1433H: Semoga bawa perubahan Putrajaya |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 26 Nov: AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berharap tahun baru 1433 Hijrah membawa perubahan besar-besaran di Putrajaya. “Salam Hijratul Rasul kepada semua muslimin muslimat, semoga Tahun Baru Hijrah kali ini membawa perubahan besar-besaran di Putrajaya dan Parlimen Malaysia,” ujarnya melalui twitter. Menurutnya yang juga ahli Parlimen Bukit gantang, yang ada ialah hijratul rasul, maal hijrah tidak tahu berasal dari mana. Tambahnya, secara prinsip dan teknikal sebenarnya tak ada istilah maal hijrah dan menggesa ulama supaya mengubahnya. Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut mengucapkan salam Hijrah 1433 sambil menyeru bersama membangun aqidah ummah. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6725-1433h-semoga-bawa-perubahan-putrajaya
Hijrah membentuk negara Islam |
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat |
Perutusan Hijratur-Rasul Al-Mursyidul Am PAS Sempena Tahun 1433 Hijrah بسم الله الرحمن الرحيم وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Surah al-Nisa’ ayat 100 Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT. Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan. Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah. Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA. Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’? Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara. Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara. Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT. Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri. Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya. Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah. Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam. Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda. Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai. Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat. Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan? Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia. Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT. Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi. Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini. Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah. Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Al-Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Bertarikh: 28 Zulhijjah 1433H bersamaan 24 November 1433H |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/mursyidul-am/6728-hijrah-membentuk-negara-islam
Hijratur Rasul bukan perayaan suka-suka |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 27 Nov: “Sesungguhnya menyambut ulang tahun Hijratur Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan,” kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya, sambutan Hijratur Rasul sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Menurutnya, sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA. “Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’?” soalnya yang juga Menteri Besar Kelantan. Jawabnya, jelas beliau ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. Menurutnya lagi, momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara. Jelas beliau, pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah s.a.w. ke Madinah. Beliau menambah, jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w. “Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara,” ujarnya dalam perutusan sempena sambutan Hijratur Rasul 1433 Hijrah, hari ini. (Perutusan penuh Tuan Guru di dalam kolum beliau) |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/6730-hijratur-rasul-bukan-perayaan-suka-suka
Hijrah: Anak muda berperanan untuk agama, negara |
Muhammad Farid |
Kedatangan tahun Hijrah 1433 pastinya disambut meriah di Malaysia. Pelbagai program telah diatur oleh pihak masjid, badan-badan kerajaan, swasta dan juga pihak kerajaan bagi meraikan hari kebesaran Islam ini. Hakikatnya, di dalam Islam, Tahun Baru Hijrah bukan sekadar perayaan atau simbolik semata-mata bahkan mempunyai signifikan yang besar kepada ummatnya khususnya belia (anak muda). Unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010 mendapati jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang. Ia mewakili 43 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia. Hijrah telah menunjukkan kepentingan dan keberkesanan peranan dan sumbangan golongan anak muda dalam sesuatu usaha. Apabila golongan anak muda menggunakan potensi akal dan kekuatan untuk tujuan kebaikan, sebesar mana perancangan sekalipun akan dapat menjadi realiti. Dari peristiwa Hijratul Rasul, dapat diambil beberapa pengajaran yang penting dan berguna buat generasi anak muda kini. Antaranya ialah sikap optimis Saidina Ali. Atas dasar kecintaan dan keyakinan kepada janji Nabi SAW, beliau sanggup menggantikan baginda di tempat tidur baginda . Beliau tidak gentar akan risiko cubaan membunuh Baginda SAW oleh pihak Quraisy kerana beliau optimis terhadap arahan Baginda SAW. Ketika itu, Baginda SAW berkata kepada Saidina Ali bin Abi Talib: “Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah dengan selimut al-Hadrami yang berwarna hijau ini. Mereka tidak akan dapat melakukan apa-apa yang buruk terhadapmu.” Antara ikon anak muda yang menonjol dalam peristiwa Hijratul Rasul ini juga adalah Abdullah bin Abu Bakar. Dalam tempoh 3 hari persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar di Gua Thur, mereka berdua dibantu oleh Abdullah bin Abu Bakar yang bertugas sebagai perisik untuk membekalkan maklumat kepada baginda mengenai perancangan orang Quraisy Mekah. Beliau akan keluar seawal waktu sahur dan akan pulang ke Gua Thur setelah larut malam. Sesuatu yang menarik pada Hijratul Rasul, terselit juga dalam lipatan sejarah mengenai sosok wanita yang begitu berjasa kepada Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Beliau adalah Asma’ Binti Abu Bakar, anak kepada Saidina Abu Bakar. Dalam peristiwa hijrah ini, keberanian luar biasa Asma' terserlah tatkala beliau memastikan bekalan makanan sampai kepada ayahnya dan Baginda SAW di saat nyawa mereka beruda diancam oleh pihak Quraisy. Asma' mengembala kambing di belakangnya sepanjang perjalanan menghantar makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar dengan tujuan jejaknya akan terhapus oleh kambing yang digembalanya. Di samping itu, sumbangan Amir bin Fuhairah juga tidak dikesampingkan. Beliau diarahkan untuk membawa kambing-kambing gembalaannya di sekitar Gua Thur untuk menghilangkan kesan-kesan tapak kaki Abdullah bin Abu Bakar dan Asma’ Binti Abu Bakar yang sentiasa berulang-alik antara Mekah-Gua Thur. Memetik tulisan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di dalam bukunya “Hijratul Rasul: Iktibar dan Hikmah”, beliau ada menyebut, “Demikianlah kalau kita perhatikan mereka yang bersama sebilangan besar adalah remaja (anak muda). Mereka tidak membuang masa dengan perkara yang membuang masa.” Mujasyi’ bin Mas’ud al-Sulami berkata, “Aku pernah menemui Nabi SAW untuk berbai’ah kepadanya atas Hijrah. Baginda bersabda, “Sesungguhnya Hijrah telah berlalu, akan tetapi berbai’ahlah atas Islam, jihad dan kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim) Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyebut, “Hijrah yang paling mulia telah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda Rasulullah, maka Rasulullah mengingatkan kepada kita agar terus melakukan ketaatan kepada agama Islam, melakukan jihad, dan seluruh amalan kebaikan, dan Baginda bermaksud: Aku menyeru kepadamu agar melakukan perkara-perkara (kebaikan) ini". Apa yang pasti, tiada lagi hijrah selepas Hijratul Rasul. Namun, tidak mustahil untuk gerakan anak muda masa kini melakukan ‘hijrah’ dalam usaha melahirkan ikon seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Asma’ binti Abu Bakar, Abdullah bin Abu Bakar mahupun Amir bin Fuhairah. Hijrah membuktikan anak muda mampu menyumbang untuk agama dan pastinya untuk negara. Sewajarnya semua pihak perlu menyedari bahawa jatuh bangun agama, tamadun serta identiti negara banyak bergantung kepada potensi anak muda. Bersama idealisme, intelektualisme dan aktivisme yang ada pada mereka, sejarah dunia juga mampu dirubah. Usah diperkecilkan suara anak muda! Firman Allah, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Al-Baqarah: 218) MUHAMMAD FARID HADHARI BIN MAHAMED RUSDI Presiden, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia Universiti Sains Islam Malaysia |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/6733-hijrah-anak-muda-berperanan-untuk-agama-negara
PAS ditubuh bawa aspirasi hijrah Nabi |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 27 Nov: Sambutan Hijratur Rasul tidak akan bermakna jika sekadar mengingati penghijrahan Nabi s.a.w. tanpa mengetahui tujuan Nabi berhijrah. “Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam yang mendaulatkan hukum hakam Allah,” kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib. Jelasnya, Islam tidak cukup hanya menjadi amalan ritual semata-mata tetapi mesti berdaulat dan diamalkan dalam masyarakat dan negara tercinta. Justeru, jelasnya PAS yang ditubuhkan adalah untuk membawa aspirasi hijrah Nabi s.a.w. “PAS bukan sekadar menyambut peristiwa penting ini tetapi juga memperjuangkan tujuan di sebalik hijrah tersebut. “Perjuangan ini diwarisi dan diteruskan sebagai melaksanakan amanah yang diberikan agar Islam terus berdaulat dalam sebuah negara yang menerima hidayat,” ujarnya dalam perutusan sempena Sambutan Hijratur Rasul 1433H. Berikut adalah perutusan penuh beliau. Pertama-tamanya saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijriyyah 1433 kepada seluruh umat Islam khususnya para pendukung agama Allah SWT. Sambutan ini menandakan bermulanya tahun baru mengikut kalendar Islam yang dilihat semakin hari semakin dilupakan oleh umat Islam sendiri dek kerana terlalu mengagungkan kalendar barat berbanding kalendar sendiri. Kalendar Islam diasaskan oleh Saidina Umar al-Khattab ketika menjadi Khalifah yang kedua dengan menjadikan tahun berlakunya hijrah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai tahun pertama dalam Islam. Jelasnya, sambutan tahun baru ini adalah juga secara langsung menyambut ulang tahun penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah. Sambutan Hijratur Rasul tidak akan bermakna jika sekadar kita mengingati penghijrahan Nabi tanpa mengetahui tujuan Nabi berhijrah. Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam yang mendaulatkan hukum hakam Allah. Islam tidak cukup hanya menjadi amalan ritual semata-mata tetapi mesti berdaulat dan diamalkan dalam masyarakat dan negara tercinta. Umat Islam hari ini hanya sekadar mengingati dan menyambut peristiwa Hijrah tetapi dalam masa yang sama negara yang mereka diami tidak mendaulatkan Islam yang menjadi sebab kepada Nabi berhijrah. Al-Quran dan As-Sunnah yang sepatutnya menjadi rujukan dan panduan kepada negara hanya tersimpan rapi dan menjadi dokumen sepi tanpa siapa yang mempeduli. Pemerintah yang mengaku dirinya Islam menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan dengan menolak untuk menjadi hamba Allah yang menguatkuasakan undang-undangnya. PAS yang ditubuhkan adalah untuk membawa aspirasi hijrah Nabi s.a.w. PAS bukan sekadar menyambut peristiwa penting ini tetapi juga memperjuangkan tujuan di sebalik hijrah tersebut. Perjuangan ini diwarisi dan diteruskan sebagai melaksanakan amanah yang diberikan agar Islam terus berdaulat dalam sebuah negara yang menerima hidayat. Justeru, saya menyeru agar umat Islam tidak menjadi umpama seorang bapa yang menyambut kelahiran yang baru tetapi tidak mengetahui tanggungjawab dia yang sebenar terhadap bayi yang dianugerahkan kepadanya itu. Marilah kita menyambutnya dengan penuh kegembiraan dengan memikul amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya sebagai hamba Allah. Kita bukan sahaja dikehendaki untuk menyambut awal hijrah ini sebagai memperingati peristiwa ini sebagaimana kita memperingati tahun kelahiran kita. Tetapi menyambut peristiwa hijrah ini memberi makna bahawa kita mesti berusaha sedaya mungkin, hatta walaupun tersingkir daripada negara sendiri untuk kita berusaha supaya mendapat mencari sebuah tempat ataupun tanah subur yang boleh menyebarkan Islam melaluinya dan satu kawasan yang boleh memancar di dalamnya cahaya Islam. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6735-pas-ditubuh-bawa-aspirasi-hijrah-nabi
Bangkit anak muda, selamatkan negara |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 27 Nov: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan menggesa seluruh anak muda mengambil semangat hijrah Rasulullah SAW sebagai momentum untuk berubah ke arah masa depan negara lebih baik.
Ustaz Nasrudin Hassan Antantawi -Ketua Pemuda PAS
Katanya, hijrah Rasulullah itu juga adalah garis pemisah yang membebaskan ummah dari belenggu jahiliyyah ke arah pembentukan sebuah 'baldatun toyyibah wa rabbun ghafur' iaitu menjadi sebuah negara yang baik, aman, sejahtera dan membangun dan mendapat keampunan tuhan. "Justeru memperingati ulangtahun perisiwa hijrah, selayaknya setiap individu khasnya anak muda menghayati sejarah agung ini dan bersedia untuk melakukan sebuah perubahan total ke arah pembentukan masa depan negara yang aman, sejahtera, harmoni dan mendapat lindungan rahmat serta keampunan Allah swt," katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hijratur Rasul 1433. Menurutnya lagi, sudah ketetapan Allah bahawa perjuangan besar untuk melunaskan sebuah perubahan dan amanah gerak kerjanya, menghadapi cabaran yang mengundang implikasi besar. Namun ujarnya, itulah harga sebuah perjuangan yang mesti dibayar oleh para pejuang di mana harta dan nyawa menjadi taruhan demi sebuah perjuangan suci. "Bangkitlah wahai sekelian anak muda dari tidur yang panjang, kini kita berada selekoh akhir untuk membuat pecutan kemenangan ke garis penamat. "Sempena ulangtahun Hijrah ar-Rasul SAW kali ini, kebangkitan anak muda mewarnai gerakan perubahan adalah suatu yang sangat didambakan," tegasnya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6734-bangkit-anak-muda-selamatkan-negara
TOKOH MAAL HIJRAH 1433 PERINGKAT NEGERI SELANGOR :
DATO' ISMAIL KAMUS
Pendakwah bebas / Mantan ADUN Gombak Setia
Pemenang Anugerah Pertubuhan Dakwah Sukarela wakil Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor, Ashri Lateh, Tokoh Maal Hijrah 1433 Hijrah/2011Masihi Datuk Ismail Kamus, Tokoh Aktivis Masyarakat, Jamaluddin Elias, Tokoh Keluarga Mithali Said Husin dan Tokoh Saudara Kita Muhammad Chan Abdullah bergambar selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Hijrah Kota Raya
Ustaz Nasrudin Hassan At Tantawi : http://www.youtube.com/watch?v=Jl0eGX33rTU
Selebriti usah rasa gentar untuk ‘berhijrah’ |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengajak para artis dan selebriti tempatan agar segera ‘berhijrah’ dengan menjadi insan mukmin yang soleh dan bertaqwa kepada Allah SWT. “Hijrah ini penting sebagai usaha mengajak dan mendidik masyarakat untuk menjadi generasi yang berakhlak mulia di negara ini,” kata Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) DPPWP, Fadhil Osman. Bagi DPPWP, katanya para artis serta selebriti adalah golongan yang menjadi idola dan ikon masyarakat. Menurutnya, mereka digilai oleh ribuan anak-anak muda yang ingin melihat aksi mereka dalam dunia hiburan. Katanya, setiap pergerakan mereka pasti dalam pengetahuan peminat fanatik mereka. Justeru, ujarnya para artis atau selebriti adalah umpama magnet yang boleh menarik anak-anak muda di negara ini ke mana sahaja. “Apa yang mendukacitakan, ada kalangan artis atau selebriti tempatan tidak menunjukkan contoh yang baik terhadap masyarakat,” katanya lagi. Menurutnya lagi, meskipun jumlah mereka tidak ramai, namun gejala negatif yang dilakukan oleh mereka turut menjadi ikutan para peminat. Antaranya, kata beliau seperti penyalahgunaan dadah, bersekedudukan, jenayah, budaya hidup sosial yang melampau serta berpakaian yang menjolok mata. Justeru, ujarnya penghijrahan mereka akan menarik sama anak-anak muda untuk turut jejak langkah mereka. Jelasnya, DPPWP tidak pula bermaksud meminta para artis meninggalkan dunia hiburan yang mereka ceburi kerana mungkin ia telah menjadi sumber pendapatan mereka, namun apa yang penting adalah mereka menjadi insan teladan yang baik dan boleh dicontohi oleh masyarakat. “Dalam hal ini, DPPWP memuji beberapa orang artis yang telah berhijrah seperti Catriona Ross, Bob Lokman, Sham Kamikaze, Iwan, Wardina, Irma Hasmie serta beberapa orang artis wanita yang telah mengubah penampilan dengan memakai pakaian menutup aurat dan menjaga solat,” katanya. Beliau menambah, meskipun mereka masih berlakon dan aktif dalam dunia seni, mereka tidak mengabaikan syariat Islam. Bahkan, kata beliau imej baik itu akan menjadi contoh teladan yang baik para artis Malaysia di pentas antarabangsa. DPPWP juga, ujarnya mengharapkan agar para artis dan selebriti tidak merasa gentar terhadap usaha penghijrahan. “Insya Allah, perubahan pada penampilan tidak akan merencatkan rezeki mereka, malah rezeki akan lebih mencurah-curah. “Daripada pentas lakonan sehingga ke masjid-masjid, para artis yang telah berhijrah ini akan dijemput untuk memberi perkongsian serta persembahan,” ujarnya. |
PULAU PINANG:
Dr Danial Zainal Abidin - Pakar Motivasi
No comments:
Post a Comment