Bulan yang tiada tolok banding
Oleh IDRIS AHMAD
RAMADAN muncul kembali pada tahun ini. Kehadiran yang dirindui oleh hamba yang tamak untuk beribadat kepada Allah SWT. Ramadan penghulu segala bulan di dalam setahun. Kelebihannya tidak ada tolak banding dengan bulan yang lain.
Allah maha mengetahui kerana menjadikan Ramadhan sebagai bulan yang cukup istimewa kepada umat Nabi Muhammad s.a.w.
Ayat yang mewajibkan puasa sebulan ialah di dalam surah al-Baqarah 183-184: “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum daripada kamu agar kamu bertaqwa.”
Kefarduan puasa Ramadan apabila turunnya ayat ini di akhir bulan Syaban tahun kedua hijrah. Bermula tahun itulah puasa sebulan diwajibkan.
Marilah kita merebut peluang Ramadan untuk menggandakan amal kita kepada Allah SWT. Bulan yang penuh dengan rahmat Allah kepada hambanya.
Justeru itu perlu digandakan kerja amal kita di dalam bulan Ramadan untuk kita minta kekuatan kepada Allah bagi menghadapi cabaran perjuangan yang begitu mencabar.
Lebihkan munajat kita kepada Allah kerana bulan yang cukup mustajab terutama di sepuluh terakhir. Sehinggakan mereka yang sakit gastrik di bulan lain tetapi mampu untuk melakukannya. Firman Allah SWT bermaksud: “Rahmatku meliputi segala sesuatu.” – al-Araf 156.
Memanglah tepat Ramadan ialah bulan ibadat kepada hambanya. Rasa ringan untuk melakukan ibadah memang terpancar dalam diri setiap hambanya.
Contohnya agak sukar pada hari kebiasaan kita boleh menunaikan ibadah solat sunat sebanyak lapan rakaat atau 20 rakaat, tetapi di dalam bulan Ramadan kita mampu melakukannya.
Allah juga melontarkan perasaan untuk membuat baik, lebih daripada hendak membuat jahat di dalam hati manusia. Kadang-kadang mereka yang melakukan perbuatan jahat berhenti operasi di dalam bulan Ramadan.
Dengan rahmatnya ringan manusia hendak menderma di dalam bulan Ramadan, lebih pemurah di bulan ini berbanding dengan bulan lain.
Kita mengharapkan Ramadan jangan ia berlalu begitu sahaja sebagaimana peringatan Rasulullah s.a.w. Semoga kita tidak tergolong di kalangan mereka yang celaka.
Sabdanya bermaksud: Dari Ka‘ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasulullah (SAW) bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya. – (Hadis direkodkan Al-Hakim dan Sanadnya Sahih)
Di dalam hadis di atas terdapat tiga golongan akan mendapat kecelakaan atau akan dijauhkan daripada rahmat Allah SWT, iaitu:
a. Orang yang mendapati bulan Ramadan tetapi dosa-dosanya tidak juga diampuni oleh Allah.
b. Orang yang apabila disebut nama Rasulullah s.a.w di sisinya lalu ia tidak menyambutnya dengan salawat ke atas Nabi s.a.w.
c. Orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua, atau salah seorang daripadanya, namun ibubapanya itu tidak menjadi sebab untuk ia masuk syurga Allah.
Oleh itu marilah kita bergembira dengan menyambut kedatangan Ramadan sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Siapa yang bergembira dengan kehadiran Ramadan, maka Allah mengharamkan atas dirinya dimasukkan ke dalam api neraka.”
Penulis ialah AJK PAS Pusat merangkap Ketua Jabatan Tarbiyah PAS Pusat.
Ramadhan bukan sekadar ruhiyah tapi bulan siyasah(politik)
Umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia menyambut kedatangan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, Ramadan al-Mubarak dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.
Ia bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi lebih penting pada bulan ini hukum dan perlembagaan tertinggi buat umat manusia, al-Quran, diturunkan Allah SWT.
"Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)." (maksud al Baqarah: 185)
Melalui al-Quran, maka Allah SWT menyelesaikan segala kemelut dan permasalahan manusia khasnya bagi mereka yang mahu menjunjung dan melaksanakannya.
Oleh itu bulan Ramadan ini bukan sekadar bulan ruhiyah (spiritual) bagi mereka yang tekun menghayatinya tetapi ia sebenarnya bulan siyasiyah (politik) kerana di bulan inilah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW.
Di samping kita mengejar manfaat dan kelebihan Ramadan sebagai bulan ruhiyah kita juga wajar menghayatinya sebagai bulan siyasiah bagi mengembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.
Di bulan penuh barakah ini jangan sekali-kali kita lupa nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, di samping mereka yang sedang bertarung nyawa di Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan seluruh bumi umat Islam di dunia ini.
Titipkanlah doa di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka setelah sekian lama hidup dan menderita dalam kesengsaraan, darah dan air mata.
Semoga Ramadan tahun ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya, InsyAAllah dengan bantuan Allah SWT, PAS Perak akan memimpin rakyat Perak kearah keredhaan Allah SWT
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Ramadan Kareem” kepada semua umat Islam, mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat.
Ustaz Abu Bakar Hussain
(Pesuruhjaya PAS Perak)
Isu Gereja: Pengurusan Zakat yang Tempang |
Riduan Mohamad Nor |
ZAKAT merupakan terjemahan daripada keadilan sosial yang telah digariskan oleh Islam sehingga zakat dan solat adalah penegasan yang sentiasa berulang-ulang dalam Al Quran. Jika proses penyempurnaan zakat ini berjalan dengan tuntas maka insyaallah segala inti kemiskinan dapat dihapuskan, begitu juga kesenjangan pendapatan, kesenjangan sosial, keterbatasan mengakses kesihatan, kebodohan, kemurtadan dapat diatasi. Di negara kita, malangnya pihak pengurusan zakat tidak menunjukkan tahap pengurusan yang cekap dalam mengagihkan zakat sehingga menimbulkan masalah yang lain pula seperti yang tercetus dalam isu murtad yang digembar gembur oleh Umno dan NGOnya mutakhir ini. Ratusan wang zakat dikutip daripada umat Islam melalui kempen agresif oleh pihak berkuasa zakat namun agihannya secara merata agak mengecewakan, pihak penguasa zakat begitu obses untuk mengutip zakat tetapi tidak begitu mempunyai nafsu berahi untuk mengagihkannya ke akar umbi ‘mustahik’ yang wajib disantuni. Program-program dakwah dan menyantuni golongan gelandangan sangat perlahan di negara ini. Lihatlah kes murtad yang berlaku di perkampungan-perkampungan orang asal dan juga mualaf yang kembali ke agama asal mereka akibat rasa dikucilkan serta hidup tanpa pencerahan tentang Islam, dimana sepatutnya pihak berkuasa zakat boleh menyediakan pendakwah-pendakwah sepenuh masa yang berkhidmat di kampung-kampung orang asal ini. Dalam kelemahan inilah maka pihak agama lain mengambil kesempatan turun ke lapangan operasional membantu golongan yang sangat terdesak dan terkepung dengan kemiskinan tegar, terutama melalui NGO kebajikan mereka. DPP Malaysia melihat isu zakat adalah inti kepada akar sosial permasalahan murtad yang berlaku, juga agihan yang tidak seimbang k epada asnaf zakat sehingga menjerumuskan golongan ini kepada situasi yang tidak diingini. Kemakmuran dan kejayaan zakat pada masa kejayaan Islam, cukup banyak fakta sejarah yang menunjukkan kebenaran hadis Rasulullah s.a.w. di atas. Dr monzer kahf dalam artikelnya “The economic role of state in Islam(1999)” telah menulis, pada era kegemilangan khalifah Umar bin Khattab (13H-23H), sang khalifah pernah menyelamatkan wilayah Yaman sebagai daerah otonomi yang makmur dan sejahtera kerana tidak adanya mustahik (penerima Zakat). Ini dibuktikan dengan fakta bahawa gabenor Yaman saat itu, Mu’adz bin jabal, mengirim sepertiga jumlah zakat dari Yaman ke ibu kota pemerintahan Islam, madinah. Yaman terus mencurah kemakmuran dan keberkatan langit, iaitu pada tahun berikutnya, zakat yang dikirimkan ke Madinah terus meningkat menjadi separuhnya. Pada tahun berikutnya, semua hasil zakat yang dikutip dari wilayah Yaman terus dikirim ke Madinah. Yaman merdeka setuntasnya daripada masalah kemiskinan dan kemelaratan, ini semua kerana tidak ada lagi warganegaranya yang layak menjadi” mustahik”. Bukti kedua yang terakam dilangit sejarah, terjadi pada masa khalifah Umar bin Abdul Aziz (99H-101H). Meski khalifah Bani Umaiyyah ini hanya memerintah dan memimpin umah hanya selama tiga tahun beberapa bulan, tapi pada dua tahun terakhir kepimpinannya, Umar yang juga cicit Saidina Umar al Khattab telah berjaya memberdayakan dan mengoptimalkan peranan zakat. Pemerintah dalam keadaan yang sangat aman apabila zakat diuruskan dengan cekap dan berjaya menutup kegelisahan sosial. DPP Malaysia mendesak kepada pihak berkuasa zakat dan kerajaan agar serius memikirkan kaedah terbaik untuk memastikan agihan zakat dapat dialirkan dengan semaksima mungkin kepada asnaf, bukan sekadar cekap memungut kerana zakat adalah solusi terbaik untuk memastikan tanahair ini bebas daripada kemiskinan melampau, buta agama, kesenjangan sosial dan seterusnya memacu ekonomi umat Islam untuk terus berdaya saing dalam dunia global hari ini . **Riduan Mohamad Nor ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia |
No comments:
Post a Comment