Pakatan selamatkan RM200 bilion wang rakyat |
Aziz Muda |
SHAH ALAM, 2 Ogos: Pakatan Rakyat akan berusaha menyediakan satu belanjawan yang baik bagi tahun 2011 untuk semua rakyat di negara ini, di samping menyelamatkan RM200 bilion wang rakyat yang tiris dalam belanjawan yang disediakan dan diibentangkan oleh kerajaan BN bagi tahun lalu.
YB DS Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat bersama ahli-ahli ekonomi di pejabat SUK Selangor
Bagi mencapai matlamat itu, Pakatan Rakyat akan berusaha menyediakan belanjawan yang menekankan kesemua subsidi akan disalurkan terus kepada rakyat, khususnya golongan sasar, bagi menjadikan belanjawan itu benar-benar berguna kepada pelbagai lapisan rakyat negara ini.
Tuan Haji Mohammad Sabu - Timbalan Presiden PAS
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menjelaskan, belanjawan yang akan disediakan oleh Pakatan Rakyat itu adalah belanjawan yang turut menekankan tentang penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin Umno BN, sehingga menyebabkan peruntukan subsidi RM200 billion untuk petroleum tidak sampai kepada orang ramai. Menurut beliau, peruntukkan tersebut cukup besar. Ia sepatutnya sampai kepada sasaran, tetapi terjadi di sebaliknya ekoran sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin Umno BN yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan subsidi itu bagi kepentingan mereka sendiri. Katanya, kejadian itu menyebabkan rakyat menjadi amat terhimpiit dengan kenaikan harga petrol dan diesel, walaupun mereka tidak sepatutnya menerima bebanan itu ekoran subsidi yang begitu besar yang telah disediakan oleh kerajaan. "Begitu juga dengan subsidi bagi padi atau beras untuk petani. Walaupun subsidinya ada dan jumlahnya agak besar, tetapi para petani tetap juga tak dapat, tetap terus miskin dan hidup susah.
"Sebaliknya yang mendapat subsidi itu adalah orang yang dah kaya yang memiliki syarikat-syarikat besar terutama Bernas," katanya pada sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) di sini, hari ini.
YB Datuk Seri Anwar Ibrahim - Ketua Pembangkang / Ketua Umum PKR
Sebelum itu, beliau bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Jawankuasa Kerja PAS Pusat yang juga Ahlli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzullkefly Ahmad, pemimpin PKR dan DAP telah mengadakan rundingan dengan ahli-ahli ekonomi utama di tanah air di tempat yang sama.
YB Dr Dzulkefli Ahmad - AJK PAS Pusat / AP Kuala Selangor
Rundingan tersebut diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan dengan ekonomi, termasuk langkah-langkah untuk mengatasi inflasi di negara ini, di samping mendapatkan pelbagai pandangan untuk digarap oleh Pakatan Rakyat dalam belanjawannya bagi tahun 2011 yang akan dibentangkan Oktober ini.
Pada sidang media bersamanya dengan Datuk Seri Anwar itu, Mohamad menjelaskan, belanjawan yang akan disediakan oleh Pakatan Rakyat itu akan turut menekankan langkah-langkah yang akan dilakukan di negeri-negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat untuk kepentingan rakyat. "Selain itu, kita juga akan turut menyediakan subsidi yang akan disalurkan terus kepada rakyat termasuk subsidi petroleum dan lain-lain subsidi sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat memerintah negara pada pilhanraya umum akan datang," tegas beliau. |
Jimat: Nasihati Rosmah dulu sebelum ajak rakyat |
Harakahdaily
|
PARIT BUNTAR, 3 Ogos: “Janganlah semudahnya rakyat dihidangkan dengan nasihat supaya berbelanja berhemah sebelum Najib mampu mengawal isterinya dari menjadi wanita ‘paling boros’ di abad ini,” kata Drs Khalil Idham Lim (gambar). Beliau selaku Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Baru-baru ini yang memberi ingatan buat seluruh rakyat Malaysia muslim supaya berjimat cermat pada bulan Ramadhan ini.
“Najib nampaknya tidak henti-henti mahu perbodohkan rakyat dengan mengingatkan rakyat perlu berbelanja secara berhemah dan tidak melakukan pembaziran sepanjang menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Menurut presiden Umno itu, ia selaras dengan semangat yang dianjurkan dalam bulan ini iaitu bulan yang telah disediakan Allah sebagai satu medan untuk membina kualiti keimanan serta ketakwaan.
Berkenaan dengan nasihat itu, kata Khalil sebenarnya Islam menuntut agar si pemberi nasihat jangan cuma pandai berucap sahaja.
“Pemberi nasihat jangan cuma pandai beri nasihat, namun dilihat dari amalannya jauh sekali seperti langit dengan bumi. “Janganlah jadi macam ketam mengajar anaknya berjalan lurus dalam keadaan ia sendiri berjalan tidak betul,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong. Sehubungan itu, beliau ingin mengajukan soalan kepada Perdana Menteri, jimatkah beliau jika bil elektrik rumahnya berjumlah lebih RM700,00 sehari dan bil air pula berjumlah lebih RM100,000 sehari. “Bil yang saya maksudkan tadi ialah kos untuk biaya sehari bil elektrik dan air kediaman rasmi Perdana Menteri, kos tersebut seolah-olah tidak masuk akal kerana mustahil Perdana Menteri dan juga isteri tinggal dalam rumah selama 24 jam tanpa keluar,” katanya lagi. Katanya, rakyat yang tidak tahu perihal itu akan mengangguk sahaja dan terus akur dengan nasihat tersebut. “Persoalannya adakah kita yang telah tahu hal ini boleh berdiam diri?” soalnya. Sebelum ini, media baru mendedahkan bagaimana sikap boros yang ditunjukkan oleh isteri PM yang berbelanja boros dengan membeli cincin berharga jutaan ringgit. Justeru, beliau mengajak rakyat agar menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman Umno BN yang kian ‘gila’ dengan wang rakyat dibelanja mengikut sesuka hati. “Beri undi kepada Pakatan Rakyat pada PRU 13 untuk mengubah Malaysia tercinta sebagai sebuah negara yang bebas daripada pemimpin korup dan boros berbelanja,” katanya lagi. |
Pakatan rangka bajet 'Kesejahteraan Untuk Semua' |
Nazri Abdullah |
PETALING JAYA, 6 Ogos: Pakatan Rakyat akan membentangkan belanjawan mereka sebagai alternatif kepada Bajet 2012 yang akan diumumkan perdana menteri Oktober ini.
Malah ianya akan dibentang lebih awal berbanding yang akan dibentang Datuk Seri Najib Razak, kata anggota jawatankuasa Pakatan Rakyat, Dr. Dzulkefly Ahmad.
Selain Dzulkefly, wakil PAS dalam jawatankuasa merangka belanjawan Pakatan Rakyat itu adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr. Rosli Yaakob.
PKR pula diwakili Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua manakala DAP diwakili Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.
Selain mereka, pakar dalam pelbagai bidang dari pelbagai latar belakang turut dijemput memberi pandangan kepada jawatankuasa ini. Bercakap pada sidang media di pejabat seketariat Pakatan Rakyat di sini tengah hari ini, Dr Dzulkefly berkata tema bajet pakatan itu adalah "Kesejahteraan untuk Semua". Tiga terasnya pula adalah bagi meningkatkan pendapatan rakyat, pembangunan ekonomi mampan dan keadilan sosial serta keadilan dari sudut pengagihan wang negara kepada rakyat. "Meningkat pendapatan rakyat ini bermaksud rakyat boleh berbelanja dan ada duit dalam poket," katanya. Antara penumpuan juga katanya adalah kepada 60 peratus isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,500 sebulan. Tambahnya lagi, bajet Pakatan juga mahu melihat kaedah yang dapat mengeluarkan rakyat negara ini dari perangkap kepada golongan berpendapatan sederhana atau Middle Income Trap. Bagaimanapun, belanjawan ini katanya bukanlah bayangan belanjawan sepenuhnya tetapi lebih kepada pendekatan strategik, seperti dikeluarkan Pakatan pada 2008. Menurutnya lagi, bajet Pakatan Rakyat menampilkan pendekatan merakyat, berbeza dari kerajaan yang dilihat lebih menumpukan kepada projek berskala besar seperti diumum Najib pada belanjawan 2011 lalu. Beliau merujuk kepada peruntukan besar kerajaan untuk projek Menara Warisan serta projek My Rapid Transit (MRT) dan beberapa projek berskala besar lain. Selain itu, bajet kali ini juga jelas ahli parlimen Kuala Selangor itu, akan turut mengambil kira faktor kemelut ekonomi global akibat krisis ekonomi Amerika dan Eropah. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4757-pakatan-rangka-bajet-kesejahteraan-untuk-semua
Bonus tidak bantu golongan berpendapatan rendah |
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Pengumuman pemberian bonus setengah bulan kepada penjawat awam oleh Perdana Menteri dikhuatiri tidak membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah. Bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), Syed Shahrir Syed Mohamud berkata, para penjawat awam khususnya yang berpendapatan RM1,500 ke bawah mengharapkan pengumuman yang lebih baik.
Syed Shahrir Syed Mohamud - Mantan Presiden MTUC / Ahli MPP PKR
"Kita tidak tahu jumlah sebenar sebab gaji berbeza-beza. Pengumuman ini terlalu umum. "Kumpulan yang berpendapatan rendah misalnya gaji mereka RM1,000 mereka akan dapat RM500. Adakah ianya boleh menceriakan keluarga itu untuk menyambut hari raya?" soalnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR dan Ketua Cabang Kelana Jaya turut berkata, penjawat awam khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana mengharapkan jumlah yang lebih tinggi.
"Memang mereka mengharapkan sesuatu yang lebih baik tapi apa yang diberi setengah gaji kurang sesuai."Kita tahu sekarang kuasa beli tinggi dan pemberian ini tidak cukup untuk menampung keperluan yang ada," katanya.
YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak - PM / M. Kewangan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pemberian bonus setengah bulan kepada penjawat awam dengan bayaran minimum sebanyak RM500 yang akan dibayar pada pertengahan bulan ini. Beliau turut mengumumkan pemberian bayaran khas kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan, dibayar pada tarikh sama. Sementara itu, Khamis lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam tahun ini.
Datuk Omar Osman - Presiden CUEPACS
Presidennya, Datuk Omar Osman berharap kerajaan dapat menyediakan bonus sebulan sebelum sambutan Hari Raya dan sebulan bonus selepas sambutan perayaan itu.
Beliau berkata, Cuepacs telah memohon secara rasmi melalui surat kepada perdana menteri, dua bulan lalu. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4813-bonus-tidak-bantu-golongan-berpendapatan-rendah
Rakyat mahu naik gaji, bukan bonus sementara |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam, hanya penyelesaian bersifat sementara, kata Adun Titi Serong Drs. Khalil Idham Lim.
YB Drs Khalil Idham Lim - ADUN Titi Serong
Menurutnya, kerajaan sepatutnya menaikkan gaji mereka berbanding hanya memberi bonus apatah lagi dalam keadaan kos kehidupan yang terus meningkat lebih-lebih lagi untuk persiapan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.
"Saya ingin memberi pandangan bahawa jika benar Najib Razak fikir perihal kepayahan rakyat, mengapa mengumumkan langkah yang cuma penyelesaian masalah bersifat sementara.
YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak - PM
"Tawaran yang lebih menyeluruh dengan menawarkan tambahan gaji sebanyak RM500 bagi setiap guru seperti yang ditawarkan dalam tawaran 100 hari Buku Jingga membuktikan Pakatan Rakyat mempunyai persiapan yang cukup bagi memperkenalkan dasar yang lebih baik kepada penjawat awam," katanya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak. Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Selain itu katanya, jumlah bonus yang diperuntukkan kerajaan itu cuma sebilangan kecil dari wang rakyat yang telah dikikis BN selama ini. Pemimpin Umno BN dan elit Umno ujarnya telah hidup senang setelah rakyat merana dengan tekanan dan bebanan kewangan. Mengulas lanjut, Khalil berkata tindakan kerajaan itu juga hanya taktik memancing undi meraih simpati menjelang PRU13 yang bakal menjelang dalam tempoh terdekat. "Saya amat yakin bahawa PRU 13 telah amat hampir, mungkin September atau juga mungkin Oktober ini, yang pastinya petanda sudah amat jelas tambahan pula telah berlaku satu berita yang mengejutkan bila SPR telah mendaftarkan "Kampung Baru" sebagai pengundi yang sah," katanya lagi.
Justeru itu katanya keselesaan bersifat sementara dengan bonus separuh bulan bukanlah jawapannya muktamad untuk memberi keselesaan kepada rakyat dalam berbelanja, penjawat awam dan rakyat mesti bangkit untuk mengubah kerajaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan Negara Malaysia yang berada dalam bahaya.
|
Semua negeri Pakatan bayar bonus |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Semua negeri Pakatan Rakyat akan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minima sebanyak RM500 kecuali Pulau Pinang yang akan membuat bayaran minima RM600. Keputusan ini dibuat selari dengan keputusan kerajaan Pusat yang berbuat demikian menjelang hari raya Aidil Fitri akan datang ini. Kelantan juga mengumumkan akan memberikan bonus sebagaimana yang diputuskan oleh kerajaan pusat kepada kakitangan awamnya. Pulau Pinang pula memutuskan akan memberikan bonus yang sama namun menjadikan RM600 sebagai bayaran minima berbanding pusat RM500. Di ALOR SETAR,Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) dalam kenyataannya kepada media hari ini telah mengumumkan pembayaran bonus setengah bulan gaji dengan kadar minima RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri bulan ini. Azizan berkata, kerajaan negeri akan mengikut langkah yang diambil kerajaan pusat dalam pemberian bonus itu selain turut memberikan bonus setengah bulan gaji kepada semua anggota dewan undangan negeri (Adun) di Kedah. "Kita akan bayar pada 18 Ogos nanti bersama gaji bulan ini, keseluruhannya kita akan bayar lebih RM5 juta," katanya yang dipetik dari Bernama. Beransur pulih Sementara itu, Azizan yang ketika ini masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) semakin beransur pulih dan akan dibenarkan pulang tidak beberapa lama lagi. "Saya dah baik tapi masih berehat, sekarang dah banyak perubahan. InsyaAllah, minggu depan saya boleh balik Alor Setar," katanya. Beliau dimasukkan ke IJN, 29 Julai lalu selepas mengadu sakit pada bahagian jantung dan hasil pemeriksaan doktor mendapati ada saluran tersumbat dan perlu mendapatkan rawatan susulan. |
Bajet Pakatan tetapkan gaji minimum |
Harakahdaily |
PETALING JAYA, 28 Ogos: Bajet alternatif Pakatan Rakyat yang akan dibentang lebih awal dari bajet kerajaan Pusat Oktober ini turut meletakkan komitmen penetapan jumlah gaji minimum kepada pekerja di negara ini.
YB Datuk Seri Anwar Ibrahim - Ketua Pembangkang
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut diambil bagi menyelaraskan produktiviti yang disumbangkan golongan pekerja dengan pulangan yang diterima oleh mereka. "Kita mengambil kira satu kajian yang diperkukuhkan oleh Bank Negara dimana wujud peningkatan dalam produktiviti dalam negara tetapi tidak selari dengan upah atau gaji," katanya dipetik Tv Selangor. Beliau berkata demikian pada sidang media semalam selepas mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Sekerja dan beberapa wakil daripada syarikat ekonomi di Ibu Pejabat PKR di sini. Bagaimanapun Anwar berkata, perkara tersebut tidak boleh dilakukan secara berasingan dan ia perlu dijalankan serentak dengan dasar untuk mengurangkan rasuah dan meningkatkan kecekapan, khususnya dalam sektor kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). "Kami kesal kerana walaupun GLC seperti Proton dan Perodua membayar gaji asas di bawah garis kemiskinan pada RM650 sebulan. "Dengan dasar alternatif untuk mengurangkan rasuah, meningkatkan kecekapan, tidak rasuah dan mengurangkan kos melalui tender dan rundingan semula tawaran yang tidak adil seperti tol lebuh raya, kami berharap untuk mempunyai lebih banyak penjimatan dan peningkatan hasil ... yang membolehkan kita boleh untuk membantu pekerja dengan perjanjian yang lebih baik dan lebih adil, "katanya. Selain itu, pertemuan itu juga mendedahkan bahawa Barisan Nasional selama ini cuba berdolak dalih dan tidak mahu membuat satu penetapan jumlah gaji minimum kepada golongan pekerja di seluruh negara. "Kita telah memutuskan supaya hal ini diberikan perhatian dan kita akan adakan beberapa rundingan tambahan bagi membincangkan hal ini agar ia selari dengan pendirian kita dalam buku jinga."ujarnya. Merujuk muka surat 23 dalam Buku Jingga, Anwar berkata, di bawah dasar bersama Pakatan Rakyat, antara lain berjanji memperkenalkan skim gaji minima untuk semua pekerja Malaysia. Jelasnya lagi, ia juga akan memperkenal Akta Peluang Saksama bagi memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua rakyat, sekiranya gabungan itu mengambil alih Putrajaya. Dalam perkembangan lain, Anwar turut memaklumkan bahawa Buku Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga mampu memberi tamparan hebat dalam kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak apabila satu persatu perubahan dilakukan sebagai respon kepada isi kandungan buku tersebut termasuk isu gaji minima yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat. "Kejayaan buku jingga ini berjaya memaksa kerajaan dan Dato Seri Najib Razak untuk membuat beberapa perubahan termasuk pindaan undang-undang bagi memperkenalkan majlis perundingan yang khusus membincangkan soal gaji minima."
YB Dr Dzulkefli Ahmad - AJK PAS Pusat
YB Tian Chua - Naib Presiden PKR
YB Liew Chin Tong - AP DAP Bukit Bendera
YB Charles Santiago - AP DAP Klang
YB V. Sivarasa Rasiah - AP Subang Jaya
Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5142-bajet-pakatan-tetapkan-gaji-minimum
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5560-simpanan-tunai-selangor-rm11b-rekod-28-tahun-
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5568-kejayaan-selangor-bukti-pakatan-lebih-baik-dari-bn
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5707-bajet-jangan-sampai-bawa-bencana-untuk-feel-good-factor
http://bm.harakahdaily.net/index.php/separator-berita-utama/press-unedited/5731-harapan-mahasiswa-pada-bajet-2012
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5757-pakatan-bentang-belanjawan-sejahtera-esok
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5772-belanjawan-pakatan-peruntuk-rm220-bilion
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5777-pakatan-sedia-rm1000-kepada-warga-emas
http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/5783-mengapa-tun-m-perlekeh-belanjawan-pakatan-rakyat
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5784-belanjawan-pakatan-ke-arah-timbang-tara-berkesan
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5793--forum-belanjawan-pakatan-malam-ini
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5826-kita-mahu-bajet-yang-merangsang-ekonomi
Simpanan tunai Selangor RM1.1b, rekod 28 tahun |
Harakahdaily |
SHAH ALAM, 23 Sept: Dalam tempoh enam bulan tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor berupaya menambah simpanan tunai sebanyak RM200 juta, menjadikannya RM1,100 juta. “Jumlah ini merupakan rekod kewangan paling baik negeri bertuah ini dalam tempoh 28 tahun,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Beliau menyatakan demikian pada Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi. Selain Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Menurutnya, pada akhir tahun lepas, simpanan tunai Kerajaan Negeri Selangor berjumlah sebanyak RM918 juta. Secara keseluruhan, katanya, kejayaan Selangor memperkasa pembangunan dan melestarikan kemajuannya adalah dengan restu, nasihat dan sokongan penuh Tuanku Sultan terhadap kerajaan negeri sekarang yang mengamalkan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab, berhemah dan berhemat. Katanya, Negeri Selangor juga telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara di dalam jumlah pelaburan dalam negeri. Jelasnya, semenjak 2008 hingga Jun 2011, Selangor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah lebih RM35,000 juta. Ini bermakna, ujarnya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil negeri tetapi juga berjaya melaksanakan pengurusan kewangan dengan cekap dan berkesan. “Walhal pada awalnya adalah menjadi kekhuatiran yang teramat sangat dalam diri patik selaku peneraju Kerajaan Negeri yang baharu untuk memikul amanah majoriti rakyat majmuk di negeri Selangor yang inginkan pembaharuan dalam erti kata hasil mahsul negeri dinikmati secara adil dan saksama dalam kalangan rakyat majmuk di negeri ini,” ujarnya. Beliau menambah, demi kemaslahatan negeri dan rakyat negeri ini seluruhnya pula, Kerajaan Selangor sekarang melaksanakan dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang mengandungi pelbagai program kebajikan bagi membantu rakyat majmuk pelbagai peringkat agar dapat sama-sama menikmati hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini. Menurutnya, melalui dasar itu, beliauk dan barisan kepemimpinan di peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung bersependapat bahawa hasil bumi negeri Selangor ini adalah milik rakyat Sultan Selangor. Oleh itu, katanya limpahan daripada hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini sewajarnya dikembalikan kepada seluruh rakyat negeri Selangor supaya sama-sama menikmatinya. Katanya, dengan penduduk negeri berjumlah 5.3 juta orang yang terdiri daripada Melayu sekitar 49 peratus; Cina sekitar 29 peratus, India sekitar 16 peratus, dan keturunan lain sekitar 6 peratus, mereka tanpa mengira kelainan bahasa, agama, latar belakang pendidikan dan kecondongan politik, adalah layak menerima bantuan menurut program dan skim yang ditawarkan oleh kerajaan negeri sejak Jun 2008, sejajar dengan misi menjadikan Selangor sebuah negeri idaman, maju dan berkebajikan. Beliau berkata, sejak dasar itu diperkenalkan 100 hari selepas menerajui pentadbiran Negeri Selangor hinggalah Jun 2011; sejumlah RM500 juta telah disalurkan terus kepada rakyat Selangor. Selain itu, katanya Skim Air Percuma 20 meter padu berjumlah melebihi RM387 juta, Skim Tabung Warisan (RM1.8 juta), Hadiah Anak Masuk Universiti (RM19 juta), Skim Usia Emas dan OKU (RM49 juta) dan Skim Mikro Kredit Luar Bandar dan Kemiskinan Bandar yang kini melebihi RM2 juta dan berbagai-bagai bantuan kemasyarakatan yang akan diberikan secara berterusan. Dalam bidang pelaburan pula, beliau bersyukur kerana negeri Selangor terus didatangi oleh para pelabur dari dalam dan dari luar negara. Katanya, sejak Januari hingga 30 Jun tahun 2011 ini sahaja jumlah pelaburan negeri Selangor bernilai sebanyak RM5,200 juta iaitu 18 peratus dari keseluruhan pelaburan di dalam negara. Beliau menambah, pelaburan tersebut terdiri dari pelaburan domestik sejumlah RM2,100 juta dan pelaburan asing berjumlah RM3,100 juta. “Ini bermakna Selangor berada di tempat teratas dalam keseluruhan pelaburan di dalam negara,” katanya. Menurutnya, dari jumlah RM5,200 juta pelaburan tersebut terdapat sebanyak 135 projek yang terdiri dari 89 projek baharu dan selebihnya 46 projek sedia ada. “Hal ini menjadikan Selangor jauh meninggalkan negeri-negeri lain yang kebanyakannya mempunyai tidak lebih dari 50 projek,” katanya lagi. Jelasnya, melalui pelaburan RM5,200 juta di atas Selangor telah berjaya membuka ruang pekerjaan sebanyak 10,000 pekerjaan yang kebanyakannya di dalam bidang elektronik dan elektrikal produk. “Selangor berbangga menjadi penyumbang terbesar cukai dalam negara iaitu sebanyak 21 peratus pada 2010 dan kita menjangkakan jumlah yang sama dapat kita unjurkan pada tahun ini jika tidak jumlah yang lebih besar,” katanya. Rakyat Selangor juga, kata beliau menikmati hasil dari pengurusan hasil pasir yang kini dijalankan secara tersusun kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri; Kumpulan Semesta Sdn Bhd di mana peningkatan hasil pasir amat ketara sekali. Katanya, pada tahun 2007, kutipan royalti hasil pasir hanya RM4 juta, 2009 sejumlah RM 5 juta dan pada 2010 melonjak kepada RM11 juta. Menurutnya lagi, manakala pada tahun ini setakat bulan Jun telah mencapai kepada RM12 juta. “Sejak ditubuhkan hingga setakat Jun 2011, Kumpulan Semesta telah berjaya mengumpul keuntungan berjumlah hampir RM50 juta,” katanya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5560-simpanan-tunai-selangor-rm11b-rekod-28-tahun-
Kejayaan Selangor bukti Pakatan lebih baik dari BN |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 23 Sept: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang berjaya menambah simpanan tunai kerajaan negeri sebanyak RM1.1 bilion, dan menjadi rekod kewangan paling baik dalam tempoh 28 tahun. “Pencapaian ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah selama 3 tahun ini lebih baik daripada kerajaan di bawah Barisan Nasional yang telah memerintah puluhan tahun lamanya,” kata Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.
Sdr Mohd Suhaimi Abdul Aziz - TKP DPPWP
Katanya, meskipun diserang oleh media arus perdana dan kerajaan Umno BN, kerajaan Pakatan Rakyat terus unggul dengan mencipta pelbagai kejayaan yang menguntungkan kerajaan negeri dan rakyat. DPPWP, ujarnya percaya kejayaan itu diperolehi hasil daripada titik peluh, kesabaran, serta komitmen pemimpin Pakatan Rakyat Selangor yang berusaha dan berjuang demi rakyat, bukan untuk kepentingan diri sendiri. Katanya, kejayaan itu juga membuktikan bahawa pengurusan yang cekap, telus dan amanah mampu memberi pulangan yang baik kepada rakyat dan negeri sementara ketirisan, pemborosan serta kepimpinan yang tidak amanah dan cekap merugikan kerajaan dan negara. Selain itu, katanya pembangunan yang berteraskan kebajikan di atas dasar ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ berjaya membuktikan bahawa agenda mengutamakan kebajikan rakyat tidak merugikan negeri. “Malah agenda kebajikan inilah yang membawa pulangan serta keuntungan berlipat kali ganda kepada negeri,” ujarnya. Justeru, katanya DPPWP menyeru agar kerajaan negeri-negeri lain mencontohi apa yang dilakukan oleh kerajaan Paktan Rakyat Negeri Selangor dengan pelbagai insentif khusus buat rakyat di negeri masing-masing. Akhir sekali, katanya lagi DPPWP mengharapkan agar program penerangan di negeri Selangor dipertingkatkan agar rakyat keseluruhannya mengetahui kejayaan yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor. Tambahnya, DPPWP bimbang, program penerangan tidak sampai ke akar umbi yang menyebabkan rakyat tidak mendapat maklumat sebenar apa yang dilakukan oleh Kerajaan Selangor selama 3 tahun ini. “Semoga kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terus diberi kepercayaan untuk meneraju pentadbiran negeri selepas PRU ke 13 nanti. Teruskan kerajaan Selangor di dalam membela kebajikan rakyat!” katanya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5568-kejayaan-selangor-bukti-pakatan-lebih-baik-dari-bn
Bajet: Jangan sampai bawa bencana untuk feel good factor |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 30 Sept: PAS memberikan amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar jangan terlalu ghairah memberikan 'feel good factor' dalam bajetnya kerana dibimbangi ia menjadi bencana kepada negara. Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, nampak jelas kebelakangan ini Najib menuju ke arah itu. "Ura-ura Najib mahu menaikkan gaji dan imbuhan untuk kakitangan awam dalam bajetnya nanti adalah untuk memberi 'feel good factor' menjelang pilihan raya ini. "Namun, kena ingat data yang ada sekarang menunjukkan ia satu yang negatif kepada ekonomi kita," katanya. Sebuah laman web melaporkan, Najib akan membentangkan sistem baru gaji kakitangan awam yang dijangka bakal memberikan kenaikan gaji sehingga 40 peratus kepada kakitangan awam tahun depan. Namun, bekas Pengurus Besar Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Datuk Seri Salleh Majid tidak bersetuju dengan pendekatan itu. "Ia hanya akan menyebabkan inflasi meningkat di negara ini kerana pihak lain akan menaikkan harga barangan mereka dengan kenaikan gaji kakitangan awam ini. "Yang baik adalah memberikan wang itu kepada kumpulan sasaran yang memerlukannya untuk mereka merancakkan ekonomi," kata Salleh dalam satu wawancara dengan satu saluran tv. Menurut Dr Dzulkefly yang bersetuju dengan pandangan pakar ekonomi itu, data-data yang ada tentang ekonomi terutama hutang individu di negara ini sekarang membimbangkan. "Hutang isi rumah telah mencecah 76.6 peratus KDNK. Ini sebenarnya melebihi atau sama dengan hutang isi rumah di Amerika Syarikat ketika mereka berdepan krisis kewangan pada tahun 2008 yang dinamakan Krisis Sub Prima yang tidak reda hingga hari ini. "Mengikut laporan media, nilai ini bagi CEO Maybank, Datuk Seri Wahid Omar, sangat membimbangkan. "Jika Najib terus dengan strategi feel good factor menjelang pilihan raya ini, ia sangat membimbangkan," katanya kepada Harakahdaily. Pada Oktober 2010, pinjaman pribadi isirumah Malaysia adalah 8.9 peratus, hutang rumah dan hartanah 50 peratus, hutang kad kredit 6.3 peratus dan pinjaman kereta 27 peratus. "mengikut fakta Bank Negara bulan mac lalu, hutang pribadi sudah mencecah ke 15 peratus keseluruhan isi rumah kini. Ini sangat mencemaskan," katanya. Orang ramai membuat pinjaman pribadi kerana dua faktor kata Dr Dzulkefly, iaitu kempen menurunkan interes di kalangan bank-bank dan keperluan kewangan yang ketara di kalangan rakyat. Sehubungan itu, katanya, jika Najib terus dengan polisi untuk menaikkan gaji kepada kakitangan awam untuk menghasilkan 'feel good factor' menjelang pilihan raya ini, ia satu polisi yang silap. "Ini satu fiscal mis management," kata beliau kepada Harakahdaily. |
Harapan mahasiswa pada Bajet 2012 |
Mohamad Iqbal Ab Wahab |
Terdapat satu harapan yang cukup besar dalam kalangan rakyat untuk mendengar khabar gembira daripada pembentangan Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Kakitangan awam, misalnya, ternanti-nanti ungkapan kenaikan gaji ataupun bonus diungkapkan sendiri daripada mulut Perdana Menteri dalam pembentangan bajet tersebut. Begitu juga dengan sektor-sektor lain yang mengharapkan khabar gembira yang mampu merangsang kembali pertumbuhan ekonomi secara mekar dalam usaha untuk mewujudkan sebuah Negara berpendapatan tinggi. Secara fokusnya, mahasiswa juga dilihat sebagai salah satu sasaran yang harus diketengahkan dalam pembentangan bajet. Walaupun dalam pembentangan Bajet 2011, sebanyakRM 10.2 billion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi, namun dalam konteks realiti mahasiswa, peruntukan tersebut seolah-olah tidak dirasakan kewujudannya dalam bentuk nyata, apatah lagi masalah kenaikan kos sara hidup yang meningkat berpunca daripada keadaan global yang tidak stabil terus-menerus menyebabkan perbelanjaan harian terpaksa dikurangkan terutamanya berkaitan dengan soal makanan, pengangkutan, sewa rumah dan buku-buku pelajaran. Kesannya, terdapat pelajar yang terpaksa bekerja bagi menampung perbelanjaan semasa menyebabkan fokus kepada pelajaran semakin kurang. Oleh hal yang demikian, suatu strategi yang bersifat jangka pendek dan panjang harus dirangka. Strategi jangka pendek yang bersifat untuk menyelesaikan masalah semasa ialah fokus bagi menstabilkan dan menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup disebabkan faktor global, manakala strategi jangka panjang pula adalah untuk menstabilkan rantaian dalam konteks masyarakat secara makro. Dari sudut strategi semasa, yang bersifat jangka pendek iaitu sepanjang tempoh pengajian mahasiswa, masalah yang terpaksa dihadapi oleh golongan ini adalah masalah peningkatan kos sara hidup yang bersifat semasa merangkumi keperluan asas seorang pelajar termasuklah makanan, pengangkutan serta buku teks. Suatu inisiatif perlu diikhtiarkan dalam usaha untuk mengatasi masalah ini. Antara perkara yang dicadangkan adalah berkaitan dengan rasionalisasi subsidi yang dituruti dengan distribusi kepada pihak-pihak yang sepatutnya. Peruntukan subsidi yang telah dirasionalisasikan seharusnya diagihkan kepada masyarakat khususnya kepada golongan pelajar mahupun mahasiswa dalam usaha untuk menyelesaikan masalah peningkatan kos sara hidup. Teknikalnya, peruntukan tersebut mungkin boleh diagihkan melalui pendaftaran di pejabat-pejabat pos atau pihak yang berkaitan sekurang-kurangnya mampu mengurangkan beban dalam konteks sara diri. Begitu juga, penggunaan pas pelajar juga dicadangkan dapat digunakan secara meluas bagi mendapatkan diskaun untuk pengangkutan dan pembelian buku-buku teks. Walaupun dalam Bajet 2010, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan penggunaan kad diskaun tambang sebanyak 50 peratus bagi pelajar untuk perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), namun, penggunaan kad tersebut dicadangkan digunakan secara meluas termasuklah penggunaan bas awam dan ekspres serta lain-lain. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan budaya membaca dalam kalangan masyarakat juga, spesifikasinya golongan mahasiswa, seharusnya galakan untuk membaca dilaksanakan melalui peruntukan khas bagi pembelian buku teks atau buku-buku akademik yang lain. Penggunaan pas pelajar bagi mendapatkan diskaun dalam pembelian buku juga merupakan salah satu usaha yang harus difikirkan dan dimasukkan dalam perancangan dan penelitian Bajet 2012. Tidak sekadar strategi jangka pendek sahaja difikirkan, strategi jangka panjang juga perlu dirangka secara bersama sebagai pelengkap bagi pakej yang berkaitan dengan konteks pelaburan modal insan ini. Isu berkaitan dengan kenaikan umur persaraan sehingga 60 tahun serta gaji minimum sehingga RM1,500 perlu dilihat dalam konteks yang lebih terkehadapan. Kenaikan umur persaraan sehingga 60 tahun akan mengurangkan bilangan pekerjaan bagi golongan mahasiswa yang keluar daripada universiti. Kesannya, kepakaran pekerja baru melalui proses pelaksanaan kerja melalui pengalaman akan semakin menurun. Impaknya juga, akan berlaku pengangguran dalam tempoh masa yang lama, apatah lagi, antara syarat yang dikenakan oleh syarikat-syarikat kebanyakan menetapkan prioriti terhadap calon temuduga yang mempunyai pengalaman bekerja. Selain itu, cadangan kenaikan gaji minimum juga harus diperhalusi serta diambil kira dari sudut status hidup bagi membendung kemiskinan Bandar yakni pendapatan yang tidak setara dengan perbelanjaan keperluan asas. Maka, bajet 2012 harus membentangkan strategi yang jelas dalam usaha untuk mengatasi pengangguran dalam kalangan siswazah. Peruntukan pelaksanaan Skim Latihan 1Malaysia yang bertujuan memberikan latihan kepada siswazah belum memberi sebarang jaminan kerja untuk golongan ini sedangkan seharusnya universitilah yang bertindak sebagai penyedia latihan bagi siswazah. Oleh itu, suntikan fiskal harus dilaksanakan oleh pihak berwajib dalam usaha untuk mencipta peluang pekerjaan, bukan sekadar memberikan latihan tanpa penciptaan peluang pekerjaan. Begitu juga, masalah ini makin meruncing apabila mereka terpaksa membayar hutang PTPTN yang harus dilangsaikan sedangkan mereka masih belum lagi mempunyai pekerjaan. Justeru, bajet 2012 harus memberi penekanan kepada aspek strategi jangka masa pendek dan panjang dalam usaha untuk mengatasi masalah peningkatan sara hidup khususnya golongan mahasiswa serta mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah. Modal insan yang telah dicipta tetapi tidak dimanfaatkan kerana kekurangan penciptaan peluang kerja hanya akan menyebabkan berlakunya proses pembaziran tenaga manusia dalam negara. Penulis adalah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/separator-berita-utama/press-unedited/5731-harapan-mahasiswa-pada-bajet-2012
Pakatan bentang Belanjawan Sejahtera esok |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 3 Okt: Pakatan Rakyat akan melancarkan Belanjawan 2012 versinya dengan nama Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012 esok. Belanjawan itu akan dibentangkan di Bilik Taklimat, Aras 2, Bangunan Utama, Parlimen Malaysia mulai jam 1 tengahari esok. Antara yang akan menghadiri majlis pelancaran ini ialah YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dan para Pimpinan Kanan Pakatan Rakyat. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5757-pakatan-bentang-belanjawan-sejahtera-esok
Belanjawan Pakatan peruntuk RM220 bilion |
Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR, 4 Okt: Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion bagi belanjawan 2012 berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK. Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Belanjawan itu dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik taklimat parlimen hari ini. Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri Jumaat ini. Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat adalah seperti berikut: - Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit. - Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit. - Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar samapai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan. - Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat. - Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang manjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja. Pembelaan rakyat terbanyak Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut bagi mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada gologan rakyat kebanyakan: a) Mengekalkan subsidi minyak RM22 bilion bagi mengelakkan kenaikan harga. b) Menghapuskan subsidi korporat yang hanya menguntungkan kroni seperti pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Bernas, monopoli lesen teksi. c) Bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1,000 setahun yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun. d) Bayaran suri rumah sebanyak RM1000 dalam tahun 2012 dan menggalak mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. e) Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah RM550. f) Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diselaraskan krpada RM550 sebulan berbanding RM300 sebulan pada masa sekarang. Mengembalikan martabat rakyat a) Menetapkan gaji minima sebanyak RM1,100 dan akan dikuatkuasakan. b) Melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti janji Buku Jingga. c) Menyelaraskan gaji kakitangan awam berdasarkan penetapan gaji minima. d) Akan menghentikan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan. e) Memperuntukkan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik termasuk menaiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal. f) Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam dengan perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan negeri. g) Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang terainaya akibat projek perumahan terbengkalai. h) Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung yang digunapakai bermula pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5772-belanjawan-pakatan-peruntuk-rm220-bilion
Pakatan sedia RM1,000 kepada warga emas |
Muhammad Faizal |
KUALA LUMPUR, 4 Okt: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu perbentangan Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat menjelaskan selaras dengan tema 'Kesejahteraan Untuk Semua', Pakatan Rakyat (PR) sentiasa memandang tinggi dengan apa yang telah disumbangkan oleh golongan warga emas sejak sekian lama. Beliau mengatakan PR akan melaksanakan bantuan-bantuan untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat. "Kepada golongan warga emas kerajaan PR akan melaksanakan bayaran bonus sebanyak seribu ringgit setahun kepada mereka yang layak berdasarkan pendapatan kurang dari lapan belas ribu setahun. "Ia dijangka akan menelan belanja sebanyak RM1.7 bilion setahun dan ia difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang," jelasnya. Tambah Anwar lagi, selain seribu ringgit kepada warga emas PR juga akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak seribu ringgit kepada mereka yang layak dan ini akan mengurangkan bebanan keluarga serta mengalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). "Melalui bayaran kepada suri rumah sebanyak RM2 bilion diperuntukan," tambahnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh. PR juga memperuntukan sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini dan ia dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012. Dalam pada itu tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia terus sampai kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan disekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu. Anwar menjelaskan penghapusan ini termasuklah subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan. "PR juga akan menyediakan bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550 dan ini difikirkan wajar sebagai langkah segera membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara. "Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan harga mutakhir bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diselaraskan kepada RM550 sebulan dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan," katanya lagi. Anwar yang membentangkan Belanjawan 2012 PR di Bilik Taklimat Parlimen itu menjelaskan realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa tapi hakikatnya negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya. Jelasnya golongan mahakaya 'super rich' membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pence dan pendapatan mereka semakin mengecil. "Golongan rakyat terpaksa mengikat perut sedangkan golongan mahakaya ini seronok meancong dan membeli belah beg-beg tangan dan cincin permata," selorohnya lagi. Potong elaun PM RM10b Dalam pembentangan itu dalam usaha menjamin kelangsungan kewangan negara juga mensasarkan pemotongan belanjawaan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion. Katanya, pemotongan itu dapat mengembalikan peruntukan tersebut kepada kementerian-kementerian lain. "Melalui pemotongan ini, peruntukan tersebut akan dikembalikan kepada kementerian-kementerian yang berkenaan dan dapat mengurangkan kecenderungan berbelanja berlebihan oleh Perdana Menteri. "Dalam pada sasaran juga diletakkan dalam mengekang desifit yang drastik iaitu pada kadar 4.4 peratus bagi tahun 2012 berbanding sasaran-sasaran yang dilihat menyimpang sebelum ini," jelasnya di parlimen hari ini. Tambah Anwar lagi, selain itu juga walaupun keuntungan Petronas dijangka melonjak naik dalam tahun 2012 akibat kenaikna harga minyak mentah, kadar dividen dari Petronas akan diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja iaitu RM4 bilion lebih rendah dari yang di amalkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini. "Ini bertujuan untuk memastikan Petronas mempunyai sumber yang mencukupo untuk berkembang serta menjamin masa depan negara. "Usaha untuk meningkatkan pertambahan pendapatan negara, PR akan melaksanakan penjualan lesen import (AP) melalui proses lelongan dengan jangkaan pendapatan negara sebanyak RM1.2 bilion," katanya. Dalam pada itu konsep tender terbuka juga akan dilaksanakan oleh PR dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu-Bumiputra dan golongan-golongan yang memerlukan diperkenalkan bagi melatih usahawan-usahawan baru berteraskan kebolehan dan merit. Kementerian Pertahanan juga akan diperkasakan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara dengan menyemak kembali kontrak-kontrak pembelian senjata. Anwar memberitahu PR juga meletakkan tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara. "Kelangsungan kewangan dan defisit bukan hanya menegaskan persoalan melebarkan jaringan percukaian, ia perlu ditumpukan kepada usaha mengawal perbelanjaan dan mewujudkan tata kelola kewangan terlebih dahulu. "Mengembalikan hidup sama rata, PR akan mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang telah dibatalkan oleh Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain atas pertimbangan kategori barangan ini hanya digunakan oleh golongan mewah," sambungnya lagi. PR berharap melalui pengembalian cukai tersebut maka soal kewangan negara dapat diperkemaskan kembali. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5777-pakatan-sedia-rm1000-kepada-warga-emas
Mengapa Tun M perlekeh Belanjawan Pakatan Rakyat? |
Nik Nasri Nik Malek |
Saya memetik berita reaksi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhammad terhadap pembentangan belanjawan 2012 Pakatan Rakyat tiga hari sebelum pembentangan bajet 2012 oleh PM Najib Razak Jumaat ini. Dr M dipetik sebagai berkata: “(Duit) yang kita tak kawal (memang) senang mahu belanja,” “Kita boleh buat apa pun (seperti) janji mahu bagi 20 peratus royalti minyak. Memang boleh janji sebab tak jadi kerajaan. Janjilah asalkan menang (pilihan raya),” katanya. “Ini biasa malah Obama (Presiden AS Barack Obama) berjanji untuk menutup Guantanamo Bay (Pusat Tahanan) tetapi sampai sekarang tak tutup lagi. Tetapi beliau dipilihlah” katanya.Saya ingin bertanya: ‘Adakah Tun telah meneliti belanjawan tersebut?’Apakah hanya kerana belanjawan itu dibentang dan dicadangkan oleh Pakatan Rakyat, lalu ia diperlekeh dan dipandang rendah? Mengapa ia tidak diperhalusi terlebih dahulu? Adakah kerana ia dibentang oleh musuh politik yang juga mantan Timbalannya dahulu lalu ia ditolak mentah-mentah? Tidakkah pembentangan ini menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat juga mampu menyediakan belanjawan sebagaimana BN juga? Justeru, kalau ada pandangan yang mengatakan bahawa hanya BN sahaja yang mampu membawa kesejahteraan dan kemakmuran, tidakkah itu ayat yang mengandungi unsur syirik namanya? Kalau benar pembentangan belanjawan oleh Pakatan Rakyat ini membawa manfaat buat rakyat, selain menjadi alternatif dan saingan sihat kepada bajet oleh BN nanti, mengapa Tun tidak melihatnya dari sudut positif yang memberi kebaikan kepada rakyat? Atau dendam kesumat dan benci kepada Pakatan Rakyat ini tidak dapat dibendung langsung, lantas menafikan kebaikan yang ada dalam belanjawan Pakatan Rakyat ini? Secara serius, saya harap ada pakar-pakar ekonomi di Malaysia yang memberikan komen membina terhadap belanjawan Pakatan Rakyat dengan melihat secara jujur belanjawan ini, berdasarkan nilai taqwa dalam diri, dan mengutamakan maslahah dan kepentingan rakyat teramai dari hanya menjadikan kekayaan negara ini beredar di kalangan mereka yang berkepentingan sahaja, dan mereka yang berkepentingan itu ada di antaranya sudah bersara dan sedang berihat menikmati kekayaan negara yang sudah dibolot itu. Penulis adalah Ketua Lajnah Penerbitan & Penyelidikan, Dewan Ulama PAS Terengganu. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/5783-mengapa-tun-m-perlekeh-belanjawan-pakatan-rakyat
Belanjawan Pakatan ke arah timbang tara berkesan |
Muhammad Faizal |
KUALA LUMPUR, 5 Okt: Belanjawan alternatif yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat merupakan langkah cemerlang ke arah sistem timbang tara yang matang dan berkesan. Sehubungan itu, ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mengucapkan tahniah di atas pembentangan belanjawan itu oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam. Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, persoalan gaji minimum di dalam Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat sebanyak RM1,100 bukannya RM1,500 akan dijelaskan malam ini. Penjelasan itu akan dibuat pada Forum Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012, di Quality Hotel, Shah Alam bermula jam 8.00 malam. Selain beliau, turut menjadi ahli panel ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Rafizi Ramli. Belanjawan Pakatan Rakyat yang dibentangkan Anwar Ibrahim semalam juga meletakkan persoalan gaji yang diterima oleh rakyat. Persoalan gaji yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada dibangkitkan agar ia lebih bermaruah dan bertepatan dengan keperuan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa. Anwar menjelaskan rakyat bukannya menuntut keistimewaan mahupun kemewahan tetapi ia adalah merupakan satu konsep hak asasi menusia yang diterima pakai di seluruh dunia. "Setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan. "Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. "Memenuhi kehendak rakyat gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan, PR akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada dan gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan," jelasnya. Anwar memberitahu pengenalan gaji minima ini dapat dimanafaatkan oleh tiga ratus ribu orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100 sebulan. Dalam pada itu tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing. "Selain gaji minima, PR juga akan melaksanakan pembayaran elaun pendidikan sebanyak lima ratus ringgit sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga. "Sebanyak RM5.9 bilion diperuntukan bagi melaksanakan penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan gaji minima dan juga janji Buku Jingga," katanya lagi. Jelas Anwar lagi, PR akan menghentikan serta-merta kecenderungan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh serta kedudukan awam dalam proses kerajaan. Peruntukan tambahan RM1.3 bilion diberikan untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal. "Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri. "PR juga akan melaksanakan skim 'Bina dan Jual' secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai," jelas beliau lagi. Tambahnya, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintahan yang sedia ada bajet PR juga akan menganugerahkan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon. "PR akan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi," tambahnya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5784-belanjawan-pakatan-ke-arah-timbang-tara-berkesan
Forum belanjawan Pakatan malam ini | | Print | |
Kita mahu Bajet yang merangsang ekonomi |
Muhammad Faizal |
SHAH ALAM, 6 Okt: Kalau meneliti kembali belanjawan yang dikemukakan oleh kerajaan, kebanyakan yang disampaikan setiap kali pembentangan adalah mengulang kembali apa yang dilakukan tahun sebelumnya, kata AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad. Katanya, jika konsep mengulang kembali belanjawan yang lepas, apakah kesan secara langsung akan diperolehi oleh negara. “Kita mahu belanjawan yang dibentangkan itu akan dapat merangsang ekonomi negara dan dapat dimanfaat sepenuhnya oleh rakyat. "Jadi pada belanjawan PR ini seluruh tumpuan diberikan untuk menjamin agar pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh semua golongan melalui dasar dan kerangka yang menekankan peningkatan pendapatan 60 peratus isi rumah di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan," katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor pada Forum Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang diadakan di sebuah hotel di Shah Alam, semalam. Beliau menjelaskan belanjawan yang dikemukan Pakatan Rakyat telah diperincikan dari pelbagai sudut bagi mencari satu garis belanjawan yang terbaik untuk rakyat. "Dalam merangka belanjawan tersebut, Pakatan Rakyat telah meneliti dengan terperinci bagi mencari satu belanjawan yang terbaik untuk rakyat. "Belanjawan adalah merupakan satu instrumen mikro ekonomi dan ia sangat penting bagi sesebuah negara dalam arus pembangunan. Apabila menyebut penting, maka untuk merangka belanjawan ini tidak seharusnya tertumpu ataupun ciplak dari apa yang lepas," jelasnya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5826-kita-mahu-bajet-yang-merangsang-ekonomi
No comments:
Post a Comment