Surat Tuan Guru Nik Aziz Kepada Yang di-Pertuan Agong
Mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Sukalah patik ingin memaklumkan kepada pihak Tuanku bahawa patik sedang berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah dan Insya-Allah dijadualkan akan pulang ke tanah air pada 10 Julai 2011.
Patik di sini mendoakan agar KDYMM Tuanku serta Permaisuri sentiasa dilimpahi keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT.
Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah diberi ampuni untuk mengadap KDYMM Tuanku pada pagi ini dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihanraya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya.
Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan KDYMM Tuanku terhadap kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin di dalam perlembagaan Malaysia.
Sukalah patik mempersembahkan pendirian patik bahawa sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihanraya yang adil tidak akan mendatangkan huruhara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand.
Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik.
Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata.
Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibubapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah.
Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT.
Patik yang menjunjung kasih,
YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am
Parti Islam Semalaysia (PAS).
Sumber Blog Musleem United : 6/07/2011
Berikut kenyataan penuh beliau.Saat ini saya sedang berada di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah menunggu waktu solat Zohor dan menghadap wajah saya ke Kaabah. Insya Allah selepas Asar, saya akan bertawaf wida’ dan akan meninggalkan Tanah Suci. Baru sebentar tadi saya dimaklumkan tentang penahanan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.
Saya juga dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden PAS dan beberapa orang pimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat adalah antara beratus-ratus orang yang telah ditangkap oleh polis kerana menyertai Bersih 2.0 pada hari ini.
Hati saya cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi oleh sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini. Saya menuntut agar dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap oleh polis. Jangan menyangka gari dan peluru boleh menakutkan semua orang.
Saya tegas untuk menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap Umno. Sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui bahawa alat kawalan jauhnya dipegang oleh Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga merupakan Presiden Umno. Padahal, apa masalahnya dengan berhimpun?
Bukankah Presiden Umno baru saja mengumpulkan sejuta belia beberapa minggu yang lalu tanpa ada sedikitpun halangan? Sejuta belia yang dikhabarkan hadir dengan penuh layanan mesra oleh pihak berkuasa tiba-tiba hari ini hanya untuk mengumpulkan 300 ribu orang dibalas dengan gari dan semburan gas? Bukankah orang yang sama juga pernah menjanjikan bahawa himpunan akan dibenarkan jika dibuat di dalam stadium bahkan diberikan keizinan untuk ‘melalak sampai pagi’?
Saya yakin, apa yang berlaku pada hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada Umno. Buatlah setakat mana yang boleh dibuat, sesungguhnya kezaliman yang boleh dilakukan ini hanya setakat kehidupan di dunia sahaja. Di akhirat, setiap tangan yang digari, tubuh yang disakiti dan maruah yang dicalari akan dituntut bayar di hadapan Allah SWT. Kepada mereka yang dizalimi hari ini, jangan lupa menuntut balasannya di hadapan Allah SWT nanti. Umno barangkali tidak tahu bahawa orang yang dizalimi mempunyai senjata yang ampuh iaitu doa.
Saya menyeru kepada semua umat Islam agar marilah bersama-sama berdoa di dalam sujud kita kepada Allah SWT agar dilaknat kezaliman yang dilakukan pada hari ini. Yakinlah, perjuangan menuntut keadilan ini pasti akan berjaya. Umno pasti akan jatuh tersembam juga akhirnya. Tentangan dan penindasan ini hanyalah tanda perjuangan keadilan akan berjaya. Umpama layang-layang yang tidak akan terbang melainkan dengan melawan angin, begitu juga dengan perjuangan, tidak akan berjaya melainkan dengan menghadapi tentangan!
Allahu Akbar!!!
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah.
Dicatat pada: 12.00 tengah hari (5.00 petang waktu tempatan)
7 Syaaban 1432/9 Julai 2011.
Warkah Buat Saudaraku Anggota Polis
Oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu, Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka.
Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ad kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi
dan lupakan sahaja.
Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua.
Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.
Tugas Mulia
Saudaraku anggota polis,
Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas. Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Saudaraku anggota polis,
Tugas seorang anggota polis -sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu ‘Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran’. Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu ‘Mencegah Kemungkaran’. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum. Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya):
“Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).
Nabi s.a.w pula bersabda:
“Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).
Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.
Bahaya Kuasa
Saudaraku anggota polis,
Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya. Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya. Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.
Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara. Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri. Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.
Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan. Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi s.a.w:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Allah Tidak Lupa
Saudaraku anggota polis,
Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu. Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa. Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya ‘apakah salah saya?’. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.
Dunia Sementara
Saudaraku anggota polis,
Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya):
“Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).
Saudaraku anggota polis,
Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil. Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya. Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w:
“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim).
Sabda baginda juga :
“Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Nasihati Hasan al-Basri
Saudaraku anggota polis,
Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan ‘atasan’. Maka, mungkin ada yang berkata ‘kami hanya menjalankan tugas’. Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu ‘Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Kata ‘Umar bin Hubairah:
“Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama? Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit. Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat. Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai ‘Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor ‘Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa ‘Ibrah al-Yaqzan)
Saudaraku anggota polis,
Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat. Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.
Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.
Saudaraku anggota polis,
Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak. Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!
Sumber DD : 29/07//2011
Surat terbuka kepada Polis
Hanglekiu , |
Salam sejahtera buat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang terkenal dengan slogannya ‘Cepat, Mesra dan Betul’. Hamba ingin menarik perhatian pihak tuan kepada peristiwa berdarah 1 Januari 2012 ketika penyuraian Himpunan Kebebasan Akademik di hadapan UPSI yang rata-ratanya disertai mahasiswa dan belia.
Di beberapa Negara yang pernah hamba berkelana, polis dianggap sebagai perkakas rejim dan bukan sebagai penjaga keselamatan awam. Polis juga ditakuti dan dibenci bukan diharapkan dan dihormati sebagai penjaga undang-undang.
Polis menjadi simbol kezaliman dan bukan panji-panji keamanan. Sehingga ada yang sanggup melabel polis sebagai anjing-anjing suruhan, yang bertindak mengikut arahan tuan tanpa berperikemanusiaan. Hamba pohon PDRM untuk tidak menjadi sedemikian di Tanah Tumpah Darahku, Malaysia tercinta ini.
Bersempena dengan tahun baru 2012 suka hamba selusuri beberapa peristiwa menarik yang berlaku sepanjang tahun sebelumnya, yakni 2011. Pertama, suka hamba ceritakan tentang Revolusi Tunisia, nyalaan api pengingkaran sivil yang berakar umbi daripada peristiwa seorang beliawan bernama Boazizi.
Bertitik tolak daripada tindakan kasar polis merampas gerainya, beliau membakar dirinya sehingga tindakan tersebut menjadi inspirasi kebangkitan rakyat menjatuhkan Presiden Zainal Abidin Ali.
Kedua, suka hamba kisahkan berkenaan Revolusi Belia Mesir, ketikamana anak-anak muda menggunakan Facebook dan laman interaktif sosial untuk meletupkan public disobedience.
Kempen kebangkitan ini tidak lain tidak bukan meletup kerana tindakan kasar polis memukul dan membunuh seorang aktivis belia bernama Khaleed Said dan kemunculan Laman Facebook, Youtube “We are all Khaleed Said” yang membela kematiannya. Tuan tahu bukan apa akhirnya berlaku kepada Presiden Husni Mubarak?
Ketiga, revolusi dan pergolakan di Yaman yang masih berterusan sehingga kini. Paling mengejutkan hamba antara tokoh yang terjulang namanya membakar semangat kebangkitan hanyalah seorang aktivis beliawati bernama Tawakel Karman! Perhatikan juga, semakin keras, ganas dan zalim perkakas kerajaan menentang rakyat, sebegitu keras, ganas dan dahsyat juga tindakbalas yang diterima!
Tuan perhatikan sendiri bagaimana hakikat yang berlaku di Libya. Bagaimana pula di Syria? Mengapa polis dan angkatan tentera begitu payah sekali menghadapi anak-anak tempatan, rata-ratanya bersenjatakan suara dan kain rentang?
Mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa berkenaan saya mohon dua perkara daripada PDRM. Mohon jangan bertindak keras, ganas dan zalim kepada mahasiswa mahupun belia yang bangkit melaungkan perjuangan. Hamba risau darah muda mereka menggelegak kepanasan untuk bertindak balas.
Kedua, mohon jangan bertindak keras, ganas dan zalim sehingga muncul Boazizi, Khaleed Said dan Tawakel Karman versi Malaysia. Kecederaan Safwan Anang sudah cukup membakar semangat juang para mahasiswa! Jangan katakana tidak diberi ingat!
Yang tulus benar,
Hanglekiu
Sekolah Konsultansi Panglima
Sumber HD : 21/01/2012
Di beberapa Negara yang pernah hamba berkelana, polis dianggap sebagai perkakas rejim dan bukan sebagai penjaga keselamatan awam. Polis juga ditakuti dan dibenci bukan diharapkan dan dihormati sebagai penjaga undang-undang.
Polis menjadi simbol kezaliman dan bukan panji-panji keamanan. Sehingga ada yang sanggup melabel polis sebagai anjing-anjing suruhan, yang bertindak mengikut arahan tuan tanpa berperikemanusiaan. Hamba pohon PDRM untuk tidak menjadi sedemikian di Tanah Tumpah Darahku, Malaysia tercinta ini.
Bersempena dengan tahun baru 2012 suka hamba selusuri beberapa peristiwa menarik yang berlaku sepanjang tahun sebelumnya, yakni 2011. Pertama, suka hamba ceritakan tentang Revolusi Tunisia, nyalaan api pengingkaran sivil yang berakar umbi daripada peristiwa seorang beliawan bernama Boazizi.
Bertitik tolak daripada tindakan kasar polis merampas gerainya, beliau membakar dirinya sehingga tindakan tersebut menjadi inspirasi kebangkitan rakyat menjatuhkan Presiden Zainal Abidin Ali.
Kedua, suka hamba kisahkan berkenaan Revolusi Belia Mesir, ketikamana anak-anak muda menggunakan Facebook dan laman interaktif sosial untuk meletupkan public disobedience.
Kempen kebangkitan ini tidak lain tidak bukan meletup kerana tindakan kasar polis memukul dan membunuh seorang aktivis belia bernama Khaleed Said dan kemunculan Laman Facebook, Youtube “We are all Khaleed Said” yang membela kematiannya. Tuan tahu bukan apa akhirnya berlaku kepada Presiden Husni Mubarak?
Ketiga, revolusi dan pergolakan di Yaman yang masih berterusan sehingga kini. Paling mengejutkan hamba antara tokoh yang terjulang namanya membakar semangat kebangkitan hanyalah seorang aktivis beliawati bernama Tawakel Karman! Perhatikan juga, semakin keras, ganas dan zalim perkakas kerajaan menentang rakyat, sebegitu keras, ganas dan dahsyat juga tindakbalas yang diterima!
Tuan perhatikan sendiri bagaimana hakikat yang berlaku di Libya. Bagaimana pula di Syria? Mengapa polis dan angkatan tentera begitu payah sekali menghadapi anak-anak tempatan, rata-ratanya bersenjatakan suara dan kain rentang?
Mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa berkenaan saya mohon dua perkara daripada PDRM. Mohon jangan bertindak keras, ganas dan zalim kepada mahasiswa mahupun belia yang bangkit melaungkan perjuangan. Hamba risau darah muda mereka menggelegak kepanasan untuk bertindak balas.
Kedua, mohon jangan bertindak keras, ganas dan zalim sehingga muncul Boazizi, Khaleed Said dan Tawakel Karman versi Malaysia. Kecederaan Safwan Anang sudah cukup membakar semangat juang para mahasiswa! Jangan katakana tidak diberi ingat!
Yang tulus benar,
Hanglekiu
Sekolah Konsultansi Panglima
Sumber HD : 21/01/2012
No comments:
Post a Comment