Enggan daftar Pakatan bukti BN takut `dua parti' |
Yusri Amin |
KOTA BHARU, 6 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan keengganan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) meluluskan pendaftaran Pakatan Rakyat sedangkan permohonan telah pun dikemukakan selaras dengan kehendak perundangan adalah menghalang proses perjalanan demokrasi di Malaysia. “Selain itu, Umno Barisan Nasional takut kepada ‘sistem dua parti’ sekiranya pendaftaran Pakatan Rakyat diluluskan. Bahkan gabungan Pakatan Rakyat itu dilihat BN mengancamnya," kata ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman. Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Elaun Guru-Guru Pasti Negeri Kelantan sempena Hari Raya Aidiladha 1432 Hijriah di Dewan Astaka, JKR 10 dekat sini, kelmarin. Beliau yang juga Adun Mengkebang berkata, itulah yang menyebabkan Umno BN tidak meluluskan pendaftaran Pakatan Rakyat. "Dan kita tidak menolak gambaran sikap ‘flip-flop’ kepimpinan Perdana Menteri yang ada,” ujarnya. Justeru itu, kata Abdul Latiff, urus tadbir dan transformasi Najib hanya dilihat rakyat negara ini sebagai ‘retorik. “Bahkan bukan saja masalah urusan pendaftaran Pakatan Rakyat, malahan Bajet 2012 yang diangkat di Parlimen awal Oktober baru-baru ini terbukti di kalangan pimpinan Umno BN sendiri pun tidak yakin dengan sumber kewangan negara bagi menyelesaikan pembayaran bajet itu. “Dan tiba-tiba pula dibuat 'one-off', ini termasuk 'one off' untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah," katanya lagi. Beliau yang juga Pengarah Pasti Kelantan memaklumkan sebanyak RM176,000 telah dibelanjakan bagi membayar elaun guru-guru Pasti seluruh negeri. “Pembayaran elaun ini membabitkan seramai 600 orang guru Pasti Kelantan bagi bayaran untuk bulan September dan Oktober 2011," katanya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6381-enggan-daftar-pakatan-bukti-bn-takut-dua-parti
Sidang Media SUA PKR bersama dengan pimpinan PR yang lain di Parlimen :
http://www.youtube.com/watch?v=MKUMWCi47NQ
Muslihat politik tidak lulus daftar Pakatan |
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 3 Nov: Pakatan Rakyat mengesyaki terdapat ‘muslihat politik’ apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) enggan meluluskan permohonan pendaftaran mereka untuk menjadi satu parti. Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, ROS sengaja tidak mahu meluluskan pendaftaran Pakatan Rakyat kerana takut mereka menjadi satu gaubungan yang kuat dalam pilihan raya umum ke-13. Mereka (ROS) sengaja tidak mahu mendaftarkan Pakatan Rakyat kerana takut kita akan menjadi satu entiti yang kuat untuk mencabar BN. "Untuk pilihan raya akan datang, kita tidak boleh letak calon Pakatan tapi letak calon PAS, DAP dan PKR kerana belum berdaftar. Saya lihat ini ada muslihat politik," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menyelar jawapan Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Osman baru-baru ini bahawa pedaftaran Pakatan Rakyat tidak diluluskan kerana mereka tidak membuat permohonan baru selepas pengerusi Pakatan waktu itu, Datuk Zaid Ibrahim keluar parti. "Majlis Presiden Pakatan kesal dengan kenyataan tersebut kerana Pakatan telah ambil langkah yang perlu sejurus Datuk Zaid tinggalkan Pakatan. "Kita lantik pengerusi Pakatan Rakyat yang baru iaitu Ahli Perlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar menggantikan Datuk Zaid," katanya yang juga Ahli Parlimen Machang. Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, mereka sering mengadakan pertemuan dengan pihak ROS untuk mengetahu perkembangan mengenai permohonan tersebut tapi gagal mendapatkan sebarang jawapan. ROS, katanya masih memberi alasan bahawa permohonan lama Pakatan Rakyat iaitu sewaktu Zaid masih bersama PKR masih belum diluluskan dan Pakatan tidak membuat permohonan baru. "Mengikut perlembagaan Pakatan Rakyat, sesiapa yang keluar parti, kedudukannya sebagai pengerusi akan terbatal. Jadi tiada masalah dalam hal itu," katanya. Sehubungan itu katanya, Majlis Presiden Pakatan yang bermesyuarat petang semalam memutuskan untuk membuat keputusan baru sekiranya permohonan mereka masih tergantung. "Sekarang kita buat keputusan untuk teruskan permohonan tapi kalau tidak ada jawapan juga, kita akan putuskan tindakan baru," katanya. Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr, Hatta Ramli pula berkata, tindakan ROS itu menggambarkan kelemahan pegawai-pegawai kerajaan menjalankan tugas. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, ROS sepatutnya memaklumkan kepada Pakatan sekiranya terdapat kesalahan dalam borang permohonan atau sebagainya. "Kalau ada sebarang kesilapan dalam permohonan atau perlu maklumat biasanya mereka akan hubungi pemohon tapi tiba-tiba kata tak hantar permohonan baru sedangkan pertukaran individu dalam jawatankuasa penaja adalah perkara biasa. "Ini memberi gambaran yang tidak baik kepada pegawai kerajaan dan ada orang yang dijadikan mangsa," katanya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6350-muslihat-politik-tidak-lulus-daftar-pakatan
Pakatan desak tarik balik Akta Perhimpunan Aman |
Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 23 Nov: Pakatan Rakyat hari ini mengambil ketetapan mendesak Kerajaan BN menarik balik Akta Perhimpunan Aman yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam. Ketetapan itu dibuat memandangkan akta tersebut jelas menekan rakyat, malah lebih zalim berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akan dimansuhkan itu. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, sehubungan itu, Pakatan Rakyat akan mengadakan bantahan keras terhadap akta tersebut di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) esok pada jam 1.30 tengah hari. Menurut beliau, selain itu, Pakatan Rakyat akan turut mengadakan beberapa siri perhimpunan besar dengan dimulakan di Shah Alam pada 4 Disember, di Ipoh pada 10 Disember dan di Melaka pada 16 Disember nanti. Katanya, perhimpunan besar Pakatan Rakyat bagi membantah akta tersebut akan turut diadakan setiap tahun mengikut jadual yang akan dibuat dalam waktu terdekat. "Akta Perhimpunan Aman 2012 itu ternyata bercanggah dengan janji Perdana Menteri untuk menghormati hak rakyat kerana jelas lebih menekan rakyat," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini. Penekanan terhadap rakyat menerusi akta itu, menurutnya, jelas terserlah apabila pihak polis diberikan kuasa lebih besar dan mutlak, walaupun Seksyen 27 Akta Polis dimansuhkan. Katanya, menerusi akta itu, rakyat diminta mengemukakan permohonan kepada polis sehingga 30 hari sebelum perhimpunan diadakan, tanpa keizinan polis tidak boleh diadakan perhimpunan, selain terpaksa membuat rayuan kepada menteri. "Ini jelas menunjukkan kongkongan pihak pemerintah terhadap rakyat, sama seperti di negara-negara ekstrim Arab dan Myanmar," tegasnya. Dalam usaha membantah akta itu, tambahnya, beliau dan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan turut menyebutnya pada persidangan Dewan Rakyat secara berterusan. Beliau turut berbangga kerana Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen yang turut dianggotai PAS dengan diwakili Ketua Pengarah Pilihanraya parti itu, Dr Mohd Hatta Ramli, wakil PKR dan DAP, telah menunjukkkan semangat dan kesungguhan untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihanraya di tanah air. Namun beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 selagi 8 tuntutan Bersih tidak dilaksanakan. "Antara 8 tuntutan Bersih itu termasuklah penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya yang mestilah dilaksanakan oleh SPR," katanya yang juga Kerua Umum PKR. Beliau turut berharap agar SPR atau pihak Kerajaan BN tidak menjadikan penubuhan jawatankuasa itu sebagai hujah untuk mengelaburi mata rakyat bagi mengelakkan 8 tuntutan Bersih itu dilaksanakan dalam pilihanraya di negara ini. Turut hadir pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/6665-pakatan-desak-tarik-balik-akta-perhimpunan-aman
Sidang Media PR : http://www.youtube.com/watch?v=tDN7S6wnd5k
‘Tak Nak BN’, jawapan kepada rayuan Najib |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 29 Nov: ‘Tak Nak BN’ adalah jawapan kepada rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat supaya memilih lagi BN untuk memastikan agenda transformasi beliau terlaksana. AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, pada mula rakyat mungkin kagum dengan gagasan awal Datuk Seri Najib, seolah-olah beliau mahu membuat perubahan di negara ini. Tetapi, katanya lama-kelamaan Najib menunjukkan siapa sebenarnya beliau kerana rakyat sudah mual dengan slogan transformasi yang bertukar menjadi nasi basi. Apa tidaknya, jar beliau semakin hari semakin terserlah siapa sebenarnya Datuk Seri Najib. “Ahli Umno sudah maklum beliau memang terkenal sebagai seorang yang kaya dengan retorik sejak daripada beliau memegang Ketua Pemuda Umno lagi. “Buktinya ketika beliau mengumumkan untuk menghapuskan ISA, 13 mangsa di Sabah ditangkap,” ujarnya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, ketika Najib mengumumkan untuk memberi kelebihan kepada rakyat berhimpun, tiba-tiba pindaaan yang lebih teruk daripada sebelumnya, malahan lebih teruk daripada Myanmar. Katanya lagi, ketika indeks rasuah negara semakin teruk, beliau masih berasmara dengan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda, walaupun beliau memang disabit rasuah di dalam pemilihan Umno. “Cuba bayangkan daripada 3.2 juta ahli Umno, yang dipilihnya ialah Tan Sri Isa Samad, apa kelebihan yang ada pada Isa Samad, sehingga Datuk Seri Najib tidak nampak selain daripada beliau, sedangkan Felda adalah satu institusi yang cukup penting yang mempunyai dana dan eset yang begitu banyak selepas Petronas. “Sekarang beliau merayu supaya rakyat memilih lagi BN?” soalnya. Idris berkata, dengan sikap yang ditunjukkan oleh beliau selama menjadi Perdana Menteri telah gagal menggulakan rakyat dengan slogan 1Malaysia yang terbaru ialah slogan wasatiah. “Beliau tidak sedar ketika beliau beretorik dengan slogan transformasi rakyat menunggu dengan penuh ketekunan dan mencatat apa yang beliau cakap. “Tiba-tiba rakyat nampak ini hanya slogan kosong setelah menunggu sekelian lama,” ujarnya. Belia menambah, rakyat percaya jika BN menang maka GST, cukai 6 % prepaid, harga minyak, gula, tepung dan keperluan rakyat akan naik. Akhirnya, kata belia rakyat akan menjawab ‘Tak Nak BN’ dalam PRU ke-13 nanti. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6757-tak-nak-bn-jawapan-kepada-rayuan-najib
Perselisihan Karpal dan Ramasamy selesai |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 15 Dis: Ekoran permohonan maaf dan penarikan balik berita oleh akhbar Tamil Makkal Osai, kesemua pemimpin DAP yang terlibat dalam isu Karpal dan Ramasamy setuju ia diselesaikan. Penal tiga anggota yang dibentuk DAP membuat keputusan bersama Karpal Singh dan Prof P Ramasamy, DAP perlu terus bergerak ke depan dan menyelesaikan perbezaan kalau masih ada melalui saluran dalam DAP sendiri. Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh tiga anggota penal yang dibentuk DAP untuk menyelesaikan masalah itu hari ini. Ketiga-tiganya adalah Ketua anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang, Penasihat Seumur Hidup DAP Dr Chen Man Hin dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng. Semalam, 14 Disember, Ketua Editor Makkal Oosai M. Rajan telah mengeluarkan pembetulan dalam laporan mereka berkaitan dengan laporan 28 November mereka. Dalam pembetulan itu, Oosai mengakui laporan 28 November mereka yang melaporkan tentang calon DAP dalam pilihanraya akan datang bukannya bersumberkan dari P Ramasamy dan melahirkan rasa sedih kerana berita itu menyebabkan berlaku pertembungan umum antara Karpal dan Ramasamy. Dengan harapan perbezaan ini dapat diselesaikan segera, Ketua Editor Makkal OOsai itu menyanjung tinggi jasa kedua-dua pemimpin itu. “Untuk kita, Karpal Singh dan Professor Ramasamy adalah pemimpin yang terpenting. Karpal Singh adalah pejuang dalam barisan pembangkang yang amat disanjungi di negara kita. Beliau telah melalui banyak penderitaan dan dugaan. Beliau berpegang teguh kepada prinsip parti dan berjuang sehingga masuk ke penjara. “Seperti itu juga, pemberian jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada seorang India adalah sejarah dalam politik negara kita. Pada pilihanraya lepas, Professor Ramasamy telah memenangi DUN dan Parlimen di Penang dan menjadi Timbalan Ketua Menteri. Beliau juga memberikan khidmat yang baik kepada masyarakat India Pulau Pinang dengan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri tersebut,” tulis Rajan dalam kenyataan pembetulannya sebagaimana yang dipetik oleh ketiga-tiga mereka hari ini. Sehubungan itu, ketiga-tiga pemimpin kanan DAP itu termasuk Karpal dan Ramasamy sedar harapan tinggi yang diberikan rakyat kepada mereka dalam usaha untuk membentuk lanskap baru politik dalam PRU 13 khasnya, membawa sistem dua parti dan seterusnya usaha menukar kuasa di Putrajaya. "Mengambil kira kenyataan penjelasan Makkal Oosai dan rakyat yang mahukan perpaduan, pemimpin DAP, Karpal dan Ramasamy mengambil keputusan untuk bergerak ke depan sebagai satu pasukan yang solid dalam persiapan akhir menuju PRU 13 yang sudah tidak berapa bulan itu," kata mereka bertiga. Mereka juga berkata, semua perbezaan akan diselesaikan melalui saluran parti untuk mempekuatkan parti. "Hanya dengan cara itu, DAP dan Pakatan Rakyat dapat melawan dan menewaskan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya ke 13 nanti," kata mereka. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/7064-perselisihan-karpal-dan-ramasamy-selesai
Pakatan kekal di Selangor, Kedah dan Kelantan - UMCEDEL
Harakahdaily, | 09 Mei 2012 |
(Keputusan kajian yang dibuat UMCEDEL di Selangor)
KUALA LUMPUR: Kajian yang dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati sokongan kepada Pakatan Rakyat lebih baik berbanding Barisan Nasional di Selangor, Kedah dan Kelantan.
Kajian ini menolak gembar gembur yang dibuat BN sekarang bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat di ketiga-tiga negeri itu akan jatuh dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurut kajian itu, masyarakat India paling kuat menyokong Pakatan di Selangor iaitu 60 peratus menyokong Pakatan, 20 peratus BN dan 20 peratus lagi tidak pasti.
Untuk masyarakat Melayu pula, kajian itu mendapati BN mendapat 34 peratus, Pakatan (33 peratus) dan tidak pasti (33 peratus).
Di kalangan orang Cina pula, 49 peratus dari mereka menyatakan sokongan kepada Pakatan, BN (hanya 16 peratus) dan tidak pasti (35 peratus).
Bilangan responden kajian ini adalah 2282 orang.
Kajian ini dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan etnik Melayu, etnik Cina, etnik India dan lain-lain.
(Keputusan kajian UMCEDEL di Kedah)
Pemilihan responden dipilih secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur.
Kajian lapangan dilakukan pada 31 Mac 2012 – 15 April 2012 di seluruh Semenanjung Malaysia.
Kajian ini melibatkan 43 orang enumerator dan 3 orang penyelia.
Kajian ini dijalankan sebelum isu PTPTN dan BERSIH 3.0.
Projek penyelidikan ini dibiayai oleh Fundamental Research Grant Scheme (FRGS).
Kedah dan Kelantan
(Keputusan kajian UMCEDEL di Kelantan)
Menurut kajian ini juga, Pakatan mendapat sokongan pengundi Melayu di Kedah iaitu 43 peratus berbanding BN hanya 33 peratus manakala 24 peratus lagi tidak pasti.
Pengundi Cina juga menyokong Pakatan Rakyat iaitu 50 peratus berbanding BN (38 peratus) dan tidak pasti (12 peratus).
Namun begitu, 65 peratus pengundi India menyokong BN berbanding Pakatan (10 peratus) dan tidak pasti 25 peratus.
Sokongan rakyat kepada Pakatan juga meninggalkan BN di Kelantan iaitu Pakatan 44 peratus, BN (27 peratus) dan tidak pasti (29 peratus).
Namun begitu, mengikut kajian ini, BN akan terus menang di Perak dan Negeri Sembilan serta peringkat nasional.
Kajian tidak dibuat untuk negeri Pulau Pinang dan lain-lain negeri.
Sumber HD : 9/05/2012
No comments:
Post a Comment