Adakah Rosli Dhoby juga pengkhianat? |
Harakahdaily |
MIRI, 7 Sept: “Jadi bagaimana pula dengan nasib Rosli Dhoby (gambar), adakah beliau juga dianggap pengkhianat negara kerana membunuh gabenor British?” tanya Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee. Beliau juga bertanya adakah mata-mata atau polis yang berjaya menangkap Rosli Dhoby boleh dianggap sebagai hero. Jelasnya, Rosli Dhoby merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British. “Beliau berketurunan Melanau. Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949,” jelasnya yang juga Yang Dipertua PAS Miri. Beliau berkata, faktor yang menyebabkan Rosli terpaksa mengakui tuduhan tersebut adalah atas permintaan ibunya yang telah diugut akan ditembak. “Fikir-fikirlah sendiri siapa yang kejam semasa zaman tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini. Beliau sekali lagi menegaskan bahawa apa yang dimaksudkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bukan menyokong perjuangan komunis tetapi membela nasib perjuang kemerdekaan yang di anggap sebagai pengganas atau pemberontak. Justeru, katanya PAS Sarawak ingin memberi sedikit pandangan dan ulasan tentang sejarah sebelum kemerdekaan Malaya. Menurutnya, sebelum tanggal 31 Ogos 1957 Malaya masih lagi dijajah oleh British jadi sesiapa saja yang bekerja dengan British semasa zaman tersebut mesti patuh dengan arahan penjajah British sama ada mereka suka atau tidak kerana mereka telah diberi amanah untuk menjalankan tugas dan patuh pada arahan pemerintah British pada zaman tersebut. Jadi persoalannya sekarang, kata beliau adakah mereka yang mempertahankan kerajaan British pada zaman tersebut boleh dianggap sebagai hero mempertahankan tanah air atau mempertahankan kerajaan penjajah British. Tambahnya, adakah mereka dapat imbuhan atau penghargaan setelah pemerintah British meninggalkan Malaya. “Kita minta mereka yang pernah bertugas dengan pemerintah British dahulu fikir baik-baik mengapa mereka sanggup bermati-matian mempertahan pemerintahan penjajah British sehingga sanggup menangkap dan membunuh perjuang kemerdekaan selain komunis. “Kita juga pernah mendengar kerajaan BN pernah mengampunkan pengganas komunis yang menyerah diri dan memberi beberapa keistimewaan sekiranya mereka meninggalkan perjuangan mereka,” katanya lagi. Katanya, kemungkinan tidak mustahil ada di kalangan mereka dalam pemerintah sekarang walaupun mereka tidak mengangkat senjata tetapi ideologi mereka masih ada terpahat dalam hati mereka. “Kita minta para pengkaji sejarah kena perbetulkan kesilapan sejarah yang telah diresapi oleh unsur-unsur penjajah di mana para perjuang kemerdekaan dianggap pengkhianat dan mereka yang bekerja dengan pemerintah penjajah pula dianggap sebagai hero,” ujarnya. Sdr Jofri Jaraiee - TPJ 3 PAS juga, tambah beliau meminta para pengkaji sejarah menjalankan tugas mereka dengan jujur dan amanah agar rakyat tahu sejarah tanah air dengan sebenar dan tepat tanpa di pengaruhi oleh unsur-unsur politik perkauman dan sebagainya. Beliau menegaskan, PAS sama sekali tidak pernah merestui perjuangan komunis dan minta agar pemimpin BN jangan memutarbelitkan kenyataan Mohamad Sabu kononnya PAS menyokong komunis. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5258-adakah-rosli-dhoby-juga-pengkhianat
Mat Indera PAS beri penjelasan
You tube : http://www.youtube.com/watch?v=BDVrYdPxlFU
Keberanian Mohamad Sabu buka mata kerajaan |
Aslani M |
KOTA BHARU, 7 Sept: Ketika Umno dan juaknya menghina Mohamad Sabu (gambar) kerana menjulang pejuang kemerdekaan, di satu sudut lain pula tiba-tiba keluarga anggota polis yang terbabit peristiwa Bukit Kepong baru dijengok kerajaan. Tanpa usaha dan keberanian Timbalan Presiden PAS sudah tentu keluarga atau waris anggota polis yang terbabit dengan tragedi itu tersisih sehingga sekarang. Bagi peguam hak asasi manusia, Mohammad Faizal Che Yusof Umno membohongi rakyat kononnya hanya usaha merekalah kemerdekaan negara dicapai. “Umno tidak lebih seperti si penyumbat gol yang telah menghasilkan bola yang digelecek darah-darah pejuang lain sebelum kewujudan parti Umno. “Bukit Kepung hanyalah salah satu gendang pembohongan British bagi mengaburi rakyat. Kini masanya untuk kita memalu gendang meletakkan Islam pada tempatnya di bumi tumpah darah kita,” katanya di sini. Usaha Mat Sabu menjulang pejuang sebenar kemerdekaan seperti Mat Indera ditolak mentah-mentah pemimpin Umno, malah memperalat badan-badan bukan kerajaan berhimpun membantah pemimpin PAS terbabit. Sedangkan di sebaliknya usaha dirintis Timbalan Presiden PAS, tiba-tiba Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tampil menemui balu anggota polis yang tidak menerima sebarang pencen sejak kematian suami pada 1962. Antaranya Syed Omar Syed Yassin yang berkhidmat selepas tragedi Bukit Kepong. Malah JPA meminta mana-mana balu anggota polis yang pernah bertugas di Bukit Kepong tampil membuat aduan. Mohamad Faizal yang juga Pengerusi Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Kelantan berkata, pendokong kebenaran perlu memberi kefahaman kepada rakyat, British memusnahkan Islam di Tanah Melayu. “Manakala Umno pewaris yang dianggap baik oleh penjajah bagi memastikan Islam terus terpinggir di bumi Malaysia. “Ini kerana pemimpin Umno tidak pernah kenal keperitan perjuangan seperti ditempuhi Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Dol Said. Sedangkan merekalah pejuang sebenar,” ujarnya. Menurutnya juga sekarang sejarah Bukit Kepong hangat dibicarakan semula bagi memberi kefahaman lebih jelas penjajah memusnahkan sama sekali sistem hidup masyarakat orang Melayu. Kata beliau sistem masyarakat yang dahulunya berteraskan Islam dengan dinaungi Raja-Raja Melayu kini telah berubah sama sekali. ”Orang Tanah Melayu langsung tidak sedar mereka telah hilang identiti. Sistem Islam yang sekian lama bertapak pudar selepas kedatangan penjajah. ”Penjajah hanya pergi setelah berjaya melahirkan pewaris yang dapat melaksanakan aspirasi mereka di Tanah Melayu. Terciptanya Malayan Union untuk melahirkan pewaris British. ”Malayan Union digagaskan pada 1946 menjadi ibu kepada lahirnya pertubuhan yang dikenali sebagai Umno,” tambah beliau. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5276-keberanian-mat-sabu-buka-mata-kerajaan-
Kenyataan Media Adik Mat Indera : (Johan Shah)
http://muslimeen-united.blogspot.com/2011/09/video-mat-indera-bukan-anggota-pkm-adik.html
|
http://bm.harakahdaily.net/index.php/terbaik-dari-blog/5279-mb-johor-contoh-terbaik-talibarut-british-
'Sudah 12 hari saya diserang' |
Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR, 8 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memulakan hujah dalam forum malam tadi dengan melahirkan rasa pelik kenapa beliau diserang begitu rupa oleh Umno dan akhbarnya Utusan Malaysia dan media pro-Umno yang lain. Menurutnya, malam tadi genap 12 hari 12 malam beliau diserang. "Bermula 21 Ogos hari tu sehinggalah hari ini. Setengah jam warta berita, 10 minit serang saya. "Saya pun kadang-kadang duduk depan cermin perhati diri saya, dimana mereka takut sangat kat aku ni. Kaya pun tidak, berpengaruh pun tidak," katanya disambut ketawa hampir 200 hadirin yang hadir. Turut serta sebagai panel forum anjuran NGO - Free Public Forum M'sia (FPF) itu ialah Pakar Perlembagaan Prof Dr Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan penulis blog, Hishammudin Rais. Forum bertajuk 'Mat Indera - Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan' itu berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KSCAH). "Ada yang cadang saya dibuang ke luar negara, ada yang cadang saya di ISA, ada yang cadang saya dibuang sahaja ke Laut China Selatan. Ugutan mcm-macam. "Ini tidak lain kerana apa yang saya cakap dicampur dengan rekaan Utusan, apa yang saya tak cakap dilaoporkan sebagai cakap. Ini satu fitnah," katanya menjelaskan penyebab dirinya diserang. Berhujah lanjut, Mohamad tetap mempertahankan kenyataannya bahawa Mohamad Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukan pengkhianat bangsa seperti dituduh Umno. Perkara itu juga menurutnya dinukilkan sendiri dalam buku "Pengkukir Nama Johor" pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera sebagai pejuang bangsa. Sambil merujuk tragedi Bukit Kepong 1950 lalu, Timbalan Presiden PAS itu berkata anggota polis di Rumah Pasung yang diserang Mohamad Indera adalah polis British. "(Kepada) polis jangan lah panik, pembahaginya adalah 31 Ogos 1957, serangan (Rumah Pasung) Bukit Kepong itu sebelum merdeka, anggota polis sebelum 1957 adalah polis British," katanya sebagai jawapan kepada anggota dan pesara polis yang dilaporkan Utusan sebagai tidak senang dengan kenyataannya. Pecah tembelang Dalam pada itu Hishammudin Rais pula berkata, Mohamad diserang kerana penipuan fakta kemerdekaan oleh Umno selama ini ibarat sudah pecah tembelang. Kontroversi kenyataan Mohamad berhubung isu Mat Indera katanya telah menyebabkan masyarakat mula sedar sejarah sebenar kemerdekaan. "Untuk Umno, (Bukit Kepong) inilah kiblat perjuangan mereka. Setiap tahun tunjuk Bukit Kepong. "Sekarang Umno dan Utusan takut sebab tembelang pembohongan sudah pecah, kiblat mereka sudah runtuh," katanya sambil memuji keberanian Mohamad. Umno juga jelasnya cuba memperbodohkan rakyat dengan tulisan sejarah versi mereka. Sehubungan itu, isu Mat Indera ini perlu dijadikan momentum untuk rakyat melihat kembali sejarah negara. Professor Dr Abdul Aziz Bari - Pensyarah UIAM Aziz Bari pula turut sependapat bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan bukan pengkhianat bangsa seperti didakwa Umno. Katanya ianya turut dibuktikan dengan beberapa fakta sejarah dan testimoni ahli keluarganya. "Sehingga kini belum ada kenyataan konkrit bagi menafikan hujah ini," katanya. Dalam forum tersebut, kesemua mereka juga turut bersetuju agar sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini perlu juga mengiktiraf jasa golongan agamawan nasionalis dan golongan kiri yang mengangkat senjata menentang penjajah, dan bukannya dari tokoh Umno semata-mata. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5281-sudah-12-hari-saya-diserang
Apa pula status penulis buku Pengukir Nama Johor? |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 8 Sept: Jika benar apa yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman bahawa Mat Indera adalah komunis, apakah kedudukan penulis dan buku yang dinaungi beliau yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor. Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membangkit perkara itu ekoran tindakan Ghani menafikan taraf Mat Indera yang diherokan oleh buku itu sebelum ini namun apabila bertembung dengan sikap Umno yang mengkomuniskan Mat Indera, ia berubah. (Mohamad Sabu menunjukkan buku Yayasan Warisan Johor yang nyatakan Mat Indera adalah hero...kini MB Johor bertukar arah mengatakan Mat Indera Komunis pula) Bahkan, kerana Mat Indera turut dibela timbalan presiden PAS Haji Mohamad Sabu, beliau kini menjadi sasaran bahkan ada cadangan agar digugurkan kerakyatannya. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman. Soal Tuan Ibrahim, sekiranya perlu Mohamad digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, terbitan Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang juga mengangkat Mat Indera sebagai hero? “Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila beliau tetiba bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai 'bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik' pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri?” soal beliau lagi. Walaupun menjadi penaung kepada buku Pengukir Nama Johor, Abdul Ghani semalam menidakkan tulisan buku tersebut dengan berkata Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim. Di sebalik kenyataan tersebut, Abdul Ghani secara ironisnya turut dipetik Bernama sebagai berkata penulisan dan catatan tersebut dalam buku tersebut boleh “menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.” Desakan menggugurkan kerakyatan, kata Tuan Ibrahim juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan. “Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara. "Inilah contoh terbaik untuk mengunkapkan kata-kata P.Ramli fening, fening,” bidas beliau. Berbangga dengan penjajah Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata, menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah – itulah ungkapan untuk menggambarkan walaupun negara telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan. Bahkan, kata beliau, ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah. Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata perkara yang paling menyayatkan hati pada zaman ini ialah kebutaan golongan yang masih dikongkong mentaliti penjajah dalam membakulkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis. Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah didewa-dewakan oleh golongan ini sebagai hero, katanya dengan kesal. Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan, kata beliau nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah seperti Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris. “(Mereka) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah,” bidas beliau. Tegas Tuan Ibrahim, dalam bab menjaga Islam, rekod kerajaan Barisan Nasional adalah lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara merdeka, kata beliau, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan. “Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan,” selar beliau lagi. Disebabkan masih dibelenggu mentaliti penjajah, kata Tuan Ibrahim sehingga sekarang isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih tidak mempunyai penyelesaian. Malah katanya, setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi. “Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah,” kata beliau. Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyelar kewujudan budaya baru seperti gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah. “Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim,” terang beliau. Mengenai isu terbaru di mana timbul desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, Tuan Ibrahim menyoal mengapa saranan yang sama tidak kedengaran kepada mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka. “Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa,” terang beliau. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5285-apa-pula-status-penulis-buku-pengukir-nama-johor
DAP sokong PAS gesa kaji semula sejarah merdeka |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 8 Sept: Kerajaan harus mengkaji sejarah berpandukan fakta, bukannya bermotifkan politik, kata dan Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok. “Saya menyokong cadangan PAS supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji semula sejarah pejuangan kemerdekaan negara kita agar mereka yang telah benar-benar menyumbang kepada usaha tersebut dapat dikenali, dihormati dan diberi pengiktirafan yang sewajarnya,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini. Katanya, semua pelajar sejarah tahu pemimpin Umno bukannya satu-satunya pihak yang telah memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, sebagaimana disebarkan oleh pemimpin Umno selama ini. Pada hakikatnya, kata beliau mereka yang telah berjuang mencapai kemerdekaan pada ketika itu termasuklah gerakan persatuan perniagaan, persatuan pekerja, pihak media daripada pelbagai bahasa, golongan intelektual, kumpulan kebudayaan, golongan Islam dan pihak berhaluan kiri. Namun begitu, ujarnya media aliran utama tidak memberitahu orang ramai tentang sejarah yang sebenarnya selama ini. Beliau yang juga ahli Parlimen Seputeh menambah, sesetengah aspek sejarah yang tidak dikehendaki dipadamkan manakala sesetengah tokoh yang terpilih diagung-agungkan. “Sepastinya, sejarah sesebuah bukanlah sesuatu yang kemas dan rapi tetapi kompleks dan berkepelbagaian, apatah lagi bagi tanah air kita yang terdiri daripada berbilang etnik kaum,” ujarnya. Oleh itu, beliau menyaran kerajaan agar menerima cadangan PAS untuk mengkaji semula sejarah secara objektif, jujur dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak secara bersama. “Umno harus hentikan tuduhan “buta sejarah” terhadap pihak lain semata-mata kerana ingin mengagung-agungkan sumbangan Umno. “Kalau tidak, pada akhir harinya, Umno terbukti tidak berani mengakui hakikat sejarah,” katanya lagi. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5284-dap-sokong-pas-gesa-kaji-semula-sejarah-merdeka
You tube (Ulasan SMM) : http://www.youtube.com/watch?v=igVnnAc6MyU&feature=channel_video_title
Tidak salah kalau sejarah dinilai kembali |
Muhammad Faizal |
SHAH ALAM, 27 Sept : "Pendapat kamu benar tapi pendapat aku belum tentu salah," jelas Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution pada satu program Wacana 'Merdeka Wajarkah Sejarah Ditulis Semula' anjuran Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf hari ini. Saifuddin yang menjadi panel ketiga menjelaskan sejarah negara ini tidak salah kalau dinilai ataupun ditelitikan kembali kerana itu adalah hak yang perlu diutamakan dalam memenuhi pendapat individu. "Sejarah menjadi isu yang agak panas pada masa kini dan pelbagai isu timbul dari Mat Indera sehinggalah pada satu tahap kenyataan yang mengatakan negara ini tidak pernah dijajah, tapi apa yang ingin saya nyatakan adalah tidak salah kita menilai jika ada pendapat baru dan bukan masa untuk kita mencari siapa hero. "Kita melihat di Filipina yang sekarang ini juga sedang hangat dengan soal sejarah disana dan pelbagai pihak mengeluarkan pendapatnya sendiri dan ini lah negara demokrasi yang mengamalkan kebebasan untuk menyatakan pendapat. "Apa yang saya sentuh ini adalah negara Filipina bebas untuk rakyatnya persoalkan kemerdekaan tetapi di negara kita sebaliknya mereka yang berkata-kata dengan pendapat sejarah baru ditangkap serta didakwa di mahkamah," jelasnya. Tambahnya lagi, apa jua pendapat yang dinyatakan oleh setiap individu ia tidak boleh dikatakan salah kerana tentu ada bukti-bukti terbaru yang ditemuinya dan sepatutnya kerajaan menilainya terlebih dahulu bagi mengetahui kesahihannya. "Sejarah perlu dilihat dari pelbagai sudut dan bukannya hanya tertumpu kepada satu arah sahaja. Mungkin terdapat bukti-bukti terbaru dan dalam keadaan ini kebenaran sejarah perlu kita pertahankan kebenaran walaupun baru ditemui sehingga menimbulkan pertikaian. "Betul yang mengatakan orang terakhir dalam perjuangan akan diraikan dan keadaan ini seumpama dalam perlumbaan larian yang mana peserta terakhir akan diraikan apabila menang sedangkan pelari sebelumnya diabaikan. "Inilah yang berlaku dalam sejarah negara mereka yang memperjuangkan kemerdekaan akan dianggap perjuang sejarah tetapi mereka yang berjuang dari awal sejak zaman Kesultanan Melaka tidak pernah dianggap perjuang kemerdekaan, kenapa ini berlaku dan ia perlu dipersoalkan. "Merungkai cerita Tok Janggut di Kelantan, beliau bukannya pemberontak tetapi beliau hanya memimpin rakyat yang tidak puashati dengan cukai yang dikenakan oleh Inggeris, pemimpin rakyat adakah itu juga dikatakan pemberontak. "Kita perlu melihat Tok Janggut adalah seorang pembela bukannya pemberontak tetapi tidak pernah ada dalam pelajaran sejarah yang menjelaskan siapa Tok Janggut yang sebenarnya. "Persoalan sedemikian yang timbul ini perlu dikaji semula dan tidak salah untuk kita mengkaji atau reformasikan kembali sejarah negara kalau ada fakta baru," sambung beliau lagi. Saifuddin juga memberitahu sejarah terbit dari tiga faktor iaitu melalui sikap prajudis dan prasangka. "Tiga faktor membentukkan sejarah iaitu pertama sikap prajudis dan prasangka yang mana ia boleh berlaku kesilapan jika seseorang itu mempunyai niat sedemikian, yang kedua adalah mereka yang membuat kajian hanya mengikut laporan tertentu tanpa usul periksa dan terakhir sekali jahil kepada hakikat peradapan umat manusia. "Kajian baru perlu ada dan sejarah perlu diperbaharui jika fakta yang dikemukakan adalah fakta yang betul," usulnya lagi. Wacana tersebut turut diserai Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Universiti Malaya Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dan Pakar Sejarah Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr. Ramlah Adam yang dipengerusikan Syed Menawar. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5633-tidak-salah-kalau-sejarah-dinilai-kembali-
|
http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/depth/5661-gerakan-politik-kiri-di-hulu-langat-1946-1948
| ||||
No comments:
Post a Comment