Please walk the talk Mohd Sidek! |
Ahmad Tajdid |
Tan Sri Mohd Sidek Hassan - KSN
KETUA Setiausaha Negara (KSN) dilaporkan menghantar memo kepada kakitangan kerajaan supaya bersikap non-partisan apabila melaksanakan tugas masing-masing. Nasihat Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya kakitangan kerajaan meninggalkan pegangan politik mereka ketika menjalankan tugas memang patut disokong. Sepatut dan sewajarnya sikap sedemikian diamalkan oleh kakitangan kerajaan - sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan - kerana tugas mereka adalah berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah (government of the day) dan bukannya kepada tuan politik (political masters).
Dalam sebuah negara demokrasi berpaksikan parlimen dan Raja Berperlembagaan, kakitangan kerajaan mempunyai 'wilayah tadbirnya' sendiri. Ia bukan satu keistimewaan tetapi adalah satu keperluan untuk memastikan segala keputusan dan tindakan yang diambil tidak dipengaruhi kepentingan politik pihak yang memerintah.
Kita sering mendengar ungkapan 'little Napolean' yang selalu diwar-warkan oleh aktivis politik bagi mengecam sesetengah kakitangan kerajaan atau lebih tepatnya ketua-ketua jabatan yang enggan mengikut arahan 'orang politik'. Dan selalunya kecaman-kecaman itu ditujukan kepada ketua-ketua jabatan yang punyai kuasa untuk meluluskan sesuatu tender atau projek. Baru-baru ini 'keributan' muncul apabila seorang ketua jabatan yang dikenali ketegasannya dalam berhadapan orang-orang politik diarah bertukar ke jabatan lain kerana sikapnya itu tidak digemari mereka yang berkuasa.
Sayangnya ketua jabatan tersebut tidak pula mendapat pembelaan KSN kerana seperti biasa Mohd Sidek juga sebenarnya lebih memilih untuk berkhidmat kepada 'political masters' daripada berkhidmat untuk rakyat.
Dalam memonya juga, Mohd Sidek mengingatkan bahawa tugas kakitangan kerajaan adalah untuk melaksanakan polisi kerajaan memerintah yang dipilih rakyat. Walaupun terdapat empat negeri yang diperintah oleh kerajaan yang berlainan daripada kerajaan persekutuan, mereka perlu memenuhi hasrat dan polisi kerajaan negeri yang memerintah.
Tapi persoalannya, adakah Mohd Sidek sendiri mematuhi apa yang dinasihatkan kepada orang-orang bawahannya?
Beberapa bulan lalu, satu mesyuarat (atau dipanggil makmal) tentang hal ehwal pentadbiran tanah telah diadakan di Putrajaya. Antara peserta makmal perbincangan itu ialah wakil Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri. Bagaimanapun makmal yang dipengerusikan Mohd Sidek tidak menjemput wakil-wakil PTG daripada negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat. Tindak-tanduk Mohd Sidek ini tidak dipersetujui oleh pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat kerana bagi mereka mengetepikan PTG daripada negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dalam makmal perbincangan itu samalah seperti mengetepikan rakyat di empat negeri tersebut.
Kita juga tentunya masih ingat tentang peranan, sikap dan tindak tanduk KSN dalam krisis rampasan kuasa di Perak juga isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Selangor awal tahun ini. Maka bolehlah disimpulkan bahawa Mohd Sidek mempunyai suatu lagi kewajipan iaitu perlu berani menjadi contoh teladan kepada ratusan ribu kakitangan kerajaan dengan berpegang kepada etika dan prinsip perkhidmatan dan tidak mudah tunduk kepada arahan tuan politik.
Jika keberanian tidak wujud dalam diri beliau, maka memo yang dihantar itu hanyalah sekadar secebis kertas atau mel elektronik (mel-e) yang tiada nilai dan harga.
Sebenarnya banyak contoh boleh dikutip bagi mendedahkan betapa tidak profesionalnya sesetengah jabatan kerajaan dalam menangani isu hubungan kerajaan negeri - persekutuan di negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat. Semuanya ini berpunca daripada sikap tidak menghormati 'government of the day' akibat arahan tuan politik (political master) di peringkat persekutuan.
Contoh paling mudah dan dianggap remeh tetapi sebenarnya mempunyai implikasi yang besar adalah penggantungan gambar Menteri Besar dan Ketua Menteri di premis-premis yang dimiliki kerajaan persekutuan.
Sudah menjadi rahsia umum bahawa gambar Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri diperintah Pakatan Rakyat tidak digantung atau dipamerkan di premis-premis milik kerajaan persekutuan. Di sekolah-sekolah suatu masa dahulu, gambar Menteri Besar/Ketua Menteri digantung bersekali dengan gambar Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Sultan dan Sultanah, Yang Dipertua Negeri juga Perdana Menteri.
Bagaimanapun kini, amat jarang kelihatan gambar Menteri Besar/Ketua Menteri digantung di premis sekolah milik Kementerian Pelajaran. Gambar Menteri Besar/Ketua Menteri diganti pula dengan gambar menteri pelajaran, pengarah pelajaran persekutuan dan negeri.
Umum mengetahui bahawa gambar-gambar itu digantung dengan tujuan memperkenalkan ketua negara dan ketua kerajaan kepada orang ramai. Ia juga boleh memupuk semangat menghormati pemimpin negara dan sistem bernegara yang kita amalkan. Tindakan tidak menggantung gambar Menteri Besar/Ketua Menteri di samping gambar Perdana Menteri di premis milik kerajaan persekutuan di negeri-negeri Pakatan Rakyat samalah seperti tidak menghormati pilihan rakyat negeri itu, sekaligus tidak menghormati sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan.
Ia juga memberi isyarat yang salah kepada rakyat khususnya para pelajar bahawa dalam sistem bernegara yang kita amalkan, ada kerajaan dan pemimpin yang perlu kita hormati dan ada kerajaan dan pemimpin yang tidak perlu kita hormati.
Saranan Mohd Sidek supaya kakitangan kerajaan bersikap non-partisan ketika menjalankan tugas memang wajar disokong. Tetapi saranan itu wajar disusuli dengan tindakan. Dan tindakan awal yang patut dilakukan Mohd Sidek adalah mengarahkan supaya gambar Menteri Besar Kelantan, Kedah, Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang digantung di premis-premis milik kerajaan persekutuan!
|
Sumber HD : 29/05/2011
http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/3516-please-walk-the-talk-mohd-sidek
KPN jangan nampak sangat bela BN |
Abdul Aziz Mustafa |
KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar didesak agar tidak menampakkan sangat beliau berkhidmat untuk Barisan Nasional (BN) apabila begitu risau parti itu kalah pilihan raya, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
Tan Sri Ismail Omar - KPN
Kenyataan dan pandangan Ismail secara terbuka bahawa kerajaan BN boleh kalah dalam pilihan raya umum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan baik, dilihat tidak septutnya dikeluarkan seorang kakitangan kerajaan. "Apa masalah kepada pasukan polis kalau BN kalah? Mengapa Ketua Polis Negara nampak risau sangat? "Saya harap sangat tidak ada kaitan dengan apa yang disebut oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) bahawa sudah jadi parti perasuah," kata beliau.
YB Dato' Mahfuz Omar - Naib Presiden PAS
Mahfuz mempersoalkan, mengapa Ketua Polis Negara sibuk sangat sama ada BN menang atau kalah? "Kalau Ismail dah terlupa, rakyat perlu bangkit beramai-ramai untuk mengingatkannya bahawa tugas polis menjaga kepentingan negara dan rakyat, bukan menjadi suruhan BN dan menjadi pengawal keselamatan parti itu. "Polis sepatutnya dilihat tidak memihak," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan Ketua Polis Negara itu memperlihatkan dirinya lebih Umno dari Umno. Mahfuz juga mempersoalkan apa perlunya pihak polis mengadakan sesi memerah otak, diskusi dan juga forum sehingga berbulan-bulan lamanya sebelum ISA dan lain-lain undang-undang darurat dihapuskan. "Adakah polis sudah mengambil alih tugas Jabatan Peguam Negara? "Kerja polis bukan menggubal undang-undang, kerja polis menguatkuasakan undang-undang," katanya. Sambil mengakui pihak polis boleh dipanggil untuk memberikan pandangan dalam penggubalan sesuatu undang-undang yang berkaitan dengan bidang kuasanya, Mahfuz berkata adalah pelik kalau Ketua Polis Negara pula yang nampak lebih sudu dari kuah. Beliau juga berharap Ismail mengurangkan kenyataan-kenyataan yang boleh memudaratkan dirinya sendiri.
YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak - PM
"Sekarang semakin ramai yang menuduh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kelihatan lebih tidak cerdik dari (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi). Tun Abdullah Badawi - Mantan PM "Saya harap Ismail lebih berhati-hati agar beliau tidak popular dengan tuduhan tidak cerdik seperti Abdullah," katanya. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5587-kpn-jangan-nampak-sangat-bela-bn
Sumber HD - 25-11-2011
32 pensyarah IAB dikesan jadi alat Umno BN |
Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 17 Nov: Seramai 32 orang pensyarah Institut Aminuddin Baki (IAB) yang bertugas di Kelantan dikesan menjalankan kegiatan menyalahi peraturan dengan berkempen bagi pihak Umno BN. Dalam siri-siri kempen yang diatur, mereka sering memburukkan PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat bagi mempengaruhi orang ramai supaya membenci kedua-dua parti itu. Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Husain berkata, pensyarah-pensyarah terbabit ternyata menjadi alat Umno BN, manakala penempatan mereka di negeri itu memimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak. Menurutnya, sehingga kini Institut Aminuddin Baki masih belum dibina di Kelantan dan keadaan itu pasti merumitkan pensyarah-pensyarah terbabit melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik. Katanya, disebabkan keadaan itu, pensyarah-pensyarah tersebut sehingga kini terpaksa di tempatkan mengajar di beberapa buah sekolah di negeri itu. "Jadi saya ingin bertanya kepada pihak Kementerian Pelajaran, billakah Institut Aminuiddin Baki akan dibina di Kelantan?" katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, semalam. Sekiranya institut tersebut akan dibina di Kelantan, beliau ingin tahu, bilakah pembinaannya akan siap sepenuhnya untuk membolehkannya digunakan dengan baik. Langkah mendirikan institut tersebut di Kelantan, tegas beliau, tidak seharusnya dilengah-lengahkan oleh pihak Kementerian Pelajaran bagi membolehkan pensyarah-pensyarah terbabit melaksanakan tugasnya di institut itu sendiri. Sebelum itu, beliau menyuarakan kekesalannya kerana pihak kementerian itu masih lagi belum memberikan sebarang perkapita kepada sekolah-sekolah agama di negeri itu. Katanya, sekolah-sekolah agama yang masih diabaikan bantuan perkapita itu termasuk sekolah-sekolah Arab yang terdapat di Kelantan. "Saya harap perkara ini diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian bagi kepentingan sekolah-sekolah agama," katanya. Beliau turut menyarankan pihak kementerian mengambil langkah menyelaraskan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan Sijil Tinggi Persekolan Malaysia (STPM). |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6553-32-pensyarah-iab-dikesan-jadi-alat-umno-bn
Sumber HD - 7-11-2011
Jusa dan Turus: BN diminta hormati pegawai kerajaan |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 6 Dis: PAS menolak cadangan kerajaan untuk membuka jawatan utama sektor awam iaitu Jusa dan Turus kepada pihak luar kerana bimbang ia akan diisi mengikut kepentingan politik. PAS yakin, pegawai kerajaan di bawah perkhidmatan awam yang ada layak untuk mengisi kedua-dua kumpulan jawatan utama perkhidmatan kerajaan itu. Kerajaan di bawah pentadbitan Najib Razak dijangka akan melasanakan dasar ini tahun depan dan PAS bimbang kemungkinan akan dijadikan pelantikan politik, selain boleh mecelarukan institusi perkhidmatan kerajaan. Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, isu ini akan dibawa ke Majlis Raja-raja dan Yang Dipertuan Agung sendiri jika ia tidak ditarik balik oleh pentadbiran Najib. “Ini kerana pelantikan jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam juga ada kaitan dengan Perlembagaan Persekutuanm dan keperluan mendapat perkenan Majlis Raja-raja Melayu. Jika pentadbiran Najib tidak menyelesaikan segera isu ini, kami akan membawa ke peringkat atasan,” katanya lagi. Dasar ini juga telah mendapatkan kecaman Cuepacs. Dasar membawa orang luar perkhidmatan awam ke dalam kerajaan juga sudah amat dikesali kakitangan awam sebelum ini. Di bawah projek Pemandu, ramai tenaga-tenaga luar yang di bawa masuk dan membuat pelbagai arahan kepada kakitangan awam terhadap tugas yang selama ini dijalankan dengan baiknya oleh mereka. Ekoran itu, fungsi-fungsi penting Unit Perancang Ekonomi misalnya sudah diambil oleh think tank yang dibentuk oleh Najib dan pentadbiran Abdullah Badawi sebelum ini. Kelmarin, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengisi jawatan utama perkhidmatan awam iaitu JUSA dan dan Turus dengan kepakaran luar terutama dari sektor swasta. Omar berkata, cadangan ini jika dilaksanakan, seumpama menganaktirikan penjawat awam sedia ada yang telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang tertentu. Menurut beliau seharusnya keutamaan jawatan itu diberi kepada penjawat sedia ada terutama golongan muda yang mempunyai idea dan kebolehan agar kualiti kerja dapat ditingkatkan. Dalam kenyataannya hari ini, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dasar terbaru kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedikit sebanyak menunjukkan ketidakpercayaan kepada kemampuan penjawat awam sedia ada untuk mengisi jawatan-jawatan kanan berkenaan pada masa akan datang. Katanya, jika dibuka kepada kepakaran luar bermakna sektor awam akan dipimpin oleh seseorang yang tidak punya kemahiran atau kefahaman jelas mengenai hal ehwal atau selok belok pentadbiran kerajaan. “Dan, dalam keadaan jawatan JUSA dan Turus ini berpotensi dikontrakkan, apa pula jaminan kerahsiaan maklumat sekiranya seseorang luar yang telah dilantik, kemudiannya dipecat kerana gagal tunjukkan prestasi yang baik. “Maklumat sulit kerajaan berpotensi bocor kepada pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau lagi yang menjelaskan bahawa dasar ini berbeza daripada pelantikan ketua hakim negara lalu dari sektor swasta. Mahfuz menambah, beliau tidak menolak kebarangkalian lantikan politik mengisi jawatan-jawatan berkenaan termasuk mereka yang menggunakan kabel Umno, khususnya mereka yang sudah hilang ‘cahaya’ politik. “Perkara ini berlaku pada masa-masa lalu, di mana ada pemimpin Umno dilantik mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC)... jadi, saya yakin keadaan yang sama akan berulang jika dasar ini dilaksanakan,” kata beliau lagi. Mahfuz dasar terbaru ini akan melumpuhkan dan mencelarukan institusi perkhidmatan awam dalam jangka panjang. Katanya, susulan daripada Perhimpunan Agung Umno yang lepas, ada pihak yang melontarkan cadangan bahawa “orang Umno terpilih mesti dipilih mengetuai GLC-GLC tertentu.” “Melalui pelaksanaan dasar ini, kebarangkalian besar jawatan kerajaan menjadi bahan dagangan kepada mana-mana orang politik terbuang dalam arus perdana Umno untuk dilantik sebagai ketua setiausaha atau ketua-ketua jabatan tertentu selaras dengan kehendak perdana menteri. “Untuk makluman, sekarang ini pun dua jawatan ketua pengarah dalam (Jabatan Hal Ehwal Khas) JASA dan Seranta diketuai oleh lantikan politik,” kata beliau merujuk kepada jawatan masing-masing di bawah penyeliaan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, dan Jabatan Perdana Menteri. Oleh itu soal beliau, apa kayu ukur prestasi yang diguna pakai oleh kerajaan untuk mengukur potensi seseorang yang dilantik ke jawatan tersebut. Katanya, antara masalah yang berpotensi berlaku ialah pertama, penjawat awam yang berpotensi tinggi tetapi tidak ada “kabel politik” akan tersekat kenaikan pangkat. “Kedua, sektor awam akan diliberalisasikan sewenangnya ikut kehendak politikus atasan,” kata Mahfuz lagi sambil menambah, sekiranya JUSA dan Turus tertentu dikontrakkan, bermakna sesiapa saja boleh dilantik dan kalau gagal mencapai sasaran tugas akan ditamatkan kontrak. “Ini (akan) mendatangkan persoalan, apa definisi ‘perform’ di mata pemerintah. Adakah ‘perform’ daripada aspek kerja dan integriti ataupun ‘perform’ daripada aspek ikut telunjuk menteri. “Sekiranya ini berlaku, kelangsungan perkhidmatan awam berpotensi untuk rosak, dan hanya akan menjadi alat kepada kehendak politik semata-mata,” kata beliau yang turut menegaskan bahawa ia bercanggah dengan prinsip perkhidmatan awam yang seharusnya bebas dan berkecuali untuk berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah. “Membuka jawatan penting kerajaan kepada lantikan luar membuktikan bahawa perdana menteri tidak mempunyai kepercayaan kepada penjawat awam untuk melaksanakan agenda transformasi beliau sehingga terpaksa mengimport tenaga profesional luar seperti yang dilakukan melalui Pemandu di bawah (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri) Idris Jala,” katanya. Malah kata beliau, satu hari nanti Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, yang menjadi kontroversi dalam isu perjanjian pertukaran saham MAS, juga kemungkinan dibawa masuk selain ketua projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Mahfuz tidak menolak kemungkinan dasar terbaru akan memberi kesan ke atas sokongan bagi Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-13. “Kami terima banyak rungutan dan rasa tidak puas hati mengenai dasar pelantikan orang luar ini, tetapi mereka tidak berani bercakap di luar,” katanya lagi. |
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6889-jusa-dan-turus-bn-diminta-hormati-pegawai-kerajaan
Sidang Media Naib Presiden PAS : http://www.youtube.com/watch?v=xvMmY7pE_yc
Jusa dan Turus daripada swasta :
http://www.youtube.com/watch?v=zp1j1dtVZQs&feature=channel_video_title
UMNO ada masalah dengan sokongan Orang Melayu :
http://www.youtube.com/watch?v=xvMmY7pE_yc&feature=related
Sumber HD - 6-12-2012
Penjawat awam diseru tadbir nafsu lebih dahulu
Rizal Tahir, | 06 Jan 2013 |
KOTA BHARU: Para petugas dan penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya mentadbir nafsu mereka terlebih dahulu kerana ia adalah yang paling utama sebelum mentadbir negeri ini.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengingatkan demikian sewaktu menyampaikan amanatnya di Majlis Himpunan Anggota Perkhidmatan Awam Kompleks Kota Darul Naim, di sini pagi tadi.
“Tadbir nafsu sendiri dari melakukan perkara-perkara yang tidak betul amat penting sebelum mentadbir negeri.
“Apabila kita mampu mentadbir nafsu sendiri maka senanglah kita untuk mentadbir negeri ini,” ujarnya.
Beliau juga berkata, sepanjang tahun iaitu dari bulan Muharam hingga bulan Zulhijah perlulah dianggap dan disambut sebagai tahun baru.
“Kita perlu ada semangat hijrah sepanjang tahun, iaitu tinggal barang-barang karut dan ambil barang yang berguna, “ katanya.
Sementara itu Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, berkata, tiga dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri iaitu ubudiyah, itiqan dan masuliyah (Umi), yang diterap kepada kakitangan awam negeri ini ternyata berkesan menghasilkan kualiti kerja yang baik.
Ini terbukti dengan kejayaan dan anugerah yang dicapai oleh jabatan dan kakitangan kerajaan negeri sepanjang tahun 2011 dan 2012.
“Konsep Umi yang telah diterapkan di dalam jiwa penjawat awam di negeri ini telah banyak member kesan penghasilan kerja (output),” ujarnya.
Beliau berkata, pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan, telah menerima pengitirafan empat bintang pada 2011 di dalam Perlaksanaan Penilaian Star Rating Pejabat SUK/Mampu, berbanding pada tahun 2009, iaitu tiga bintang.
“Bagi tahun 2013, pihak SUk Kelantan mensasarkan mencapai pengiKtirafan kepada lima bintang pula,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, Pejabat SUK Kelantan juga memperolehi pencapaian 100 peratus penyelesaian aduan awam bagi tahun 2010 dan 2011 dan telah mendapat pengiKtirafan daripada Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam.
“Penggunaan tahun hijrah dan tulisan jawi dalam diari rasmi kerajaan negeri telah mendapat pujian secara lisan oleh beberapa orang pegawai kanan di Putrajaya,” ujarnya lagi.
Dalam majlis berkenaan, jabatan-jabatan kerajaan negeri yang mencapai kejayaan dan mengharumkan kerajaan negeri diberi sijil perhargaan di atas kecemerlangan mereka.
Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
No comments:
Post a Comment