Adun DAP gesa sedia peruntukan besar untuk SAR |
Ismail Hashim | |||
SHAH ALAM, 30 Mac: Adun Sekinchan, Ng Swee Lim menggesa Kerajaan Negeri Selangor memberikan peruntukan besar kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR). YB Dr Halimah Ali - Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Wakil rakyat DAP itu membuat gesaan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali.
YB Ng Swee Lim - ADUN Sekinchan
Menurut Swee Lim, memandangkan keadaan SAR ini agak ketinggalan, dengan kewangan yang disalurkan dalam jumlah besar itu membolehkan mereka menambahbaikkan bangunan dan persekitaran sekolah agar lebih selesa. Hari ini masuk hari kedua persidangan Dun Selangor untuk penggal pertama sidang kedua belas yang dirasmikan Sultan Selangor pada 28 Mac lalu dan sesi sidang pula bermula semalam sehingga 5 April depan. Dr Halimah di dalam jawapannya, menyatakan ucapan terima kasih di atas perhatian tinggi Adun Sekinchan itu meskipun bukan beragama Islam tetapi tetap prihatin dengan perihal SAR berbanding dengan pembangkang yang bersikap sebaliknya. Terdahulu, ketika menjawab soalan asal, Dr Halimah berkata, sebanyak 769 Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat bantuan pendidikan daripada Kerajaan Negeri Selangor. Semua bantuan itu, jelasnya, berjumlah RM32 juta bagi tahun 2009 dan 2010 dalam usaha mencapai matlamat kerajaan memperkasakan pendidikan di negeri ini sebagai Hub Pendidikan dan Hub Ilmuan. "Sebanyak 820 permohonan dibuat 2009 dan 2010 dengan 769 permohonan diluluskan sebanyak 320 sekolah bagi 2009 manakala 449 sekolah untuk 2010 dengan pecahan mengikut sekolah adalah 160 buah bagi SAR, 77 (SJKC), 97 (SJKT) bagi 2009 manakala bagi 2010 adalah sebanyak 252 (SAR), 100 (SJKC) dan 97 (SJKT). "Jumlah permohonan 2010 meningkat berbanding 2009 iaitu sebanyak 134 permohonan dan jumlah permohonan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 129 permohonan. "Bagi SJKC dan SJKT permohonan yang dibuat dapat diproses dengan baik tanpa ragu-ragu kerana sekolah yang membuat permohonan adalah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, namun berbeza dengan SAR yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak sama ada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Kementerian Pelajaran," tegasnya. Tambahnya, program bantuan agihan pendidikan sekolah-sekolah ini adalah merupakan di antara langkah-langkah diambil kerajaan negeri bagi memantapkan visi pendidikan untuk menjadikan Selangor sebagai Hub Ilmuwan dan Hub Pendidikan. "Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri memberikan perhatian kepada beberapa perkara seperti keadaan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, kemahiran peningkatan pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru-guru sekolah, kualiti para pelajar terutama dari aspek akademik dan sahsiah serta kelicinan dan pengurusan sekolah yang sistematik dan efektif. "Selain bantuan pendidikan itu, katanya, kerajaan negeri turut memberi latihan kursus perguruan kepada guru-guru SAR di mana guru-guru itu tidak pernah diberi kursus dan pihak sekolah juga tidak ada dana yang mencukupi untuk tujuan itu," jelasnya lagi. Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan negeri melalui Yayasan Selangor (YS) turut mewujudkan dermasiswa dan meluluskan pembinaaan Tadika Rakyat di negeri Selangor pada 2009. Dr Halimah berharap Kerajaan Negeri Selangor akan mendapat sumber rezeki kewangan yang lebih di masa akan datang untuk memberikan lebih manfaat besar kepada rakyat negeri terutamanya dalam bidang pendidikan. Katanya, beliau sendiri secara peribadi ingin melihat SAR yang berjumlah 500 buah itu akan dapat dibantu dalam usaha kerajaan mencapai matlamat yang diidamkan oleh kerajaan negeri, selama ini yang inginkan Selangor menjadi Hub Ilmu Hub Pendidikan.
|
Dun Selangor lulus usul mansuh ISA |
Harakahdaily | ||||||
SHAH ALAM, 2 Apr: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor semalam meluluskan usul ‘Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)’ yang dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Shaari Sungib.
YB Ir Shaari Sungib - ADUN Hulu Klang
Turut diluluskan usul mewujudkan sekretariat khas bagi menggerakkan program-progran kesedaran seluruh Selangor untuk menerangkan berkenaan kezaliman akta tersebut. Dewan juga meluluskan untuk memberikan peruntukkan bagi memasang papan-papan tanda (billboard) di setiap DUN dengan tema ‘Selamatkan Malaysia: Mansuhkan ISA’. Timbalan Speaker Haniza Talha berkata, melalui usul ini, kerajaan negeri akan menubuhkan sekretariat khas untuk melaksanakan program penerangan termasuk kempen mansuhkan ISA di seluruh negeri Selangor. Shaari ketika membentangkan usul tersebut berkata, ISA hanya senjata politik kerajaan untuk menakutkan rakyat namun lebih zalim apabila rakyat yang menjadi mangsa ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah. “Negara Israel yang zalim pun ada undang-undang seperti ISA, tetapi mereka menahan rakyat dibawah kuasa Perintah Tentera 1500, selama 15 hari yang sekarang sudah dipendekkan ke lapan hari, dan apabila ditahan boleh membela di mahkamah tentera. Dan apabila mahkamah tentera yang memang tidak adil ini jika berpuashati disambung enam bulan sahaja,” katanya. Tambahnya lagi, ISA pula boleh menahan seseorang individu sehingga 60 hari dan boleh disambung ke dua tahun, serta tahanannya pula dikenakan penyeksaan tanpa alasan munasabah. “Penggunaan ISA ini adalah kuasa kerajaan untuk menerapkan budaya ugut, ancam dan menakutkan rakyat dan kesan daripada itu berlakulah pembolotan dan pemusatan kuasa yang cukup luarbiasa dalam amalan sistem demokrasi negara,” tegas beliau lagi. Menurut Shaari, usul mansuhkan ISA itu juga terdapat dalam program 100 hari Pakatan Rakyat yang diedarkan menerusi Buku Jingga. “Apa yang kita perlu lakukan hari ini adalah untuk melonjakkan lagi usaha memberi penerangan kepada rakyat kerana hari ini kita ada kelebihan, untuk melaksanakan program dengan segera,” tambahnya. Sumber HD : 2/04/2011 Dun Selangor bersidang 19 Mac depan
SHAH ALAM, 8 Feb: Dewan Undangan Negeri Selangor akan memulakan persidangan kali pertama bagi sesi 2012 selama empat hari mulai 19 Mac nanti.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menjelaskan Tuanku Sultan Selangor telah berkenaan serta akan merasmikan pembukaan persidangan pada tarikh tersebut. "Persidangan ini telah ditetapkan pada 19 Mac nanti dan akan berlangsung selama empat hari. "Tuanku Sultan Selangor telah perkenaan dan baginda akan hadir bagi merasmikan persidangan tersebut," jelasnya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri Selangor di sini, hari ini. Tambahnya lagi, pada persidangan kali ini kerajaan negeri akan membentangkan keadaan kewangan negeri dan program-program pembangunan yang akan diadakan. Beliau juga memberitahu, menurut laporan Jabatan Kewangan Negeri menyatakan bahawa rizab negeri telah bertambah lebih 26 peratus iaitu secara terkumpul sebanyak RM1.9 bilion bagi akhir tahun 2011. "Jumlah ini lebih tinggi jika dibandingkan pada akhir tahun 2007 yang mana jumlah terkumpul hanya RM500 juta sahaja. "Apa yang saya maklumkan ini belum lagi diaudit tetapi laporan kewangan tersebut akan dihantar kepada Ketua Audit Negara untuk mendapat pengesahan terhadap angka-angka yang telah diberitahu," jelasnya. Sumber HD : 8/02/2012 Dakwaan Hassan Ali satu tuduhan liar - Dr Halimah
SHAH ALAM, 27 Mac: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali kesal dengan dakwaan Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Ali mengenai pengubahsuaian pejabatnya.
Jelasnya, pejabat yang diduduki pada masa ini merupakan pejabat yang ditumpangi semenjak beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri. “Untuk membuktikan kata ini, saya menjemput semua media melawat pejabat saya sebagai membuktikan bahawa dakwaan Hassan Ali adalah satu tuduhan liar semata-mata yang inginkan perhatian rakyat. “Memang tiada ubahsuai apa pun di pejabat itu. Saya jemput semua datang ke pejabat saya dan jangan lupa bawa kamera sekali,” kata beliau yang juga Adun Selat Klang ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor, petang semalam. Sementara itu, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar turut menyangkal tuduhan Hassan yang mendakwa beliau menggunakan peruntukan yang tinggi untuk melakukan pengubahsuaian pejabat. “Saya memang ada buat ubahsuai pejabat, tetapi cuma tukar karpet dan tambah partition untuk beri keselesaan pada rakyat yang ada urusan ke pejabat saya, itu sahaja. “Rakyat yang hadir pejabat saya pasti akan berkata pejabat exco guna karpet yang lusuh dan tiada partition antara kakitangan, mengapa pemerintahan kerajaan terdahulu semua serba baru. Maka dengan itu, saya tukar karpet dan tambah partition. “Anda fikir dengan pengubahsuaian yang saya sebut tadi tu boleh cecah ke RM300,000? Tentulah kos ubah suai yang saya sebut tadi jauh lebih rendah dari RM300,000,” ujarnya lagi. Perkara itu dibangkit Hasan Ali kerana Adun Bulit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali minggu lalu mendedahkan bekas pesuruhjaya PAS yang telah dipecat itu ketika menjadi Exco telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk mengubahsuai pejabatnya. Sumber HD : 27/03/2012 Banyak pengiktirafan Unisel di bawah Pakatan
SHAH ALAM: Semenjak Pakatan Rakyat (PR) memerintah Selangor pada 2008, Universiti Industri Selangor (Unisel) menerima pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara.
Demikian dinyatakan oleh pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali ketika menjawab pertanyaan Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) berhubung kejayaan Unisel yang boleh dibanggakan. Jelasnya lagi, kedudukan Unisel adalah setaraf dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) apabila menerima pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 2009. Beliau memberitahu, Unisel juga dikenali Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), berbanding dengan universiti di bawah pentadbiran Umno BN. “Suka saya khabarkan dalam sidang Dun yang mulia ini, bahawa di akhbar-akhbar pro kerajaan menceritakan tentang pencapaian Unisel di bawah pengurusan Pakatan Rakyat antaranya menjadi juara mencipta model satelit nano dan pertukaran pelajar ke Jepun. Selain itu, ada juga akhbar melaporkan tentang kejayaan Unisel melahirkan pelajar terbaik dalam bidang kejuruteraan yang mendapat pengiktirafan Institut Kejuruteraan Malaysia,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini. Tambah beliau lagi, jumlah kemasukan pelajar pada tahun ini juga meningkat sebanyak 13,528 sehingga Jun lalu, berbanding ketika Umno BN mentadbir Selangor. Sumber HD : 12/07/2012 |