Khutbah hentam Bersih, Jawi jadi alat Umno |
Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 1 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) amat kesal dengam khutbah Jumaat keluaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan dibacakan di masjid-masjid di seluruh Kuala Lumpur hari ini, memandangkan ia jelas memburukkan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini. Di tengah kita menyambut Israk dan Mikraj yang mengandungi amat banyak pengajaran besar, Jawi hari ini telah melakukan kesilapan besar dengan mengeluarkan khutbah tersebut yang jelas melampau dan bertentangan dengan ajaran Islam. Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Riduan Mohd Nor menegaskan, pada hal di dalam negara kita ini amat banyak perkara yang perlu diketengahkan oleh Jawi termasuklah usaha-usaha untuk mengatasi gejala sosial dan penghinaan terhadap syariat Islam. Menurut beliau, tiba-tiba mimbar Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan hari ini dicemari dengan propaganda Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi APCO. Katanya, DPPP amat kesal apabila masjid yang mulia dicemari dengan politik kotor dan hina yang menjadi pegangan Umno BN selama ini. "Pada hal jika kita kembali kepada sirah Rasulullah s.a.w, khutbah merupakan medium dakwah yang penting yang mengandungi pelbagai nasihat dan ajaran berguna. Ia disampaikan dengan penuh semangat dan ketika menyampaikan khutbah, Nabi sendiri turut memegang tombak dan pedang. "Oleh itu, dalam Islam, setiap makmun diwajibkan mendengar khutbah dengan teliti. Malah Nabi sendiri pernah menegur seorang sahabatnya kerana bermain-main dengan anak batu ketika khutbah dibaca," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini. Isi khutbah, menurut beliau, mesti didengar dan dihadam oleh setiap makmun dan dengan itu ia secara jelas memberikan pengajaran kepada kita bahawa setiap khutbah yang dibacakan di mimbar-mimbar masjid mestilah yang menepati ajaran Islam. Katanya, bagaimanapun, perkara itu amat berbeza dengan khutbah yang dibacakan di mimbar-mimbar masjid di Kuala Lumpur hari ini kerana ia jelas telah diperalatkan oleh BN untuk propaganda politik murahannya. "Dengan itu, setiap umat Islam wajib menolak khutbah yang bersalut propaganda politik murahan BN itu dan sebaliknya turut memberikan kerjasama dengan Bersih untuk menolak politik kotor dan hina dan pilihanraya yang kotor dan hina di negara kita," tegasnya. Rakyat di seluruh negara, katanya, diyakini amat faham dengan tujuan Bersih hendak mengadakan Perhimpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini yang bukannya untuk melakukan kekacauan, tetapi untuk menuntut kerajaan melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil. "Oleh itu, di tengah BN menyerang Bersih termasuk dengan menggunakan mimbar masjid, saya yakin sejuta umat Islam akan turun berhimpun di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini, bagi mendesak kerajaan BN yang korup melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil kerana rakyat sendiri sudah tidak tertahan dengan permainan politik kotor BN sejak sekian lama," katanya. Sementara itu, PAS Wilayah Persekutuan turut kesal dengan teks khutbah Jumaat hari ini yang dikeluarkan oleh Jawi untuk menghentam Bersih. Dalam keadaan mereka beria-ia menolak politik kepartian di dalam masjid, tetapi Jawi hari ini telah terjebak sebagai alat politik Barisan Nasional (BN). Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail berkata, tindakan menggunakan platform agama untuk mengharam dan melabelkan pelampau kepada Himpunan Bersih 2.0 dikira melampau dan bertentangan dengan ajaran Islam. Menurut beliau, label pelampau dan haram dikaitkan kononnya Bersih hendak menimbulkan kekacauan dan kerosakan jelas merupakan satu fitnah yang dilakukan terang-terangan menggunakan mimbar Jumaat. Katanya, PAS Wilayah Persekutuan amat kesal kerana mimbar Jumaat dijadikan tempat sebaran fitnah, sedangkan umum mengetahui tujuan Bersih adalah untuk berhimpun secara aman bagi mendesak pilihanraya yang bebas dan adil, bukan untuk melakukan kerosakan dan huru-hara. "Tetapi khutbah yang dikeluarkan oleh Jawi ini melaporkan sebaliknya," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini. PAS Wilayah Persekutuan juga, menurutnya, kecewa kerana Jawi menggunakan platform khutbah yang berbentuk komunikasi sehala untuk memfitnah himpunan Bersih. "Kita mohon supaya Jawi sedia berdialog secara terbuka dengan umat Islam dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi memastikan di mana haram dan melampaunya himpunan Bersih? Jika JAWI tidak sedia berdialog, beliau secara tegas mengatakan, itu tandanya JAWI sebenarnya melaksanakan arahan Barisan Nasional. "Kita hendak ingatkan Jawi supaya tidak menjadi alat BN dan merasakan masjid-masjid di Wilayah milik Barisan Nasional sehingga tergamak melakukan hal ini. "Perlu diingat, 9 daripada 10 Parlimen di Kuala Lumpur ini dimenangi oleh Pakatan Rakyat dan sudah pasti yang mendengar khutbah itu majoritinya menolak politik kotor Barisan Nasional," tegas beliau. Beliau juga memberitahu PAS Wilayah Persekutuan akan menurunkan lebih 20 ribu orang ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya ke Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Mereka, katanya akan turun dengan disiplin yang tinggi sebagaimana amalan biasa dalam PAS dan seperti yang telah sedia dimaklumi oleh pihak polis sendiri berhubung akhlak dan disiplin ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS sepanjang puluhan himpunan yang pernah diadakan sebelum ini. Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail menjelaskan, kesediaan PAS Wilayah Persekutuan menurunkan ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya ke perhimpunan itu adalah selaras dengan arahan Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Menururut beliau, PAS Wilayah Persekutuan juga menyeru ahli-ahlinya supaya menjadikan diri mereka sebagai saksi-saksi sejarah terhadap perubahan demokrasi yang bebas dan bersih dengan penglibatan mereka dalam himpunan itu. Katanya, himpunan aman yang diadakan itu adalah untuk mendesak kerajaan memulihkan sistem pilihanraya yang kotor selama ini dan ia akan memberi kesan yang cukup besar jika berlaku perubahan. "Ia akan menjadi catatan sejarah yang akan dibaca dan dipelajari oleh anak-anak dan cucu kita pada masa akan datang dan sudah pasti ibu bapa dan datuk neneknya dahulu salah seorang daripada saksi sejarah tersebut," katanya. PAS Wilayah Persekutuan juga, menurut beliau, mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS dari seluruh negara ke ibu kota bagi menjayakan perhimpunan itu. Katanya, sehingga kini keadaan di ibu kota begitu aman dan tidak ada sebab untuk ahli-ahli PAS dan orang ramai tidak hadir ke Kuala Lumpur pada tarikh tersebut. "Tambahan pula dengan jumlah anggota polis yang ramai, sudah pasti keamanan lebih terjamin. Di samping itu, 400 peguam yang disediakan parti sepanjang perhimpunan ini akan dapat membantu memastikan peserta sentiasa patuh pada undang-undang," tegasnya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/4131-khutbah-hentam-bersih-jawi-jadi-alat-umno
Masjid bukan tempat hasut jemaah benci Islam |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 1 Julai: Persatuan Mahasiswa Islam Uuniversiti Malaya (PMIUM) menyatakan kekecewaan dengan pengisian khutbah Jumaat di sebuah masjid yang terletak di Lembah Klang. Menurut Presidennya, Muhammad Safwan Bin Anang@Talib, beliau terkejut apabila mendengar isi khutbah di masjid terbabit yang dilihatnya tidak kena pada tempatnya. Sdr Muhammad Safwan Anang @ Talib - Presiden PMIUM “Sepatutnya masjid dijadikan tempat untuk membincangkan dan menerangkan tentang penindasan dan kebenaran tentang ajaran Islam, bukannya menghasut para jemaah membenci Islam. “Isu gejala murtad dan maksiat masih berleluasa. Isu seperti inilah yang sepatutnya dibincangkan dalam pengisian khutbah. Peristiwa Israk dan Mikraj pun masih ramai anak muda serta masyarakat belum hayati,” katanya. Menurutnya, khutbah Jumaat di masjid yang terletak di Bandar Tasik Selatan itu menyatakan tentang haramnya perhimpunan Bersih 9 Julai nanti. “Walaupun khatib tak sebut mana-mana parti politik, tetapi di pihak kami, kami tetap menolak budaya menjadikan masjid sebagai tempat berkepentingan pihak tertentu yang sengaja ingin menjauhkan Islam daripada umatnya. “Apabila khatib memberitahu tentang haramnya perhimpunan Bersih, kami menganggap ianya satu cubaan untuk menghasut masyarakat supaya jangan turun 9 Julai nanti,” katanya. Safwan juga ada menemui beberapa penduduk yang turut sama bersembahyang dan mendengar khutbah Jumaat di masjid tersebut. “Saya temui beberapa penduduk dan mereka terkejut apabila mendengar tentang hujah-hujah yang tidak berasas tentang haramnya Bersih 2.0. “Mereka turut kecewa apabila masjid digunakan untuk kepentingan perjuangan peribadi daripada perjuangan menegakkan kebenaran dan mendekatkan masyarakat dengan Islam. “Saya difahamkan kebanyakan yang solat di masjid itu adalah askar-askar yang menjalani latihan di kem berdekatan,” katanya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4126-masjid-bukan-tempat-hasut-jemaah-benci-islam
Lagi khutbah Jumaat anti-BERSIH
Untuk dua minggu berturut-turut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terus mengeluarkan khutbah Jumaat yang dilihat sebagai kempen anti-BERSIH menjelang perhimpunannya esok.
Bagaimanapun, berbeza dengan minggu lalu, khutbah minggu ini yang berjudul "Rapuh Perpaduan Runtuh Keamanan", tidak menyebut secara langsung nama BERSIH 2.0 yang merupakan penganjurnya.
Mimbar sebaliknya sering menyebut tentang bahaya "musuh-musuh Islam" yang didakwa turut menggunakan "taktik menunjuk perasaan sebagaimana berlaku dalam peperangan Uhud".
"Hari ini sekali lagi pihak-pihak tertentu cuba meruntuhkan perpaduan yang terbina selama ini. Mereka cuba dengan pelbagai helah dan cara," khutbah itu dipetik.
Minggu lalu, khutbah Jakim mengeluarkan larangan itu buat kali pertama dengan menggunakan label yang keras seperti pengkhianat dan pelampau terhadap penganjur dan pesertanya.
Khutbah yang dibacakan di masjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya itu mendakwa perhimpunan BERSIH haram diikuti umat Islam kerana boleh "mencampakkan manusia dalam kebinasaan".
Kemarahan umat Islam
Khutbah hari ini pula mendakwa golongan "pengkhianat pada agama, bangsa dan negara" itu pernah menimbulkan kemarahan umat Islam kerana mempertikaikan hak orang Islam dan memperalatkan sebahagian pemimpin Islam yang dikaburi keghairahan untuk mendapatkan kuasa.
"Mereka menghasut dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah. Berbagai pendekatan mereka lakukan termasuklah melalui undang-undang dan mahkamah.
"Tidak cukup dengan itu, mereka mempengaruhi rakyat melahirkan perasaan benci dengan melaungkan slogan tertentu dengan berbagai cara," kata khutbah itu sambil mendakwa golongan itu bertopengkan keadilan dan ketulusan.
Dalam masa yang sama, mereka didakwa mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-harakan negara, melemahkan pemerintah dan perpaduan rakyat yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa negara ini tidak lagi aman.
Memasuki hari-hari terakhir sebelum perhimpunan besar esok, Pengerusi BERSIH 2.0 S Ambiga diserang hebat di media-media arus perdana dengan pelbagai isu, antaranya berkaitan kes murtad Lina Joy, majlis antara agama dan didakwa menerima dana asing.
'Pemerintah pelindung Allah'
Sementara itu, mimbar Jumaat juga mengambil peluang mengingatkan bahawa "pemerintah adalah pelindung Allah SWT di muka bumi ini".
"Mimbar ingin mengingatkan bahawa teraturnya urusan agama dan dunia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah dan kesetian rakyat, malah keadaan masyarakat akan menjadi kacau bilau dan saling berbalahan antara satu sama lain.
"Justeru Islam telah menetapkan hukuman yang berat kepada sesiapa sahaja yang cuba memporak-perandakan pemerintah, kehidupan umat dan kesejahteraan negara," khutbah itu dipetik.
Khutbah Jumaat Jakim itu juga memuatkan sebuah hadis riwayat Muslim yang menyebut sesiapa yang ingin memecahbelahkan perpaduan umat hendaklah dipancung dengan pedang.
Ia juga mengingatkan kepada titah khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin agar rakyat tidak terlalu terikut-ikut dengan amalan negara luar.
Titah Seri Paduka pada 3 Julai lalu itu merintas kepada pertemuan BERSIH 2.0 mengadap baginda dan bersetuju mengadakan perhimpunannya di stadium dan bukan di jalan raya.
Sumber MK(8//07//2011) : http://www.malaysiakini.com/news/169327
No comments:
Post a Comment