54 tahun merdeka – bagaimana sekarang? |
Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com |
Hanya tiga minggu saja lagi rakyat Malaysia akan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke-54, suatu detik bersejarah yang amat gemilang hasil usaha generasi masa itu dan sebelumnya menuntut kemerdekaan. Orang kampung saya di Serkat, Pontian Johor begitu gembira dan sentiasa meneriakkan ‘Merdeka’ dengan mengangkat tangan penuh semangat. Mereka bangga dapat ‘menghalau’ penjajah pulang ke negerinya. Siang malam orang memperkatakan merdeka dan meneriakkannya di mana-mana – di masjid dan surau, di kedai kopi, di pengkalan sungai tempat memunggah ikan, di bangsal kelapa dan di mana-mana. Suasana menjelang 31 Ogos itu sangat menarik, di mana orang kampung saya dan tempat lain juga menyambut seperti hari raya. Mereka mendengar radio dan membeli akhbar jauh di pekan untuk mendapat berita terkini iaitu bagaimana detik-detik bendera Union Jack yang akan diturunkan dan kemudian dinaikkan bendera negara ini. Mereka gembira tanah air akan merdeka, negara ini diperintah oleh anak negeri sendiri yang bersongkok dan berbaju Melayu berkain samping, bukan Mat Saleh yang berkot dan bernektai yang datang dari England. Anak negeri bangga dapat mencapai kemerdekaan dan memerintah sendiri negara ini. Itulah yang mereka tahu mengenai kemerdekaan tanah air. Pengetahuan mereka mengenai kemerdekaan berhenti setakat itu saja. Mereka tidak tahu akan erti demokrasi berparlimen, konsep dan falsafahnya, kebebasan bersuara, hak-hak asasi dan sebagainya. Namun menariknya, para pejuang kemerdekaan ini tidak memikirkan hendak menimbun kekayaan apabila berkuasa, tidak terfikirkan mengenai rasuah dan nepotisme, politik wang dan sebagainya. Mereka hidup dalam keadaan serba sederhana, namun jiwa perjuangan mereka sangat tinggi, justru mereka mengunyah idealisme dengan begitu hebat Hari ini – lima puluh empat tahun kemudian – suasana sangat berbeza. Erti kemerdekaan tidak berhenti setakat menggenggam tangan melaungkan merdeka, menurunkan bendera Union Jack, mengibarkan bendera Tanah Melayu, ‘menghalau’ Orang Puteh dan sebagainya. Generasi kini menghendaki pengisian kemerdekaan itu dengan tuntutan demokrasi yang luas, kebebasan bersuara, pilihan raya yang adil dan bersih serta terjaminnya hak-hak asasi manusia. Mereka juga menuntut pembahagian adil kekayaan negara. Di sinilah, ketika saya merenung peristiwa Himpunan Bersih 2.0 di Ibu Negara 9 Julai lalu saya segera terkenang akan suasana masa lampau 54 tahun lalu itu, zaman datuk nenek dan ayah bonda kita semua, bahkan zaman remaja saya sendiri. Himpunan Bersih 2.0 yang menggegarkan negara adalah cetusan dan manifestasi pengisian tuntutan kemerdekaan itu sendiri. Mereka yang berhimpun itu - pelbagai bangsa dan agama - kebanyakannya adalah golongan terpelajar yang mendapat pendidikan di dalam dan luar negara. Mereka adalah golongan yang terdidik. Mereka memahami erti pilihan raya yang bebas dan demokrasi serta hak-hak asasi manusia hasil dari bacaan dan pendedahan yang mereka terima dari pelbagai sumber. Mereka terdedah dengan pelbagai maklumat dari dunia siber yang terbuka luas tanpa sempadan. Mereka menekuni pelbagai wabe-site, blog, You-Tube, Twitter, Face-book dan pelbagai media lain dalam dan luar negeri. Mereka menentang pemerintahan secara feudal dan kuku besi. Mereka merasakan sudah sewajarnya rakyat negara ini yang telah 54 tahun merdeka menikmati demokrasi sepenuhnya dan kebebasan mengeluarkan pendapat. Mereka enggan dikongkong oleh pelbagai sekatan, akta yang tidak munasabah yang menyekat kebebasan mereka. Sebab itu apabila para NGO mengadakan Himpunan Bersih 2.0, mereka segera menyokongnya, justru mereka mempunyai aspirasi yang sama dengan Bersih 2.0. Mereka meluncur laju ke tengah Ibu Kota dari pelbagai jalan dan lorong dengan aman. Tidak ada harta benda awam yang dirosakkan. Mereka penuh disiplin walaupun suara mereka agak keras. Inilah phenomena generasi baru, generasi Face-book. Namun begitu yang menariknya, golongan generasi lama yang penuh semangat masih wujud dan mereka ini ikut serta menuntut kebebasan bersuara menerusi Himpunan Bersih 2.0 itu. Inilah yang dikatakan bahawa Himpunan Bersih 2.0 sangat unik. Ia adalah himpunan multiracial society. Inilah yang menyebabkan Sasterawan Negara, A. Samad Said sangat terharu dengan perpaduan kaum yang menyerlah di dalam Himpunan Bersih 2.0 itu. Persoalannya di sini ialah himpunan tersebut telah disalahtafsirkan atau dikelirukan oleh golongan tertentu yang berkepentingan. Dalam masa yang sama pemimpin pemerintah tidak memahami atau tidak bersedia untuk memahami aspirasi generasi baru ini dan juga sebahagian golongan generasi lama yang prihatin dengan pergolakan di negara ini. Saya merasakan inilah yang terjadi apabila pemimimpin yang berkuasa itu, pertamanya dia tidak mememahami situasi masa kini, Kedua, tidak memmahami aspirasi generasi baru dan ketiga, kemahuan untuk mempertahankan kuasa melebihi segala-galanya. Inilah yang menimbulkan masalah. Disebabkan mereka tidak memahami situasi masa kini dan tidak bersedia walaupun hanya untuk mendengar suara rakyat, menyebabkan meruncingnya suasana politik masa kini. Umno/BN telah memerintah 54 tahun, suatu tempuh yang sangat lama dan ini menyebabkan mereka terlalu yakin bahawa mereka tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapapun dan setiap suara yang bersifat kritikal dengan kekuasan mereka akan ditentang. Dengan itu walaupun Himpunan Bersih 2.0 itu hanya menuntut pengurusan pilihan raya yang bersih dan adil ia telah ditafsirkan sebagai usaha mencabar kekuasan mereka. Maka terjadilah apa yang terjadi. Sungguh malang, selepas 54 tahun merdeka, pemimpin pemerintah masih berfikir seperti zaman 70-an atau 80-an dengan segala yang ada pada zaman itu. Mereka perlu sedar bahawa mereka berada di zaman dunia siber dengan maklumat yang sangat terbuka. Kita telah merdeka tetapi belum menikmati kebebasan. |
BN punca semangat sambut merdeka pudar |
Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Tindak tanduk Kerajaan BN yang amat mengecewakan rakyat menyebabkan semangat rakyat untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara semakin pudar dari setahun ke setahun. Pada dasarnya, semua rakyat Malaysia pasti ingin merayakan sambutan kemerdekaan negara, tetapi kekecewaan rakyat terhadap tindakan Kerajaan BN menyebabkan rakyat tidak bersemangat untuk menzahirkan semangat patriotisme masing-masing menerusi sambutan perayaan hari yang amat bermakna itu bagi setiap warganegara ini. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keadaan itu agak berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh rakyat negara-negara lain di seluruh dunia, termasuk Indonesia, apabila tibanya bulan sambutan kemerdekaan negara masing-masing. Menurut beliau, antara bukti kekurangan semangat rakyat negara ini untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara boleh dilihat dari kekurangan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah, kenderaan-kenderaan dan premis-premis masing-masing. Katanya, keadaan yang tidak memberangsangkan itu pula ternyata semakin ketara dari setahun ke setahun, lebih-lebih lagi pada tahun ini apabila bulan Ramadhan yang lebih menguasai suasana. "Kerajaan BN sepatutnya faham dengan reaksi rakyat itu dan patut bertindak bijak mengatasi masalah. Reaksi seperti itu sudah ditunjukkan oleh rakyat sejak beberapa tahun lalu. "Antara kekecewaan rakyat dengan tindak tanduk Kerajaan BN termasuklah tindakan kerajaan yang amat mengecewakan dalam melaksanakan pilihanraya sehingga pilihanraya di negara kita tidak pernah bersih dan adil. "Apabila rakyat memprotes dengan mengadakan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu, Kerajaan BN mengarahkan pula pihak polis supaya berperang dengan rakyat yang berhimpun secara aman dan tanpa senjata yang menyertai perhimpunan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Sepatutnya, menurut beliau, kerajaan mendengar suara-suara yang baik dari rakyat kerana dengan itu barulah boleh diperbaiki segala kelemahan yang ada dalam kerajaan, tetapi tindakan Kerajaan BN ternyata sebaliknya. "Itulah yang mengecewakan rakyat dan menyebabkan semangat rakyat untuk merayakan sambutan kemerdekaan turut berkurangan atau luntur dari setahun ke setahun, bukannya kerana rakyat negara ini sudah hilang rasa cinta dan sayangkan tanah air," katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, keadaan itu diyakini akan berterusan selagi Kerajaan BN tidak berusaha mengatasi kekecewaan rakyat berhubung segala tindak tanduknya yang tidak disenangi itu. Namun selagi Umno memerintah negara ini, beliau yakin, seluruh rakyat tidak akan berpeluang untuk menikmati keadaan lebih baik dalam negara ini kerana para pemimpin Umno BN tidak mungkin akan berusaha memperbaiki segala kepincangannya disebabkan kepentingan mereka sendiri untuk terus kekal berkuasa. "Sekiranya Pakatan Rakyat yang memerintah negara dengan perubahan yang dijanjikan, kita yakin keadaan itu akan berubah dan rakyat pasti akan kembali bersemangat untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara. "Jadi kepada seluruh rakyat, saya harap jangan menjadi lemah untuk terus melakukan perubahan yang baik terhadap negara kita, walaupun dikecewakan, walau siapa pun yang memerintah negara," ujar beliau. |
SAMM puji Md Sabu desak kaji semula sejarah Bukit Kepong |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 2 Sept: Sejarah tragedi Bukit Kepong perlu dikaji semula untuk menentukan siapakah sebenarnya hero dan siapakah sebenarnya pertualang di negara ini, kata Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan. Dalam kenyataan medianya hari ini, SAMM Kuala Lumpur menegaskan bahawa sejarah kemerdekaan negara harus segera dikaji semula oleh pengkaji sejarah yang tidak berkepentingan selain daripada merekodkan sejarah sebenar, bukan oleh pengkaji sejarah upahan yang menulis berdasarkan telunjuk pihak yang menang bagi menutup sejarah di sebalik sejarah. Shariful Azmir Hj Mustafa - Penyelaras SAMM KL Penyelarasnya, Shariful Azmir Bin Haji Mustafa berkata, tindakan Timbalan Presiden PAS Mohd Sabu mengulas mengenai peristiwa Bukit Kepong dan watak sebenar Mat Indera dalam ceramahnya harus dipuji. "Ini kerana ia membangkitkan ghairah rakyat terutamanya dari golongan anak muda untuk mengetahui sejauh manakah British itu dianggap sebagai penjajah dan apakah dengan menyerang British itu akan dianggap sebagai pengkhianat di Tanah Melayu," kata beliau dalam kenyataannya itu. Isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950an telah dikenang sebagai serangan kumpulan pengganas ke atas sekumpulan anggota polis yang bertahan di rumah pasong. Persepsi ini telah ditulis oleh pengkaji sejarah mengikut acuan pihak tertentu bagi menyembunyikan hakikat sebenar – pihak yang menentukan apakah kriteria pejuang kemerdekaan. Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat filem Bukit Kepong berdasarkan persepsi betapa pihak yang menyerang rumah pasong Bukit Kepong itu adalah pengganas sedangkan gerakan yang diketuai oleh Mat Indera juga sebenarnya harus dikenang sebagai salah satu serangan ke atas kubu British yang menjajah Tanah Melayu untuk beberapa abad lamanya. Bagi beliau, pihak polis di rumah pasong Bukit Kepong itu juga bertugas bagi mempertahankan kepentingan British seperti estet getah dan ladang. "Adakah pasukan polis ketika zaman jajahan British menunjukkan taat setia mereka terhadap Queen of England apabila lagu "God Save the Queen" didendangkan setiap kali lawatan pegawai tertinggi British ? Ini juga persoalan yang harus digali semula untuk rakyat mengetahui sejarah penentangan penjajah yang sebenar," katanya. Bagi beliau, peristiwa ini berkait rapat dengan proses menuntut kemerdekaan apabila semua kumpulan, kesatuan dan pertubuhan yang bergerak menuntut kemerdekaan telah diharamkan kecuali Umno. Kumpulan penuntut kemerdekaan ini akhirnya dituduh sebagai pengkhianat dan pengganas hanya kerana menentang British yang statusnya masih lagi penjajah di Tanah Melayu ketika itu. "Turut menjadi persoalan ialah, mengapa Umno sahaja yang dibenarkan berkempen untuk merdeka sedangkan banyak lagi pergerakan menuntut kemerdekaan. "Adakah Umno membenarkan pertubuhan mereka menjadi talibarut British demi untuk merdeka di atas acuan penjajah?" soal beliau. Oleh yang demikian, SAMM Wilayah Persekutuan di atas rasa tanggungjawab ke atas sejarah negara yang dikhuatiri terperosok, harus digemburkan semula untuk tatapan rakyat. "Sejarah peradaban negara juga seharusnya disifatkan dengan lebih keterbukaan kerana ia membentuk asal usul kita rakyat Malaysia," katanya. Rakyat juga harus lebih terbuka dan berjiwa besar untuk menerima hakikat sebenar sejarah negara, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan proses menuntut kemerdekaan. "Bagi kami anak muda inilah satu peluang sangat baik sempena pasca hari kemerdekaan ke-54, untuk rakyat mengasak pihak berwajib bagi menampilkan sejarah sebenar kemerdekaan negara. SAMM akan ke hadapan bagi merealisasikan apa itu sejarah," tegas beliau. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5195-samm-puji-md-sabu-desak-kaji-semula-sejarah-bukit-kepong
http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/5234-reaksi-khoo-kay-kim-undang-banyak-persoalan
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5264--umno-tercedera-dengan-senjatanya-sendiri
http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/5753-ainuddin-harakah-dan-polemik-merdeka
Reaksi Khoo Kay Kim undang banyak persoalan |
Mohamed Hadi al-Majwi |
Saya tertarik untuk mengulas wawancara Berita Minggu bersama dengan tokoh sejarawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (KKK) yang disiarkan menerusi akhbar tersebut pada 4 September 2011. Sudah tentulah tujuan utama wawancara tersebut ialah untuk membidas Timbalan Presiden Pas, Haji Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai isu Mat Indera dan Bukit Kepong tetapi itu tidaklah menghairankan bagi akhbar yang menyokong parti pemerintah. Saya lebih berminat untuk mengulas jawapan-jawapan KKK yang saya sifatkan secara peribadi sebagai lebih banyak mengundang persoalan daripada merungkaikan jawapan. Professor Emeritus Dr Khoo Kay Kim - Pakar sejarah Misalnya, KKK mempertahankan Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn Jaafar dengan mengatakan bahawa mereka bukanlah pegawai British seperti mana yang didakwa oleh Mat Sabu. Menurut KKK, Tanah Melayu tidak pernah menjadi jajahan British dan beliau berikan alasan-alasan beliau seperti yang dimuatkan di dalam wawancara tersebut. Pandangan ini bukanlah baru, malah disokong oleh hujah-hujah yang berasas. Namun begitu, pelbagai persoalan timbul di dalam benak fikiran saya berkenaan isu Tanah Almarhum Dato' Onn Jaafar - Pengasas UMNO Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj - PM I Tanah Melayu Melayu yang tidak pernah dijajah: 1. Kalau Tanah Melayu tidak pernah dijajah British, kenapa kita diajar sejak di bangku sekolah lagi bahawa British adalah penjajah? 2. Kalau negeri-negeri Melayu (kecuali Negeri-Negeri Selat) ialah Negeri-Negeri Melayu Naungan, mengapa British tidak digelar sebagai penaung? 3. Kalau British ialah penaung sahaja bukan penjajah, kenapa hasil bumi Tanah Melayu habis dikaut oleh British? Kenapa kuasa eksekutif terletak di tangan pegawai British bukannya di tangan istana? Adakah Negeri-Negeri Melayu Naungan benar-benar berdaulat kalau pemerintahannya dikendalikan oleh pegawai British? 4. Kalau 'nasihat' pegawai British di dalam pentadbiran mesti diikuti oleh raja-raja Melayu berdasarkan perjanjian yang telah mereka tandatangani (kecuali di dalam soal agama Islam dan adat istiadat Melayu), adakah ini bukan penjajahan namanya? Kalau ini bukan satu bentuk penjajahan, maka istilah apakah yang selayaknya untuk kita panggil? 5. Kalau British bukan penjajah, kenapa Tanah Melayu perlu dimerdekakan? Lazimnya sesebuah negara yang merdeka akan bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi Tanah Melayu ini merdeka daripada cengkaman siapa? Rombongan Kemerdekaan ke London pada tahun 1956 itu tujuannya apa pula? 6. Kalau British bukan penjajah, maka Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan sebagainya menentang siapa dan derhaka kepada siapa? 7. Kalau Tanah Melayu tidak pernah dijajah British, adakah segala usaha para pejuang kemerdekaan, baik golongan yang kanan, yang tengah mahu pun yang kiri untuk memerdekakan negara kita tidak boleh dianggap sebagai usaha mengusir penjajah? 8. Yang paling penting sekali, kalau kita betul-betul mahu membezakan status antara negeri naungan dan negeri jajahan, jawablah dengan hati yang jujur, adakah terdapat perbezaan ketara di antara kedua-duanya? Saya tidak mengajukan soalan-soalan di atas kepada KKK kerana saya yakin beliau pun tahu jawapannya. Tetapi saya mohon supaya kita semua berfikir sejenak, adakah kita semua sedar mengenai fakta yang KKK kemukakan? Adakah fakta ini didedahkan kepada para pelajar kita menerusi mata pelajaran Sejarah mereka? Disebabkan reaksi KKK inilah saya merasakan bahawa ada sesuatu yang sangat, sangat, sangat tidak kena mengenai sukatan pembelajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah-sekolah. Sejarah apakah (atau sejarah siapakah) yang sebenarnya diajar di sekolah-sekolah selama ini? |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/5234-reaksi-khoo-kay-kim-undang-banyak-persoalan
Umno tercedera dengan senjatanya sendiri |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 7 Sept: Umno disifatkan tercedera dengan senjatanya sendiri apabila membangkit isu ucapan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu dalam isu perjuangan kemerdekaan negara. Ini kerana, tindakan media Umno yang membangkitkan isu ini menyebabkan semua pihak mula menilai siapakah pejuang kemerdekaan sebenarnya. "Ternyata kali ini Umno cedera dengan senjatanya sendiri," kata Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS. Usaha media tradisional mengeksploitasi isu ceramah Mohamad Sabu berakhir dengan pendedahan sejarah yang lebih besar tentang perjuangan kemerdekaan. Semacam baru disedarkan umum mula bertanya, bagaimana boleh digelapkan sejarah perjuangan kemerdekaan selama ini. Ini kerana, selama ini rakyat disogokkan hanya Umno yang memperjuangkan kemerdekaan negara. Hari ini rakyat tahu bahawa ada tiga kelompok pejuang kemerdekaan iaitu agamawan yang diwakili oleh Dr Burhanudin Alhemi, Abu Bakar Al Bakir dan lain-lain, nasionalis kiri pula adalah sosialis dan komunis manakala nasionalis kanan adalah golongan seumpama Umno. Turut terdedah fakta sebenar Mat Indera apabila buku 'Pengukir Nama Johor' yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor yang menamakan beliau sebagai salah seorang hero dan pejuang kemerdekaan dari Johor. (Mohamad Sabu menunjukkan buku yang mendedahkan siapkah Mat Indera sebenarnya) Kes ini juga, katanya, mendedahkan kepada rakyat bahawa mereka mahukan keadilan dalam penulisan sejarah negara. "Malang dalam situai ini profesor sejarah yang terpaksa membuat kenyataan bahawa British bukannya penjajah..kalau gitu apa erti kemerdekaan kalau tidak ada penjajah pada tahun 1957 itu," soal Dr Dzulkefly terhadap kenyataan seorang profeor sejarah. Pakar perlembagaan pula, katanya, menyanggah pandangan profesor itu kerana hakikatnya ia adalah penjajahan. Dalam 12 hari polimik ini, katanya, ia telah menyebabkan rakyat mula memahami sejarah yang selama ini cuba dipendamkan oleh Umno di mana Umno mahu tonjolkan dirinya sahaja yang perjuang kemerdekaan. Beliau yang juga AJK PAS Pusat dan anggota parlimen Kuala Selangor berkata, sebagaimana Umno menutup pejuang sebenar kemerdekaan negara, perdebatan isu ini juga menutup isu sebenar negara sekarang. "Isu sebenar negara sekarang adalah daftar pemilih yang kotor, tuntutan lapan perkara Bersih 2.0, kenaikan harga barang, pengurusan ekonomi yang buruk dan sebagainya," kata Dr Dzulkefly. Selain itu, isu ranking universiti Malaysia yangt terus tercorot di belakang berbanding dengan lain-lain universiti juga terpadam dengan isu ini selepas 12 hari ia dibahaskan. Universiti Malaya, iaitu universiti terbaik di Malaysia hanya berada di ranking 167 berbanding 700 universiti di dunia, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (279) berbanding National Universiti Singapura (28) dan Nanyang Universiti (58). Namun begitu, katanya, perdebatan ini telah mendedahkan Umno kepada masalahnya sendiri iaitu apakah benar Umno sahaja yang berjuang untuk kemerdekaan negara ini. "Seorang penulis Umno sendiri, Datuk Mohd Arif Sobri Aziz melalui blognya juga menghentam Umno kerana menurutnya Umno hanya terlibat dalam pusingan terakhir perjuangan sahaja dan menafikan segala perjuangan yang telah dibuat oleh pihak sebelum itu," katanya. Umno tidak angkat senjata memperjuangkan kemerdekaab, orang lain yang perjuang dengn jiwa raga mereka, Umno tidak boleh mendakwa semua pujian untuknya kerana ia hanya mengambil lap terkahir sahaja, tulis pemimpin Umno Pahang itu. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5264--umno-tercedera-dengan-senjatanya-sendiri
Ainuddin, Harakah dan polemik merdeka |
Ahmad Lutfi Othman |
Petang Selasa lalu, saya sempat menghadiri majlis pelancaran buku biografi Tan Sri Ainuddin Abd Wahid, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ainuddin Pejuang 'Degil' Melayu, garapan Fatini Yaacob, yang disempurnakan Dato' Seri Najib Razak. Saya turut ditemubual oleh penyelidik buku ini, pada Ogos 2009, selepas pertemuan yang dirancang Fatini di pejabat Harakah gagal berlangsung. Mungkin nama saya timbul ekoran kontroversi pemecatan saya pada 1986 dan pembabitan dalam gerakan pelajar 1985-86. (Ahmad Lutfi bergambar di ruang pameran mengenang jasa Ainuddin.) Ainuddin, yang popular dengan gelaran "bapa Tan Sri" oleh warga UTM, memang dikenali sebagai tokoh pendidik yang kental semangat Melayu-Islamnya. Seingat saya, ketika kampus lain kadangkalanya bergolak dengan bantahan pelajar Islam terhadap kegiatan mungkar dan maksiat, UTM tetap "aman damai". Kampus Jalan Gurney (kini Jalan Semarak) menjadi saksi bagaimana ketegasan Ainuddin membendung pengaruh budaya liar, dengan peraturan yang mungkin dilihat kolot, seperti tidak membenarkan aktiviti budaya membabitkan mahasiswi di atas pentas. Begitu juga dengan pengasasan subjek pendidikan Islam sepanjang kursus (setiap semester bagi tempoh tiga tahun untuk diploma dan lima tahun, ijazah). Meskipun terpalit dengan beberapa isu seperti pemecatan pelajar purdah pada 1985 (semasa saya menjadi Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM) dan penyingkiran Ustaz Fadzil Mohd Noor (tanpa diberi peluang membela diri), namun jasa besarnya semasa mengetuai Maktab Teknik, bermula Ogos 1969, seterusnya bertukar nama Institut Teknologi Kebangsaan, 1972 dan UTM, pada 1975 tetap terakam kukuh dalam sejarah. Ainuddin mungkin selamanya akan dikenang kerana "kedegilannya" mahu memastikan setiap anak Melayu diberi "peluang dan bimbingan" untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains. Masakan tidak, dalam masa lima tahun, beliau menggandakan jumlah pelajar Melayu daripada skala 10:90 kepada 90:10. Malah ada rakan sebaya saya, yang mendapat keputusan SPM menghampiri gred tiga, tetapi masih ditawarkan pengajian di UTM dalam kursus sarjana muda (pelajar gred pertama pun lebih selesa mengikuti kursus diploma) dan beliau lulus sebagai jurutera lima tahun kemudiannya. Meskipun bercanggah dalam beberapa isu tertentu yang diperjuangkan PMUTM, saya masih ingat, semasa bertemu Ainuddin di pejabatnya, kami lebih banyak berbicara soal masa depan anak-anak Melayu. Beliau terpaksa "berdegil" mempertahankan kuota pelajar Melayu walaupun diasak pihak menteri. Ada kalanya beliau meluahkan rasa tertekan dengan kehendak orang-orang politik dan saya percaya tindakan pemecatan pelajar purdah pun disebabkan arahan langsung Perdana Menteri, yang ketika itu sebagai Menteri Pertahanan sering melintasi kampus UTM saban minggu. (Najib, Fatini dan Naib Canselor UTM, Prof Zaini Ujang semasa majlis pelancaran buku.) Selepas saya keluar UTM, dan beliau telahpun bersara, saya mengunjunginya beberapa kali. Rumahnya tidak jauh daripada kediaman saya di Ampang. Kali pertama berjumpa, untuk mengadakan wawancara, selepas belasan tahun tidak bertemu, saya membawa senaskhah Harakah. "Saya dah ada Harakah, jarang saya terlepas," katanya. Elok saya panjangkan kisah Ainuddin ini dalam kesempatan lain. II. Pendebatan sejarah Perdebatan isu sejarah kemerdekaan negara masih belum selesai. Perbahasan mengenainya berterusan. Sambutan pula di luar dugaan. Bayangkan, kalau dahulu program membicarakan soal sejarah cukup membosankan, kini hadirin memenuhi dewan! Bermula kontroversi Mat Indera dan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong, seterusnya pengiktirafan kepada setiap pejuang yang menentang imperialis, disusuli dakwaan Majlis Profesor Negara bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Pakar sejarah, Prof Dato' Mohamad Abu Bakar, buat kali kedua (pertama di Wacana Merdeka Universiti Malaya, kemudiannya di pejabat Sinar Harian), secara tidak langsung merakamkan penghargaan di atas peranan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang disifatkan sebagai fenomena "Sabuisme", kerana mencetuskan minat luar biasa kepada sejarah. Bagi saya, biarkan saja debat ini. Biarkan masing-masing berhujah, mencari dalil, mengemukakan bukti, menyelongkar dokumen lampau. Ya, ia sesuatu yang positif dan dari satu sisi boleh memantapkan tradisi keilmuan. Daripada bertelingkah hal remeh-temeh yang lain, bukankah lebih baik bergelut meneliti teks sejarah? Justeru, agak ramai tertarik dengan pandangan Dr Ahmad Kamal Ariffin Muhd Rus, melalui kertas kerjanya, "Status Negeri-Negeri Melayu Pada Era Pentadbiran British", yang saya kutip dalam tulisan minggu lalu. Benar, pensyarah Jabatan Sejarah UM, yang cacat penglihatan itu, menampilkan dokumen dan fakta, sekali gus menyanggah dakwaan MPN. Tulisan 34 halamannya sarat dengan rujukan dan nota kaki, dimulai dengan penjelasan mengenai kategori negeri-negeri jajahan British. Taktik licik dimulai oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Andrew Clarke melalui Perjanjian Pangkor 1874, yang memperluaskan pengaruh British ke Negeri-Negeri Melayu (NNM). Antara tahun 1874-1895, Residen British di empat NNM muncul sebagai orang paling berpengaruh. Senario ini merupakan rangkaian penguasaan yang sememangnya distrategikan lantaran menjadikan NNM ini ditadbir bagao sebuah jajahan meskipun kononnya dari segi undang-undang NNM ini berstatus Negeri Lindungan British. Rangkaian itu berjaya dibentuk memandangkan residen yang ditugaskan di NNM perlu bertanggungjawab kepada Gabenor British di Singapura dan gabenor ini pula perlu bertanggungjawab kepada Setiausaha Tanah Jajahan di Lindon. Begitu juga dengan penguasaan Residen British melalui Majlis Mesyuarat Negeri (MMN); walaupun ditubuhkan sebagai Majlis Penasihat namun ia adalah badan legislatif dan eksekutif negeri, juga dalam kes tertentu bertindak sebagai mahkamah tertinggi. Sultan tidak lagi dibenar mengeluarkan titah atau sebarang arahan pemerintahan di luar MMN. Sebarang perintah di luar MMN dianggap tidak sah. Satu cara digunakan residen bagi memastikan Sultan tidak mengeluarkan perintah di luar MMN ialah dengan menyimpan cap mohor Sultan di pejabat residen. Cap mohor hanya boleh digunakan dengan izin residen. Fungsi dan perjalanan MMN juga dikawal oleh gabenor di Singapura. Terdapat kelulusan yang diberi perkenan Sultan diarah ubah oleh gabenor. Manakala kuasa eksekutif residen jeneral begitu besar sehingga menghakis kuasa MMN, apatah lagi Sultan. Penubuhan Persidangan Residen-Residen British pada 1896, diikuti perjanjian 20 Oktober 1909 yang melahirkan Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) memperuntukkan kuasa sebegitu luas kepada Pesuruhjaya British. Keahlian Raja-Raja Melayu dalam MMP tidak melebihi ahli biasa. Baginda tidak mempunyai kuasa veto, tidak boleh mempengerusikan majlis, tidak diberikan undi kedua, tidak berkuasa melantik sebarang ahli, tidak boleh menentukan tarikh dan lokasi mesyuarat, tidak boleh menentukan agenda mesyuarat dan paling menghinakan ialah ketidakhadiran mereka tidak menjejaskan proses kelulusan undang-undang. MMP menjadi instrumen sangat mustajab dalam memastikan segala keperluan kuasa dan kewangan yang diperlukan British dipenuhi. Misalnya pada 1912, ahli-ahli MMP berjaya dipengaruhi bagi meluluskan peruntukan $20 juga sebagai modal permulaan membina sebuah kapal perang untuk dihadiahkan kepada British. Pada 1916, MMP digunakan bagi meluluskan undang-undang percukaian perang, bagi membantu Britain yang terbabit dalam peperangan di Eropah. Dalam tempoh 1915-18, MMP meluluskan 39 enakmen berkaitan perang. Saya tidak bermaksud untuk menyendatkan minda anda dengan fakta-fakta sejarah. Sekadar mengungkapkan kembali tulisan Dr Ahmad Kamal, bagi menyerlahkan sikap sebahagian ahli akademik kita, seperti kata Prof Mohamad Abu Bakar, sebagai "pro-establisment professors yang akur terhadap segala apa yang diluahkan pemerintah". Ayuh, berdebatlah dengan disiplin ilmu sebebasnya tetapi amatlah memalukan sekali apabila pandangan sarjana kita hanya dikeluarkan untuk menyokong penguasa, demi kepentingan sempit politik mereka. III. Akta Mesin Cetak Sebagai wartawan-penulis yang berdepan langsung pelbagai tekanan pemerintah, khususnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), saya amat mengharapkan Perdana Menteri mengotakan janjinya, bukan saja memansuhkan ISA, juga menyediakan ruang kondusif untuk pengamal media. Pindaan AMCP 1984 yang diumumkan pada malam Hari Malaysia, tidak menyentuh perkara pokok kebebasan akhbar. Isu utama seperti kuasa mutlak menteri (untuk melulus dan menolak permohonan, juga menggantung atau menarik balik permit) yang tidak boleh dicabar di mahkamah, penghapusan semakan kehakiman dan penyingkiran hak pendengaran belum disentuh. Meskipun internet tidak dibatasi oleh AMCP namun tidak bermakna peraturan "lapuk dan karut-marut" itu wajar didiamkan sahaja. Rakyat perlu bersuara dan membantah; usah hanya menunggu akta drakonian ditelan sejarah secara semulajadi. Ahli-ahli politik pula mesti proaktif membenamkan semua undang-undang zalim. Harakah antara akhbar paling teruk ditekan KDN, selain Suara Keadilan yang diharamkan terus. Syarat-syarat (terutama mengenai penjualan, pengedaran dan kandungan) yang dipaksakan ke atas Harakah memang bersifat "karut-marut" terutama dilihat dalam konteks dunia siber. Tanpa sedar, syarat-syarat itu menyudutkan Harakah daripada dapat bersaing di atas padang permainan sama rata dengan akhbar milik Umno-BN yang lain. Bagi saya, untuk PRU13 ini, media tradisi seperti akhbar (apa lagi televisyen dan radion), masih kekal berpengaruh dan bakal menentukan siapa pemenangnya. Sementara kami cuba memperbaiki penampilan dan kualiti Harakah, misalnya dengan mengemukakan "wajah baru" mulai edisi Jumaat 30 September 2011, penggerak parti wajar menyebarluaskan rangkaian pengedaran dan penyebaran akhbar-akhbar alternatif. Saya mendapat maklum balas betapa masih banyak kawasan atau lokasi yang belum dijenguk Harakah, apatah lagi di Sabah dan Sarawak, yang dikira"simpanan tetap" BN. Begitu juga dengan kampung-kampung tradisi dan penempatan tanah rancangan, yang selama ini diakui kubu kuat Umno. Selain mengharapkan inisiatif rasmi pihak pengedaran Harakah, saya beberapa kali menyarankan agar aktivis PAS memikirkan pendekatan praktik agar ia dapat dikongsi dengan lebih ramai pembaca. Mungkin nilai RM2 senaskhah boleh dijadikan sumbangan tetap bagi membeli "satu lagi" Harakah sebagai hadiah. Apa pun, supaya dapat digerakkan dengan cepat kerana masa cukup mendesak sekarang, inisiatif ini harus digerakkan daripada atas, iaitu pimpinan parti sendiri,'kan? |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/5753-ainuddin-harakah-dan-polemik-merdeka
No comments:
Post a Comment