Jangan ada 'musang berbulu ayam' dalam PAS |
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my |
PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai hala tuju yang sangat jelas, iaitu ia bersama dengan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13, sekali gus menawan Putrajaya. Sebagai sebuah parti yang banyak pengalaman dan tersohor sebagai sebuah organisasi yang berdisiplin, PAS sepanjang 60 tahun penubuhannya, juga tidak sunyi daripada elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan matlamat perjuangannya. Tidak harus dinafikan, setiap parti ada kelemahannya yang tersendiri. Sama ada ia dari kalangan BN atau Pakatan Rakyat. Dalam konteks PAS, ia harus melihat jauh ke hadapan, supaya pasca 60 tahun ke hadapannya, tidak wujud sebarang elemen yang boleh menjejaskan hasratnya menguasai Putrajaya bersama Pakatan Rakyat. Elemen-elemen negatif sebegini, harus diperhati dan diperhalusi. Bukan bertujuan untuk mencari salah sesiapa, bukan juga untuk bersangka buruk dengan sesiapa, tetapi kita harus bertegas dalam mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan individu yang bergelar pemimpin. Untuk itu PAS harus lebih berhati-hati. Jangan sampai akibat kelemahan kepimpinannya, keyakinan rakyat akan terjejas. Sebarang elemen yang tidak baik, harus ditangani sebaiknya. Keyakinan rakyat terhadap PAS, selain daripada kekuatan kepimpinannya, kadang-kadang dibentuk oleh persepsi. Persepsi yang bagaimana rakyat melihat PAS. Jika ada unsur atau elemen yang negatif, maka ia akan mencetuskan persepsi negatif rakyat terhadap kepimpinan dan kepada PAS sendiri. Justeru, pada Sambutan ulangtahun ke-60 PAS yang diadakan di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang berlangsung dengan jayanya 1 Oktober lepas, PAS harus kelihatan bersih dan sentiasa bersih, sebagai parti yang bakal menggalas amanah besar rakyat pada PRU ke-13 nanti. Bagi mengingatkan rakyat tentang peranan PAS di persada politik negara selama 60 tahun, aturcara padat diatur penganjur, bermula sejak 30 September sehingga majlis penutupnya pada malam 1 Oktober 2011. Dengan Kongres 60 tahun diadakan pada siang hari, pelbagai pameran, pelancaran dan diskusi serta pengkisahan sejarah diatur oleh penganjur. Pada malam terakhir, seluruh kawasan persekitaran Dewan Milenium penuh sesak dengan pelbagai kenderaan. Khabarnya lebih 20 ribu penyokong PAS membanjiri dewan yang hanya boleh memenuhi sekitar 3 ribu orang sahaja. Apa pun pada pengamatan saya, walaupun sambutan hebat ditunjukkan rakyat, namun jumlah sekitar 20 atau 30 ribu tidak menunjukkan kekuatan sebenar PAS. Kekuatan PAS bukan hanya ditahap itu sahaja. Itu pun yang hadir sewaktu ceramah, sedangkan pada waktu lain hanya sekitar 3 ribu orang sahaja yang memenuhi Dewan Milenium. PAS adalah sebuah parti yang amat besar. Keahliannya mencapai sejuta umat. Kita mungkin tidak memerlukan sejuta umat membanjiri Kepala Batas, cukup sekadar 5 peratus atau 50 ribu ahli dan penyokong hadir sudah memadai. Justeru mengapa kehadiran ahli dan penyokong tidak seramai yang diharapkan? Ada banyak jawapan diberikan. Antaranya tidak penganjur tidak cukup masa untuk mempromosikan majlis, ada juga yang mengatakan iklan-iklan yang berbentuk poster atau kain pemidang tidak banyak diletakkan di seluruh negara, atau pun sekurang-kurangnya di seluruh Pulau Pinang. Saya berniat tidak untuk menyalahkan penganjur. Barangkali kain pemidang atau iklan dalam Harakah tidak banyak. Ianya bukan soal iklan dan promosi, ianya adalah soal kesedaran dan komitmen kita semua, dari kalangan pucuk kepimpinan sehingga ke penyokong di peringkat bawahan. Sewaktu kami duduk di meja khusus yang ditempatkan untuk wartawan, ada wartawan media arus perdana yang datang dari Kuala Lumpur, bertanya mengapa di atas pentas utama, AJK PAS Pusat tidak penuh walaupun dewan penuh dengan ahli dan penyokong? Beliau menyebutkan beberapa nama kepada saya, yang saya fikir tidak wajar ditulis dalam ruangan ini. Namun, sekali imbas, ada logiknya soalan beliau, mengapa dalam event yang sebegini penting, tidak semua pemimpin tertinggi PAS yang hadir. Beliau mengajukan soalan lagi,"Saya selalu buat liputan ke mesyuarat PAS Pusat, saya lihat ******* dan ******** selalu tidak hadir, mengapa ya? "Adakah wujud masalah dalam PAS sehingga orang-orang ini tidak hadir mesyuarat dan event besar sebegini?" soalnya mengorek rahsia. "Ya betul, kita orang pun selalu tunggu mahu minta statement dia..selalu dia tak ada," sampuk seorang wartawan media berbahasa Cina. Mungkin kita boleh beri alasan simplistik. Pemimpin itu tidak hadir kerana sibuk dengan urusan. Habis, pemimpin lain yang lebih besar tidak banyak urusan. Jika Mursyidul Am dan Presiden PAS, orang yang paling sibuk dan padat jadual mereka boleh hadir, mengapa orang lain tidak boleh atur jadual mereka untuk menghadiri mesyuarat parti atau Kongres 60 tahun yang penting ini? Dalam perbualan tersebut, banyak 'soalan-soalan maut' yang ditanya, tetapi tidak dijawab secara verbatim. Semua persoalan yang diajukan menunjukkan bahawa PAS dan pemimpin-pemimpinnya diperhatikan. Kelibat mereka senantiasa menimbulkan pelbagai persepsi. Malah sewaktu berada di Kongres, ada kalangan hadirin mendapat SMS mengatakan pada waktu yang sama ada kalangan pemimpin PAS yang sembang santai dengan pemimpin Umno di sebuah restoran Arab di Kuala Lumpur. Kita boleh cipta pelbagai alasan, barangkali si fulan itu sibuk dengan program potfolio atau lujnah yang dipegangnya. Justeru ditanya balik, tidakkah boleh jenguk sekejap ke Kepala Batas? Sesibuk Mursyidul Am dan Presiden PAS, hingga penuh masanya bersama rakyat siang dan malam, pun sempat hadir, tak kan anda pemimpin bawahan, lebih sibuk daripada mereka. Okay lah, kita bagi excuse, kononnya acara yang membabitkan majlis dengan pemimpin Umno sudah diatur lama, maka ianya tidak dapat dielakkan. Ditanya kembali, mengapa tiap-tiap bulan anda tidak hadir mesyuarat? Mengapa banyak event besar PAS, tidak juga anda hadiri? Juga harus ditanya, misalnya, mengapa anda sering bertemu, minum kopi, bersantai dengan pemimpin Umno, menteri dan sebagainya? Lebih kerap bertemu mereka daripada menemui atau bergaul dengan pemimpin ada ahli PAS? Dalam dunia tanpa sempadan ini bagaimana kita hendak nafi. Sekali dua boleh kita kata orang fitnah atau sebar SMS palsu. Tapi kalau dah masuk berpuluh kali, bagaimana? Ini yang bahayanya. Ini yang harus dielakkan oleh PAS, selepas 60 tahun ia wujud dalam negara. Ia harus mempunyai pemimpin yang bersih dan kelihatan bersih. Persepsi negatif sebegini boleh menjejaskan PAS dalam jangka panjang jika tidak ditangani dengan baik. Saya tidak berniat hendak memburuk-burukkan sesiapa atau mencetuskan isu dengan mengandaikan sesuatu berdasarkan tohmahan. Anggaplah tulisan ini sebagai muhasabah supaya elemen picisan yang menjejaskan PAS yang timbul daripada orang seperti Tan Sri Dato' Mohd Asri Muda, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad dan Abdul Malek Hussin tidak berulang lagi.
Allahyarham Tan Sri Dato' Asri Muda - Mantan YDP PAS
Ustaz Nakhaei Hj Ahmad - Mantan Naib YDP PAS
Sdr Abdul Malek Hussin - Bekas Pengerusi Mafrel
Mereka ini keluar daripada PAS dengan cara yang kotor, walaupun mereka tidak menjejaskan PAS, namun mereka adalah termasuk di kalangan pencatat sejarah buruk 60 tahun PAS. Jangan sesekali PAS benarkan sejarah ini berulang. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/mohd-rashidi-hasana/5835-jangan-ada-musang-berbulu-ayam-dalam-pas
Pensyarah, Umno resah manifesto PAS T’ganu |
Harakahdaily |
KUALA TERENGGANU, 18 Okt: Pemimpin Umno BN termasuk ahli akademik menjadi resah apabila PAS Terengganu melancarkan manifesto Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) dengan tema ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’, Sabtu lepas. Lima perkara dari kandungan manifesto yang dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno, PR Ganti BN itu seperti berikut: 1. Melaksanakan pengecualian cukai kediaman 2. Menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN 3. Cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami 4. Menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh 3 tahun, dan 5. Merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas rakyat miskin “Manifesto ini amat menyentuh kepentingan rakyat Terengganu yang berada di dalam keadaan yang dhaif kerana pengagihan kekayaan yang tidak adil selama ini,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Tiba-tiba, katanya Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Pensyarah Kanan Bahagian Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan berkata, manifesto itu hanya bersifat populis, yang tidak mengambil kira kesan selepas pelaksanaannya dengan janji untuk menghapuskan cukai. Soalnya, bagaimana dua pensyarah yang berada di Pusat Pengajian Tinggi memberi kenyataan yang tidak mempunyai fakta yang kukuh sedangkan PAS pernah memerintah Terengganu pada tahun 1999-2004 ianya terbukti dan teruji. “Kenapa mereka berdua mengeluarkan kenyataan seolah-olah rakyat akan menderita jika PAS kembali berkuasa di Terengganu?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Menurutnya, jika hendak mengampu janganlah memalukan dunia akademik kerana hendak mencari keuntungan dunia yang tidak seberapa. Katanya, sebagai ahli akademik sepatutnya boleh melihat kembali pencapaian PAS mengurus kerajaan Trengganu ketika memerintah suatu ketika dahulu. “Bukankah Terengganu di bawah PAS telah menunjukkan pencapaian yang baik walaupun sebahagian besar pendapatan kerajaan negeri hilang apabila royalti ditarik?” tanya beliau lagi. Namun, jelasnya PAS berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada nombor dua kepada nombor empat tetapi selepas PAS tewas, Terengganu kembali miskin di tempat kedua. Justeru, ujarnya kenapa PAS mampu mentadbir walaupun royalti minyak dirompak, jawapannya pemimpin PAS menjalankan tugas dengan amanah, adil tanpa mengira ideologi politik. Soalnya lagi, apakah kedua-dua pensyarah itu menganggap pencapaian BN yang memerintah negeri itu adalah pemerintahan yang terbaik sehingga Terengganu hari ini digelar sebagai ‘Negeri Runtuh’. Katanya, kenapa mereka tidak komen mengenai stadium di Gong Badak yang berharga RM292 juta runtuh dan kos hendak membaikinya RM25 juta, bumbung Masjid Batu Putih, Kemaman RM2.1 juta runtuh, perhentian bas Kuala Berang yang berharga RM4.2 juta runtuh setelah 80% siap, kolam renang di Batu Buruk berharga RM18 juta rosak setelah setahun digunakan. “Kenapa mereka tidak pertikai kenapa Terengganu masih lagi miskin walaupun ada hasil minyak?” soalnya. Beliau berkata, mungkin mereka berdua tidak nampak kerana mata mereka ‘terlalu biru’ sehingga tidak mampu untuk melihat data dan fakta. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6030-pensyarah-umno-resah-manifesto-pas-tganu
70 ahli Umno Kelantan masuk PAS |
Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 22 Okt: Seramai 70 orang ahli Umno di Kelantan telah mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyertai PAS, semalam. Borang keahlian PAS mereka diserahkan sendiri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada satu majlis di Kota Bharu, semalam. Menurut Nik Abdul Aziz, kesemua mereka adalah bekas ahli-ahli Umno di kawasan Kota Bharu, manakala kemasukan mereka ke dalam PAS pula melambangkan perjuangan PAS sudah semakin difahami oleh orang ramai. Katanya, sebelum ini sudah banyak ahli-ahli Umno di Kelantan menyokong PAS, tetapi sebahagian daripadanya berbuat demikian secara sembunyi-sembunyi. "Perjuangan PAS adalah perjuangan yang benar yang mewarisi perjuangan Nabi Muhammad saw. Umno sendiri tahu kebenaran perjuangan PAS. "Tentangan mereka terhadap PAS bukan kerana perjuangan PAS tidak betul, tetapi kerana kedegilan mereka sendiri untuk menerima kebenaran," katanya ketika merasmikan Persidangan ICT 2011 Media Baru "Revolusi Teknologi Maklumat Menghadapi PRU Ke-13" di Dewan Datuk Fadhil Noor di Taman Melewar, di sini, hari ini. Berucap pada Seminar anjuran Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat itu, beliau berkata, realiti itu samalah juga dengan tentangan orang-orang kafir terhdap Islam yang bukannya kerana mereka tidak tahu dengan kebenaran Islam, tetapi kerana kedegilan mereka sendiri untuk menerima kebenaran. Katanya, itulah juga sikap yang ditunjukkan oleh Abu Jahal terhadap Islam ketika hayat Rasulullah saw dulu, namun ia tetap tidak melemahkan perjuangan Islam seperti yang telah ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah saw. "Setiap ahli PAS perlu faham perkara itu. Jadi, kita mestilah sentiasa bersedia menjawab segala persoalan dan segala bentuk tentangan yang ditimbulkan oleh mereka atau pihak Umno dengan baik dengan ilmu yang kita miliki," katanya. Dalam konteks media baru, menurutnya, tugas tersebut amat perlu dilaksanakan dengan baik dan berkesan oleh para penulis, bloger-bloger yang menyokong perjuangan PAS dan mereka yang bertugas di bahagian penerangan. "Setiap jawapan yang kita berikan dalam bentuk penulisan dan termasuklah juga dalam ceramah-ceramah mestilah berasaskan "Al-haq" atau kebenaran iaitu menyebarkan maklumat yang benar sahaja," katanya yang juga Mursyidul Am PAS. Mengambil contoh pentadbirannya di Kelantan sejak PAS memerintah negeri itu, beliau telah melakukan banyak perubahan ke arah yang lebih islamik berbanding semasa Kelantan berada di bawah pemerintah BN dulu. "Sebaik memerintah Kelantan, saya telah mengarahkan kesemua wang kerajaan dipindahkan ke dalam sistem perekonomian Islam untuk mengelakkan terjebak dengan riba. "Walaupun pada awalnya dipersoalkan oleh beberapa pihak, tetapi apabila kita jelaskan dengan betul dan kena caranya, akhirnya mereka sendiri dapat memahaminya dan dapat menerima tindakan kita itu dengan baik," katanya. Selain itu, beliau juga turut memperkenalkan cuti 2 hari seminggu bagi setiap kakitangan kerajaan di Kelantan yang juga turut ditentang oleh Umno dengan pelbagai dakwaan, termasuk mengatakan beliau mengajar dan mendorong rakyat menjadi malas. "Tetapi akhirnya langkah yang baik dan turut memberikan keadilan kepada para pegawai atau kakitangan kerajaan itu juga turut ditiru oleh Umno," tegasnya. Sejak memerintah Kelantan, beliau juga turut mengajar Al-Quran dan menjadi imam solat yang kesemua itu tidak dilakukan oleh pemimpin Umno semasa memerintah negeri itu. "Maknanya, apabila menjadi ketua kerajaan, kita tak boleh hanya melakukan kerja-kerja pentadbiran sahaja. Sebaliknya kesemua perkara yang dibuat oleh Nabi Muhammad saw mestilah kita lakukan termasuk dalam persoalan memimpin rohani rakyat," katanya. Menurutnya, pada bulan Ramadhan pula, Kerajaan PAS Kelantan turut berusaha menyedarkan orang ramai dengan tidak memanggil bulan Ramadhan sebagai bulan puasa, tetapi bulan Ramadhan. Dengan itu, katanya, falsafah bulan Ramadhan akan berjaya diserapkan ke dalam hati orang ramai dengan lebih berkesan dengan tidak hanya melaksanakan ibadah solat dan puasa sahaja pada bulan Ramadhan, tetapi diperkembangkan dengan majlis-majlis ilmu, memperbanyakan bacaan al-Quran, memperbanyakkan amalan-amalan baik dan berzikir. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6134-70-ahli-umno-kelantan-masuk-pas
Akta Perhimpunan Aman percepat ajal Umno BN |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 22 Nov: Lajnah Undang-Undang Guaman dan PAS Pusat memandang serius tindakan Kerajaan Barisan Nasional membentangkan rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menggantikan Akta Polis 1967. AJK PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin (gambar) berkata, setelah meneliti beberapa peruntukkan di dalam rang undang-undang tersebut, mana-mana orang yang waras pemikirannya akan dengan mudah memahami ia adalah akta yang bersifat mencegah atau melarang sama sekali sebarang perhimpunan di negara ini. Menurutnya, menamakan rang undang-undang itu dengan Akta Perhimpunan Aman dalam keadaan akta tersebut hakikatnya melarang sama sekali sebarang perhimpunan adalah jelas satu lagi siri penipuan Kerajaan BN Umno dan Datuk Seri Najib ke atas rakyat. Ujarnya, Akta Perhimpunan Aman sepatutnya memudahkan perhimpunan aman bukan menyusahkan perhimpunan aman. Beliau berkata, jika Akta Polis 1967 khususnya seksyen 27 dan 27A sudah bersifat ‘draconian dan zalim, akta yang ingin digubal itu beribu-ribu kali lebih zalim daripada Akta Polis yang ingin diganti. Katanya, hanya kerajaan zalim seperti Umno sahaja berupaya terfikir untuk menggubal akta sezalim itu. “Sebagai peguam dan AJK PAS Pusat, saya akan mengusulkan kepada pihak PAS untuk mencabar rang undang-undang ini di mahkamah supaya ianya tidak akan dimuktamadkan sebagai akta. “Pada hari ini kami peguam PAS akan melancarkan secara rasmi ‘perang’ ke atas akta zalim ini melalui saluran undang-undang yang sedia ada,” tegasnya. Pada masa ini, beliau berpendapat rang undang-undang itu adalah secara jelas unconstitutional kerana ianya bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya, meskipun Perkara 10 membenarkan sebarang akta digubal oleh Parlimen untuk menghadkan perlaksanaan hak berhimpun namun had tersebut tidak boleh sama sekali sampai ke tahap menghapuskan sama sekali hak rakyat kepada perhimpunan aman. Tambahnya, secara jelas akta yang ingin digubal mempunyai motif sebegitu. “Pengalaman saya mengendalikan banyak kes yang melibatkan tuduhan perhimpunan haram khususnya yang melibatkan ahli dan pemimpin PAS menunjukkan bahawa akta ini digubal sebagai manifestasi kekecewaan pihak Kerajaan melalui Peguam Negara yang acap kali tewas di dalam kes-kes yang melibatkan tuduhan perhimpunan haram,” ujarnya. Katanya, amat malang Peguam Negara dan Kerajaan Umno BN tidak menunjukkan sebarang perubahan yang positif di dalam rekodnya yang sedia buruk dalam isu pencerobohan hak asasi khususnya dalam isu perhimpunan aman. Baginya, akta yang ingin diluluskan di Parlimen itu memburukkan lagi wajah buruk Kerajaan BN dan Peguam Negara. “Apa pun percayalah akta ini akan mempercepatkan lagi ajal Kerajaan Umno BN insya Allah,” ujarnya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/6648-akta-perhimpunan-aman-percepat-ajal-umno-bn
PRU 13 untuk anak muda |
Mohd Afif Rabbani Abdullah |
Apa khabar Malaysia? Semoga kita semua terus maju dan berpadu dalam memacu negara ini ke arah masa depan yang lebih cemerlang. PRU-13: Overview PRU-13 semakin hampir.Gendang sudah dipalu.Strategi sudah diatur.Semangat dan motivasi sudah mula dipupuk. Setiap pihak, sama ada BN ataupun PR, semakin rancak dan bersemangat merencana gerak kerja awal bagi menghadapi perlawanan genting itu nanti. Masing-masing sudah memasang target dan matlamat tersendiri, BN pasti ingin mempertahankan kemanangan dan PR pula pasti berusaha mencipta sejarah menerajui kepimpinan negara buat julung kalinya. Itulah matlamat mereka, yang pasti akan dilaksanakan oleh jentera masing-masing. PRU-13 dikatakan bakal berlangsung dengan penuh sengit dan hangat. Banyak analisa awal yang telah dibuat oleh para penganalisis politik berkenaan gambaran awal dan juga kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku pada PRU-13 nanti. Apa yang pasti, PRU-13 bakal menjadi satu pilihanraya yang akan menentukan status kedudukan parti-parti yang bertanding, samada ia masih mendapat sokongan dan kepercayaan daripada rakyat ataupun sebaliknya. Jika keputusan PRU-12 dahulu dikatakan satu sejarah baru dalam arena politik negara, penulis merasakan tidak mustahil akan tercipta satu lagi sejarah baru pada PRU-13 nanti. Dengan pelbagai peristiwa yang mewarnai pasca PRU-12 yang lepas sehinggalah ke saat ini, pasti satu lagi anjakan baru akan berlaku pada PRU-13 ini. Kedua-dua pihak, BN mahupun PR diselubungi dengan pelbagai isu dan krisis yang sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada graf dan corak undian kelak. Pasti semua itu akan dinilai dan diperhalusi oleh para pengundi dalam menentukan calon mahupun parti yang akan menjadi pilihan mereka nanti. PRU-13 dan anak muda Dalam setiap pilihanraya, pengundi adalah elemen yang paling penting dalam menentukan keberjayaan sesuatu pilhanraya itu. Ya, merekalah yang bakal memberikan kepada setiap calon yang bertanding tanda "X" sebagai tanda sokongan dan persetujuan mereka kepada calon tersebut untuk menjadi wakil kepada mereka di dewan negeri mahupun di dewan rakyat nanti. Sudah pasti, para pengundi ini akan dipancing oleh pihak yang bertanding dengan pelbagai 'umpan' untuk memilih mereka. Pilihanraya kali ini bakal menyaksikan ANAK MUDA menjadi sasaran utama parti-parti yang bertanding. Jika dilihat pada PRU-12 yang lepas, ANAK MUDA sebenarnya sudah memainkan peranan yang besar dalam melakar sejarah pada pilihanraya itu. Ini kerana, antara faktor kemenangan PR pada ketika itu ialah kemampuan mereka menguasai undi daripada anak muda. Namun pada kali ini, semua parti sudah mula sedar akan nilai undi seorang anak muda dalam memastikan kemenangan calon mereka. Jika dirujuk kepada angka terbaru pengundi muda yang didaftarkan oleh parti-parti politik, ia dengan jelas menunjukkan bahawa semua pihak memandang serius akan undi daripada golongan muda. Ini jelas lagi dibuktikan dengan isu sampingan seperti isu kebenaran mahasiswa berpolitik dan juga isu calon muda yang pasti ada perkaitannya dengan anak muda. PAS telah melancarkan kempen 'Orang Muda Geng Kito', manakala BN pula dengan tema 'BN Pilihan Orang Muda' dalam usaha memikat hati orang muda untuk mengundi mereka. Parti lain juga dilihat tidak ketinggalan dalam mendampingi golongan ini dengan pelbagai program yang disasarkan kepada anak muda telah dijalankan. YA, anak muda bakal menjadi PERMATA dan EMAS dalam PRU-13 nanti.Seharusnya, peluang ini perlu dipergunakan dengan sebijaknya oleh para pengundi muda dalam menentukan hala tuju pemerintahan negara untuk tempoh sekurang-kurangnya 4-5 tahun yang mendatang. Untuk itu, anak muda perlulah bersedia dari segenap sudut kerana sudah pasti mereka akan dihidangkan dengan pelbagai janji mahupun tawaran oleh kedua-dua pihak dalam usaha mendapatkan undi muda. Justeru, penulis ingin berkongsikan beberapa TUNJANG yang seharusnya menjadi asas kepada anak muda dalam menentukan aliran undi mereka nanti. Jauhkan undi sentimen dan warisan Kenapa penulis meletakkan perkara di atas sebagai salah satu isu yang perlu difahami dan dinilai oleh semua anak muda? Pada pemerhatian penulis, anak muda yang tidak terlibat secara lansung dengan mana-mana parti politik biasanya akan mengikut undi keluarga dalam memilih calon. Contohnya, jika keluarga itu kuat UMNO, maka anak akan turut mengundi UMNO. Inilah yang dikatakan sebagai undi sentimen dan warisan. Anak muda seharusnya mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan budaya undi sebegini. Mereka perlu sedar bahawa undi itu adalah hak dan milik mereka dan seharusnya mereka mencari dengan sendiri arah undi yang akan mereka berikan nanti. Anak muda juga perlu berani untuk membuat pilihan sendiri, walaupun pilihan itu mungkin bertentangan dengan pilihan keluarga mahupun masyarakat setempat.Inilah nilai satu undi anak muda, penuh dengan kebijaksanaan dan ketelusan. Pilihlah dengan intelek dan berfakta Nilaian satu undi itu sangat berharga dan bermakna sekali. Justeru, pemberian undi itu perlulah berdasarkan fakta dan intelek yang jelas dan tepat agar ia diberikan kepada yang selayaknya. Sesuai dengan keadaan anak muda yang semakin bijak dan bermaklumat pada masa kita, fakta dan akal perlulah menjadi satu ukuran kepada para anak muda dalam menentukan siapakah yang bakal mereka undi kelak.Mereka perlulah membuat perbandingan yang adil dan saksama terhadap segala tawaran daripada setiap calon dan parti yang bertanding. Dengan perkembangan teknologi yang pesat, anak muda bolehlah mengambil peluang ini untuk mencari seberapa banyak maklumat daripada pelbagai sumber dan seterusnya menilai dengan sendiri. Anak muda tidak boleh sekadar mendengar daripada para pekerja parti sahaja, kerana sudah tentu mereka akan hanya menceritakan perkara yang memihak dan memberi pulangan kepada parti mereka sahaja. Anak muda juga perlulah bersifat terbuka dan berlapang dada untuk membincangkan segala isu mahupun tawaran-tawaran yang diberikan oleh semua parti dengan golongan sebaya. Capahkan minda dan pemikiran anda dengan berkongsi maklumat dan bertukar pandangan dengan golongan sebaya. Ini sudah pasti akan memberikan skop maklumat dan pengetahuan yang lebih besar dan seterusnya membantu para anak muda untuk membuat penilaian dan pilihan yang sewajarnya. Bukan sekadar mampu tapi telus memimpin Selain itu, anak muda juga perlu sedar bahawa setiap parti samada BN ataupun PR telah membuktikan kemampuan masing-masing dalam memimpin. BN telah membuktikannya semenjak merdeka, PAS telah membuktikannya di Kelantan, begitu juga dengan PKR dan DAP di Selangor dan Pulau Pinang. Penulis yakin, kesemua parti mampu menyediakan calon yang berkelayakan untuk memimpin dan mengurus tadbir negeri mahupun negara jika diamanahkan dengan kepimpinan ini. Walaupun begitu, dalam suasana sekarang, anak muda bukan lagi membutuhkan mereka yang tahu memimpin, namun apa yang terlebih penting sekarang ialah kita memerlukan calon yang TELUS dan AMANAH dengan jawatan wakil rakyat ini. KETELUSAN dalam pentadbiran amat penting bagi memastikan rakyat menikmati secara adil dan saksama segala hasil dan pendapatan negara. Pihak yang mampu menyediakan calon yang TAHU MENTADBIR dan juga TELUS sepatutnya menjadi pilihan anak muda. Pilihan untuk masa depan Ramai penganalisis politik yang menyatakan bahawa PRU-13 bakal menentukan arah tuju masa depan Negara, samada Malaysia mampu menjadi lebih baik, atau semakin mundur atau berada pada tahap yang sama. Anak muda perlu ingat bahawa masa depan itu adalah mereka, dan undi merekalah yang bakal menentukan masa depan mereka. Dalam membuat penilaian dan pemilihan, anak muda sewajarnya memandang untuk tempoh 10 tahun mendatang dengan membayangkan pelbagai kemajuan dan cabaran. Dengan pelbagai isu dan masalah yang melanda negara pada ketika ini, satu masa depan yang lebih cerah dan gemilang menjadi impian anak muda kini. Pilihlah mereka yang mampu berkhidmat untuk mencapai impian ini. Bukan sekadar undi Ya, undian anak muda itu tersangatlah penting dan ia bakal menjadi pemisah antara yang menang dan kalah. Namun begitu, anak muda perlu ingat bahawa tidak cukup bagi mereka untuk sekadar memberikan undi kepada calon semata-mata, tanpa anda sumbangan lain sebelum dan selepas proses pengundian itu. Apa yang penulis maksudkan ialah anak muda perlulah memperjuangkan undi mereka itu. Jika mereka yakin dengan seseorang calon dan percaya ia adalah pilihan yang tepat berdasarkan pemerhatian dan penelitian yang jitu, anak muda perlu berusaha untuk memenangkan calon itu. Maksudnya, anak muda perlulah turut sama-sama berkempen dan mempromosikan calon itu agar mendapat sokongan daripada masyarakat setempat. Tunjuklah cara dan kaedah kempen yang terbaik lagi berhemah. Ketepikan sentimen benci-membenci, saling mengata mahupun memfitnah calon lain. Fokuslah kepada menyampaikan tawaran yang diberikan dan meyakinkan rakyat untuk turut sama-sama memilih calon pilihan anda itu. Berhujjahlah dengan fakta dan maklumat yang benar. Jika calon pilihan anda itu menang, maka menjadi tanggungjawab anda juga untuk sama-sama bekerja dan membantu calon pilihan anda itu.Janganlah lepas tangan dan sekadar datang meminta semata-mata tanpa menunjukkan sebarang rasa ingin tolong dan bekerjasama dengan calon itu. Ingatlah, mungkin anda kelak yang bakal mengganti tempat YB itu. Siapa tahu! Akhir kalam: Undilah Keluarlah mengundi kelak.Ia adalah hak dan tanggungjawab anda. Tidak berguna jika anak muda hanya tahu mengkritik dan menuduh sahaja, tanpa ada usaha yang lebih jitu untuk memperbaiki keadaan yang rosak itu. Jika anda merasakan perlu satu transformasi dan reformasi, maka gunakanlah UNDI itu untuk menyatakan agenda tersebut. Berikanlah undi anda kepada yang selayaknya. UNDILAH untuk masa depan anak muda yang lebih bersinar. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/6859-pru-13-untuk-anak-muda
Mujahid: PAS ganti Umno dan Mohamad Sabu |
Mujahid Yusof Rawa |
Program PAS Ganti UMNO (PGU) telahpun dilancarkan awal tahun ini. Ia merupakan satu slogan bagi meyakini orang ramai bahawa ketiadaan UMNO sebagai parti dominon bukanlah bererti orang Melayu hilang arah kerana PAS akan tampil untuk mengambil alih kepimpinan dan politik orang Melayu. Ini bersandarkan kepada realiti bahawa PAS adalah merupakan parti komponen PR yang terbesar berpandukan kepada keahlian, jentera dan pengalaman. Saya boleh bersetuju PGU dalam konteks pengambilalihan kepimpinan politik Melayu tapi awas! Kalau ganti itu membawa makna PAS akan ganti "perangai" UMNO di tampuk pemerintahan, saya akan menolak slogan PGU. Itulah yang diluahkan oleh Timbalan Presiden PAS dalam ucapannya yang disiarkan dalam MerdekaReview pada 5 Disember 2011, ditulis oleh Lim Hong Siang. Jangan Ganti Perangai UMNO Perangai buruk UMNO sebagai parti yang memerintah kerajaan persekutuan hari ini boleh disimpulkan dalam satu permasalahan yang dinamakan sebagai isu integriti. Persoalan ini menghantui UMNO dan mendapat persepsi yang buruk di kalangan rakyat. Apakah PAS ganti UMNO untuk rakyat nanti menyaksikan pemimpin PAS hidup mewah di luar kemampuannya? Ataukah bakal-bakal Menteri dalam kabinet Pakatan nanti khususnya PAS akan mengulangi "perangai" minta komisyen atau salahguna kuasa yang ada? Itukah maksud PGU? Persoalan ini membimbangkan Timbalan Presiden PAS itu. Islam dan Muslimin Mohamad bin Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu melontarkan satu ide tentang bagaimana Barat lebih dilihat Islamik dari sudut tatacara kelola kewangan negara, ketelusan dan integriti sebuah kerajaan dan hak asasi manusia. Saya teringat akan kata-kata ulamak Islam Syeikh Muhamad Abduh (1849-1905) ketika dia melawat Eropah dia mengkagumi kemajuan dan ketamadunan Eropah (Barat) yang nilainya sama dengan Islam. Dia berkata, "I went to the West and saw Islam, I got back to the East and saw Muslims but not Islam". Saya yakin Mat Sabu tidak berkata tanpa satu pengamatan dari susur galur kebangkitan Eropah dan zaman malap tamadun Islam. Apa yang malang dari kenyataan Mat Sabu ialah keadaan tidak berubah sejak ia diucapkan oleh Syeikh Muhammad Abduh kurun yang lampau. Tunjuk contoh dulu Saya memahami bahawa apa yang disebut oleh Timbalan Presiden PAS itu didasari oleh kebimbangan melihat masa depan PAS dan Pakatan Rakyat secara umum jikalau diberi amanah untuk memerintah. Ini adalah kerana tidak ada gunanya kita melaungkan reformasi atau islah jika kita gagal membuat perubahan dan membongkah akar umbi kebusukan yang akan ditinggalkan oleh regim lama BN. Kalau kita mengulangi kebusukan BN maka reformasi kita hanya kosmetik dan hanya tukar baju tapi dalam penuh dengan panau dan kurap. Saya berpendapat bahawa kenyataan Mat Sabu mewakili ramai dari rakyat yang mahukan perubahan yang tulen dan bukan palsu. Jalan sukar Berkenaan dengan Arab Spring Revolution yang menumbangkan kebusukan regim diktator dunia Arab, saya berpendapat perubahan regim yang berlaku akan mengalami jalan yang sukar dan berliku. Ini adalah kerana buat sekian lama dunia Arab bukan sahaja berada di bawah pemerintahan kuku besi tetapi kedudukan sosial dan strata masyarakat serta keadaan ekonomi membentuk satu cabaran yang besar kepada order baru seperti Tunisia, Mesir, Libya dan Syria. Pengajaran Pengalaman kebangkitan Arab mengajar kita untuk membuat lonjakan dalam melakar perubahan regim. Saya mencadangkan bagi mengukuhkan pandangan Mat Sabu (gambar kiri), lonjakan kita mesti melibatkan program kesedaran, pemodelan negeri Pakatan sebagai contoh dan reformasi parti-parti politik yang perlu dilihat telus dalam menyusun sistem organisasi parti. Parti-parti politik kita khususnya komponen Pakatan masih tidak menunjukkan kesungguhan mereformasi partinya dulu sebelum mampu mengemukakan reformasi politik. Mat Sabu saja yang tahu Adapun kenyataan Mat Sabu yang mengatakan golongan kiri dan liberal Barat lebih dilihat bersungguh mengamalkan integriti, ia adalah satu cabaran besar kepada parti Islam yang seharusnya mengungguli prinsip integriti berdasarkan prinsip moral yang dilaungkan. Apakah benar kebimbangan Mat Sabu itu, adakah benar dakwaan beberapa EXCO Kelantan tidak mencerminkan kehidupan sederhana yang dilaungkan oleh PAS? Saya tidak mempunyai jawapan, hanya Mat Sabu yang tahu apakah maksud yang tersirat daripada kenyataannya. Namun mengenali Mat Sabu, beliau adalah orang yang setia kepada parti dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan apabila memberi pandangan. Saya juga berpendapat Mat Sabu berada sebagai orang nombor dua parti Islam untuk menjalankan tugas mengocak air yang tenang supaya parti jangan berada di zon selesa. --------------------------------- Rencana asal disiarkan dalam Merdeka Review. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/7048-mujahid-pas-ganti-umno-dan-mohamad-sabu
Pemuda nasihat Hasan Ali jangan tinggal PAS |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 15 Dis: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan menggesa Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali agar tetap bersama PAS untuk memperjuangkan agama Islam tanpa perlu meninggalkan parti itu.
Ustaz Nasrudin Hassan AnTantawi - KPDPPP
Katanya, usaha Hasan yang mahu memperjuangkan Islam adalah sesuatu yang baik dan dituntut, namun biarlah perjuangan itu dilakukan bersama jemaah PAS. "Semalam Utusan tanya saya tentang agenda Dr Hasan nak perjuang Islam. Saya kata usaha itu sesuatu yang baik dan dituntut tapi pada masa sama beliau jangan larikan diri atau tinggalkan jemaah PAS," katanya kepada Harakahdaily Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk "Pemuda PAS sokong Hasan terus perjuang kepentingan Islam, Melayu walaupun digugur sebagai calon" yang memetik kenyataannya. Beliau berkata, laporan akhbar Umno itu kurang tepat kerana beliau tidak pernah mengiyakan soal Hasan digugurkan dari senarai calon pilihan raya seperti ditulis pada tajuk kecil laporan itu. Mengulas soal Hasan digugur atau sebaliknya itu, Nasruddin berkata isu tersebut tidak berbangkit kerana keputusan siapa menjadi calon hanya ditentukan oleh PAS Pusat. "Dia (Utusan) juga tanya saya soal kenyataan bahawa Hasan akan digugurkan sebagai calon. Saya kata soal calon ini hanya diputuskan oleh PAS Pusat. "Tidak timbul langsung soal gugur tak gugur sekarang ini sebab PAS pusat belum buat sebarang keputusan pun lagi," katanya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7068-pemuda-nasihat-hasan-ali-jangan-tinggal-pas
Nasharudin tidak pernah hadir mesyuarat - Mustafa |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 16 Sept: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, Ustaz Nasharudin Mat Isa tidak pernah datang ke mesyuarat PAS sejak muktamar yang lalu walaupun dilantik sebagai AJK PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS. Datuk Dr Hassan Ali pula hanya sesekali sahaja datang ke mesyuarat PAS Pusat tetapi tidak pernah datang ke mesyuarat PAS negeri selepas dilantik semula sebagai ahli perhubungan. Mustafa berkata demikian dalam wawancara khas dengan wartawan Harakah dan Harakahdaily semalam. Ekoran laporan mengenainya oleh Harakahdaily semalam, pelbagai pihak menghubungi Harakahdaily dan Mustafa untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Dalam wawancara itu, Mustafa melahirkan rasa kesal dengan kedua-dua pemimpin itu dan menyifatkan mereka sejak akhir-akhirnya terperangkap dalam agenda Umno. "Ingin saya dedahkan, dalam rekod di Pejabat Agung PAS Pusat dan Pejabat Perhubungan PAS Selangor, Nasharudin setelah tidak terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS, beliau telah dilantik sebagai AJK PAS Pusat yang dilantik, tetapi sepanjang masa selepas dilantik hingga kini, tidak ada sekalipun beliau menghadiri mesyuarat PAS Pusat. "Sementara Hassan Ali dari sudut di pusat kadang-kadang hadir kadang-kadang tidak, tetapi di peringkat Selangor, sekalipun beliau tidak hadir (mesyuarat). "Walaupun telah dinasihati supaya hadir dan saya sendiri menghubungi Nasharudin Mat Isa supaya datang mesyuarat walaupun sanggup awalnya (untuk hadir), tetapi akhirnya tidak hadir," beritahu Mustafa dalam wawancara khas itu. Ekoran beberapa tindakan dan kenyataan kedua-duanya sejak akhir-akhir ini Mustafa membuat kesimpulan mereka terperangkap dalam agenda musuh. "Jadi sebab itu saya buat kesimpulan berdasarkan maklumat yang saya terima dari pelbagai puhak samada sedar atau tidak kedua-dua mereka ini terperangkap dalam agenda musuh politik PAS, dan sebab itu ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS," katanya. Ikuti pelbagai isu lagi yang dibangkitkan melalui wawancara penuh dengan Mustafa dalam Harakah cetak Sabtu ini. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7088-nasharudin-tidak-pernah-hadir-mesyuarat-mustafa
Jauhi tuduh menuduh, sayangi sesama ahli |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 17 Dis: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) meminta agar semua ahli PAS tidak tuduh menuduh di antara satu sama lain sesama ahli jamaah. “Ini kerana kita sayang kepada semua ahli kita tanpa membezakan di antara satu sama lain,” katanya mengulas tentang perkembangan terkini yang berlaku dalam organisasi PAS seperti mana yang hangat diperkatakan oleh media arus perdana sejak mutakhir ini. Menurutnya, menyayangi sesama ahli adalah satu tanggungjawab syarie. “Dan kita hendaklah berusaha agar mereka tidak lari daripada ikatan jamaah Islam, usaha ke arah menyayangi mereka dan mengekalkan mereka dalam jamaah adalah satu yang wajib dilakukan dalam hidup berjamaah,” ujarnya yang juga Adun Manir, Terengganu. Tambahnya, ini adalah prinsip perjuangan PAS yang bersandarkan kepada ajaran Islam. “Kita telah berusaha sedaya upaya untuk mencari ahli, untuk menambahkan keahlian PAS, maka sudah tentu kita bertanggungjawab di sisi Allah untuk menjaga ahli dan menyayangi mereka sebagai ahli jamaah seperti mana yang terkandung dalam dalam prinsip perjuangan kita yang berdasarkan kepada tuntutan Islam,” tegas beliau lagi. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/7097-jauhi-tuduh-menuduh-sayangi-sesama-ahli
Berhemah tangani krisis, elak perang di media |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 18 Dis: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan mahu segala perbezaan pandangan dalam PAS diurus dengan berhemah bagi mengelakkan tercetusnya pertelagahan.
Ustaz Nasrudin Hassan AnTantawi - KPDPPP
"Masaalah dalaman organisasi atau jamaah kita janganlah didedah kepada media atau masyarakat umum justeru ia laksana membuka pekong di dada sendiri. "Berlapang dada dan ikhlas dari kesemua pihak yang ber"krisis" adalah asas penyelesaian masaalah yang dihadapi," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily. Tenang dan tidak cepat menghukum serta berlaku adil dan saksama kepada semua pihak pula katanya antara sikap yang perlu diambil sewaktu berdepan dengan situasi sebegini. Selain itu juga, beliau menasihatkan semua pihak merendahkan keegoan dan ketepikan kepentingan diri demi memudahkan segala krisis yang berlaku mencapai jalan penyelesaian terbaik. Prinsip 'Amal Islami' juga harus diutamakan dengan tidak mudah tunduk pada emosi dan juga desakan pihak luar yang tidak berhak mencampurinya. "Jaga jamaah bukan merosakkannya. Bina ukhuwwah bukan meruntuhkannya. Bimbing ahli yang bermasaalah bukan menghalaunya. "Sebagaimana kita gigih mengajak orang menyertai jamaah, maka kita juga mesti tekun berusaha untuk memastikan mereka tidak pula meninggalkan jamaah kita," katanya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7102-berhemah-tangani-krisis-elak-perang-di-media
Hasan, Nasharuddin terperangkap agenda Umno |
Wan Nordin dan Hazayani Zakaria |
Wawancara wakil Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB dan Harakahdaily HAZAYANI ZAKARIA bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di Pejabat Urusan Harakah pada 15 Disember lalu. WARTAWAN: Dua hari kebelakangan ini, dua bekas pemimpin PAS (Datuk Dr Hasan Mohd Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa) telah mengeluarkan kenyataan menghentam PAS dan membayangkan kononnya PAS lari daripada dasar Islam. Bagaimana pendirian PAS dan Datuk selaku Setiausaha Agung parti dalam hal ini? DATUK MUSTAFA ALI: Saya menerima maklumat laporan dari pelbagai pihak berkaitan dengan perjalanan parti termasuk tindakan pemimpin yang dirasakan tidak selari dengan hasrat dan aspirasi perjuangan PAS. Oleh kerana itu menjadi tanggungjawab saya memantau keadaan ini sepanjang masa. Ada pun isu yang berkaitan dengan Hasan Ali dan juga Ustaz Nasharuddin Mat Isa, bukan sehari dua sahaja saya pantau, tetapi sejak sekian lamanya perkembangan itu dan sejauh mana maklumat yang disampaikan kepada saya sama ada bertulis atau lisan juga melalui telefon, dan saya tidak buat apa-apa komen pada waktu saya mendapat maklumat itu, tetapi kini telah sampai masa saya menjelaskan apa yang dinyatakan oleh dua pemimpin ini. Dua pemimpin ini iaitu Datuk Hasan dan Nasharuddin telah menjadi AJK PAS sejak sekian lama. Hasan Ali sendiri pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor, pernah menjadi Naib Presiden PAS dan sementara Nasharuddin pula pernah menjadi Timbalan Presiden PAS sekain lama. Mereka berdua ini duduk dalam jawatankuasa PAS Pusat. Hasan sendiri selepas digugurkan daripada menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor, beliau dilantik semula menjadi AJK Perhubungan PAS Selangor, sementara Nasharuddin Mat Isa pula dilantik selaku AJK Pusat yang dilantik. Ingin saya dedahkan, dalam rekod di Pejabat Agung PAS Pusat dan Pejabat Perhubungan PAS Selangor, Nasharuddin setelah tidak terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS, beliau telah dilantik sebagai AJK PAS Pusat yang dilantik, tetapi sepanjang masa selepas dilantik hingga kini, tidak ada sekalipun beliau menghadiri mesyuarat AJK PAS Pusat. Sementara Hasan Ali dari sudut di pusat kadang-kadang hadir kadang-kadang tidak, tetapi di peringkat Selangor satu kali pun beliau tidak hadir (mesyuarat). Walaupun telah dinasihati supaya hadir dan saya sendiri menghubungi Nasharuddin Mat Isa supaya datang mesyuarat walaupun sanggup awalnya (untuk hadir), tetapi akhirnya tidak hadir. Sebagai seorang pemimpin tak bolehlah beliau tidak hadir kerana ini menjadi kewajipan setiap orang pimpinan (hadir mesyuarat). Memang berlaku dalam mana-mana parti politik atau gerakan Islam sekalipun, terkadang mereka rasa kecewa dengan apa yang berlaku terhadap diri mereka, tetapi jika mereka tidak hadir kerana kalah bertanding tak dipilih dan hanya dilantik ke jawatan rendah maka ini tidak wajar (berlaku). Ini boleh kita sebutkan sebagai bad looser orang yang tidak boleh terima realiti kekalahan walaupun dalam pemilihan yang sangat demokrasi. Bila individu ini kecewa dalam hal itu (jawatan) ia mudah terperangkap dengan perkaraperkara yang barangkali boleh sebabkan dia terheret dengan agenda yang boleh menjejaskan parti. Jadi sebab itu saya buat kesimpulan berdasarkan maklumat yang saya terima dari pelbagai pihak sama ada sedar atau tidak kedua-dua mereka ini terperangkap dalam agenda musuh politik PAS, dan sebab itu, ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS. Apakah ada agenda pihak tertentu menjatuhkan PAS dengan menggunakan mereka ini? Agenda untuk lemahkan dan rosakkan PAS, jadi ini kesimpulan berdasarkan maklumat yang saya terima. Saya ada maklumat yang banyak mengenai mereka, tetapi hari ini saya dedahkan sedikit. Katanya kes ini berpunca daripada kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip yang menyatakan hal pencalonan, apa pandangan Datuk? Memang betul Hasan Ali rujuk kenyataan Saari. Saya akui Saari tiada hak untuk sebutkan hal itu, ini bukan hal isu yang baharu. tetapi isu ini dibesarkan (dengan kenyataan balas Hasan) bagi merosakkan imej PAS. Saya tak nafi Saari tidak harus buat kenyataan itu tetapi dua pimpinan ini patutnya arif bahawa persoalan pilih calon (mewakili PAS) ini adalah hak PAS Pusat, tiada hak oleh negeri untuk buat (keputusan akhir). Walaupun pemilihan PAS demokratik dengan dengar kita mendengar suara akar umbi bagi memilih calon, namun saya mahu jelaskan di sini bagaimana prosedur pemilihan calon yang membuatkan PAS Pusat akhirnya membuat keputusan yang muktamad. Pertamanya Setiausaha Agung akan pinta negeri-negeri menyediakan nama-nama calon itu bagi setiap wakil Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen yang ditandingi paling kurang tiga orang. Sementara negeri pula dalam proses pilih calon akan ambil pandangan kawasan, dan kawasan ambil pandangan daripada cawangan. Proses itu bermula dari bawah, namun tidak semestinya orang yang tiada nama di kawasan tidak menjadi calon kerana tapisan akhir akan dibuat PAS Pusat. Ada berlaku keadaan di mana seseorang itu bukan memegang jawatan di cawangan tersebut, tetapi PAS Pusat buat keputusan orang tertentu dicalonkan mewakili PAS bukan sahaja kerana pencalonan tetapi ada faktor lain. Ini seperi bukan sahaja dalam kes Ibrahim Ali (pilihan raya umum 2008 di Parlimen Pasir Mas) ada orang yang tidak pegang jawatan kawasan tetapi tercalon dalam pilihan raya itu. Saya sendiri jalani proses itu pada tahun 1974, saya tidak pegang jawatan tetapi terpilih. Apa kriteria yang dititikberatkan oleh PAS Pusat dalam persoalan calon ini Datuk? Menyebut soal kriteria ini, bila PAS Pusat terima seluruh senarai dan akan diserah kepada Majlis Syura Ulama untuk pastikan calon ini layak menjadi calon PAS. Layak kerana ada kriteria meletakkan calon PAS ini mestilah orang yang tidak terlibat dengan dosa-dosa besar stakat yang diketahui. Jika ada laporan dan diyakini ada dosa besar memang tak layak menjadi calon PAS. Selesai Majlis Syura buat tapisan, Majlis ini akan hantar kepada PAS Pusat dan PAS Pusat akan meletakkan keputusan siapa calon dan di mana calon itu layak bertanding. Negeri bukan muktamad, semua orang tahu dan kepimpinan tahu. Bagi saya kesilapan yang Saari buat itu bukan isu yang besar, kerana Hasan dan Nasharuddin tahu PAS Pusat yang pilih calon akhirnya. Apa kriteria calon? Antara kriterianya ialah, capability iaitu kebolehan dan keupayaan seseorang itu menjadi calon dan boleh menjadi calon. Seterusnya ialah acceptability iaitu persoalan penerimaan ahli PAS, kawasan dan juga masyarakat setempat. Ketiganya winnablility iaitu selain penerimaan dan kebolehan, ada ‘x-factor’ kepada calon untuk mendapatkan sokongan yang lebih bagi memenangi. Kelebihan seseorang itu berbanding calon-calon yang lain seperti faktor kenalan besar, keluarga besar dan pengaruh besar pada masa itu, mungkin mendapat sokongan bukan sekadar PAS tetapi luar PAS. Sebab itu banyak calon kita letak orang tempatan sebabnya persoalan yang saya sebutkan tadi.Ini yang kita mahukan,Ini yang PAS Pusat timbangkan dalam menentukan seseorang calon bertanding. Jadi bagaimana dengan kenyataan Saari itu? Jadi tidak timbul soal apa yang disebutkan oleh Saari Sungip itu sebagai isu yang besar, kerana seharusnya mereka ini (Hasan dan Nasharuddin) faham akan bagaimana pemilihan calon dalam PAS. Saya melihat, kenyataankenyataan yang dibuat mereka berdua (Hasan dan Nasharuddin) ini biasanya dilapor Utusan Malaysia, TV1, dan TV3, jadi ahli boleh menilainya. Hasan sendiri patut tahu dalam PAS ini tidak boleh ada seseorang yang merasakan dirinya lebih tinggi daripada jemaah, siapa pun dia, mereka tertakluk kepada apabila sesuatu telah diputuskan kepada Syura setiap orang walau ada perbezaan pendapat, dia kena patuh kepada keputusan itu. Dalam perbincangan boleh kritik, bukannya dengan cara yang tidak beradab, itu tak kena, tak ada seorangpun sempurna. Saya nak sebutkan, kita bukan tidak mahu tegur, tetapi jika tak hadir mesyuarat nak tegur macam mana? Sedangkan kegiatan lain boleh mereka teruskan ini tak betul. Ada usaha pihak mereka berdua mempengaruhi mana-mana ahli dalam parti? Saya dimaklumkan dan saya boleh mengesahkan Hasan ada menemui orang tertentu termasuk beberapa tokoh dalam PAS untuk meyakinkan mereka supaya bersama dengan dia kerana PAS sudah tidak boleh diyakini lagi. Saya tak nak dedahkan lagi siapa orang ini, cuma saya mahu sebutkan apa yang dilakukan Hasan ini dalam ruang-lingkup agenda musuh politik PAS. Kesannya besarkah kepada perpaduan dalam PAS? Setakat ini ia sangat kecil, kita boleh selesaikannya dengan mudah sahaja.Tetapi saya mahu tegaskan bahawa tindakan Hasan ini daripada seorang pemimpin tak betul, walaupun bagi saya kesannya tidaklah besar kita masih boleh selesaikan benda ini. PAS ada kekuatan tersendiri yang tak boleh digugat oleh seorang individu, PAS pernah kehilangan presidennya sebelum ini, dan ahli PAS terus ikut dasar parti, selama dasar parti ini Islam orang PAS dah faham mereka tak akan ikut individu. Isu Hasan dan Nasharuddin Mat Isa ini tak jejaskan kedudukan parti tetapi kita nak elakkan individu ini jika boleh selamatkan, agar tak terlajak. Namun, saya tak tahulah boleh selamatkan atau tidak mereka ini. Adakah sebarang perbincangan dibuat dengan mereka ini untuk menasihatkan agar tidak meneruskan agenda memburukkan parti ini? Telah ada pihak yang diarahkan PAS Pusat untuk menemui dan berbincang dengan mereka berdua, namun nampaknya macam terus jugalah (hasrat mereka berdua), sebab itu saya dapat maklumat dari mereka yang bertemu, Hasan nampaknya ada persepsi lain sebab itu saya nak dedahkan hal ini supaya ahli fahami senario yang ada ini. Sebagai seorang pemimpin yang senior dalam PAS, bagaimana Datuk melihat senario yang berlaku terhadap mereka berdua. Apa yang menyebabkan mereka berdua ini mahu bercakap mengenai hal-hal dalaman parti yang memburukkan nama parti? Saya rasa kekecewaan yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian. Ini kerana mereka tidak terpilih dan tidak diletakkan di tempat yang mereka rasakan tempat asalnya seperti Nasharuddin Mat Isa selaku Timbalan Presiden PAS dan Hasan selaku Pesuruhjaya PAS Selangor. Tetapi dalam sejarah PAS ini sepatutnya mereka ini tidak boleh menjadi seorang yang bad looser. Saya memberi contoh, Mohammad Sabu (Mat Sabu) pernah bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS (pada tahun 2009) tetapi kalah kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa ketika itu, namun Mohd Sabu dipilih semula masuk selaku AJK PAS Pusat dan menjalankan tugas dengan baik, hadir mesyuarat dan menjalankan amanah selaku pemimpin. Mohd Sabu tidak pernah kecewa dengan kekalahan. Seterusnya kita selalu sebutkan tentang kepimpinan dan teladan Khalid al-Walid, yang digugurkan selaku Panglima Perang, kita selalu sebutkan hal ini tetapi kita tidak mengikut teladan Khalid al-Walid ini. PAS parti yang sangat demokrasi, kalah menang mereka pun akan dilantik semula menjawat jawatan tertentu.Sebenarnya kalah menang sesuatu jawatan adalah kerana sebab-sebab tertentu pada waktu itu, mungkin ahli mahukan perubahan tertentu mengikut keadaan. Tidak terpilihnya Hasan Ali selaku PJ waktu itu adalah kerana keadaan yang sama juga. Ini bukan hal baharu walaupun pelbagai pihak kononnya nak kaitkan PAS tunduk kepada DAP, ini sama sekali tidak betul, ini rubbish. Saya mahu tegaskan di sini, PAS tidak akan tunduk kepada sesiapa pun sebab PAS ada prinsip sendiri, tahaluf (tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat) ini bukan dasar tetapi strategi, kita berjalan sejauh mana dalam kita lihat tak menghalang tugas kita. Hasan sebutkan dalam satu kenyataannya sebelum ini, dia akan teruskan kerjasama dengan PAS atau Pakatan Rakyat selagi mana PAS masih memperjuangkan Raja-raja Melayu, dasar Islam dan Hak Bumiputera, bagaimana Datuk melihat kenyataan ini dan apakah dia mengikut rentak rasis Umno-BN? Saya tidak sebutkan dia (Hasan) rasis. Pada saya kenyataan (Hasan) itu sendiri mempersoalkan dasar PAS. Ertinya dia kononnya seorang Islam, dia bercakap sebenarnya ada agenda, mahu menunjukkan kononnya PAS ini lari daripada Islam, sedangkan hakikatnya tidak. Hanya PAS sahaja satu-satunya parti yang wujud di negara ini mempunyai dasar Islam.Umno jauh sama sekali. Kerana dia ini telah terheret dengan agenda musuh politik PAS, dan saya percaya dia akan teruskan kenyataan seperti ini kerana lebihlebih lagi sekarang ini dah dekat pilihan raya ini bukan fenomena baru, sepanjang masa berlaku. Ada usaha pancing Hasan oleh pihak musuh? Ini dah buat pun, dan dia dah masuk dalam perangkap itu. Terus terang saya katakan, jika nak sebutkan Umno sebagai musuh politik PAS, Umno ini saya kenal lama. Saya ini antara kepimpinan PAS ini saya yang paling mengenali Umno. Sewaktu tahun 1974, saya ini sebahagian kepimpinan PAS yang ada dalam kabinet BN sewaktu PAS bersama dengan Umno-BN ketika itu. Saya sendiri memegang jawatan Timbalan Menteri ketika itu.Saya kenal sangat dan banyak bergaul dengan kepimpinan Umno, dan saya tahu amalannya. Dari segi politiknya Umno amalkan politik Machiavelli iaitu politik menghalalkan cara. Ini kaedah Umno sebenarnya, dan perlu diingat suatu ketika dahulu, saya bukan nak besarkan diri, saya menjadi Timbalan Menteri tetapi saya letak jawatan kerana menentang isu berkaitan dengan kerajaan me’Mageran’kan Kelantan pada tahun 1977. Krisis ketika itu dan saya bersama rakan-rakan melepaskan jawatan selaku Timbalan Menteri kerana memegang prinsip perjuangan. Walaupun ketika itu ada kalangan Umno memujuk saya agar tidak meletakkan jawatan dan menyatakan kononnya saya masih muda dan perjalanan politik masih jauh, tetapi kerana dasar parti dan prinsip, saya melepaskan jawatan. Mengapa Datuk tidak terima? Saya katakan tidak kerana prinsip perjuangan. Saya tidak dedahkan siapa orang itu.Ini kerja Umno, mereka akan cari peluang melemahkan PAS. Memang PAS terpaksa hadapi kesan besar hingga hilang Kelantan waktu itu. Tetapi PAS dapat dipulihkan semula. Umno akan buat apa sahaja untuk kepentingan politiknya. Umno ini seperti ‘Orang Tua Mata Keranjang’, orang muda normal mata keranjang, sebab orang muda tak kahwin lagi, tetapi Umno ini Mata Keranjang ini buktinya, PBS dahulu, ‘sworn enemy of Umno’ tetapi Umno boleh bersama PBS. Terbaharu, dengan MCA kawan lebih 50 tahun, tetapi ada maklumat kata perbincangan pimpinan Umno, MCA tidak mendapat sokongan masyarakat Cina, mereka nak dekati DAP pula. Saya tidak fikir DAP akan terima pelawaan itu walaupun ada. Saya ada maklumat ini, mereka mahu singkirkan MCA. Mereka mahu ambil DAP untuk selesaikan masalah. Mereka mahukan PAS bersama mereka juga agar tiada tentangan Melayu Islam lagi. Tahun 1977 dahulu waktu Umno tendang PAS keluar ini PAS yang sama, Umno atas kepentingan politik. Merujuk kepada kenyataan kononnya Hasan Ali mahu menjadi orang tengah bagi rundingan penggabungan Umno-PAS ini bukan saja-saja ini, ini ada agendanya. Tetapi saya katakan tidak kerana pendirian PAS ketika ini tetap bertahaluf dengan Pakatan Rakyat bersama menghadapi pilihan raya ke-13. Kita tak tahu perkembangan macam mana, pada waktu ini tiada kerjasama politik dengan Umno.Bukan kata dalam PR ini 100 peratus kita sama, kita ada perbezaan dengan DAP dan KeADILan, tetapi kebersamaan lebih banyak daripada perbezaan. Iaitu antaranya menentang kezaliman, menentang rasuah dan jauh berbeza dengan Umno. Musuh politik akan memainkan isu-isu ketidaksamaan yang sedikit sahaja. Kita ada kekuatan tersendiri. Ada kepentingan Hasan di peringkat pihak tertentu hingga bercakap memburukkan PAS? Saya tak mahu sebut pada waktu ini terlalu jauh. Cukup saya sebutkan dia terperangkap dengan agenda musuh politik PAS.Ini bukan satu, ini harus disedari, kiat sedang pantau kerana dia masih ahli PAS dan pimpinan, tetapi jika dia berterusan seperti ini, biasanya orang sebegini tak tahan lama dalam PAS. Bukan kerana dipecat tetapi dia tak akan dapat teruskan. Ada sebarang tindakan? Hal tindakan ini kita belum sebutkan lagi.Tak akan buat lagi kita akan lihat sejauh mana tindakan dia, kita sedang memantau. Tetapi Nasharuddin tak buat macam Hasanlah, dia tak jumpa mana-mana pimpinan. Bagaimana musuh mudah pengaruhi mereka ini? Saya nak tambah, Umno boleh masuk dalam hal ini kerana Umno tahu kelemahan orang-orang ini, dia masuk melalui kelemahan dua tokoh ini yang mana Umno telah tahu. Saya tahu kelemahan mereka saya tak hendak sebut, namun jika dia sebut kelemahan saya saya akan sebutkan kelemahan dia. Umno ini cukup tahu masalah kedua-dua mereka ini. Mereka ada APCO sebagai penasihat, APCO ada di luar, di dalam ini ada juga. Ada kaedah atau seni mendepani orang ini. Pada saya, saya tak risau sangat, berbanding dengan isu sebelum ini. Isu ini kecil sangatlah. Mereka sahaja kata besar. Kita yakin akan atasi. Boleh disimpulkan mereka ini kecewa kerana tidak dapat jawatan? Maknanya mereka ini nakjawatan nak duduk di atas daripada jawatan yang ada sebelum ini. Kekecewaan yang dirasai, Umno guna kelemahan lain mereka ini, Mereka terperangkap dengan mainan Umno kata Mustafa dalam wawancara Harakah. Dia tahu mereka ini kecewa. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/tamu-a-wawancara/7124-hasan-nasharuddin-terperangkap-agenda-umno
Pertahan dasar ‘Membangun Negara Berkebajikan’ |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 21 Dis: Sewaktu pimpinan PAS dan seluruh ahlinya ijmak menerima konsep Negara Berkebajikan melalui muktamar tahunannya, malah ia adalah kandungan ucapan dasar presiden parti ‘Membangun Negara Berkebajikan’ yang telah diterima sebulat suara, maka ia menjadi dasar parti yang mesti dipertahankan oleh semua pimpinan dan ahlinya. Justeru, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan (gambar) menegaskan tidak layak bagi mana-mana pemimpin atau ahli parti mempertikai konsep yang telah diijmakkan melalui satu majlis pemesyuaratan yang besar seperti muktamar tahunan yang sah, sementara kritikan membina dan pandangan tambah nilai adalah senantiasa dialu-alukan. AJK PAS Pusat, Datuk Dr Hassan Ali melalui akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini mempertikaikan dasar "Membangun Negara Berkebajikan" yang menjadi tema PAS sekarang ini. Bagi Hassan, PAS sepatutnya kekal dengan dasar negara Islam yang telah menjadi perjuangan asal PAS. Bagi Nasrudin, Konsep Negara Berkebajikan adalah manifestasi dari konsep negara yang disebut oleh al-Quran iaitu Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (Negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan Yang Maha Pengampunan). “Konsep ini juga dipertegaskan dengan tiang serinya iaitu ubudiah iaitu pengabdian diri kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mencipta," katanya. Justeru itu, jelasnya Negara Berkebajikan ditakrifkan sebagai ‘Kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip-prinsip adil dan ihsan (al Adl wal Ihsan) di dalam seluruh sistem pemerintahan termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain, seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (Istibaq al Khayrat) dan saling bekerjasama (at-Ta'awun) ke arah kejayaan (al Falah) pemerintah dan rakyat di dunia dan di akhirat’. Menurutnya, berasaskan takrif tersebut, layaknya tidak timbul lagi keraguan terhadap konsep Negara Berkebajikan apakah ia menepati atau bercanggah dengan perjuangan asal PAS. Tambahnya, lantaran PAS tetap konsisten dengan dasar Islam yang diperjuangkannya dan konsep Negara Berkebajikan bukanlah suatu penyimpangan sebaliknya ia adalah suatu peneguhan terhadap asas dan dasar perjuangan Islam yang diperjuangkan selama ini. “Dewan Pemuda PAS Malaysia tetap akan mempertahankan konsep Negara Berkebajikan yang telah dimuktamadkan oleh parti melalui Muktamar Tahunannya yang ke 57 baru-baru ini dan insya Allah Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah memutuskan satu komitmen besar untuk turun ke serata negara bagi memperjelaskan Konsep Negara Berkebajikan ini,” ujarnya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/7157-pertahan-dasar-membangun-negara-berkebajikan
Muslimat pertahan dasar Negara Berkebajikan |
Aiman Athirah Al Jundi |
KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT BERHUBUNG PENDIRIAN DATUK DR MOHD. HASSAN ALI MEMPERTIKAIKAN PERJUANGAN PAS DAN MISI NEGARA BERKEBAJIKAN PAS |
Sepertimana pendirian Dewan Muslimat ketika membahas Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS pada bulan Jun 2011 yang lepas yang bertemakan ”Membangun Negara Berkebajikan”, Dewan Muslimat untuk sekian kalinya konsistan mengucapkan terima kasih, syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Hj. Awang, Presiden PAS kerana telah mengangkat suatu tema yang kami sifatkan sebagai telah pun memenuhi ciri-ciri kesyumulan Islam hatta upaya menggambarkan betapa Islam itu Rahmat kepada sekalian alam.
Ucapan terima kasih, tahniah dan syabas ini juga kami panjangkan kepada seluruh Kepimpinan PAS Pusat dan para Perwakilan Muktamar Tahunan PAS yang telah sebulat suara menerima Ucapan Dasar Presiden PAS ketika itu iaitu ”Membangun Negara Berkebajikan”.
Ini adalah suatu keputusan paling sah, legitimate dan digarap melalui semangat syura kaum Muslimin (orang-orang Islam) yang menjadi anggota Gerakan Islam, PAS.
Sehubungan dengan itu, Dewan Muslimat menyelar tindakan Datuk Dr Mohd Hassan Ali, mantan Naib Presiden PAS yang kini juga merupakan AJK PAS Pusat atas tindakan mempersoalkan ”Negara Berkebajikan” PAS seterusnya beliau juga menuduh bahawa PAS telah terkeluar daripada landasan perjuangannya.
Pendirian sebegini sesungguhnya adalah pendirian Umno yang senantiasa mahu memburukkan dan melemahkan PAS khususnya di mata orang-orang Melayu.
Persoalan kami, apakah nawaitu Dato’ Dr Hassan Ali ketika bercakap mengikut rentak musuh-musuh politik PAS? Begitu juga bila beliau ”memainkan” isu 3R – Religion, Race and Royal (Agama, Bangsa Dan Raja) yang umum juga tahu ini adalah strategi dan senjata UMNO untuk terus mendapatkan ”sokongan hayat” daripada para simpatisan dan chauvanis Melayu?!
Dewan Muslimat berpendirian ”Mempertikaikan Negara Berkebajikan bermaksud juga mempertikaikan dan tidak menghormati Presiden dan Perwakilan Muktamar Tahunan PAS yang sebulat suara menerima Ucapan Dasar Presiden.”
Muslimat PAS menyifatkan tindakan terbaru Datuk Hassan Ali melalui pendirian kenyataan medianya kelmarin (20 Disember 2011), ”completely” mempertikaikan PAS, Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Perwakilan Muktamar Tahunan PAS 2011.
Satu Malaysia telah menyaksikan tindakan ini kerana telahpun disiarkan oleh TV3 melalui slot Buletin Utama.
Justeru, Dewan Muslimat menyarankan agar Tindakan Tatatertib yang tegas mesti diambil oleh PAS ke atas beliau agar tindakan seumpama ini tidak menjadi budaya dan ikutan.
PAS wajar memperkasakan keperluan Disiplin di dalam parti kerana PAS bukan sahaja dilihat sebagai parti politik biasa sifatnya tetapi juga sebagai sebuah Gerakan Islam yang diterima di peringkat dunia; hatta dihormati kawan dan lawan. Ini juga yang kami fahami sejak muda remaja dalam asuhan dan tarbiyyah PAS.
Ini kekuatan yang telah menghimpunkan generasi muda yang cintakan Islam untuk hadir berjuang dan memperjuangkan Islam bersama PAS.
Sehubungan dengan itu juga, Dewan Muslimat menyeru kepada semua anggota Gerakan Islam – PAS di semua peringkat baik ”Qiadah” (Pimpinan) mahupun ”Jundiyyah” (Pengikut/Pelaksana) agar memahami dan menjiwai peruntukan dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2011), Fasal 82 (1) (g).
Dewan Muslimat juga menyelar percubaan dangkal dan nakal pihak-pihak tertentu yang berterusan memfitnah PAS dan kepimpinan PAS bahawa kononnya telah menjadi kuda tunggangan DAP dan seumpamanya.
Sebenarnya, jika diteliti ini lah nada dan ungkapan versi UMNO kini. Malangnya kedapatan juga ”dilagukan” oleh segelintir pimpinan dan ahli PAS yang kami sifatkan berada dalam dua situasi : 1. Bijak tapi bermasalah, 2. Dungu dan gelap hati.
PAS adalah parti paling ”senior” dalam lanskap politik Malaysia kini. Keanggotaan PAS pula adalah daripada pelbagai peringkat latar belakang pendidikan, sosial dan usia.
Pemimpin dan ahli boleh datang dan pergi tetapi Islam yang mendasari perjuangan PAS dan kekuatan ”infrastruktur organisasi” di dalam PAS itu insyaAllah semakin teguh dan utuh.
Gagal memahami sejarah dan ”nilai-nilai” perjuangan PAS akan menatijahkan tindakan dan suara yang sumbang sekalipun individu itu galak melaungkan mereka mahu kembalikan PAS ke landasan asal kerana kononnya telah tersasar!
Perangai seumpama ini telah kita lihat berulang kali dalam sejarah perjuangan PAS tetapi insyaAllah PAS semakin kuat kerana yang memelihara Gerakan Islam PAS ini sesungguhnya adalah Allah Azza Wajalla.
Hakikat yang mesti kita semua sedari ialah Allah sedang merancang suatu yang lebih baik untuk PAS agar upaya merealisasikan Islam Rahmat Kepada Sekalian Alam. Dewan Muslimat berharap Pimpinan tertinggi akan mengambil langkah wajar seperti yang dicadangkan.
Manakala Muslimat PAS menyeru semua anggota Gerakan Islam PAS agar Fokus menghadapi PRU13, Perkemaskan Gerakan Dan lets MOVE FORWARD TO PUTRAJAYA. InsyaAllah, tanda-tanda Kemenangan semakin terserlah.
Buat anak-anak muda yang kami kasihi, contohi dan susuri strategi kemenangan Sultan Muhammad Al Fateh ketika menawan Kota Constantinople, bukannya keliru dan dikelirukan oleh pemikiran dan pendirian Datuk Dr Mohd. Hassan Ali !
Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
t.t
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan
http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/depth/7161--muslimat-pertahan-dasar-negara-berkebajikan
Tiada niat sebesar zarah untuk sertai Umno’ |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 21 Dis: “Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah adalah ahli PAS, dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan,” tegas AJK PAS Pusat, Nasharudin Mat Isa (gambar). “Berikutan beberapa dakwaan, tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan secara langsung oleh beberapa pihak terhadap saya sejak kebelakangan ini menerusi media massa, blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter, saya berasa perlu untuk mengeluarkan kenyataan media ringkas sebagai penjelasan,” ujarnya dalam satu kenyataan. Jelasnya, sebagai seorang yang terdidik dalam dua dunia dan latar belakang berbeza iaitu bukan agama dan kemudiannya berpindah kepada pengajian Syari’ah dan Perbandingan Undang-Undang, beliau menyedari sepenuhnya bahawa pembabitan langsung di pentas politik nasional pasti mengundang seribu satu macam cabaran dan dugaan. Katanya, dalam dunia dakwah, kita dididik dengan hakikat bahawa laluan dakwah ini tidak dibentang dengan hamparan permaidani merah, jauh sekali untuk sentiasa direnjis dengan wangian bunga. “Saya akur sepenuhnya dengan Tariqud-Dakwah (Jalan Dakwah) yang saya lalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbiya’, sahabat dan ulamak terdahulu daripada kami yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Bachok. Justeru, jelas Nasharudin lagi, dakwaan kononnya beliau ‘terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno’ adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas. Menurutnya, sepanjang pembabitannya dalam PAS yang saya terima sebagai wadah menyampaikan suara Islam kepada umat di Malaysia, belum pernah beliau ungkapkan bahawa akan menyertai Umno. Justeru, ujarnya buat kesekian kalinya beliau menegaskan bahawa tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai Umno. “Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar. “Saya harap penjelasan ringkas ini memadai dalam mengukur kesetiaan saya terhadap perjuangan PAS,” jelasnya lagi. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7156-tiada-niat-sebesar-zarah-untuk-sertai-umno
Hasan, Nasha dan Saari dipanggil beri penjelasan |
Harakahdaily |
KUALALUMPUR, 22 Dis: PAS hari ini memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini yang dilihat membazir masa parti. “Penjelasan ini mesti dilakukan, supaya parti tidak lagi perlu membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan dan keengganan sesetengah pihak menerima keputusan parti dan jamaah,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini. Melihat situasi pilihanraya umum yang semakin hampir, PAS kata Tuan Ibrahim tidak akan bertolak ansur dalam sebarang sabotaj sama ada dari dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti. “Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai team player untuk memastikan jamaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni. Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir ini daripada melayan karenah-karenah segelintir pemimpin yang ada berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin arahnya oleh Majlis Syura,” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu dipercayai membalas kenyataan Hasan yang mempertikai dasar-dasar parti yang diputuskan muktamar dan Majlis Syura. Menggunakan media lawan milik Umno, Utusan Malaysia, Hasan, yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat mempertikaikan dasar "Membangun Negara Berkebajikan" yang menjadi tema PAS sekarang ini. Bagi Hasan, PAS sepatutnya kekal dengan dasar negara Islam yang telah menjadi perjuangan asal PAS. Membalas hujah Hasan, Tuan Ibrahim menerangkan bahawa PAS ialah sebuah parti jamaah yang berdemokrasi, segala keputusan bukanlah keputusan individu tapi keputusan jamaah. “Apabila keputusan telah dibuat, dan Majlis Syura telah mengesahkan bahawa keputusan tersebut selari dengan dasar Islam, setiap ahli PAS perlu bergerak pada arah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat yang disasarkan dan memenangkan Islam,” tegas beliau. Dalam kenyataannya itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan ahli-ahli PAS kepada ungkapan ‘apa yang ada ialah hari ini, yang lepas tidak akan datang kembali, yang depan tidak menentu lagi. “Oleh itu, pendamkan dendam, buangkan kekecilan hati, ketepikan kepentingan individu dan kembalikan fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti,” nasihat beliau. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/7163-hasan-nasha-dan-saari-dipanggil-beri-penjelasan
Ulamak PAS ucap syabas pada Nasharudin |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 22 Dis: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) mengucapkan syabas kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa kerana terus menyatakan tekad memperjuangkan risalah Islam melalui wadah PAS walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan senang dan susah. Beliau menyampaikan ucapan syabas itu setelah kenyataan rasmi oleh Nasharuddin disiarkan semalam oleh media yang menegaskan bahawa beliau akan tetap bersama-sama PAS menjunjung risalah Islam walaupun apa jua keadaan. “Syabas kepada beliau kerana bertekad untuk bersama-sama menjunjung risalah Islam melalui wadah PAS dulu, kini dan selama-lamanya. "Inilah satu sikap yang ditunggu oleh seluruh ahli PAS, penyokong-penyokong PAS dan orang-orang yang belum memasuki PAS, syabas kepada Ustaz Nasharuddin. “Kita percaya dengan penegasan beliau yang terbaru ini, akan menyebabkan parti PAS akan terus diyakini oleh seluruh anggota masyarakat di seluruh Malaysia sama ada mereka yang beragama Islam atau yang masih belum beragama Islam atau mereka yang masih belum menyokong perjuangan PAS,” tegas beliau yang juga Adun Manir, Terengganu ketika ditemui semalam. Sebelum ini, Nasharudin dipetik dalam Harakahdaily semalam berkata beliau akur sepenuhnya dengan tariqud dakwah (jalan dakwah) yang dilalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbia’, sahabat dan ulamak terdahulu daripada mereka yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia. Jelas bekas Timbalan Presiden PAS itu lagi, dakwaan kononnya beliau ‘terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno’ adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7168-ulamak-pas-ucap-syabas-pada-nasharudin
Jangan pertikai dasar PAS |
Mohd Rashidi Hassan |
Negara Berkebajikan adalah dasar PAS. Ianya suatu dasar yang diluluskan sebulat suara dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57, di Markaz Tarbiyyah PAS Pusta Taman Melewar, 3 hingga 5 Jun lepas. Ianya dimuatkan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sewaktu merasmikan Muktamar, dihurai dan diperbahaskan oleh sebahagian perwakilan dan diluluskan dalam Muktamar yang dihadiri lebih 2 ribu perwakilan. PAS adalah sebuah parti Islam, yang senantiasa melaksanakan dasar-dasarnya selaras dengan ajaran Islam. Perwakilan dalam Muktamar PAS mengandungi Ahli-ahli Majlis Syura Ulama, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, AJK Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, serta kepimpinan PAS dari seluruh negara. Bermakna, ianya mencakupi pelbagai latar belakang keilmuan agama dan profesional bergabung membentuk hala tuju ideologi PAS. Ketokohan ulama-ulama PAS dalam pelbagai disiplin ilmu agama, sehingga kini tidak dapat disaingi atau dicabar keampuhannya oleh mana-mana pihak. Di dalam Perlembagaan PAS, dimaktubkan bahawa hukum tertinggi PAS selain al-Quran dan as-Sunnah, adalah ijmak ulama atau ditakrifkan sebagai kesepakatan ulama dalam isu-isu yang dibangkitkan. Dalam sistem demokrasi berparti, keputusan dalam Muktamar atau Mesyuarat Agung, adalah dianggap hukum tertinggi, yang harus diterima, diamal dan dilaksanakan oleh seluruh ahli PAS di semua peringkat. Justeru apabila PAS melulus dan mengemukakan konsep Negara Berkebajikan, ianya adalah dasar yang selaras dengan Islam. Ianya adalah suatu dasar yang dikemukakan golongan ulama, dibahas dan diluluskan oleh sebahagian besar ulama dalam PAS. Malangnya, mutakhir ini wujud golongan yang mendabik dada dan menunjuk pandai, lebih dari golongan agamawan dalam PAS. Siapakah kita yang mendakwa diri kita betul sehingga mempertikaikan PAS dengan mendakwa konsep Negara Islam PAS tersasar dari perjuangan asal PAS? Siapakah kita yang hendak mendakwa PAS sudah tergelincir dari landasan Islam. Jika mereka yang mempertikai PAS itu merupakan orang luar PAS, kita tidak mengambil endah kerana mereka memang senantiasa berusaha menjatuhkan PAS. Namun, agak malang apabila segolongan yang bertitle ustaz dan berstatus AJK PAS Pusat, menggunakan media pro Umno-Barisan Nasional untuk menyerang dasar PAS. Jika golongan ini mengikut wala dan adab-adab berjemaah, mengapa tidak membuat bantahan itu sewaktu ianya dikemukakan dalam Muktamar atau dalam mana-mana mesyuarat tertutup PAS. PAS senantiasa terbuka. Sila tunjukkan pada fasa mana yang dasar PAS dalam soal Negara Berkebajikan ini tidak menepati Islam. Sila buktikan pada fasa mana, hala tuju perjuangan PAS tersasar dari landasan? Mengapa anda mempergunakan platform musuh untuk menyerang PAS? Adakah anda lupa bahawa, kedudukan, kuasa serta pengiktirafan yang anda terima hari ini adalah berasal dari perjuangan PAS dan sokongan ahli-ahli PAS? Inilah bukti bahawa anda terperangkap dengan agenda Umno. Umno tidak mahu PAS menjalankan dasar kebajikan kerana, menerusi dasar itu mereka berjaya merasuah rakyat. Dalam keadaan Umno hampir pupus, ia tidak mampu mempunyai saingan lain. Oleh itu Umno memang senantiasa mahu PAS melaung-laungkan soal Negara Islam kerana Umno mahu PAS terperangkap dengan persepsi rakyat. Persepsi buruk terhadap dasar Islam PAS sengaja dimomok-momokkan Umno menerusi media massa pro mereka, menentang dan mengecam dasar Islam PAS. Apakah bodohnya anda, tidak memahami perangkap musuh, bahawa dengan media itu juga anda mempersoalkan PAS sudah lari dari landasan Islam, sedangkan media itu juga memaki hamun dasar Islam yang dibawa PAS sejak berzaman. PAS tiada jalan lain selain membersihkan dirinya dari anai-anai yang merosakkan perjuangan Islam. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/mohd-rashidi-hasana/7169-jangan-pertikai-dasar-pas
Nik Aziz nafi sokong Hasan Ali |
Harakahdaily |
KOTA BHARU, 22 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat (gambar) menafikan beliau menyokong Datuk Dr Hasan Ali. "Sukalah dinyatakan bahawa YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am PAS tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada menyokong atau tidak pendirian Datuk Dr Hasan Ali. "Kenyataan terakhir YAB Tuan Guru dalam isu Datuk Dr Hasan Ali ialah menyerahkan isu ini untuk dikendalikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor dan seterusnya pimpinan PAS peringkat pusat. "Justeru, tidak timbul isu YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am PAS menyokong pendirian terkini Datuk Dr Hasan Ali," kata kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan itu. Beliau mengulas laporan muka hadapan The Star semalam yang memetik bahawa pendirian Datuk Dr Hasan Ali disokong oleh YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am. Ulasan ini dibuat ketika beliau sedang berehat di wad hospital. "Sukacita dimaklumkan bahawa YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am PAS masih berehat di dalam wad selepas dimasukkan ke sana pada hari Isnin, 19 Disember 2011. "Keadaan beliau stabil dan insya Allah akan dibenarkan keluar sedikit masa lagi," kata kenyataan itu. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/7171-nik-aziz-nafi-sokong-hasan-ali
Hasan akui ada persamaan dengan Zul Noordin |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 22 Dis: Datuk Dr Hasan Ali (gambar) mengakui beliau ada perbincangan dengan Zulkifli Noordin dan mengakui ada persamaan antara mereka berdua. "Ada tempat-tempat bersama, keseirasan ada tapi dari segi detail tidak perlu diulas, secara besar memang ada persamaan. "Apa pun kalau perjuangan itu sama, maknanya ada nada, suara dan tempo yang sama, tidak fikir ada masalah untuk berbincang," kata Hasan Ali dalam Bual Bicara dengan Datuk Ahmad Talib, TV3 malam tadi. Zulkifli adalah anggota Parlimen PKR Kulim Bandar dan telah meninggal parti menjadi anggota Bebas. Beliau kini menjadi peluru utama Umno untuk menyerang PKR dan Pakatan Rakyat. Dalam sidang media sebelum ini, Hasan mempertikai konsep Negara Berkebajikan yang dikemukakan Presiden PAS dalam muktamar PAS yang lalu dan kini bakal menjadi panduan utama PAS. Ekoran itu, beliau diserang oleh pemimpin PAS di samping Pemuda dan Muslimat. Hasan dalam wawancara kali ini mempertikaikan komposisi kepimpinan PAS yang dikatakan lebih ramai profesional dari ulama tanpa menyebut badan tertinggi PAS adalah Majlis Syura Ulama yang semua anggotanya adalah ulamak. "Dulu majoriti pemimpin PAS adalah ulamak, sekarang majoritinya orang profesional, keadaan ini boleh mengubah parti, ulama tidak akan membawa PAS lari dari perjuangan dibanding dengan profesional, ada perubahan (shift), sebahagian ahli parti mahu PAS sama seperti 20 ,30 dan 50 tahun dulu," katanya. Bagi beliau, punca-punca yang menyebabkan anjakan berlaku dalam PAS, logiknya adalah orang nak kemenangan dan hanya boleh dicapai melalui bergabung. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7170-hasan-akui-ada-persamaan-dengan-zul-noordin
Jangan guna media musuh – Nik Aziz |
Harakahdaily |
KOTA BHARU, 22 Dis: “Saya juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mursyidul Am PAS itu itu menyeru supaya perselisihan pandangan diselesaikan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh. “Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. “Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya Allah,” ujarnya. Beliau menyatakan demikian sebagai respons berkaitan dengan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat malam semalam yang memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyokong sepenuhnya keputusan itu dan menganggap ia sebagai satu langkah yang terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini. “Selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak,” tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini. Justeru, jelasnya dakwaan yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal PAS adalah merupakan dakwaan yang tidak berasas. “Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan,” ujarnya. Dalam hal ini, katanya negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS itu. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/7176-jangan-guna-media-musuh-nik-aziz
Hasan diminta berhenti 'bercakap' Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 22 Dis: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Hasan Ali diingatkan agar berhenti bercakap bagi menamatkan kritikan-kritikannya yang tidak berasas terhadap parti dan dasar perjuangan parti. Ingatan tersebut amat perlu diberikan perhatian oleh beliau bagi mengelakkan pemimpin-peminpin PAS lain turut bercakap mengenainya untuk menjawab kenyataan-kenyataan yang dikeluarkannya. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, sekiranya Hasan berhenti bercakap, beliau juga antara pemimpin PAS yang akan turut berhenti bercakap mengenainya kerana tidak lagi perlu menjawab kenyataan-kenyataan tidak berasas daripadanya. Menurutnya, kritikan-kritikan Hasan terhadap PAS seperti yang disiarkan media tempatan termasuk mengenai konsep Kepimpinan Ulama dan kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat, ternyata tidak berasas. Katanya, apabila kenyataan-kenyataan tidak berasas yang dikeluarkan oleh Hassan, ia pasti memaksa beliau dan pemimpin-pemimpin PAS lain menjawab balik kenyataan-kenyataannya itu bagi kepentingan parti. "Untuk menamatkan perkara ini, mudah saja. Datuk Hasan mestilah berhenti bercakap. Dengan itu, saya juga pasti akan berhenti bercakap kerana tak perlu lagi menjawab kenyataan-kenyataannya," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini. Dalam hubungan ini, beliau menasihatkan Hasan agar mengikuti tindakan bijak yang telah diambil oleh seorang lagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasharudin Mat Isa yang kini telah menjauhkan dirinya daripada terus terperangkap ke dalam jerat musuh khususnya Umno atau BN. "Terima kasih saya ucapkan kepada Nasharudin kerana telah menjauhkan dirinya daripada terperangkap dalam agenda Umno. Saya nasihatkan Datuk Hassan juga akan mengambil tindakan yang sama," katanya. Beliau menjelaskan, setiap ahli PAS perlu faham dengan istilah 'perangkap' dan terperangkap dalam agenda Umno kerana perangkap politik mempunyai definisinya yang tersendiri dan berbeza dengan perangkap binatang seperti perangkap monyet dan tikus. "Terperangkap dalam agenda Umno bukan hanya bermaksud seseorang itu keluar PAS dan menyertai Umno. Jika ini yang dilakukan seperti yang dilakukan oleh sesetengah bekas pemimpin PAS, ia tidak akan memberikan kesan buruk kepada PAS. "Apabila seseorang itu dah keluar PAS dan menyertai Umno dan kemudian mengeluarkan pelbagai kritikan serta kenyataan tidak berasas terhadap PAS, ia tidak akan berjaya mempengaruhi ahli-ahli PAS kerana ahli-ahli PAS sudah tidak lagi mempercayainya, sejajar dengan prinsip ahli-ahli PAS sendiri yang berpegang kepada dasar perjuangan parti, bukannya individu," jelasnya. Sebaliknya, perangkap lain yang lebih bahaya dan perlu disedari oleh setiap pemimpin dan ahli-ahli PAS, apabila seseorang ahli terutama pemimpin PAS itu masih terus berada di dalam PAS, tetapi mengeluarkan pelbagai kritikan dan kenyataan-kenyataan tidak berasas terhadap PAS dan dasar perjuangan parti. "Dengan tindakan seperti itu, individu terbabit bukan sekadar boleh mempengaruhi pihak musuh, tetapi juga boleh mempengaruhi ahli-ahli PAS sendiri sehingga akhirnya masyarakat menjadi keliru ekoran kenyataan-kenyataannya yang tidak berasas," tegasnya. Beliau juga mengingatkan setiap ahli dan pemimpin PAS agar dapat membezakan antara kritikan terhadap seseorang pemimpin PAS dan terhadap parti. "Secara peribadi, saya mempunyai hubungan yang baik dengan Datuk Hasan. Begitu juga dengan Nasharudin. Malah, saya sayang kepada kedua-duanya. "Saya bersedia memaafkan Datuk Hasan walaupun dia ada mengatakan saya sombong dan bongkak, walaupun tanpa diminta. Tetapi apabila dia mengkritik dan membuat kenyataan-kenyataan tak berasas terhadap parti, saya tak boleh maafkan sebab itu hak parti dan saya juga tak boleh diamkan diri," tambahnya. Beliau turut menegaskan, berdasarkan pendirian dan bacaan politiknya, beliau tidak fikir Hassan akan masuk Umno dan Umno akan menerima kemasukan Hasan ke dalam parti itu. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7174-hasan-diminta-berhenti-bercakap-
Kenyataan Media SUA PAS :
http://www.youtube.com/watch?v=xELdosVTYvE&list=UUFznwgrJ0SorgTbQlpOKOaQ&index=1&feature=plcp
Pemuda yakin PAS terus di persada tanah air |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 22 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat Malaysia mengambil sikap positif di atas isu yang membabitkan mantan timbalan dan naib presiden, Nasharudin Mat Isa dan Datuk Dr Hasan Ali.
YM Dr Raja Ahmad al Hiss - Naib Ketua DPPP
Naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, isu yang hangat dibincangkan dalam media arus perdana akan dapat diselesaikan dengan penuh hikmah oleh pimpinan yang ingin melihat PAS akan terus menjadi payung kepada rakyat yang amat yakin akan perjuangan yang telah dibawa semenjak ia ditubuhkan. Malah, katanya dengan merujuk kenyataan Nasharudin, Pemuda PAS yakin akan pegangannya untuk terus bersama PAS yang telah lama menjadi wadah perjuangannya sehingga kini. “Dan kami harapkan Nasharudin akan terus memainkan peranan penting untuk perkembangan PAS di seluruh tanah air kelak. Bagi isu Hasan pula, ujarnya pihaknya yakin dengan melihat pandangan pelbagai pimpinan PAS dan beliau sendiri sebelum ini akhirnya akan membuahkan satu penyelesaian yang terbaik kelak. “Dan kami penuh yakin pimpinan PAS dan parti PAS sebagai wadah selama ini mampu keluar daripada kemelut yang sengaja ditimbulkan. “Kami sekali lagi yakin apa yang diperkatakan di dalam kedua-dua isu tersebut ingin melihat PAS terus maju dan menjadi wadah keyakinan buat rakyat bagi menggantikan Umno di masa hadapan,” ujarnya kepada Harakahdaily. Menurutnya, walaupun pelbagai isu dalaman yang ada, PAS akan terus diperkasa di persada tanah air tanpa terhenti seperti mana yang kini berlaku kepada Umno yang hampir dipinggirkan. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7172-pemuda-yakin-pas-terus-di-persada-tanah-air
Surat terbuka kepada Hasan Ali |
Syed Abdullah Jamalullail, Ampangan, Seremban. |
Datuk Dr Hasan Mohd Ali sepatutnya muhasabahkan diri dan bukannya cuba untuk mengeruhkan suasana kepada organisasi yang begitu berjasa kepada beliau dengan diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk bersama-sama memimpin bagi memperjuangkan ataupun berjihad demi untuk menegakkan daulah Islamiah di negara yang tercinta ini. Cuba bertenang dan kenangkan kembali jasa-jasa parti PAS yang telah memberikan ruang dan peluang semasa Datuk Dr Hasan Ali tersepit apabila digamkan oleh RTM dalam program Forum Perdana Islam yang sangat popular di masa itu yang mempunyai jutaan penonton setia setiap hari Khamis malam Jumaat. Masih ingat lagi di antara yang kena tindakan digamkan daripada menyertai program itu 2 orang lagi tokoh yang tidak asing lagi kepada umat Islam di masa itu ialah Datuk Ismail Kamus dan Datuk Dr Haron Din. Mereka bukan sahaja dikenakan tindakan tidak dibenarkan untuk berceramah dalam Forum Perdana tetapi apa juga rancangan yang bersabit dengan pemerintah tidak lagi dijemput untuk memberikan syarahan agama. Lalu ketiga-tiga tokoh agama yang disegani masyarakat Islam ini termasuk Datuk Dr Hasan Ali menjadi ahli PAS dan berjuang di dalam PAS sehingga ketiga-tiga tokoh ini mendapat tempat di peringkat tertinggi di dalam parti dan perjuangan mereka ini sedikit sebanyak telah membantu untuk memenangi hati rakyat menyokong parti PAS kerana ketokohan mereka itu terserlah sebelum masuk PAS lagi. Datuk Dr Hasan Ali adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan mampu memimpin dalam bukan sahaja memperjuangkan agama tetapi juga pakar di dalam segi pengurusan pentadbiran kerana beliau pernah bertugas di dalam sektor kerajaan sebagai pegawai kanan di beberapa kementerian sebelum menjadi pakar motivasi yang terkenal di masa itu. Tidak hairanlah mengapa parti PAS memberikan jawatan-jawatan penting di dalam parti dan pernah pula menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam satu masa hanya kerana mahu beliau memperjuangkan Islam melalui parti Islam PAS. Tetapi kini kami agak sedih dan begitu kecewa kerana Datuk Dr Hasan Ali yang kami bergantung harapkan untuk berjihad kepada menegakkan daulah Islam itu tergamak meluahkan perasaannya menuduh kepimpinan parti PAS sebagai tidak relevan lagi kerana bukan lagi memperjuangkan Islam tetapi telah bertukar arah kepada menjadikan negara ini kepada sebuah negara kebajikan. Datuk Dr Hasan Ali mesti faham bahawa kebajikan adalah salah satu cabang yang tersangat penting didalam menegakkan dakwah kepada Islam dan itu sebabnya ianya termasuk dalam Rukun Islam yang keempat daripada 5 rukun Islam yang diwajibkan kepada setiap umat yang mengaku dirinya Islam itu. Umpamanya salah satu cara ialah membayar zakat di mana zakat yang dikutip itu adalah dinamakan juga sebagai kebajikan untuk membantu umat Islam yang kurang bernasib baik. Dalam Islam pun ada garis panduan yang mesti dipatuhi sebelum pergi ke puncak terlebih dahulu mestilah mempunyai bekalan yang cukup dan ianya termasuklah berkebajikan kepada umat Islam itu sendiri. Datuk Dr Hasan Ali, seorang tokoh yang mempunyai kelulusan PhD dan dianggap sebagai seorang profesional patut sedar bahawa memburuk-burukkan 'rumahtangga' sendiri yang membantunya semasa susah dan tersepit tidak harus melakukan kesilapan sebegitu. Janganlah terlalu emosional kerana kalau tidak sebulu lagi dengan kepimpinan parti PAS sebaik-baiknya berundurlah secara hormat dan pilihlah jalan sendiri jika ingin berjuangkan Islam melalui kaedah parti lawan. Kalau Datuk Dr Hasan Ali keluar dengan secara hormat pemimpin dan ahli PAS semua menghormati juga dengan keputusan itu dan masih menganggap beliau sebagai tokoh tetapi apabila sebaliknya apa yang berlaku berkemungkinan ianya telah menghancurkan harapan kami semua apa yang kami harapkan. Walau apapun tiada rasa dendam kerana Islam mengajar kami begitu tetapi terguris juga. Dalam pada itu kami ucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Hasan Ali yang mahu berjihad mengikut caranya sendiri dan mungkin melalui parti yang lain beliau ceburi nanti dan akhir sekali ingatlah pepatah ini 'tempat terjatuh lagi dikenang'. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/7185-surat-terbuka-kepada-hasan-ali
Hanya jalani rawatan biasa - Nik Aziz |
Harakahdaily |
KOTA BHARU, 23 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pihak tertentu agar tidak menyebarkan fitnah berhubung keadaan kesihatan dirinya yang menjalani rawatan baru-baru ini. Katanya, dakwaan bahawa beliau berada dalam kritikal sehingga menerima rawatan intensif semasa berada di Hospital Universiti Malaysia (HUSM) baru-baru ini adalah tidak betul. Menyangkal dakwaan itu Nik Aziz, 80, berkata, sudah menjadi rutin dia akan membuat pemeriksaan berkala di hospital terbabit supaya keadaan kesihatan sentiasa stabil dan memuaskan. “Sudah menjadi kebiasaan saya buat pemeriksaan di hospital tiga bulan, ada( dakwaan) kata saya sakit, itu kerja orang yang tidak kenal dosa, ” katanya ketika ditemui media di kediamannya di Pulau Melaka, semalam. Isnin lalu Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS telah dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan dibenarkan pulang pagi semalam. Bagaiamanapun, maklumat yang tersebar luas di internet menyatakan beliau berada dalam keadaan kritikal. Semalam juga beliau turut mengeluarkan kenyataan menyatakan pendirian berhubung isu dalaman parti membabitkan bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip. Dalam responya beliau menasihatkan semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti. Beliau juga menyokong keputusan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat untuk memanggil ketiga-tiga individu tersebut memberikan penjelasan. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7188-hanya-jalani-rawatan-biasa-nik-aziz
Saya tarik balik kritik negara berkebajikan - Hasan Ali |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 24 Dis: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui kesilapannya mengkritik pendekatan Negara Berkebajikan yang mahu dibawa PAS seperti diputuskan dalam Muktamar tahunan parti itu Jun lalu. Ekoran itu juga, beliau yang juga exco kerajaan Selangor pada satu sidang media di kediamannya hari ini menarik balik kritikannya itu dan memohon maaf kepada pimpinan dan ahli parti. “Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut. “Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini. Sebelum ini pada satu sidang medianya juga, beliau mendakwa perjuangan PAS sudah menyimpang apabila mengangkat Negara Berkebajikan berbanding Negara Islam sejak sekian lama. Sehubungan itu beliau menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam. Mengakui ulasannya sebelum ini sebagai terlanjur kata, Hassan hari ini juga menyatakan pendirian bahawa beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperjuang PAS kerana sebahagian dari initipati dan matlamat ke arah menubuhkan sebuah negara Islam. “Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini. “Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya. Sementara itu, Hasan juga berkata beliau bersedia bertemu kepimpinan parti bila-bila masa bagi merungkai permasalahan yang timbul yang turut mengaitkan dirinya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/7207-saya-tarik-balik-kritik-negara-berkebajikan-hasan-ali
The game is over, kata Mustafa Ali |
Harakahdaily |
KUALA TERENGGANU, 24 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) yakin, isu kekecohan yang berlaku dalam PAS sudah selesai. "The game is over - permainan ini sudah selesai, bagi saya ia sudah selesai," kata Mustafa ketika memberikan ucapan dalam majlis makan malam di Markas PAS Kuala Terengganu, di sini malam tadi. Mustafa mengulas kekecohan yang berlaku dalam PAS ekoran perang dalam media antara beberapa pemimpinnya. Ia memuncak apabila Mustafa menyifatkan dua pemimpin Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa terperangkap dalam agenda musuh PAS iaitu Umno. Menurut Mustafa, ia selesai melalui kenyataan beberapa pimpinan dan mesyuarat lajnah politik baru-baru ini. "Dalam mesyuarat, saya tanya kepada semua yang terlibat dan masing-masing kata, apa yang mereka cakap lain, yang disiarkan media lain. "Jadi jawapan saya dalam sidang media yang lalu harapnya yang terakhirlah," kata Mustafa. Bagaimanapun, katanya, Dr Hasan akan membuat kenyataan hari ini dan dia akan melihat kenyataan itu samada untuk memberi respons atau tidak. "Kalau dia (Dr Hassan) cabar suruh dedah, saya akan kajilah apa nak jawab," kata Mustafa. Kes itu, katanya selesai dengan cara Presiden PAS memanggil tiga orang yang terlibat dalam kes ini termasuk Adun Hulu Klang yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7201-the-game-is-over-kata-mustafa-ali
Mustafa 'kunci mulut' anggap isu Hasan selesai |
Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR, 25 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (kiri) berkata, beliau tidak akan lagi membuat sebarang ulasan berhubung exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (kanan). Katanya, beliau akan mengambil pendekatan 'kunci mulut', sesuai dengan janjinya sebelum ini bahawa jika Hasan tidak lagi menyerang PAS, maka dia juga akan berhenti mengulas tentang bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu. "Seperti saya janji sebelum ini bila dia (Hasan Ali) berhenti serang PAS maka saya akan tutup mulut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Hasan pada sidang media di kediamannya semalam. Pada sidang media tersebut, Hasan menyatakan permohonan maafnya kepada pimpinan dan ahli PAS kerana mengkritik konsep Negara Berkebajikan yang telahpun dipersetujui dalam muktamar parti itu Jun lalu. Hasan juga sebelum ini menyifatkan PAS tergelincir dari perjuangan Negara Islammya apabila memperkenalkan konseb Negara Berkebajikan. Menyesali pandangannya itu sebagai 'keterlanjuran kata', Hasan juga semalam bertindak menarik balik kritikan tersebut. "Bagi saya dia dah mintak maaf sungguh-sungguh tu. Pasal dia serang peribadi saya takpe lah saya dah maafkan dia," tegas Mustafa. Pendekatan Mustafa itu diyakini mampu menutup episod yang dilihat 'pertembungan dalam parti' yang menjadi topik perbincangan hangat sejak dua minggu lalu. Ditanya jika Hasan tidak mahu berhenti dan masih mahu mengulas isu parti, Mustafa berkata, itu terserah kepada Hasan. "Kalau dia nak bercakap lagi, biar la dia bercakap sorang, saya tak mahu layan," katanya. Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat sebelum ini memutuskan akan memanggil Hasan memberi penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan sejak akhir-akhir ini. Selain Hasan, dua lagi yang akan dipanggil adalah bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungip. |
Hassan datang minta maaf, Nik Aziz buat kenduri kesyukuran |
Salmah Mat Husain |
BACHOK, 28 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Datuk Dr Hassan Mohd Ali telah bertemu dengan pimpinan tertinggi PAS semalam dan menarik balik segala kenyataannya terhadap PAS sebelum ini. Beliau juga berkata, Hassan Ali juga telah meminta maaf dari pimpinan PAS mengenainya. "Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini. "Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya. "Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hassan," kata Nik Aziz kepada wartawan di sini. Nik Aziz bercakap kepada pemberita ketika melawat kesan hakisan ombak di Pantai Irama, Bachok hari ini. Menurut beliau, pertemuan itu berlangsung di JKR 10 semalam di mana Hassan dan Ustaz Nasharudin Mat Isa bertemu dengan tiga pemimpin tertinggi PAS di Kota Bharu. (Nik Aziz melawat Pantai Irama, Bachok yang terjejas teruk akibat hakisan ombak) Dua lagi pemimpin adalah Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din. Menurut Nik Aziz, pertemuan ini dianjurkan oleh PAS Pusat "Dan jika PAS Pusat tak atur pun, saya akan panggil dia." Kenduri kesyukuran "Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini. "Saya berharap PAS Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini," cadang beliau. Nik Aziz yakin, hal ini tidak lagi boleh dijadikan isu oleh Umno kerana ruangnya sudah ditutup rapat. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/7264-hassan-datang-minta-maaf-nik-aziz-buat-kenduri-kesyukuran
Pemimpin PAS berjiwa besar, junjung ukhwah |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 29 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) mengucapkan terima kasih dan penghargaan setingginya kepada pucuk pimpinan PAS yang berjaya menyelesaikan kemelut dalaman secara penuh ukhwah dan semangat persaudaraan melalui pertemuan khusus yang diadakan semalam. “DPP Malaysia merasa terharu kerana pimpinan PAS bingkas menyelesaikan segala konflik dan kemelut dalaman yang membelenggu PAS beberapa minggu ini dengan penuh sifat tawadduk dan merendah diri,” kata naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss. Katanya, pertemuan dan penyelesaian penuh bermakna antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Dr Hassan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa pastinya akan menjernihkan keadaan dan memadamkan fitnah yang selama ini membakar dan meliar di dalam gerakan Islam itu. Menurutnya, masyarakat khususnya yang beragama Islam melihat bahawa PAS mampu menjadi contoh kepada semua parti politik bagaimana pengurusan konflik boleh diselesaikan dengan baik dan mudah tanpa persengketaan yang panjang. Katanya, meskipun terdapat perbezaan pandangan dan pendapat dalam beberapa perkara, akhirnya ia mampu diselesaikan di meja rundingan dalam pertemuan penuh mahabbah. Tambahnya lagi, ternyata segala tohmahan liar segelintir golongan bahawa kemelut dalaman PAS tidak akan berkesudahan adalah suatu tuduhan tidak berasas. PAS, ujarnya membuktikan masih menjunjung tinggi nilai ukhwah, perpaduan dan persaudaraan yang bertunjangkan kepada akidah perjuangan Islam. “Nilai ini terus bertahan dan tidak akan luput sejak ia ditubuhkan dan selama mana hayat PAS di persada tanah air ini,” ujarnya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, DPP Malaysia percaya penyelesaian baik yang ditunjukkan antara pimpinan PAS membuktikan kepemimpinan PAS berjiwa besar dan sanggup berlapang dada bagi menyelesaikan permasalahan mereka secara baik. PAS juga, katanya dilihat mampu menjadi pengganti Umno BN yang sudah semakin mereput menanti ajal. “Insya Allah, keteladanan yang terpuji oleh kepemimpinan tertinggi PAS mampu menjadi bekal buat semua ahli dan pendokong PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan dalam PRU ke-13,” katanya lagi. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/7288-pemimpin-pas-berjiwa-besar-junjung-ukhwah
Harakahdaily pertahan berita, ini transkripnya |
Ketua Ulamak sambut baik pertemuan mahabbah |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 30 Dis: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib bersyukur dan amat menyambut baik keputusan pertemuan mahabbah untuk menyelesaikan perbezaan pandangan di dalam parti yang diadakan baru-baru ini dengan semangat ukhuwwah yang tinggi. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Datuk Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang diadakan di Kelantan, Selasa lalu. “Amalan memohon kemaafan amat dituntut dan digalakkan oleh ajaran Islam, terdapat dalam satu hadis yang menceritakan kelebihan orang yang meminta maaf, Allah SWT amat menyayangi mereka yang melakukan keterlanjuran kemudian kembali kepada Allah SWT. “Kedudukan mereka sangat istimewa di sisi Allah SWT berbanding mereka yang enggan melakukan tindakan sedemikian rupa,” tegas beliau ketika dihubungi semalam. Menurut beliau lagi, memandangkan kemelut tersebut telah selesai dan kedua-dua tokoh tersebut telah menjelaskan kepada kepimpinan tertinggi parti, maka sebaiknya tidak perlu lagi diambil tindakan yang lain. Ujar beliau yang juga Adun Manir, Terengganu, pihak parti juga perlu melihat angkara siapa yang sebenarnya yang menjadi punca permulaan yang menyebabkan kemelut itu tercetus sebagai pengajaran pada masa akan datang. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7307-ketua-ulamak-sambut-baik-pertemuan-mahabbah
No comments:
Post a Comment