Jika tidak mahu demonstrasi jalanan, buatlah pilihanraya adil
Oleh Tuan Hj Mohamad Sabu
Tunjuk perasaan aman sudah menjadi perkara biasa terutama di negara yang menjalankan pemerintahan sistem demokrasi. Samada demokrasi liberal seperti di negara Eropah Barat, USA dan juga demokrasi terpimpin di negara sebelah Asia. Demokrasi selalunya dibuat oleh kesatuan sekerja dalam usaha mereka menuntut keadilan samada hal gaji atau pendapatan atau menuntut status social yang lebih baik.
Tunjuk perasaan juga sering berlaku di mana-mana negara untuk menunjukkan sokongan kepada sesuatu dasar seperti dasar menghadkan bilangan anak, hak milikan sekim insuran dan kesihatan, hak mewarisi harta, hak menganut agama dan budaya.
Tunjuk perasaan juga dibuat untuk menentang sesuatu dasar yang dibuat oleh sesebuah negara seperti tunjuk perasaan menetang penglibatan USA di Vietnam. Ia dilakukan oleh rakyat USA sendiri atau rakyat di negara lain, tentangan mereka terhadap dasar USA. Keganasan regime Israel terhadap rakyat Palestine, selalunya berlaku tunjuk perasaan di seluruh dunia di merata negara menyatakan sikap tidak setuju terhadap kekejaman Israel.
Tunjuk perasaan juga pernah dibuat untuk menyokong sesuatu dasar atau peristiwa, seperti sokongan kepada Hezbullah Lubnan, sokongan kepada Gadafi pada tahun 1970-an di atas sikapnya terhadap Barat, sokongan terhadap Iran dalam menghadapi sikap/dasar Hagamoni Barat terhadap negaranya, demonstrasi menyokong Hamas Palestine dan berbagai demonstrasi tanda sokongan terhadap sesuatu perkara.
Saya cuba gambarkan segelintir jenis tunjuk perasaan yang sering dilakukan oleh manusia di atas muka bumi ini.
Demonstrasi untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan agak jarang berlaku di negara-negara dunia ketiga, kalau ianya berlaku bukanlah acara tahunan atau acara biasa. Tunjuk perasaan untuk menukar regime pemerintahan selalunya membawa kepada huru-hara dan memakan korban di pihak rakyat atau pendokong pemerintah.
Puluhan pelajar university di Thailand gugur dalam demonstrasi menetang regime Suchinda, lebih 4,000 pelajar dan orang awam ditembak mati oleh polis Shah Iran pada Jumaat, September 1978, puluhan gugur dalam demonstrasi untuk menggulingkan regime Suharto.
Demonstrasi untuk menjatuhkan pemerintah bukan upacara (event) biasa dan berlaku dalam suasana luar biasa. Demonstrasi rakyat untuk menukar regime pemerintah berlaku di negara-negara yang tidak mengamalkan sistem demokrasi. Pilihanraya di negara-negara ini diadakan hanya untuk mengesahkan regime yang berkuasa. Melalui pilihanraya, terlalu gelap gelita untuk menukar regime Suharto yang disokong kuat oleh ABRI.
Kecuali secara atau melalui pilihanraya mana ada jalan untuk menukar pemerintah Ferdenand Marcos-Imelda. Mana ada cara untuk menukar pemerintah Shah Iran yang didalangi oleh USA dan Israel. Hanya demonstrasi jalanan untuk menukar regime dictator dan zalim dan tidak menjalankan proses demokrasi yang adil. Hampir kesemua negara Arab memerintah secara dictator. Pilihanraya diadakan hanya untuk melanjutkan kuasa regime yang sedang memerintah. Saddam Hussein selalunya memperoleh undi lebih 90%, parti NDP Hosni Mubarak baru mencapai kemenangan 98% dalam pilihanraya 4 bulan yang lalu.
Jangan melihat siapa yang menang, tetapi mesti dilihat perjalanan pilihanraya untuk merebut kuasa.
Adakah pertandingan berlaku di padang yang sama rata, adakah pemainnya sama banyak, adalah tiang gol sama besar, adalak pengadil benar-benar adil menjalankan tugas, adakah pasukan sorak dibenarkan masuk ke padang di sebelah pihak sahaja.
Bukan menjadi pilihan rakyat untuk membuat tunjuk perasaan untuk menjatuhkan pemerintah. Lebih 300 terkorban di Mesir barulah regime Mubarak tumbang, ratusan terkorban di Tunisia barulah regime Zainal Abidin-Laila bertukar, sudah ribuan terkorban do Libya belum tentu dictator Gadafi akan tumbang.
Regime Najib-Muhyiddin (Najib-Rosmah) tak perlu memberi amaran kepada rakyat supaya jangan mengikut cara rakyat Mesir, Tunisia atau Timur Tengah berdemostrasi untuk menjatuhkan kerajaan. Malah mereka mesti bertanya kepada diri mereka sendiri, adakah mandat yang mereka perolehi melalui pilihanraya yang sah dan adil. Adakah media di Malaysia bebas, pasukan keselamatan digunakan oleh BN/UMNO atau tidak dalam pilihanraya, wang kerajaan digunakan atau tidak untuk BN mencapai kemenangan, SPR bebas atau tidak dalam mengendalikan pilihanraya.
Rakyat ke jalan raya atau tidak untuk menukar kerajaan BN bergantung sepenuhnya kepada pemerintah BN. Ke jalan raya (demonstrasi) bukan pilihan rakyat tetapi ia adalah pilihan pemerintah yang berkuasa. Hosni Mubarak dan NDP yang menyebabkan rakyat ke jalan raya, dan bukan pilihan rakyat Mesir.
Himpunan BERSIH bukan hendak menjatuhkan kerajaan, ianya adalah untuk memberi peringatan supaya mereka yang berkuasa menjalankan pilihanraya dengan adil. Keadilan dalam pilihanraya adalah punca dan penyebab adanya keamanan.
Dipetik dari DD : 12.03.2011
Dipetik dari DD : 12.03.2011
Kenapa wajarnya Himpunan 500K Bersih 2? |
Nasrudin Tantawi - Ketua DPPP |
1. Kita telah memberikan tempoh sehingga 1 Mei 2011 untuk Kerajaan Umno dan BN segera melakukan satu transformasi yang meyakinkan rakyat dalam pengurusan dan pengendalian sistem demokrasi negara agar adil, telus dan baik. Rakyat telah menanti dalam satu tempoh yang terlalu lama untuk kerajaan melakukan perubahan yang dimaksudkan sejak tuntutan mereka melalui rally Bersih 1 tempoh lalu. |
SPR tidak bebas, Pakatan kalah |
Suhaimi Mokhtar |
PAS-Pakatan kalah lagi dalam pilihanraya kecil Dun Kerdau,Pahang dan Dun Merlimau,Melaka ,apabila calunnya di Kerdau, Hassanuddin Salim tewas ditangan calun Umno-BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad,dan calon PAS-Pakatan, Yuhaizad Abdullah kecundang di Merlimau di tangan calon Umno-BN,Roslan Ahmad.
Sdr Hassanuddin Salim - calon Kerdau
Sdr Yuhaizad Abdullah - Calon di Merlimau
Di Kerdau,calun PAS mendapat 2,336 undi berbanding Umno-BN 5,060 sementara di Merlimau PAS mampu meraih 2,319 undi berbanding Umno-BN mendapat 5,962 undi. |
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31376:spr-tidak-bebas-pakatan-kalah&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131
Demo jalan raya untuk demokrasi pilihan raya |
Mohd Nasir Awang |
Alhamdulillah, satu permulaan sangat baik untuk Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) di Besut, malam tadi (Jumaat, 18 Mac). Dianggarkan lebih 10 ribu hadirin membanjiri Dataran PGU yang terletak di belakang Masjid Bandar Jertih. Diharap sambutan luar biasa sebegitu berlanjutan dalam sesi-sesi seterusnya sepanjang hari ini hingga ke penghujung acara tengah malam nanti. Sepertimana kebiasaan bagi mana-mana perhimpunan besar dianjurkan PAS, majlis malam tadi juga berlangsung penuh tertib dan adab. Lautan hadirin seramai itu masih berupaya meminimakan sebarang kesulitan, kacau-ganggu atau apa-apa kesan negatif terhadap pihak yang tidak ikut serta, khususnya penduduk sekitar lokasi. Tidak syak lagi ketertiban itulah antara yang meyakinkan kepimpinan PAS untuk menganjurkan sebarang perhimpunan berskala besar. Mereka tahu ahli dan penyokong parti sangat mengutamakan disiplin diri. Mereka tahu adab, sama ada ketika menggunakan jalan raya, sepanjang berhimpun, mahu pun bersurai. Hakikat itu mewajarkan pendirian kita betapa pihak lain tidak sepatutnya gusar atau menelah dengan berbagai andaian negatif dan buruk sekiranya PAS berhasrat mengadakan sebarang perhimpunan. Lebih-lebih lagi itulah antara isyarat dan penegasan penting dalam ucapan penceramah utama malam tadi, Haji Mohamad Sabu. Beliau yang juga pengerusi lajnah berkaitan mobilisasi massa untuk demokrasi sekali lagi mengulangi pendiriannya berhubung kepentingan rakyat berhimpun menunjukkan sikap terhadap sebarang salahlaku atau kepincangan parti pemerintah. Isu paling ditekankan beliau ialah soal pengurusan pilihan raya negara ini yang disifatkannya masih belum meyakinkan. Rakyat memang tidak menilai keadaan proses demokrasi itu setakat ini diurus secara adil, telus dan bersih. Banyak sangat kepincangan dan kelompangan dalam urustadbir pilihan raya kita. Kita telah menyaksikan bagaimana kemuncak rasa benci dan muak rakyat terhadap penyelewengan dan ketidakadilan proses pilihan raya telah membuahkan satu perhimpunan lebih 100 ribu rakyat di ibu negara beberapa tahun lalu. Mereka menuntut pilihan raya negara diurus secara adil dan bersih. Antaranya, daftar pemilih dibersihkan daripada sebarang perkara meragukan, pendaftaran pemilih dibuat secara automatik, penghapusan undi pos dan penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berulang. Rakyat juga menuntut akses lebih luas dan adil kepada parti pembangkang dalam media arus perdana, termasuk yang dikuasai kerajaan. Seluruh negara gempar dengan komitmen luar biasa ditunjukkan rakyat menuntut keadilan demokrasi. Pada suatu peringkat Barisan Nasional (BN) kelihatan seolah-olah bakal meraikan tuntutan itu. Beberapa aspek perjalanan pilihan raya dikatakan lebih telus dan adil ketika pilihan raya umum lalu. Namun, tsunami politik yang terhasil daripada proses lebih demokratik itu tidak memihak kepada BN. Ia tumbang di lima negeri dan hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen. . “Inilah bukti, apabila demokrasi dilaksanakan dengan sebenarnya, rakyat diberi peluang memilih secara adil, BN boleh ditumbangkang. Betul atau tidak?”, terjah Mohamad Sabu, dengan gaya yang menjadi ‘trademark’ beliau itu. Menurutnya, ekoran keputusan mengejutkan itu BN seakan hilang punca. Riak dan tingkahnya selepas itu hingga kini tidak menampakkan ia bersedia mengulangi proses pemilihan setelus pilihan raya 2008. Ia jelas tidak menguntungkan BN. Justeru, rakyat tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat proses demokrasi lebih baik dalam pilihan raya nanti. Setakat ini BN bukan sahaja tidak menunjukkan komitmen meyakinkan untuk memenuhi tuntutan rakyat. Pendaftaran pengundi secara automatik masih dalam perbahasan. Penggunaan dakwat kekal belum diterima, pembersihan daftar pemilih tidak dilakukan. Keadilan media untuk pembangkang pula suatu yang masih terlalu jauh untuk direalisasikan. Paling mengusik kesabaran rakyat ialah pendirian kerajaan berhubung undi pos. Jangan dikatakan ia bakal dihapuskan, kerajaan sebaliknya berura-ura memperkasa dan memperbanyakkan lagi kategori pemilih yang layak didaftarkan sebagai pengundi pos. Sebelum ini yang disenaraikan sebagai pengundi kategori itu majoritinya adalah anggota pasukan keselamatan, iaitu polis dan tentera. Namun kedengaran kebelakangan ini hasrat menjadikan suami atau isteri mereka pula sebagai pengundi pos. Bahkan, kecenderungan itu juga diura-ura turut melibatkan anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela). “Jika benar anggota Rela pun nak dijadikan pengundi pos, ini terang-terang usaha menyelamatkan BN. Awas! Kita memberi amaran, kita tidak akan teragak-agak untuk sekali lagi turun ke jalan raya,” Mohamad Sabu memberi amarannya, disambut laungan takbir hadirin. Beliau menafsirkan pendirian meragukan ditunjukkan kerajaan, terutama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seakan berusaha menukar status anggota Rela daripada pemilih biasa kepada pengundi pos yang banyak diperkatakan masyarakat sebelum ini. Semua kita akui undi pos setakat ini tidak pernah memihak kepada pembangkang. Ia bagaikan deposit tetap buat BN. Sebab itu sebarang usaha memperluaskan kategori pemilih yang layak didaftarkan sebagai pengundi pos secara mudahnya memang boleh dianggap usaha menambah undi tetap untuk BN. Logik, bukan? Ertinya undi pos adalah perkara yang sering menjadi bahan utama pertikaian. Ia dikaitkan sebagai lambang ketidaktelusan dan taktik jahat BN mengekalkan kuasa. Ia juga dilihat medan paling subur untuk penipuan BN demi mendapatkan undi tinggi. Apatah lagi kumpulan pengundi pos berada dalam persekitaran yang tertakluk sepenuhnya kepada manipulasi kuasa dan kawalan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang menguntungkan BN selaku kerajaan. Justeru, jika benar Rela turut dijadikan undi pos, ia sebenarnya menambahkan kekecewaan rakyat dan memburukkan persepsi tidak telus perjalanan proses demokrasi negara. Apakah rakyat harus berdiam diri melihat penodaan itu di depan mata? Apakah menjadi kesalahan sekiranya rakyat sekali lagi menggunakan jalan raya untuk menuntut keadilan pilihan raya? Itulah intipati persoalan dilontar Mohamad Sabu malam tadi. Beliau menjelaskan apa yang bakal dilakukan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat adalah bagi memastikan demokrasi terpelihara. Justeru, kemungkinan demonstrasi jalan raya yang disebutnya adalah dalam rangka memulihkan proses demokrasi dan menuntut keadilan pilihan raya, tidak lebih dari itu. Sebelum ini Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Harakah 1618, 28 Februari lalu) membayangkan kemungkinan mengadakan himpunan Bersih ke-2 jika kerajaan BN gagal memperbaiki kelemahan sistem pilihan raya diamalkan kini. |
Dipetik dari Harakahdaily : 19.03.2011
Demo seluruh negara bantah Utusan esok |
Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR, 23 Jun: Ekoran sikap angkuh dan enggan memohon maaf, Dewan Pemuda PAS akan mengadakan bantahan terhadap Utusan Malaysia di seluruh negara esok. Bantahan aman terhadap penyiaran karikatur "Kekeliruan Kes Rogol" yang didakwa menghina agama Islam itu akan dibuat selepas solat Jumaat. "Tempoh yang diberi Dewan Pemuda kepada Utusan telah tamat kelmarin. Dan sehingga tempoh itu Utusan tidak memohon maaf.
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi - Ketua DPPP
"Jadi kita telah buat keputusan untuk membantah sikap angkuh Utusan di seluruh masjid di seluruh negara selepas solat Jumaat esok," kata ketuanya, Nasrudin Hassan ketika ditemui di pejabat pembangkang di parlimen hari ini. Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat di sini. Sebelum ini, Utusan Malaysia diberi tempoh tujuh hari agar memohon maaf bermula dari tarikh karikatur itu disiarkan pada 15 Jun lalu. Selain itu, Dewan Pemuda PAS Pusat juga mahu Utusan Malaysia mengambil tindakan ke atas pelukis karikatur itu yang hanya dikenali sebagai “Miki.” "Kita juga akan mulakan kempen boikot Utusan di seluruh negara," katanya. |
Rampasan baju Bersih 2.0 tidak sah - mahkamah
Harakahdaily, | 14 Nov 2012 |
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan bahawa rampasan baju Bersih 2.0 oleh pihak polis dan Menteri Dalam Negeri tidak sah.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan bahawa pihak polis harus memulangkan baju-baju yang dirampas kepada plaintif dalam masa 14 hari.
Demikian dimaklumkan Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi (gambar) dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikut adalah kenyataan beliau.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan bahawa rampasan baju Bersih 2.0 oleh pihak polis dan Menteri Dalam Negeri tidak sah di mana Mahkamah Tinggi turut memerintahkan bahawa pihak Polis harus memulangkan baju-baju yang dirampas kepada Plaintif dalam masa 14 hari.
Plaintif di dalam kes ini iaitu Musafri bin Abdullah Azmi memfailkan saman terhadap Dato’ Seri Hishamuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan 3 yang lain kerana mendakwa penahanan beliau dan rampasan pihak Polis terhadap baju-baju beliau yang tertera “Bersih 2.0 Gabungan Pilihanraya BERSIH dan Adil” pada 24/6/2011 adalah salah dan tidak sah, mala fide, melanggar hak dan kebebasan asasi manusia serta melanggar Pelembagaan Persekutuan.
Plaintif diwakili barisan Peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) iaitu Mohd Nazruddin Abdullah, Ahmad Termizi Abdullah, Noorazmir Zakaria dan Azizzul Shariman Perbicaraan adalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, iaitu Yang Arif Dato’ Hj Zainal Azman bin Ab Aziz.
JUHAM menyambut baik keputusan Mahkamah tersebut kerana tindakan pihak Polis yang sewenang-wenangnya merampas baju Bersih 2.0 jelas adalah suatu tindakan yang tidak bertamadun dan merupakan suatu tindakan terdesak bagi menghalalkan niat jahat Umno dan Barisan Nasional bagi menghalang kebangkitan rakyat dalam menyuarakan suatu Pilihanraya yang bebas dan adil.
Keputusan Mahkamah ini juga membuktikan bahawa pihak polis telah menyalahgunakan kuasa yang diberikan pihak Menteri apabila dengan sengaja ingin menakut-nakutkan rakyat dengan membuat rampasan baju Bersih 2.0 tersebut yang jelas suatu tindakan yang langsung tidak berasas dan menyalahi hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi, ASP Mohd Amirul Anbalagan bin Abdullah, 41, yang merupakan pegawai penyiasat kes tersebut ketika memberikan keterangan pada hari perbicaraan mengakui dan bersetuju bahawa memiliki dan memakai baju Bersih 2.0 adalah tidak salah.
JUHAM ingin menegaskan bahawa hak asasi manusia tidak boleh dicabul dengan menggunakan kuasa tangkapan dengan sewenang-wenangnya di mana kuasa untuk menangkap oleh pihak polis haruslah berasaskan kepada syak wasangka yang munasabah dan bukannya mengikut telunjuk UMNO dan Barisan Nasional.
JUHAM komited untuk terus memperjuangkan hak asasi anggota masyarakat yang ditindas dan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mara ke hadapan dalam menuntut suatu Pilihanraya yang bebas dan adil tanpa rasa gusar dan takut kerana hak anda sentiasa dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Seterusnya JUHAM memberikan amaran kepada Umno dan Barisan Nasional untuk tidak terus menggunakan taktik yang dayus dan menakutkan-nakutkan rakyat. Hadapilah rakyat secara anak jantan pada Pilihanraya Umum yang akan datang dan bukannya mempergunakan pihak polis hanya kerana ingin mempertahankan kuasa yang ada yang telah semakin reput ditelan dek kebangkitan rakyat.
Sumber HD - 14-11-2012
No comments:
Post a Comment