PAS CAWANGAN TAMAN SRI RAYA - Koleksi Berita-berita daripada
Sumber Berita Utama :
1. Harakahdaily
2. DetikDaily
3. Malaysiakini
4. Dan lain-lain
Terima Kasih. Semenjak 10 Januari 2011
KUALA LUMPUR, 26 Nov: AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berharap tahun baru 1433 Hijrah membawa perubahan besar-besaran di Putrajaya.
“Salam Hijratul Rasul kepada semua muslimin muslimat, semoga Tahun Baru Hijrah kali ini membawa perubahan besar-besaran di Putrajaya dan Parlimen Malaysia,” ujarnya melalui twitter.
Menurutnya yang juga ahli Parlimen Bukit gantang, yang ada ialah hijratul rasul, maal hijrah tidak tahu berasal dari mana.
Tambahnya, secara prinsip dan teknikal sebenarnya tak ada istilah maal hijrah dan menggesa ulama supaya mengubahnya.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut mengucapkan salam Hijrah 1433 sambil menyeru bersama membangun aqidah ummah.
“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
– Surah al-Nisa’ ayat 100
Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT.
Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan. Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah. Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA. Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’?
Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.
Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara.
Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT. Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri.
Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya. Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah. Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam. Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda.
Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai. Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat. Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan? Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia. Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT. Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.
Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini.
Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Al-Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Bertarikh: 28 Zulhijjah 1433H bersamaan 24 November 1433H
KUALA LUMPUR, 27 Nov: “Sesungguhnya menyambut ulang tahun Hijratur Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan,” kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya, sambutan Hijratur Rasul sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah.
Menurutnya, sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA.
“Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’?” soalnya yang juga Menteri Besar Kelantan.
Jawabnya, jelas beliau ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w.
Menurutnya lagi, momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.
Jelas beliau, pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah s.a.w. ke Madinah.
Beliau menambah, jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w.
“Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara,” ujarnya dalam perutusan sempena sambutan Hijratur Rasul 1433 Hijrah, hari ini.
Kedatangan tahun Hijrah 1433 pastinya disambut meriah di Malaysia. Pelbagai program telah diatur oleh pihak masjid, badan-badan kerajaan, swasta dan juga pihak kerajaan bagi meraikan hari kebesaran Islam ini. Hakikatnya, di dalam Islam, Tahun Baru Hijrah bukan sekadar perayaan atau simbolik semata-mata bahkan mempunyai signifikan yang besar kepada ummatnya khususnya belia (anak muda). Unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010 mendapati jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang. Ia mewakili 43 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia.
Hijrah telah menunjukkan kepentingan dan keberkesanan peranan dan sumbangan golongan anak muda dalam sesuatu usaha. Apabila golongan anak muda menggunakan potensi akal dan kekuatan untuk tujuan kebaikan, sebesar mana perancangan sekalipun akan dapat menjadi realiti.
Dari peristiwa Hijratul Rasul, dapat diambil beberapa pengajaran yang penting dan berguna buat generasi anak muda kini. Antaranya ialah sikap optimis Saidina Ali. Atas dasar kecintaan dan keyakinan kepada janji Nabi SAW, beliau sanggup menggantikan baginda di tempat tidur baginda . Beliau tidak gentar akan risiko cubaan membunuh Baginda SAW oleh pihak Quraisy kerana beliau optimis terhadap arahan Baginda SAW. Ketika itu, Baginda SAW berkata kepada Saidina Ali bin Abi Talib: “Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah dengan selimut al-Hadrami yang berwarna hijau ini. Mereka tidak akan dapat melakukan apa-apa yang buruk terhadapmu.”
Antara ikon anak muda yang menonjol dalam peristiwa Hijratul Rasul ini juga adalah Abdullah bin Abu Bakar. Dalam tempoh 3 hari persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar di Gua Thur, mereka berdua dibantu oleh Abdullah bin Abu Bakar yang bertugas sebagai perisik untuk membekalkan maklumat kepada baginda mengenai perancangan orang Quraisy Mekah. Beliau akan keluar seawal waktu sahur dan akan pulang ke Gua Thur setelah larut malam.
Sesuatu yang menarik pada Hijratul Rasul, terselit juga dalam lipatan sejarah mengenai sosok wanita yang begitu berjasa kepada Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Beliau adalah Asma’ Binti Abu Bakar, anak kepada Saidina Abu Bakar. Dalam peristiwa hijrah ini, keberanian luar biasa Asma' terserlah tatkala beliau memastikan bekalan makanan sampai kepada ayahnya dan Baginda SAW di saat nyawa mereka beruda diancam oleh pihak Quraisy. Asma' mengembala kambing di belakangnya sepanjang perjalanan menghantar makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar dengan tujuan jejaknya akan terhapus oleh kambing yang digembalanya.
Di samping itu, sumbangan Amir bin Fuhairah juga tidak dikesampingkan. Beliau diarahkan untuk membawa kambing-kambing gembalaannya di sekitar Gua Thur untuk menghilangkan kesan-kesan tapak kaki Abdullah bin Abu Bakar dan Asma’ Binti Abu Bakar yang sentiasa berulang-alik antara Mekah-Gua Thur.
Memetik tulisan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di dalam bukunya “Hijratul Rasul: Iktibar dan Hikmah”, beliau ada menyebut, “Demikianlah kalau kita perhatikan mereka yang bersama sebilangan besar adalah remaja (anak muda). Mereka tidak membuang masa dengan perkara yang membuang masa.”
Mujasyi’ bin Mas’ud al-Sulami berkata, “Aku pernah menemui Nabi SAW untuk berbai’ah kepadanya atas Hijrah. Baginda bersabda, “Sesungguhnya Hijrah telah berlalu, akan tetapi berbai’ahlah atas Islam, jihad dan kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyebut, “Hijrah yang paling mulia telah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda Rasulullah, maka Rasulullah mengingatkan kepada kita agar terus melakukan ketaatan kepada agama Islam, melakukan jihad, dan seluruh amalan kebaikan, dan Baginda bermaksud: Aku menyeru kepadamu agar melakukan perkara-perkara (kebaikan) ini".
Apa yang pasti, tiada lagi hijrah selepas Hijratul Rasul. Namun, tidak mustahil untuk gerakan anak muda masa kini melakukan ‘hijrah’ dalam usaha melahirkan ikon seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Asma’ binti Abu Bakar, Abdullah bin Abu Bakar mahupun Amir bin Fuhairah. Hijrah membuktikan anak muda mampu menyumbang untuk agama dan pastinya untuk negara.
Sewajarnya semua pihak perlu menyedari bahawa jatuh bangun agama, tamadun serta identiti negara banyak bergantung kepada potensi anak muda. Bersama idealisme, intelektualisme dan aktivisme yang ada pada mereka, sejarah dunia juga mampu dirubah. Usah diperkecilkan suara anak muda!
Firman Allah, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Al-Baqarah: 218)
MUHAMMAD FARID HADHARI BIN MAHAMED RUSDI Presiden, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia Universiti Sains Islam Malaysia
KUALA LUMPUR, 27 Nov: Sambutan Hijratur Rasul tidak akan bermakna jika sekadar mengingati penghijrahan Nabi s.a.w. tanpa mengetahui tujuan Nabi berhijrah.
“Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam yang mendaulatkan hukum hakam Allah,” kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib.
Jelasnya, Islam tidak cukup hanya menjadi amalan ritual semata-mata tetapi mesti berdaulat dan diamalkan dalam masyarakat dan negara tercinta.
Justeru, jelasnya PAS yang ditubuhkan adalah untuk membawa aspirasi hijrah Nabi s.a.w.
“PAS bukan sekadar menyambut peristiwa penting ini tetapi juga memperjuangkan tujuan di sebalik hijrah tersebut.
“Perjuangan ini diwarisi dan diteruskan sebagai melaksanakan amanah yang diberikan agar Islam terus berdaulat dalam sebuah negara yang menerima hidayat,” ujarnya dalam perutusan sempena Sambutan Hijratur Rasul 1433H.
Berikut adalah perutusan penuh beliau.
Pertama-tamanya saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijriyyah 1433 kepada seluruh umat Islam khususnya para pendukung agama Allah SWT. Sambutan ini menandakan bermulanya tahun baru mengikut kalendar Islam yang dilihat semakin hari semakin dilupakan oleh umat Islam sendiri dek kerana terlalu mengagungkan kalendar barat berbanding kalendar sendiri.
Kalendar Islam diasaskan oleh Saidina Umar al-Khattab ketika menjadi Khalifah yang kedua dengan menjadikan tahun berlakunya hijrah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai tahun pertama dalam Islam. Jelasnya, sambutan tahun baru ini adalah juga secara langsung menyambut ulang tahun penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah.
Sambutan Hijratur Rasul tidak akan bermakna jika sekadar kita mengingati penghijrahan Nabi tanpa mengetahui tujuan Nabi berhijrah. Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam yang mendaulatkan hukum hakam Allah. Islam tidak cukup hanya menjadi amalan ritual semata-mata tetapi mesti berdaulat dan diamalkan dalam masyarakat dan negara tercinta.
Umat Islam hari ini hanya sekadar mengingati dan menyambut peristiwa Hijrah tetapi dalam masa yang sama negara yang mereka diami tidak mendaulatkan Islam yang menjadi sebab kepada Nabi berhijrah. Al-Quran dan As-Sunnah yang sepatutnya menjadi rujukan dan panduan kepada negara hanya tersimpan rapi dan menjadi dokumen sepi tanpa siapa yang mempeduli. Pemerintah yang mengaku dirinya Islam menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan dengan menolak untuk menjadi hamba Allah yang menguatkuasakan undang-undangnya.
PAS yang ditubuhkan adalah untuk membawa aspirasi hijrah Nabi s.a.w. PAS bukan sekadar menyambut peristiwa penting ini tetapi juga memperjuangkan tujuan di sebalik hijrah tersebut. Perjuangan ini diwarisi dan diteruskan sebagai melaksanakan amanah yang diberikan agar Islam terus berdaulat dalam sebuah negara yang menerima hidayat.
Justeru, saya menyeru agar umat Islam tidak menjadi umpama seorang bapa yang menyambut kelahiran yang baru tetapi tidak mengetahui tanggungjawab dia yang sebenar terhadap bayi yang dianugerahkan kepadanya itu. Marilah kita menyambutnya dengan penuh kegembiraan dengan memikul amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya sebagai hamba Allah.
Kita bukan sahaja dikehendaki untuk menyambut awal hijrah ini sebagai memperingati peristiwa ini sebagaimana kita memperingati tahun kelahiran kita. Tetapi menyambut peristiwa hijrah ini memberi makna bahawa kita mesti berusaha sedaya mungkin, hatta walaupun tersingkir daripada negara sendiri untuk kita berusaha supaya mendapat mencari sebuah tempat ataupun tanah subur yang boleh menyebarkan Islam melaluinya dan satu kawasan yang boleh memancar di dalamnya cahaya Islam.
KUALA LUMPUR, 27 Nov: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan menggesa seluruh anak muda mengambil semangat hijrah Rasulullah SAW sebagai momentum untuk berubah ke arah masa depan negara lebih baik.
Ustaz Nasrudin Hassan Antantawi -Ketua Pemuda PAS
Katanya, hijrah Rasulullah itu juga adalah garis pemisah yang membebaskan ummah dari belenggu jahiliyyah ke arah pembentukan sebuah 'baldatun toyyibah wa rabbun ghafur' iaitu menjadi sebuah negara yang baik, aman, sejahtera dan membangun dan mendapat keampunan tuhan.
"Justeru memperingati ulangtahun perisiwa hijrah, selayaknya setiap individu khasnya anak muda menghayati sejarah agung ini dan bersedia untuk melakukan sebuah perubahan total ke arah pembentukan masa depan negara yang aman, sejahtera, harmoni dan mendapat lindungan rahmat serta keampunan Allah swt," katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hijratur Rasul 1433.
Menurutnya lagi, sudah ketetapan Allah bahawa perjuangan besar untuk melunaskan sebuah perubahan dan amanah gerak kerjanya, menghadapi cabaran yang mengundang implikasi besar.
Namun ujarnya, itulah harga sebuah perjuangan yang mesti dibayar oleh para pejuang di mana harta dan nyawa menjadi taruhan demi sebuah perjuangan suci.
"Bangkitlah wahai sekelian anak muda dari tidur yang panjang, kini kita berada selekoh akhir untuk membuat pecutan kemenangan ke garis penamat.
"Sempena ulangtahun Hijrah ar-Rasul SAW kali ini, kebangkitan anak muda mewarnai gerakan perubahan adalah suatu yang sangat didambakan," tegasnya.
TOKOH MAAL HIJRAH 1433 PERINGKAT NEGERI SELANGOR :
DATO' ISMAIL KAMUS
Pendakwah bebas / Mantan ADUN Gombak Setia
Pemenang Anugerah Pertubuhan Dakwah Sukarela wakil Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor, Ashri Lateh, Tokoh Maal Hijrah 1433 Hijrah/2011Masihi Datuk Ismail Kamus, Tokoh Aktivis Masyarakat, Jamaluddin Elias, Tokoh Keluarga Mithali Said Husin dan Tokoh Saudara Kita Muhammad Chan Abdullah bergambar selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengajak para artis dan selebriti tempatan agar segera ‘berhijrah’ dengan menjadi insan mukmin yang soleh dan bertaqwa kepada Allah SWT.
“Hijrah ini penting sebagai usaha mengajak dan mendidik masyarakat untuk menjadi generasi yang berakhlak mulia di negara ini,” kata Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) DPPWP, Fadhil Osman.
Bagi DPPWP, katanya para artis serta selebriti adalah golongan yang menjadi idola dan ikon masyarakat.
Menurutnya, mereka digilai oleh ribuan anak-anak muda yang ingin melihat aksi mereka dalam dunia hiburan.
Katanya, setiap pergerakan mereka pasti dalam pengetahuan peminat fanatik mereka.
Justeru, ujarnya para artis atau selebriti adalah umpama magnet yang boleh menarik anak-anak muda di negara ini ke mana sahaja.
“Apa yang mendukacitakan, ada kalangan artis atau selebriti tempatan tidak menunjukkan contoh yang baik terhadap masyarakat,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, meskipun jumlah mereka tidak ramai, namun gejala negatif yang dilakukan oleh mereka turut menjadi ikutan para peminat.
Antaranya, kata beliau seperti penyalahgunaan dadah, bersekedudukan, jenayah, budaya hidup sosial yang melampau serta berpakaian yang menjolok mata.
Justeru, ujarnya penghijrahan mereka akan menarik sama anak-anak muda untuk turut jejak langkah mereka.
Jelasnya, DPPWP tidak pula bermaksud meminta para artis meninggalkan dunia hiburan yang mereka ceburi kerana mungkin ia telah menjadi sumber pendapatan mereka, namun apa yang penting adalah mereka menjadi insan teladan yang baik dan boleh dicontohi oleh masyarakat.
“Dalam hal ini, DPPWP memuji beberapa orang artis yang telah berhijrah seperti Catriona Ross, Bob Lokman, Sham Kamikaze, Iwan, Wardina, Irma Hasmie serta beberapa orang artis wanita yang telah mengubah penampilan dengan memakai pakaian menutup aurat dan menjaga solat,” katanya.
Beliau menambah, meskipun mereka masih berlakon dan aktif dalam dunia seni, mereka tidak mengabaikan syariat Islam.
Bahkan, kata beliau imej baik itu akan menjadi contoh teladan yang baik para artis Malaysia di pentas antarabangsa.
DPPWP juga, ujarnya mengharapkan agar para artis dan selebriti tidak merasa gentar terhadap usaha penghijrahan.
“Insya Allah, perubahan pada penampilan tidak akan merencatkan rezeki mereka, malah rezeki akan lebih mencurah-curah.
“Daripada pentas lakonan sehingga ke masjid-masjid, para artis yang telah berhijrah ini akan dijemput untuk memberi perkongsian serta persembahan,” ujarnya.
KUALA LUMPUR, 25 Nov: Pemuda PAS Sarawak kesal dengan sikap Alfred Jabu yang tidak sensitif terhadap umat Islam dengan mengaitkan hudud dengan ‘politik kotor’ dan ‘keji’.
YB Alfred Jabu - Timbalan Ketua Menteri Sarawak
Ketuanya, Mohammad Arifiazul menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Alfred selaku Timbalan Ketua Menteri ketika persidangan Dun Sarawak semalam.
Katanya, Alfred Jabu menggunakan istilah ‘hudud politik’ yang secara terang-terangan menghina dan mempermainkan hudud.
Menurutnya, Alfred Jabu menuduh Pakatan Rakyat mengamalkan politik kotor dan aggresif, sedangkan pada waktu yang sama, menghina dan mempermainkan hukum hudud yang termaktub dalam Al-Quran dan sebahagian daripada perundangan Islam.
“Secara nyata, Alfred Jabulah yang mengamalkan politik kotor dan tidak sensitif di Sarawak, bukannya Pakatan Rakyat.
“Alfred menggambarkan Pakatan Rakyat datang ke Sarawak, membawa budaya politik pelik,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Baginya, Alfred lupa bahawa Pakatan Rakyat Sarawak merupakan terdiri daripada rakyat Sarawak yang bosan dengan pemerintahan BN selama ini, dan bukannya orang luar.
Justeru, ujarnya Pemuda PAS Sarawak menyarankan Alfred Jabu supaya berhenti memberi kenyataan mengenai hudud, kerana beliau tidak mempunyai maklumat dan penerangan yang cukup mendalam mengenai hukum hudud.
Beliau menambah, Pemuda PAS Sarawak menyarankan Alfred supaya lebih sensitif terhadap isu-isu keagamaan seperti itu dan Pemuda PAS Sarawak mengingatkan rakyat Sarawak tidak mungkin dapat menerima pemimpin yang tidak sensitif seperti beliau.
Katanya, Pemuda PAS Sarawak kesal dengan Adun-Adun PBB yang beragama Islam terutama Ketua Menteri sendiri yang tidak bangkit menegur kenyataan bodoh Alfred Jabu ini.
Tambahnya lagi, Adun-Adun PBB yang beragama Islam sepatutnya membela agama Islam dan menegur Alfred yang tidak sensitif terhadap agama Islam.
“Pemuda Sarawak menyeru Adun-Adun PBB yang penakut ini, untuk memberi ruang kepada PAS jikalau tidak mampu membela agama sendiri dalam dewan undangan negeri,” katanya.
Justeru, tegasnya Pemuda PAS Sarawak menuntut Alfred Jabu membuat kenyataan terbuka memohon maaf kepada semua umat Islam serta menarik balik ucapan itu.
MIRI, 28 Nov: 'Pasar Tamu' adalah perkataan tempatan untuk penjaja tempatan yang berkumpul dari kampung datang ke bandar Miri untuk menjual produk mereka.
Pelbagai barangan yang dijual di situ seperti beras, sayur-sayuran tempatan, ikan dan buah-buahan.
Pasar Tamu telah menarik bukan sahaja penduduk tempatan, tetapi juga dari Brunei.
Pasar Tamu di pusat Bandaraya Miri perlu dinaik taraf supaya ia jadi lebih teratur dan indah, dan selaras dengan status Miri sebagai Bandaraya Pelancongan.
Begitu juga, penjaja yang menjual sayur-sayuran sepanjang Tamu lama juga perlu diletakkan di kawasan khas yang kelihatan lebih bersih dan teratur tidak berselerak seperti sekarang.
Pada waktu puncak, tempat letak kereta adalah sukar kerana penjaja menggunakan tempat letak kereta untuk menjajakan produk mereka.
Apabila terdapat ramai pengunjung yang datang ke tempat itu, kawasan itu menjadi sesak dan sebahagian daripada mereka letak kenderaan di tepi jalan dan ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Kita mencadangkan kepada pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) supaya meletakkan tempat khas untuk penjaja tersebut iaitu di tengah kawasan lapang di belakang HSBC Bank di mana di situ memang sesuai untuk menjual hasil mereka dan juga tidak menghalang lalu lintas dan mudah untuk letak kenderaan.
“Semoga cadangan ini mendapat perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya dari pihak MBM agar kita sama-sama dapat membangunkan Bandaraya Miri dengan lebih teratur dan indah dipandang oleh masyarakat tempatan dan juga para pelancong dari luar,” ujar Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee.
Sdr Jofri Jaraiee - YDP PAS Miri
Beliau berkata, sekiranya pihak pemerintah gagal untuk membangunkan Bandaraya Miri, PAS dan Pakatan Rakyat (PR) bersedia untuk mengambil alih Bandaraya Miri dengan melakukan lebih banyak lagi perubahan yang lebih sesuai untuk semua golongan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik kiranya diberi peluang mengambil alih kuasa dari parti pemerintah sekarang.
Masalah peniaga kecil
“Kita yakin PAS bersama PR sudah bersedia membangunkan Miri ke arah Bandaraya pelancongan yang lebih baik dan teratur untuk menarik lebih ramai lagi pelancong datang selain memberi banyak manfaat kepada semua golongan bukan setakat untuk pihak tertentu saja atau kroni seperti yang diamal sekarang,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak.
Menurutnya, peniaga kecil mendapati sukar untuk menjalankan perniagaan kerana hampir semua perniagaan di Sarawak telah dimonopoli atau dikawal oleh pihak kapitalis, terutamanya di Bandaraya Miri mengikut pandangan peniaga-peniaga kecil di Miri.
“Kita bukan menentang pembangunan tetapi kalau hanya pihak tertentu saja yang menguasai ekonomi serta perniagaan dari yang besar sehingga kepada yang sekecil-kecilnya, maka sukar sekali bagi para peniaga kecil untuk bersaing dengan syarikat yang besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Ini, katanya terutama melibatkan para peniaga Bumiputera dan Cina yang tidak mempunyai modal yang besar untuk bersaing dengan syarikat besar tersebut.
Mereka juga, ujarnya lagi merungut tentang masalah itu sebab apabila syarikat besar yang mempunyai kepentingan dengan pihak pemerintah, maka sukar untuk mereka bersaing untuk mendapat tempat peniagaan terutama dalam bandaraya seperti Miri kerana harga kedai semakin tinggi dan sewa juga semakin meningkat terutama sekali dalam kawasan bandar.
Jadi, tambah beliau jika perkara itu berterusan sudah pasti ada para peniaga kecil akan gulung tikar sebab sudah tidak mampu lagi bersaing dengan syarikat kroni yang mempunyai rangkaian dengan pihak yang berkuasa.
“Inilah masanya rakyat perlu sedar sebelum semuanya terlambat sebab apa saja cadangan dan aduan yang dikemukakan oleh rakyat atau dari parti pembangkang jarang sekali mendapat perhatian oleh pihak pemerintah disebabkan mereka mempunyai kepentingan tertentu dan juga menjaga kepentingan kroni yang menguasai ekonomi mereka.
“Inilah masanya penduduk Bandaraya Miri beri peluang kepada PAS dan PR untuk mengambil alih Miri dan juga Sarawak demi masa depan rakyat semua kaum tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik,” katanya lagi.
KUALA LUMPUR, 14 Dis: Panel Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan mesyuarat khas tidak lama lagi, bagi membincangkan desakan dari 13 NGO supaya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya ditangkap atas pelbagai dakwaan.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat tersebut dijangka akan diadakan dalam masa terdekat sebaik sahaja Pengerusi AJK Panel itu, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dimaklumkan mengenainya.
Menurutnya, permintaan agar diadakan mesyuarat tersebut akan dibuat oleh beliau sendiri kepada Radzi atas kapasitinya selaku salah seorang AJK Panel tersebut.
Katanya, tujuan mesyuarat itu diadakan adalah untuk membincangkan tindakan sewajarnya yang patut diambil oleh panel tersebut berhubung laporan berkenaan.
"Saya akan maklumkan perkara ini kepada Datuk Radzi nanti untuk meminta beliau memanggil mesyuarat khas AJK Panel Khas SPRM, bagi meminta SPRM menerangkan kepada kami mengenai laporan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari enam negara mendesak supaya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya ditangkap atas pelbagai dakwaan, termasuk salah guna jawatan awam, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.
Antara NGO yang membuat tuntutan berkenaan adalah Dana Bruno Manser (BMF), Greenpeace dan pertubuhan pemantau hutan dunia, Fern.
Mereka telah mengemukakan surat bertarikh semalam kepada Kerajaan Malaysia supaya menangkap individu berkenaan kerana dituduh dengan pelbagai dakwaan berkaitan dengan pengagihan dana awam secara haram, salah guna jawatan awam, merampas tanah kerajaan, rasuah, eksploitasi konflik kepentingan dan sebagainya.
Surat berkenaan dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Polis Negara.
"Kami memohon pendakwa utama Malaysia pada kadar segera menangkap dan mendakwa Ketua Menteri Sarawak, empat anaknya, lapan adik-beradiknya dan sepupu pertamanya, Abdul Hamed Sepawi," kata NGO itu dalam surat mereka.
Selain Abdul Taib, 75, mereka yang dinamakan itu adalah anak-anaknya, Jamilah Hamidah Taib Murray, Mahmud Abu Bekir Taib, Sulaiman Abdul Rahman Taib, Hanifah Hajar Taib.
Manakala adik beradiknya pula adalah Ibrahim Mahmud, Aisah Zainab Mahmud, Zaleha Mahmud, Onn Mahmud, Mohamad Ali Mahmud, Mohd Tufail Mahmud, Amar Hajar Fredahanum Mahmud dan Raziah Mahmud.
Surat 10 muka surat itu ditandatangani oleh 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom serta beberapa tandatangan individu dari Malaysia.
Menurut Salahuddin, kes tersebut merupakan sesuatu yang amat serius dan pihaknya amat perlu mendapatkan keterangan lanjut dari SPRM dengan segera sama ada benar telah menerima laporan tersebut atau sebaliknya.
"Sekiranya SPRM memang telah menerima laporan itu, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh SPRM bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil ke atas pihak-pihak terbabit," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
(Sebahagian penyokong PAS, PKR dan DAP yang memenuhi majlis makan malam anjuran Jabatan Pilihan Raya PAS Sarawak di Miri)
MIRI, 30 Dis: Pakatan Rakyat Sarawak mensasarkan 10 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang dan dua darinya dari daerah Miri sahaja.
Sasaran ini diluahkan dalam majlis penerangan PAS Pusat yang datang ke Sarawak minggu ini.
Melihat perkembangan dan sokongan yang semakin meningkat naik di kawasan parlimen Miri dan Sibuti, adalah tidak mustahil kedua dua Parlimen ini jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya Parlimen yang dijadualkan tidak lama lagi.
Bersempena program penerangan PAS Pusat bersama Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak selama 2 hari bermula Rabu 28 Disember lalu, lebih 12 pimpinan PAS Pusat turun menjelajah setiap Parlimen yang menjadi sasaran bagi PAS Sarawak.
Di Bahagian Miri, yang terletaknya dua Parlimen, Miri dan Sibuti, Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Nizar dan AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad telah mengetuai misi di sini.
Sebaik tiba di Miri pada petang Rabu lepas, satu majlis makan malam Pakatan Rakyat anjuran bersama Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan Miri dan Sibuti dan Sekretariat Pakatan Rakyat Miri di Eastwood Valley, Jalan Miri-Bintulu diadakan.
Kehadiran mencecah 400 orang dengan hampir 40 buah meja terjual.
Pimpinan yang hadir termasuk, Naib Presiden DAP merangkap Ahli Parlimen Kuching, Chong Chien Jen dan Cikgu Badrul Shahrin atau lebih dikenali Chegu Bard.
Pimpinan tempatan termasuk YDP PAS Miri, Tuan Haji Jofri dan Alan Ling dan Fong dari DAP serta pimpinan PKR turut serta.
Dalam majlis itu menyaksikan pimpinan di semua peringkat telah menyatakan bahawasanya misi Pilihanraya ke 13 adalah pertentangan antara haq dan batil selain ketiga-tiga parti bersetuju untuk terus dalam muafakat politik bagi menumbangkan rejim Barisan Nasional.
Kegagalan Taib Mahmud untuk menunaikan janji untuk berundur bakal membangkitkan lagi sentimen anti Barisan Nasional, seterusnya melakar perubahan bersejarah bagi Pakatan Rakyat.
Dengan sasaran sekurang kurangnya 10 kerusi Parlimen dari sejumlah 31 Parlimen Sarawak, Pakatan Rakyat berkira kira Parlimen Miri dan Sibuti yang kini dipegang oleh Barisan Nasional bakal jatuh ketangan PR sekiranya sistem pilihanaraya tidak dicemari penipuan.
Ia bakal berjaya dengan syarat gerakerja sepakat dan kuat antara ketiga-tiga parti komponen PR di Miri dan Sibuti ini, kata mereka.
Pada malam tersebut Dana PRU 13 telah dilancarkan dan Datuk Seri Nizar juga melancarkan Buku Negara Berkebajikan tawaran PAS yang mendapat sambutan menggalakkan dari para hadirin.
Program sebelah pagi dan petang Khamis yang diatur pula melibatkan pertemuan dengan pengundi dan program kebajikan di sekitar Pasar Tamu di Miri, Permajaya dan Sibuti turut membuktikan pernerimaan PAS sebagai satu daripada elemen terpenting Pakatan Rakyat di Sarawak.
Walaupun program cuba dihalang pihak berkuasa dengan mengugut pengundi sekitar, namun semuanya berjalan lancar.
Pada malam sebelum keberangkatan pulang, kedua-dua pimpinan telah memberikan taujihat kepada semua petugas PAS Kawasan Miri dan Sibuti dalam memastikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.
MIRI, 26 Jan: PAS Sarawak melahirkan komitmen untuk memastikan negeri Bumi Kenyalang itu tidak lagi menjadi 'fix deposit' kepada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
Tekad itu dizahirkan pada Ijtima Pilihanraya dan Penerangan PAS Sarawak yang buat julung kalinya diadakan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak di sini pada 21 hingga 23 Jan lalu.
Dalam program itu, 150 petugas pilihan raya PAS dari seluruh Sarawak hadir, terdiri dari kawasan Petrajaya, Mukah, Limbang, Bintulu, Sadong Jaya, Batang Lupar, Sarikei, Selangau, Sibu dan Miri.
Program tersebut dirasmikan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang turut membentangkan kertas kerja Pelan Strategik Roadmap PRU-13 .
Selain Husam, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga dijemput membentangkan kertas kerja berkaitan Pengalaman PAS di Selangor.
Satu lagi kertas kerja dibentangkan wakil PAS Sabah Haji Shaifuddin berhubung kepentingan penggunaan ICT dan Media Baru berdepan PRU-13.
Selain pembentangan kertas kerja, setiap wakil kawasan dan dewan juga diberi peluang berbahas tentang persiapan pilihan raya.
Sehari sebelum Ijtima tersebut pula, mereka telah mengadakan program mengagihkan kad dan limau sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Program tersebut diadakan di sekitar Pasar Mosjaya Miri dengan diketuai AJK PAS Pusat, Abang Ahmad Kerdee yang juga merangkap Yang Dipertua PAS Batang Lupar.
Kehadiran mereka menerima sambutan positif dari masyarakat sekitar yang rata-rata mahukan perubahan.
KUALA LUMPUR, 27 Jan: PAS bercadang untuk bertanding 12 kerusi parlimen di Sarawak dan sembilan kerusi di Sabah dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.
Menurut sumber, kerusi-kerusi itu adalah kawasan tradisi PAS di samping kawasan yang tidak ditandingi oleh mana-mana parti Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu.
"Kalau selama ini PAS bertanding berdasarkan kaum atau agama yang ada di kerusi berkenaan, namun kini PAS tidak lagi ada batasan itu dengan lahirnya Dewan Himpunan Penyokong PAS atau DHPP," kata satu sumber PAS kepada Harakahdaily.
Dalam pilihan raya umum 2008, PAS hanya bertanding satu kerusi parlimen di Sarawak iaitu Batang Lupar dan hanya dua kerusi Dun di Sabah.
Namun begitu, di Sarawak terdapat 10 kerusi yang tidak ditandingi oleh mana-mana parti Pakatan dan sebahagiannya di menangi oleh calon BN tanpa bertanding.
Kerusi-kerusi yang dimenangi tanpa bertanding oleh BN adalah Tanjung Manis, Igan, Selangau, Kapit dan Kanawit.
Kerusi-kerusi yang hanya ditandingi oleh calon bebas pula adalah Lubok Antu, Mukah, Ulu Rajang, Baram dan Sri Aman.
Menurut maklumat yang Harakahdaily terima, sehingga kini PAS sudah sah bertanding sekurang-kurangnya tiga kerusi di Sarawak berdasarkan kerusi tradisi.
Namun sehingga kini, 10 kerusi yang ditandingi calon bebas dan dimenangi tanpa bertanding oleh calon BN belum ditentukan lagi parti mana yang akan bertanding.
Sejak beberapa bulan lepas, pelbagai badan dalam PAS turun ke Sarawak dan Sabah dari Semenanjung. Antaranya yang berkaitan dengan pilihan raya dan penerangan.
Yang terakhir adalah rombongan Lajnah Penerangan PAS Pusat yang dipimpin Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Melalui ekspedisi itu, PAS membuka denai dan jalan untuk membolehkan benih-benih PAS di tanam di bumi Kenyalang dan Negeri Bawah Bayu itu.
"Sambutan amat baik dan ramai penduduk tempatan yang berharap PAS bertanding di kawasan mereka," kata salah seorang anggota rombongan itu kepada Harakahdaily.
Di Sandakan, PAS telah membuat satu projek angkat iaitu membina sebuah surau di Pulau Shanghai, yang terletak setengah jam menaiki bot laju dari Sandakan.
Semua penduduk pulau itu beragama Islam namun tidak ada sebuah pun surau di pulau itu.
MIRI, 27 Jan: Isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500 yang sepatutnya diterima oleh mereka yang layak terus menjadi pertikaian ramai.
Ramai antara mereka yang layak tidak menerima kerana pelbagai masalah yang dihadapi mereka.
Antaranya berlaku dekat Miri ini.
"Kita mendapat aduan dari orang ramai yang mengatakan cara pengagihan wang tersebut seolah-olah ada unsur-unsur politik dimana mereka yang sepatutnya layak tidak dapat menerima bantuan tersebut dengan berbagai-bagai alasan diberi," kata Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee (gambar bawah).
Menurut beliau, salah seorang mengadu kepada pihaknya adalah Zainal Tar.
Beliau yang sepatutnya layak mendapatnya kerana mempunyai ramai anak dan bekerja sendiri dengan tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan stabil.
Zainal sudah dua kali pergi ke LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) untuk semak pemohonan BR1M tetapi telah ditolak dengan alasan anak pemohon sudah berkahwin dan pernah memohon BR1M bagi pihak keluarganya.
Menurut Zainal, beliau telah diberitahu oleh pegawai yang bertugas di LHDN, kononnya anak perempuan beliau sudah mendapat pemohonan tersebut jadi beliau tidak layak untuk mendapatkannya lagi.
Yang peliknya, apabila beliau pergi ke pejabat LHDN ternyata nama pemohon tidak sama dengan nama anak perempuannya tetapi memiliki nombor kad pengenalan/MyKad yang sama.
Satu hal lagi, anak perempuannya belum berkahwin dan masih bersekolah tetapi nama pemohon yang mempunyai nombor MyKad yang sama dengan anaknya.
"Macamana perkara ini boleh berlaku? Nama yang berlainan tetapi mempunyai nombor MyKad yang sama.
"Kita mendesak agar pihak JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) dan juga LHDN menyiasat perkara ini agar mereka yang sepatutnya layak menerima sumbangan BR1M tidak terpinggir kerana ada kesilapan dalam nombor MyKad," kata Jofri.
Menurut Jofri, pihaknya amat simpati akan nasib penduduk yang tidak memiliki MyKad yang sudah pasti tidak layak untuk menerima sumbangan tersebut.
"Apa tindakan kerajaan lakukan terhadap mereka ini?" tanya beliau.
Dengan kejadian yang berlaku, beliau bimbang kalau-kalau isu kad pengenalan ini juga akan menjadi isu penting dalam pilihan raya nanti.
"Kita harap parti yang memerintah, jangan menggunakan BR1M ini sebagai umpan untuk menarik perhatian rakyat agar menyokong mereka dalam pilihanraya umum ke13 nanti.
"Mereka hendaklah ikhlas dalam memberi BR1M ini kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik," katanya kepada Harakahdaily.
Bagi beliau, semua ini adalah wang hasil dari pembayar cukai maka seharusnya parti pemerintah jangan mengatakan bahawa wang BR1M ini hak mereka kerana semua ini adalah sumbangan dari pembayar cukai kepada rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan.
Mengikut keluasan negeri-negeri di Malaysia, Sarawak mempunyai keluasan 124,449 (km² ) dan mengikut banci terakhir (2010), penduduk Sarawak adalah 2,420,009 juta orang ini tidak termasuk mereka yang tidak memiliki surat beranak dan MyKad. Sarawak juga kaya dengan sumber asli dan bahan mentah seperti petroleum, gas asli, kayu balak, arang batu dan sebagainya.
Penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil di utara Sarawak, adalah antara jutaan penduduk luar bandar di Sarawak, yang terpaksa membayar harga lebih setong gas, seliter petrol dan diesel. Menurut penduduk yang tinggal di pedalaman Sarawak, kos kehidupan mereka lebih tinggi dibandingkan di bandar disebabkan harga minyak naik. Harga makanan dalam tin lebih tinggi lagi kalau dibanding dengan harga yang berada di pasaran, begitu juga dengan harga petrol untuk menghidupkan generator dan sebagainya.
Hampir semua harga barang keperluan yang diangkut dari bandar semuanya dijual mahal dan harganya berlipat kali ganda, kalau dibandingkan dengan harga pasaran di kawasan bandar. Bayangkan mereka terpaksa bayar lebih untuk membeli barang keperluan harian dan juga petrol yang harganya terlalu mahal kalau dibandingkan harga di kawasan bandar. Siapa yang untung hasil dari penjualan ini?
Antara punca utama perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh jalan perhubungan yang teruk dan sukar untuk dilalui oleh kenderaan pengangkutan untuk menyalurkan barang keperluan ke luar bandar dan pedalaman. Pihak kerajaan dapat mengatasi masalah ini dengan membina lebih banyak jalan perhubungan terus, ke luar bandar dan sudah pasti masalah harga barang keperluan di luar bandar dapat dikurangkan.
Ke mana perginya peruntukan berbillion ringgit yang diterima oleh kerajaan negeri untuk pembinaan jalanraya di luar bandar di Sarawak? Sepatutnya, masalah jalanraya ke luar bandar di Sarawak sudah dapat di atasi lebih dari 10 ke 20 tahun yang lalu sekiranya peruntukan tersebut diguna dengan sebaiknya tanpa ada ketirisan, tetapi sampai sekarang masalah tersebut masih belum dapat diatasi. Apa punca masalah tersebut?
Struktur geografi Sarawak yang landai serta berbukit bukau diselangi dengan jaringan sungai-sungai yang berliku-liku menjadi faktor mengapa pengangkutan paling utama di negeri ini, adalah melalui sungai dan juga udara. Tambahan pula negeri Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia.
Penduduk luar bandar dan pedalaman di Sarawak bergantung kepada sungai sebagai asas pengangkutan harian, kebanyakannya mereka adalah petani dan juga penternak. Tetapi mengapakah beban kehidupan seharian mereka perlu ditanggung berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding dengan penduduk bandar yang kebanyakannya bekerja dengan bergaji besar, berkemampuan dan ada yang hidup serba mewah?
Kita banyak mendengar rungutan dari penduduk yang tinggal di luar bandar yang menyatakan harga barangan keperluan harian mereka, lebih mahal dari harga barangan yang terdapat di kawasan bandar. Contohnya di kawasan Bakong, di sebuah kedai di sungai Kelat, di mana orang Iban dari 3 buah rumah panjang dan pekerja estate yang berdekatan membeli barang runcit dengan harga yang lebih dari harga pasaran di bandar.
Kalau kita beli petrol RM10 dengan container 4 liters tidak penuh,tetapi kalau dibeli di Pekan Bekenu, penuh dan ada lebihan pulangan 30 sen. Estate ini adalah dikawasan belakang Rh Lani, Rh Suyong dan Rh Biri, Kuap di Sebuti.
Antara contoh lain:
Kampung Ladang 3, Sibuti: Petrol Ron95 RM 5 seliter !!
Beluru Bakong , Baram: Petrol Ron95 RM4 - seliter !!
Rumah Sg Medang / Sg Banjang: Petrol Ron95 RM 5.50 - 2 liter !!
Demikianlah beberapa contoh yang diberi oleh penduduk yang tinggal dalam kawasan tersebut. Sama ada benar atau tidak aduan pihak berkenaan, pihak berkuasa boleh pergi menyiasat sendiri dengan lebih terperinci di kawasan yang tersebut di atas.
Adakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bertindak membantu penduduk luar bandar terbabit yang terpaksa membayar lebih keatas barang keperluan harian mereka?
Walaupun pihak kerajaan memperkenalkan projek pengedaran barangan perlu (BP), penyeragaman harga gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming (CD) membabitkan diesel dan petrol untuk meringankan bebanan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman,adakah mereka sentiasa memantau aktiviti pengedaran dan penjualan barangan perlu (BP) tersebut?
Kita berharap pihak yang berwajib sentiasa memantau serta mengawasi perkara ini agar tidak berlaku penyelewengan dalam pengedaran barangan perlu (BP), penyeragaman harga gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming (CD) untuk kemudahan penduduk kampong yang tinggal di luar bandar dan di pedalaman.
Kita mencadangkan agar Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) dibina dalam kawasan luar bandar, khas untuk penduduk luar bandar membeli barang keperluan harian mereka dengan harga yang berpatutan dan di beri kuota kepada peniaga bumiputera serta dikawal sepenuhnya oleh pihak yang berwajib agar tidak berlaku kenaikan harga barangan yang melampau, yang selama ini telah dikuasai oleh pihak pihak ketiga.
Kerajaan Sarawak sepatutnya membina lebih banyak lagi infrastruktur serta memberi kemudahan asas kepada penduduk di luar bandar dan juga yang tinggal di pedalaman, agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa setelah sekian lama hidup dalam kesusahan dan dalam kegelapan akibat tiada jalan perhubungan yang baik di Sarawak dan masih jauh ketinggalan kalau dibandingkan dengan Semananjung Malaysia.
Kalau kerajaan Sarawak benar-benar ingin membantu rakyat Sarawak hidup dalam keadaan yang menyenangkan, mereka perlu ada sifat amanah, jujur, telus serta prihatin dengan keperluan rakyat Sarawak.
Kita yakin kalau kerajaan Sarawak dapat mentadbir kerajaan dengan baik, sudah pasti Sarawak boleh maju dan kaya, lebih awal dari yang dijangkakan sebelum tahun 2030. Dengan sumber hasil bumi di Sarawak, tidak mustahil perkara ini dapat dilakukan, dengan syarat kerajaan mesti amanah, jujur serta tidak melakukan penyelewangan serta tidak menyalahgunakan kuasa mereka.
Sayangnya pemimpin di Sarawak kaya tetapi rakyatnya masih hidup dalam kemiskinan dan kesusahan akibat salah urus dan banyak berlaku penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Harapan rakyat Sarawak ingin perubahan akan tercapai sekiranya rakyat Sarawak sendiri ingin mengubah nasib diri mereka sendiri.
Inilah masanya untuk rakyat Sarawak kena fikir, kalau mahu perubahan yang lebih baik, perlu adanya usaha dari rakyat sendiri kerana, kuasa untuk mengubah ada di tangan mereka sendiri, seperti ayat yang terdapat dalam Al Quran yang kira-kira bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” Surah Ar-Ra'd (ayat 11)
Apabila rakyat Sarawak dapat memilih pemerintah yang lebih baik dan Sarawak diperintah oleh pemimpin yang jujur, amanah serta adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik maka Sarawak akan jadi lebih makmur dan menjadi negeri terkaya sebelum tahun 2030. Insya-Allah.
Long Akah juga dikenali sebagai Long aka adalah penempatan di kawasan pedalaman bahagian Marudi, Sarawak di hulu sungai Baram. Lapangan Terbang Long Akah hanya untuk berlepas dan pendaratan jangka pendek dan menyediakan laluan ke kampung tersebut yang jauh dari Miri dan Marudi. Terdapat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Datuk Lawai Jau Long San Ulu Baram di situ. Ramai guru dari semananjung dan tempatan yang mengajar di sekolah tersebut.
Baru-baru kita ada menerima aduan tentang masalah guru yang mengajar di SMK Temenggong Datuk Lawai Jau Long San, Ulu Baram yang sangat memerlukan sebuah surau, untuk guru dan penduduk yang beragama Islam solat berjamaah di situ. Mereka memohon agar pihak berwajib dapat membina sebuah surau di kawasan mereka mengajar, sekurang-kurangnya dapat digunakan manafaat oleh penduduk Islam di situ mengaji Al Quran, belajar Solat dan fardu Ain.
Guru yang bertugas di kawasan pedalaman Sarawak, sepatutnya dilayan dengan baik kerana mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga mereka sekian lama dan sudah tentu mereka ini akan terasa terpinggir, lebih-lebih lagi tanpa ada kemudahan asas dan insfrastruktur yang baik di kawasan pedalaman tempat mereka berkhidmat. Namun guru-guru ini tetap menjalankan tugas mereka dengan tekun tanpa rasa jemu dan bosan demi mendidik anak bangsa.
Pihak Kementerian Pelajaran seharusnya memberi perhatian yang sewajarnya terhadap masalah yang dihadapi oleh guru yang beragama Islam dan bukan Islam yang berkhidmat jauh di kawasan pedalaman Sarawak. Pihak kerajaan perlu membina lebih banyak lagi kemudahan asas untuk penduduk di pedalaman Sarawak agar mereka dapat hidup selesa dan mampu untuk menjana ekonomi sendiri dengan menjual hasil tanaman serta kraftangan mereka ke bandar yang berdekatan.
Kemudahan asas dan infrastruktur ini sangat diperlukan oleh semua penduduk di Ulu Baram tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Kita mendesak pihak kerajaan atau badan yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan rakyat dapat turun padang melihat sendiri, nasib guru dan penduduk di pedalaman tersebut, agar pemintaan mereka untuk mendapat kemudahan asas tersebut dapat ditunaikan dengan segera.
Kepada umat Islam dan para dermawan yang bermurah hati, bolehlah menderma atau memberi sumbangan terus kepada guru dan penduduk Islam di Ulu Baram tersebut yang ingin membina sebuah surau di tempat mereka tinggal agar ianya menjadi kenyataan.
Segala derma boleh disalur ke Jabatan Islam berdekatan untuk mereka salurkan kepada pihak yang berkenaan. Kita harap pihak yang diamanah menjaga kebajikan umat Islam di Sarawak dapat menyalurkan wang derma tersebut terus kepada pihak yang memerlukan.
Pihak kami hanya menyampaikan hasrat, para guru dan penduduk Islam di Ulu Baram, agar kita sama-sama dapat menyumbang dan menderma untuk pembinaan sebuah surau. Segala sumbangan ikhlas penderma hanya Allah yang akan membalaskannya di hari kemudian.
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia, bahawa PAS Sarawak menyokong penuh usaha yang dilakukan sebuah badan NGO dari Sabah, Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) dalam memperjuangkan isu-isu rakyat terutama yang berkaitan tanah rakyat.
“Pemuda PAS Sarawak menyokong penuh Himpunan 123 Bangkit kerana kami menganggap situasi penindasan yang dilakukan oleh pemerintah di Sabah sama dengan situasi di Sarawak,” kata ketuanya, Mohammad Arifiriazul Paijo dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang luas tanahnya dikurniakan Allah SWT dan kepadatan penduduknya amat rendah.
Oleh yang demikian, kata beliau sepatutnya rakyat Sabah dan Sarawak tidak menghadapi masalah ketiadaan pemilikan tanah yang sah.
Sebaliknya, ujar beliau kekayaan dan keluasan tanah di Borneo itu hanya dibahagi-bahagikan kepada syarikat-syarikat besar dengan alasan menjana ekonomi negeri.
Namun, tambahnya hasil kekayaan dan penjanaan ekonomi itu tidak dirasai sepenuhnya oleh rakyat.
Justeru, jelasnya Pemuda PAS Sarawak menyokong penuh gerakan rakyat Sabah untuk menuntut hak tanah mereka dalam Himpunan 123 Bangkit pada 12 Mac ini
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Ahli jawatankuasa pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Maria Chin Abdullah (gambar) hari ini dihalang daripada memasuki Sarawak.
Beliau ditahan oleh pegawai imigresen setelah tiba di Lapangan Terbang Kuching kira-kira jam 9 pagi ini.
Menurut kenyataan gabungan itu, Maria ke Sarawak sebagai persediaan pelancaran kempen JOM100 iaitu kempen mensasarkan 100 peratus keluar mengundi.
Sebelum ini, pada Mei 2011, pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan bersama seorang lagi jawatankuasa pemandu Wong Chin Huat turut dihantar pulang oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
"Seksyen 67 Akta Imigresen jelas melindungi hak "warganegara yang memasuki Negeri Malaysia Timur untuk tujuan menghubungkan aktiviti politik yang sah," kata kenyataan itu.
SIBUTI, 23 Mac: Baru-baru ini PAS Miri telah berkunjung dan meninjau keadaan pendududk di beberapa buah rumah panjang sekitar kawasan Parlimen Sibuti di lokaliti Niah dan Saeh. Kebanyakan penduduk disitu berbangsa Iban dan terdapat juga orang Melayu dan Cina.
Disitu kita telah menerima beberapa aduan serta maklumat tentang keadaan kehidupan mereka di kawasan tersebut. Diantara isu utama yang mereka luahkan kepada pihak kami ialah keadaan jalan masuk kampung yang hampir 10 km masih tidak berturap dengan sempurna.
Begitu juga jalan menuju ke sekolah, yang terdapat ditepi jalan kampung tersebut yang tidak begitu selamat digunakan oleh pelajar terutama sekali kepada kanak-kanak kecil. Beberapa kemudahan disekitar sekolah tersebut seperti jambatan di tasik dalam keadaan usang dan membahayakan pengguna terutama kepada kanak kanak dan juga pelajar sekolah tersebut.
Menurut penduduk di rumah panjang tersebut, bantuan untuk penambahbaikan rumah panjang mereka, sehingga kini masih belum lagi diterima, walaupun sudah beberapa kali mereka dijanjikan oleh pihak pemerintah. Begitu juga keperluan bekalan air bersih dan elektrik yang masih lagi tidak mencukupi untuk penduduk di kampung tersebut.
Ramai penghuni di rumah panjang yang kami lawati, mengatakan terdapat hampir 60% masih lagi tidak menerima bantuan wang sebanyak RM500 BR1M seperti yang dijanjikan oleh pihak pemerintah.
Begitulah keadaan rumah-rumah panjang di sekitar kawasan Sibuti yang kami kunjungi, mereka merayu kepada pihak berwajib agar dapat menunaikan janji mereka untuk memberi kemudahan asas serta infrastruktur di kawasan tersebut agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa setelah hampir 50 tahun mereka masih hidup dalam keadaan daif serta terpinggir dari arus pembangunan.
Kita mendesak agar pihak berwajib segera menunaikan janji-janji mereka kepada penghuni rumah panjang tersebut agar mereka ini tidak terus menunggu dengan penuh harapan, tetapi kehidupan mereka terus terpinggir dan mereka ini hanya diperlukan waktu pilihanraya semata-mata untuk meraih undi.
Pihak yang diamanah untuk menjadi pemerintah seharus berlaku adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Kalau tidak sanggup berjuang dan berkhidmat untuk rakyat, usahlah jadi pemerintah lebih baik beri amanah dan kuasa tersebut kepada mereka.
Orang kuat Taib Mahmud baru sekejap tadi memberi tahu perkembangan politik di Sarawak cukup membimbangkan. Katanya harapan untuk Pakatan Rakyat meraih lapan hingga 10 kerusi parlimen di negeri Bumi Kenyalang itu bukan menjadi angan kosong lagi.
Perubahan suasana politik di Sarawak menurutnya begitu ketara lagi. Taib Mahmud yang tidak berapa selesa dengan Najib Razak kerana Najib pernah meminta Ketua Menteri itu bersara selepas pilihan raya negeri lalu, ada tanda-tanda akan bertukar selera politik.
Menurutnya BN masih menguasai di Serawak tetapi tidak semestinya ia menyokong BN Kuala Lumpur. Kerja-kerja untuk menjalinkan persahabatan dengan PR sedang dilakukan oleh pihak tertentu sebagai mewakili Ketua Menteri.
Dalam pada itu satu persefahaman telah dibuat di antara Taib Mahmud dengan seorang tokoh Umno di Semenanjung menjelang pilihan raya akan datang. Persefahaman ini khabarnya sudah sampai ke peringkat konkrit.
Kata bekas orang bertanggungjawab membawa Taib pulang ke Sarawak tahun 1981, BN yang diungguli Parti Pesaka Bumiputera Sarawa (PBB) akan bersama Pakatan Rakyat. Selepas ini katanya PBB Sarawak khususnya akan mengucapkan selamat tinggal kepada BN.
Menurut beliau yang juga bekas pegawai kepada timbalan menteri antara faktor atau tarikan besar PBB untuk bersama Pakatan Rakyat ialah janji yang termaktub dalam Buku Jingga untuk memberi 20 peratus royali minyak yang mana ia tidak akan terlaksanakan oleh BN.
Beberapa janji lain misalnya masalah tanah adat, pembangunan di Sarawak juga menjadi faktor.
Sehubungan itu katanya beliau sendiri akan bertukar parti meninggalkan PBB dan menyertai Pas. Beliau berhajat untuk berjumpa Tok Guru Nik Aziz dalam masa terdekat. "Kalau boleh enta tolong ana untuk berjumpa Tok Guru," mintanya sambil berkata apa yang perlu saya bawa untuk jumpa Tok Guru.
Jawab saya bawa iman dan keyakinan sahaja, lain-lain tidak ada apa-apa pekeras, balas saya bergurau. InysaAllah akan saya aturkan untuk memenuhi permintaannya itu. [wm.kl.12:10 t/hari 24/03/12] Sumber HD : 25/03/2012
KUALA LUMPUR, 9 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) berasa amat kesal dengan tuduhan tanpa asas Ahli Parlimen Santubong, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang jelas menunjukkan tahap berpolitik beliau yang kebudakan-budakan bagi seorang yang juga memegang jawatan Timbalan Speaker Parlimen Malaysia seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana Sarawak, semalam.
Dalam masa yang sama, kata Ketua DPPNS, Mohammad Arifiriazul Paijo (gambar), kenyataan Wan Junaidi itu juga menunjukkan tahap kefahaman Islam beliau yang rendah bagi seorang yang pemimpin masyarakat Muslim.
"Untuk pengetahuan Tuan Timbalan Speaker, PAS tidak pernah berubah pendirian dalam perjuangannya menegakkan Islam dan ajarannya yang meletakkan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama sejak penubuhan PAS pada tahun 1951 lagi," katanya.
Jelasnya, asas kerjasama PAS dengan masyarakat bukan Islam adalah didasarkan dalil-dalil jelas daripada Al-Qur’an dan perjalanan hidup Nabi Muhammad baik di Mekah mahupun Madinah.
Katanya lagi, kerjasama antara masyarakat Islam dan bukan Islam dalam pembinaan sebuah negara yang makmur dan adil jelas dapat dilihat melalui Perlembagaan Madinah yang ditandatangani dan dipersetujui oleh semua orang Islam, golongan musyrikin dan Yahudi di Madinah pada waktu tersebut.
"Janganlah kita hanya sibuk menyambut Maulid Nabi tetapi dalam masa yang sama buta dengan kisah di mana pada zaman awal dakwah Nabi di Mekah, perjuangan Nabi dilindungi oleh beberapa pimpinan bukan Islam di sana.
"Kita juga perlu ingat bahawa ketika Nabi berhijrah ke Madinah, penunjuk jalan beliau dan Abu Bakar adalah seorang non-muslim. Kisah-kisah ini jelas menunjukkan keharusan bekerjasama dengan masyarakat non-muslim dalam menegakkan kebenaran dan keadilan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, sebenarnya bukan PAS tetapi BNlah yang bersifat seperti ‘chameleon’ atau ‘sumpah-sumpah’ yang boleh bertukar-tukar warna dalam memancing undi rakyat di mana di hadapan kaum Cina, BN menuduh DAP ditunggangi PAS, manakala di hadapan pengundi Melayu, BN memfitnah PAS ditunggangi DAP.
Menurutnya, Dalam suatu majlis, Perdana Menteri BN berceramah panjang tentang kesederhanaan tetapi dalam ketika yang lain lebih RM400,000 dibelanjakan untuk majlis pertunangan puteri beliau.
Tambahnya, Kerajaan BN diwar-warkan sebagai berkebajikan dengan inisiatif BR1M tetapi dalam masa yang sama menghadiahkan lebih RM 500 juta dalam bentuk pelupusan hutang kepada bekas Pengerusi Eksekutif MAS, Tan Sri Tajudin Ramli yang telah menggagalkan syarikat penerbangan negara itu.
Tuduhan Dr Wan Junaidi yang kononnya dahulu PAS memperjuangkan Negara Islam sehinggakan semua orang hendak diislamkan seperti yang dilaporkan di dalam Utusan Borneo semalam juga bukti nyata penyelewengan fakta yang amat serius oleh seorang Timbalan Speaker Parlimen.
"Sekiranya fitnah Dr Wan Junaidi ini benar, tentu sekali tiada orang bukan Muslim di Kelantan yang telah diperintah dengan jayanya oleh PAS selama lebih 20 tahun. Hakikatnya, penduduk bukan Islam di Kelantan adalah kelompok pengundi tegar PAS yang berdiri teguh menyokong kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya lagi
Sebenarnya, tamba beliau isu PAS herhasrat meletakkan calon pilihanraya dari kalangan non-muslim bukanlah sesuatu yang baru di mana calon bukan Islam pertama yang diletakkan PAS ialah Saudari Kumutha Raman di Johor pada tahun 2008.
Beliau menambah, dalam masa yang sama perlu dijelaskan bahawa Pesuruhjaya PAS Sarawak dalam kenyataan beliau pada minggu lepas sebenarnya menyebut PAS Sarawak akan meletakkan calon Iban dalam PRU13 akan datang.
"Sebagai rakyat Sarawak yang cintakan keharmonian seharusnya kita berasa pelik dengan kenyataan Dr Wan Junaidi yang pada hakikatnya bersifat cauvinis seolah-olah Islam ini hanya milik orang Melayu.
"Adakah seorang Iban semestinya seorang bukan Muslim?" soal Arifiriazul.
"Kita harus menerima hakikat bahawa Islam tidak mengenal ras dan kaum dan di Sarawak, telah pun ada kelompok masyarakat Cina, Iban, Bidayuh dan lain-lain yang telah memeluk Islam sejak sekian lama. Jelasnya, Islam bukan milik eksklusif orang Melayu,Kedayan ataupun Melanau," ujarnya.
Justeru, kata beliau, DPPNS menyeru semua rakyat Sarawak agar tidak mudah termakan dengan dakyah politik BN yang rasis dan penuh dengan penyelewengan fakta.
"Mari kita sama-sama berganding bahu membawa perubahan kepada negara dan negeri ini dengan menolak kezaliman dan ketidakadilan BN.
"Bagi PAS, kami jelas dalam perjuangan kami bahawa, the muslims are our brothers in faith and the non-muslims are our brothers in humanity," tegasnya.
(Mohamad dan pemimpin Pakatan Rakyat Sibu pada majlis dialog.) MIRI, 16 April: Lawatan sambil kerja dua hari lalu Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu di Miri dan Sibuti mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan. Pada sebelah malam, Mat Sabu telah bertemu dengan penduduk di Kg Lusut Jaya 1 di kawasan Lambir. Walaupun pada mulanya perjumpaan bersama penduduk hendak diadakan di kawasan dewan masyarakat di Taman Tunku, tetapi di saat-saat akhir terpaksa dibatal disebabkan kerana ada halangan pihak tertentu. Walau bagaimana pun program Mesra Rakyat bersama beliau tetap diteruskan, di Kg Lusut Jaya 1 di salah sebuah rumah penduduk. Jalan menuju ke kampung tersebut agak teruk dan becak sewaktu musim hujan dan penduduk kampung tersebut sudah lama menanti janji pihak kerajaan untuk menurap jalan tersebut tetapi sehingga kini belum ada tanda-tanda jalan tersebut diturap dengan tar. Pada keesokan hari, PAS Miri sekali lagi mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-3 di sebuah hotel di bandaraya Miri. Di antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak, Fidzuan dan juga wakil dari Pakatan Rakyat. Ucapan dimulakan oleh YDP PAS Kawasan Miri, Jofri Jaraiee sebelum perbahasan berlangsung pada sebelah petangnya. Mat Sabu merasmikan mesyuarat agung tahunan tersebut sebelum beliau bersama rombongan Pakatan Rakyat melawat kawasan Niah dalam kawasan Parlimen Sibuti.
Pada sebelah malamnya pula diadakan Dialog Pakatan Rakyat bersama beliau di sebuah dewan di bandaraya Miri di mana semua pimpinan Pakatan Rakyat hadir. Pimpinan tempatan yang hadir adalah Jofri Jaraiee, Dr Micheal Teo selaku Ketua Cabang PKR Miri, Zuhaidah timbalannya dan wakil DAP Miri, Lim Su Kien dan lain-lain. Pada malam tersebut, Mat Sabu menjelaskan isu-isu semasa, antaranya masalah wang rakyat yang disalahgunakan oleh pemerintah BN di mana sekiranya Malaysia terus diperintah oleh kerajaan BN selepas PRU13 nanti, negara ini akan jatuh muflis seperti Greece. “Sekiranya 5 tahun lagi BN memerintah pada masa itu sesiapa saja yang hendak ambil alih kerajaan, BN akan serah terus kuasa tanpa perlu ada pengundian sebab pada masa itu negara sudah jatuh bankrap dan wang pun sudah habis digunakan oleh pemimpin BN,” katanya. Semoga dengan kedatangan Mat Sabu ke Miri akan memberi semangat baru kepada Pakatan Rakyat di Miri dan seluruh Malaysia untuk bersatu menumbangkan kerajaan BN pada PilihanRaya Umum ke-13 nanti. Sumber HD : 16/04/2012
MIRI, 17 April: PAS Sarawak mempersoal kenyataan Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang kononnya menggambarkan bahawa PAS akan merampas tanah penduduk di negeri itu jika diberi peluang memerintah.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, semua rakyat Sarawak maklum bahawa yang merampas tanah mereka selama ini adalah BN sendiri bukannya PAS seperti didakwa.
"Bila masa pula PAS pernah merampas tanah dan hak orang Sarawak?
"Semua orang tahu yang paling banyak merampas tanah dan hak orang Sarawak adalah pemimpin BN dan mereka yang sekutu dengan mereka bukannya PAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Miri, tidak menolak kemungkinan kenyataan seperti itu adalah hasil ketakutan PBB dan BN Sabah terhadap penerimaan rakyat negeri itu kepada PAS.
Ahmad Lai Bujang sebelum ini dilaporkan berkata; “Ini tanah kita dan hak kita, oleh itu tiada sesiapa yang boleh merampasnya daripada kita semua,”.
Selain itu beliau juga dilaporkan berkata ; “Adakah rakyat negeri ini mahu melihat Sarawak dirampas dalam PRU13 nanti terutama oleh PAS?”
Beliau didakwa berkata demikian pada satu Majlis Muzakarah dan Penjelasan Isu-isu Semasa di Dewan Masyarakat Bekenu Ahad lalu.
"Janganlah kerana terlalu takut dengan PAS sehingga bercakap pun tidak tentu arah.
"Mengapa mesti takut dengan PAS. Ini negara demokrasi, sesiapa pun berhak untuk memilih pemimpin atau pemerintah yang mereka yakini benar, jujur dan adil," kata Jofri lagi.
Menurutnya, biarlah rakyat yang menentukan nasib masa depan mereka bukannya pemimpin BN.
Walaubagaimanapun ujar jofri, jika ditakdirkan PAS memerintah Sarawak suatu hari nanti, Insyallah rakyat Sarawak akan hidup aman dan maju kehadapan berbanding dengan negeri lain dalam Malaysia.
Segala hasil galian dan sumber kekayaan negeri Sarawak akan dapat dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, kalau PAS diberi peluang, mentadbirkan negeri Sarawak, katanya.
"Biar apa pun pandangan buruk pemimpin BN terhadap PAS, kita akan tetap meneruskan perjuangan kita membebaskan rakyat dari terus terkongkong dalam minda yang sempit akibat terlalu lama diperintah oleh kerajaan BN sehingga rakyat sukar menerima pembaharuan," tegasnya. Sumber HD : 17/04/2012
KUCHING: Timbalan Persuruhjaya 1 PAS Sarawak, Mohamad Shokri Ahmad Fauzi meminta semua pihak terutama ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat agar bekerja dari sekarang bagi menguatkan parti dan menarik seramai mungkin pengundi untuk memastikan Pakatan Rakyat menang besar pada Pilihan raya Umum ke-13 di negeri ini. Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Petra Jaya berkata, keupayaan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP memenangi seberapa banyak kerusi Parlimen perlu menjadi kenyataan di samping mengekalkan kerusi parlimen yang telah dimenangi. “Kita perlu bekerja bersungguh-sungguh, kita mahu jumlah kerusi yang dimenangi bertambah. Pada pilihan raya yang lalu Pakatan Rakyat (DAP) cuma menang satu kerusi di bandar Kuching, manakala satu lagi kerusi dimenangi juga oleh DAP melalui ‘By-Election’ di bandar Sibu. “PAS tidak meletakkan calon pada pilihan raya parlimen 2008, tetapi pernah bertanding pada pilihan raya 2004. Manakala parti Keadilan belum meraih kemenangan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat Dewan Harian PAS di Markas Perhubungan PAS, Taman Matang Jaya, di sini semalam. “PAS sudah mendapat tempat di hati rakyat Sarawak yang berbilang bangsa dan agama. PAS cukup selesa untuk berbangga bahawa ia berjaya membina jaringan perjuangannya yang Umno sendiri dihalang daripada bertapak di Sarawak oleh rakan-rakan Barisan Nasional sendiri,” katanya. Shokri juga berharap ahli-ahli dan para penyokong PAS, PKR dan DAP berganding bahu dan mengelakkan perkara yang boleh dijadikan modal Barisan Nasional untuk melemahkan Pakatan Rakyat. Menurutnya, DAP telah membuktikan kesungguhan mereka dengan kemenangan besar pada pilihan raya negeri (Dun) baru-baru ini. “Bagi PAS kita sudahpun mengerah ahli-ahli dan penyokong untuk mengundi mana-mana calon yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat pada Pilihan raya Umum ke-13 nanti,” katanya. Pesuruhjaya PAS negeri, Haji Adam Ahid pula memberitahu PAS Sarawak akan mengadakan mejlis perasmian Markas PAS negeri pada Ahad ini, 22 April bermula jam 9.00 malam di Lorong 4, Taman Matang Jaya. Beliau menjemput orang ramai datang untuk menyaksikan upacara itu dan beberapa orang pimpinan kanan PAS Pusat akan hadir. Haji Adam berharap markas PAS Sarawak itu mampu menyuntik semangat ahli-ahli di seluruh negeri. Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak, ahli-ahli dan penyokong PAS, rakan-rakan PAS di seluruh negeri serta individu-individu yang telah memberi sumbangan sehingga wujudnya markaz itu. Sumber HD : 19/04/2012
KUCHING: Perbezaan ketara gaji minima antara Sarawak (serta Sabah) dengan Semenanjung Malaysia adalah bukti jelas bahawa Sarawak hanyalah anak tiri Barisan Nasional (BN).
Demikian pandangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (Pemuda PAS Sarawak) dalam satu kenyataan mereka hari ini.
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (Pemuda PAS Sarawak) memandang serius pengumunan perlaksanaan gaji minima untuk sektor swasta sempena sambutan Hari Pekerja Isnin lepas oleh Perdana Menteri yang jelas menunjukkan layanan tidak adil kerajaan BN kepada Sarawak.
Perbezaan ketara antara kadar gaji minima untuk Semenanjung Malaysia (RM 900) dan Sarawak (RM 800) telah menyebabkan rakyat Sarawak tertanya-tanya apakah janji-janji PM tempohari di Sibu benar-benar ikhlas ataupun sekadar gula-gula politik untuk memancing undi rakyat di sini.
Berdasarkan NKRA Meningkatkan Taraf Hidup Golongan Berpendapatan Rendah yang berada di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, salah satu inisiatif penting NKRA ini adalah untuk menyeragamkan definisi miskin dan miskin tegar di seluruh negara iaitu RM750 sebulan untuk golongan miskin dan RM440 sebulan untuk kategori miskin tegar.
Pemuda PAS Sarawak merasakan adalah sesuatu yang pelik apabila kadar kemiskinan di seluruh negara diseragamkan manakala kadar gaji minima ditetapkan mengikut zon Malaysia Barat dan Malaysia Timur.
Secara efektifnya, rakyat Sarawak yang berkhidmat di sektor swasta hanyalah RM50 dari paras kemiskinan rasmi berbanding penduduk Semenanjung Malaysia yang berada RM150 dari paras kemiskinan yang sama.
"Adakah ini maksud sebenar 1Malaysia yang diwar-warkan selama ini?" soal kenyataan itu.
Dalam kenyataan berasingan, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam mengatakan bahawa perbezaan antara Semenanjung dan Malaysia Timur adalah kerana kos sara hidup yang berbeza di kawasan-kawasan tersebut.
"Namun, jika kita teliti Paras Garis Kemiskinan (PGK) sebelum ini contohnya pada tahun 2007, kadar untuk Sarawak adalah sentiasa lebih tinggi iaitu RM830 berbanding Semenanjung Malaysia pada kadar RM720 atas dasar kos sara hidup di Sarawak adalah jauh lebih tinggi daripada Semenanjung Malaysia," kata kenyataan itu.
Berdasarkan maklumat ini, adalah tidak konsisten dan tidak masuk akal jika perbezaan ketara kadar gaji minima adalah didasarkan kepada perbezaan kos sara hidup.
Di samping itu, jika dirujuk hasil bancian yang terkini pada tahun 2010, hampir 55% penduduk Sarawak berada di kawasan bandar iaitu Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu yang sememangnya terkenal dengan kos sara hidup yang tinggi.
Kos sara hidup di bandar-bandar ini adalah hampir menyamai Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Bandar-bandar utama ini juga adalah tumpuan pekerja-pekerja kilang yang sekurang-kurangnya merupakan 80% daripada para pekerja sektor swasta yang akan menikmati kesan perlaksanaan gaji minima ini.
Jelas, dasar baru BN ini yang kononnya hadiah untuk para pekerja hanyalah usaha murahan dan terdesak BN untuk cuba menyaingi cadangan-cadangan konkrit Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga yang menetapkan RM 1500 sebagai kadar gaji minima untuk seluruh Malaysia, kata kenyataan itu.
Pemuda PAS Sarawak menyeru rakyat Sarawak untuk melihat perkembangan ini dengan adil dan serius.
Apalah gunanya jika Sarawak ini dianggap sebagai simpanan tetap BN tetapi kebajikan rakyat negeri ini dianggap remeh dan dipandang sebelah mata oleh kerajaan persekutuan pimpinan BN seolah-olah kita adalah rakyat kelas kedua di dalam Persekutuan Malaysia.
Perbezaan ketara gaji minima antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah bukti jelas bahawa Sarawak hanyalah anak tiri BN.
MIRI: Sekarang ini adalah musim untuk golongan professional, selebriti, dan juga bekas pengawai kerajaan menyertai PAS. Kalau di Perak bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari dengan rasminya menyertai PAS dan di Miri Sarawak pula seorang bekas pegawai kerajaan merangkap bekas Timbalan Residen Miri juga telah menyertai PAS baru-baru ini. Sempena lawatan Pimpinan Tertinggi PAS Pusat ke Sarawak, bekas Timbalan Residen Miri, Haji Johari Bujang telah menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada Majlis Hi-Tea di rumahnya di Luak baru-baru ini. Beliau semasa Pilihanraya DUN Sarawak yang lepas bertanding di DUN Lambir atas tiket SNAP namun beliau tidak menjadi ahli SNAP. Dalam ucapannya, Johari Bujang menyebut bahawa sebelum ini beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti politik walaupun sebelum ini pernah bertanding di DUN Lambir dalam Pilihanraya DUN Sarawak tahun lepas atas tiket Parti SNAP. Menurutnya lagi, beliau membuat keputusan untuk menjadi ahli PAS setelah sedar dan yakin akan prinsip perjuangan PAS serta begitu tertarik dengan kseungguhan PAS khususnya PAS Kawasan Miri dalam usaha membawa perubahan serta pembelaan kepada nasib rakyat. Beliau ingin bersama-sama berada di dalam PAS bagi menyumbang secara langsung kepada perjuangan rakyat. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sarawak, Jofri Jaraiee, Ketua Penerangan PAS Sarawak M Azwani, Ketua Pemuda PAS Sarawak M Arifiriazul Paijo dan setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Miri, Yeo Kian Leong. Acara sederhana tersebut menunjukkan yang PAS telah diterima oleh semua golongan masyarakat. Pada sebelah malam, Datuk Mahfuz Omar bersama rombongan PAS Miri melawat rumah panjang Empading di Sg Bakas. Penduduk di rumah panjang tersebut menyambut dengan baik dan memberi sambutan hangat kunjungan rombongan PAS pada malam itu. PAS Miri memberi sedikit buah tangan sebagai tanda hormat atas kunjungan ke rumah panjang tersebut dan juga memberi penerangan tentang kunjungan serta matlamat perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat. Dalam rumah panjang tersebut terdapat 2 orang OKU (Orang Kurang Upaya) salah seorang dari OKU tersebut, Idai ak Entebang mengadu kepada PAS bahawa beliau tidak menerima BR1M, E-Kasih dan juga bantuan dari kebajikan masyarakat. "Kita minta pihak yang berkenaan agar dapat membantu Idai ak Entebang tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik kerana beliau juga golongan yang kurang upaya yang sepatutnya dapat menerima sumbangan dari wang pembayar cukai. "Kita ingin mengingatkan pihak yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan masyarakat agar dapat menjalankan tugas mereka dengan adil untuk semua, jangan disebabkan mereka ini tidak sehaluan dengan fahaman kita maka kita meminggirkan mereka ini tanpa balas kasihan," kata Jofri Jaraiee. Sumber HD : 22/05/2012
Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan sebuah universiti kerjasama pendidikan awam dengan kampus utama yang terletak di Shah Alam, Selangor, Malaysia. Ia adalah institusi utama Sistem Universiti Teknologi MARA, universiti terbesar di Malaysia dari segi saiz dan enrolmen pelajar dan satu-satunya universiti awam yang menjalankan pengambilan dua kali setahun.
Kemasukan universiti adalah terbuka kepada Bumiputera dan pelajar antarabangsa sahaja, kecuali bagi program-program persediaan yang dijalankan di Pusat Pendidikan Antarabangsa (INTEC), Malaysia di mana bukan Bumiputera diterima. Dasar ini dilindungi menurut kuasa Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.
Kita ada menerima aduan daripada ibubapa pelajar bumiputera Sarawak yang mengatakan sukar bagi anak mereka untuk masuk ke universiti tersebut disebabkan status bangsa anak mereka terutama sekali ibu mereka bukan bumiputera sedangkan bapa mereka adalah bumiputera asal Sarawak, Kalau mengikut keturunan selalunya ikut daripada keturunan seorang bapa bukannya ibu.
Apakah taraf status sebenar “Bumiputera” yang dibenarkan oleh UiTM dalam pengambilan pelajar bumiputera dari Sarawak?
Adakah kedua ibubapa pelajar mesti bumiputera sepenuhnya? Bagaimana pula sekiranya bapa pelajar bumiputera berkahwin dengan ibu yang bukan bumiputera maka adakah anaknya tidak diiktiraf sebagai bumiputera?
Inilah persoalan yang sering timbul kepada pelajar bumiputera Sarawak yang ingin melanjutkan pelajaran ke UITM dimana masalah akan timbul apabila bapa pelajar bumiputera berkahwin campur dengan orang bukan bumiputera.
Ibu bapa pelajar dari Sarawak khususnya amat kesal dengan sikap pengurusan UiTM dalam urusan pengambilan pelajar baru dari Sarawak disebabkan status ibubapa mereka.
Kita mendesak agar pihak kementerian pelajaran dapat menjelaskan dengan segera taraf status Bumiputera yang sebenarnya agar tidak menyusahkan pelajar bumiputera Sarawak dari terus terpinggir dari pelajaran. Kebanyakan perkara ini berlaku kepada pelajar bumiputera Sarawak yang kedua ibubapanya berkahwin campur.
Jangan pinggirkan atau diskriminasi pelajar bumiputera dari Sarawak untuk sama-sama maju ke hadapan bersama pelajar dari Semenanjung kerana Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia. Berlaku adillah kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik demi masa depan pelajar tersebut nanti.
Penulis ialah Yang Dipertua PAS kawasan Miri. Sumber HD : 11/06/2012
PAS Miri ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pemerintah ke atas tindakan serta kerjasama yang diberikan dengan memberi bantuan kepada semua termasuk kepada ahli kami seperti yang dilaporkan dalam ‘thestar' baru-baru ini. Salah seorang penduduk di kampung Batu 1, Zainal Tar telah diberi bantuan kebajikan, serta kawasan hakisan di belakang rumahnya telah ditimbus dengan tanah batu. Pihak berkenaan telah memeriksa rumah usang penerima dan pembaikan rumah akan diletakkan di bawah projek yang dibiayai oleh Datuk Peter Chin. Setelah bertahun-tahun beliau memohon bantuan dari pihak kerajaan untuk membantu meringankan bebanan beliau selama ini, akhirnya pemintaan beliau dapat ditunaikan setelah mendapat kerjasama dan desakan daripada pihak kami. Semakin ramai yang mengadu kepada pihak kami semakin rajin pula pihak yang berkenaan turun padang. Ini menunjukan bahawa dengan adanya suara rakyat bersama PAS dan Pakatan Rakyat (PR) barulah pihak kerajaan BN segera melaksanakan tugas mereka yang tertangguh dan dipandang sepi selama ini. Apabila rakyat sudah mula memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat, barulah kerajaan sedar yang selama ini mereka lalai dan mengabaikan tugas mereka sebagai wakil rakyat sehingga rakyat sudah beralih arah. Inilah kelebihan apabila adanya pembangkang yang kuat barulah kerajaan BN mula bertindak dengan memberi beberapa insentif seperti bantuan rakyat 1 Malaysia (BR1M), KR1M, dan lain-lain. Kita harap kerajaan yang ada sekarang, benar-benar ikhlas membantu rakyat, bukan disebabkan takut kepada rakyat yang menyokong pembangkang, maka barulah nak membantu rakyat dengan berbagai-bagai macam insentif seperti yang tersebut di atas. Semua isu yang dinyatakan oleh pihak pembangkang adalah relevan dengan kepentingan rakyat, hanya mereka yang tidak bertanggungjawab saja yang menganggap perkara tersebut tidak releven. Sepatutnya setiap aduan dan masalah rakyat diberi perhatian oleh pihak yang berwajib, walaupun melalui parti pembangkang bukannya memandang remeh masalah tersebut seperti anggapan sesetengah wakil rakyat. Hanya kerajaan yang ikhlas, jujur, amanah dan adil saja yang akan mendapat sokongan semua lapisan rakyat. Buat masa sekarang, PAS hanya mampu menyuarakan masalah rakyat yang terpinggir, sebab PAS belum berkuasa lagi untuk membantu mereka sepenuhnya. Segala peruntukan dan kewangan sekarang ini dikuasai oleh pihak kerajaan BN melalui wang pembayar cukai. Apabila peralihan kuasa berlaku nanti, barulah rakyat dapat menilai dan menikmati hasil dari pemerintah baru yang lebih baik dan adil untuk semua. Insya Allah. Penulis ialah Yang Dipertua PAS Miri, Sarawak. Sumber HD : 17/07/2012
KUCHING: PAS Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan helikopter milik Sebiro Holdings yang terhempas di Sungai Triso, Sri Aman baru-baru ini.
“Setiap yang hidup pasti akan mati dan kita semua akan pasti menemui Tuhan suatu hari nanti,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan ringkas.
Beliau berkata, kepada keluarga Siti Khuzaimah Anwar, 27, dan Peter Ato Mayau, 53, dan juga Henry Loh agar terus tabah dan sabar menghadapi ujian yang penuh dengan cabaran ini.
“Untuk keluarga Siti Khuzaimah, semoga roh beliau ditempatkan bersama dengan roh orang-orang yang soleh lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan ini,” ujarnya.
Mereka meninggal semasa menjalankan tugas mereka dalam perjalanan untuk melakukan pemeriksaan terhadap projek pembinaan sebuah sekolah di Nanga Merit, Kapit.
KOTA SAMARAHAN: Melihat kesusahan dan penderitaan sebilangan masyarakat yang kurang bernasib baik, PAS Kota Samarahan terpanggil untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Bersempena Ramadhan Al-Mubarak, seramai 105 orang penerima yang terdiri daripada golongan fakir miskin, anak yatim, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan warga emas dikenalpasti untuk menerima sumbangan itu.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, dalam program Sekampit Beras Negara Kebajikan.
Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk di Kampung Baru dan Kampung Pengkalan Kuap baru-baru ini berkata, program sebegini amat bermakna dan membahagiakan dalam kehidupan mana-mana insan apabila dapat menggembirakan hati insan lain yang kurang bernasib baik, terutamanya anak-anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.
Sebagai sebuah negeri yang mempunyai rekod pendapatan tertinggi pada 2011 iaitu melebihi RM4 billion, katanya, sepatutnya pihak kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN, hendaklah lebih cakna atau prihatin kepada rakyatnya.
"Bukan sekadar membuat pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan rohani kepada semua rakyat," katanya.
Hadir sama, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Samarahan, Zul Ramzi beserta dengan pimpinan Pemuda negeri dan Kawasan Petrajaya.
Harapan beliau agar sumbangan itu dapat mengurangkan bebanan rakyat dalam bulan Ramadhan ini tambahan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Beberapa penduduk kampung yang ditemui menyatakan kesyukuran dan mengakui bahawa PAS merupakan parti yang prihatin dan benar-benar bersifat rakyat, sekaligus menepati slogan yang dibawa PAS iaitu Membangun Negara Berkebajikan.
Kehadiran Abang Ahmad Kerdee dan rombongannya dirai dengan penuh kegembiraan oleh penduduk kampung yang rata-ratanya bekerja sebagai petani dan nelayan.
Sementara itu, Abang Ahmad dan rombongannya juga turut membuat tinjauan khas ke tempat pelupusan sampah di Kota Samarahan yang menjadi masalah kepada masyarakat sekitar kawasan ini.
Dari tinjuan yang dilakukan katanya, tempat ini tidak diselenggara dan diurus dengan baik, menyebabkan bau busuk dan sampah sarap terbiar begitu sahaja.
Tambah memburukkan lagi keadaan, kawasan ini berdekatan dengan penempatan penduduk tempatan, antara kampung yang berdekatan ialah Kampung Plaie, Kampung Sungai Batu, Kampung Rembus, Kampung Jegoi dan Kampung Baru.
Menurut penduduk Kampung Sungai Batu yang ditemui, masalah bau busuk akan bertambah buruk apabila waktu hujan dan mereka telah menanggung masalah ini sejak 20 tahun yang lalu.
Menurut Abang Ahmad Kerdee turut menyatakan kekecewaan beliau mengenai pengurusan pusat pelupusan sampah yang begitu teruk.
"Bukan itu sahaja, aktiviti pembakaran terbuka di pusat pelupusan sampah ini memburukkan lagi keadaan," katanya.
Justeru katanya, penduduk sekitar berharap agar PAS Kawasan Kota Samarahan dapat membawa permasalahan ini ke pihak berkuasa tempatan agar penderitaan mereka selama 20 tahun akan berakhir terutama sebelum bulan Syawal menjelma tidak lama lagi. Sumber HD : 8/08/2012
MIRI: Hari ini Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya peringkat Negeri Sarawak telah tiba di Miri.
Gerakan Xpresi yang diketuai Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi pagi ini sempat menziarahi masyarakat miskin untuk menyampaikan sumbangan syawal dan ceramah kelompok di Kampung Dusun Miri.
MIRI: PAS Sarawak malam kelmarin melancarkan manifesto ‘12 Tawaran PAS Sarawak: Membangun Sarawak Yang Maju dan Berkebajikan’ untuk ‘menakluki’ Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
‘12 Tawaran PAS Sarawak’ yang dilancarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu, ialah menubuhkan Suruhanjaya Diraja Untuk Reformasi Tanah NCR Sarawak; Kemiskinan Sifar Tanpa Mengira Kaum; Lebuh Raya Pan-Borneo Sebagai Lebuh Raya Terbaik; SCORE Sebagai Hab Tek-nologi Hijau Berinovatif; Sarawak Sebagai Agropolitan Pengeluar Makanan Utama Malaysia; Jalan Raya, Bekalan Elektrik dan Air Bersih Untuk Semua; Capaian Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Semua; Meningkatkan Royalti Hasil Petroleum Sarawak Kepada 20 peratus; Tabung Warisan Petroleum Anak Sarawak; Tawaran Khas Untuk Golongan Wanita dan Tawaran Khas Untuk Golongan Muda.
Abdul Hadi menyifatkan dokumen ‘12 Tawaran PAS Sarawak: Membangun Sarawak Yang Maju dan Berkebajikan’ adalah terjemahan praktikal agenda Negara Berkebajikan yang diutarakan oleh PAS dalam konteks negeri Sarawak yang dipinggirkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan sejak sekian lama.
Katanya dokumen tersebut juga merupakan ‘blueprint’ politik PAS untuk negeri Sarawak dan akan menjadi asas perjuangan PAS di peringkat persekutuan dalam membela nasib rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama.
“Semoga dokumen ‘12 Tawaran PAS Sarawak’ ini akan memberi impak yang positif terhadap gerak kerja parti khususnya dalam memenangi hati rakyat Sarawak dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.
Abdul Hadi dalam ucapannya pada majlis sempena Program Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di sini mengajak seluruh jentera dan penyokong PAS serta parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk bekerjasama dan berkongsi ‘kekuatan’ menumbangkang BN yang disifatkan sebagai ‘gajah’ dan PR umpama semut.
“Seekor semut tidak dapat menumbangkan gajah sebaliknya kalau semua semut (parti PR) bekerjasama kita mampu menumbangkan gajah.
“Kita masuk ke dalam telinga, hidung dan semua anggota badan gajah, maka gajah boleh tumbang,” katanya.
Beliau dalam ucapannya memberitahu, PAS yang merupakan parti Islam mengajar konsep adil untuk semua dan konsep hidup bermasyarakat dengan memberikan bantuan kepada semua lapisan masyarakat.
“Adil untuk semua sama ada Islam atau bukan Islam, wajib adil untuk semua. Kalau tidak adil kepada semua, ia adalah haram,” katanya.
“Bantuan kemiskinan kita bagi, soal dia nak beli lembu atau beli babi, itu hak dia.
“Bantuan pelajaran kita beri dan soal dia nak ajar anak dia bahasa Cina atau bahasa Iban itu adalah hak mereka, PAS tidak pernah menghalang dan itulah yang akan dilaksana jika PAS memerintah Sarawak.
“Sebaliknya soal undang-undang yang sama, seperti peraturan jalan raya, kita tidak ubah.
“Undang-undang jalan raya tetap sama. Kalau PAS menang di Sarawak, bila lampu merah semua berhenti, PAS tidak ubah undang-undang, lampu merah semua berhenti, DAP jalan, PAS boleh jalan, tidak. Kita tidak ubah undang-undang sebegitu,” katanya.
“Ada perkara yang sama, ada perkara yang berbeza."
Terdahulu beliau menerima penyerahan borang permohonan keahlian PAS oleh sekumpulan masyarakat Iban dari Sibuti yang disampaikan oleh wakil mereka, Ramba Asun dari Kuap, Sungai Bakas, Sibuti dan borang keahlian daripada wakil masyarakat Bidayuh, Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah yang berasal dari Lundu.
Muhammad Rashidi yang berbangsa Bidayuh dan merupakan penulis buku ‘best seller’ untuk Travelog Syahadah: Jejak Seorang Mualaf Mencari Jalan Ke Syurga dan Travelog Hidayah: Daripada Hidayah Kepada Dakwah, merupakan seorang pendakwah terkenal yang tidak asing lagi di Semenanjung.
Walaupun sudah menetap di Kuala Terengganu, namun beliau kini kerap balik ke Sarawak dan mulai aktif menjelajah seluruh negeri ini dengan membawa mesej perubahan kepada rakyat Sarawak, sejak setahun lalu.
Program ‘Himpunan Hijau ke Putrajaya’ itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli, Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sarawak merangkap Yang Dipertua PAS Miri Jofri Jaraiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling dan bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Salleh Jafaruddin serta Ketua PKR Miri Dr Michael Teo.
Seperti petikan kenyataan akhbar baru-baru ini, umat Islam Sarawak amat kecewa dengan tindakan kerajaan pusat yang mengurus hal kuota haji mengurangkan kuota haji bagi Sarawak dari 800 kepada 633 saja.
Majlis Islam Sarawak (MIS) kecewa kuota haji bagi negeri Sarawak dikurangkan dari 800 kepada 633 pada tahun ini. Sebelum ini kuota haji bagi Sarawak lebih dari 800 orang dan pada tahun sebelumnya 1,000 orang lebih. Mengapa hampir setiap tahun kuota haji bagi Sarawak semakin berkurangan?
Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan menaja 400 imam dan pengerusi JKKK untuk menunaikan haji pada tahun ini. Persoalannya, adakah 400 orang yang terpilih ini, mereka yang memang termasuk dalam senarai menunaikan haji pada tahun ini, atau 400 orang ini ada yang mengambil hak kuota jemaah lain yang sepatutnya pergi pada tahun ini?
Pihak kerajaan Arab Saudi telah setuju mengekalkan kuota seramai 28,000 jemaah Malaysia untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Jadi kalau kuota haji masih kekal, mengapa pula kuota haji bagi Sarawak dikurangkan? Ini persoalan yang timbul dikalangan umat Islam Sarawak yang terpaksa menunggu lama sehingga 5 sampai ke 10 tahun barulah dapat menunaikan haji.
Umat Islam Sarawak juga semakin meningkat dan mereka juga perlu diberi keutamaan dalam menunaikan fardu haji. Kita tidak mahu kerajaan pusat mengambil kuota haji bagi Sarawak diberi kepada pihak tertentu saja seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini kerajaan menaja 400 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negara untuk menunaikan ibadat haji di Tanah Suci Mekah pada tahun ini.
Kita mendesak agar pihak kerajaan pusat mengembalikan semula hak dan kuota haji bagi Sarawak seperti dulu iaitu dengan mengekalkan 1 ribu orang. Jangan meminggirkan umat Islam Sarawak semata-mata untuk memenuhi keperluan dan kepentingan pihak tertentu saja dengan mengambil hak orang yang sepatutnya dapat menunaikan haji.
Harap perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya dari kerajaan pusat yang mengurus kuota haji bagi seluruh negeri dalam Malaysia agar umat Islam Sarawak tidak dipinggirkan dalam masalah kuota haji ini.
Berlaku adillah untuk semua, jangan anggap umat Islam Sarawak sebagai kelas kedua yang mudah diabaikan begitu saja. Tanpa Sarawak, Malaysia tidak akan wujud dalam negara ini.
Selamat Menyambut Hari Malaysia pada 16 September 2012.
(Nasrudin, memegang bendera, menaiki motor bersama anak muda Sarawak) MIRI: Program Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Miri dan Sibuti Sarawak pada hari Ahad minggu lepas berjaya menghimpunkan ahli PAS, penyokong dan rakyat yang datang dari seluruh negeri Sarawak.
Pengarah program, Arifiriazul Paijo yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Sarawak menyifatkan program kali ini berjaya mencapai matlamat penganjuran untuk memberi amanat pilihan raya kepada seramai mungkin ahli PAS yang berada di Sarawak.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Miri, barisan pimpinan PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Malaysia terus mengadakan Sidang Media dan kemudiannya program Xpresi dimulakan dengan rombongan Dewan Pemuda PAS Malaysia dibahagikan kepada tiga (3) kumpulan untuk menuju ke destinasi yang telah ditetapkan.
Kumpulan A diketuai sendiri oleh Ust Nasrudin Hasan, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Khairolfahmi Matsom, Mohd Firdaus Jaafar dan Dr. Ghazali Hasbullah.
Manakala Kumpulan B pula diketuai oleh Ust Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, Nurul Islam Mohammed Yusuf dan Robby Zaid Tandang yang beramah mesra dengan lima (5) buah warga rumah panjang. Seterusnya Kumpulan C adalah terdiri daripada tiga (3) orang Peguam daripada Juham yang diketuai oleh Dr Zulqarnain Lukman Al-Haj, Ariff Azami Hussein dan Mohd Tajuddin Abd Razak selain Zua XPDC dan Ewan Syahman bagi kumpulan artis yang turut hadir memeriahkan program. (Anak muda dan dewasa yang memenuhi majlis PAS di Miri) Pada jam 2 petang, program diteruskan dengan konvoi basikal fixie dan motosikal dari Masjid at-Taqwa, Miri dengan diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan dengan diiringi barisan Exco DPPPM.
Sejurus tiba di tempat program, majlis diteruskan dengan rumah terbuka aidilfitri anjuran Dewan Pemuda PAS Sarawak.
Selepas itu acara pentas bermula dengan persembahan selebriti tanah air, Zuar XPDC. Kemudian diselang-selikan dengan cabutan hadiah bertuah dan pidato oleh barisan exco Dewan Pemuda PAS Pusat.
Antara yang turut serta menyampaikan pidato ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Ustaz Nik Abduh Nik Aziz, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-His dan Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar.
Selebriti dan atlet juga turut hadir memeriahkan program Xpresi Hijau Anak Muda. Antaranya ialah Zuar XPDC, Iwan Syahman dan Jack Ho (atlit Triathlon Sarawak).
Acara kemuncak program Xpresi Hijau Anak Muda petang itu adalah pidato oleh Nasrudin Hassan selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Program tersebut berakhir kira-kira jam 4.30 petang.
Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Sabah dan Sarawak DPPM ketika dihubungi pada penghujung program Xpresi berkata, “Saya mewakili DPPM mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga DPPN Sarawak di atas kejayaan menganjurkan Xpresi ini. (Pemuda PAS berbual mesra dengan penduduk Sarawak) Sesungguhnya ini merupakan satu 'signal' kepada PBB bahawa 'Anambiak Mudak' Sarawak akan bangkit bersama PAS/PR di dalam PRU ke-13 yang akan menjelma tidak lama lagi”.
Beliau yang ditugaskan untuk turun ke rumah-rumah panjang di Sibuti bersama Robby Zaid Tandang menjadi tumpuan orang Iban kerana kemesraannya menyantuni warga rumah panjang terutama warga emas dan kanak-kanak selain berkebolehan berceramah di dalam bahasa Iban.
Abang Ahmad Kerdee di akhir program di rumah panjang pada tengahari tersebut mengakhiri ucapannya dengan 1 rangkap pantun 2 kerat yang menggamatkan suasana:
(Gambar-gambar sekitar lawatan pemimpin PAS ke Sarawak)
MIRI: Pakatan Rakyat (PR) tidak mahu memberi laluan mudah untuk Barisan Nasional (BN) memenangi mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan memberi saingan secara terus atau satu lawan satu.
Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli memberitahu, saingan satu lawan satu walaupun sengit namun lebih mudah untuk PR meng-uji ‘kekuatan’ dan memberi kelebihan serta peluang kepada PR.
“Kita tidak akan memberikan laluan yang mudah kepada BN dan yang penting ialah satu lawan satu dengan BN dan kemudian rakyat akan menyaksikan kelak satu perubahan yang besar dalam PRU akan datang,” ujar beliau dengan nada yakin.
Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai memberitahu, jentera PR di Semenanjung Malaysia kelak akan turun ke Sarawak dan Sabah juga, bagi memberi semangat kepada calon-calon mereka di sini dan memastikan kemenangan berpihak kepada PR.
“Dengan keadaan politik di negeri Sabah yang dilanda pelbagai skandal dan keengganan presiden untuk bertanding, ia merupakan satu tamparan hebat kepada BN,” katanya sambil merujuk kepada isu pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin yang mengumumkan untuk tidak mempertahan-kan kerusinya pada PRU akan datang.
Beliau memberitahu, pembahagian kerusi dalam PR sudah mencapai persepakatan dan kini di fasa akhir dengan PAS sudah mengenal pasti beberapa kerusi berpotensi yang akan ditandinginya terutama di Sarawak.
“Kita yakin mampu me-numbangkan kerajaan BN pada PRU Ke-13 ini kelak.
“Kalau kita tebang seorang-seorang memang sukar tetapi kalau beramai-ramai kita ‘menebang’ pokok besar (BN), ia akan tumbang jua nanti,” tambahnya.
Beliau memberitahu demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Negeri Sarawak yang dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini, malam kelamrin.
Lebih 100 penyokong PAS dan PR hadir pada program tersebut yang bermula dengan konvoi pada sebelah petangnya diikuti dengan Rumah Terbuka Hari Raya PAS Sarawak.
Turut hadiri pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling, Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sarawak merangkap Pengerusi PAS Miri Jofri Jaraiee dan bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Salleh Jafaruddin serta Ketua PKR Miri Dr Michael Teo.
Dalam pada itu, Dr Hatta turut menggesa agar jentera pilihan raya PAS mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dan kepili-hanrayaan sebagai kaedah terbaik bagi menghadapi PRU13 akan datang.
“Selain itu ahli-ahli PAS Sarawak perlu terus menggunakan peluang sehingga akhir September ini untuk menambah dan mendaftarkan pengundi-pengundi baharu.
“Keluar dan dapatkan se-banyak ramai yang mungkin, jika kita membantu mendaftarkan mereka, nescaya mereka mungkin akan menyokong kita semula pada pilihan raya kelak,” tambahnya.
Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini mendedahkan beberapa kelemahan ketara kerajaan negeri Sarawak di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak, kami merasa kesal dan kecewa atas kelemahan-kelemahan yang seharusnya dapat dielakkan.
Antara kelemahan kerajaan negeri yang harus diambil perhatian serius ialah kelewatan projek pembangunan kemudahan asas, kegagalan kerajaan negeri menjalankan projek di bawah peruntukan yang disediakan, kelemahan ketara dalam bantuan kebajikan kepada rakyat miskin dan kelemahan pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan negeri.
Saya mengambil contoh kegagalan kerajaan negeri menjalankan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-9. Peruntukan khas RM1 billion gagal dibelanjakan oleh kerajaan negeri dengan baik, sedangkan peruntukan ini berbentuk ‘once off’ dan tiada projek sambungan dalam Rancangan Malaysia ke 10.
Daripada 31 projek pembangunan yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-9, hanya 14 projek yang telah dijalankan (45.2%) setakat 31 Disember 2010, manakala 17 lagi projek gagal disiapkan. Hanya RM271.07 juta dibelanjakan, (46.3%) oleh kerajaan negeri. Ini bermaksud, rakyat Sarawak terlepas peluang menikmati pembangunan bernilai RM314.39 juta. Nilai pembangunan ini tidak lagi dapat diteruskan di bawah Rancangan Malaysia ke-10.
Rakyat Sarawak dinafikan hak pembangunan disebabkan kelemahan kerajaan negeri dalam menguruskan projek pembangunan di negeri ini. Harus dinyatakan di sini, kebanyakan projek di bawah peruntukan khas ini ialah projek jalan raya dan jambatan, yang merupakan antara infrastruktur paling asas sebuah negeri membangun.
Saya juga kesal dengan pendedahan Jambatan Batang Strap, Seri Aman yang dibina ‘ke belukar’ tanpa jalan raya yang menyambungkannya. Ini suatu kelucuan dan pembaziran wang rakyat sebanyak RM20 juta. Dewan Pemuda PAS Sarawak menggesa kerajaan negeri untuk mengambil langkah serius dalam pengurusan projek pembangunan, dan tidak hanya melepaskan batuk di tangga.
Saya juga ingin menyatakan kebimbangan dengan penemuan audit mengenai bantuan rakyat miskin. Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mempunyai data yang lengkap mengenai jumlah sebenar rakyat miskin di negeri ini.
Bantuan yang diberikan sejak 10 tahun dahulu tidak dikaji semula, walaupun peningkatan sara hidup yang ketara. Bantuan ini sepatutnya menjadi fokus utama kerajaan negeri memandangkan masih ramai rakyat Sarawak yang hidup dalam kemiskinan terutama daripada golongan kurang upaya dan golongan emas.
Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Sarawak, kami mencadangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih proaktif, dengan mengumpul sebanyak mungkin data daripada NGO-NGO, sukarelawan dan parti-parti politik yang terlibat secara langsung dengan masalah rakyat. Dewan Pemuda PAS Sarawak sendiri, mempunyai banyak pengalaman membantu rakyat miskin di seluruh Sarawak dan kami tiada masalah untuk berkongsi maklumat dengan JKM.
Pengurusan Jabatan-jabatan kerajaan juga masih boleh dipertingkatkan. Paling mengejutkan, pendedahan mengenai Jabatan Muzium negeri yang masih kekurangan infrastrukur asas, hingga menyebabkan artifak-artifak berharga bakal musnah.
Kelemahan-kelemahan asas lain seperti pengurusan kontrak, pengurusan projek dan kewangan Jabatan-jabatan kerajaan perlu diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan negeri. Ambillah contoh kerajaan negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor dan Kelantan yang mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara atas kecekapan pengurusan mereka.
Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Sarawak, saya menggesa langkah pembaikan yang bersungguh-sungguh daripada pihak kerajaan dan mengambil serius saranan Laporan Ketua Audit Negara ini.
Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak. Sumber HD - 25-10-2012
(Arifiriazul membuat tendangan penalti sebagai tanda perasmian pertandingan futsal padang)
MIRI: Pemuda PAS akan memastikan '12 Tawaran Rakyat PAS Sarawak' akan dilaksanakan sebaik mungkin khasnya untuk golongan belia.
Atas dasar itulah, Pemuda PAS sangat giat mendekatkan dirinya dengan belia bagi menjiwai hasrat mereka, kata Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul Bin Paijo.
Antara perkara yang PAS Sarawak tawarkan kepada golongan belia adalah meningkatkan capaian internet Sarawak kepada 100 % dalam masa 2 tahun.
RM50 juta khusus untuk pembangunan belia dan sukan di seluruh negeri dan insentif khas untuk membantu golongan muda mendirikan rumahtangga bagi meringankan beban kos
perkahwinan.
Baru-baru ini, Dewan Pemuda PAS kawasan Miri telah Berjaya menganjurkan pertandingan futsal padang bersama penduduk Kampung Batu 1 yang telah disertai oleh 16 Pasukan dari sekitar Senadin, Tudan dan Pemyjaya.
Pertandingan bermula pukul 8.00 pagi dan dirasmikan oleh Mohammad Arifiriazul dengan mengambil tendangan sudut penalti sebagai simbolik upacara perasmian.
Di dalam ucapan perasmiannya, Mohammad Arifiriazul menyebut bahawa PAS Sarawak mengambil berat perkembangan golongan belia di Sarawak.
(Pasukan yang menang bergambar kenangan)
Pertandingan berakhir pada pukul 4.00 petang dan Pasukan Tsunami Tackle telah dinobatkan sebagai Juara bagi tahun 2012 apabila menewaskan pasukan Basicalloca pada perlawanan akhir dengan jaringan 6-2.
Tempat ketiga jatuh kepada Pasukan War 8 yang memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat menewaskan pasukan Formula 1.
Penganjuran Futsal kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari penduduk kampung yang bermain dengan penuh semangat kesukanan.
Dewan Pemuda PAS pula akan terus bersama dengan pemuda serta akan menganjurkan perlawanan yang lebih besar pada masa akan datang.
AirAsia sebuah syarikat penerbangan tambang murah telah memberi banyak kemudahan kepada pengguna yang kurang berkemampuan untuk menikmati penerbangan tambang murah. Semua penerbangan AirAsia dikendalikan oleh Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).
Ramai yang bersyukur kerana dapat menggunakan khidmat penerbangan murah tersebut, walaupun dulu hanya terdapat sebuah syarikat penerbangan yang mengendalinya dengan mengenakan bayaran yang tinggi.
Walaubagaimana pun ramai juga yang kurang berpuas hati cara pengurusan pihak AirAsia terutama sekali mengenakan caj atau penalti kepada pengguna yang lewat atau tersalah info tentang jadual penerbangan atau tempat berlepas terutama sekali di KL LCCT. Ada juga caj tersembunyi walaupun dikatakan tambang murah.
Contoh penerbangan di KL LCCT untuk penerbangan domestik di mana ada setengah kuanter dibuka untuk penerbangan ke destinasi yang sama tetapi di tempat pintu perlepasan yang berlainan.
Ada sesetengah penumpang yang baru datang agak keliru dengan tempat perlepasan dan ada yang tersilap tempat menunggu sehingga apabila mereka sedar yang pesawat sudah pun berlepas hanya dalam beberapa minit saja.
Antara sebabnya adalah suara pengumuman kurang jelas dan tidak secara menyeluruh di kawasan tempat menunggu dan ada juga petugas tidak berada di kuanter sehingga waktu hendak berlepas barulah mereka muncul.
Ada yang sudah datang awal tetapi tiba-tiba pula jadual penerbangan ditunda lebih dari 1 jam tetapi tiada sebarang bayaran balik atau sekurang-kurangnya kupon hidangan ringan diberikan oleh pihak pengurusan AirAsia. Apabila penumpang datang lewat sedikit atau 10 minit lewat dari jadual penerbangan mereka pula dilarang masuk dan akan dikenakan penalti kalau mahu meneruskan penerbangan.
Inilah satu perkara yang tidak adil kepada pengguna, di mana hanya pihak syarikat yang untung dalam perjanjian yang agak berat sebelah ini. Kalau pihak syarikat yang membuat kesilapan, tidak pula pengguna dapat menuntut bayaran balik walaupun mereka terlewat setengah atau 1 jam lebih dari jadual penerbangan.
Macam-macam syarat pula dikenakan oleh pihak syarikat kepada pengguna kalau mahu menuntut bayaran balik.
Pihak pengguna juga berhak menuntut bayaran balik sekiranya mereka terpaksa terlewat penerbangan disebabkan oleh pihak penerbangan AirAsia atau mana-mana syarikat penerbangan yang menangguhkan penerbangan mengikut jadual.
Kita mengesa agar pihak kerajaan mengkaji semula caj atau kos tersembunyi yang selalu dikenakan oleh pihak syarikat kepada pengguna. Jangan hanya pengguna saja boleh dicaj atau didenda sedangkan apabila berlaku sebaliknya pihak syarikat pula boleh bebas tanpa sebarang tindakan dikenakan.
Kita mahu semua pihak dilayan dengan adil, bukan hanya pentingkan pihak korporat saja sehingga pengguna menjadi mangsa.
Harap perkara ini dapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan dan mereka yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan rakyat. Kebajikan rakyat mesti diutamakan dari pihak yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
Penulis ialah Yang Dipertua PAS Miri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak. Sumber HD - 19-11-2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak mencabar pemimpin-pemimpin BN negeri terutama Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud supaya mengisytiharkan harta.
“Selain daripada menunjukkan ketelusan BN, ini juga dapat menangkis dakwaan kekayaan luar biasa Ketua Menteri yang dikhabarkan mempunyai harta bilion ringgit di luar dan dalam negara,” kata ketuanya, Mohd Arifiriazul Paijo (gambar).
Ini, katanya termasuk dakwaan hubung kait keluarga Ketua Menteri dengan syarikat-syarikat utama di negeri itu.
Beliau berkata, hanya dengan pengisytiharan harta oleh Ketua Menteri sahajalah dapat menangkis dan menamatkan khabar-khabar angin itu.
“Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Sarawak menyatakan kesediaan untuk mengisytiharkan harta calon pilihan raya daripada Pemuda PAS untuk pilihan raya yang akan datang,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Justeru, beliau mengharapkan pemimpin Barisan Nasional negeri terutama Ketua Menteri sudi menyahut seruan itu.
Pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 minggu lalu, Dewan Pemuda PAS membuat gesaan itu yang disokong oleh Presiden PAS dan timbalannya.
Katanya, keterbukaan kepimpinan PAS mengenai pengisytiharan harta menunjukkan integriti dan kejujuran mereka di semua peringkat.
“Amalan pengisytiharan harta ini bukanlah suatu yang asing, malah menjadi amalan negara-negara maju. Dalam sejarah tamadun Islam, Saidina Umar pernah ditanya rakyat mengenai hartanya.
“Ini menunjukkan amalan pengisytiharan harta ini merupakan suatu perkara yang dibenarkan dan mulia,” ujarnya.
ULASAN-Kita tidak memerlukan ihsan sesiapa, yang kita mahukan ialah keadilan dan kesetaraan. Kita tidak kepingin hak orang lain, yang kita mahukan hanyalah hak royalti kita!
Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat Sarawak memandang serius isu royalti petroleum Sarawak yang kini hanya pada kadar 5%.
Berdasarkan perangkaan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011, kadar 5% ini adalah berjumlah RM 2.05 bilion, meningkat lebih 18% berbanding tahun sebelumnya.
Pemuda Pakatan Rakyat Sarawak tidak menafikan bahawa ini adalah satu jumlah yang besar namun, persoalan yang harus difikirkan oleh setiap rakyat Sarawak ialah adakah ini memadai?
Dengan kadar kemiskinan ketiga tertinggi di Malaysia iaitu pada kadar 5.3%, Indeks Pembangunan Jalanraya (RDI) yang tercorot pada kadar 0.38 dan kira-kira 1/3 rakyat Sarawak masih belum mendapat bekalan elektrik dan air bersih, adakah jumlah ini adil untuk kebajikan rakyat Sarawak?
Sekiranya kadar royalti ini dinaikkan kepada 20%, sebenarnya, jumlah yang akan diperoleh oleh Sarawak akan menjadi jauh lebih besar iaitu sekitar RM 8.2 bilion.
Sebagai perbandingan, jumlah ini adalah 3 kali ganda lebih besar daripada keseluruhan peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk BRIM 1.0 untuk seluruh Malaysia.
Dan perlu diingatkan di sini bahawa, rakyat Sarawak sebenarnya hanya menerima sekitar 4% daripada keseluruhan bajet BRIM 1.0 walaupun negeri ini mempunyai bilangan keluarga miskin ketiga teramai di Malaysia. Jelas, tawaran royalti 20% ini jauh lebih bermanfaat untuk rakyat Sarawak berbanding BRIM!
Segala fakta di hadapan kita ini nyata menunjukkan bahawa kerajaan BN bukanlah juara rakyat Sarawak.
Hasil bumi negeri ini seharusnya digunakan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat Sarawak terlebih dahulu sebelum ia digunakan untuk kebaikan bersama di peringkat persekutuan. Konsep keadilan ini sememangnya menjadi intipati ajaran Islam yang mementingkan pengagihan hasil negeri dan negara secara saksama dan ‘equitable’ demi kesejahteraan rakyat.
Konsep ini jugalah yang sebenarnya menunjangi tuntutan PAS dan Pakatan Rakyat dalam tawaran Buku Jingga kami yang mahukan kadar royalti bagi negeri-negeri pengeluar petroleum termasuklah Sarawak dinaikkan kepada 20%.
Ini bukanlah tuntutan melampau malahan ia adalah satu tuntutan yang sangat adil kerana realitinya ialah rakyat Sarawak adalah jauh lebih memerlukan kepada dana tersebut berbanding Putrajaya.
Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat Sarawak di semua peringkat berfikir sejenak tentang masa depan kita.
Sampai bilakah kita harus terus dibiarkan terpinggir tanpa pembelaan di bumi yang serba bertuah ni?
Kita tidak memerlukan ihsan sesiapa, yang kita mahukan ialah keadilan dan kesetaraan. Kita tidak kepingin hak orang lain, yang kita mahukan hanyalah hak royalti kita!
(Abang Ahmad [tengah] mendengar cerita keluarga mangsa)
PUSA (Sarawak): Peristiwa menyayat hati empat (4) beranak yang meninggal dunia akibat keracunan gas di sini pada jumaat lalu telah mendapat perhatian daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Mangsa kejadian malang tersebut, Zaidi Pandi@ Pendi (62) dan isteri Tiah Sauti (53) yang kedua-duanya adalah pengundi di DUN Beting Maro, Sarawak dan dua (2) anak mereka Atikah (27) dan Kazil (20) ditemui meninggal dunia ketika sedang tidur oleh adik kepada Allahyarham Zaidi, Omar (39).
Dalam kejadian yang telah berlaku pada minggu lepas, mangsa dipercayai meninggal dunia kerana terhidu gas karbon monoksida yang terhasil daripada set generator yang berfungsi sebagai satu-satunya sumber tenaga elektrik kediaman mangsa.
Saudara Abang Ahmad Kerdee bin Abang Masagus, AJK PAS Pusat telah menziarahi waris mangsa iaitu Azizan (35), Razif (30), Azizah (41) dan Haida (38) di kediaman mereka bagi mewakili PAS untuk menyatakan rasa simpati dan takziah di atas kejadian yang telah berlaku.
(Azizan menunjukkan tempat ayahnya solat sebelum jatuh di atas sejadah dan meninggal)
Beliau yang juga merupakan Yang Di-Pertua PAS Batang Lupar dan Bekas Calon DUN Beting Maro juga turut melahirkan kekesalannya di atas kejadian yang berlaku.
"Berdasarkan pemerhatian yang dibuat di sekitar rumah kediaman Allahyarham Zaidi dan menurut maklumat yang disampaikan oleh waris, kita mendapati bahawa rumah kediaman mangsa tidak mendapat bekalan tenaga elektrik daripada pihak yang berkenaan.
"Kita dimaklumkan bahawa permohonan telah dibuat sekurang-kurangnya dua (2) kali kepada Sarawak Energy Supply Company (SESCO) namun maklumbalas yang diberikan adalah amat mengecewakan.
"Sedangkan kita boleh lihat terdapat tiang-tiang elektrik yang terletak tidak sampai 50 meter dari kediaman mangsa," kata Abang Ahmad.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Hal-Ehwal Sabah & Sarawak DPPM turut melahirkan kekesalan terhadap sikap tidak proaktif wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di DUN Beting Maro di dalam menangani masalah berkenaan terutama selepas berlakunya kejadian tersebut.
Bercakap mengenai latar belakang mangsa, Azizan, menceritakan bahawa Allahyarham ayahnya merupakan seorang pengusaha kantin, yang juga mempunyai kolam untuk menternak ikan tilapia dan ketam di sebelah rumah mereka.
Rebah di atas sejadah
(Abang Ahmad menyerahkan sumbangan PAS kepada keluarga mangsa)
Menurut beliau lagi, Allahyarham pada kebiasaannya akan sentiasa menunaikan solat fardhu di masjid dan hanya akan solat sunat di rumah.
Menyentuh mengenai suasana kejadian, Azizan berkata lagi keempat-empat jenazah ditemui dalam keadaan yang elok.
Allahyarham Zaidi ditemui dalam keadaan rebah di atas sejadah di ruang tamu rumahnya. Zaidi yang juga merupakan ahli PAS dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai seorang yang kuat agama dan disenangi oleh masyarakat tempatan.
Justeru, beliau bagi mewakili keluarganya melahirkan kekecewaan terhadap sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menyebarkan berita atau khabar angin yang tidak tepat terhadap keadaan sebenar telah berlaku.
Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pimpinan dan ahli PAS di atas sikap cakna kebajikan dan terharu di atas kunjungan tersebut.
Dalam lawatan tersebut, saudara Abang Ahmad Kerdee turut menyampaikan sumbangan kewangan dan barang keperluan harian kepada Azizan bagi mewakili keluarganya.
Jenazah dikebumikan di dua tempat berasingan iaitu jenazah Zaidi Pandi bersama kedua-dua anaknya dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Pusa manakala isterinya, Tiah dituntut oleh saudaranya dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Saratok.
(Abang Mat [kiri] memikul beras untuk disampaikan kepada orang miskin di Beting Maro)
PUSA (Sarawak): Kedaifan rakyat Negeri Sarawak di bawah pentadbiran Kerajaan BN telah mendapat perhatian daripada PAS melalui PAS Sarawak.
Seramai 50 orang penerima sumbangan kebajikan yang terdiri daripada fakir miskin, anak yatim, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan warga emas telah menerima sumbangan itu di sini kelmarin.
Sumbangan berupa barang keperluan dapur disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Saudara Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, di dalam program “Misi Negara Berkebajikan Beting Maro”.
Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan yang diadakan di Markas PAS Beting Maro menyatakan bahawa program tersebut diadakan bagi membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik bersempena dengan tahun baru hijriah 1434.
(Bergambar kenangan dengan barangan yang hendak disumbangkan kepada fakir dan miskin)
Beliau juga seterusnya bergerak dari rumah ke rumah penerima yang tidak dapat hadir di majlis penyerahan sumbangan tersebut.
Menurut beliau, “Sebagai sebuah negeri yang memiliki hasil bumi yang banyak dan pendapatan kasar negeri yang tinggi, sepatutnya kerajaan negeri di bawah BN memanfaatkan kelebihan tersebut di dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Dan bukannya sekadar berlegar di kalangan pemimpin atau kroni mereka sahaja.
"Seharusnya hasil bumi Sarawak ini diagihkan secara adil dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira ras perbezaan agama, bangsa atau ideology politik," katanya lagi.
Beberapa penduduk kampung yang ditemui menyatakan kesyukuran dan mengakui bahawa PAS merupakan parti yang benar-benar prihatin dan bersifat mesra rakyat, sekaligus menepati slogan yang dibawa PAS iaitu “Membangun Negara Berkebajikan”.
“Ini barulah Wakil Rakyat yang sebenar. Turun ke lapangan untuk bertemu dan bersama dengan semua orang tanpa mengira latar-belakang. Tidak seperti BN, nak lihat batang hidung YB pun susah. Hanya hantar ‘kuncu-kuncu’ sahaja jumpa orang kampung. Datanglah ke kampung kami, naiklah ke rumah kami untuk tanya khabar dan masalah,”kata Wan Dahlan Wan Pakeh, 59, yang ditemui di rumahnya. (Meraikan OKU yang tidak dapat melihat)
Kehadiran “Abang Mat” dan rombongannya dirai dengan penuh kegembiraan oleh penduduk kampung yang rata-ratanya bekerja sebagai petani dan nelayan.
Tidak ketinggalan juga anak-anak muda yang mesra dengan beliau dengan simbol “peace”nya itu.
Abang Mat juga turut di bawa oleh orang kampung untuk membuat tinjauan khas ke kawasan kampung yang mengalami masalah air yang sehingga kini tiada penyelesaian.
Dari tinjuan yang dilakukan, keadaan bekalan air di sekitar kawasan kampung dan gerai makan di situ sangat daif sehingga menyukarkan penduduk kampung mendapatkan bekalan air.
Tambah menyedihkan apabila batang paip yang di pasang semasa Pilihanraya Negeri Sarawak pada tahun lepas hanya sekadar perhiasan bagi mengaburi mata rakyat, sedangkan air hanya boleh di dapati pada waktu awal pagi, itupun dengan tekanan yg sangat rendah.
Menurut penduduk Kampung Pusa yang ditemui, Awang Rasit Awang Pei’e, 58, masalah air tersebut telah berlaku sejak 20 tahun yang lalu.
“Saya berdoa agar orang Beting Maro akan membuka mata mereka di dalam Pilihanraya Umum yang akan datang tidak lama lagi. Kita cuba dulu beri peluang sekali kepada Pakatan Rakyat.
"Saya dan anak-anak sudah merasa kesusahan ini, saya tidak mahu cucu-cicit saya merasa keperitan yang sama. Jangankan nak minum atau mandi, nak buat majlis pun susah, apatah lagi kalau ada orang kampung mati, pun susah,” tambah Awang Rasit lagi.
Hadir sama di dalam rombongan tersebut adalah Ketua Pemuda PAS Kawasan Batang Lupar, Zawawi Kashim beserta dengan wakil Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak.
Arifiriazul menunjukkan keratan akhbar mengenai penemuan terbaru simpanan gas di perairan Miri. KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Sarawak bersyukur dengan penemuan terbaru simpanan gas (gas reserve) di perairan Miri oleh Petronas baru-baru ini.
Penemuan gas di lapangan Kuang Utara dan Tukau Timur itu dianggarkan mempunyai simpanan gas sebanyak 4.4 TSCF (trillion standard cubic feet).
“Penemuan terbaru ini menunjukkan Sarawak ialah negeri yang kaya dengan hasil asli terutama hasil minyak dan gas,” kata Ketuanya, Mohd Arifiriazul Paijo.
Justeru, ujarnya hasil gas itu hendaklah dimanfaatkan untuk kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sarawak, sesuai dengan tuntutan Islam untuk sesuatu hasil hendaklah dibelanjakan untuk negeri tersebut sebelum dipindahkan kepada kerajaan pusat.
Tambahnya, fokus utama hendaklah diberikan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti lebuhraya, kemudahan air bersih dan elektrik di seluruh Sarawak serta program-program mensifarkan kemiskinan di kalangan rakyat Sarawak.
“Kami menganggarkan pendapatan sebanyak RM43 billion sepanjang operasi pengeluaran gas daripada dua lapangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, dengan menganggarkan operasi pengeluaran selama 20 tahun, hasil tahunan daripada penemuan terbaru ini ialah RM2.16 billion setahun.
“Kami meneruskan tuntutan 20% royalti daripada hasil pendapatan tersebut yang dianggarkan RM430 juta setahun bermula daripada tahun pengeluaran pertama,” ujarnya lagi.
Dengan jumlah royalti tahunan sebesar itu, katanya kemiskinan di Sarawak dengan kadar 5.3% mampu disifarkan sepenuhnya hanya dalam masa setahun.
Dalam masa yang sama, kata beliau sekiranya keseluruhan hasil daripada 20% royalti gas ini dijumlahkan untuk 20 tahun operasinya, kerajaan negeri akan memperoleh hampir RM9 bilion yang dianggarkan mampu membina sekitar 60,000 buah rumah mampu milik untuk rakyat Sarawak yang memerlukan.
Sehubungan itu, katanya Kerajaan Negeri Sarawak hendaklah sedar bahawa hasil minyak dan gas Sarawak ialah milik rakyat Sarawak dan hendaklah dikembalikan kepada rakyat Sarawak.
“Hasil royalti 20% selaras dengan tuntutan NGO R dan Pakatan Rakyat ini hendaklah disokong oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
“Janganlah berslogan juara rakyat tetapi tidak mahu membela nasib rakyat sendiri,” katanya lagi.
MIRI: Peniaga di Tamu di Taman Tunku yang terletak dalam kawasan DUN Lambir merungut ekoran sehingga sekarang masih tiada bekalan elektrik di pasar berkenaan.
Mereka yang majoritinya berbangsa Cina didakwa membayar sewa tempat tersebut namun kecewa kerana kelengkapan asas itu masih tidak sempurna.
"Mereka mengadu kepada pihak kami mengapa sampai sekarang pihak SESCO atau pihak yang berkenaan tidak memasang elektrik dalam tapak perniagaan mereka.
"Inilah masalah utama yang sudah sekian lama yang dihadapi oleh penjaja Tamu di Taman Tunku sehingga kini masih belum lagi dipasangkan bekalan eletrik untuk memberi mereka keselesaan berniaga di situ," kata Yang Dipertua PAS Miri Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurut beliau lagi, perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana peniaga membayar sewa tapak peniagaan setiap bulan.
"Mereka berniaga dari pagi sampai ke malam dalam keadaan yang kurang selesa terlebih lagi pada waktu malam tanpa bekalan eletrik," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau memohon agar pihak Majlis Bandaraya Miri dan pihak yang berkenaan dapat mengatasi masalah ini dengan segera.
NIAH (Miri): Rumah (Rh) Mangun Sungai Sebatuk, Suai terletak dalam DUN Bekenu. Majoriti penduduknya kaum Iban dan ada juga keluarga Muslim tinggal di rumah panjang tersebut.
Kebanyakkan mereka bekerja sebagai petani dan ada juga bekerja dengan syarikat swasta.
Perjalanan dari bandaraya Miri ke Rh Mangun di Pekan Niah mengambil masa lebih dari satu jam.
Jalan masuk ke Rh Mangun lebih kurang dua kilometer saja, jalannya agak teruk dan berlumpur. Apabila musim hujan jalannya becak dan licin.
Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk di Rh Mangun adalah jalanraya dan juga bekalan air bersih.
Mereka sudah banyak kali memohon kepada pihak berkuasa untuk menurap jalan masuk kampung dengan tar dan juga menyalurkan bekalan air bersih, tetapi sehingga kini masalah tersebut belum dapat diatasi.
(Takungan air yang kering)
Mereka terpaksa menadah air hujan untuk keperluan harian mereka, apabila musim kemarau mereka terpaksa menggunakan air sungai yang berdekatan.
Menurut mereka lagi, air sungai tersebut tercemar dengan bahan sisa dari ladang kelapa sawit yang berdekatan.
Air takungan kering serta sukar untuk mendapat air bersih apabila musim kemarau.
Mereka juga belum menerima tangki 1Malaysia dari pihak kerajaan, sedangkan ada rumah yang berdekatan dengan Rh Mangun mendapat tangki tersebut.
Selain masalah jalanraya dan bekalan air bersih, terdapat seorang warga emas dan juga ibu tunggal mengadu masalahnya kepada pihak kami.
Sengayan Anak Jinga (Gambar kanan) berumur 76 tahun telah beberapa kali mohon bantuan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Miri tetapi sehingga kini beliau belum mendapat sebarang bantuan.
Menurut beliau lagi, setelah kematian suaminya 10 tahun yang lalu sehingga kini tiada sebarang bantuan diterima dari jabatan berkenaan.
Beliau sangat berharap pihak kebajikan dapat membantu meringankan bebannya dengan segera setelah sekian lama menunggu.
Kita mengesa pihak berkuasa serta mereka yang berkenaan segera membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan kebajikan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Begitu juga masalah infrastruktur, kemudahan asas serta kebajikan rakyat perlu diberi perhatian dan jangan hanya menunggu musim tertentu barulah datang untuk membantu.
Kita berharap pihak yang berkenaan dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera dan kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat dihargai.
BARAM: SMK Tinjar terletak dalam kawasan parlimen Baram. Majoriti penduduk berbangsa Iban dan terdapat juga kaum dari keturunan Penan, Kayan, Kenyah dan lain-lain.
Perjalanan dari bandaraya Miri melalui jalan darat mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Keadaan jalan menuju ke Tinjar melalui jalan Lapok masih lagi dalam keadaan teruk terutama sekali musim hujan lebat dimana air dari sungai Bok melimpah keluar ke jalan menyebabkan banjir, jalan becak dan licin.
Baru-baru ini kami menerima aduan dari penduduk serta pengajar di SMK Tinjar Baram tentang masalah bekalan air bersih serta elektrik yang tidak konsisten atau stabil dalam kawasan mereka.
Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk di Tinjar adalah masalah bekalan air bersih, setakat ini mereka terpaksa menggunakan air hujan atau air yang dipamkan dari sungai yang berdekatan untuk kegunaan harian.
Cuba bayangkan betapa sukarnya mereka menghadapi kehidupan dalam keadaan tiada air bersih dan mereka terpaksa mengharapkan air hujan untuk mendapat bekalan air bersih untuk memasak, minum dan mencuci pakaian.
Ada ketikanya para pelajar terpaksa menggunakan air yang dipam dari sungai untuk mandi sepanjang minggu disebabkan gangguan bekalan air hujan yang disimpan dalam tangki tidak mencukupi untuk menampung para pelajar yang terlalu ramai.
Tetapi masalahnya air sungai pun tercemar, kotor serta berbau dan mereka terpaksa menggunakannya sekiranya berlaku musim kemarau panjang akibat tiada air hujan.
Begitu juga dengan masalah bekalan elektik yang tidak stabil dan ianya menggunakan genset untuk kegunaan harian. Menurut salah seorang pengajar di situ, genset yang digunakan sekarang ini menghadapi masalah kerosakan. Ianya perlu ditukar dengan genset baru untuk mengatasi masalah ganguan bekalan eletrik.
Apabila genset menghadapi masalah kerosakan untuk membekalkan aliran letrik ke tempat kediaman mereka dan mereka terpaksa bergelap pada waktu malam.
Keadaan rumah dan tempat tinggal pengajar juga ada menghadapi masalah kebocoran dan retak walaupun tidak sampai 3 tahun digunakan.
Begitu juga keadaan dalam kelas di SMK Tinjar juga menghadapi masalah kebocoran siling apabila musim hujan lebat para pelajar serta guru yang mengajar terpaksa mencari tempat teduh untuk mengelak dari basah.
Mereka merayu agar masalah mereka ini dapat diberi perhatian dan dapat diselesaikan dengan segera memandangkan keadaan kehidupan seharian mereka sering terganggu akibat tiada kemudahan asas. Selain daripada itu masalah tempat mengajar juga agak daif dan perlu diperbaiki dengan segera.
Mereka meminta agar pihak kami dapat mengemukakan masalah mereka kepada pihak berkuasa agar dapat diberi perhatian serta tindakan segera.
Kita mengesa agar pihak berkuasa segera mengatasi masalah yang dihadapi oleh para pelajar serta para pengajar yang mengajar di SMK Tinjar Baram.
Pihak kementerian pelajaran sepatutnya memandang serius masalah para pelajar dan para pengajar di pedalaman Sarawak kerana keadaan kehidupan mereka sangat daif dan tidak ada kemudahan asas yang sepatutnya diberi kepada mereka yang terpaksa berjauhan dari keluarga mereka.
Sudahlah keadaan jalan teruk dan tiada sebarang kemudahan asas diberikan, tempat tinggal para pengajar juga teruk dan tidak terurus dengan baik oleh pihak pemerintah.
Sepatutnya mereka inilah yang patut diberi segala kemudahan asas kerana mereka sanggup mengajar di pedalaman Sarawak semata-mata ingin melihat anak bangsa mereka menjadi berguna untuk negara dimasa hadapan. Kalau pihak pemerintah terus abaikan nasib serta keadaan kehidupan mereka terus begini jangan haraplah hendak menerima keputusan pelajaran yang terbaik dari sekolah yang kurang mendapat kemudahan asas ini.
Kita sekali lagi mengesa agar perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya dan juga diselesaikan dengan segera dari pihak pemerintah demi kemajuan anak bangsa dimasa hadapan.
Kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat kita hargai.
Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
(Mansang ngelaban...jerit penyokong Pakatan Rakyat Sarawak)
KOTA SAMARAHAN: Parti Islam SeMalaysia (PAS) sekali lagi menggempur Parlimen Kota Samarahan Sarawak kelmarin di dalam misinya menyampaikan mesej penerangan di samping menyalurkan maklumat terkini kepada umum.
PAS Kawasan Kota Samarahan selaku penganjur utama “Program Kebangkitan Rakyat Sarawak” itu telah berjaya mendapat perhatian dan sokongan yang jitu daripada penduduk di Samarahan.
Dua (2) program utama yang diadakan telah mendapat sambutan luar jangka daripada penduduk setempat terutamanya golongan muda di kawasan tersebut iaitu Konvoi dan Ceramah “Kebangkitan Rakyat Sarawak”.
Acara konvoi motorsikal yang diadakan pada sebelah petang telah menarik minat ratusan anak muda di sekitar Kota Samarahan.
Upacara pelepasan peserta konvoi dilakukan oleh Saudara Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (Abang Mat) yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Penyelaras Parlimen Kota Samarahan. (Anak muda yang menyertai konvoi)
Abang Mat yang kemudiannya juga turut menyertai konvoi tersebut telah berkunjung ke enam (6) buah kampung di sekitar Parlimen Kota Samarahan bagi mempromosikan program Ceramah Kebangkitan Rakyat Sarawak yang akan diadakan pada sebelah malam selain mengedarkan Risalah 12 Tawaran PAS Sarawak.
Di sepanjang konvoi tersebut, penduduk sekitar turut memberi respon yang positif dengan melaungkan “Takbir”, “Reformasi” dan “Tumbang BN” di samping kenderaan yang lalu-lalang juga turut membunyikan hon dan tanda ibu jari “Bagus” kepada peserta konvoi.
Kondisi ini amat ditakuti oleh BN/PBB kerana peristiwa sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya merupakan tamparan yang cukup kuat kepada BN di situ dengan kemaraan dan penerimaan rakyat kepada PAS.
Peserta konvoi pada petang itu kemudiannya berhenti berehat di masjid yang berhampiran untuk solat asar berjamaah dan seterusnya bergerak ke tapak ceramah kebangkitan rakyat.
Pada malamnya pula, Ceramah Kebangkitan Rakyat diadakan di Kampung Tanjung Bundong dengan menampilkan penceramah yang terdiri daripada Haji Adam Ahid (Pesuruhjaya PAS Sarawak), Arif Ameran (PKR), ADUN Padungan Wong King Wei (DAP), Ustaz Misbahul Munir Masduki (Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak), Datuk Seri Ir Haji Nizar Jamaluddin Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Bukit Gantang, selain Abang Mat sendiri selaku Penyelaras Parlimen Kota Samarahan.
Kehadiran kira-kira 500 orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik seperti Melayu, Cina dan Iban telah menunjukkan penerimaan dan sokongan masyarakat setempat terhadap PAS.
Memetik ceramah yang disampaikan Abang Mat (gambar), “Mengikut laporan yang dibentang oleh Audit Negara, Negeri Sarawak merupakan di antara negeri yang terkaya di Malaysia, namun pada masa yang sama, rakyatnya juga tergolong di dalam lingkungan “Top 5” yang termiskin malah pernah menduduki tempat kedua termiskin di Malaysia.
"Jika mengikut logik akal, sepatutnya tahap kemiskinan rakyat di Sarawak berada di tangga terbawah dalam carta, namun begitu, oleh kerana pentadbiran BN/PBB yang mengutamakan kroni maka jangan bermimpi untuk kek yang besar itu diagihkan kepada rakyat Sarawak”.
Katanya lagi, rakyat Sarawak harus menikmati pelbagai kemudahan asas, infrastruktur dan perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan negeri dan persekutuan, tetapi perkara tersebut hanyalah sebagai janji retorik atau janji pilihanraya semata-mata.
Beliau juga mengajak orang ramai untuk membuat perbandingan dengan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang mana pelbagai kemudahan dapat dinikmati oleh rakyat walaupun pendapatan negeri tersebut tidak seberapa.
Sebagai contoh kerajaan negeri yang ditadbir oleh PAS di Kelantan mampu untuk memberi sumbangan kepada waris si mati dari golongan warga emas, bantuan perkahwinan kepada anak muda, bantuan kepada ibu tunggal dan banyak lagi insentif.
Perkara ini tidak berlaku di Negeri Sarawak yang kaya raya ini. Malah katanya lagi, di Sarawak, keperluan asas seperti air bukannya kerajaan negeri hendak beri percuma, nak dapatkan air bersih pun merupakan satu kepayahan.
Masalah keperluan asas dan infrastruktur banyak disentuh oleh beliau dengan memberi contoh kepada bekalan air di Asajaya sewaktu lawatan beliau ke Kampung Tambirat, Asajaya pada bulan lepas.
“Paip-paip air sejak pilihanraya negeri tahun 2011, sampai sekarang masih bertaburan di tepi jalan. Dan sekarang selepas hampir dua (2) tahun, barulah projek pemasangan paip itu dijalankan.
"Inikah pencapaian diutamakan? Sedangkan keperluan air ini amat penting kerana ianya merupakan keperluan asas di dalam kehidupan kita seharian. Mungkin, paip yang dipasang tahun ini hanya akan boleh digunakan masa Pilihanraya Negeri Sarawak akan datang,” ujar beliaulagi.
Dalam menutup pidatonya, Abang Mat mengajak rakyat menilai prestasi Ahli Parlimen BN di Kota Samarahan yang gagal mewakili pengundinya dan gagal untuk hadir ataupun berucap di dalam parlimen untuk mengutarakan masalah di situ.
Beliau yang juga turut berucap di dalam Bahasa Iban, menyeru pengundi-pengundi di Parlimen Kota Samarahan agar berani membuat perubahan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.
(Membawa panji-panji PAS ke Kota Samarahan)
"Kita 'Mansang Ngelaban' (bangkit melawan) di dalam Pilihanraya umum kali ini," katanya yang diberi tepukan gemuruh oleh hadirin yang hadir.
Ceramah malam tadi diakhiri dengan Haji Nizar Jamaluddin yang berkongsi cerita berkenaan dengan kezaliman kerajaan BN sewaktu peristiwa rampasan kuasa di Perak.
Selain itu, beliau juga turut menceritakan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Perak walaupun hanya bagi tempoh sebelas (11) bulan sahaja iaitu di antaranya pemberian geran tanah kepada rakyat Perak yang belum memiliki tanah tanpa mengira bangsa, agama atau pahaman politik.
Orang ramai sedikitpun tidak berganjak dari mendengar ceramah yang disampaikan sejak dari mula lagi walaupun masa sudah melewati waktu tengah malam.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
MIRI: PAS Sarawak mengecam keras tindakan presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang menyeru supaya membakar Bible versi Bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah.
"Adakah dengan perbuatan membakar Bible versi Bahasa Melayu dapat menyelesaikan masalah kalimah Allah?
"Perbuatan Ibrahim Ali hanya mengundang perasaan benci penganut bukan Islam terhadap Islam," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.
Beliau seterusnya bertanya, adakah Islam mengajar umatnya melakukan perbuatan yang biadap ini terhadap penganut agama lain?
"Bagaimana pula kalau penganut agama lain yang membakar kitab suci umat Islam, sudah tentu umat Islam juga akan marah dan begitulah sebaliknya," tegas Jofri yang juga Yang Dipertua PAS Miri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, perbuatan Ibrahim Ali bukan mewakili umat Islam tetapi lebih kepada perbuatan extremis PERKASA yang bersifat perkauman yang melampau. (Ibrahim ketika mencadangkan agar Bible bahasa Melayu dibakar yang menyebabkan pelbagai pihak tertanya-tanya kenapa beliau bebas bercakap begitu)
Islam, katanya, melarang umatnya bertindak sedemikian rupa kerana ianya boleh mencetuskan rusuhan kaum dan agama dalam negara ini.
Bagi beliau, PAS Sarawak serta umat Islam yang rasional tidak akan bertindak menghina agama lain disebabkan oleh salah faham dan adalah lebih baik mengadakan perjumpaan atau dialog antara agama untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan.
Sementara itu, sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris mempersoalkan bagaimana Ibrahim boleh bebas bercakap perkara yang sensitif sebegitu tetapi sentiasa terlepas dari tindakan.
The Mail di muka depannya melaporkan pelbagai tindakan dan kenyataan Ibrahim sebelum ini dilihat salah tetapi tidak ada tindakan dikenakan ke atasnya.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
(Bila-bila masa saja jambatan ini akan meragut mangsanya)
LAMBIR, Sarawak: Penduduk di sekitar Kampung Lusut dekat sini sangat-sangat berharap pihak kerajaan membaiki segera jambatan lusuh yang kini menjadi penghubung antara mereka.
Ini kerana ia telah terbiar sekian lama dan membahayakan penggunanya.
Jambatan yang menghubungkan Kampung Lusut, Lambir ke New Township Taman Tunku itu sangat perlu diperbaiki dengan segera.
Inilah jambatan yang sering dilalui oleh pengguna dalam kawasan tersebut untuk berulang alik ke tempat kediaman dan tempat kerja mereka.
Keadaan jambatan yang agak usang dan rosak tersebut sangat merbahaya kepada pengguna kenderaan yang melaluinya.
Kerosakan ini sudah lama berlaku tetapi pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan tidak ambil peduli dan memandang ringan keperluan rakyat di sekitar kampung Lusut dan Lambir ini.
"Mereka sepatutnya bertindak segera sebelum sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku kepada pengguna jambatan tersebut," kata Yang Dipertua PAS kawasan Miri, Haji Jofri Jaraiee.
Beliau mengesa pihak yang berkenaan supaya segera memperbaiki jambatan tersebut kerana tidak mahu ada yang akan jadi mangsa sekiranya jambatan tersebut runtuh akibat terbiar begitu saja.
Kerjasama dengan pihak berkenaan sangat dihargai, katanya.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
Tatkala Najib mencatat sejarah buruk dalam kariernya sebagai Perdana Menteri apabila ditolak secara terang-terang oleh rakyat Pulau Pinang semasa konsert PSY, Anwar pula terus mencipta kegemilangan peribadi di Sarawak apabila kunjungan beliau di sana dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat mendapat sambutan rakyat dari segenap lapisan masyarakat.
Kedatangan beliau di Beluru, Bakong disambut ribuan penyokong dengan pelbagai sepanduk. Antara rintihan yang paling memilukan adalah sepanduk 'Majukan Baram' yang mana jelas sekali menunjukkan masyarakat Baram tertindas sehingga sekarang. Kemajuan jauh panggang dari api. Ini kalilah!!!!
Kedatangan Anwar Ibrahim disambut meriah oleh penduduk pekan Beluru, Bakong petang tadi.
Disambut meriah sebaik tiba di lapangan terbang Miri, Sarawak tengah hari tadi.
Waterfront Commercial Centre, Miri
Sambutan Tahun Baru Cina diteruskan Anwar ke Sarawak pada hari ini. Program dimulakan dengan ceramah Anwar ‘Solusi Baram’ di Beluru Bazaar, Beluru, Bakong.
7.00 malam tadi Anwar bersama pemimpin Pakatan Rakyat meneruskan program Makan Malam Gong Xi Fa Cai di Restoran Cina Mega Hotel, Miri. Acara diakhiri dengan Ceramah Perdana Gong Xi Fa Cai di Waterfront Commercial Centre, Miri bermula jam 8.00 malam.
Selain Anwar, penceramah dibarisi, Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian, Ali Biju, See Chee How dan Dr Michael Teo Yu Keng.
Semoga PR berjaya memerintah kali ini demi kemajuan hidup rakyat secara menyeluruh.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
KUCHING: Menjelang pilihan raya umum ke 13, Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa melakukan kunjungan hormat menemui Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 18 Februari 2013 di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, dekat sini. (Taib membaca dokumen yang diberikan Husam dalam pertemuan mereka)
Walaupun pertemuan tersebut bertujuan untuk membincangkan pendirian kedua-dua negeri terhadap Akta Wilayah Laut 2012 yang dibentangkan ke Parlimen oleh Kuala Lumpur, ia satu kunjungan yang penting antara PAS dan pemimpin Sarawak itu.
Husam adalah Naib Presiden PAS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Roadmap to Putrajaya yang dibentuk oleh PAS.
Beliau banyak terlibat dalam membentuk strategi PAS untuk membuka jalan yang luas bagi membolehkan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya selepas pilihan raya umum ini.
Kunjungan beliau ini dibaca dengan penuh makna oleh pelbagai pihak.
Ikuti laporan penuh dan gambar mereka berdua dalam Harakah Jumaat ini.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
Gambar bersejarah buat Taib Mahmud yang tidak disiar BERNAMA
Sabtu lalu 23 Februari 2013, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud telah melakukan lawatan ke Long Lama sebuah bandar kecil yang terletak di kawasan Hulu Baram, Sarawak bagi mengulangi semula janji-janji yang telah dilakukannya 30 tahun lalu.
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
(Jalan ke kampung Muhibbah dari Miri ke Bintulu yang teruk)
MIRI: Masalah jalanraya di luar bandar Sarawak masih lagi teruk walaupun sudah banyak kali perkara ini dibangkitkan dalam sidang parlimen.
Peruntukan berjuta-juta ringgit sehingga mencecah berbillion ringgit telah diperuntukan untuk jalanraya di luar bandar namun masalah jalanraya di Sarawak masih belum dapat diatasi sepenuhnya.
Demikian kata Yang Dipertua PAS Miri, Haji Jofri Jaraiee dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.
"Kita sudah sering kali mendengar ada wakil rakyat atau menteri berjanji untuk mengatasi masalah ini tetapi sehingga kini tiada sebarang perubahan berlaku, kalau ada pun hanya tampalan keatas jalan yang sedia ada saja," kata Jofri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak.
Beliau mempersoalkan, "mengapa perkara ini boleh berlaku? Dimana kesilapannya, adakah berlaku ketirisan atau sebagainya?"
Perkara ini, katanya, perlu disiasat sehingga ke akar umbi untuk mengetahui siapa sebenarnya yang melakukan penyelewengan
keatas peruntukan yang berbilion ringgit tersebut.
Antara jalanraya yang menghadapi masalah teruk sehingga kini adalah jalan ke Kampung Muhibbah, Ladang 3, KM 76 Jalan Lama Miri-Bintulu.
95 peratus penduduk adalah bangsa Bugis, majoriti asal Indonesia dan mendapat kewarganegaraan zaman Tun Rahman Yaakub.
Mereka bekerja sebagai petani dan juga bekerja dengan syarikat perladangan kelapa sawit.
Walaupun mereka ini penyokong kuat kerajaan BN (Barisan Nasional) tetapi keadaan jalanraya di kampung mereka masih lagi teruk dan jauh ketinggalan.
Mereka seolah-olah masih lagi tinggal dalam keadaan 40 tahun yang lalu dengan keadaan jalan yang berlumpur, becak sewaktu hujan dan keadaan jalan berlubang.
"Sepatutnya dengan adanya peruntukan yang berbilion ringgit kawasan luar bandar Sarawak mendapat jalanraya yang elok dan sesuai untuk semua kenderaan tetapi malangnya walaupun sudah berpuluh tahun di bawah kerajaan BN, keadaan jalanraya masih lagi teruk dan tidak selamat untuk pengguna jalanraya," kata Jofri.
Beliau mengesa agar pihak kerajaan segera mengatasi masalah ini, jangan hanya berjanji perkara yang sama setiap kali menjelang musim pilihanraya tetapi apabila selesai pilihanraya perkara ini senyap begitu saja tanpa sebarang tindakan diambil untuk mengatasinya.
"Semoga kerjasama dengan pihak yang berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah ini dari berlarutan.
"Kebajikan rakyat perlu diberi keutamaan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik," tegas beliau.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
(Tetamu lain juga tergelak mendengar Nasrudin 'berjakuk' Iban)
KOTA SAMARAHAN: Satu lagi sejarah telah tercipta semasa lawatan kerja Ketua Dewa Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasruddin Hassan ke Sarawak malam tadi apabila menyampaikan ucapan dalam bahasa Iban.
Perkara ini ternyata mengejutkan hadirin yang hadir termasuk barisan pimpinan PAS yang menyertai majlis itu.
Di dalam ucapan itu beliau menegaskan bahawa arus perubahan telah berlaku di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak.
Rakyat sudah mula muak dengan berita berat sebelah yang disiarkan di media arus perdana.
Beliau mengajak rakyat Sarawak agar bersatu hati memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat pada PRU yang ke 13 nanti.
"PAS udah dikerembai bak menua Sarawak ari taun 1996. PAS tuk sitik parti politik enggau dakwah untuk semua rakyat. Maya ke bepilih kunsil negeri Sarawak 2001 mula pertama kali PAS bertanding di menua Sarawak. Mayanyak walaupun baru pertama bertanding enda nyau ilang duit deposit."
(Yang bermaksud PAS melebarkan sayapnya di Sarawak pada tahun 1996. PAS adalah sebuah parti politik dan dakwah untuk semua rakyat. Pilihanraya negeri sarawak pada tahun 2001 merupakan titik tolak dan langkah pertama Pas terlibat di dalam pilihanraya di Sarawak. Walaupun pertama kali bertanding di Sarawak, PAS tidak hilang duit deposit)
Ratusan masyarakat setempat hadir memeriahkan Program Pentas Anak Muda malam tadi.
Turut menyampaikan ucapan Abang Ahmad Kardee dan Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohamad Arifiriazul Paijo.
Ucapan kedua-dua anak Sarawak yang menggunakan bahasa Melayu Sarawak ini menarik perhatian masyarakat yang hadir malam tadi.
Respon daripada hadirin jelas menunjukkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan Pemuda PAS Sarawak yang terdiri daripada anak tempatan.
Selain ucapan, Program Pentas Anak Muda Sayang Sarawak ini turut dimeriahkan lagi dengan persembahan Mel Wings yang dijemput khas PAS Kota Samarahan.
Program yang berlangsung di hadapan perkarangan Pejabat PAS Kota Samarahan ini menyaksikan perasmian kata laungan semangat PAS Sarawak, "Mansang Ngelaban" yang bermaksud mara berjuang.
"Mansang Ngelaban"!!!
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
(Sambutan untuk Mohamad Sabu di Sibuti dari masyarakat pelbagai kaum)
SIBUTI (Miri): Kunjungan Timbalan Presiden PAS Tuan Haji Mohammad Sabu ke Miri dan Sibuti baru-baru ini mendapat sambutan hangat dari masyarakat berbagai kaum di Sarawak.
Pada sebelah pagi Sabtu yang lalu, rombongan PAS Miri bersama Mat Sabu telah merasmikan jentera Pilihanraya PAS kawasan Sibuti di kampong Sepupuk, Niah.
Kedatangan Mat Sabu serta pimpinan dari Pakatan Rakyat disambut dengan tarian tradisional masyarakat tempatan.
Inilah pertama kali dalam sejarah PAS Sarawak mendapat sambutan diluar jangkaan di mana lebih dari seribu orang penduduk tempatan dari berbagai kaum yang berada di sekitar kawasan Sibuti memberi sokongan moral kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk menjayakan program PAS di kawasan Niah.
Diantara yang hadir pada majlis tersebut selain dari timbalan presiden PAS ialah timbalan pesuruhjaya PAS Sarawak merangkap YDP PAS Miri, Jofri Jaraiee, Robby Tandang Pemuda PAS Sibuti, Baru Bian pengerusi PKR Sarawak, Dr Micheal Teo Ketua cabang PKR Miri, Alan Ling DAP Miri dan lain-lain pemimpin dari Pakatan Rakyat.
Antara ucapan Mat Sabu ialah mengenai janji Umno dengan penduduk Sulu yang berakhir dengan penceroboh di Lahad Datu Sabah baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan pusat menyiasat sepenuhnya kejadian tersebut dengan mengeluarkan kertas putih.
Mat Sabu juga mengingatkan penduduk tempatan supaya berani menukarkan kerajaan kerana selama ini rakyat Sarawak hidup dalam kemiskinan sedangkan pemimpin mereka hidup dalam kemewahan.
"Sarawak kaya dengan hasil bumi tetapi mengapa rakyat hidup dalam kemiskinan maka inilah tiba masanya rakyat Sarawak menukar kerajaan yang lebih baik dan adil untuk semua dalam PRU13 nanti," katanya.
"Semoga dengan kedatangan Hj Mat Sabu ke Sibuti akan memberi semangat baru kepada gerak kerja PAS Sarawak untuk berusaha lebih kuat lagi dan sistematik untuk menawan kerusi parlimen di Sarawak dalam PRU13 yang akan diadakan tidak lama lagi," kata Jofri Jaraiee kepada Harakahdaily.
Katanya, kerjasama PAS, DAP serta Keadilan amat diperlukan untuk menawan Putrajaya.
"Sebarang perselisihan faham harus diatasi secara berhikmah dan diselesaikan secara dalaman tanpa perlu dihebahkan kepada orang ramai untuk mengelak salah faham dan isu ini akan di eksploitasi oleh
pihak BN sekiranya Pakatan Rakyat gagal mengatasinya dengan baik.
"Semoga Pakatan Rakyat berjaya dalam misinya menawan Putrajaya dalam PRU13 nanti. Insya Allah," katanya.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
Jalan utama yang pertama di Sarawak, sepanjang kira-kira 1,500 km, akan menjadi dua hala pada tahun 2025, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng seperti yang dilaporkan dalam akbar tempatan baru-baru ini.
Menurut Yong lagi "Untuk bahagian Sarawak, ia akan menelan belanja kira-kira RM9 bilion. Untuk bahagian, Sabah yang merupakan kira-kira 1,000 km, ia akan menelan belanja sekitar RM7bil.
"Ini adalah komitmen jangka panjang dengan jelas dalam pelan yang dibentangkan. Ia tidak boleh dibina sekelip mata, atau lebih daripada dua atau tiga tahun, tetapi pasti, menjelang 2025, berdasarkan kepada pelan tersebut, ia akan dilakukan".
Berdasarkan kenyataan Yong, kita ingin tahu setakat ini, berapa kos sebenar yang telah diperuntukan untuk pembinaan Lebuhraya Trans Borneo telah digunakan dan mengapa mengambil masa terlalu lama sehingga lebih daripada 10 tahun?
Mengapa pihak kerajaan tidak meluaskan jalan yang bersesuaian dengan keadaan bentuk muka bumi Sarawak dimana jalan penghubungan utama perlu dinaiktaraf agar ianya selamat untuk pengguna jalanraya.
Sekarang ini keadaan jalanraya utama di Sarawak agak teruk, berlobang, tidak rata dan amat merbahaya kepada pengguna jalanraya.
Peruntukan sebanyak RM9bil tersebut boleh diperolehi daripada hasil sumber asli dalam negeri tanpa perlu mengambil masa yang terlalu lama sehingga lebih daripada 10 tahun untuk disiapkan.
Adakah selepas 10 tahun akan datang pihak kerajaan yakin lebuhraya di Sarawak setaraf dengan lebuhraya di peringkat antarabangsa atau serupa macam di Semenanjung Malaysia?
Sepatutnya lebuhraya atau jalan Pan Borneo sudah boleh disiapkan tanpa perlu menunggu sampai lebih daripada 10 tahun untuk disiapkan sekiranya pihak pemerintah benar-benar telus dan menggunakan hasil sumber asli bumi Sarawak dengan sebaik mungkin.
Dengan mengambil masa 10 tahun barulah siap ini menunjukkan kegagalan kerajaan BN memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Masalah jalanraya utama Sarawak sepatutnya bukan jadi isu utama sekiranya kerajaan BN menggunakan peruntukan dengan telus dan tidak ada ketirisan sekiranya ini digunakan sebaik mungkin 20 tahun yang lalu.
Inilah alasan yang sering kali kita dengar apabila sesuatu projek untuk kepentingan rakyat tergendala atau ditangguhkan. Kalau
peruntukan yang berjumlah berbilion ringgit dapat dimanfaat sepenuhnya dan diurus secara baik sudah pasti masalah kebajikan rakyat dan masalah infrastruktur di Sarawak dapat diselesaikan dengan baik.
Kerajaan tidak perlu mengenakan Tol untuk pengguna lebuhraya di Sarawak seperti kata Yong kalau mahu lebuhraya disiapkan lebih awal tetapi dengan hasil sumber asli sudah cukup untuk membina lebuhraya yang baik untuk rakyat Sarawak.
Kita harap kerajaan yang bakal memerintah nanti perlu mengambil kira dan mengutamakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan bukan hanya untuk kepentingan pihak tertentu dan kroni saja.
-------------------------------------- * Penulis adalah Timbalan Pesuruhkjaya PAS Sarawak
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
KUALA LUMPUR: Petisyen online mendesak Perdana Menteri mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes rasuah tanah di Sarawak berikutan video yang diledakkan Global Witness mendapat sambutan hangat dari warga internet.
Sehingga berita ini ditulis jam 12 tengah hari ini, seramai 11,908 orang rakyat Malaysia telah menandatangani petisyen tersebut di laman http://www.change.org/sarawak.
Petisyen itu disediakan oleh Evelyn Tawan, Linus Chung dan Henry Joseph tiga hari lalu sejurus pendedahan video Global Witness.
Video itu mendedahkan mengenai penyalahgunaan kuasa didakwa dilakukan oleh keluarga dan rakan niaga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dan modus operandi mereka dalam urusan jual beli haram tanah di Sarawak untuk mengelak daripada cukai.
Berdurasi 16 minit, video berjudul Inside Malaysia's Shadow State itu turut mendapat liputan media antarabangsa Al-Jazeera dan The Huffington Post dan telah ditonton sebanyak 598,668 kali di YouTube.
Dalam video tersebut GW menyamar sebagai pelabur asing berjaya merakamkan video mengenai urusan sepupu Taib dan beberapa lagi rakan rapat dalam mendapatkan ribuan hektar tanah hutan dengan keuntungan tinggi sehingga didakwa menindas ribuan orang asli.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
KUALA LUMPUR: Jawapan lemah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung pendedahan pembalakan dalam satu video seolah-olah mengesahkan kesalahannya, ulas blogger Kelab Greenboc.
Terdahulu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di London, NGO Global Witness (GW) mengeluarkan sebuah video yang merakam perbualan di antara penyiasat persendiran GW dengan dua pupu Taib.
Video itu mendedahkan bagaimana Taib dan anggota keluarganya menimbun kekayaan hasil dari aktiviti pembalakan secara berleluasa.
Video tersebut dimuat naik dalam YouTube dan disiarkan rangkaian TV Aljazeera pada 18 Mac lalu.
(Zulkifli [tengah] dan rakan-rakan menceritakan masalah alam sekitar di Sarawak yang semakin terdedah)
KUALA LUMPUR: PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud berhubung pendedahan Video Global Witness mengenai penerokaan hutan di negeri itu.
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia, Zulkefly Mohamad Omar berkata, Taib dan juga kakitangan kerajaan negeri yang terlibat dalam dakwaan urus tadbir itu harus mengambil cuti buat sementara waktu agar siasatan dapat dijalankan oleh SPRM.
"Sudah seminggu pendedahan ini dibuat tapi belum ada siasatan dijalankan.
"Sebagai sebuah kerajaan yang dimomokkan adil dan telus dalam setiap urus tadbir mereka, seharusnya tindakan ini diambil," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.
Video selama 16 minit 24 saat itu meliputi empat hasil siasatan melalui penyiasat persendirian yang menyamar sebagai pelabur untuk penanaman kelapa sawit di Sarawak antaranya ialah habuan kepada Taib dari kelulusan Lesen Penanaman / Pertanian.
Global Witness yang berpengkalan di London itu juga mendedahkan terdapat korupsi dari Perjanjian Tanah di mana sebahagian ahli keluarga Taib itu diberikan tanah atas arahan Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar yang dipimpin oleh Taib sendiri dan mendapat keuntungan berjuta-juta ringgit darinya.
Selain itu, sebuah syarikat perkongsian di antara sepupu Taib, seorang Ahli Parlimen dari parti Taib dan kakak ipar Najib ditawarkan untuk jualan melalui transaksi tidak sah di Singapura yang direka untuk mengelak cukai dari Kerajaan Malaysia.
Korupsi juga berlaku dalam perkhidmatan yang ditawarkan peguam tempatan untuk membantu transaksi haram dan bercanggah dengan undang-undang Malaysia dan Singapura.
"Jika proses kelulusan lesen balak boleh dimanipulasi untuk kepentingan jahat pihak yang berkepentingan sehingga akhirnya mendorong kemusnahan hutan malah sistem ekologi yang menjadi sumber makanan dan minuman kepada haiwan liar serta Orang Asal di Sarawak," katanya lagi.
Zulkefly juga berkata, jika pendedahan itu tidak benar, Taib harus membuat penafian atau menyaman Global Witness.
"Kalau Global Witness salah buat laporan, Taib seharusnya membuat penafian atau mengambil tindakan undang-undang.
"Sekarang ini beliau mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab apa-apa," katanya.
Justeru beliau berkata, sekiranya SPRM tidak mengambil apa-apa tindakan, pihaknya sendiri akan membuat aduan ke institusi tersebut.
"Sebelum ini dah ada beberapa kenyataan daripada pemimpin BN mengenai isu ini tapi SPRM tak siasat pun.
"Jadi kalau dalam masa seminggu ini tiada apa-apa tindakan juga, kami sendiri akan ke pejabat SPRM," katanya sambil menambah akan melakukan siri jelajah berhubung isu ini.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
(Penduduk menunjukkan “Diesel Oil Generator” yang digunakan untuk menjana elektrik untuk kegunaan di waktu malam sahaja)
MIRI: Setelah mencapai kemerdekaan melalui penubuhan negara Malaysia, Sarawak yang akan menyambut ke 50 tahun hari kemerdekaan pada 16 September masih lagi jauh ketinggalan dari segi infrastruk dan kemudahan asas kepada penduduk di luar bandar.
Masih terdapat ramai penduduk di Sarawak tidak merasai kemudahan asas untuk hidup dengan selesa. Di Bekenu, kawasan parlimen Sibuti, masih banyak rumah panjang yang tidak mendapat kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalanraya yang baik.
Sebagai contoh, penghuni di Rh Alaxander Agap di Sepupok masih bergantung dengan air hujan sebagai sumber air untuk kegunaan harian, dan masih menggunakan janakuasa diesel untuk mendapatkan bekalan elektrik.
Keadaan ini amat menyukarkan penduduk kerana mereka terpaksa berjimat dan hanya menggunakan elektrik di waktu malam kerana harga diesel sangat mahal.
(Jawing (berseluar merah) bersama penduduk kampong menunjukkan kolam tadahan air hujan yang digunakan untuk kegunaan seharian.)
Menurut Jawing yang mengadu masalah tersebut berkata, sepanjang 50 tahun ini pemimpin BN yang memerintah Sarawak hanya pandai berjanji saja.
"50 tahun kerajaan BN sudah berkali-kali berjanji mahu menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik, tetapi sampai sekarang janji hanya tinggal janji, sedangkan jarak kampung mereka ke jalan utama tidak jauh, hanya 1.5 kilometer sahaja,” kata Jawing.
Tambah Jawing, di waktu hari perayaan Gawai, air tadahan tidak mencukupi.
Penduduk kampung yang lain juga menambah, keadaan akan bertambah susah terutama waktu musim kemarau, dimana tadahan air hujan kekeringan dan mereka perlu mendapatkan air dari sumber yang jauh dalam keadaan kesukaran.
Majoriti penduduk di ‘Rancangan Sepupok’ juga tidak mendapat jalan tar berturap.
Sehingga sekarang mereka masih menggunakan jalan batu kerikil untuk keluar dan masuk ke kediaman mereka. Keadaan ini sangat mengganggu pergerakan mereka terutamanya waktu musim hujan, jalan tanah menjadi licin dan kenderaan mereka sukar dikawal.
Keadaan akan menjadi lebih teruk jika ada berlaku kecemasan, dimana kesukaran untuk penduduk untuk keluar mendapat bantuan dari luar.
Penduduk di Rh Alaxander berharap kerajaan segera bertindak untuk menyelesaikan masalah kemudahan asas di kampung mereka khasnya dan di tempat-tempat lain dalam kawasan Sibuti dan negeri Sarawak amnya.
Mereka percaya kerajaan negeri Sarawak sebenarnya mampu menyelesaikan masalah rakyat jika tiada ketirisan berlaku dalam pengurusan sumber hasil negeri memandangkan negeri Sarawak adalah negeri yang terkaya di Malaysia.
Kita mengesa pihak yang berkaitan dapat mengatasi masalah tersebut dengan segera dari terus berlarutan kerana kemudahan asas rakyat adalah keutamaan yang seharusnya diberi perhatian oleh pihak yang memerintah sekarang.
Kerjasama dengan pihak yang berkaitan sangat dihargai, kata mereka.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
MIRI: Masih ramai lagi penduduk Kampung Lusut Jaya yang belum mendapat bantuan tangki air 1Malaysia seperti yang dijanjikan oleh pihak kerajaan BN.
“Mereka amat memerlukan tangki tersebut untuk menadah air hujan untuk kegunaan semasa musim kemarau atau ketika bekalan air terputus,” kata Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan.
[Gambar: Jofri (kanan) meninjau keadaan penduduk yang menghadapi masalah bekalan air di Kampung Lusut Jaya.]
Justeru, beliau menggesa Lembaga Air Kawasan Utara dan pihak yang berkaitan agar segera mengatasi masalah itu dari berpanjangan.
“Perkara ini sudah pun dilaporkan sebelum ini tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil untuk mengatasi masalah ini,” katanya.
Kenyataan penuh seperti di bawah.
Kampung Lusut Jaya 3 terletak dalam parlimen Sibuti, kebanyakan penduduknya adalah Bumiputera dari suku kaum Ulu, Kenyah, Kayan, Iban dan terdapat juga keluarga Melayu.
Baru-baru ini PAS Miri buat lawatan bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu untuk meninjau keadaan kehidupan penduduk Kampung Lusut Jaya 3 yang mengalami masalah bekalan air yang sering kali terputus.
Menurut salah seorang penduduk di situ yang dikenali sebagai Jimbai ak Sigi, mereka terpaksa menggunakan air tadahan hujan dari tangki yang mereka beli sendiri untuk mendapatkan air bersih sebab air paip tidak dapat digunakan sama sekali walaupun meter sudah dipasang.
Loji Perawatan Air LAKU (Lembaga Air Kawasan Utara) di Lambir hanya beberapa kilometer saja dari tempat kediaman mereka tetapi tekanan air amat rendah sehingga menyebabkan air tidak keluar dari pili dan yang keluar hanya tekanan angin.
Mereka sudah lama memohon bekalan air bersih sejak tahun 2008 dan sebelum itu mereka juga pernah menyuarakan masalah yang sama kepada pihak yang berkenaan tetapi sehingga kini masalah bekalan air bersih masih belum dapat diatasi sepenuhnya.
Walaupun air dari pili tidak keluar, mereka terpaksa membayar bil air setiap bulan RM5 untuk meter air paip tersebut. Mereka merasa rugi kerana terpaksa membayar meter air yang tidak berfungsi serta tiada perkhidmatan yang diberi dan mereka juga amat kecewa dengan sikap pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan bekalan air yang tidak menghiraukan masalah mereka selama ini.
Ada juga di kalangan mereka terpaksa mengunakan air tadahan hujan dalam kolam untuk kegunaan harian tetapi apabila musim kemarau, air takungan dalam kolam akan kering dan sudah tentu ini akan menyukarkan mereka untuk mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.
Lagi pun air takungan dalam kolam tidak begitu sesuai untuk membersihkan bahan makanan dan juga tidak selamat untuk diminum, dan ianya paling sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes terutama sekali selepas musim hujan.
Antara masalah lain masih ramai lagi penduduk Kampung Lusut Jaya yang belum mendapat bantuan tangki air 1Malaysia seperti yang dijanjikan oleh pihak kerajaan BN. Mereka amat memerlukan tangki tersebut untuk menadah air hujan untuk kegunaan semasa musim kemarau atau ketika bekalan air terputus.
Kita menggesa pihak LAKU (Lembaga Air Kawasan Utara), dan pihak yang berkaitan agar segera mengatasi masalah ini dari berpanjangan. Perkara ini sudah pun dilaporkan sebelum ini tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil untuk mengatasi masalah ini.
Kerjasama dengan semua pihak yang terlibat untuk menyelesaikan masalah Kampung Lusut Jaya 3 ini amat dihargai.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
(Anggota DHPP Sibuti yang berikrar menangkan PAS di situ)
MIRI: Naib Pengerusi DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS) Pusat, Vincent Lee telah melancarkan jentera pilihanraya DHPP kawasan Sibuti di salah sebuah kelab di Miri.
Antara yang hadir selain Vincent Lee ialah YDP PAS Miri, Jofri Jaraiee, Ketua Pemuda PAS Sibuti Robby Tandang, Ketua DHPP Sibuti Ramba dan Setiausaha DHPP Sarawak Yeo kian Leong. (Vincent berucap semasa penubuhan DHPP Sibuti)
Ramai ahli DHPP yang berada di sekitar kawasan Sibuti hadir mendengartaklimat yang di sampaikan oleh pemimpin PAS dan juga DHPP untuk persediaan menghadapi PRU13 yang akan berlaku pada bila-bila masa.
Dalam ucapannya, Vincent Lee mengingatkan ahli DHPP Sibuti supaya berhati-hati dan jangan mudah terpengaruh dengan sebaran berita yang belum pasti terutama berita yang berbentuk fitnah dan spekulasi.
Sambutan dari kaum bumiputera yang bukan beragama Islam terhadap PAS di Sarawak sungguh memberangsangkan dan ini petanda bahawa PAS sudah mula diterima dengan hati terbuka oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
Kata Vincent Lee, "kalau tidak kenal, maka tidak cinta. Bila orang ramai sudah mengenali PAS lebih dekat, maka mereka mula suka dengan cara pentadbiran PAS."
Semoga dengan sokongan padu dari masyarakat berbagai kaum dan agama di Sarawak dapat memberi sumbangan untuk PAS menawan kerusi parlimen di Sarawak, kata YDP PAS Miri, Jofri Jaraiee.
Miri adalah kawasan yang bersebelahan dengan Parlimen Sibuti.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Sarawak menasihatkan Perdana Menteri supaya menyelesaikan dahulu tuduhan rasuah Ketua Menteri Sarawak sebelum ‘berjanji’ membanteras rasuah.
“Janganlah hanya sedap didengar, tetapi hakikatnya kosong belaka,” ujar ketuanya, M Arifiriazul B Paijo (gambar) dalam satu kenyataan sebagai respons kepada manifesto BN 2013 untuk membanteras rasuah.
Katanya, ia adalah janji lama, yang dilaung kembali oleh BN tanpa ada tindakan serius dan bersungguh-sungguh.
“Ketua Menteri Sarawak, yang turut berada di pelancaran ‘Aku Janji’ BN, tidak lama sebelum itu dengan angkuh menolak untuk memberikan kerjasama kepada SPRM yang disifatkan ‘tidak jujur’ dan ‘nakal’ dalam siasatan kes video bertajuk ‘Inside Malaysia's Shadow State’ oleh Global Witness yang menjadi sensasi internet,” katanya lagi.
Ini, kata beliau berbeza dengan komitmen semua Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat yang sentiasa terbuka dengan siasatan SPRM, Ketua Menteri Sarawak kelihatan kebal dan angkuh dalam memberikan kerjasama terhadap usaha membanteras rasuah.
“Jika tidak bersalah, kenapa enggan berkerja sama?” soalnya.
Baginya, seperti yang telah disebut oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain, banyak ‘janji-janji’ BN itu merupakan idea cedokan Manifesto Pakatan Rakyat yang telah disebut sejak beberapa tahun yang lalu.
Bagi rakyat Sarawak, katanya lebuhraya Pan Borneo, merupakan aspirasi Pakatan Rakyat Sarawak sejak beberapa tahun yang sudah.
Beliau menambah, pastinya banyak alasan telah diberikan oleh pemimpin BN untuk menolak cadangan tersebut, antaranya ialah faktor geografi dan faktor kos yang tinggi.
“Tiba-tiba, ia dimasukkan dalam ‘Aku Janji’ BN,” katanya.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
Menurut laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini lebih daripada 6,000 anggota masyarakat Orang Ulu dari lebih 350 rumah panjang di Tinjar, Baram pasti akan menikmati jalan yang baik apabila jalanraya yang bernilai RM101 juta sepanjang 35.7 kilometer siap pada tahun 2013 dalam kawasan tersebut.
Keratan akhbar “The Borneo Post” bertarikh 10hb Januari 2009 dengan tajuk “RM150 million allocated for Lapok road: Lihan” juga dirujuk.
Jalan Lapok dari Beluru Bakong ke Tinjar yang dinaiktaraf telah digunakan sejak tahun lapan puluhan lagi.
Keadaan jalan ini masih tidak banyak berubah dan masih dalam keadaan teruk seperti beberapa tahun yang lalu. Inilah satu-satunya cara perhubungan dan pengangkutan darat untuk masyarakat di Ulu Baram ke bandar-bandar di Sarawak.
Sudah bertahun-tahun keadaan jalan ini berlumpur, banyak lubang sebesar periuk dan mudah ditenggelami air semasa musim hujan. Jalanraya rosak akibat kenderaan berat yang berulang-alik membawa barang muatan yang melebihi had yang dibenarkan.
Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini di parlimen mendapati projek membina dan menaik taraf jalan luar bandar di negeri Sarawak bermasalah malahan terdapat juga projek yang disifatkan sebagai “projek sakit” dan perlu diberikan perhatian.
Laporan itu juga mendapati projek pembinaan jalan yang telah siap tidak mengikut spesifikasi kontrak dan kualiti pembinaan jalan, keselamatan dan keselesaan jalan tidak memuaskan pengguna jalan raya hasil daripada maklum balas yang diperoleh dari orang ramai.
Menurut laporan tersebut lagi, “kebanyakkan projek yang tidak mengikut piawaian tersebut telah menimbulkan pelbagai masalah seperti jalan terlalu berbukit, turapan bitumen nipis, jalan tidak rata, jalan cepat rosak dan berlubang.”
Sejak dua tahun kebelakangan ini, jalanraya ini telah menjalani kerja-kerja naik taraf yang dilakukan oleh beberapa kontraktor. Walaupun terdapat juga sebahagian jalanraya tersebut sudah dibaikpulih tetapi masih banyak lagi yang masih dalam keadaan yang tidak sesuai untuk pengguna jalanraya. Terdapat banyak jalan yang sempit dengan selekoh tajam dan laluan lorong kecil di sepanjang jalan dimana ianya licin, beralun, curam, banjir dan lubang periuk besar.
Walau bagaimanapun, perkembangannya agak perlahan dengan banyak halangan yang lain datang / timbul di sepanjang jalan di mana ianya sangat berbahaya kepada pengguna jalanraya sekiranya mereka tidak berhati-hati.
Penduduk harap kerajaan menepati janji
Menurut penduduk Baram yang tinggal di Ulu Baram, mereka amat menghargai usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk menaik taraf jalan tersebut tetapi mereka mahu jalan tersebut siap secepat mungkin dan ini akan mempercepatkan perjalanan mereka yang memakan masa berjam-jam untuk sampai ke bandaraya Miri umpamanya.
Mereka mahu jalan raya tersebut siap secepat mungkin tanpa ada halangan-halangan baru yang diwujudkan, mereka mahu halangan tersebut dapat dikurangkan jika boleh atau perlu dihapuskan segera. Mereka sudah terlalu lama menderita akibat menggunakan jalan yang teruk selama ini. Janji mesti ditepati.
Kita menggesa agar pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan segera membina dan memperbaiki jalan raya tersebut untuk kemudahan penduduk Baram. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat dihargai.
Penulis ialah Yang Dipertua PAS Miri, Sarawak.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
KUCHING: Bernama hari ini melaporkan, gaji bulanan ketua menteri Sarawak akan naik tiga kali ganda mula 1 Januari 2012 iaitu dari RM13,000 ke RM39,000 sebulan.
Turut dinaikkan tiga kali ganda adalah gaji timbalan ketua menteri, menteri, pembantu menteri dan anggota dewan undangan negeri Sarawak.
Ia dilakukan di bawah rang undang-undang yang diluluskan hari ini oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Rang Undang-undang Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Gaji, Pencen dan Gratuiti) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji untuk Speaker DUN, timbalan speaker dan setiausaha-setiausaha politik.
Gaji untuk Ketua Menteri akan naik daripada RM13,000 kepada RM39,000; Timbalan Ketua Menteri, RM11,500 kepada RM35,000; menteri kanan dan speaker DUN RM9,000 kepada RM30,000; menteri, RM9,000 kepada RM27,000; pembantu menteri dan timbalan speaker, RM7,000 kepada RM21,000; anggota dewan undangan negeri, RM4,500 kepada RM15,000 dan setiausaha politik, RM3,000 kepada RM9,000.
Rang undang-undang itu juga menetapkan kenaikan gaji itu berkuat kuasa dari 1 Jan tahun lepas. Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 1992.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh berkata semakan gaji itu dibuat berikutan peningkatan jangkaan daripada rakyat.
"Sarawak adalah sebesar Semenanjung dan banyak Anggota Dewan Undangan Negeri perlu menjaga kawasan yang luas terutama mereka yang berkhidmat di kawasan luar bandar," katanya.
Wong berkata rang undang-undang baharu itu akan berkuat kuasa minggu depan dan kenaikan gaji itu dijangka membabitkan RM17 juta daripada dana negeri, termasuk bayaran tunggakan dari tahun lepas.
Dengan kenaikan gaji ini, ketua menteri Sarawak mempunyai gaji yang lebih besar dari Perdana Menteri.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
MIRI: PAS Sarawak mempertikaikan kenaikan gaji mendadak pemimpin kerajaan negeri Sarawak sebagaimana yang diluluskan oleh Dewan Undangan Sarawak kelmarin.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee dalam kenyataannya berkata, kenaikan itu tidak wajar kerana kehidupan rakyat sarawak sangat dhaif dan di bawah taraf kemiskinan sedangkan pendapatan mereka sangat tinggi.
"Pendapatan ketua menteri dan timbalan ketua menteri serta menteri-menteri yang dilantik sudah cukup mewah daripada kenaikan gaji baru tersebut," kata Jofri dalam kenyataannya.
Gaji ketua menteri Sarawak, timbalan ketua menteri, menteri-menteri serta wakil rakyat dan mereka yang dilantik dalam kabinet Sarawak meningkat lebih dari tiga kali ganda mula 1 Januari 2012.
Kenaikan gaji kali terakhir untuk kabinet Sarawak dalam pindaan gaji dibuat ialah pada 1992.
Gaji Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud naik dari RM13,000 ke RM39,000 sebulan iaitu kenaikan tiga kali ganda.
"Kalau dilihat daripada kehidupan seharian mereka jelas mereka hidup dalam keadaan mewah serta mampu memiliki asset yang lebih daripada hasil gaji yang mereka terima selama ini.
"Kita mahu setiap wakil rakyat termasuk ketua menteri dan keseluruhan anggota kabinet mengisytiharkan harta masing-masing untuk membuktikan yang mereka ini bebas dari menerima rasuah atau memiliki hasil dari sumber yang lain selain dari gaji yang mereka terima," kata Jofri (gambar kanan) dalam kenyataannya.
Sepatutnya kerajaan BN Sarawak memberi tumpuan kepada nasib rakyat Sarawak yang masih mundur dan hidup dalam kemiskinan dari menaikkan gaji ketua menteri dan menteri-menteri yang berlipat kali ganda daripada hasil pendapatan rakyat yang masih dibawah taraf kemiskinan, katanya.
"Kita mencadangkan, adalah lebih baik memberi peruntukkan kepada setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) tanpa mengira parti politik mana yang dipilih rakyat daripada menaikkan gaji ketua menteri dan timbalan ketua menteri serta menteri-menteri yang dilantik kecuali wakil rakyat yang dipilih," cadang Jofrie.
Katanya, untuk wakil rakyat yang dipilih terutama sekali wakil rakyat pembangkang perlu kenaikan gaji sebab mereka tidak diberi peruntukan yang sama seperti wakil rakyat BN.
Dengan adanya peruntukan tersebut wakil rakyat di setiap DUN dapat memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat setempat dan dengan ini akan dapat membantu menaiktaraf kehidupan penduduk dalam kawasan DUN tersebut.
"Kita mengesa kerajaan BN Sarawak bersikap adil kepada semua wakil rakyat yang dipilih tanpa mengira fahaman politik dengan memberi peruntukan yang sama seperti wakil rakyat BN," tambah beliau.
Tambahnya lagi, setiap peruntukan yang diberi kepada setiap wakil rakyat akan dipantau oleh badan odit yang bebas dari cengkaman politik agar ianya dapat membantu melincinkan pentadbiran negeri dari unsur-unsur salahguna kuasa dan rasuah.
Dengan adanya peruntukan tersebut, rakyat yang akan menikmati hasil bukannya hanya ketua menteri dan anggota dewan negeri saja.
"Kita harap perkara ini mendapat perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya dari kerajaan negeri Sarawak demi kesejahteraan rakyat semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik," katanya lagi.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
(Taman Esplanade Luak yang cantik perlukan perhatian semua pihak)
Taman Esplanade Luak terletak di pantai Luak, di pinggir bandaraya Miri jika kita memandu masuk melalui lebuh raya pantai. Tempat ini sangat sesuai untuk bersiar-siar bersama keluarga di hujung minggu atau semasa musim cuti.
Kawasan pantai yang cukup indah dan cantik sekiranya pihak MBM (Majlis Bandaraya Miri) dapat menaiktaraf serta memperbaiki beberapa kawasan tertentu agar ianya dapat diubahsuai mengikut keadaan sekeliling di mana ramai pengujung datang setiap hujung minggu.
Antara beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak MBM adalah kawasan tempat berniaga. Kalau tempat berniaga yang ada sekarang disusun dengan baik maka ianya akan memudahkan para perniaga
dan pengunjung membeli barang tanpa perlu mengganggu lalu lintas atau kawasan parkir.
Ada sesetengah pihak yang meletak kenderaan di tepi jalan sehingga menyukarkan pengerakan kenderaan lain untuk keluar masuk sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama hujung minggu dan waktu keramaian.
Tapak perniagaan yang ada sekarang tidak ada bumbung dan terbiar begitu saja ianya menjadi tempat duduk orang ramai. Sepatutnya tempat tersebut digunakan oleh para penjaja tapi sudah lama terbiar akibat para penjaja tidak puas hati kerana tapak tersebut tidak sesuai untuk berniaga.
Pihak MBM sepatutnya menyedia kawasan yang sesuai untuk para penjaja berniaga supaya kawasan esplanade nampak kemas dan bersih dari sebarang kotoran. Kita sarankan agar tapak khas untuk para penjaja berniaga sepanjang pinggir pantai dan pastikan kawasan tersebut ditanam dengan pokok-pokok rendang supaya ianya tidak terlalu panas akibat sinaran matahari.
Selain kawasan tapak perniagaan pihak MBM juga perlu menyediakan sebuah surau untuk umat Islam bersolat terutama sekali untuk memudahkan wanita menukar pakaian dan mengambil wuduk.
Begitu juga tempat persalinan pakaian untuk mereka yang hendak mandi manda di pantai.
Di samping itu pihak pengawal pantai perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku kepada para pengunjung yang mandi manda atau berenang di pantai. Mereka perlu memberi peringatan terutama kepada keluarga yang membawa kanak-kanak agar berhati-hati ketika mandi atau berenang di pantai.
Taman permainan kanak-kanak juga perlu disediakan untuk memudahkan keluarga yang membawa kanak-kanak bermain di situ dibawah pengawasan penjaga supaya ianya lebih selamat dan terkawal.
Dengan adanya kemudahan seperti ini ianya akan lebih menarik minat orang ramai datang dan dengan sendirinya akan menjana pendapatan para peniaga tempatan dan pihak MBM juga akan mendapat hasil dari kutipan cukai yang berpatutan dari para peniaga dan pengunjung yang menggunakan kemudahan awam seperti tandas dan sebagainya.
Kita ingin melihat Esplanade Luak menjadi salah satu pusat pelancongan di Miri sebab Miri mendapat taraf bandaraya pada 20 Mei 2005 yang membawa gelaran "Bandaraya Peranginan". Maka ianya bersesuaian dengan status tersebut dengan itu setiap kawasan peranginan di Miri patut dimajukan dengan sebaik mungkin untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Miri.
Kita mengesa pihak MBM dapat memberi perhatian yang sewajarnya pandangan orang ramai untuk membaik pulih keadaaan esplanade Luak agar ianya sentiasa dalam keadaan cantik, bersih dan selamat untuk para pengunjung. Kita juga mengesa pihak keselamatan agar sentiasa memantau keadaan di situ terutama sekali pada waktu keramaian untuk melicinkan kesesakan lalu lintas supaya berjalan dengan baik dan terkawal.
Semoga perkara yang dibangkitkan mendapat perhatian serta tindakan yang sewajarnya dari pihak yang berkenaan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat dihargai.
*Penulis adalah Yang Dipertua PAS Miri, Sarawak
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
KUALA LUMPUR: PAS Sarawak meminta tindakan setimpal dikenakan ke atas pengusaha bot yang gagal mematuhi peraturan dengan membawa lebihan muatan.
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid (gambar) berkata, pihak pengusaha bot harus bertanggungjawab atas insiden bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga, semalam.
"Bot yang karam itu membawa lebihan penumpang dan muatan hingga ada yang duduk atas bumbung bot.
"Pihak pengusaha bot seharusnya mengutamakan keselamatan penumpang, bukan mengutamakan keuntungan tapi akhirnya kemalangan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Adam juga berkata, kerajaan juga harus memberi perhatian kepada kemudahan asas penduduk Sarawak agar kejadian sebegini tidak berulang.
"PAS mengharapkan ada jalan darat yang baik untuk penduduk Sarawak dan pengangkutan air perlu ditingkatkan tahap keselamatan operasinya memandangkan ini adalah jalan utama penduduk di sini.
"Memang menjelang Hari Gawai ramai penduduk yang akan pulang ke kawasan pedalaman dan mengambil masa yang lama dan tidak selamat," katanya.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi tersebut.
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi semalam, bot ekspres tersebut karam di Jeram Tukok/Jeram Bungan ketika dalam perjalanan dari arah Bakun ke Terminal Bot Ekspres Sibu.
Siasatan awal menunjukkan bahawa bot ekspres tersebut melebihi kapasiti 67 tempat duduk dan dipercayai terlebih muatan dengan 200 penumpang pulang dari pesta Gawai Dayak, kemudian menghadapi masalah enjin gagal berfungsi sebelum merempuh batu dan karam.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
MIRI: PAS Sarawak berpendapat, pembinaan jalan raya yang baik sebagai alternatif kepada penggunaan bot boleh mengelakkan tragedi bot karam berulang.
Timbalan Pesururuhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, jalan sungai adalah satu-satunya cara untuk mereka pulang atau cara pengangkutan untuk mereka sampai ke destinasi.
"Maka pihak kerajaan juga perlu mencari jalan alternatif untuk kemudahan penduduk yang tinggal di luar bandar yang terpaksa menggunakan sungai.
"Selain menggunakan jalan sungai sepatutnya jalan darat juga perlu disediakan untuk kemudahan penduduk di kawasan luar bandar. Ini akan memberi mereka pilihan dan kemudahan selain menggunakan sungai sebagai jalan alternatif untuk mereka pulang ke kampung," kata Jofri (gambar) dalam kenyataannya.
Beliau mewakili PAS simpati dengan nasib yang menimpa para penumpang dan mangsa tragedi bot ekspres karam baru-baru ini di Tanjung Tukok Punyang Gian, Batang Rajang.
Antara punca tragedi bot ekspres karam adalah disebabkan terlalu ramai penumpang sehingga melebihi had yang dibenarkan. Menurut Pengerusi Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Datuk Roland Sagah Wee Inn mendedahkan bahawa siasatan awal mendapati nahas bot ekspres karam di Tanjung Tukok Punyang Gian, Batang Rajang kelmarin, berpunca daripada kegagalan enjin.
"Kejadian seperti ini boleh dielakkan sekiranya semua pihak yang terbabit mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak keselamatan dan juga pihak yang berkenaan," tambah beliau.
Walaubagaimana pun, katanya, pihak kerajaan jangan mengambil mudah dengan perkara ini dengan hanya bertindak apabila sesuatu kejadian berlaku sedangkan selama ini mereka yang terbabit terpaksa memenuhi pemintaan para penumpang yang berebut-rebut hendak pulang ke kampung masing-masing terutama sekali semasa musim perayaan.
"Kita mengesa pihak kerajaan agar segera membina jalan alternatif untuk menyelasaikan masalah ini supaya penduduk tidak berebut-rebut untuk sampai ke destinasi masing-masing semasa musim perayaan yang terpaksa menggunakan jalan sungai," katanya.
"Kepada kaum Dayak, kita mengucapkan selamat bergawai dan berhati-hati ketika pulang ke tempat destinasi masing-masing.
"Hati-hati di sungai dan di darat sebab jalan sungai dan jalan darat di Sarawak amat merbahaya kalau kita cuai dan tidak berhati-hati ketika memandu.
"Jangan memandu dalam keadaan mengantuk dan mabuk sebab ini boleh menyebabkan kemalangan. Selamat Gawai kepada kaum Dayak," katanya.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan takziah kepada keluarga yang terlibat dalam tragedi bot karam di Tanjong Giam Bungan, Sarawak pagi kelmarin.
Ketua Penerangannya, Yusapiza Yaacob berkata tradegi tersebut wajar membuka mata pihak berkenaan agar langkah-langkah keselamatan yang yang telah ditetapkan ketika mengambil penumpang.
"Nyawa bukanlah sesuatu yang boleh ditukar ganti dan nyawa penumpang juga lebih berharga daripada keuntungan mengambil penumpang secara berlebihan.
"Moga tragedi ini menjadi iktibar bukan sahaja kepada pemilik kenderaan air malahan juga kenderaan di daratan juga," katanya.
Dalam tragedi tersebut, bot ekspres 'Kawan Mas' yang didakwa membawa lebih muatan sehingga 200 penumpang itu telah melanggar batu dan menyebabkan karam.
Ketika itu, bot berkenaan dalam perjalanan dari Bakun ke Kapit.
Mayat pertama ditemui
Ekorannya kejadian itu juga, 11 penumpang didakwa hilang dan salah seorang darinya ditemui pagi ini dalam keadaan telah meninggal dunia.
Mayat pertama yang merupakan seorang lelaki itu dilaporkan dijumpai penduduk rumah panjang Uma Tebok, Long Buyun, tidak jauh dari lokasi kejadian.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
TV3 kantoi lapor berita bohong lagi.. kali ini insiden bot karam pula..
Bila kebanyakan media menyiarkan laporan mengenai insiden bot karam ini.. mula-mula aku tak peduli sangat, sebab aku hanya melihat gambar di atas yang disiarkan oleh kebanyakan media tu..
Aku tak berminat untuk membaca berita yang disiarkan itu, kerana dari gambar aku menyangka tak ada di Malaysia yang dah merdeka lebih 55 tahun ni orang naik bot sampai kena duduk atas bumbung..
Bila TV3 siarkan laporan mengenainya baru aku berminat nak ambil tahu.. rupa-rupanya insiden ini telah berlaku di Sarawak yang dikatakan sebagai kubu kuat Barisan Nasional bukannya Bangladesh seperti mana yang aku sangka..
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
KUALA LUMPUR: Pertanyaan yang sepatutnya bermain di kotak fikiran rakyat ketika kaum Dayak menyambut Gawai ialah sama ada musibah bot Belaga pada Selasa lalu, dengan 179 yang terselamat dan 11 yang lain hilang, menjadi salah satu agenda Kabinet Persekutuan semalam.
Lim Kit Siang berkata, soalan kedua ialah adakah Kabinet telah memutuskan untuk memperbetul kegagalan 50 tahun pembangunan saksama di Sarawak dengan memastikan wujudnya akses jalan raya ke Kapit dan Belaga.
“Sekiranya jawapannya tidak pada salah satu atau kedua-duanya, soalan ketiga ialah apa perbezaan yang dilakukan kepada teras sosio-ekonomi nasional dan pembangunan infrastruktur juga keadilan sosio ekonomi yang terlewat kepada penduduk pedalaman Sarawak melalui perlantikan tujuh menteri penuh dan empat timbalan menteri dari Sarawak menyertai Kabinet Persekutuan?” tanya beliau dalam satu kenyataan.
Malah, kata beliau sekiranya musibah bot Belaga yang tragis itu berlaku sebelum 5 Mei yakni hari pengundian PRU13, sama ada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri tentu telah melawat Belaga dalam tempoh 24 jam untuk menyampaikan ucapan takziah Kerajaan Persekutuan secara peribadi, dibandingkan dengan sikap berbeza mereka sekarang, yang tidak mengucapkan sepatah pun tentang musibah bot Belaga sejak dua hari lalu.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu menambaha, amat menyayat hati apabila sekalipun tragedi bot ekspres berlaku di tengah-tengah Sungai Balui yang dikhuatiri telah meragut 11 nyawa, jeti Kapit semalam penuh sesak seperti biasa dengan ramai orang terdesak mahu pulang ke rumah untuk festival menuai Gawai Dayak hujung minggu ini.
Beliau berkata, bot yang menuju ke kawasan Belaga amat terhad dan kebanyakan orang tidak mampu untuk tinggal satu malam di Kapit sehingga tiket boleh didapati.
“Setiap orang takut menggunakan bot ekspres kerana arus sungai tidak boleh dijangka tetapi mereka tiada pilihan memandangkan mereka tidak boleh menggunakan pengangkutan darat,” ujarnya yang juga Penasihat DAP Kebangsaan.
Katanya, dijangkakan terdapat lebih kurang 100,000 orang tinggal di kawasan Kapit dan Persekutuan serta kerajaan negeri tidak boleh berterusan meninggalkan tanggungjawab mereka untuk memastikan wujudnya akses jalanraya ke Kapit dan Belaga.
“Apakah suara orang pedalaman di Sarawak, terutamanya di Kapit dan Belaga berkenaan musibah bot Belaga yang baru berlaku pada Gawai Dayak tahun ini, akan didengari dan diambil tindakan oleh Kabinet Persekutuan baru memandangkan kini ada tujuh menteri penuh dan empat timbalan menteri dari Sarawak selepas PRU13?” tanya beliau lagi.
Beliau juga bertanya apakah akan wujud rancangan khas untuk memastikan akses jalanraya ke Kapit dan Belaga di dalam ucapan dasar pertama Kerajaan Najib pasca PRU13 apabila Yang di-Pertuan Agong secara rasminya membuka Parlimen ke-13 pada 25 Jun depan.
PERINGATAN:Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.