ketirisan. Sebagai contoh pemberian subsidi kepada pemilik teksi dan kita lihat keuntungan hanya akan diperolehi oleh kroni mereka sendiri bukannya kepada pemilik teksi tersebut," katanya. Persoalan besar Dalam pada itu beliau menjelaskan Najib hanya menumpukan perbelanjaan kepada pembangunan tetapi tidak menyatakan secara khusus bagaimanakah kerajaan ingin menambah pendapatan negara. "Bajet sebelum ini kita melihat kerajaan akan mengumumkan penambahan pendapatan sumber negara akan dikutip melalui cukai-cukai tetapi pada kali ini ia tidak dinyatakan dan ini menjadi persoalan besar kepada kita bagaimanakah kerajaan ingin berbelanja sedangkan tidak pasti sumber pendapatannya. "Najib terus membuat perbelanjaan besar dalam projek mega yang jelas mempunyai risiko tinggi di saat negara berdepan dengan ekonomi global yang muram dan secara jelas ekonomi negara berada pada tahap bahaya jika perbelanjaan yang tidak bertanggungjawab ini diteruskan tanpa pengkajian yang khusus," sambungnya lagi. Beliau memberitahu pada kali ini Najib cuba mengelak dari memberi komitmen kepada rakyat terutamanya pekerja awam dan juga swasta malah dalam pada itu Najib juga tidak berlaku adil terhadap pekerja swasta yang sentiasa ketinggalan setiap kali bajet diumumkan. "Kita melihat bajet kali ini tidak diletakkan gaji minimum sebagai sasaran mereka dan secara jelas saya katakan Najib cuba mengelak untuk terus ada komitmen dengan pekerja awam mahu pun swasta. "Tetapi dalam masa yang sama bajet tersebut memperlihatkan Najib telah menganaktirikan pekerja swasta dengan menafikan hak mereka sebagai tenaga pendapatan negara, tanpa ada peruntukan khusus diberikan oleh Najib kepada golongan pekerja tersebut. "Najib hanya mengumumkan pemberian bonus dan juga kenaikan gaji pekerja awam mengikut gred-gred tertentu dan apa yang kita lihat setiap kali bonus mahupun gaji dinaikkan maka akan wujud inflasi di negara ini dan ia akan terbeban kepada semua rakyat bukannya kepada mereka yang mendapat faedah, inilah ketidak adilan yang wujud dalam bajet kali ini," ulasnya lagi. Cedok bajet Pakatan Beliau menambah bajet ini adalah mencedok dari apa yang telah di umumkan oleh belanjawan Pakatan Rakyat sebelum ini. "Bajet dari PR lebih mesra kepada rakyat dibawah jika dibandingkan dengan apa yang diumumkan oleh Najib tadi dan kita tahu rakyat tidak akan selesa dengan apa yang diberitahu kerana mereka tidak mendapat apa yang dikehendaki," sambungnya lagi. Sebelum itu bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu juga tidak meletakkan sumbangan wanita dan juga warga emas yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara, selain itu juga bebanan diberikan kepada rakyat melalui Program Perumahan Rakyat dengan meningkatkan had maksimum harga rumah daripada RM220 ribu kepada RM400 ribu bagi pembiayaan bersama suami isteri. "Kenaikan ini dilihat tidak seimbang kerana tiada sasaran gaji minimum dinyatakan oleh kerajaan dan secara jelas akan melihat rakyat terus terbeban dengan kos tambahan dan bebanan hutang," kata Dr Dzulkifly lagi. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5854-bajet-2012-najib-cedok-belanjawan-pakatan
Bajet 2012: Bajet pancing undi PRU-13 |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 7 Okt: Secara keseluruhan, Bajet 2012 yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya bajet pancing undi bagi memastikan BN terus kekal memerintah," kata Siti Zailah Mohd Yusoff. Menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, apa yang jelas dalam bajet itu hampir semua ransangan yang dibuat hanya dalam bentuk pembangunan fizikal, tidak ada penekanan dalam bentuk pembangunan rohani dan pemulihan akhlak masyarakat. "Banyak perkara juga yang diciplak dari bajet Pakatan Rakyat.Tiada insentif yang banyak pada sektor swasta," katanya sebagai respon awal kepada Harakahdaily. GST menunggu Disebalik insentif yang bersifat "gula-gula" pilihan raya itu, beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS mengingatkan rakyat agar tidak lupa cukai barangan perkhidmatan GST yang akan dibentang di Dewan Rakyat yang sekaligus akan membankan pengguna. "Kita tidak nampak penurunan cukai kepada sektor koperat. Walaupun ada banyak cukai tak lansung diturunkan, namun rakyat jangan lupa cukai GST sedang menunggu akan diluluskan dalam sesi ini di Dewan Rakyat. "Maka semua rakyat akan dikenakan cukai pada semua jenis perkhidmatan dan barangan yang bakal dilaksanakan lepas PRU 13. Kelantan terus dipinggir Beliau juga mendakwa, bajet pilihan raya Najib itu memperlihatkan kesinambungan peminggiran terhadap rakyat Kelantan. Beliau merujuk kepada peruntukan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) satu bilion ringgit yang diumum Najib yang hanya meliputi Perlis, Perak dan Johor sahaja.
YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak - PM
Bagaimanapun beliau mengalukan semua bonus dan manfaat yang diberikan untuk rakyat, namun mempersoal kenapa ianya dibuat secara terpilih. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5853-bajet-2012-bajet-pancing-undi-pru-13
Bajet 2012 bersifat 'one-off' |
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 8 Okt: PAS tidak terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2012 semalam kerana pemberiannya banyak bersifat one-off.
YB Dato' Mahfuz Omar - Naib Presiden PAS
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan akan dapat menampung pemberian one-off tersebut kerana tidak ada jaminan subsidi barang keperluan asas tidak akan dikurangkan tahun hadapan. Belanjawan ini, katanya sekaligus tidak dapat membantu rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi. "Banyak perkara yang diumum bersifat one off. Semua itu dapat dicover balik oleh kerajaan kerana kerajaan tidak memberikan jaminan subsidi harga minyak dan keperluan asas yang lain tidak akan dikurangkan pada 2012. "Rakyat akan berhadapan dengan kos sara hidup dan belanjawan hari ini tidak menyelesaikan masalah seperti yang diwarwarkan iaitu hendak menyelesaikan masalah beban kos sara hidup rakyat," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan belanjawan petang semalam. Antara bayaran secara one-off ialah bantuan kepada bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) seramai 4,300 orang. Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut berkata, Datuk Seri Najib Razak dilihat ingin "berlawan" dengan Pakatan Rakyat dengan cuba mempamerkan belanjawan yang lebih baik daripada yang dibentangkan Pakatan, Selasa lalu. "Kerajaan terdesak kerana ingin menunjukkan belanjawannya lebih baik daripada belanjawan Pakatan. "Nampaknya Najib berpegang pada konsep "perlawanan" dalam pembentangan bajet. Tapi apa yang penting, rakyat dapat apa yang diumumkan," katanya. Syarikat teksi untung Selain itu, mengulas mengenai pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan, beliau berkata ianya lebih menguntungkan syarikat teksi daripada pemandunya. "Sepatutnya Najib mengumumkan penghapusan permit syarikat teksi dengan diberikan permit kepada individu," katanya. Ogos lalu, Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur dan Selangor menganjurkan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Rakyat menuntut sepuluh resolusi bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Dalam pertemuan tersebut, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan seorang bekas menteri diberikan sebanyak 100 permit teksi walaupun individu berkenaan telahpun menerima saham dalam syarikat bumiputera. Keadaan itu memeritkan golongan pemandu teksi yang terpaksa menyewa teksi daripada syarikat berkenaan. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5857-bajet-2012-bersifat-one-off
Tahun ke 14 belanjawan defisit |
Muhammad Faizal |
SHAH ALAM, 8 Okt: Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang ditemui pada satu program di Shah Alam menjelaskan bajet yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam merupakan satu bajet yang tidak berhemah. Beliau berkata tindakan tersebut jelas kerana melihat kepada pengurusan kewangan yang dilaporkan itu lebih terjurus kepada amalan defisit yang tinggi. "Secara keseluruhan ini adalah tahun ke 14 di mana kerajaan Barisan Nasional mengamalkan bajet defisit," katanya. Tambahnya lagi, walaupun keadaan ekonomi global pada hari ini membolehkan pengurusan dijalankan di dalam bajet defisit tetapi Najib perlu beri tumpuan kepada beberapa prinsip iaitu tata kelola yang baik atau lebih kepada "good governance". Selain itu juga kerajaan haruslah mengamalkan pengurusan yang cekap tanpa ada ketirisan serta mengamalkan prinsip 'value for money'. "Namun kesemua prinsip tersebut tidak ditangani serta dinyatakan pada bajet kali ini," sambungnya. Azmin memberitahu, melihat kepada peruntukan yang diberikan iaitu sebanyak RM232.8 bilion itu sebanyak RM181.6 bilion diberikan kepada perbelanjaan mengurus manakala 51.2 bilion ringgit pula kepada perbelanjaan pembangunan. "Ini menunjukkan pengurusan kewangam yang tidak berhemah di mana peruntukan pembangunan mengucup begitu mendadak dan kos operasi serta mengurus itu terlalu besar. "Kita juga dilaporkan tadi bahawa kutipan hasil pada tahun hadapan berjumlah RM186 bilion daripada kutipan hasil tersebut RM181 bilion digunakan untuk mengurus maknanya untuk pembangunan itu diuruskan secara defisit. "Maka tidak ada lebihan untuk pembangunan dan ini bagi saya satu pengurusan yang tidak berhemah," jelasnya lagi. Sambungnya lagi, Malaysia sebagai sebuah negara yang bergantung kepada eksport memerlukan satu usaha untuk menjana ekonomi dalaman tetapi kalau rakyat tidak mendapat imbuhan gaji yang lebih baik dan selesa bagaimana mereka boleh berbelanja. "Sebab itu Pakatan Rakyat dalam belanjawan yang dibentangkan menegaskan sasaran adalah menetapkan gaji minimum dan perkara ini harus ditangani terlebih dahulu untuk meningkatkan pendapatan mereka. "Apabila pendapatan itu munasabah barulah rakyat boleh berbelanja, bila adanya perbelanjaan di sini timbulnya aktiviti ekonomi. Ini adalah prinsip asas tapi kalau tidak ada pendapatan yang mencukupi dengan kos kehidupan yang tinggi bagaimana kita hendak mengharapkan perbelanjaan yang boleh menjana ekonomi negara," tegasnya. Azmin juga berpendapat bajet ini adalah merupakan bajet pilihanraya dan dalam masa yang sama beliau bimbang kerana tidak ada keyakinan yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan secara berpanjangan. "Pandangan awal pada bajet tersebut memang nampak cantik tetapi sebenarnya ia tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang lebih baik, rakyat akan sentiasa tertipu dengan helah kerajaan itu," ulas Azmin lagi |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5860-tahun-ke-14-belanjawan-defisit
Cukai korporat dibela, cukai prabayar rakyat dikuatkuasa |
Abdul Aziz Mustafa |
KUALA LUMPUR, 8 Okt: Belanjawan 2012 yang dibentang perdana menteri semalam dilihat lebih mementingkan pihak korporat berbanding rakyat kebanyakan. Mempersoal fokus belanjawan itu Datuk Mahfuz Omar berkata, korporat-korporat gergasi di Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) mendapat pelepasan cukai, namun rakyat bawahan dan miskin yang guna telefon prabayar tidak dapat pelepasan cukai jualan. Dalam ulasan awalnya terhadap Belanjawan 2012 yang disifatkannya sebagai "belanjawan sedap sekali sahaja" sebagai gula-gula Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, Mahfuz berkata, rakyat bawahan dan miskin terus menjadi golongan tertindas yang disasarkan bebanan cukai dalam belanjawan itu. Menurut beliau, seperti gula-gula sekali bagi sahaja, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah memang mendapat bantuan RM500 tetapi selepas itu mereka terpaksa membayar pelbagai cukai kepada kerajaan seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan lain-lain cukai. "Dapat habuan sekali sahaja menjelang pilihan raya tetapi bila BN menang pilihan raya nanti, kena bayar balik hari-hari termasuklah GST. "Contohnya, cukai jualan enam peratus kepada pengguna telefon prabayar tetap dikenakan kepada rakyat bawahan termasuk rakyat berpendapatan rendah, orang miskin, remaja tanpa pekerjaan, pelajar sekolah dan mahasiswa. Link "Memang sekarang syarikat telekomunikasi tangguhkan sebentar perlaksanaan cukai itu ke atas rakyat yang menggunakan perkhidmatan tersebut, tetapi selepas pilihan raya nanti adakah mereka sanggup tanggung lagi cukai enam peratus itu?" kata Mahfuz. Walaupun beliau tidak mempersoalkan pelepasan cukai kepada korporat-korporat besar di dalam belanjawan itu, seperti firma-firma di KLFID, tetapi Ahli Parlimen Pokok Sena itu kesal dengan belanjawan yang begitu jelas menutup kedua-dua belah mata terhadap langkah melaksanakan pelepasan cukai kepada rakyat bawahan.
YAB Tan Sri Muhyidin Yassin - TPM
"Memang nampak kononnya macam mesra sangat, maklumlah (Timbalan Perdana Menteri Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) sendiri tak halang kita labelkan belanjawan itu sebagai "belanjawan pilihan raya". "Tetapi, bukan sahaja inflasi yang semakin meningkat tidak kelihatan ditangani secara jujur dan bersungguh-sungguh oleh 'belanjawan sedap sekali' itu, malah belanjawan itu dengan jelas membuktikan bahawa tidak pernah terpadam keghairahan berapi-api BN untuk memaksakan pelbagai cukai kepada rakyat. "Jangan lupa, (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) telah menyatakan secara terus-terang keinginan kerajaan BN yang diketuainya untuk memaksakan GST selepas pilihan raya," katanya. Mahfuz menyifatkan kerajaan BN seperti kecanduan untuk menyasarkan rakyat dengan bebanan cukai walaupun kutipannya tidak sebanyak mana. "Umpamanya cukai jualan kepada rakyat bawahan dan miskin yang menggunakan telefon prabayar, saya difahamkan jumlah kutipannya tidaklah sampai RM1 bilion setahun, tetapi kerajaan nak gasak juga cukai itu sedangkan pada masa yang sama subsidi kepada syarikat penjana tenaga bebas (IPP) yang dilaporkan menjulang tinggi sehingga RM19 bilion tidak pula diusik. "Begitu juga, kes-kes saman syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) termasuk Malaysia Airlines (MAS) dan Danaharta kepada orang kaya seperti Tan Sri Tajuddin Ramli yang melibatkan jumlah wang yang sangat besar boleh pula diarah bagi pihak Perdana Menteri supaya ditarik balik, tapi cukai jualan kad telefon prabayar kepada rakyat bawahan dan miskin tetap hendak dipaksakan oleh kerajaan BN," katanya. Beliau meminta rakyat jangan tertipu dengan belanjawan yang "sedap hanya sekali sahaja tetapi azabnya sampai ke mati" itu. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5861-cukai-korporat-dibela-cukai-prabayar-rakyat-dikuatkuasa
Ketidakseimbangan di dalam Bajet 2012 |
Mohd Syahir Sulaiman |
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96) Belanjawan Tahunan Kerajaan adalah instrumen utama dalam urustadbir kewangan negara yang memperincikan perancangan dan unjuran pendapatan serta perbelanjaan sesebuah negara bagi tahun akan datang. Komponen utama sesebuah belanjawan adalah cukai (tax) dan perbelanjaan kerajaan (government spending) demi mencapai objektif utama dasar fiskal iaitu pertumbuhan (growth), mengawal inflasi (inflation) dan mengurangkan kadar pengangguran (unemployment). Setiap instrumen di dalam Belanjawan dirangka mengikut ideologi dan falsafah keutamaan sesebuah kerajaan dengan mengambil kira senario ekonomi dalaman dan luaran semasa. Walaubagaimanapun, pembentangan Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah amat membimbangkan dari aspek struktural dan kitaran, atas faktor tiada keseimbangan di dalam usaha meningkatkan daya mampu ekonomi domestik dan mempersiapkan daya tahan negara menempuhi kesan kelembapan ekonomi luaran. Pertumbuhan KDNK 2012 diunjurkan sekitar 5% - 6% di samping kadar inflasi yang masih berlegar di kadar 3% - 4% dan paras pengangguran di bawah 3.5%. Bajet 2012 memperuntukkan jumlah perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan buat 14 tahun berturut-turut, dengan anggaran defisit 4.7% bagi tahun 2012 berbanding 5.4% bagi tahun 2011 yang merupakan unjuran yang sangat optimistik berbanding situasi suku ketiga 2011 yang ditampung oleh impak kenaikan pendapatan hasil daripada sumber komoditi dan bahan asli. Malaysia di ambang krisis hutang Bagi menampung peningkatan perbelanjaan, kerajaan terpaksa meminjam dalam keadaan nisbah hutang kepada KDNK sekarang berada di paras 53% dan jika mengambil kira kemungkinan situasi kelembapan ekonomi bagi tahun akan datang, sebarang belanjawan tambahan (supplemental budget) akan hanya menatijahkan kadar hutang negara ke paras kritikal 60% seterusnya membawa kepada kancah krisis hutang negara sebagaimana yang dihadapi kuasa ekonomi Eropah sekarang. Mesra rakyat tetapi dingin pelabur Dalam senario ketidaktentuan pasaran di Eropah dan Amerika, pelabur-pelabur dari Timur Tengah, dan China mula mengalihkan tumpuan kepada destinasi pelaburan yang mampu menjamin suasana kondusif untuk pelaburan, terutamanya untuk mengambil peluang peningkatan permintaan domestik dan kerancakan pembangunan, khususnya di dalam sektor komoditi dan perkhidmatan. Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri gagal memberi isyarat mengalu-alukan pelaburan baru dan sedia ada untuk turut serta dalam usaha transformasi ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Bagaimana mengimbangi defisit Teras utama dalam pengagihan belanjawan adalah mekanisma penyampaian oleh pihak kerajaan. Pastinya semua pihak, baik yang layak mahupun yang oportunis, ternanti-nanti agihan peruntukan besar oleh pihak kerajaan. Asas utama adalah amanah si pemberi dengan mengambil kira prioriti dan merit si penerima. Pihak kerajaan mampu mengurangkan kadar defisit melalui beberapa transformasi dalam aspek pendapatan dan perbelanjaan, khususnya melalui penambahbaikan sistem serahan dan kutipan cukai yang efisien serta peningkatan penguatkuasaan eksport-import di sempadan. Dalam aspek perbelanjaan, penjimatan boleh dicapai dalam kos perjalanan, penerbangan dan aktiviti latihan di luar negara serta meningkatkan kadar penggunaan aset kerajaan secara optima. Rakyat berhak membuat pertimbangan Dengan pembentangan Bajet 2012 ini, jelas sekali gendang pilihanraya telah dibunyikan dan menandakan hari-hari yang mendatang bakal ditabur dengan agenda propaganda pihak kerajaan dan pihak pembangkang untuk mendapatkan keyakinan dan mandat rakyat di dalam pilihanraya umum ke-13. Justeru, pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri perlu menyatakan iltizam dan komitmen untuk merealisasikan budaya politik matang dengan memberi ruang lebih besar kepada rakyat berpatisipasi di dalam pilihanraya yang adil dan telus, demi menatijahkan lembaran baru di dalam sejarah Malaysia. ---------------------------------------------------------------------------------------------------------- **Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5862-ketidakseimbangan-di-dalam-bajet-2012
Ulasan DSAI tentang Bajet 2012 : http://www.youtube.com/watch?v=M9Q97k_Focc
Ulasan YB Pimpinan PR : http://www.youtube.com/watch?v=8Q4ihiav_C0
Bajet: 'Budak-budak tak boleh pegang duit banyak' |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 8 Okt: Bajet 2012 seolah-olah menggambarkan apa yang sebenarnya terkandung dalam pemikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti mana dialog dalam filem P Ramlee yang masyhur, “budak-budak tak boleh pegang duit banyak-banyak”.
Sdr Muhammad Safwan Anang - Presiden PMUIM
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Muhammad Safwan Anang berkata, mahasiswa sekali lagi kecewa dengan pembentangan bajet kali ini yang juga seolah-olah tidak langsung memikirkan soal pembinaan generasi akan datang. “Boleh jadi kerajaan sekarang beranggapan mahasiswa tidak boleh terlalu selesa, nanti mereka malas belajar,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Katanya, cadangan peringkat mahasiswa sebelum ini antaranya seperti pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut zon berdasarkan kenaikan kos sara hidup mutakhir ini, namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi. “Belum lagi kita cadang supaya PTPTN diubah menjadi biasiswa! Lahirlah pelacur daripada kalangan mahasiswi yang rata-rata tidak sanggup untuk berhadapan dengan krisis kewangan walaupun telah menuntut ke menara gading,” ujarnya. Ujarnya, boleh jadi ianya bukan menara gading lagi, tapi menara taring yang misinya membunuh masa depan mahasiswa dan belia remaja. “Banyak lagi berita-berita di dada akhbar yang mengejutkan kita, ada yang jadi keldai dadah kerana bayarannya sangat lumayan dan tidak kurang ada yang sanggup menjadi pencuri kecil-kecilan di kampus,” ujarnya. Mana tidaknya, kata beliau sebaik sahaja mahasiswa keluar bergraduasi mereka sudah punyai belenggu hutang kiri dan kanan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit hingga mahasiswa juga dikenali sebagai OKU iaitu ‘orang kuat utang’. Menurutnya, pendirian di peringkat mahasiswa adalah untuk pihak kerajaan mempertimbangkan soal yuran pengajian di universiti. Sebagai contoh mudah, ujarnya yuran internet dan ICT di sebuah IPTA sehingga mencecah RM100 untuk satu semester, dalam masa sama juga dikenakan yuran perpustakaan RM100, tidak kurang lagi bas universiti pun dikenakan kos perkhidmatan. “Bas kilang pun percuma, ini pula bas universiti. “Boleh jadi ia jumlah yang tidak besar di mata para menteri dan mereka yang menaiki kereta import yang mewah, namun ia adalah beban di peringkat kami mahasiswa,” ujarnya. Katanya, ada yang ikat perut dek kerana kos sara hidup benar-benar menjerut kehidupan mahasiswa terutama mereka yang berada di lokaliti Lembah Klang. Beliau bertanya, kenapa tidak kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet bagi menampung kos kemudahan internet dan ICT di IPT-IPT ini. Tanya beliau lagi, bukankah kerajaan sebelum ini beria-ria sangat mahu memperkenalkan emel percuma kepada seluruh rakyat Malaysia. “Mana mahu guna emel tanpa internet! Nah, itulah persoalannya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga pula. “Malang sungguh mahasiswa di Malaysia, bukan tidak bersyukur dengan kerajaan yang memberikan baucer RM200 untuk pembelian buku melalui syarikat kroni ini, tetapi tidak lagi percaya. “Jom ubah kerajaan sekarang!” katanya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5865-bajet-budak-budak-tak-boleh-pegang-duit-banyak
Bajet 2012: BN anak tiri 12 juta pekerja | | Print | |
Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 8 Okt: Kerajaan BN ternyata terus kekal dengan ketidakadilannya apabila menganaktirikan 12 juta pekerja yang juga rakyat negara ini menerusi Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri semalam. Menerusi bajet tersebut, kerajaan hanya mementingkan 1.3 juta pekerja sahaja yang juga para penjawat awam dengan kenaikan gaji RM500 sebulan mulai tahun hadapan, tetapi menafikan hak pekerja-pekerja lain yang jauh lebih besar jumlahnya. Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, dengan ketidakadilan itu, bajet tersebut ternyata hanya bersifat one off dan ia tetap gagal menyelesaikan masalah kewangan serta kos sara hidup tinggi yang dialami oleh rakyat negara ini. Menurut beliau, dengan itu, bajet tersebut jelas bertujuan untuk menggula-gulakan rakyat bagi memancing undi pilihanraya, tetapi tetap gagal menyelesaikan permasalahan dan bebanan yang dialami oleh rayat dalam jangka masa panjang. Katanya, ketidakikhlasan Kerajaan BN dalam membantu rakyat turut kelihatan apabila bekas polis dan tentera termasuk yang bertugas ketika zaman darurat sama ada balu, duda dan sebagainya hanya baru dibantu sekarang dengan sumbangan RM3,000 seorang. "Pada hal mereka sepatutnya dah lama diberikan bantuan seperti itu. Kenapa baru sekarang hendak diberikan?" katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini. Bagaimanapun, menurut beliau, kesemua pihak terbabit wajar menerima sumbangan tersebut kerana ia sememangnya merupakan hak mereka sendiri yang sepatutnya sudah lama diberikan oleh kerajaan. Katanya, sungguhpun begitu, Dewan Pemuda PAS Malaysia tetap meragui sama ada sumbangan tersebut benar-benar akan sampai kepada sasaran. "Sejak dulu, BN sememangnya terkenal dengan masalah ketirisan dalam pengagihan sumbangan-sumbangan seperti itu kepada golongan sasar. "Kali ini, pelbagai pihak turut meragui sama ada wang tersebut akan sampai sepenuhnya kepada sasaran atau tidak atau tetap terus tiris di tengah jalan juga seperti yang lalu," tegasnya. Sehubungan itu, beliau berharap agar seluruh rakyat negara ini tidak terpengaruh dengan gula-gula BN itu kerana ia tetap tidak akan memihak kepada rakyat. Katanya, bajet tersebut jelas merupakan bajet pilihanraya dengan pelbagai pemberian menarik daripada Kerajaan BN kepada rakyat untuk dinikmati dalam jangka masa pendek, tetapi terus membebankan orang ramai setelah selesai pilihanraya. "Sebelum pilihanraya, mereka sanggup memberikan apa sahaja kepada rakyat dengan melibatkan peruntukan yang besar, tetapi setelah selesai pilihanraya dan kemenangan pula berpihak kepada mereka, rakyat pasti akan dikenakan pelbagai bebanan lain pula nanti. "Jika dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti dimenangani oleh BN juga, selesai sahaja pilihanraya, barangan keperluan utama rakyat pasti akan dinaikkan secara mendadak oleh kerajaan, di samping pelbagai jenis cukai," katanya. Permainan seperti itu, menurutnya, sememangnya telah dilakukan oleh BN sejak dulu dan ia amat perlu disedari oleh seluruh rakyat negara ini agar tidak terus tertipu. Malah sekarangpun, katanya, rakyat juga boleh menilai tentang permainan BN itu apabila banyak juga peruntukan lain yang disediakan itu jelas memberikan keuntungan kepada para pemimpin BN dan kroni-kroni mereka sendiri. "Tindakan itu dilakukan menerusi pemberian subsidi tertentu kepada pihak-pihak terbabit, tetapi tidak pula ditambah peruntukan subsidi petroleum bagi menurunkan harga minyak untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh orang ramai," ujar beliau. Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Ketua dan dua AJK Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Adram Musa. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5863-bajet-2012-bn-anak-tiri-12-juta-pekerja
Bajet 2012: BN terus abai anak muda |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 9 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa Bajet 2012 yang dibentang Perdana Menteri Jumaat lalu juga membelakangkan kebajikan golongan belia.
Dr Raja Ahmad al Hiss - Naib Ketua DPPP
Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-His berkata dalam pengumuman itu, tiada peruntukkan khusus untuk pembangunan insan dan latihan untuk anak muda. "Kerajaan BN juga dilihat tidak mampu menyediakan alternatif pekerjaan untuk menampung kadar pengangguran graduan di tanahair yang semakin meningkat. "Tiada perancangan untuk merangka mencetuskan pekerjaan yang kompatatif serta nilai idea baru terutamanya dalam industri pertanian moden buat anak muda," katanya. Mengulas lanjut beliau berkata, di saat ekonomi negara yang kurang bermaya, kerajaan hanya menumpukan pengekalan nilai sedia ada di universiti tempatan tanpa cuba mewujudkan kreativiti sosial dan ekonomi. Menurutnya, kerajaan sewajarnya memperuntukan sejumlah peruntukan buat universiti tempatan bagi melatih bakal graduan dalam pengurusan risiko dan kreativiti kerja. "Anak muda yang diluar lingkaran kampus dilihat semakin terpinggir dalam isu pencarian pekerjaan. "Malah dalam konteks membina kerangka niaga buat generasi muda tiada penumpuan kursus sama ada kemudahan membuka peniagaan dalam bentuk teknologi dan perkilangan," tegasnya lagi. Beliau turut membidas bajet yang dianggap 'gula-gula pilihan raya itu' berhubung kebergantungan kerajaan terhadap pihak luar sehingga menafikan kemampuan anak tempatan terutama graduan yang berkemahiran dalam bidang tersebut. Berhubung pembangunan sukan pula, kerajaan katanya hanya menumpukan prasarana dan bukannya jatidiri penggiat sukan tanahair ini. "Dalam memberikan insatif dan kemahiran baru kepada semua atlet dilihat adalah paling penting yang tidak diambil kira oleh pihak Kerajaan. "Pembangunan sukan bukan hanya memerlukan banyak prasarana, tetapi memerlukan kekuatan kemahiran yang tidak pernah menjadi keutamaan kepada semua atlet," ujarnya. Bidas berkebajikan BN Sementara itu beliau turut membidas Najib yang mendakwa BN lebih awal melaksanakan konsep Negara kebajikan. "BN perlu sedar kerana lebih 54 tahun memerintah semenjak negara mencapai Kemerdekaan, rakyat masih tidak melihat pendekatan kebajikan yang diberikan oleh Kerajaan BN selama ini. "Tetapi ianya terlalu banyak ketirisan wang rakyat yang mengenggelamkan pendekatan kebajikan yang BN akui telah berikan sebelum ini lagi," tegasnya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5876-bajet-2012-bn-terus-abai-anak-muda
BN sembunyi dapat dana sehingga PRU13? |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 10 Okt: Duit tidak mungkin jatuh dari langit, dan dengan ekonomi dunia yang sedang meleset, adakah kerajaan BN sedang menyembunyikan langkah-langkah drastik untuk mendapatkan dana sehingga selepas Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13)? Begitulah reaksi Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat yang lalu. Bajet 2012 yang diumumkan Najib memperuntukkan jumlah perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan buat 14 tahun berturut-turut, dengan anggaran defisit 4.7 peratus bagi tahun 2012 berbanding 5.4 peratus bagi tahun 2011 yang merupakan unjuran yang sangat optimistik berbanding situasi suku ketiga 2011 yang ditampung oleh impak kenaikan pendapatan hasil daripada sumber komoditi dan bahan asli. Sebelum ini, Tuan Ibrahim telah memberikan prediksi dan menyuruh rakyat untuk berwaspada kerana beliau telah menjangkakan bahawa bajet Umno-BN untuk 2012 akan berupa satu suntikan morfin yang melalaikan rakyat seketika. Jangkaan beliau tepat, apabila Umno BN membentangkan satu bajet yang kelihatan mengutamakan rakyat dalam langkah mendapatkan kembali sokongan rakyat untuk menghadapi PRU13 yang dijangka tidak lama lagi. “Seperti yang dijangka, BN telah membentangkan satu bajet morfin yang bersifat kesenangan sementara. Kesakitan dan keperitan sebenar akan kembali sejurus selepas kesan morfin hilang. Dari sudut yang lain, rakyat perlu melihat pembentangan bajet oleh PM ini juga adalah sebahagian daripada kejayaan mereka mengenakan tekanan kepada kerajaan BN dalam PRU lalu. Kini, Umno BN cuba mendapatkan kembali sokongan rakyat melalui bajet yang kelihatan mengutamakan rakyat; setelah mengabaikan rakyat dengan mementingkan projek mega bagi kroni-kroni berpuluh tahun,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan. Walaupun bajet ini kelihatan mengutamakan rakyat, Tuan Ibrahim menasihatkan rakyat agar terus mengenakan tekanan politik kepada BN. “...kerana seandainya mereka berjaya mengekalkan kuasa selepas PRU13, segala berita gembira yang ditabur dalam belanjawan akan ditarik balik dalam bentuk cukai GST yang telah diumumkan dan bakal dilaksanakan tatkala majoriti rakyat masih tidak bersedia untuk menghadapinya,” terang beliau. Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menjangkakan keadaan kali ini akan lebih teruk daripada dahulu kerana bajet Umno-BN kali ini tidak disertakan dengan langkah-langkah kerajaan untuk menaikkan pendapatannya untuk menampung perbelanjaan sebegitu banyak. “Lebih-lebih lagi, dalam bajet kali ini PM juga tidak mengumumkan apa-apa cara untuk mengurangkan ketirisan, gejala rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kronisme yang selama ini hanya menambah keperitan rakyat bawahan. Berapakah bajet susulan yang sudah ada dalam perancangan BN yang bakal dibentangkan lagi untuk menampung perbelanjaan morfin ini?” soal beliau. Apa yang pasti, kata Tuan Ibrahim ialah sistem percukaian baru GST akan diperkenalkan – kemudian kemungkinan besar beban 6 peratus cukai telefon prabayar akan ditolak ke bahu rakyat selepas PRU13 dan lebih banyak subsidi akan ditarik balik sekiranya BN kekal berkuasa selepas PRU13. Selain itu, kata Tuan Ibrahim, Najib kali ini bertindak untuk tidak mengumumkan apa-apa peruntukan untuk Permata yang diketuai isteri kesayangannya Rosmah Mansor semata-mata untuk mengelakkan kemarahan rakyat menjelang PRU-13. “Akan tetapi, rakyat tidak perlu bergembira, yang pasti sekiranya mereka menang PRU13, peruntukan untuk Permata akan diumumkan semula dengan nilai yang lebih besar di dalam bajet susulan,” hujah beliau. Tegasnya, segala apa yang diberi sekarang yang kononnya atas nama ‘negara berkebajikan ala Umno BN’ hanya bertujuan untuk melalaikan rakyat. “Apa yang diberi akan ditelan kembali selepas PRU13 jika mereka terus berkuasa selepas PRU13, kerana suka ataupun duka, rakyat terpaksa duduk di bawah kerajaan BN untuk lima tahun lagi sebelum ada peluang untuk mengundi mereka keluar,” terang beliau. Namun, semua langkah ‘menelan’ ini tidak akan diumum sekarang kerana yang penting rakyat dapat ditipu terlebih dahulu untuk mengekalkan mereka di tampuk pemerintahan, yang lain boleh diumum sedikit demi sedikit, kerana selepas itu, rakyat hanya boleh merungut tapi kuasa mereka tidak akan tergugat untuk 5 tahun akan datang, tambah Tuan Ibrahim lagi. “Pengalaman lampau mengajar kita bagaimana setelah selesai PRU kerajaan BN akan segera mengisytiharkan kenaikan harga barangan keperluan rakyat. Walau apapun tema belanjawan diberi, rakyat yang telah mengenal tipu muslihat Umno/BN diharap jangan terlalai dalam suntikan morfin ini dan terus menggunakan kuasa dan peluang yang ada pada PRU13 bagi membuat perubahan untuk menyelamatkan Malaysia,” seru beliau. |
Bajet 2012 terus pinggir SAR |
Khairil Abdul Rahim |
KUANTAN, 10 Okt: PAS Pahang kesal Sekolah Agama Rakyat (SAR) dipinggirkan dalam pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu.
Ustaz Suhaimi Saad - Ketua Penerangan PAS Pahang
Ketua Penerangannya, Suhaimi Saad berkata, sedangkan entiti tersebut perlukan peruntukan demi kesinambungan pendidikan yang ternyata selama ini memberi sumbangan kepada masyarakat khususnya dalam ehwal Islam. “Najib mengumumkan peruntukan besar sektor pendidikan iaitu sebanyak RM50.2 bilion tetapi satu sen pun tidak diagihkan kepada SAR, sedangkan institusi tersebut amat memerlukannya dan semua pelajarnya anak-anak orang Melayu yang beragama Islam. “Walhal peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). “Kita tak tahu sama ada Najib terlepas pandang tentang perkara ini atau secara tak sengaja untuk mendera mereka,” katanya kepada Harakahdaily. Menurut Suhaimi, berdasarkan sejarah, SAR sejak zaman penjajahan telah berperanan mempertahankan akidah umat Islam selain menyebarkan pengajaran Islam untuk orang Melayu di negara ini. Bahkan, guru-guru SAR antara yang bertungkus-lumus mengajar semula anak-anak orang Melayu yang telah buta bacaan jawi. Beliau tidak menafikan SAR pernah mendapat bantuan daripada pihak kerajaan pada masa-masa lampau. “Malangnya SAR telah menerima cabaran besar apabila dihentikan bantuan per kapita oleh mantan Perdana Menteri pada tahun 2001 dan difitnah sebagai tapak sarang pengganas pada 2003. “Daripada kedua peristiwa itulah yang menyebabkan SAR mulai berkurangan pelajar sehingga satu demi satu terpaksa ditutup,” tambahnya. Tambah Suhaimi, di Pahang pada asalnya terdapat 18 SAR tetapi selepas dua peristiwa tersebut empat daripadanya ditutup dan empat lagi menjadi SABK iaitu menyerahkan urusan pentadbiran kepada kerajaan. “Pada masa ini hanya ada 10 SAR di Pahang yang boleh dikatakan hidup segan mati tak mahu kerana sumber kewangannya hanya melalui sumbangan orang ramai. Kita kena bayangkan dalam masa guru-guru sekolah mendapat durian runtuh, guru-guru SAR pula ada yang terpaksa mengajar sukarela. “Sebab itu jika kerajaan bercakap soal pendidikan Islam, generasi Al-Quran, membentuk akhlak remaja, modal insan dan sebagainya maka SAR tidak harus diketepikan kerana ternyata pelajar lepasannyalah yang menjadi pembimbing masyarakat dan mengurangkan angka indeks jenayah selama ini,” jelasnya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5897-bajet-2012-terus-pinggir-sar
Mampukah Bajet 2012 kembalikan kuasa 2/3 BN? |
Dr Rosli Yaakop |
Belanjawan 2012 cukup pemurah. Ada yang berlinangan air mata mengenangkan kemurahan hati Perdana Menteri Malaysia. Semua golongan mendapat habuan. Berjuta-juta orang murid sekolah yang belum layak mengundi pun mendapat habuan. Ibu penulis bakal mendapat RM3,000 sebab arwah ayahanda pernah menjadi AC di zaman penjajah. Nampaknya, kerajaan UMNO-BN betul-betul mahu menjaga kebajikan rakyat – dan mesej itulah yang mahu diangkat setingginya - walaupun terpaksa bergadai bergolok dan dalam keadaan hutang negara semakin menimbun setelah masuk 14 tahun berbelanja boros. Ini betul-betul “Rakyat First” namanya. Hutang bertimbun tidak kesah. Bukan generasi ini yang akan membayar. Yang akan membayarnya generasi hadapan. Hai orang muda, tengoklah! Kerajaan UMNO-BN mewariskan kepada generasi hadapan hutang bertimbun bukan harapan segunung. Lihatlah negara Greek dan Amerika Syarikat. Akibat keborosan generasi lalu, generasi kini yang menanggung bebannya. Generasi lalu menikmati taraf hidup yang luarbiasa tingginya tetapi generasi kini hidup merempat. Dalam tahun 2012, kerajaan UMNO-BN akan berbelanja RM232.8 bilion, 5.8% lebih tinggi berbanding anggaran belanjawan tahun 2011 (RM220 bilion). Hasil dianggarkan RM186.9 bilion menyebabkan difisit belanjawan sebanyak RM49.4 bilion atau 4.7% daripada KDNK. Ini bermakna kerajaan terpaksa berhutang lagi. Tiap-tiap tahun kerajaan menambah hutang dalam tempoh 14 tahun kebelakangan ini. Nampaknya, kerajaan UMNO-BN tidak mahu langsung mengambil iktibar daripada kerajaan Ireland, Greek, Itali dan Amerika Syarikat. Negara-negara ini berada di ambang keranapan disebabkan perangai suka berhutang. Sepatutnya, dalam tahun-tahun ekonomi berkembang, longgokkan lebihan belanjawan supaya lebihan ini boleh dibelanjakan semasa ekonomi merosot. Disiplin fiskal ini ditolak ketepi oleh kerajaan UMNO-BN. Mereka berbelanja boros sepanjang masa tanpa langsung mengambil kira betapa beratnya generasi akan datang hendak menanggung beban keborosan generasi kini. Ini adalah pengurusan fiskal yang tidak bertanggungjawab. Dalam tahun 2012 mereka akan berbelanja boros lagi kerana kononnya hendak melawan impak negetif ke atas ekonomi negara akibat tren kitaran menurun yang dihadapi ekonomi dunia sekarang. Sebenarnya, kerajaan UMNO-BN berbelanja besar untuk membeli undi dalam PRU13 yang akan diadakan sebentar sahaja lagi. Ambil “Pakej Rangsangan Khas” dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion sebagi contoh. Peruntukan ini akan dibelanjakan untuk menaikkan taraf dan membaik pulih bangunan sekolah dan membina bangunan tambahan, menaikkan taraf hospital, melaksanakan program tebat banjir, menaikkan taraf infrastruktur luar bandar dan membina rumah awam untuk golongan berpendapatan rendah dan nelayan. Setiap kali pilihanraya, inilah projek yang dilaksanakan. Sayogia diketahui projek-projek ini semuanya tidak mempunyai “forward and backward linkages” yang besar dan tidak memberi impak terbaik untuk melawan kemelesetan ekonomi. Hakikatnyanya ialah, peruntukan ini hendak diagihkan secara segera kepada kontraktor-kontraktor kecil yang terdiri dari ketua-kutua cawangan dan bahagian parti tertentu sebagai “minyak pelincir” kepada jentera pilihan raya. Sudah 54 tahun kita merdeka, takkan rakyat tidak masak lagi dengan tipu muslihat kerajaan UMNO-BN ini? Jalan-jalan kampong yang diturap semula memang tidak berkualiti. Lepas tiga empat bulan ianya berlopak semula. Bangunan sekolah runtuh dan jambatan roboh. Belanjawan 2012 bukannya belanjawan satu Malaysia. Ia memberi kasih ke setengah-tengah wilayah dan mengabai dan menganaktirikan wilayah yang lain. Amalan pilih kasih yang keterlaluan oleh kerajaan UMNO-BN dalam pembangunan wilayah ini bukan perkara baru. Amalan buruk ini sudah sebati dan menjadi sebahagian dari perangai mereka. Contohnya, belanjawan 2012 memperuntukkan RM978 juta untuk membangunan lima gerbang wilayah - Lebuhraya pesisiran pantai Johor Baharu-Nusa Jaya di Iskandar, Johor, pembangunan pelancongan warisan di Taiping, skim agropolitan di Besut, Terengganu, projek gugusan industri sawit di Lahad Datu, Sabah dan projek bekalan air Samalaju di Sarawak. Tidak ada peruntukan untuk pempbangunan projek seperti ini di Kelantan dan Kedah semata-mata negeri-negeri diperintah oleh kerajaan selain dari UMNO-BN. Layanan yang diberi seolah-olah menunjukkan negara-negeri ini bukan sebahagian daripada Malaysia. Penulis teringat peristiwa Gabenor Bank Negara Malaysia (Allahyarham Tun Ismail Mohd. Ali) pergi ke London (awalan tahun 1980an) melancarkan “Dawn Raid” bagi mengembalikan penguasaan syarikat perladangan terbesar di Malaysia (sekarang ini dikenali dengan nama Kumpulan Sime Darby) ke genggaman anak watan Malaysia. “Serangan komando” itu berjaya dan syarikat perladangan itu kekal sebagai hakmilik rakyat Malaysia sehingga hari ini. Hari ini kerajaan UMNO-BN mahu membuka ruang bagi membolehkan pelabur antarabangsa menguasai sebuah syarikat perladangan bertaraf “blue chip” yang seratus peratus milik kaum Bumiputera dengan menyenaraikan syarikat itu di bursa saham. Kononnya, dengan penyenaraian itu penoraka FELDA akan menikmati “durian runtuh.” Pelik sungguh kerajaan UMNO-BN ini. Sesuatu yang berharga yang sudah ada di dalam tangan kaum Bumiputera mahu digadaikan kepada pelabur antarabangsa. Tidakkah mereka tahu peneroka FELDA LBJ Labu dan Sendayan di Negeri Sembilan pernah mendapat “durian runtuh” bila kerajaan Negeri Sembilan membeli tanah mereka kini telah kembali miskin? Hakikatnya, tanah yang tergadai tidak mungkin dapat ditebus kembali. UMNO menjaga kepentingan kaum pemodal yang rakus “at the expense of “ kaum Bumiputera yang miskin. Wahai kaum Melayu! Jadilah orang Yahudi yang membeli tanah bukan menjual tanah. Sejarah memberi tahu kita bahawa tamaddun-tamaddun besar dunia – Greek, Farsi, kaum Ad, Thamud, Lut, Firaun dan lain-lain – ranap kerana keruntuhan akhlak. Nampaknya, kerajaan UMNO-BN tidak mahu mengambil iktibar dari sejarah khususnya dalam hal membangunkan modal insan. Ia masih kekal di dalam mode lama membangunkan modal insan dengan mengabaikan aspek pembangunan akhlak dan rohaniah. Belanjawan 2012 memperuntuk RM100 juta untuk melahirkan insan cemerlang, kreatif dan inovatif. Tiadak ada langsung bahagian daripada peruntukan ini mahu dibelanjakan ke arah mencemerlangkan aspek akhlak. Tidak terperanjat kita sekiranya di masa hadapan negara Malaysia akan akan menghadap masalah gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak se kronik yang dihadapi negara-negara barat hari ini akibat dari kecuaian membina insan yang berakhlak mulia. Bila kita membangunkan negara dan ummat mengikuti model Barat maka kita akan tersungkur macam negara Barat juga. Tidak wajar mengajak rakyat menolak gula-gula yang ditawarkan Belanjawan 2012. Yang ditaburkan adalah harta rakyat, ambillah. Tetapi ingat, janganlah pemberian sekali (one-off gifts) itu menyebabkan kita menggadaikan pendirian yang membawa kerugian besar dalam lima tahun yang akan datang dan selanjutnya. Kerajaan UMNO-BN beri beras, tepong, gula, susu, minyak, kain batik, kain pelikat dan wang tunai, ambillah. Bila mengundi lain ceritanya kerana undi itu sulit. Ingat, selama 54 tahun UMNO-BN memerintah, wajah ekonomi, politik dan sosial Malaysia sudah menjadi cukup buruk. Tawaran-tawaran manis mereka itu tidak lain melain bahan “make-up” murahan untuk memperlihatkan wajah luaran yang anggun tetapi hakikatnya wajah dalamannya sudah terlalu hodoh dengan amalan rasuah, salahguna kuasa, boros dan memperkudakan institusi polis, kehakiman dan lain-lain. Hari ini rakyat Malaysia hidup dalam zaman media baru yang mampu menyingkap wajah dalaman UMNO-BN betapa pun ia mahu disorokkan. Kalau mereka percaya rakyat Malaysia mudah sahaja termakan dengan gula-gula yang ditawarkan dan akan keluar berduyun-duyun memberi undi kepada mereka dalam PRU13 nanti, kerajaan UMNO-BN sebebarnya “ is sadly mistaken.” |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/depth/5893-mampukah-bajet-2012-kembalikan-kuasa-23-bn
Bajet 2012 manifesto PRU13 |
Mohd Nasir Zakaria |
Menekuni Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan respon segera rakyat menjadikan kita percaya bahawa inilah bajet yang menentukan hidup mati Barisan Nasional. Lebih tepat ia adalah sebuah manifesto yang merupakan satu 'counter offer' atau tawaran balas terhadap bajet Pakatan Rakyat. Tekanan yang kerajaan pimpinan DS Najib hadapi apabila berdepan dengan tawaran Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat adalah kayu ukur terhadap beberapa tindakan terdesak termasuklah pengumuman pemansuhan ISA dan bajet durian runtuh pada kali ini. Bajet adalah instrumen utama dalam urus tadbir kewangan kerajaan yang melibatkan perancangan, unjuran pendapatan dan perbelanjaan sesebuah negara bagi tahun akan datang. Inti kepada belanjawan ialah cukai dan perbelanjaan kerajaan demi mencapai objektif utama dasar fiskal iaitu pertumbuhan, pengawalan inflasi dan pengurangan pengangguran. Sebagai anak muda, saya ingin membawa tulisan ini bagi melihat secara ringkas bajet ini berdasarkan pemerhatian sepintas lalu. Pertama. Bajet ini kata DS Najib ialah Membela Rakyat, Mensejahtera Negara. Kebanyakan tawaran bersifat 'one off' ini betul, boleh menggembirakan dan menghiburkan rakyat yang bersifat sementara. Sebanyak 1.3 juta rakyat yang terdiri daripada penjawat awam agak dilayan oleh Barisan Nasional. Sedangkan jumlah sebenar pekerja di dalam negara kita ialah kira-kira 12 juta. Apa nasib mereka yang terlibat di dalam sektor swasta dan pekerjaan tidak formal. Kedua. Kesan langsung kenaikan gred sektor awam ini akan menyebabkan sektor masyarakat terbanyak yang terdiri daripada swasta dan pekerja tidak formal berdepan dengan inflasi. Contohnya bagaimana nasib, penoreh getah dan petani di Padang Terap Apakah insentif dalam bentuk polisi yang disediakan kepada khalayak ini. Kuasa beli semakin menurun. Ketiga. Kerunsingan saya juga ialah berkaitan dengan golongan belia yang menganggur. Menanggung hutang pengajian daripada PTPTN ataupun yang terrcicir daripada pengajian. Golongan belia yang menganggur yang sudah menghampiri 100 ribu daripada golongan siswazah. Berdasarkan unjuran Bajet 2012, pengangguran dalam lingkungan 3.5 peratus. Ia mewakili hampir 400 ribu daripada guna tenaga rakyat Malaysia!!. Unjuran kerajaan itupun masih dipertikaikan oleh pakar ekonomi. Keempat. Umur pencen yang dinaikkan oleh kerajaan kepada 60 tahun juga menimbulkan reaksi pelbagai. Pada persepsi saya, ia akan menyebabkan peluang pekerjaan baru kepada siswazah dan kenaikan pangkat akan terbeku selama dua tahun paling kurang. Janji Perdana Menteri akan mewujudkan peluang baru melalui sektor swasta adalah sangat subjektif berdasarkan unjuran angka pengangguran yang semakin membesar. Kelima. Saya sangat gusar apabila bajet yang lebih populis ini hanya menyebut 'durian runtuh' kepada peneroka. Apakah sebenarnya polisi kerajaan untuk membantu anak-anak peneroka generasi kedua dan ketiga FELDA, FELCRA dan lembaga-lembaga seperti KEDA, KETENGAH, KESEDAR dan lain-lain. Penyenaraian Felda Global Ventures yang diumumkan juga menimbulkan beberapa tandatanya termasuklah tentang keperluan Felda mendapatkan kewangan melalui IPO dan pembukaan saham Felda kepada orang luar Felda. Keenam. Saya masih menunggu pelancaran kerajaan satu Skim Amanah yang patuh syariah. Seingat saya, daripada 10 skim amanah yang dilancarkan oleh kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad, masih belum wujud walaupun satu Skim Amanah yang benar-benar patuh syariah. Ketujuh. Peruntukan sekolah agama rakyat yang masih dikesampingkan lanjutan dendam politik sejak sekian lama. Tanpa mempertikaikan bantuan kepada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama bantuan kerajaan dan mubaligh, Sekolah Agama rakyat yang berjumlah 161 buah dengan 20 764 orang murid masih tiada cerita. Manakala Sekolah Rendah Agama berjumlah 1132 buah dengan 208,000 pelajar masih terkebelakang. Kelapan. Arahan khusus agar GLC menggunakan instrumen kewangan Islam dan menggunakan sistem perbankan Islam. Keperluan kerajaan mempunyai perancangan mewajibkan GLC menyokong perbankan Islam. Hanya sekitar 22 peratus penyertaan GLC. Kesembilan. Saya kecewa apabila bajet ini tidak ditekankan peperangan terhadap rasuah dan ketirisan. Laporan Ketua Audit Negara menganggarkan kira-kira 28 bilion wang rakyat hilang akibat ketirisan dan rasuah pada 2008. Bajet durian runtuh ini akan mendedahkan lebih ruang terhadap berlaku ketirisan. Kesepuluh. Saya menyambut baik bajet pembangunan fizikal untuk golongan belia. Namun program peningkatan iman, shahsiyyah masih lagi bukan keutamaan kerajaan. Gejala sosial yang parah termasuk kes zina, rogol dan bunuh yang menakutkan tidak akan mampu ditangani tanpa pembangunan bersepadu mental, jasad dan roh. Kesebelas. Dalam kerancakan industri perbankan dan kewangan Islam Malaysia, kerajaan yang mendakwa ingin terus mengekalkan Malaysia sebagai antara hub kewangan Islam terbaik dunia meneruskan sokongan kepada sistem riba. Dana Perkhidmatan Profesional yang diumumkan oleh Perdana Menteri masih dalam bentuk pinjaman mudah masih mengenakan faedah 4 peratus. Kedua belas. Isu sebenar yang dihadapi oleh rakyat ialah kos sara hidup. Persoalannya adakah bajet kali ini memberi nilai sebenar kepada kos sara hidup rakyat. Fomca telah melaporkan harga makanan naik 83 peratus dalam masa 4 tahun..!!!! Harga gula naik 27 peratus manakala sayur naik 16 peratus, telur, dairy dan daging naik 10 peratus dan buah naik 9 peratus berbanding tahun lepas. Perbelanjaan isirumah utk makanan adalah 40-50 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan. Justeru itu, saya masih melihat bahawa bajet ini masih bersifat satu langkah berbentuk populis, tak mengambil kira strategi khusus dengan memberi fardah langsung tanpa mengira impak ekonomi jangka panjang. Apapun Pakatan Rakyat telah memberi satu dimensi baru terhadap penyediaan bajet kerajaan dengan satu pilihan dan tawaran kepada rakyat. Bajet Pakatan Rakyat telah diberi satu perhatian serius oleh kerajaan dan saya percaya diteliti dengan penuh minat oleh rakyat. Mohd Nasir Zakaria adalah Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/depth/5905-bajet-2012-manifesto-pru13
Bajet 2012: Belanjawan kalau hidup, hiduplah |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 11 Okt: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno adalah belanjawan orang yang sedang nazak. Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas belanjawan yang dibentang baru-baru ini yang kononnya ingin membela nasib rakyat tetapi realiti sebenarnya menggambarkan situasi sebenar keadaan Umno yang sedang berada dalam suasana ‘ICU’. “Belanjawan Najib ialah belanjawan orang sedang nazak, kalau hidup, hiduplah dan kalau mati, maka matilah,” ujar beliau ringkas ketika dihubungi, semalam. Beliau yang juga Adun Manir berkata, situasi Umno sekarang seperti orang yang sudah hampir mati yang sanggup berbelanja tanpa batasan semata-mata untuk memastikan nyawa dapat dipanjangkan lagi serta sanggup menggunakan pelbagai jenis rawatan walaupun rawatan itu tidak berkesan. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5906-bajet-2012-belanjawan-kalau-hidup-hiduplah
Bajet 2012 tiada peruntukan tangani gejala sosial |
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 11 Okt: Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Islam mempersoal Bajet 2012 yang tidak menyediakan peruntukan khas untuk menangani masalah sosial dalam masyarakat. NGO terbabit antaranya Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudahatus Sakinah, Pertubuhan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia) dan Rumah Puteri Arafiah merupakan NGO Islam yang aktif dalam kerja-kerja mencegah dan merawat golongan yang terjebak dalam masalah sosial seperti hamil luar nikah, penyalahgunaan dadah dan keganasan rumah tangga. Menyifatkan kerajaan sebagai tidak serius untuk menangani masalah sosial yang semakin membarah dalam masyarakat, Pengerusi Lembaga Pengarah Induk (LPI) Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah berkata, pihaknya amat memerlukan sokongan untuk menangani masalah ini. Bercakap pada sidang media di Pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM), dekat sini hari ini beliau berkata usaha meningkatkan prasarana fizikal dan tahap ekonomi rakyat semata-mata tanpa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan dalaman yang beramanah, berintegriti dan bertangungjawab dibimbangi akan lebih mendatangkan keburukan kepada negara. "Amatlah wajar, semua usaha dan sumber yang ada digembleng untuk menangani masalah sosial melalui langkah pencegahan dan rawatan yang berkesan agar dapat dikawal. "Usaha komprehensif dan intensif ini pastinya memerlukan banyak sokongan dan dokongan khususnya dari pihak berwajib termasuk memperuntukkan sumber kewangan yang mantap dan stabil bagi melaksanakan usaha yang penting ini," katanya yang juga Ketua Wanita JIM. Namun tegas beliau, apa yang dituntut bukanlah bantuan kewangan semata-mata sebaliknya kerjasama erat di antara kerajaan dengan NGO tanpa banyak karenah birokrasi. Justeru, mereka menuntut kerajaan meningkatkan usaha pencegahan dan pendidikan masyarakat (amar maaruf) yang meluas serta menyusun strategi rawatan dan pemulihan yang efektif (nahi mungkar) kepada kelompok yang terjebak dengan gejala sosial. "Kami memohon agar penegasan ini diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan. Jangan biar kami menunggu setahun lagi untuk pembentangan bajet 2013. Itu pun belum tentu suara kami diambil kira," katanya sinis. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan bajet 2012 Jumaat lalu tidak menyentuh mengenai peruntukan untuk NGO Islam sebaliknya mengumumkan peruntukan untuk "Anjung Singgah" iaitu pusat khidmat bantuan sosial untuk memberi perlindungan sementara kepada golongan gelandangan. Kini terdapat 1,400 gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar dengan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM). Kerajaan tolong buka mata Sementara itu, Presiden Perkid Malaysia, Masridzi Sat menegaskan kerajaan harus membuang sifat ego mereka sebaliknya mengaku mereka tidak mampu melakukan semua perkara dan menyerahkan sebahagiannya kepada NGO yang berpengalaman. Ustaz Masridzi Sat - Presiden Perkid Beliau berkata, bagi Perkid sendiri, amat sukar untuk mendapatkan bantuan kerajaan khususnya JKM dalam usaha memberikan bantuan kepada remaja bermasalah. "Kerajaan selalu syok sendiri, buat program mengikut citarasa mereka tanpa meminta pandangan kami yang sudah lama terlibat dengan kerja-kerja pencegahan ini. Tapi apa kesannya? Masalah sosial makin berlambak. "Mereka tak bagi bajet kat kita, tapi berapa kali kami dapat arahan supaya tutup pusat perlindungan. Sudahlah kami kutip bayi terbiar, kami pun terbiar sama," katanya yang menguruskan empat rumah perlindungan remaja bermasalah antaranya di Hulu Langat, Selangor. Turut bersama pada sidang media tersebut ialah wakil daripada Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan & Iman Malaysia, Kem Modal Insan KEWAJA, Rumah Perlindungan & Pemulihan Wanita Islam Darul Wardah, Pertubuhan Inisiatif, Penyelidikan, Pembangunan & Pemerkasaan Wanita (WIRDA), Rumah Kebajikan Darul Islah, Pusat Tarbiyah Darul ‘Atiq dan Keluarga Besar Norlina Alawi. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/separator-berita-utama/headline/5927-bajet-2012-tiada-peruntukan-tangani-gejala-sosial
GST selepas PRU-13 hampir realiti |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 14 Okt: Pakatan Rakyat yakin kerajaan Barisan Nasional akan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika kekal berkuasa selepas PRU13. Menurut Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli, melaksanakan GST adalah satu satunya jalan keluar bagi membolehkan Belanjawan 2012 yang berjumlah RM232 bilion dapat direalisasikan dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang menurun sekarang.
Sdr Mohd Rafizi Ramli - Pengarah Strategi PKR
Katanya, ini kerana ekonomi negara sukar untuk mencapai sasaran pertumbuhan 5% - 6% memandangkan angka unjuran ekonomi terkini yang dibuat Malaysian Institute of Economics Research (MIER) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kepada 4.6%. "Ini akan memberi kesan kepada jumlah pendapatan negara bagi tahun 2012 akibat kutipan cukai dan hasil lain yang berkurangan berikutan pertumbuhan ekonomi 2012 yang lebih perlahan," katanya. Untuk merealisasikan Belanjawan 2012, BN ujarnya perlu meminjam sekurang-kurangnya RM46 bilion untuk membiayai defisit Belanjawan 2012; itu pun jika ekonomi tumbuh pada kadar 5% - 6% bagi tahun 2012. Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 adalah terbatas akibat had keberhutangan negara (debt ceiling) yang dihadkan kepada 55% daripada KDNK di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983. Tambahnya, hutang negara kini sudah pun mencecah 53% dari KDNK berdasarkan angka rasmi Bank Negara Malaysia setakat Jun 2011, maka sebarang hutang baru sudah tentu bertentangan dengan undang-undang negara. " Ini mengesahkan niat Perdana Menteri untuk serta-merta melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya Barisan Nasional kekal berkuasa selepas PRU13. "Ini adalah satu pertaruhan yang diambil oleh Perdana Menteri, dengan niat mengabui mata rakyat dan menawarkan gula-gula bermula dengan bayaran dalam Januari 2012 kelak tetapi akan dicukai kembali melalui GST selepas PRU13 kelak," tegasnya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5972-gst-selepas-pru-13-hampir-realiti
Anwar sambut baik anjuran debat dengan Najib |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 19 Okt: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik tawaran mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menganjurkan debat terbuka antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Menurut Anwar, ia perlu disegerakan sebelum perbahasan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, berakhir bagi penggal ini, lapor KeadilanDaily. “Saya menyambut baik, mana-mana badan NGO yang ingin menganjurkan perdebatan tersebut. Saya harap disegerakan sebelum tamat perbahasan Belanjawan ini,” kata Anwar pada sidang media di Parlimen. Hari ini, sebuah Akademi Penulisan yang dinamakan Akademi Pak Sako, bersedia menjadi penganjur debat antara kedua tokoh itu membincangkan soal ekonomi dan Belanjawan 2012. Jurucakap Akademi Pak Sako, Hilman Idham berkata, debat itu juga membolehkan rakyat menilai belanjawan yang dibentangkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Minggu lalu, Anwar mencabar Perdana Menteri yang juga menteri kewangan supaya berdebat secara terbuka berhubung kedudukan ekonomi dan Belanjawan 2012 yang dibentangkan, 7 Oktober lalu. Belanjawan berjumlah RM232 bilion itu menerima kritikan hebat, berikutan pendapatan negara pada masa ini tidak dapat menampung hutang kerajaan yang mencecah RM437 bilion. Pakatan Rakyat juga percaya berdasarkan realiti ekonomi, sasaran pertumbuhan 5 peratus hingga 6 peratus yang disasar Najib juga sukar untuk dicapai. Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 pula terbatas disebabkan had keberhutangan negara (debt ceiling) kepada 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. Enggan menerima hakikat itu, Najib sebaliknya menyelar Belanjawan Pakatan Rakyat dengan menyifatkannya gagal memahami kehendak rakyat keseluruhan, meskipun belanjawan sebanyak RM220 bilion yang ditawarkan berupaya mengekang defisit negara pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK. Belanjawan Pakatan mampu menjimatkan RM14 bilion berbanding perbelanjaan kerajaan Barisan Nasional iaitu pada kadar defisit 6 peratus daripada KDNK, dengan rakyat mendapat 20 peratus nilai tambah. Sebelum ini, Najib enggan menerima pelawaan debat Anwar bagi menjawab kritikan beliau terhadap Buku Jingga, satu dokumen bersama Pakatan Rakyat yang menawarkan faedah ekonomi kepada rakyat terbanyak. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6068-anwar-sambut-baik-anjuran-debat-dengan-najib
Prestasi Selangor lebih baik daripada Pusat |
Muhammad Faizal |
KUALA LUMPUR, 19 Okt: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) menegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai kelayakan untuk mendapat kenaikan elaun disebabkan prestasi yang ditunjukkan mereka dan negeri amat baik sekali. Khalid menjelaskan demikian pada sesi perbahasan belanjawan 2012 di Dewan Rakyat apabila ahli parlimen Barisan Nasional (BN) mempertikaikan tindakan Pakatan Rakyat (PR) menolak kenaikan yang dicadangkan oleh kerajaan pada pembentangan Bajet tetapi menerima cadangan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor. "Kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sepanjang tahun 2009 hingga 2011 telah menghasilkan bajet yang seimbang, hutang negeri tidak meningkat kerana tiada pinjaman dilakukan. "Hasil negeri meningkat jika dibandingkan dengan pemerintahan di bawah BN yang mana rakyat sekarang dapat merasa hasil kekayaan negeri sejak dari awal dilahirkan sehinggalah mereka meninggal dunia, selain menikmati air percuma," jelas Khalid yang juga AJK PAS Pusat. Tambahnya lagi, merujuk kepada prestasi baik dan keseimbangan antara hasil negeri dan rakyat, maka secara jelas setiap Adun di Selangor memang layak mendapat kenaikan elaun jika dibandingkan dengan prestasi yang ditunjukan oleh ahli parlimen BN terutamanya perbelanjaan defisit selama 14 tahun berturut-turut. "Ahli Parlimen tidak layak mendapat kenaikan elaun jika kita melihat prestasi dan amalan pentadbiran BN berbelanja sehingga membuatkan hutang negara meningkat sehingga 53 peratus dari Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK). "Bagaimanakah kita hendak bersetujuan agar kenaikan elaun ini diluluskan, kemerosotan ini bukannya disebabkan oleh dari ahli parlimen PR tetapi disebabkan oleh mereka di dalam BN yang selalu mengamalkan bodek dan kroni," katanya lagi. Beliau juga memberitahu prestasi buruk merupakan halangan untuk melayakkan setiap Ahli Parlimen mendapatkan kenaikan dan ini pasti boleh diubah apabila PR mengambil alih pantadbiran di Putrajaya nanti. Tindakan menuduh pendirian PR tidak bersependapat dengan apa yang dilakukan di Selangor, Khalid memberitahu kenaikan bergantung kepada hasil dan prestasi negara, malah jika dibandingkan dengan Negeri Selangor dari sudut pentadbiran jauh lebih baik dari apa yang kerajaan BN lakukan di negara ini. "Kita melihat bagaimana kerajaan negeri menambah pendapatan negeri yang diperolehi dari hasil dan sumber asli, mengambil kembali hutang dari mereka yang telah berhutang serta menghapuskan budaya kroni. "Sedangkan kerajaan pusat hanya tahu menambah hutang negara dan menurut kajian yang dilakukan oleh badan bebas mengatakan jika amalah defisit ini dilakukan oleh BN, maka pada tahun 2020 hutang negara akan meningkat RM1 trilion dan ia akan membawa negara ke arah kebankrapan," sambungnya lagi. Beliau juga menyentuh janji kerajaan yang dinyatakan semasa belanjawan tersebut yang mahu menaikkan taraf Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah satu yang baik tetapi dalam pada masa yang sama kerajaan perlu melihat kedudukan Hospital Shah Alam yang telah terbengkalai sejak sekian lama. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6075-prestasi-selangor-lebih-baik-daripada-pusat
Audit: Kelantan terima banyak pujian dari teguran |
Muhammad Yusri Amin |
KOTA BHARU, 27 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih gagal menunjukkan kejayaan reformasi dan transformasi sebagaimana yang dialung-laungkan. Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata tidak nampak perkara itu boleh berjaya dan telah berjaya. “Tidak ada. Ini kerana ianya mungkin penonjolan Najib ini seperti pemimpin yang ‘bersih’ yang mengamalkan transformasi dalam pentadbiran, pengurusan ke arah yang lebih baik itu, saya fikir tak ubah seperti slogan ‘Islam Hadhari’ yang dibawa Pak Lah. “Mungkin apabila Najib tidak ada nanti, transformasi pun tidak ada lagi,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan. Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Perasmian Cakno Rakyat Dewan Undangan Negeri Bunut Payong di Telipot dekat sini, semalam. Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman yang juga Adun Kemahang. Tambahnya, itulah bentuk pengurusan dan pentadbiran Umno BN di mana setiap pemimpin yang naik itu, ada slogannya dan setiap slogan itu, hanya slogan sahaja. Beliau turut mengulas kelambatan edaran buku Laporan Ketua Audit Negara di Parlimen. Beliau mendakwa kejadian itu merupakan perkara boleh dipersoalkan, tidak kira sama ada ‘disengajakan’ atau tidak, namun kelambatan edaran itu dipersoalkan. Lebih-lebih lagi, ujarnya dilihat di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 itu, pujian dan ‘pemberian kredit’ yang baik kepada agensi-agensi kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat temasuk Kelantan. “Saya sendiri melihat dalam laporan itu mengenai Kelantan, banyak aspek diberikan pujian, yang disebut ‘pujian tanpa teguran’ (PBTG) itu meningkat daripada 2009 walau pun tidak semua perfect. “Tetapi apa yang kita tengok, untuk Kerajaan Kelantanlah terutamanya banyak pujian daripada teguran. Itu satu pencapaian yang cukup baik dan diakui oleh pemimpin-pemimpin di luar Kelantan sendiri,” katanya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6208-audit-kelantan-terima-banyak-pujian-dari-teguran
Laporan Ketua Audit: Tahniah Kerajaan Kedah |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 27 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) amat berbangga dengan Laporan Ketua Audit Negara bagi penyata kewangan Kerajaan Negeri Kedah untuk tahun 2010. Ketua Penerangannya, Mohd Nasir Zakaria berkata, walaupun Ketua Audit Negara mengatakan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kedah memuaskan, namun bagi DPPNK, dengan usia 'setahun jagung' iaitu baru tiga tahun memerintah, pencapaian tersebut adalah sangat cemerlang. Katanya, berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan; pengalaman pentadbiran, kewangan, penyaluran peruntukan kerajaan pusat yang tidak melalui negeri, Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar) terus melangkah gagah. “DPPNK mempunyai alasan kukuh untuk terus mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah,” ujarnya dalam satu kenyataan. Beliau yang juga ahli Parlimen Padang Terap menggariskan tujuh sebab dan berbangga dengan kejayaan itu. Pertama, katanya Kerajaan Negeri Kedah telah mengalami peningkatan hasil sejumlah 23.9 peratus atau RM87.94 juta pada tahun 2010 berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus RM2.55 juta atau RM 0.6 peratus. Hasil kerajaan negeri pada tahun 2010 berjumlah RM456.21 juta berbanding 2009 sebanyak RM368.27 juta. “Pencapaian ini adalah yang terbaik di dalam masa 5 tahun,” katanya lagi. Kedua, ujarnya Kerajaan Negeri Kedah telah mencatatkan surplus atau lebihan pada tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta yang mana peningkatan itu sangat ketara dan sangat membanggakan. Katanya, ia adalah defisit tertinggi dalam masa 5 tahun dan merupakan surplus kali kedua dalam tempoh tersebut, berbanding dengan defisit tahun 2009 yang berjumlah RM62.89 juta, ia menjadikan peningkatan sejumlah RM85.39 juta iaitu sebanyak 135.8 peratus. Selain itu, kata Nasir (kiri) Ketua Audit Negara juga telah memperakui pengurusan kewangan di Jabatan/Agensi Negeri telah bertambah baik berbanding 2009. Menurutnya, pihak Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti di 17 Jabatan/Agensi Negeri. Justeru, beliau mengucapkan tahniah kepada para pegawai kerajaan negeri. Beliau menambah, laporan itu telah memperakui peningkatan penerimaan hasil cukai tanah sebanyak RM18.69 juta iaitu peningkatan sebanyak 21.9 peratus yang mana kerajaan negeri telah berjaya mengutip RM104.06 juta berbanding 2009 hanya RM85.37 juta. “Walaupun dasar kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang menurunkan cukai sebanyak 25 hingga 75 peratus di awal usia pemerintahan, namun bagi DPPNK telah berlaku kecekapan di dalam kutipan hasil tanah walaupun berlaku penurunan selama dua tahun berturut-turut. Kutipan ini adalah yang kedua tertinggi di dalam tempoh 5 tahun,” ujarnya lagi Kelima, katanya peningkatan ketara iaitu 125.2 peratus atau RM19.71 juta juga berlaku dalam pungutan tunggakan cukai tanah. Menurutnya, hasil kutipan berjumlah RM35.45 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya RM15.74 juta di mana kutipan itu adalah tertinggi dalam masa 5 tahun. Sekali lagi, ujarnya premium hutan berjaya ditingkatkan oleh Kerajaan Negeri Kedah di mana peningkatan sejumlah 46.9 peratus atau RM15.49 juta, berbanding tahun 2009 sebanyak RM33.05 juta, kerajaan berjaya memungut RM48.54 juta. Jelasnya, jumlah itu juga adalah yang tertinggi dalam masa 5 tahun. “Sebagai catatan juga peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2007, hampir 400 peratus,” katanya lagi. Tambahnya, yang ketujuh ialah kerajaan negeri juga berjaya membuat kutipan premium tanah tertinggi dalam masa 5 tahun terakhir, berbanding tahun 2009 iaitu sebanyak RM26.63 juta, sebanyak RM58.12 juta atau peningkatan sebanyak 118.3 peratus. Katanya, DPPNK berpandangan bahawa dengan laporan itu, Ketua Audit Negara terus memperakui keupayaan pentadbiran Pakatan Rakyat. “Ini membuktikan secara fakta bahawa segala tohmahan bahkan keraguan yang ditimbulkan oleh golongan yang berkepentingan adalah tidak berasas,” ujarnya. Tegasnya, DPPNK akan terus bekerja keras bagi terus mempertahankan dan mengajak seluruh rakyat terus menyokong dan mendokong pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. “Di sebalik segala kepincangan Laporan Ketua Audit Negara terhadap Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional, DPPNK menyeru seluruh rakyat Negeri Kedah untuk membuat perbandingan dan membuat pilihan yang tepat,” ujarnya lagi. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/6210-laporan-ketua-audit-tahniah-kerajaan-kedah
Bandingkan Pakatan, BN urus kerajaan negeri |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 29 Okt: Bagaimana Pakatan Rakyat menguruskan kerajaan negeri dan bagaimana pula Barisan Nasional menguruskan kerajaan negeri. “Cuba bandingkan dengan menggunakan akal yang waras,” tulis Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui twitter. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6234-bandingkan-pakatan-bn-urus-kerajaan-negeri
Mana peruntukan RM426.5 juta parlimen Pakatan? |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 8 Nov: PAS hari ini mahu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan kenapa dana RM426.5 juta yang diperuntukan kepada semua kawasan parlimen, tidak diberikan kepada parlimen Pakatan Rakyat. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pada sidang media di parlimen hari ini mempersoal, ke mana sebenarnya wang itu disalurkan kerana semua ahli parlimen pakatan rakyat tidak diberikan wang tersebut. Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, jawapan bertulis perdana menteri terhadap soal beliau di parlimen hari ini menyatakan setakat 26 September 2011, dana tambahan sebanyak RM426.5 juta diperuntukan kepada semua kawasan parlimen untuk melaksanakan projek melibatkan kepentingan rakyat. “Malangnya, peruntukan untuk kawasan parlimen pembangkang tiada kerana sehingga kini kami tidak menerima satu sen pun dari dana tambahan itu,” katanya dalam sidang media hari ini. Menurut Salahuddin, ini bukan kali pertama kerajaan Umno BN menafikan hak kawasan pembangkang mendapat peruntukan dan sudah diamal sejak puluhan tahun lalu. “Secara matematiknya, setiap satu kawasan Parimen BN, mereka mendapat peruntukan sebanyak RM3.025 juta. “Malangnya, Ahli Parlimen pembangkang dinafikan hak walaupun kami merupakan ahli parlimen yang sah dipilih oleh rakyat,” katanya. Sementara itu, Ahli Parimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, Pakatan Rakyat memberi jaminan setiap Parlimen akan menerima hak mereka jika gabungan itu diberi mandat sebagai kerajaan selepas pilihan raya akan datang. Ini kerana setiap wang itu merupakan wang pembayar cukai dan mereka berhak mendapatnya melalui peruntukan kepada setiap ahli Parlimen yang mereka pilih dalam mana-mana pilihan raya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6402-mana-peruntukan-rm4265-juta-parlimen-pakatan
Facebook: Kementerian Pelancongan bazir RM1.8 juta |
Muhammad Faizal |
KUALA LUMPUR, 15 Nov: Perbelanjaan RM1.8 juta yang digunakan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dalam kempen 'sosial media branding' yang hanya menggunakan laman sosial 'facebook (FB)' dilihat sebagai satu tindakan yang membazir. Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook dari DAP menjelaskan ramai rakyat negara ini mempunyai laman sosial tersebut dan memiliki ramai peminat tetapi beza rakyat Malaysia dengan Kementerian Pelancongan adalah mereka melakukan aktiviti kegemaran itu tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang besar. "Ini menunjukkan perbelanjaan yang digunakan oleh Kementerian Pelancongan adalah satu pembaziran yang besar, laman sosial FB adalah percuma tanpa memerlukan kita membayar apa-apa kos untuk memilik akaun tersebut. "Dalam pada itu jika hanya untuk memuat naik aktiviti atau kempen pelancongan kita hanya memerlukan seorang pegawai sahaja, tetapi kos yang besar itu adakah kementerian menggunakan pegawai yang ramai hanya untuk melakukan kerja yang mudah," jelasnya yang juga Ketua DAPSY. Beliau juga memberitahu pihak Kementerian Pelancongan perlu menjelaskan apa yang telah mereka belanjakan dengan peruntukan yang besar itu kerana ia adalah satu yang mustahil kerana untuk satu laman sosial FB kos sedemikian diperlukan. Tambahnya lagi, melalui jawapan bertulis yang beliau terima dari Kementerian Pelancongan berhubung dengan perbelanjaan RM1.8 juta itu, kementerian memberitahu bahawa Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi laman sosial tersebut yang dilancarkan pada Mei 2011 mencapai 120,000 orang peminat pada Disember 2011. "Saya melihat rakyat Malaysia yang mempunyai akaun laman sosial FB juga mempunyai peminat melebihi apa yang di sasarkan oleh KPI Kementerian Pelancongan, itu tanpa menggunakan apa-apa kos yang besar hanya sekadar mengisi masa lapang. "Jadi apa yang ingin saya perkatakan Menteri Pelancongan perlu bertanggungjawab atas perbelanjaan yang besar ini dan beliau perlu memberi penjelasan kepada rakyat negara ini di manakah wang tersebut dibelanjakan," sambungnya lagi. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6519-facebook-kementerian-pelancongan-bazir-rm18-juta
Khalid cadang pendekatan baru tamatkan konsesi tol
Harakahdaily, | 02 Mei 2012 |
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mencadangkan satu mekanisma untuk menamatkan konsesi lebuh raya selepas sesuatu syarikat mencapai sasaran keuntungan untuk projek berkenaan.
Cadangan ini dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataannya hari ini.
Kerajaan negeri, kata Khalid, telah mencadangkan kepada LLM supaya satu klausa keluar (exit clause) dimasukkan dalam kesemua perjanjian konsesi lebuhraya bertol iaitu berkaitan dengan “construction profit” dan “equity return”.
Klausa ini akan membolehkan perjanjian konsesi ditamatkan lebih awal dari masa yang ditetapkan apabila syarikat mencapai sasaran keuntungan (projected profit) lebih awal.
"Apabila ini berlaku kutipan tol harus diberhentikan dan lebuh raya berkenaan perlu dikembalikan kepada pengurusan kerajaan," kata Khalid.
Apa yang berlaku pada masa lalu apabila syarikat konsesi terus dibenarkan mengutip tol walaupun syarikat konsesi telah pun mengaut keuntungan.
Penswastaan lebuh raya tidak boleh dibuat semata-mata memberi keuntungan mudah kepada syarikat konsesi di atas kos perbelanjaan rakyat, katanya.
Dalam kenyataan ini juga, Khalid memaklumkan, kerajaan negeri telah diberi penerangan tentang cadangan pembinaan Lebuh raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).
Secara prinsipnya, kata beliau, kerajaan negeri bersetuju dengan projek infrastruktur itu kerana ia akan membawa impak positif kepada pembangunan ekonomi negeri Selangor.
Walaubagaimanapun, katanya, kerajaan negeri telah mengingatkan LLM bahawa perjanjian konsesi untuk kutipan tol di Lebuhraya SUKE perlu adil kepada rakyat dan syarikat konsesi yang dipilih dan tidak boleh berat sebelah yang hanya memberi manfaat kepada syarikat konsesi serta kadar tol yang munasabah.
Menurut Khalid, oleh kerana Kerajaan Persekutuan ‘underwrite’ aliran tunai bagi projek ini,
Walaupun Kerajaan Negeri menyokong usaha-usaha merangsang pertumbuhan ekonomi, ia perlu dilakukan tanpa menambah beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sekarang ini terpaksa menanggung kos hidup yang tinggi.
Katanya, kerajaan Selangor menentang sebarang amalan urus-tadbir korporat yang berat sebelah di mana keuntungan diswastakan sementara kerugian dihakmilikkan negara dan ditanggung oleh rakyat dan pembayar cukai.
Cadangan ini dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataannya hari ini.
Kerajaan negeri, kata Khalid, telah mencadangkan kepada LLM supaya satu klausa keluar (exit clause) dimasukkan dalam kesemua perjanjian konsesi lebuhraya bertol iaitu berkaitan dengan “construction profit” dan “equity return”.
Klausa ini akan membolehkan perjanjian konsesi ditamatkan lebih awal dari masa yang ditetapkan apabila syarikat mencapai sasaran keuntungan (projected profit) lebih awal.
"Apabila ini berlaku kutipan tol harus diberhentikan dan lebuh raya berkenaan perlu dikembalikan kepada pengurusan kerajaan," kata Khalid.
Apa yang berlaku pada masa lalu apabila syarikat konsesi terus dibenarkan mengutip tol walaupun syarikat konsesi telah pun mengaut keuntungan.
Penswastaan lebuh raya tidak boleh dibuat semata-mata memberi keuntungan mudah kepada syarikat konsesi di atas kos perbelanjaan rakyat, katanya.
Dalam kenyataan ini juga, Khalid memaklumkan, kerajaan negeri telah diberi penerangan tentang cadangan pembinaan Lebuh raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).
Secara prinsipnya, kata beliau, kerajaan negeri bersetuju dengan projek infrastruktur itu kerana ia akan membawa impak positif kepada pembangunan ekonomi negeri Selangor.
Walaubagaimanapun, katanya, kerajaan negeri telah mengingatkan LLM bahawa perjanjian konsesi untuk kutipan tol di Lebuhraya SUKE perlu adil kepada rakyat dan syarikat konsesi yang dipilih dan tidak boleh berat sebelah yang hanya memberi manfaat kepada syarikat konsesi serta kadar tol yang munasabah.
Menurut Khalid, oleh kerana Kerajaan Persekutuan ‘underwrite’ aliran tunai bagi projek ini,
Walaupun Kerajaan Negeri menyokong usaha-usaha merangsang pertumbuhan ekonomi, ia perlu dilakukan tanpa menambah beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sekarang ini terpaksa menanggung kos hidup yang tinggi.
Katanya, kerajaan Selangor menentang sebarang amalan urus-tadbir korporat yang berat sebelah di mana keuntungan diswastakan sementara kerugian dihakmilikkan negara dan ditanggung oleh rakyat dan pembayar cukai.
Sumber HD : 2/05/2012
No comments:
Post a Comment