Bagaimana agaknya Umno tulis sejarah Anwar |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 3 Sept: Setelah membuat satu kenyataan yang membuatkan rakyat terfikir bagaimana sepatutnya sesebuah sejarah harus ditafsir, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini sekali lagi mengajak rakyat berfikir mengenai kesahihan penulisan sejarah oleh manusia, dan mengapa sejarah tidak harus diterima bulat-bulat tanpa soal selidik terlebih dahulu. Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man - Ketua Penerangan PAS Pusat Menggunakan ungkapan sinis ‘Yang menang tulis sejarah, yang kalah buat puisi’, Tuan Ibrahim berkata adalah sukar untuk mencari penulisan sejarah oleh manusia yang jujur, kerana majoriti penulis sejarah menulis dari perspektif di pihak mana mereka berada dan ada yang menulis di bawah kawalan ketakutan dan telunjuk golongan berkuasa. “Umum dan rata-rata sebenarnya menyedari bahawa penulisan sejarah akan menyebelahi golongan yang akhirnya mendapat kuasa atau golongan yang menang. Manakala bagi golongan yang kalah pula, sejarah yang ditulis, terutamanya apabila bercanggah fakta dengan sejarah golongan yang menang, mereka tidak berani untuk berterus-terang untuk menyerang penulisan sejarah golongan yang berkuasa pada ketika peristiwa tersebut berlaku kerana kebesaran risiko dan tekanan yang mereka terpaksa hadapi. Bahkan, ada mereka yang berani, namun lazimnya sejarah yang ditinggalkan mereka akan dihapuskan oleh golongan yang menang supaya generasi seterusnya hanya terus mengagongkan dan mengenangkan jasa golongan yang menang demi kepentingan masing-masing,” terang Tuan Ibrahim. Akibatnya, kata beliau golongan yang tertewas ini lebih selesa menulis puisi, cerpen dan novel bagi meluahkan bantahan dan penentangan mereka terhadap satu-satu isu atau tohmahan yang dilemparkan kepada mereka. “Maka lahirlah kata-kata sinis ‘yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi’,” kata beliau. Tuan Ibrahim menyifatkan sejarah sebagai peninggalan untuk dinilai, difahami, dipelajari dan diambil iktibar terhadap sesuatu yang pernah berlaku, jarang sekali ia adalah untuk mencari kesalahan mana-mana pihak ketika peristiwa sejarah tersebut berlaku. Namun, kata beliau segalanya menjadi terbantut apabila fakta sejarah yang ditinggalkan tidak boleh dibahaskan, tidak boleh dicabar dan tidak boleh dibincangkan secara akademik, terutamanya apabila muncul dua-tiga versi fakta sejarah yang bercanggah mengenai sesuatu peristiwa. Akibat penulisan sejarah yang tidak tepat katanya, maka timbul usaha untuk menilai semula, membahas, perbincangan ilmiah dan diskusi mengenai satu-satu fakta sejarah dari pelbagai sudut. “Namun, harus diingat, perkara yang paling malang dalam proses penulisan sejarah berkisar kepada mereka yang telah tiada untuk membela diri mereka terhadap penulisan yang tidak tepat terhadap mereka dalam penulisan sejarah, yang lumrahnya ditulis oleh golongan yang menang. Kemunculan waris-waris untuk membela bagi pihak bapa, ibu atau waris mereka juga menambahkan warna-warni kepada perdebatan bahan sejarah – namun, apakah ianya tepat? Sudah tentu, ia masih boleh dipertikai lagi,” terang beliau. Menurut Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, secara tidak sedar, rakyat dan negara kini sedang mencipta dan mencatitkan sejarah tersendiri, namun persoalan utamanya ialah apakah sejarah yang sedang kita lakar kini, sebagai contoh apa yang berlaku 20 tahun yang lalu untuk generasi masa depan, akan atau telah dibuat secara jujur? “Jawapannya masih sama, ianya tidak jujur kerana adanya kepentingan golongan pemerintah dalam menjaga minda generasi seterusnya pada waktu ini, dengan anggapan bahawa mereka akan kekal berkuasa. Sebagai contoh, sejarah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya dibahas pada masa hadapan, apakah versi yang bakal dicatat dalam sejarah?” soal beliau. Rakyat, kata beliau tidak perlu melihat jauh dalam melihat apa yang beliau maksud dalam ungkapan ‘yang menang tulis sejarah, yang kalah buat puisi.’ “...untuk seseorang yang pernah menjadi Timbalan Presiden Umno dan Perdana Menteri suatu waktu dahulu, sekarang sudahpun ditulis dan digerombol oleh pihak pemerintah dalam wajah baru sebagai pengkhianat, penentang kerajaan dan selainnya sekiranya akhbar-akhbar pro-kerajaan pemerintah kini dijadikan rujukan sejarah pada masa hadapan. Mana catatan terhadap jasa beliau dalam membangunkan negara, malah memajukan Umno suatu masa dahulu? Adakah ia akan dicatat dalam sejarah kerajaan Barisan Nasional, atau akan dipadamkan begitu sahaja? Adakah dalam carta sejarah kepimpinan Umno, gambar Timbalan Dr Mahathir ini pada 1990-an akan dihilangkan begitu sahaja dalam sejarah? Sejarah apa pula mengenai beliau yang akan dituliskan dalam buku sejarah yang bakal diajar kepada pelajar pada masa depan?” tanya Tuan Ibrahim lagi. Beliau turut menambah bahawa perkara sama turut berlaku dengan sejarah Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu yang cuba dibuang dari sejarah, sehinggakan gambar beliau sebagai Menteri Besar cuba dihilangkan. “Inilah realiti dalam permainan penulisan sejarah manusia oleh golongan yang menang, yang menjadi punca utama pahlawan-pahlawan negara yang bangun berjuang bermati-matian seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Datok Bahaman di Pahang, Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan, Datok Maharajalela dan Si Puntong di Perak, Dol Said di Negeri Sembilan dan puluhan pimpinan yang lain kini hilang dari sejarah,” terang beliau lagi. Yang muncul, dicatat, dihargai malah tidak boleh dipertikaikan hari ini, katanya hanyalah pejuang yang diterima oleh Inggeris dalam sejarah penjajahan mereka terhadap Tanah Melayu. “Sesiapa yang ingin mengungkit semula jasa golongan yang tertewas, walaupun jasa mereka berharga akan terus dicop sebagai pengkhianat atau penyokong golongan tertentu dan cuba mengubah sejarah negara oleh pihak pemerintah,” kata beliau. Beliau turut menegaskan bahawa benarlah juga, mereka yang diterima sebagai pejuang oleh penjajah Inggeris ada jasa dalam usaha memerdekakan negara; namun pada masa yang sama benarlah juga ungkapan "Yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi". “Janganlah kita lupa pula dengan pejuang rakyat yang tidak diiktiraf, malah digelar sebagai pengganas oleh pihak penjajah atau golongan pemenang, mereka juga ada jasanya yang patut dimartabatkan dalam sejarah negara,” nasihat beliau. Tuan Ibrahim turut menasihatkan pihak pemerintah jangan cepat mencela para pembaca sejarah yang menilai kedudukan tokoh-tokoh negara pra-kemerdekaan yang tercatit dalam sejarah ini secara peribadi dengan fakta sejarah yang cukup – walaupun kesudahan tafsiran mereka mungkin bercanggah dengan versi sejarah yang dihasratkan pihak kerajaan. “Kerana ini adalah fenomena yang bagus untuk negara yang menunjukkan rakyat semakin matang dalam mengkaji maklumat yang diterima mereka sebelum menerimanya bulat-bulat tanpa soal selidik seperti dulu,” kata beliau lagi. Sejarah pra-Merdeka negara kini hangat diperdebatkan apabila Umno dan medianya melancarkan serangan siang-malam sejak 27 Ogos yang lalu terhadap satu kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di ceramahnya di Tasek Gelugor pada 21 Ogos yang lalu. Dalam laporan muka depannya baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut. Kenyataan itu menurut akhbar Umno itu diucapkan timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu. Ekoran itu, isu itu menjadi 'peluru' pemimpin Umno dan medianya menyerang Mohamad Sabu dan PAS kononnya parti itu menghina para polis Bukit Kepong dan membela Komunis yang menyerang balai polis itu. Sejak itu juga, berpuluh laporan polis dibuat terhadap Mohamad khususnya oleh Umno dan menggesa beliau memohon maaf serta menarik balik kenyataannya. Mohamad bagaimanapun menafikan laporan akhbar itu yang didakwa cuba memfitnah dirinya dan tidak akan sesekali memohon maaf. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernahpun menyebut Mat Indera itu sebagai seorang komunis sepertimana yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia. Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu. Beliau turut menyatakan dalam sidang akhbar terbarunya bahawa serang Umno terhadap beliau sengaja ditimbulkan bagi mengalih pandangan rakyat terhadap kepincangan pengurusan pilihan raya dan kenaikan harga barangan keperluan sekarang. ”Ini kerana semua orang sudah tahu ketika zaman penjajah, sesiapa sahaja yang menentang British akan dianggap sebagai pengkhianat. ”Sama seperti Tok Janggut yang bangkit melawan Inggeris bagi menuntut kemerdekaan dianggap sebagai penderhaka, sedangkan mereka pejuang sebenar menuntut kemerdekaan,” ujarnya. |
Kerajaan Johor iktiraf ketokohan Mat Indera |
Mohamed Hadi al-Majwi |
Sebelum kita disesatkan lebih jauh lagi oleh media-media parti pemerintah, eloklah kita semua kembali ke pangkal jalan, mengkaji dan memahami semula sejarah. Sebetulnya tatkala kali pertama saya menonton klip video ceramah Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai tragedi Bukit Kepong itu, hati saya telah terdetik "Apa sajalah yang UMNO akan merapu lepas ni". Dan memang saya mahu saksikan, label apakah yang hendak dicop kepada Mat Sabu rentetan daripada ceramah beliau. Sememangnya ucapan Mat Sabu telah diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan kalau salah bacaan, kita juga akan terperangkap dengan permainan Utusan Malaysia. Mat Sabu tidak pernah menyebut komunis, tetapi hanya menyebut nama Mat Indera, pejuang yang telah mengetuai serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Inti ucapan Mat Sabu ialah ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang peranannya digelapkan oleh parti pemerintah, tetapi di tangan Utusan Malaysia, tiba-tiba Mat Sabu pula yang sokong komunis! Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu. Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri. Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO. Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Siapa Mat Indera Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama. Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah. Mat Indera dan Bukit Kepong Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera. Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953. Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961. Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut. Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati. Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'". Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja. Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan. Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi. Rasional bukan emosi Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi? Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang. Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan. Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan". Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat? |
Umno seleweng fakta sejarah negara |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 5 Sept: Masyarakat kini melihat seolah-olah sejarah kemerdekaan seperti sejarah Umno semata-mata tanpa membabitkan tokoh yang lain. Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) melihat isu yang berkaitan dengan pensejarahan hari kemerdekaan negara Malaysia ini tidak akan selesai dan menuju titik kesudahan kerana pihak kerajaan Umno BN yang memerintah sememangnya tidak ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikannya. Ketuanya, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, Umno BN sentiasa mempergunakan isu hari kemerdekaan untuk mempengaruhi, menakutkan dan mengancam rakyat supaya tidak menolak mereka. Menurutnya, Umno BN sentiasa memomokkan kepada rakyat bahawa hanya mereka sahajalah yang berjuang untuk kemerdekaan negara sedangkan sejarah yang sebenarnya menukilkan bahawa Umno adalah sebenarnya ‘alat kepada penjajah’. Beliau berkata, Umno BN cuba meraih simpati politik murahan di atas isu yang ditimbulkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkenaan hari kemerdekaan dan tragedi Bukit Kepong, dengan menunjukkan bahawa merekalah hero yang sebenarnya mempertahankan ketuanan Malaysia dan menuduh Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat negara tanpa memberika ruang untuk Pakatan Rakyat menjawab balas. “Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor penuh yakin dan percaya bahawa Timbalan Presiden PAS mempunyai hujah dan fakta yang kukuh serta bertanggungjawab terhadap segala kenyataan yang beliau keluarkan,” katanya kepada Harakahdaily. Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengganggap sejarah kemerdekaan Malaysia masih ada banyak kelompongan fakta yang perlu ditambah dan diperbaiki terutamanya yang membabitkan perjuangan tokoh-tokoh agamawan yang telah mempelopori gerakan kebangkitan rakyat melawan penjajah. Katanya, tokoh-tokoh ulama seperti Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau dan Dato’ Bahaman di Pahang selain Ustaz Abu Bakar Baqir, Dr. Burhanuddin Al Helmi juga merupakan pahlawan yang melawan penjajah di zaman masing-masing yang telah dinafikan hak mereka sebagai tokoh kemerdekaan negara. “Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersetuju sekiranya sejarah kemerdekaan Malaysia dapat dikaji dan ditulis semula secara berilmiah dan beradab,” ujarnya. Katanya, DPPNS meminta supaya pihak sejarawan yang ada di dalam negara ini perlu mendesak pihak kerajaan supaya membuka ruang yang seluas-luasnya untuk membicarakan isu kemerdekaan ini secara telus dan terperinci berdasarkan kajian dan ilmu mereka. Justeru, ujarnya pihak kerajaan perlu menyediakan pentas untuk perbincangan ilmiah secara langsung yang membabitkan pihak sejarawan ini bersama dengan Timbalan Presiden PAS dan wakil Umno supaya mereka dapat membentangkan hujah dan fakta mereka berkaitan isu sejarah kemerdekaan Malaysia. Beliau menambah, rakyat kini semakin bijak dan bermaklumat dan akan menerima penghujahan yang berdasarkan fakta yang tepat dan sahih. “Umno BN tidak dapat lagi memperbodohkan rakyat dengan hujah emosi dan alasan yang tidak bersandarkan kepada fakta kerana Umno BNlah yang selama ini menyelewengkan fakta sejarah negara,” katanya lagi. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5221-umno-seleweng-fakta-sejarah-negara
Pejuang Kemerdekaan dan Isu Mat Indera - Pandangan Riduan Mohamad Nor
You tube : http://www.youtube.com/watch?v=schKxrHVtmI
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5226-umno-gali-kuburnya-sendiri-mohamad-sabu
Pejuang Kemerdekaan dan Isu Mat Indera - Pandangan Riduan Mohamad Nor
You tube : http://www.youtube.com/watch?v=schKxrHVtmI
Umno gali kuburnya sendiri - Mohamad Sabu |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 5 Sept: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menyifatkan Umno menggali kubur mereka sendiri apabila mempertikaikan kenyataan beliau bahawa Mat Indera adalah salah seorang pejuang kemerdekaan negara. Beliau kini memiliki buku terbitan Yayasan Warisan Johor yang berjodol "Pengukir Nama Johor" yang penaungnya adalah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman sendiri yang menamakan Mat Indera sebagai salah seorang hero Johor. (Mohamad Sabu menunjukkan buku Pengukir Nama Johor yang memaparkan Mat Indera sebagai salah seorang hero dan gambarnya diletak di muka depannya) Ghani juga turut memberikan kata-kata aluan dalam buku yang diterbitkan pada tahun 2004 itu. Mohamad dijangka akan membuat satu sidang media segera bagi menunjukkan bukti ke atas kenyataan beliau sebelum ini bahawa Mat Indera adalah salah seorang hero dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Umno melalui medianya Utusan Malaysia dan lain-lain media kawalannya menyerang Mohamad dengan dakwaan menyokong komunis apabila menyifatkan Mat Indera adalah hero kerana melawan British. Selain media, Umno juga menggerakkan ahli-ahlinya agar membuat laporan polis dan demonstrasi membantah ucapan Mohamad Sabu. Buku Pengukir Nama Johor diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri. Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO. Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. YAB Datuk Abdul Ghani Othman - MB Johor Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5226-umno-gali-kuburnya-sendiri-mohamad-sabu
No comments:
Post a Comment