FACE BOOK PAS SELANGOR

FACE BOOK PAS SELANGOR
BERKOMUNIKASI SECARA LEBIH MUDAH DAN CEPAT

Friday, June 10, 2011

SIAPA YANG HALANG HUDUD KARPAL ATAU MAHATHIR?

Individu pertama halang hudud bukan Karpal tapi Mahathir, selar Nik Aziz

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, individu pertama yang menghalang kerajaan negeri Kelantan daripada melaksanakan hukum hudud adalah Tun Dr Mahathir Mohamad bukan Karpal Singh seperti mana didakwa bekas perdana menteri itu.





Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat - MB Kelantan

Kata Nik Aziz (gambar), kemungkinan Dr Mahathir sudah lupa bahawa beliau telah menghantar surat amaran kepada kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS daripada melaksanakan hukum hudud.
Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993.



Tun Dr Mahathir Mohamad - Mantan PM


Ini berikutan dengan janji PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihan raya umum 1990.
Bagaimanapun hasrat untuk melaksanakan hukum hudud tidak dapat dilaksanakan kerana Dr Mahathir telah menyekat pelaksanaannya, ia disekat melalui satu surat amara dihantar kepada Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

“Seingat saya orang yang menghantar surat kepada kerajaan negeri Kelantan agar tidak melaksanakan hudud satu ketika dahulu namanya ialah Mahathir Mohamad bukannya Karpal Singh.





YB Tuan Karpal Singh a//l Ram Singh - Pengerusi DAP

“Barangkali orang yang bernama Mahathir Mohamad ini sudah lupa, untuk tujuan mengingatkannya saya boleh tunjukkan surat itu, ia masih ada dalam simpanan saya,” kata Nik Aziz dalam laman Facebook beliau hari ini.

Semalam Dr Mahathir mendakwa pihak menang besar di sebalik pemilihan PAS hujung minggu lalu adalah tokoh-tokoh yang tidak hadir dan bukan ahli PAS khususnya Karpal.

Dengan nada menyindir, beliau berkata, syabas dan tahniah kepada Karpal kerana “akhirnya perjuangan mu menentang negara Islam PAS sudah berjaya.”

Kata Dr Mahathir, yang kalah ialah puak ulama manakala yang menang ialah puak kopiah hitam, penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, perjuangan Karpal, selaku Pengerusi DAP kebangsaan, supaya PAS menggugurkan matlamat mendirikan negara Islam, yang akan menguatkuasakan hukum hudud sudah pun tercapai.

Dr Mahathir mendakwa PAS berbuat demikian kerana ingin menghalalkan kerjasama DAP, khususnya Karpal.





YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang - Presiden PAS 

Dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan Ke-57 Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan.




YB Dato' Mahfuz Omar - Naib Presiden PAS

Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya tidak perlu mengambil berat akan kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir sambil menyifatkan pemimpin veteran itu “kewarasannya sudah tidak stabil.”

“Kita tidak perlu nak ambil peduli, ini kenyataan yang sudah sampai ke tahap kewarasan yang sudah tidak stabil dan saya bersimpati kepada beliau (Dr Mahathir).

“Beliau sebenarnya tidak sedar apa yang beliau katakan itu sebab itu PAS tidak perlu nak ambil berat sangat, orang yang paling kuat menentang hudud adalah Dr Mahathir... orang pertama yang menghantar surat amaran kepada Kelantan adalah Dr Mahathir.

“Karpal tidak menentang seperti mana yang dilakukan Dr Mahathir, sejarah sudah membuktikan orang yang menentang negara Islam dan hudud adalah Dr Mahathir dan saya percaya beliau masih menentang sehingga sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegas Mahfuz, bukan Karpal yang memperoleh kemenangan dalam pemilihan PAS tapi rakyat negara ini kerana parti Islam itu bersedia untuk menggantikan Umno pada pilihan raya umum ke-13.

“Yang dapat kemenangan besar ialah rakyat negara kita... orang yang tidak hadir yang dimaksudkan itu adalah rakyat di mana mereka mendapat satu keyakinan kepada PAS yang akan membentuk negara berkebajikan.

“Bukan Karpal yang dapat kemenangan tapi rakyat,” katanya.

Justeru Ahli Parlimen Pokok Sena ini percaya Umno berada dalam keadaan tertekan ekoran pendekatan baru yang ditonjolkan PAS.

“Saya percaya Umno dalam keadaan yang sangat menggelabah dengan kekuatan pendekatan yang ditunjukkan PAS melalui konsep negara berkebajikan dan ini bertepatan dengan situasi semasa yang mana rakyat mengalami pelbagai persoalan yang gagal diselesaikan kerajaan sedia ada.

“Oleh itu gandingan kepimpinan sedia ada dan dulu telah berjaya memberikan satu lontaran kepada rakyat bahawa mereka kini mempunyai landasan baru iaitu negara berkebajikan dan ini akan memberi satu kekecewaan kepada Umno yang telah menimbulkan pelbagai keraguan kepada rakyat termasuk dalam isu perkauman, video seks dan sebagainya,” katanya.





Tn Hj Mohamed Sabu - Timbalan Presiden PAS

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga menyifatkan individu yang menghentam pembentukan negara Islam adalah Dr Mahathir.

“Negara Islam Dr Mahathir yang hentam kuat sekali tapi dia juga yang mengumumkan Malaysia negara Islam, dia juga yang cadangkan agar PAS buang nama Islam yang mana kita tentang habis-habisan.
“Dr Mahathir ini sudah tidak stabil pemikiranya, bila kita kata negara kebajikan dia kata kita lari dari landasan... sebenarnya Umno sudah semakin gelisah dengan perubahan yang berlaku (dalam PAS),” katanya.

Jelas beliau, serangan demi serangan yang dibuat terhadap PAS kerana Umno bimbang akan tewas pada pilihan raya ke-13.

“Dulu PAS bagus tapi sekarang lagi bagus sebab orang bukan Melayu semakin yakin dengan PAS maknanya Umno kini semakin menuju ke jalan-jalan terakhir.

“Apa yang dilakukan Umno ini sebab takut untuk menghadapi pilihan raya umum,” katanya.

Sumber MI : 10/06/2011



Teladan: Tun M tak layak jadi contoh
Fakhri Ali   




Tun Dr Mahathir Mohamed - Mantan PM


KEPALA BATAS, 11 Jun: Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak layak untuk dijadikan contoh dan pemimpin teladan walaupun telah memimpin negara selama 22 tahun.

Malah beliau juga bukan saja menolak hukum Islam yang cuba dilaksanakan oleh kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan, tetapi memperlekehkan hukum Islam apabila mengugut akaan menggunakan pelbagai cara serta peruntukan bagi menghalang pelaksanaan hukum itu.





YB Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaludin - AP Bukit Gantang

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamamd Nizar Jamaluddin (gambar) berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di padang awam, Penaga, Kepala Batas malam tadi.

Katanya lagi, ini juga membuktikan Umno yang diterajui oleh Tun Mahathir ketika itu, jelas menolak hukum Islam dan sekaligus membuktikan kepimpinan mereka bukan saja memperkecilkan kemampuan undang-undang yang menjadi tuntutan syarak sepertimana yang terkandung dalam Al Quran.





Tuan Guru dato'' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat - MB Kelantan

"Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz bahawa beliau masih lagi menyimpan surat larangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan oleh Presiden Umno dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir bukan satu omongan kosong.

"Surat tersebut juga bukan satu cerita palsu yang direka seperti video seks lucah atau seumpamanya, tetapi ia adalah kenyataan yang tidak sepatutnya lahir dari seorang pemimpin yang mendakwa mereka memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam dalam negara ini.

Ini juga, katanya menzahirkan pemalsuan perjuangan sebenar Umno dalam menegakkan kebenaran dan hukum yang menjadi tuntutan untuk dilaksanakan oleh setiap pimpinan Islam dalam negara ini.

Oleh kerana itu katanya, orang Melayu dan umat Islam dalam negara ini tidak sepatutnya bersekongkol dan menyokong perjuangan yang dibawa oleh Umno, setelah terbukti dengan sahih penolakan pimpinan mereka dalam melaksanakan tuntutan agama tersebut.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3744-teladan-tun-m-tak-layak-jadi-contoh




Mahathir patut nasihat Najib tarik surat ugut Kelantan

Abdul Aziz Mustafa   

KUALA LUMPUR, 22 Sept: "Tun Dr Mahathir Mohamadlah yang sepatutnya menasihati Perdana Menteri supaya menarik balik surat yang mengugut mahu dikenakan tindakan terhadap Kelantan sekiranya Kanun Jenayah Syariah (II) dilaksanakan," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Dr Mahathir jangan hanya pandai menyuruh (Menteri Besar Kelantan) Tuan Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) "pi la tanya (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kot dia nak bagi (laksanakan hukum hudud)".

"Beliau sendirilah yang sepatutnya menasihati Najib supaya menarik balik surat ugutan itu.

"Kalau Dr Mahathir boleh menasihati Najib supaya menangguhkan pilihan raya, tak mungkin beliau tak boleh nasihatkan Najib supaya menarik balik surat yang mengugut mahu dikenakan tindakan terhadap Kelantan sekiranya Kanun Jenayah Syariah (II) dilaksanakan," kata Salahuddin.

Surat yang masih dalam simpanan pejabat Menteri Besar Kelantan itu dihantar kepada kerajaan Kelantan oleh Dr Mahathir sendiri atas sifatnya sebagai Perdana Menteri waktu itu.




Tun Dr Mahathir Mohamed - Mantan PM



Ketika menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir juga memberi amaran pada 14 Ogos 1994 bahawa "kita (kerajaan pusat) akan ambil tindakan jika Kelantan meneruskan usaha melaksanakan hudud".

Salahuddin juga menyeru Dr Mahathir menarik balaik pelbagai tuduhannya terhadap hukum hudud.

"Sempena bulan Syawal ini, saya dengan rendah diri menyeru Dr Mahathir menarik balik pelbagai tuduhannya terhadap hukum hudud.

"Beliau pernah menuduh perlaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Dalam temubualnya dengan wartawan pada 18 Ogos 1991, Dr Mahathir dilaporkan mendakwa perlaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur kerana tidak boleh bersaing dengan orang bukan Islam apabila orang Islam dipotong tangannya dan dilakukan hukum hudud yang lain, sedangkan orang bukan Islam tidak dikenakan.

Dalam ucapannya  di Papar Sabah pada 2 Mei 1992 pula, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata: "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa2 lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama".

Salahuddin berkata, Dr Mahathir sepatut berjiwa besar dan menarik balik persendaannya terhadap hukum potong tangan itu memandangkan hukum tersebut diperintahkan di dalam al-Quran.

"Kalau ada kelapangan, dengan rendah diri juga saya menyeru Dr Mahathir membaca surah al-Maidah ayat 38 dan 39," kata beliau.

Ayat tersebut membawa maksud, "Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Maka barangsiapa bertaubat (diantara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Semalam, Dr Mahathir meminta Tuan Guru melaksanakan hukum hudud di Kelantan sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri yang dahulunya dianggap menghalang hasrat kerajaan negeri itu melaksanakannya.

“Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud). Pi la tanya Najib kot dia nak bagi... ni dia (Nik Aziz) dok salahkan saya kononnya pasai saya, (PAS) tak dapat laksana hukum hudud,” katanya.




YB Datuk Seri Anwar Ibrahim - Ketua Umum PKR



Dalam perkembangan berkaitan, The Malaysian Insider melaporkan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan sokongannya kepada Kelantan yang sudah lebih sedekad berhasrat mahu melaksanakan undang-undang hudud sambil berkata perundangan yang diusahakan oleh kerajaan PAS itu melindungi hak bukan Islam.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5558-mahathir-patut-nasihat-najib-tarik-surat-ugut-kelantan



Zulkifli jahil, liwat isteri termasuk perkara syubhah

Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menyifatkan dakwaan ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berhubung suami meliwat isteri melambangkan kejahilannya dalam hukum hakam yang berkaitan dengan hukum syarak.

Menurutnya, hukum syarak tidak boleh dibaca sepintas lalu tetapi memerlukan disiplin ilmu yang tinggi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ahli parlimen tersebut di Dewan Rakyat semalam bahawa hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri.

Selain itu, Zulkifli juga dilaporkan mendakwa bahawa umur 18 tahun yang ditetapkan dalam enakmen hudud bercanggah dengan Islam yang menetapkan had baligh ialah 15 tahun.

Ustaz Harun menjelaskan, liwat di antara suami isteri tidak termasuk di dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah.

Jelasnya lagi, perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman ia akan dikenakan hukum takzir.

“ Mengapa ianya dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.

“Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti diambil kira dalam perlaksanaan ialah perlaksanaan hukuman hudud mesti meraikan satu kaedah yang penting iaitu tudra’ul hudud bi syubhat iaitu hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.

“Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah feqahnya ialah syubhatul milk iaitu syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak sepertimana dalam kes kesalahan hudud yang beliau nyatakan yang mana pasangan yang bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari sudut syarak, ianya adalah berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata, Zulkifli sebagai ahli parlimen tidak sepatutnya membaca sepintas lalu tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal fikiran manusia yang lemah.

Beliau turut mengulas tentang dakwaan ahli parlimen itu bahawa had umur 18 tahun bercanggah dengan hukum syarak.

“Masalah berkenaan had baligh seseorang muslim itu, sebenarnya ianya adalah perkara khilafiah, ianya bukan suatu yang qat’ie.

“Ada ulamak dalam mazhab Syafie kata 15 tahun, barulah seseorang itu dianggap baligh, kalau dalam mazhab Hanafi, mereka kata 18 tahun barulah dikira sebagai mukallaf. Jadi dalam isu yang beliau bangkitkan ini, maka kita mengambil had umur yang paling tinggi supaya tidak berlaku masalah khilafiah.

Sebagai contoh, jelasnya kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila perbicaraan diadakan, mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa bahawa anak guaman bermazhab Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.

“Jadi kita ambil pandangan 18 tahun supaya tidak berlaku at-tahayul atau helah dalam perbicaraan, itu hanya satu sebab mengapa kita pilih 18 tahun dan di sana masih ada sebab-sebab lain yang boleh kita rujuk kepada buku-buku feqah,” ujar beliau lagi.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6113-zulkifli-jahil-liwat-isteri-termasuk-perkara-syubhah-



Zulkifli Noordin ‘jahil murakkab’ tentang hudud

Mohamed Hanipa Maidin   

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru (Bebas), Zulkifli Noordin menuduh hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri. Tuduhan tersebut dibuat dengan kononnya dirujuk kepada draf dan Enakmen Hudud dan Qisas Terenggganu 2002 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu dulu.

Menurut beliau berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut yang menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri. Katanya, perkataan kecuali dengan isteri itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat.

"Inilah hudud PAS. Ini bercanggah dengan Islam. Dalam Islam, jika seseorang lelaki itu memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang tidak kira dengan sesiapapun termasuk dengan isteri sendiri, ia tetap liwat.”

Adalah suatu yang malang bagi profesion guaman di negara ini mempunyai seorang peguam seperti Zulkifli Noordin yang nampaknya tidak memahami perkara asas dalam penafsiran undang-undang.

Daripada kenyataan beliau di atas adalah jelas bahawa Ahli Parlimen yang "bebal" syariah ini nampaknya terlibat dengan politik murahan yang hanya sekadar untuk menimbulkan keraguan terhadap perkara yang jelas dan tiada keraguan. Mereka yang tidak, seperti dikatakan oleh Abul A'la Maududi, mengetahui ABC mengenai undang-undang syariah mungkin dapat diragukan oleh orang yang ragu seperti Zukifli Noordin.
Hujah beliau yang mengatakan bahawa seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu bercanggah dengan Islam kerana tidak menganggap perbuatan meliwat isteri sebagai satu kesalahan boleh dengan mudah dipatahkan dengan alasan- alasan berikut.

Pertamanya seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu secara jelas memperuntukkan “Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur.

Jika dilihat kepada seksyen 14 tersebut terdapat dua kesalahan yang boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan liwat iaitu hubungan seks melalui dubur (anus) antara lelaki dan lelaki dan hubungan seks melalui dubur (anus) antara lelaki dan wanita selain daripada isteri lelaki tersebut.

Seksyen 15 Enakmen yang sama memperuntukkan “ Sesiapa melakukan kesalahan liwat hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama seperti yang ditetapkan bagi zina.

Hukuman zina adalah 100 rotan bagi pesalah zina yang ghayru muhsan ( lihat seksyen 13 (2) Enakmen yang sama dan rejam sehingga mati bagi yang Muhsan (lihat seksyen 12 ( 2 ) Enakmen yang sama.

Adalah jelas di dalam memperuntukkan hukuman bagi kesalahan liwat sama dengan hukuman hadd ke atas penzina pihak penggubal undang-undang syariah Terengganu telah mengambil pendapat Imam Malik, Syafie dan Imam Ahmad yang berpandangan bahawa liwat wajib dikenakan hukuman hadd seperti hadd ke atas pesalah zina disebabkan “li wujudin ma’na al-zina fihi” ( kerana kewujudan makna zina padanya) .

Zulkifli menyatakan bahawa berdasarkan seksyen 14 Enakmen tersebut seorang yang meliwat isteri tidak melakukan kesalahan. Beliau berhujah bersandarkan frasa “selain daripada isterinya” suami yang meliwat isteri terlepas dari hukuman hadd.

Kebodohan hujah tersebut timbul kerana beliau tidak memahami perbezaan asas antara hudud dan takzir. Seksyen 14 bercakap tentang hudud. Seorang suami yang meliwat isterinya bukan tidak bersalah. Ia tetap salah. Cumanya kesalahan itu tidak boleh dikenakan hukuman hudud.

Mungkin Zulkilfli bertanya kenapa tidak boleh kena hukum hudud?

Jawapannya sepertimana yang dikatakan oleh Abdul Kadir Audah di dalam bukunya yang terkenal “Tasyri’ Janaie” terdapat keraguan sama ada isteri yang dinikahi secara sah oleh lelaki boleh dikenakan hukuman hadd hanya kerana ia “menggunapakai hartanya ” mengikut kehendaknya. Dan prinsip yang terpakai dalam hukum hudud adalah keraguan membatalkan hukuman hadd (idraul hudud bisyubhah).

Zulkifli mungkin bertanya adakah ini bermakna seorang suami yang meliwat isterinya akan terlepas hukuman? Jawapan kepada soalan tersebut adalah tidak. Suami yang meliwat isteri masih boleh dihukum tetapi bukan dengan hukuman hudud sebaliknya beliau hanya boleh dihukum oleh hukuman takzir.

Jika Zulkifli cermat dan tidak tergopoh gapah membaca keseluruhan Enakmen tersebut dia akan pasti dapat melihat seksyen 3 Enakmen yang sama (apa yang dipanggil proviso ) yang menyatakan secara jelas.

“Dengan syarat bahawa apabila sesuatu kesalahan hudud atau qisas tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud atau hukuman qisas kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki bagi hukuman-hukuman itu, maka kesalahan itu adalah menjadi suatu kesalahan takzir dan hendaklah ia dihukumkan demikian.”

Seksyen 3 Enakmen tersebut sekaligus menjawab segala kekeliruan yang Zulkifli Noordin cuba timbulkan. Seksyen 3 menunjukkan bahawa liwat ke atas isteri tetap salah menurut enakmen yang PAS gubal tetapi ia bukan kesalahan hudud sebaliknya ianya hanya satu kesalahan takzir. Dan Zulkifli juga kena faham hukum takzir tidak semestinya lebih ringan dari hukuman hudud.

Jika Zulkilfli jujur dalam hujahnya beliau sepatutnya mengkritik “hudud Umno”. Dalam undang-undang yang Umno gubal di Wilayah Persekutuan liwat hanya salah jika lelaki meliwat lelaki yang lain.

Berdasarkan tafsiran liwat di Seksyen 2 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan adalah jelas bahawa seorang yang sama ada meliwat seorang perempuan yang lain atau meliwat isterinya TIDAK dikira melakukan apa-apa kesalahan di Wilayah Persekutuan jauh sekali akan dihukum

Renungan kepada Zulkifli Noordin: Undang-Undang mana yang lebih melindungi wanita? Ingatlah saudara Zulkifli hanya kerana anda berkopiah bukan bermakna anda layak bercakap tentang undang-undang hudud. Berhentilah jadi jahil murakkab (orang jahil yang tidak tahu dia jahil).

http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/6117-zulkifli-noordin-jahil-murakkab-tentang-hudud

No comments:

Post a Comment