FACE BOOK PAS SELANGOR

FACE BOOK PAS SELANGOR
BERKOMUNIKASI SECARA LEBIH MUDAH DAN CEPAT

Sunday, January 29, 2012

JIKA TUAN GURU HJ HADI BERUNDUR PADA PRU KE-13


Harakahdaily, 28 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik balik hasrat beliau untuk berundur dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

"Saya berharap Ustaz Hadi menarik balik hasrat tersebut kerana beliau penting buat PAS dan Pakatan Rakyat," kata Anwar dalam sms beliau kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, peranan Presiden PAS itu kritikal buat pemuafakatan Pakatan Rakyat.

"Saya akan bertemu dengan Ustaz Hadi dalam waktu terdekat demi memastikan Ustaz Hadi kekal bersama pimpinan Pakatan Rakyat," tegas Anwar.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan di muka depan dengan tajuk Ustaz Hadi sedia undur diri.

Berikut ialah transkrip temubual Sinar Harian bersama Tuan Guru Hadi (gambar) yang dipetik Harakahdaily daripada video yang dipaparkan di Facebook Tuan Guru Presiden.    

Wartawan: Jadi Datuk Seri akan tanding semulalah?

Abdul Hadi: Saya terpulang kepada parti samada atas mahupun bawah. Memang saya terlalu lama jadi wakil rakyat. Saya hitung-hitung kalau Dun, sudah 30 tahun lebih. 30 tahun Dun, sejak 82. Parlimen sudah belas-belas tahun. Sudah lama. Dan sebab itu, saya memberi tawaran – yang pertama, sama ada saya tak bertanding semua, saya boleh bergerak ke seluruh negara. Yang kedua, bertanding satu sahaja. Hah itu. Itu harapan saya kepada tu lah…  

Wartawan: Bertanding parlimen atau Dun?

Abdul Hadi: Itu terpulang kepada parti menilai.  

Wartawan: Adakah harapan Datuk Seri itu untuk memberi laluan kepada pemuda atau anak?

Abdul Hadi: Anak saya biar dulu. Biar dia jadi petugas parti.

Sumber HD : 29/01/2012

Penjelasan TGHH : http://www.youtube.com/watch?v=7ahdmeWJ8b8


Hadi berjiwa besar, kata pemimpin Pas


Salahuddin Ayub

SHAH ALAM – Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub (gambar) menyifatkan tindakan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat untuk berundur dan bersedia tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar.

Menurutnya, Abdul Hadi dilihat sanggup berundur ketika berada di puncak dalam karier politiknya walaupun beliau masih diperlukan berada dalam parti.

“Kenyataannya menggambarkan beliau seorang pemimpin yang memperjuangkan parti dan memiliki visi penting dalam konteks politik di Malaysia,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Abdul Hadi menawarkan untuk berundur berdasarkan pada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.

Salahuddin berkata, sumbangan Abdul Hadi kepada negara dan parti masih diperlukan.

“Abdul Hadi tidak mengutamakan jawatan sebaliknya fokus kepada matlamat hidupnya tercapai dan antaranya ialah apa yang diperjuangkan dalam Pas.

“Saya berterima kasih kepadanya kerana mengajar kami (ahli Pas) mengenai jawatan dalam politik bukanlah segalanya,” katanya.

Pas akan membincangkan hasrat pengunduran Abdul Hadi pada mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja parti itu 12 Februari depan.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau tidak dimaklumkan secara rasmi tetapi pemimpin tertinggi Pas itu pernah menyuarakan hasrat itu untuk memberi peluang kepada muka baru.

Menurut beliau, Abdul Hadi sebenarnya masih diperlukan dalam Pas kerana pengalamannya yang berjaya membawa parti itu ke kemuncaknya.

Sementara itu, Ketua PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman menyifatkan keputusan mahu berundur itu sebagai sikap pemimpin Pas yang amanah.

Fauzi berkata, sebagai rakan seperjuangan beliau memuji Abdul Hadi kerana berjaya membawa Pas kepada pentadbiran yang lebih kukuh.

“Ini satu kemuliaan dalam pemimpin Pas, sanggup berundur dan bersedia memberi peluang kepada muka baru,” katanya.

Beliau juga percaya Pas Terengganu akan kukuh di bawah pelapis baru dan mengekalkan persahabatan dalam Pakatan Rakyat.

Sumber SH : 29/01/2012


PRU13: Nik Aziz tolak hasrat Hadi




29 Januari 2012
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan keputusan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu berundur daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Abdul Hadi, menurut beliau, seorang manusia yang berbakat untuk memimpin, lebih-lebih lagi dalam perjuangan Islam.

"Penjawat awam ada had masa untuk bersara tapi pimpinan parti tiada had masa, boleh berkhidmat sampai mati," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pertemuan dengan Sinar Harian di Kuala Terengganu kelmarin, Abdul Hadi membayangkan kemungkinan tidak akan bertanding dalam PRU13, yang dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.

“Sudah lebih 30 tahun saya bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu bermula pada 1982 dan sudah berbelas tahun sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Abdul Hadi berkata, sekiranya tidak bertanding mana-mana kerusi, beliau boleh bergerak ke seluruh negara untuk memantapkan parti.

Bagaimanapun, Adun Rhu Rendang dan Ahli Parlimen Marang ini menawarkan bertanding satu kerusi sahaja sekiranya dipilih sebagai calon dalam PRU13.

Abdul Hadi mengetuai Pas sejak 2002 dan beliau mempertahankan jawatan presiden tanpa cabaran pada pemilihan Jun lalu.

Sumber SH : 29/01/2012


Tawaran bijak dari Ustaz Hadi


Subky Latif, 30 Jan 2012



KURANG dari sebulan selepas Dato Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pilihannya untuk jadi nelayan biasa apabila ada calon Perdana Menteri yang dapat memenuhi kehendak politik Islam, beliau menyampaikan pula hasratnya jika disetujui untuk melepaskan salah satu dari kerusi wakil rakyat yang disandangnya – ADUN atau Anggota Parlimen.

Ia adalah perkembangan fikiran yang bijak dari seorang pemimpin yang masih mendapat kepercayaan penuh dari parti yang dipimpinnya dan dari penyokong dan pengundinya.

Tugas wakil rakyat bagi dua kerusi yang disandangnya adalah berat baginya ditambah pula oleh tanggungjawabnya sebagai Presiden PAS yang kian berperanan. Sekali pun ia dilihat berat untuk menggalas semua kerja oleh seorang sepertinya yang usia kian bertambah dan masalah kesihatan juga ikut mengiring usia yang bertambah itu, tetapi semua tugas dan tanggungjawab tidak terbeban sangat baginya kerana ia dapat diringankan oleh kekuatan parti dan penyokongnya yang berfungsi.

Parti dan penyokongnya bertanggungjawab berada di belakangnya mahu melihatnya berjaya melaksanakan tugasnya dan mereka berperanan memastikan beliau berjaya dengan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dan pemimpin parti Islam yang penting di rantau ASEAN.

Kekuataannya ialah dia bekerja secara  berjamaah dan jamaah bekerja  bersamanya. Sebagai pemimpin dan wakil rakyat beliau adalah simbol, dan kerjanya dibuat oleh semua. Jika beliau kekal dengan dua kerusi itu, tidak banyak menambah beban jamaah dan jika dikosongkannya satu kerusi tidak pula mengurangkan kerja jamaah.

Tetapi dengan mengosongkan satu kerusi, ia adalah satu  sikap tidak  gila kuasa  dan  tidak sayang melepaskan kuasa serta tidak mahu memusatkan kuasa kepada satu orang.

Ia adalah tanda Ustaz Hadi percaya ada orang lain juga boleh membuat kerja seperti yang  dibuatnya dan percaya ada orang yang boleh membuat apa yang sepatutnya dibuat oleh seorang wakil rakyat Islam, maka ketika itu beliau dapat membuat kerja lain.

Dengan Ustaz Hadi masih ada di rumahnya dan masih menjadi Presiden PAS, maka mana-mana kerusi yang dikosongkan tidak akan terasa ketiadaannya. Beliau tetap dirasakan berada di tengah mereka, cuma satu daripada kerjanya selama ini dibuat oleh orang lain.

Telah disebutkannya akan ada masa yang lebih baginya menumpukan tanggungjawab sebagai pemimpin parti dan ada peluang lebih masa untuk ke laut sebelum menjadi nelayan tetap.

Ke laut adalah hobinya. Menangkap ikan bukan sumber pendapatan dan mata pencariannya. Keutamaannya ada berdakwah. Bagi ulama berdakwah bukan satu mata pencarian. Abu Zar diberi pencen tetap sebagai sahabat awal generasi pertama oleh Khalifah Umar al-Khatab.

Tetapi Abu Zar tidak menjadikan pencennya sebagai sumber pencariannya. Saraan hidupnya adalah menganyam bakul. Logiknya Ustaz Hadi mahu beralih semasa masih bertenaga menjadikan hobi ke laut sebagai mata pencarian sambil terus berdakwah.

Pilihannya itu adalah setelah memastikan Islam sudah dapat dijalankan oleh orang lain. Setelah lebih 40 tahun  dalam dakwah politik tugas itu sudah boleh digalas oleh anggota jamaah yang ramai.

Parti boleh menimbang untuk menerima  tawaran itu atau biar dulu. Yang penting Ustaz Hadi telah meringankan jamaah supaya memikirkan gantinya buat apa jawatan jua bila dirasakan perlu. Jamaah tidak lagi terikat bahawa calon adalah beliau juga. Beliau sekarang memberi peluang kepada jamaah, jangan teragak-agak untuk mencalonkan orang lain di salah satu kerusinya itu.

Dengan tawarannya itu tidak semestinya beliau tidak dicalonkan lagi, tetapi jika jamaah merasa wajar permintaannya diterima, maka boleh mencalonkan orang lain. Ia adalah kesempatan kepada jamaah memikirkan ganti Ustaz Hadi dalam semua kedudukan.

Apa yang disebut Ustaz Hadi itu satu permulaan bagi parti berfikir tentang pelapis. Politik di zaman Khalifah tidak bercakap tentang pelapis. Ganti khalifah dibuat apabila tiba masanya. Politik dunia demokrasi yang PAS ada dalam suasana itu, sekali pun politiknya adalah siasah syariyah, soal pelapis sentiasa menjadi perhatian penting.

Ustaz Hadi seperti mengajak semua berfikir ke arah itu. Ia perkembangan yang sihat.

Sumber HD : 30/01/2012


Undur diri: Apa maksud Presiden PAS


Nazri Abdullah, 30 Jan 2012




GOMBAK, 30 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawab kepada pemimpin senior PAS untuk memberi ruang kepada pelapis baru bertanding di dalam pilihan raya.

Ketika diminta memperjelaskan laporan media kononnya beliau tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Abdul Hadi berkata perkara itu adalah biasa kerana akhlak seorang muslim yang baik adalah tidak meminta jawatan.

"Memang dalam perjuangan ini kena bagi kepada pelapis-pelapis, kita dalam PAS memang begitu. Kita tak boleh berlumba nak jadi ketua, kita kena berlumba untuk berkhidmat.

"Tapi terpulang kepada ahli-ahli parti jemaah kita. Kalau tak ada orang, kita wajib ke hadapan, begitu kaedahnya," jelasnya ketika menjawab pertanyaan peserta Retreat Harakah: Persiapan Menghadapi PRU13 di Hutan Lipur Sungai Tua, dekat sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang akan berundur dari bertanding pada PRU-13 nanti.

Laporan itu sekaligus mencetuskan polemik sehingga rakan Pakatan Rakyat lain termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan agar Abdul Hadi tidak bertindak demikian.

Terbaru, hari ini Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menyatakan rasa tidak bersetuju dengan keputusan Abdul Hadi itu.

Katanya, Abdul Hadi, seorang manusia yang berbakat untuk memimpin, lebih-lebih lagi dalam perjuangan Islam.

Pemimpin dan media Umno pula terus mengambil kesempatan seolah-olah memberi gambaran kononnya Presiden PAS itu 'merajuk'.

Abdul Hadi telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama tujuh penggal bermula tahun 1982 dan ahli parlimen selama empat penggal serta Ketua Pembangkang di parlimen.

Beliau juga pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004 selepas PAS menang pada pilihan raya umum ke-10 tahun 1999.

"Inilah adab dalam parti kita, sebab itu kita berbeza dengan Umno," jelas Abdul Hadi.

LIHAT VIDEO

Sumber HD : 30/01/2012


Surat terbuka untuk Presiden PAS


Jofri Jaraiee, TPJ PAS Sarawak, 30 Jan 2012


Assalamualaikum wbt

Kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dihormati dan dikasihi, PAS Sarawak dan Dewan Himpunan Penyokong PAS Sarawak (DHPP) ingin menyatakan sokongan kepada Tuan Guru Presiden agar terus memimpin dan berada dalam parlimen Malaysia selagi nyawa masih dikandung badan.

Tuan Guru Presiden harus tetap memimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kerana keilmuan yang meluas dalam bidang agama Islam serta pengalaman Tuan Guru dalam politik di Malaysia sangat dikagumi oleh rakan dan pihak lawan.

Tuan Guru memiliki sifat akhlak yang baik, serta tidak pernah melakukan penyelewengan dan tidak menyalahgunakan kuasa sepanjang memimpin PAS dan juga memerintah Terengganu satu ketika dulu. Sifat yang mulia inilah yang menyebabkan orang Islam dan bukan Islam menerima Tuan Guru sebagai pemimpin yang adil untuk semua.

Tuan Guru telah berjaya bersama-sama menyatukan ketiga-tiga parti (PKR,DAP dan PAS) dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR), maka inilah masanya Tuan Guru sama-sama menikmati hasil perjuangan Pakatan dalam Pilihanraya Umum ke13 nanti.

Dalam keadaan PR menghampiri laluan ke Putrajaya paling tidak, Tuan Guru diperlukan untuk menjadi antara pemimpin paling atas dalam pucuk pimpinan Malaysia jika PR berjaya membentuk kerajaan nanti, Insya-Allah.

Kita tahu ada pihak musuh dalam politik menggunakan isu pengunduran Tuan Guru sebagai alasan mereka mengatakan ada krisis kepimpinan dalam PAS dan Pakatan. Sekarang pihak musuh akan menggunakan apa saja cara untuk mengadu domba dan memecahbelahkan pimpinan Pakatan agar hasrat Pakatan untuk menawan Putrajaya gagal dan Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah Malaysia.

Khidmat dan sumbangan ilmu pengetahuan Tuan Guru sangat diperlukan, kami akan merasa suatu kehilangan yang besar kiranya Tuan Guru mengundur diri pada waktu ini, lebih-lebih lagi perjuangan PAS di Sarawak masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari Tuan Guru.

Sekarang PAS Sarawak telah berjaya menyakinkan rakyat Sarawak agar sama-sama berjuang menegak keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.  Sokongan rakyat terhadap PAS Sarawak tengah meningkat naik dan mereka yakin PAS bersama dengan PR dapat menawan hati rakyat yang berbilang bangsa di Sarawak.

Kami sekali lagi merayu kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang dihormati dan kasihi, agar memikirkan semula hasrat Tuan Guru untuk berundur dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Kita berdoa kepada Allah, semoga Tuan Guru Presiden  sentiasa dalam kesihatan yang baik dan terus berjuang bersama menegakkan Negara kebajikan yang bercirikan Islam untuk semua.

Salam perjuangan dari PAS Sarawak


Berjuang kerana Allah



Jofri Jaraiee

YDP PAS Miri, merangkap Timbalan Pesuruhanjaya iii PAS Sarawak

Sumber HD : 30/01/2012


Hadi sah tanding pilihan raya umum ke-13

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akur dengan keputusan Lajnah Politik PAS yang menolak hasratnya mengundurkan diri menjadi calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Keputusan itu dibuat selepas lajnah itu bermesyuarat semalam dan sebulat suara menolak hasratnya untuk tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum sama ada di peringkat DUN atau parlimen.

pas muktamar 130610 tuan ibrahim tuan man"Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU ke-13.

"Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti," kata ketua penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri).

"Malah, dengan kepercayaan gerakan Islam antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan Muslim agung abad ini."

Minggu lalu, dalam wawancara eksklusif yang disiarkan Sinar Harian, Abdul Hadi dilapor menawarkan berundur berdasarkan khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai yang berhormat.

Ekoran kenyataan tersebut, ia mengundang pelbagai reaksi dari pemimpin Pakatan, termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

hadi awang sinar harianDalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata PAS bersetuju dengan pandangan Nik Aziz yang menegaskan perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat dan pemimpin Pakatan masih memerlukan khidmat Abdul Hadi.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, hasrat Abdul Hadi membuat tawaran itu "lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang mana jawatan bukan perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah".

"Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bila mana jemaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin," katanya.
Sumber MK : 3/02/2012


Presiden PAS akur keputusan bertanding PRU13


Harakahdaily, 03 Feb 2012


KUALA LUMPUR, 3 Feb: PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk tidak dicalonkan dalam Pilihan raya Umum ke-13 sama ada di peringkat Dun atau Parlimen dan membuat keputusan bahawa beliau perlu bertanding di PRU13.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2 Februari di Pejabat Agung PAS.

“Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut.

“Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke-13,” ujarnya dalam satu kenyataan.

PAS, katanya bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat.

Beliau menambah, walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Tuan Guru Presiden terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden PAS terus menerajui PR.

“Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti,” jelasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Malah, ujarnya dengan kepercayaan gerakan Islam Antarabangsa kepada Tuan Guru Abdul Hadi bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan muslim agung abad ini.

“Hasrat beliau yang lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang tinggi memperlihatkan bahawa dalam PAS, jawatan bukanlah perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah.

“Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bila mana jamaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin,” jelas Tuan Ibrahim lagi.

Sumber HD : 4/02/2012


Tuan Guru Presiden masih diperlukan

azmi, 03 Feb 2012

Kolum Kesatuan Fikrah adalah wadah untuk rakyat memperlihatkan kepelbagaian idea daripada lapisan-lapisan pemimpin PAS, dari yang veteran ke pemuda dalam isu-isu hangat yang membelungi negara kini.

Mewakili PAS Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, mewakili suara ulama ialah Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man manakala suara pemuda diwakili Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Jika anda mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada Abang Mat, Ustaz Tuan dan Ustaz Nasrudin, sila email kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Minggu ini, mereka berbicara mengenai tawaran Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak bertanding di PRU-13.

Mohamad Sabu
Timbalan Presiden PAS

Tuan Guru Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya menunjukkan sifat tawaduk, yang menjadi ciri terpenting sebagai seorang pemimpin Islam. Pangkat dan jawatan bukanlah matlamat perjuangan, ia sebaliknya ialah amanah yang berat.

Kepimpinan beliau masih amat diperlukan oleh parti dan ahli-ahli PAS. Saya sebagai Timbalan Presiden juga masih memerlukan kepimpinan Tuan Guru Presiden untuk terus menerajui PAS ke ambang yang lebih tinggi.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak dicalonkan dalam pilihanraya ke 13 samada di peringkat DUN atau Parlimen dan membuat keputusan bahawa beliau perlu bertanding di PRU13. Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2hb Februari di Pejabat Agong PAS. Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut.

Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke 13.

PAS bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat. Walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Tuan Guru Presiden terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden terus menerajui PR.

Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti. Malah, dengan kepercayaan gerakan Islam Antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan Muslim agong abad ini.

Hasrat beliau yang lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang tinggi memperlihatkan bahawa dalam PAS, jawatan bukanlah perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah. Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bilamana jamaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin.

Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Pemuda PAS

Ramai yang salah faham dan tidak cermat mengambil berita lalu menganggap kononnya Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang mahu berundur meninggalkan PAS. Lebih lajak apabila mereka menambah ajinomoto dalam isu ini kononnya ini adalah ekoran berlakunya perpecahan dalam PAS.


Walhal Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menawar diri untuk tidak bertanding dalam pilihanraya umum akan datang dan kalau diberi pilih, beliau hanya mahu memilih satu kerusi sahaja berbanding dua kerusi sebelum ini.

Sudah namanya tawaran maka ia bukanlah suatu keputusan yang muktamad. Tawaran itu perlu ada penerimanya barulah ia menjadi muktamad. Tawaran itu dibuat kepada parti yang dipimpinnya dan sehingga kini parti tidak menerima tawaran tersebut malah PAS telah membuat keputusan rasminya bahawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi bukan sahaja mesti terus memimpin PAS tetapi juga tidak boleh berundur dari bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Saya melihat, apa yang disuarakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi adalah mempamerkan akhlak Islami yang diwarisi oleh para alim ulamak di sepanjang zaman. Jawatan adalah suatu amanah yang berat justeru itu, ia bukanlah suatu yang direbut dan ditagih.


Tawaran mengundur diri dari amanah jawatan [ bukan memgundur diri dari amanah berjuang ] untuk memberi laluan kepada mereka yang lebih layak adalah sikap dan sifat yang selayaknya dimiliki oleh pejuang Islam. Namun apabila jamaah memutuskan, maka keputusan jamaah itu wajar dipatuhi semampu mungkin.

Perkara ini bukanlah menjadi isu kerana ia perkara biasa bagi pejuang Islam yang kaya peribadi dan tinggi akhlak Islamnya. Namun musuh senantiasa mengintai ruang untuk menambah racun bisa pada fitnah yang ditebar. Ia sebahagian dari sunnah perjuangan yang mesti dihadapi oleh para pejuang dengan tenang dan tabah, justeru musuh tidak pernah tinggal diam. Buatlah apa pun, akan pasti ada pihak yang bertindak mengeksploitasi kenyataan dan tindakan pemimpin kita. Lagikan Al Quran musuh Islam cuba untuk spin dan mengelirukannya, begitulah semangat musuh yang mahu memadam cahaya perjuangan Islam di atas muka bumi ini. Mereka tidak pernah serik!

Sumber HD : 4//02/2012


Dewan Ulamak teguh bersama Presiden PAS



Harakahdaily, 13 Feb 2012


KUALA LUMPUR, 13 Feb: Dewan Ulamak PAS Pusat dalam satu kenyataan rasmi menegaskan bahawa Dewan itu bertegas dan berada teguh di belakang kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi  Awang untuk terus memimpin bahtera perubahan dalam Pilihan raya Umum yang akan datang.


Kenyataan rasmi itu diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Ulamak PAS Pusat yang diadakan baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib.

Menurut beliau, kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi sebagai Presiden PAS amat diperlukan bukan sahaja di peringkat Parlimen bahkan negeri Terengganu dalam usaha untuk mengemudi bahtera perubahan di Malaysia dengan acuan Islam yang menjadi tonggak utama perjuangan PAS itu sendiri.

Keputusan mempertahankan dan mempertegaskan kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Presiden untuk memimpin bahtera pilihan raya PAS itu dicapai secara sebulat suara oleh semua ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat  yang hadir pada mesyuarat pusat dewan tersebut.

Sumber HD : 13/02/2012


Akhbar MCA siar wawancara 2 bulan lalu

Harakahdaily, 20 Mei 2012




(Wawancara yang berjalan 3 April lalu yang baru disiarkan oleh The Star hari ini)


KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua bulan berlalu, akhbar MCA, The Star baru menyiarkan berita kononnya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak mahu bertanding dalam pilihan raya umum nanti.

Ia adalah berita basi dan sudah boleh dianggap tertinggal zaman.

Itulah yang boleh dikatakan kepada berita sensasi yang disiarkan oleh The Star hari ini melalui wawancara satu muka surat penuhnya dengan Presiden PAS.

Wawancara itu sebenarnya telah diadakan hampir dua bulan lalu iaitu pada 3 April 2012 di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Menurut Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Gambar bawah), memang betul, ketika The Star dan lain-lain media mewawancara Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dua bulan lalu, itulah sikap beliau.

"Tetapi seminggu selepas itu segala-galanya sudah berubah apabila mesyuarat PAS Pusat memutuskan Presiden PAS masih perlu bertanding," katanya kepada Harakahdaily.

Akhbar The Star hari ini menyiarkan berita sensasi kononnya Presiden PAS itu tidak mahu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang samada peringkat DUN atau peringkat Parlimen.

Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang, Terengganu itu juga dilaporkan berkata akan mencari pengganti kepada beliau sebagai presiden PAS.

Laporan ini amat memeranjatkan banyak pihak khasnya kepimpinan PAS bagaimana isu yang sudah lama selesai tiba-tiba timbul kembali.

"Inilah bagi saya akhbar yang tertinggal zaman dan sampai sekarang saya tidak faham kenapa wawancara yang berjalan hampir dua bulan lalu baru disiarkan oleh The Star," kata Samsury.


Beliau tidak faham apa tujuan akhbar berkenaan menyiarkan wawancara itu sekarang.


Ekoran itu, beliau melahirkan kekesalan dan mempertikaikan kredibiliti akhbar milik MCA itu.

Sumber HD : 20/05/2012


Hadi: Saya tiada hasrat jadi perdana menteri

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa beliau tiada hasrat menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Walaupun layak untuk jawatan itu, terdapat perkara lain yang mesti diberikan perhatian, jelasnya dalam wawancara bersama Oriental Daily News.

NONEHadi dilapor berkata, calon untuk menjadi perdana menteri mestilah memenuhi dua kriteria, iaitu seorang Islam dan mendapat sokongan majoriti rakyat.

Atas dasar itu, tambahnya, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim antara yang layak mengisi jawatan itu.

"Kita terima Anwar sebagai calon PM, tetapi kita juga menerima pemimpin lain yang mendapat sokongan majoriti (rakyat Malaysia)," beliau dipetik sebagai berkata.

Berhubung isu perdana menteri mesti mendapat sokongan majoriti orang Islam, Hadi berkata, realiti politik menunjukkan Melayu-Islam menjadi tulang belakang kepada populasi pengundi.

[Baca berita penuh]

Sumber MK : 13/08/2012

Saturday, January 28, 2012

BANGKIT GURU UNTUK RAKYAT

PAS anjur himpunan generasi guru bermaruah Ahad ini


Harakahdaily, 27 Jan 2012


JOHOR BAHRU, 27 Jan: PAS akan mengadakan perhimpunan Generasi Guru Bermaruah 2012 bagi mendekatkan lagi mereka dengan golongan guru di negara ini.

Program yang dipelopori oleh Cikgu Normala Sudirman (gambar), bekas calon PAS pilihanraya kecil Tenang ini dijangka akan mengumpulkan 1,000 guru di Dewan Pusat Tarbiyyah PAS Parit Pechah, Muar, Johor.

Ia akan diadadakan Ahad 29 Januari ini dengan pelbagai pengisian.

Normala dalam kenyataannya berkata, warga pendidik memainkan peranan sangat penting dalam menggerakan aktiviti bersifat kemasyarakatan.

Golongan ini juga sangat dekat dengan masyarakat dan sangat dihormati justeru peranan yang disumbangkan dalam membentuk masyarakat selama ini.

Oleh itu, katanya,  sekiranya tenaga mereka dapat digarap dengan tanzim yang tersusun, ianya mampu memberikan kesan yang amat besar dalam gerakan dakwah dan politik yang diperjuangkan PAS selama ini.

Program yang bertemakan 'Bangkit Guru Untuk Rakyat' ini akan diserikan dengan pelbagai kertas kerja yang akan dibentangkan oleh tokoh pendidik dari PAS.

Antaranya Dr. Mahfodz Mohamad, Pesuruhjaya Pas Negeri Johor, yang merupakan bekas pensyarah kanan Universiti Malaya.

Turut terlibat adalah Datuk Abu Bakar Bin Chik, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat dan Dr. Halimah Bin Mohd Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan  Modal Insan Negeri Selangor.

Pada sebelah malamnya pula akan diadakan pidato perdana dan ceramah sempena perhimpunan guru ini.

Antara penceramahnya adalah Dr Mahfodz, Datuk Adnan Bin Ibrahim (Bekas Pengarah Pelajaran Negeri Perak) dan  Cikgu Normala sendiri.

Sumber HD : 28/01/2012


Lajnah Pendidikan PAS tubuh Pendidik 12 Feb


Harakahdaily, 10 Feb 2012


KUALA LUMPUR, 10 Feb: Lajnah Pendidikan PAS Pusat bakal melakar sejarah baru dalam dunia pendidikan tanah air kerana akan menubuhkan NGO bagi warga pendidik iaitu Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) pada 12 Februari  ini.

Program yang bermula jam 2.00 hingga 5.30 petang itu akan diadakan di Dewan Putra, Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor, Kampung Delek, Selat Klang, Selangor.

Pengarah program, Normala Sudirman (gambar) berkata, program anjuran Lajnah Pendidikan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat melibatkan peserta yang terdiri daripada Ketua DMPP dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat, Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Negeri / Wilayah Persekutuan atau wakil dengan minima 5 orang.

Katanya, ia juga mensasarkan peserta daripada guru-guru di bawah institusi pendidikan yang dimiliki oleh ahli PAS, NGO seperti JIM, Abim dan lain-lain, sekolah agama rakyat dan swasta, Pusat Tahfiz Al- Quran, Pasti dan Kafa, pesara guru dan professional pendidik, aktivis pendidikan ahli dan penyokong PAS.

Beliau berkata, antara objektif  Pendidik ialah sebagai satu wadah atau platform untuk menggerakkan kesedaran dan kebangkitan warga pendidik di seluruh Malaysia berkaitan isu-isu pendidikan dan perguruan di negara ini.

Tambahnya, ia juga untuk menyatukan semua golongan pendidik di bawah satu NGO agar semua tuntutan dan desakan atas apa jua isu pendidikan dan perguruan ’didengari’ oleh semua pihak yang berautoriti dan berkepentingan.

“NGO Pendidik juga sebagai satu saluran suara untuk memperjuangkan hak dan kebajikan guru yang tertindas dan dizalimi di samping menghimpunkan warga pendidik untuk menjalin ukhuwwah, hubungan komunikasi, kesefahaman dan kerjasama yang baik antara golongan pendidik di seluruh Malaysia,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat memberitahu, majlis pelancaran itu akan diserikan dengan 100 orang pemuda daripada Jabatan Amal Malaysia yang menyertai konvoi bermotor untuk mengiringi ketibaan Tuan Guru Presiden PAS bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran NGO Pendidik

Menurutnya, antara tetamu yang bakal hadir dan menyampaikan ceramah untuk berkongsi pengalaman tentang dunia pendidikan tanah air ialah Datuk Adnan Ibrahim, mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak yang kini telah menyertai PAS.

Tambahnya, tetamu lain yang akan hadir untuk menyampaikan ucapan ialah Dr Halimah Ali, Exco Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Ustaz Datuk Abu Bakar Chik.

"Semoga dengan pelancaran NGO Pendidik ini dapat membangkitkan kesedaran dan momentum perjuangan para pendidik di seluruh tanah air agar berani membuat perubahan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan para guru selain daripada prihatin terhadap nasib para pelajar demi kelangsungan generasi pewaris kepimpinan masa hadapan," ujarnya.

Sumber HD : 10/02/2012


Guru kesal Karnival PIBG jadi program BN


Ahmad Danial, 13 Feb 2012


BUKIT KATIL, 13 Feb: Beberapa orang warga pendidik sekitar Parlimen Bukit Katil kesal dengan sikap Kerajaan Negeri Melaka yang menggunakan kuasa politik untuk mewajibkan guru-guru dan murid-murid hadir pada Karnival Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Parlimen Bukit Katil yang berlangsung di Dewan Tun Ali Bukit Katil, Sabtu lalu.


Lebih malang lagi Jabatan Pelajaran Negeri Melaka juga dilibatkan untuk menjayakan program tersebut.

Walaupun program itu dilihat sebagai anjuran Jabatan Pelajaran dan Kerajaan Negeri tetapi jelas ianya dipolitikkan di mana bendera Barisan Nasional diletakkan di segenap penjuru tapak program.

Surat jemputan program tersebut ditandatangani sendiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Muhammad Yusoff Osman.

Seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Aini Othman, 42, dari Ayer Molek berkata ada sekolah yang sepatutnya menggantikan cuti pada hari Sabtu itu terpaksa menangguhkannya semata-mata kerana karnival tersebut.

"Semua guru wajib hadir ada surat lain yang mewajibkan guru hadir yang dihantar oleh JPN.

Rakan beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Azani Basir, 36, berkata sekolah diwajibkan menghantar guru untuk bertanding antaranya pertandingan koir termasuk sekolah agama.

"Sekolah-sekolah wajib menghantar penyertaan, kalau tidak guru yang tak datang dikenakan surat tunjuk sebab.

"Bayangkan sekolah-sekolah parlimen Bukit Katil ada lebih kurang 35 buah sekolah, mereka akan dapat berapa sumbangan dari PIBG, duit itu pula siapa yang dapat," tambah Azani yang tinggal di Ayer Molek.

Sementara itu bekas pendidik, Yusof Wahab, 56, berkata tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka yang membiarkan jabatan itu dipolitikkan amat dikesali.

"Guru dan pelajar-pelajar dipaksa untuk hadir program tersebut dan mereka menggunakan program ini untuk berkempen di mana bendera-bendera BN penuh digantung dalam kawasan karnival.

"Nampak jelas BN Melaka amat terdesak sehingga terpaksa menggunakan JPN untuk memastikan guru-guru dan ibu bapa hadir untuk mendengar ucapan pemimpin BN," katanya.

Antara pemimpin BN yang hadir selain Mohd Ali ialah Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md Sirat Abu; Ahli Dewan Undangan Ayer Molek, Datuk Md Yunos Hussin; Speaker Dun Melaka, Datuk Othman Mohamed.

Sumber HD : 13/02/2012



Pendidik punya jawapan kepada masalah negara

Mohammad Syazwannuddin, 12 Mac 2012



Saya menyambut baik hasrat YAB TPM dalam usaha jelajah seluruh negara untuk mengumpul pandangan yang bernas dalam menaik taraf pendidikan. Pendidikan adalah asas kepada pembangunan negara. Kementerian sepatutnya membawa halatuju pendidikan kita ke arah yang memberi manfaat kepada semua pihak. Pendidikan yang murah daripada pra-sekolah sehingga menara gading adalah ciri utama sebuah sistem pendidikan yang merakyat. Kementerian perlu adil dalam pengagihan bantuan kepada sekolah-sekolah samada di bandar atau luar bandar. Bukan sekadar membantu sekolah yang sudah cemerlang tetapi juga berpandangan positif kepada sekolah yang punya rekod buruk. Guru yang mengajar di sekolah juga perlu dianggap sebagai individu yang sangat penting di sekolah, bukan sekadar kakitangan kerajaan. Taraf guru sepatutnya diangkat tinggi dan menjadi inspirasi kepada semua penggerak masyarakat. Kebajikan guru sepatutnya menjadi keutamaan, bukan mengejar bilangan A yang belum tentu menjamin kecemerlangan yang berkekalan. Guru yang tidak stabil emosinya akan memberi natijah yang buruk kepada perkembangan anak murid.



Selain itu, institusi pendidikan sepatutnya dipimpin oleh individu yang dihormati oleh semua guru. Jawatan guru, pengetua malah naib canselor adalah ketua kepada semua pendidik, bukan CEO kepada sesebuah syarikat. Untuk menjadi ketua pendidik, seseorang mesti sudah membuktikan kepakarannya dalam bidang kependidikan. Sukar untuk pelajar menghormati pengetua sekiranya pengetua itu sendiri tidak dihormati para guru. Urusan birokrasi pula sepatutnya dilaksanakan oleh kakitangan bukan akademik, bukan dibebankan kepada para pendidik. Akibat buruk daripada gejala ini akan menyebabkan pendidik melupakan tugas mereka yang hakiki iaitu mendidik anak murid menjadi manusia.


Silibus pelajaran kita juga sepatutnya dirombak supaya pelajar yang keluar daripada institusi pendidikan akan menjadi manusia yang berkhidmat kepada masyarakat, bukan sekadar pekerja kepada industri. 

Fenomena pengindustrian pendidikan hanya memberi industri lebih kata putus dalam membentuk halatuju sesebuah institusi dan menyebabkan pandangan pendidik tidak diambil kira. Pendidik yang telah berkhidmat berpuluh tahun tentulah lebih arif tentang bidang masing-masing. Malah krisis kewangan yang dihadapi dunia hari ini membuktikan bahawa industri itu sendiri telah tersilap percaturan. Mengapa perlu mendengar kata mereka? Mungkinkah para pendidik kita punya penyelesaian yang lebih tuntas?


Sebagai penutup, kementerian perlu mendengar luahan hati daripada para pendidik. Malah tidak perlu jelajah seluruh negara. Yang penting hala tuju kementerian jelas dan menghormati status pendidik sebagai obor penerang bangsa.



Mohammad Syazwannuddin Shaharuddin ialah Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Sumber HD : 12/03/2012



Guru tak ada kuasa bentuk disiplin pelajar

Salmiyah Harun, 20 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Disiplin pelajar sekolah semakin merosot hari ini apabila para guru tidak berupaya membentuk disiplin mereka kerana dihadkan oleh Kementerian Pelajaran.

Ahli Parlimen Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) berkata, guru tidak mempunyai kuasa untuk mendenda atau menghukum pelajar walapun mereka melakukan kesalahan.

"Banyak perkara guru tidak boleh tunaikan atau denda pelajar hatta menyuruh mereka berdiri lama dalam bilik darjah, tarik rambut, tarik telinga, cubit, ketuk ketampi, jerkah atau jeling pun tidak boleh,"katanya dalam perbahasan menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, peraturan melarang guru bertindak sedemikian ini dikemukakan oleh kementerian.

Sepatutnya, kata Firdaus, kementerian perlu mendapat pandangan daripada guru-guru bagaimana tindakan yang perlu dilakukan untuk mengawal disiplin pelajar.

"Apa pendekatan baru untuk mengawal disiplin pelajar? Bukannya terus mengeluarkan peraturan itu, akhirnya guru tidak mampu membentuk disiplin anak-anak," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) mengakui disiplin pelajar merosot ekoran kerajaan menukar Kementerian Pendidikan kepada Pelajaran.

"Dahulu kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pendidikan oleh kerana dasar BN ubah jadi Kementerian Pelajaran, akhirnya guru dihadkan mengajar sahajalah,"katanya.

Katanya, perbezaan ini menyebabkan dasar itu berubah jadi guru-guru bukan mendidik tetapi guru-guru mengajar.

Sumber HD : 20/03/2012


Rombak sistem pendidikan, bukan sekadar kosmetik

Mohd Azmi Abdul Hamid, 13 Apr 2012


Pengumuman kerajaan untuk melaksanakan reformasi pendidikan bukan suatu yang baru. Seruan pelbagai pihak agar sistem pendidikan dirombak sudah lama disuarakan.

Rasa resah melihat kegagalan pendidikan negara melahirkan generasi yang mempunyai sahsiah yang seimbang seperti yang dinyatakankan dalam Falsafah Pendidikan Negara jelas menuntut agar sistem yang sedia wujud disemak semula secara total.

Bermakna bermula dari aspek konsep kesepaduan ilmu sehingga aspek sistem kurikulum, kokurikulum, buku teks, skima peperiksaan, sistem pelatihan guru, pentadbiran dan kepimpinan sekolah dan universiti, skima perlantikan dan saraan guru, prasarana dan kemudahan, pensijilan dan pengiktirafan, sistem pengajaran dan pembelajaran.

Teras berpendapat tidak ada gunanya reformasi pendidikan diumumkan jika yang ingin dilakukan hanyalah perubahan bersifat superfisial dan kosmetik semata-mata.

Malah sudah menjadi kelaziman setiap menteri yang dimandatkan untuk menerajui Kementerian Pendidikan (istilah yang sepatutnya diguna semula) ada sahaja pengumuman besar yang akan diisytiharkan.

Akan tetapi perubahan yang diumumkan sering tidak menyentuh perubahan yang mendasar. Natijahnya adalah sistem sedia ada kembali seperti asal. Hanya yang dilihat berubah ialah prasarana fizikal.

Konsep dan falsafah yang menepati pendidikan dalam ertikata sebenar tidak berubah.

Teras mendapati terlalu banyak forum dan persidangan untuk menilai semula pendidikan negara diadakan. Namun sistem pendidikan yang terus berlanjutan masih dalam bingkai sistem pendidikan penjajah.

Tidak berlaku anjakan yang benar-benar bermakna untuk melambangkan erti pendidikan yang merdeka.

Tanda negara maseh melanjutkan pendidikan penjajah dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat universiti jelas dilihat dari budaya dan konsep kehidupan yang berkembang dalam masyarakat masakini.

Malah kesan pendidikan yang dilalui telah melahirkan manusia yang sangat berciri materialistik, individualistik dan komersialistik. Jelas isu kehilangan jatidiri, buta sejarah, tidak menghargai dan tidak bangga dengan budaya dan tradisi sendiri, terhakisnya bahasa dan persuratan Melayu sebagai teras kebudayaan bangsa dan negara, rendahnya kesedaran sosial dan terlalu ghairah dengan budaya hidup asing, sangat berkait dengan sistem pendidikan yang pincang.

Keghairahan kepada sistem ilmu yang merujuk kepada sumber Barat sangat ketara sehingga golongan akademik hanya diiktiraf jika menulis dan berkarya dengan merujuk sumber mereka kepada sarjana Barat.
Malah tidak keterlaluan jika disebut bahawa sistem pendidikan yang dilaksanakan sekarang melahirkan perhambaan yang sepenuhnya kepada Barat.

Pengiktirafan dan pentarafan universiti diukur hanya dari kriteria yang ditentukan dari Barat. Sementara karya dan penyelidikan yang dihasilkan hanya dapat diiktiraf jika ia diterbit dalam jurnal yang ditentukan di Barat.

Demikian rendahnya daya intelektual dan yakin diri yang dihasilkan oleh sistem pendidikan kini menyebabkan Teras berpendirian selagi reformasi dalam ertikata yang sebenar tidak dilakukan ke atas pendidikan masakini, negara ini tidak boleh berbangga bahawa ia telah melahirkan generasi yang benar-benar merdeka.

Nilai dan falsafah pendidikan yang diamalkan gagal membentuk kualiti manusia sebagai warga masyarakat mahupun warga negara dan warga dunia yang menghayati nilai-nilai murni yang sepatutnya, melainkan lahirnya keperibadian yang sarat dengan kekaguman kepada tamadun Barat dari sekecil-kecil aspek tabiat makan sehingga kepada aspek pembangunan.
Malah jenis manusia yang dilahirkan dari pendidikan kini sarat dengan nilai tamak, eksploitatif, tidak berperikemanusian, gelojoh, menindas, zalim, penting diri dan mengutamakan nilai kebendaan yang sangat tinggi.

Apa yang dizahirkan melalui pembangunan negara adalah lambang langsung dari jenis warga professional yang dilahirkan oleh sistem pendidikan yang diamalkan dinegara ini.

Jenis dan bentuk pembangunan yang wujud sekarang adalah hasil dari pemikiran dan nilai yang tertanam dalam warga yang telah melalui sistem pendidikan negara.

Kami melihat persoalan perubahan pendidikan tidak bermula dari asasnya yang mendasar. Sejak Laporan Razak hingga Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Hishammuddin, sistem pendidikan masih berada di tahap yang lama jika dilihat dari isinya.


Persoalan merubah beberapa skima yang melibatkan isu saraan pendidik, peruntukan dan pembangunan prasarana pendidikan tidak menandakan reformasi pendidikan akan berlaku dalam bentuk yang sepatutnya.


Isu dasar yang harus diberi perhatian ialah bagaimana sistem pendidikan negara yang maseh bercorak feudal bermula dari pra sekolah sehingga keperingkat menengah dan ke peringkat pendidikan tinggi boleh diubah?

Keluhan bahawa pendidikan negara gagal mellahirkan insan yang berwatak mulia dan beriltizam dengan kesedaran sosial yang tinggi adalah isu utama yang seharusnya ditangani.

Teras mengambil perhatian kepada isu pembiayaan pendidikan yang semakin tinggi. Sementara semakan kepada bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pelajar dari skim PTPTN perlu dilakukan, Teras percaya suatu mekanisme yang baru untuk membiaya kos pendidikan negara perlu dicari.

Teras bersetuju bahawa kerajaan sepatutnya mencari jalan bagaimana pembiayaan pendidikan harus ditanggung oleh dana khas yang diberi keutamaan dari pendapatan yang diperolehi dari industri petroleum negara. Sepatutnya perolehan dari petroleum memberi keutamaan kepda pembiayaan pendidikan, bukan kepada projek-projek mega yang membazir.

Teras meletakkan kesalahan kepada kegagalan kerajaan menyediakan pendidikan yang lebih murah kepada rakyat adalah kerana ketirisan dan salahguna peruntukan negara yang sangat berleluasa.

Pendidikan tinggi percuma di Malaysia tidak dapat diaksanakan kerana Malaysia mengamalkan sistem pendidikan mengikut pasaran. Ekonomi pasaran terbuka telah menjadikan pendidikan tinggi sangat kompetitif dan yuran lebih ditentukan oleh pasaran, bukan oleh kualiti pendidikan yang sebenar. Kehadiran IPTS yang begitu banyak menjadikan peluang untuk memasuki universiti atau kolej swasta sangat terbatas bagi golongan berpendapatan rendah.

Teras berpendapat pendidikan percuma diperingkat universiti boleh dilaksanakan dengan mengujudkan dana khas dari GLC negeri dan pusat. Sementara itu agensi pembiaya seperti JPA , Mara, Bank, Petronas, Zakat Negeri hendaklah memperluaskan pembiayaan dengan menubuhkan Lembaga Pembiayaan Pendidikan Tinggi Malaysia. Sebuah dana yang disatukan boleh diwujudkan untuk memastikan penyaluran pembiayaan pendidikan dapat dilaksanakan dengan efektif.

Penulis ialah Presiden Teras Penguapayaan Melayu (Teras).

Sumber HD : 13/04/2012


1Malaysia gagal atasi penempatan pendidik

Salmiyah Harun, 18 Apr 2012


KUALA LUMPUR, 18 April: Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan (GMPK) menggesa pihak kerajaan dan pembangkang menyediakan pelan alternatif bagi mengatasi masalah penempatan graduan Ijazah sarjana Muda Pendidikan (IMSP) 2011 yang masih tidak berjaya diselesaikan sehingga kini.

Menurut Pengerusinya, Abdullah Mohd Yusoff, masalah penempatan graduan pendidik ini bukanlah perkara baru bahkan akan berlarutan apabila status graduan IMSP 2012 juga sedang berhadapan masalah yang sama.

Gabungan tersebut mengambil tindakan demikian selepas masih belum ada tindakan positif daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mahupun Kementerian Pengajiian Tinggi (KPT) berhubung masalah yang dihadapi mereka.

Mereka turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan terhadap kelewatan penempatan selaras dengan slogan 1Malaysia iaitu rakyat didahukan pencapaian diutamakan dalam meningkatkan kecekapan proses yang berlaku.

"Kerajaan dan pembangkang agar memberi perhatian khusus terhadap tuntutan mahasiswa pendidik kerana mereka ini juga sebahagian pengundi pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

GMPK juga meminta kerajaan menyediakan satu plan bagi menguruskan lambakan guru opsyen sains dan matematik yang diisytihar kerajaan selaras dengan kempen yang dicanangkan sebelum ini terhadap kualiti pendidikan negara.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar (gambar atas oleh Suara Keadilan) GMPK turut menuntut agar kementerian mengeluarkan surat pemakluman berkaitan tuntutan elaun bagi guru praktikal selaras dengan surat pekeliling JPA bertarikh 24 Ogos 2011 bagi menyelaraskan maklumat kepada semua peringkat Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah.

Sebelum ini, GMPK telah menyerahkan resolusi konvensyen yang diadakan pada Disember 2011 berhubung masalah itu kepada Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi malangnya masih tidak berjaya diatasi.

Awal November tahun lalu, graduan ISMP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memulakan demonstrasi menuntut diberi penempatan dan membantah kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengarahkan graduan UPSI supaya "cari kerja lain".


Sumber HD : 18/04/2012


Nasib guru, polis berbeza di bawah BN

Harakahdaily, 20 Apr 2012



KUALA LUMPUR: Kelab Pekerja dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) menyokong penuh usaha yang akan dilakukan oleh Bersih 3.0 untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran ‘Duduk & Bantah’ di Dataran Merdeka pada 28 April ini.



Pengerusinya, Dr Ghazali Hasbullah berkata, salah satu dari lapan tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih 3.0 adalah mengukuhkan institusi awam.


Tambahnya, tidak dinafikan bahawa para penjawat awam dan institusi awam adalah nadi kepada pembangunan negara.


Justeru, katanya jatuh bangunnya penjawat awam dan institusi tersebut boleh mencerminkan kemajuan dan kestabilan sesebuah negara.


Menurut fakta dari Jabatan Perkhidmatan Awam, penjawat awam kini mencecah 1.4 juta orang.

Dari jumlah tersebut, 42.9 peratus terdiri dari polis dan guru.


Katanya, mengikut pengalaman lepas, dua kumpulan itu mendapat nasib yang berbeza di bawah pentadbiran kerajaan Umno BN.


Menurutnya, Polis Diraja Malaysia diguna sewenang-wenangnya bagi menghalang Pakatan Rakyat menyatakan hak mereka sedangkan setiap rakyat mempunyai hak-hak tertentu dalam sebuah negara yang merdeka dan demokrasi ini.


“DPMM menyeru Polis Diraja Malaysia agar bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang, bukannya mengikut telunjuk politik kotor dari Umno BN,” katanya kepada Harakahdaily.


Katanya lagi, guru pula penjawat awam yang selalu diugut, diarah melakukan sesuatu di luar norma kerja harian mereka, yang mana antara ugutan yang biasa adalah penukaran tempat kerja dan tidak naik pangkat.


“Dakwaan ini bukan kosong, malah telah berlaku kepada ramai guru yang diarahkan bertukar 24 jam akibat dari campur tangan politik Umno BN kerana kononnya guru-guru tersebut menyokong pembangkang,” ujarnya.


Tambahnya, Umno BN juga menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan jentera kerajaan sepenuhnya semasa berkempen.


“Perkara sebegini kita perhatikan setiap kali pilihanraya. Kenderaan jabatan digunakan tanpa rasa segan silu dalam kempen parti mereka.


“Lebih menyedihkan lagi para penjawat awam tertentu dipaksa turun untuk membantu kempen calon Umno BN,” katanya.


Menurutnya lagi, jika penjawat awam tersebut cuba bersuara, mereka akan diugut untuk ditukarkan ke pedalaman dan tidak dinaikkan pangkat.


Bagi beliau, sudah sewajarnya institusi awam diperkukuhkan dan direformasi agar tiada campur tangan politik kotor pemerintah.


“Kelab Pekerja dan Professional Muda DPMM, sekali lagi meyatakan sokongan dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman seperti tuntutan yang dibuat oleh Bersih 3.0 ini,” ujarnya.


Katanya, Kelab Pekerja dan Professional Muda DPMM juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta memberi sokongan yang padu demi melihat sebuah Negara Malaysia yang benar-benar aman dan sejahtera.


“Ingatlah usaha sedikit kita ini akan memberi kesan yang besar kepada kesejahteraan generasi anak cucu kita yang akan datang,” ujarnya.


Beliau menambah, Kelab Pekerja dan Professional muda juga ingin menghulurkan bantuan secara professional kepada Bersih 3.0 bagi melicinkan lagi perhimpunan yang dirancang.


“Saya juga menyeru kepada mana-mana badan professional atau individu untuk turut serta menjadi sukarelawan pada 28 April nanti,” ujarnya lagi.

Sumber HD : 19/04/2012


Jangan salahkan pelajar tak tahu baca, tulis jawi

Syed Abdullah Jamalullail,


Hairan bin ajaib apabila direnungkan sejenak akan mengapa kebanyakan pelajar yang beragama Islam tidak boleh membaca dan menulis jawi serta kurangnya pengetahuan dalam agama Islam itu sendiri di peringkat asas sekali pun sedangkan pelajaran agama diajarkan semenjak dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah.


Mesti ada puncanya mengapa begitu jadinya yang perlu diperbaiki atau diambil tindakan segera agar segala pengajaran agama itu bukannya sia-sia sahaja. Kita tidak boleh salahkan murid-murid atau pun guru-guru tetapi lebih kepada sistem pembelajaran itu sendiri yang kurang berkesan dan tidak sesuai dipraktikkan sejak zaman Allahyarham Tan Sri Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran di sekitar tahun 60-an lagi.


Pertamanya adalah kerana tidak menggunakan tulisan jawi dalam mata pelajaran itu serta begitu juga apabila membacanya di mana kebanyakan adalah dituliskan dalam bahasa rumi.


Keduanya adalah tidak diserapkan asas roh akidah di dalam jiwa pelajar tetapi lebih kepada akademik seperti sejarah tokoh-tokoh Islam yang sepatutnya ianya diajarkan kemudian di dalam peringkat Pengajian Tinggi nanti. Akidah dan asas ilmu fardhu ain adalah penting untuk mendidik anak-anak dari kecil lagi.


Ketiga adalah adab dan disiplin menurut kaedah Islam dan akhir sekali barulah diserapkan pengajaran mengaji dan memahami isi kandungan kitab suci Al-Quran serta arif dan dapat membeza buruk dan baik atau halal dan haram hinggalah berhubung kait dengan alam akhirat neraka dan syurga.


Kementerian Pelajaran hendaklah mengkaji dan seterusnya merubahkan segala sistem pengajaran mata pelajaran Islam keseluruhannya agar ianya benar-benar sampai dan berkesan bagi setiap pelajar dan bukannya ambil sambil lewa sahaja atau pun hanya untuk memenuhi kuota mata pelajaran tanpa memberikan kesungguhan untuk membinakan jiwa insan yang benar-benar komited kepada ajaran Islam sebagaimana yang dituntutkan oleh agama itu dan ini adalah bertujuan kebaikan generasi umat islam itu juga agar menjadikan islam sebagai panduan hidup yang mampu membina kekuatan rohani dan jasmani untuk selamanya baik didunia ataupun akhirat.


Seseorang Muslim yang ada asas agama sekurang-kurangnya dapat mempertahankan akidah dan jati diri terhadap Islam sebagai benteng terakhir akan pegangan hidupnya nanti. Punca kebanyakkan remaja hilang panduan hidup adalah kerana asas agamanya tidak kukuh dan malah ada yang sampai jahil tentang agama Islam itu sendiri.

Sumber HD : 21/04/2012


Semua guru di Pekan dipaksa jadi mata-mata Umno

Harakahdaily, 27 Apr 2012


PEKAN: Umno Pekan dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) telah memaksa semua guru-guru di daerah ini agar menjadi mata dan telinga Umno.

Mereka juga telah dipaksa menyertai satu taklimat Umno yang dalam surat panggilannya dinamakan program wacana ilmu.
"Kami dipanggil dan diarahkan supaya menjadi mata dan telinga PPD dan Umno serta membuat laporan dan penilaian guru-guru di sekolah masing-masing.

"Kami diminta supaya mengklaskan setiap guru samada hitam (sokong pembangkang) atau puteh (sokong BN)," beritahu satu sumber kepada Harakahdaily.

Para guru ini, katanya, juga akan diberikan tugas sewaktu pilihan raya nanti.

"Dahlah dipanggil waktu sekolah, tinggalkan sekolah dan anak murid semata-mata kerana nak jaga kepentingan Umno.

"Dulu mereka hantar surat ke sekolah, kini kami lantik supaya menjadi mata-mata Umno pula," sungut sumber itu.

Menurut beliau, sepanjang taklimat itu, satu video ditunjukkan bagi menunjukkan jahat dan buruknya Pakatan Rakyat ini.

Di samping itu, setiap guru diberikan sebuah buku bertajuk 'PAS BUKAN PARTI ISLAM'. (gambar atas)

Tidak cukup dengan itu, pada pada 12 Mei ini, semua guru-guru daerah Pekan akan diwajibkan hadir ke dewan Konvesyen Umno Pekan utk mendengar ceramah dari JASA pula.

Sumber HD : 27/04/2012




Perang papan putih dengan papan hitam mencabar

15 Mei 2012


Belajar membuat baik, dan mendapatkan keyakinan orang sekeliling kita bahawa kita baik memerlukan masa sekurang-kurangnya 3 tahun.

Belajar membuat jahat, hanya perlu seminit. Persepsi akan kekal sampai bila-bila.

Untuk membina satu bangunan yang tinggi - masa 3-5 tahun diperlukan.

Namun untuk merobohkannya, tak perlu lama, sehari sudah mencukupi.

Nama baik seseorang, parti, organisasi, syarikat dibina dengan beramal, konsisten tingkah laku dan pertuturan untuk jangka masa yang lama.

Namun, untuk merosakkan nama baik ini, hanya perlukan satu kesilapan - segalanya akan tercalar. Dan apa yang tercalar, memerlukan masa yang lama untuk diperbaiki.

Dari segi politik, itulah cabaran utama apabila menghadapi sebuah parti yang terkenal dengan jahatnya.

Kita di posisi yang persepsi yang baik - kena cermat segalanya - kerana setiap kesilapan dan kekurangan akan diserang habis-habisan bahawa kita ini tidak sempurna - walhal tiada benda yang sempurna di dunia ini, walaupun baik kita berlambak namun ramai yang terlupa hal ini dan hanya fokus pada kesilapan kita.

Di posisi jahat pula, orang melihat kemungkaran itu sesuatu yang lazim, setiap kebaikan yang kecil pula dihebahkan habis-habisan bahawa orang yang jahat ini juga ada sifat yang baik - walhal perkara jahat mereka berjela, namun ramai yang terlupa hal ini dan fokus pada sedikit kebaikan mereka.

Perang papan putih berbintik hitam dengan papan hitam berbintik putih sememangnya mencabar. Dalam perjuangan Islam yang putih suci, inilah yang perlu diharungi menghadapi pihak papan hitam yang berbintik putih.

Quran 2:249

Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

Bersabarlah dalam mehnah perjuangan. Allah akan bersama-sama dengan orang-orang yang sabar.

Senyum.

Sumber HD : 15/05/2012



Tahniah guru, jasamu tidak dilupakan

Harakahdaily, 16 Mei 2012


KUALA LUMPUR, 16 Mei: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan selamat Hari Guru bagi tahun 2012 kepada semua pendidik di negara ini.


“Syabas dan tahniah kepada para guru yang berterusan memberikan perkhidmatan dalam dunia pendidikan tanpa berasa lelah, jemu dan berputus asa bagi memastikan kecemerlangan akademik terhadap pelajar-pelajar setiap tahun,” kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss.


Beliau dalam satu kenyataan berkata, DPPM menyanjung tinggi segala pengorbanan yang dicurahkan oleh golongan pendidik dalam melahirkan generasi yang beriman, bertaqwa dan berharga dalam masyarakat.

Menurutnya, mereka umpama obor yang menerangi alam dengan ilmu dan hikmah yang mereka tebarkan.


“Tanpa mereka tiadalah semua golongan cendikiawan, cerdik pandai, pemimpin dan ahli politik hebat seperti sekarang. Sewajarnya peranan dan sumbangan mereka dimartabatkan setingginya,” katanya.


DPPM, ujarnya menekankan bahawa komitmen Pakatan Rakyat terhadap para pendidik amat tinggi dengan berusaha pembelaan yang sewajarnya kepada mereka.


Malahan, tambah beliau segala imbalan dari kerajaan pusat untuk guru-guru termasuk ura-ura tambahan tawaran oleh kerajaan sempena Sambutan Hari Guru adalah hasil daripada perjuangan PR melalui Buku Jingga.


Pakatan Rakyat juga, kata beliau lagi berusaha memastikan pendidikan percuma dinikmati oleh rakyat segenap peringkat dari peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat tertinggi.


“Adalah diharapkan, tiada seorang pun rakyat tercicir dari menerima pendidikan sebagai asas dalam kehidupan.


“Semoga para guru dan pendidik terus membimbing ummah sebagai insan teladan dan terpuji sepanjang zaman,” ujarnya lagi.


Justeru, katanya DPPM mendoakan para pendidik sentiasa mendapat kemuliaan di sisi masyarakat dan mereka pula berusaha melipatgandakan dedikasi mereka dalam dunia pendidikan.

Sumber HD : 16/05/2012


Guru Bangkit Memimpin Perubahan

Normala Sudirman, 16 Mei 2012


Sempena sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei 2012, Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) ingin mengucapkan ” SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU” kepada warga pendidik di seluruh Malaysia.


Warga pendidik yang dihormati.

Sejarah telah membuktikan bahawa peranan guru dan pendidik amat besar dalam mengubah lanskap politik negara sejak sebelum merdeka lagi yang membabitkan kelompok guru-guru pondok, guru-guru agama, guru-guru sekolah kebangsan Melayu dan sebagainya. Gerakan mereka berjaya memimpin massa menuntut kemerdekaan dan seterusnya mencorakkan masa depan pendidikan negara hingga sekarang.

Namun kealpaan, kecuaian, pengabaian, campur tangan politik yang berlebihan sama ada dilakukan sengaja atau tidak sengaja, kelemahan perancangan dengan tendensi melakukan perubahan demi perubahan pendidikan kononnya atas tiket mengangkat pendidikan negara bertaraf dunia telah menjadikan sistem pendidikan negara menjadi caca marba. Hal ini berasas kerana polisi trial and error dan project based yang diamalkan oleh pemerintah tidak kira berjaya atau sebaliknya sesuatu dasar itu dijalankan telah meninggalkan ’luka’ di hati masyarakat pendidik, ibu-bapa dan rakyat Malaysia umumnya. Antaranya isu PTPTN, PPSMI, Perubahan Status Sekolah Bestari yang akhirnya dijadikan sebagai Pembestarian Sekolah, Pengenalan Semula Dasar Memartabatkan Bahasa Kebangsaan, Penarikan balik buku teks kajian Komponen Sastera iaitu Novel Interlok Sasterawan Negara Abdullah Hussain kononnya mencemar nama baik sesuatu kaum, dan yang terbaharu pembatalan SBPA sebagai skim gaji baru penjawat awam telah melibatkan kerugian kos berjuta-juta ringgit kerana sikap terburu-buru dalam merancang dan membuat keputusan tentang masa depan pendidikan negara.


Kini, peluang untuk membetulkan keadaan ini telah dirintis menerusi penubuhan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidikan Kebangsaan (PENDIDIK) yang diharap mampu menggerakkan momentum memimpin masyarakat guru dan massa untuk mengubah landskap pendidikan tanah air. Pelancaran NGO PENDIDIK yang telah melakar sejarah dalam persada pendidikan negara ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden PAS di Dewan Putra, Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor pada 12 Februari 2012 yang lalu.

Warga pendidik yang dihormati,


Sudah tiba masanya kita hentikan kezaliman ini dan tidak akan membiarkan minda dan jiwa guru dikongkong dengan ’penjajahan alaf baru’ yang tidak bertamadun dan menzalimi pendidik yang berjiwa mulia serta ikhlas mendidik anak bangsa selama ini.


Justeru, satu wahana dan platform untuk para pendidik di seantero Malaysia telah diwujudkan untuk menyalurkan aduan, pandangan serta luahan demi memperkasakan pendidikan tanah air di samping tidak meminggirkan hak dan kebajikan para pendidik dalam memacu halatuju pendidikan negara. Sudah pasti NGO PENDIDIK ini berfungsi sebagai entiti yang menggalas tugas profesional dalam kerjaya pendidikan akan berkhidmat berteraskan prinsip takwa, iman dan ihsan selain konsisten dalam memperjuangkan keadilan sejagat, kebajikan, maruah guru dan maruah profesion pendidikan negara.


Semoga Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) akan menjadi wadah yang tersohor, dan karismatik dalam memperjuangkan martabat, nasib, dan dinamika profesion keguruan agar terus dihormati dan menjadi ikon kebanggaan masyarakat pendidik”.


Sekretariat Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) mengharapkan agar semua para pendidik yang pernah menjadi mangsa ’tekanan politik’ atau ’mangsa pertukaran akibat dendam politik’ mengikut prosedur yang tidak betul sangat dialu—alukan untuk menyalurkan aduan ke alamat email ; _ HYPERLINK "mailto: aduanpendidik@gmail.com This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it .Semoga" _aduanpendidik@gmail.com This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it ._

Platform ini akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada perkembangan dan kemajuan pendidikan negara di samping meramaikan kelompok profesional yang bakal mewarnai persada pendidikan negara ke arah menyediakan pendidikan yang lebih berkualiti demi melahirkan modal insan yang memiliki akhlak yang terpuji.


Mutakhir ini masih ada lagi warga pendidik yang pernah menjadi mangsa kezaliman akibat ditukarkan ke sekolah lain sepanjang perkhidmatan tanpa mengikut prosedur yang betul dan bukan ’atas keperluan perkhidmatan’. Apa yang berlaku sebaliknya adalah ramai di kalangan warga pendidik telah ditukarkan hanya kerana ’dendam politik ’ dan ’tekanan politik’ dari pimpinan Umno Barisan Nasional.


NGO PENDIDIK mengharapkan agar semua warga pendidik di seluruh Malaysia tampil untuk menyuarakan pandangan dan berkongsi pengalaman tentang kezaliman yang telah dilakukan sejak 54 tahun oleh UMNO Barisan Nasional sehinggalah kini. Jadi sudah tiba masanya kita hentikan kezaliman ini dan tidak akan membiarkan minda dan jiwa guru dikongkong dengan ’penjajahan alaf baru’ yang tidak bertamadun dan menzalimi pendidik yang berjiwa mulia serta ikhlas mendidik anak bangsa selama ini.

Dalam waktu terdekat,’Roadshow NGO PENDIDIK ’ akan dilaksanakan akan diadakan di lokasi yang sesuai untuk menggerakkan kebangkitan guru di seluruh Malaysia. Diharapkan dengan sokongan dan kerjasama semua para pendidik , NGO PENDIDIK berharap akan dapat menangani isu-isu pendidikan negara dengan cara yang profesional dan bijaksana di samping memaksimumkan penerangan, perkhidmatan dan latihan menerusi peranan setiap sekretariat yang telah diwujudkan. Ia juga diharapkan dapat menjadi medan dan wasilah warga pendidik dan guru menyuarakan pandangan, pendapat, dan idea untuk membangunkan kecemerlangan pendidikan nasional dalam persada pendidikan negara.


Akhir kata , Selamat Menyambut Hari Guru 2012 dengan tema yang dipilih oleh NGO PENDIDIK pada tahun ini ”BANGKIT GURU MEMIMPIN PERUBAHAN”


Normala Sudirman (Cikgu Mala) ialah Presiden Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK).

Sumber HD : 16/05/2012


Hari Guru: PAS, PR komited naik gaji guru

Harakahdaily, 16 Mei 2012


KUALA LUMPUR, 16 Mei: “Bersempena dengan sambutan Hari Guru pada hari ini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada semua guru yang berjasa besar kepada negara,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.



Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memetik puisi Allahyarham Usman Awang yang menukilkan “siapapun kita hari ini, sama ada Perdana Menteri, pensyarah, peguam, petani atau nelayan, kita bermula dengan ajaran guru”.


Katanya, dalam konteks negara membangun, pendidikan adalah industri yang melahirkan rakyat yang tinggi sakhsiahnya dan membekalkan tenaga produktif yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.


“Di sebalik itu, guru adalah pemain utama yang menjayakan hasrat tersebut,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.


Menurutnya lagi, dengan cabaran globalisasi yang berlaku di zaman ini, tugas mereka tidak sekadar mengajar di kelas, tetapi hampir setiap waktu mereka bertugas secara langsung dan tidak langsung dalam membentuk keperibadian rakyat.


“Sebagai penghargaan kepada jasa guru, PAS bersama Pakatan Rakyat komited dengan janji di dalam 'Buku Jingga' untuk menaikkan gaji guru-guru dan seluruh kakitangan berkaitan perguruan selaras dengan tanggungjawab yang besar dipikul mereka,” ujarnya.

Sumber HD : 16/05/2012


Guru perlu jujur didik anak bangsa cintai tanah air

Hazayani Zakaria, 16 Mei 2012


KUALA LUMPUR, 16 Mei: Guru selaku pendidik bertanggungjawab mengajar anak bangsa agar mencintai tanah air dan memperjuangkan hak mereka dengan jujur, kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

A. Samad atau lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, beliau sangat berharap agar guru bersikap jujur dalam menyampaikan apa juga ilmu kepada para pelajar.

"Saya harap guru adalah asas kejujuran. Guru adalah orang yang mendidik, jadi saya harap sangat mereka jujur untuk mendidik anak-anaknya supaya mencintai tanah airnya dan memperjuangkan hak mereka," kata beliau ketika ditemui di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, dekat sini, hari ini.

Pak Samad juga mengingatkan guru-guru agar tidak melupakan budaya santun dalam mendidik pelajar-pelajar pada zaman serba mencabar ini.

"Guru dahulu barangkali pembacaannya, pergaulannya terhad...tidak seperti sekarang, pembacaan guru-guru agak melimpah dan pergaulannya juga luas.

"Tapi biar apa pun, yang penting guru adalah orang yang mengajar anaknya untuk santun, berpengetahuan dan bertindak adil," katanya lagi.

Tambahnya juga, guru-guru seharusnya mempunyai minat membaca yang tinggi dan tidak terikat kepada bidang yang diajarnya sahaja.

"Semestinya guru-guru harus rajin membaca, kalau guru tidak membaca susahlah," katanya sambil ketawa.

Sumber HD : 16/05/2012


Pendidik: Warga guru perlu buat perubahan

Normala Sudirman, 28 Mei 2012


PAS Johor telah melakar sejarah baru dengan berlangsungnya majlis pelancaran Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) peringkat negeri semalam.

Majlis yang bertempat di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru berjalan lancar dan meriah dengan kehadiran Al- Fadhil Ustaz Datuk Abu Bakar Chik selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Pusat dan Al- Fadhil Prof. Datuk Dr. Mahfodz Bin Mohamed, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor petang tadi.

Majlis yang menghimpunkan warga pendidik Johor ini turut dihadiri oleh AJK NGO Pendidik, AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, YDP PAS kawasan dan AJK Lajnah Pendidikan PAS Negeri Johor.

Majlis Hi-Tea dan Pelancaran Pendidik peringkat Negeri Johor juga diserikan dengan ucapan tetamu jemputan, tayangan montaj dan forum yang menjurus ke arah perkongsian pengalaman beberapa tokoh pendidik yang menjadi mangsa diskriminasi, ditindas dan dizalimi dari segi hak dan kebajikan mereka sebagai warga pendidik di Malaysia.

Perkongsian cerita seorang guru dari negeri Perak, En.Omar Bin Abu Bakar yang telah ditamatkan perkhidmatan sedangkan kes rayuan masih berjalan menimbulkan tanda tanya kepada beliau sehingga kini.

Jelas membuktikan bahawa ‘tekanan politik’ telah dikenakan terhadap beliau oleh pihak yang berkepentingan untuk mengekalkan survival politik mereka dengan menjadikan Jabatan Pelajaran Negeri Perak sebagai ‘perkakas’ Umno Barisan Nasional.

Saya selaku Presiden NGO Pendidik menggesa segala kezaliman yang dikenakan terhadap warga pendidik terutamanya yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran Malaysia setelah 54 tahun kita merdeka yang perlu dihentikan segera kerana guru bukanlah insan yang boleh ‘dikongkong’ minda dan ‘jiwanya’ oleh sebarang bentuk ‘penjajahan alaf baru’ yang bertujuan mahu menakutkan guru- guru.

Profesion guru adalah tugas yang mulia dan tidak boleh dicemari dengan mencampuradukkan ‘politik kepartian’ dengan ‘pendidikan anak bangsa’.

Saya ingin mempersoalkan mengapa saya yang diamanahkan bertanding dalam PRK Dun Tenang, tetapi suami saya pula yang diarahkan bertukar sekolah.

Lebih menimbulkan kemusykilan lagi, pertuduhan yang cuba dikenakan adalah dengan kaitan tarikh 22 Januari 2012, yang sebenarnya merupakan hari Sabtu, di luar tugas rasmi adalah tidak relevan sama sekali.

Al-Fadhil Ustaz Datuk Abu Bakar Chik, dalam ucaptamanya berkata Umno gagal dalam mendidik rakyat agar menjadi modal insan yang berakhlak mulia walaupun telah diberi peluang mentadbir Malaysia lebih daripada 54 tahun lamanya.

Dengan memberi contoh Himpunan Jutaan Belia yang diadakan baru- baru ini dengan pengisian budaya hiburan yang melampau, aksi pergaulan yang bebas dan pakaian yang menjolok mata, apakah jaminan generasi pewaris kepimpinan negara yang hendak diharapkan di tangan pemerintahan Umno Barisan Nasional seperti itu.

Justeru, sudah tiba masanya rakyat membuat perubahan demi kelangsungan generasi pelapis masa depan negara pada masa akan datang.

Beliau menyeru warga pendidik di seluruh negeri Johor agar bangkit membuat perubahan dengan menggerakkan sebuah kebangkitan baru di negeri ini sesuai dengan peranan guru sebagai muaddib, mualim dan murabbi yang menyambung tugas para nabi dan rasul dalam mengembangkan tanggungjawab dakwah yang suci demi mencari keredhaan Illahi.

Dalam ucapan Prof. Datuk Mahfodz Bin Mohamed, Pesuruhjaya PAS Johor pula, beliau menegaskan sesungguhnya, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik.

Perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan.

Dewasa ini, gejala sosial yang sedang melanda sangat membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat.

Kes jenayah, zina, isu buang bayi, sumbang mahram, kelahiran bayi luar nikah, jenayah ragut, kes bunuh dan bermacam-macam lagi sangat mendukacitakan.

Justeru, hanya di tangan warga pendidik yang ingin ; menegakkan makruf nahi mungkar ‘sahajalah sebagai wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan negara yang semakin meruncing.

Dengan perasmian Pendidik semalam, maka adalah diharapkan para pendidik khususnya di negeri Johor terus ikhlas, sabar dan tabah dalam profesionalisme keguruan dan tidak jemu untuk terus membela warga pendidik dan rakyat Malaysia sesuai dengan tema Hari Guru yang dipilh oleh NGO Pendidik pada kali ini ini iaitu “Bangkit Guru Memimpin Perubahan “.

Di tangan para gurulah, terletaknya peranan untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah unggul dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa bersumberkan sistem ’Pendidikan Rabbani.

Sudah tentunya,’kebangkitan semangat guru untuk terus membela rakyat‘ yang diperjuangkan oleh para guru di seluruh Malaysia bakal melahirkan modal insan yang berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya, guru adalah ’agen’ perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai ’kemerdekaan’ tanah air.

Gurulah yang membentuk ’jiwa dan minda merdeka’ dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu.

NGO Pendidik ingin menyeru kepada barisan pendidik di seluruh negara dan negeri Johor khususnya agar ’berani’ membuat anjakan paradigma demi melihat perubahan iklim pentadbiran negara agar masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya.

Bangkitlah wahai para guru dalam mempertahankan hak dan kebajikan yang kian diabaikan. Beranilah menyuarakan pendapat melalui ’lisan dan mata pena’ demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas.

Mantapkanlah jati diri selaku pendidik dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi menghadapi cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi.

’Bangkit Guru Memimpin Perubahan!’.

Sumber HD : 28/05/2012


Keperluan asas guru pedalaman masih daif

Harakahdaily, 04 Jun 2012


MIRI: Guru merupakan aset atau tenaga pengajar yang amat berharga untuk membimbing para pelajar agar menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.

Masalah atau nasib para guru yang mengajar di pedalaman Sarawak seharusnya diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang berkenaan, agar mereka tidak terbiar tanpa sebarang pembelaan.


Yang Dipertua PAS Miri Jofri Jaraiee (gambar) berkata, masih banyak lagi sekolah di pedalaman Sarawak yang masih tiada kemudahan asas seperti bekalan air bersih, eletrik dan juga jalan perhubungan yang baik untuk kemudahan para guru berurusan dengan pihak pentadbiran atau membeli barang keperluan di bandar.


Menurutnya, walaupun guru pedalaman dibayar dengan gaji tambahan, tetapi kemudahan asas amat diperlukan oleh mereka yang tinggal jauh di pedalaman.


Malah katanya, para guru terpaksa membayar lebih mahal, disebabkan kos pengangkutan untuk ke bandar terlalu tinggi dibandingkan dengan mereka yang mengajar di bandar," katanya.


"Para guru tidak mengharapkan rumah batu yang mewah, tidak mengharapkan lampu neon bergemerlapan atau air yang ditapis sehingga tujuh tapisan tetapi perlukan perhatian untuk kelangsungan hidup, mendidik supaya insan-insan yang dididik lebih berkualiti dapat dilahirkan untuk negara, bangsa dan agama." katanya.

Di antara sekolah-sekolah di pedalaman yang masih belum mendapat kemudahan asas sepenuhnya seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Manok, SK Sungai Kelabit dan SK Sungai Laong dimana para guru terpaksa tinggal dalam keadaan daif dan segala kemudahan asas yang pernah dijanjikan dahulu belum lagi ditunaikan sepenuhnya oleh pihak yang berkenaan.


Katanya, sebagai sebuah kerajaan seharusnya perkara ini perlu diberi perhatian dan keutamaan yang sewajarnya, kerana guru adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang amat memerlukan infrastuktur dan pembangunan.


"Kita mendesak agar pihak kementerian pelajaran dan pihak yang berkaitan dapat membantu menyelesaikan dan segera mengambil tindakan sewajarnya ke atas masalah yang dihadapi oleh para guru yang tinggal di pedalaman ini.


"Jangan biarkan kehidupan para pendidik dan juga penduduk diluar bandar dipinggirkan dari arus pembangunan. Berlaku adillah kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik," tegasnya.

Sumber HD : 4/06/2012


Cikgu Mala nafi masuk Umno, sedia saman blogger

Hazayani Zakaria, 22 Jun 2012


KUALA LUMPUR: Bekas calon PAS Dun Tenang, Normala Sudirman hari ini menafikan fitnah penulis blog kononnya beliau menyertai Umno.

Fitnah melalui blog Penaksj.wordpress.com yang itu bertajuk "PAS Johor punca Cikgu Normala berniat serah keahlian masuk Umno" disebarkan bermula kelmarin.

Tulisan tersebut mendakwa Cikgu Mala mempunyai masalah kewangan selepas tewas pada pilihan raya kecil Dun Tenang pada 2010.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut tengahari tadi, Normala atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya fitnah itu diteruskan.

"Saya akan teruskan saman sekiranya perkara ini (fitnah) terus dipanjangkan dan menuntut penulis tersebut membuat permohonan maaf," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

Cikgu Mala juga menegaskan, beliau akan terus berjuang dalam PAS dan mendapat sokongan padu daripada suami, keluarga dan parti sendiri.

"Saya mendapat sokongan padu dari suami, keluarga dan jemaah sendiri dan InsyaAllah saya tak akan bertindak keluar parti," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Muslimat, Siti Zailah Mohd Yusof menyifatkan fitnah tersebut sebagai tindakan terdesak pihak tertentu untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu utama negara.

"Umno BN masih lagi guna fitnah dan dakyah kotor untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu rasuah dan sebagainya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua DMPP, Dr Siti Mariah Mahmud, Naib Ketua, Senator Mumtaz Md Nawi dan Ketua Penerangan, Aiman Athirah Al Jundi.

Sidang Media DMPP : 

http://www.youtube.com/watch?v=gTQ_BhyQI1I&feature=youtu.be

Sumber HD : 22/06/2012


Jenayah melalui maklumat di FB

http://guruinspirasiku.blogspot.com, 22 Jun 2012


Khusus untuk mereka yang gemar berkongsi maklumat di FB dan online...

Salam untuk semua… Kalau anda pernah tgk video-video kekejaman di Palestine dan Syria, jangan ingat anda jauh dari kekejaman seperti itu.

Nauzubillah min zalik, ianya berlaku di dalam negara kita sendiri, mungkin tidak jauh dari tempat anda tinggal. Sebenarnya sekarang ini terlalu banyak kejadian culik, rogol, dan bunuh dalam Negara kita yang nampaknya aman dan makmur.

Yang menyayat hati banyak mangsa-mangsa adalah kanak-kanak dan pelajar sekolah dan ada yang sebaya dengan anak saya sendiri. Tenunglah anak perempuan anda sekarang, bayangkan dada mereka ditoreh, pungung dikerjakan, disumbat mulut dengan kertas, beras, kemaluan disumbat dengan benda-benda.

Yang lebih menyedihkan 80% mereka yang ditangkap terlepas, kerana tidak cukup bukti untuk didakwa dan ditahan didalam penjara. Jadi awas tuan-tuan dan puan-puan, dikalangan kita ada perogol, pedophiles, pembunuh bersiri yang bebas mencari peluang utk bertindak. Dan mereka ni bukan orang kurang siuman.

Semuanya bijak belaka. Mereka mengunakan kaedah seperti PHISING dan reverse phsycology utk mendapatkan maklumat peribadi kita. Jadi anda perlu sentiasa peka dengan apa yang anda telah lakukan terutama dalam perkembangan dunia IT sekarang ini.

Saya nak sarankan beberapa perkara mudah di FB yang InsyaAllah boleh menyelamatkan nyawa anda dan keluarga anda......

1. REMOVE semua maklumat berkenaan suami, isteri, anak, ibu, bapa, pakcik yang kita publish di Facebook. Tak perlu unfriend mereka, hanya tukar relationship sahaja.

2.JANGAN post gambar anda, anak-anak, keluarga dan sahabat handai. Jika perlu tetapkan setting SECURITY pada kiriman. Tentukan orang-orang tertentu yang hanya boleh melihat gambar tersebut.

3. Aktifkan option untuk review TAG. Ada didalam ruangan Setting. Pilihan ini akan meminta anda untuk approve gambar, post yang anda telah di tag. Jadi ini akan memberikan anda ruang untuk menilai kiriman tersebut sama ada ianya akan mengancam keselamatan

4. JANGAN lah nak bersayang-sayang, aniversary di FB. Buat offline sahajalah. Tindakan seperti ini akan memberitahu siapa orang kesayangan anda dan boleh jadi target

5. HENTIKAN post yang boleh menunjukkan anda bersendiri. Seperti "Boringnya, sorang-sorang kat rumah" atau "I nak tido kejap"

6. MATIKAN fungi geo-location pada pengguna Android atau iPhone. Fungsi ini boleh mendedahkan lokasi anda.

7. Review friendlist anda dengan kerap. Ingat 80% penjenayah ni masih terlepas.

8. REMOVE no telefon dari FB. Kerana penguna Android boleh nampak no telefon anda

9. Gambo profile letak lah yang sopan santun

10. REVIEW semula album FB anda. Mana gambar yang tak patut delete sahaja!

* Apa pun moralnya kita sebagai seorang yang mengaku Islam, dalam hati perlu ada niat untuk merealisasikan perlaksanaan Hukum Allah di Negara kita yang katanya sebuah Negara Islam… Untuk merealisasikannya tentulah kita sebagai seorang rakyat yang boleh mengundi untuk memilih sebuah kerajaan yang cenderung untuk melaksanakan Hukum Allah di muka bumi Malaysia yang tercinta ini…. Takbir!!!!

Sumber HD : 22/06/2012


Anis Nazri, 17 Jul 2012


KUALA LUMPUR: NUTP menunggu maklum balas daripada ahli-ahlinya berhubung cadangan kerajaan membenarkan penggunaan telefon bimbit kepada pelajar sekolah.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan kebangsaan Malaysia (NUTP) akan menyatakan pendirian rasmi selepas memperoleh maklum balas daripada ahlinya.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi secara tidak rasmi, ada di kalangan guru-guru yang bersetuju, tidak kurang juga yang berfikir lebih banyak keburukan berhubung cadangan tersebut," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan maklum balas yang diterima nanti, NUTP akan berbincang mengenainya sebelum mengemukakan sebarang tindakan kepada kerajaan.

Semalam, Kementerian Pelajaran dilaporkan dalam usaha merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang akan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bagaimanapun akan menetapkan garis panduan yang mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Menurutnya, keputusan untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah adalah selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar.

Beliau juga dilaporkan berkata para ibu bapa pernah beberapa kali meminta Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka.

Sumber HD : 17/07/2012


Pelajar Rakam Aksi Cikgu

http://wasukalu.blogspot.com, 21 Jul 2012



Bawa Hanphone/ Gadget Ke Sekolah Baik Untuk Ibu Bapa Dan Pelajar Tetapi Bencana Besar Buat Guru-guru

Berita terbaru yang mengejutkan ramai pihak telah dikeluarkan oleh KPM melalui media perdana kelmarin. Telefon bimbit akan dibenarkan di sekolah mulai tahun 2013.

Bagi sesetengah pihak terutamannya pelajar dan ibubapa, berita ini merupakan berita baik untuk mememudahkan perhubungan ibubapa dengan anak-anak.Faktor keselamatan pelajar yang selama ini menjadi runcing berikutan pelbagai tragedi terutama culik dan bunuh yang kian menjadi igauan ngeri ibu bapa dapat diminimakan.

Di sebalik segala tanggapan positif tentang berita tersebut, perlu diambilkira juga pandangan guru-guru yang pastinya tidak dapat menolak keputusan kerajaan. Guru-guru pastinya dalam dilema apabila peraturan baru ini dilaksana kelak.

Masalah besar mungkin tidak akan berlaku di sekolah-sekolah elit kerana pelajar di sana terdiri daripada pelajar terpilih yang pastinya lebih berotak dan berdisiplin.

Tetapi bagaimana pula dengan sekolah-sekolah menengah biasa, yang pelajarnya terdiri daripada pelbagai tahap IQ?

Apa kesan peraturan baru itu kepada pelaksanaan 

pengajaran dan pembelajaran?

Penyebaran gambar-gambar dan filem porno, leka bermain game dan berbalas sms dengan rakan ketika guru mengajar akan memburukkan disiplin sesebuah sekolah.


Pengajaran dan pembelajaran tidak akan mencapai objektif kerana tumpuan pelajar tidak kepada pengajaran guru sebaliknya leka dengan telefon dan gadget yang dibawa.Perlu maklum bahawa telefon pintar dan gadget canggih memang 'berhantu'

Kecurian telefon bimbit atau gadget juga akan membawa masalah kepada guru-guru terutama guru disiplin.Kecurian telefon bimbit bukan seperti kecurian pen dan pensel kerana ia adalah barang berharga yang boleh dijual. Apabila kes kecurian berlaku guru akan terpaksa menangani kes. Ini sebenarnya adalah bebanan baru kepada guru.

Guru akan hadapi banyak masalah sebelum, semasa dan selepas waktu pengajaran. Apatah lagi sekolah-sekolah di Malaysia kini hanya terdapat beberapa orang guru lelaki berbanding guru wanita yang memonopoli kerjaya perguruan. Masalah disiplin akibat membawa telefon bimbit ke sekolah pastinya sukar dikawal.

Guru disiplin yang sebelumnya macho habis dalam menangani kes-kes disiplin bakal menjadi tikus mondok atau kura-kura yang menyorokkan kepalanya. Segalanya akan berubah kerana pastinya guru disiplin tidak mahu aksinya dirakam dan dimuat naik ke youtube. Bebudak sekarang punya dajjal- Nauzubillah!!!



Banyak masalah disiplin yang dihadapi para guru hari ini tidak dapat diselesaikan. Pelajar yang dibuang sekolah kerana pelbagai kesalahan berat juga akan kembali bersekolah di sekolah yang sama setelah membuat rayuan di peringkat atasan.

Ini membuatkan guru sering dipermainkan kerana kembalinya pelajar itu ke sekolah yang sama menggambarkan seolah-olah tiada undang-undang yang dapat dikenakan terhadap pelajar demikian. Pelajar bermasalah ini menjadi semakin berpengaruh di sekolah dan menjadi ikutan ramai pelajar lain.

Diharap pihak kerajaan melalui KPM akan meneliti baik buruknya memberi kebenaran kepada pelajar membawa telefon dan gadget lain ke sekolah.






Sumber HD : 20/07/2012




KUALA LUMPUR: 16 dan 17 Ogos ini ditetapkan sebagai cuti berganti persekolahan sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang dijangka jatuh pada hari Ahad, 19 Ogos.



Menurut surat siaran Kementerian Pelajaran Malaysia Bilangan 26 Tahun 2012, perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Jemaah Menteri, 8 Ogos lalu.


“Dengan ini semua pihak mempunyai tempoh masa yang mencukupi bagi merancang perjalanan pulang dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan jalan raya,” kata siaran itu.


Justeru, pihak kementerian memberi kebenaran kepada sekolah-sekolah untuk memohon cuti berganti pada hari Khamis, 16 Ogos melalui pendaftar masing-masing untuk kelulusan.


Tambah siaran itu lagi, bagi tujuan penyelarasan, pihak kementerian mencadangkan supaya cuti berganti persekolahan pada 16 Ogos diganti pada Sabtu, 8 September manakala 17 Ogos pula diganti pada Sabtu, 22 September.

Sumber HD : 10/08/2012



Janji yang tak ditepati tetapi telah ‘dicapati’


KUALA LUMPUR: Dari Februari 2012 sehingga kini, tiada khabar berita berkenaan pengagihan 25,000 penggunaan sistem pembelajaran yang diuar-uarkan oleh pihak Ketua Menteri Melaka.



Justeru, pihak guru tertanya-tanya bagaimanakah implementasi sistem Tutor Online itu diagihkan.


Seorang guru dari Merlimau yang mahu dikenali sebagai Cikgu Seha dalam satu surat kepada Harakahdaily menyatakan guru-guru bertanya setiap sekolah yang dapat hubungi, namun jawapan yang sama diterima iaitu semuanya sama, “tiada khabar berita”.

Berikut luahan beliau.


Saya sebagai seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di Merlimau, Melaka sangat terharu dengan usaha pihak Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkenaan pembelajaran di atas talian yang dilancarkan oleh beliau bersama-sama Melaka International College of Science and Technology seperti yang dilaporkan di dalam akhbar Melaka Hari Ini pada 17 Februari 2012.


Seperti yang kita maklum, pihak Jabatan Pelajaran Negeri amat menitik berat peratusan kelulusan cemerlang setiap sekolah di negeri Melaka ini.


Dengan adanya peruntukan sebanyak 25,000 penggunaan pembelajaran dalam talian Tutor Online untuk diagih-agihkan kepada setiap pelajar terpilih di negeri Melaka, bolehlah membantu para pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM meningkatkan prestasi mereka dan mencapai peratusan kelulusan cemerlang yang lebih tinggi.


Namun, dari bulan Februari 2012 sehingga kini, tiada khabar berita berkenaan pengagihan 25,000 penggunaan sistem pembelajaran yang diuar-uarkan oleh pihak Ketua Menteri Melaka.


Kami pihak guru tertanya-tanya bagaimanakah implementasi sistem Tutor Online ini diagihkan. Kami bertanya setiap sekolah yang kami dapat hubungi, namun jawapan yang sama kami terima iaitu semuanya sama, “tiada khabar berita”.


Ketua Menteri sendiri berkata, “Semoga objektif untuk membantu meningkatkan prestasi pelajaran di Melaka terutama yang berhadapan dengan peperiksaan penting seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan terlaksana.”


Namun, pengagihan 25,000 sistem Tutor Online ini tidak dilaksanakan secara sama rata. Janganlah kami guru-guru, ibubapa dan murid-murid di negeri Melaka disogok gimik politik kerajaan negeri yang kami dokong ini, tetapi hanya segelintir dan golongan-golongan tertentu sahaja yang mendapat manafaat ini.


Kami berharap, janganlah hanya memilih sekolah dengan pilih kasih, sebagai contoh Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin. Hak anak-anak sekolah lain di negeri Melaka haruslah disaksamakan.

Pihak guru di negeri Melaka amat kesal dengan cara pangagihan ini dan kami seperti termakan racun “Janji Ditepati”.

Sumber HD : 24/08/2012


Kenapa KPM berdolak-dalik penempatan Guru KPLI j-QAF 2011


Saya merupakan bapa kepada salah seorang pelajar KPLI j-QAF ambilan 2011 ingin merujuk kenyataan Dato’ Mohd Puad Zarkashi di akhbar Utusan Malaysia pada 4 ogos 2012, "Oleh itu, kita minta supaya JPA mempercepatkan kelulusan perjawatan bagi guru j-QAF yang sudah dimohon Kementerian Pelajaran bagi membolehkan kekurangan diisi segera”. Saya berasa hairan kerana menurut pegawai JPA kelulusan telah di luluskan sejak awal.

Ini adalah emel yang saya dapat dari pegawai JPA, “Terima kasih di atas persoalan yang dibangkitkan. Untuk makluman tuan, perjawatan yang disediakan adalah berdasarkan keperluan yang dikemukakan oleh pihak KPM pada awal tahun 2012. JPA telah pun meluluskan perjawatan tersebut dengan mengambilkira permohonan dan kedudukan kekosongan perjawatan KPM termasuk pelatih yang sedang mengikuti latihan perguruan program j-QAF dan akan tamat latihan sehingga pada tahun 2012. Sehubungan itu, tuan dinasihatkan untuk berhubung dengan Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, KPM kerana isu penempatan dan pelantikan adalah di bawah bidang kuasa KPM”.

Saya juga ingin merujuk kenyataan jurucakap KPM di Berita Harian pada 22 0gos 2012 menyatakan bahawa pihak SPP sedang mengemaskini, akan tetapi apabila saya menelefon, pihak SPP mengatakan bahawa mereka sedang menunggu jadual dan senarai nama dari bahagian sumber manusia KPM.

Saya ingin bertanya adakah kelulusan perjawatan yang telah diluluskan oleh pihak JPA diberikan kepada pemegang ISMP IPTA yang penempatannya pada Mei dan Jun 2012. Saya berharap agar KPM tidak berdolak-dalik dalam hal ini dan membuat kenyataan yang tidak mengelirukan mana-mana pihak. Diharapakn juga agar pihak KPM menetapkan tarikhnya sama ada pada Januari 2013 atau oktober 2012. Janji ditepati!


Sumber HD : 29/08/2012


Lebih 1,000 pendidik berhimpun 8 September

















(Banner Himpunan Pendidik 2012 di Shah Alam)


SHAH ALAM: Lebih 1,000 pendidik khasnya dari Selangor akan menyertai Himpunan Pendidik Islam 2012 8 September 2012 di Dewan Unisel, Shah Alam.

Turut serta dan bakal dinobatkan sebagai Tokoh Pendidik Nusantara adalah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS.

Demikian kata Pengerusi NGO Pendidik, Normala Sudirman (gambar) dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, antara objektif program ini adalah untuk membina rangkaian hubungan yang rapat antara para pendidik di seluruh Malaysia.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meraikan guru-guru, tokoh-tokoh pendidik dan pengurus pendidikan pelbagai institusi dan pelbagai bangsa dari seluruh Selangor dan seluruh Malaysia yang telah menaburkan bakti, mencurahkan jasa membangunkan modal insan serta mengangkat martabat pendidikan negara.

“Dengan memilih tema himpunan 'Guru Menjana Kebijaksanaan', adalah diharapkan agar warga pendidik seluruh Malaysia terus beriltizam untuk terus berbakti dan mencurah tenaga demi memacu halatuju pendidikan negara,” katanya dengan penuh keyakinan dan optimis.

Himpunan ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik Malaysia), dan MAPPIS(Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor).

Pihak penganjur menyasarkan penyertaan lebih 1,000 orang warga pendidik dan pengurus pendidikan dari seluruh negeri Selangor yang akan hadir untuk memeriahkan majlis.

Antara kelompok sasaran adalah 1000 warga pendidik dari Negeri Selangor dari pelbagai institusi dan 300 orang warga pendidik jemputan dari negeri-negeri seluruh Malaysia.
Program bersejarah ini juga bakal membariskan tokoh – tokoh dan ikon pendidik di Malaysia termasuk pesara professional pendidikan seperti Dato’ Adnan Bin Ibrahim ( Mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak) dan lain lain.

Majlis ini akan diserikan lagi dengan kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang akan menyampaikan ucaptama seterusnya akan menerima anugerah dan bakal dinobatkan sebagai ‘Tokoh Pendidik Nusantara’.

Selain daripada itu, beberapa anugerah akan disampaikan sebagai menghargai jasa pendidik yang telah mencurahkan bakti mendidik anak bangsa seperti Anugerah Tokoh Pendidik Muda kategori lelaki dan wanita sebagai suatu suntikan semangat.

Kehadiran Sasterawan Negara A.Samad Said yang bakal mendeklamasikan puisi juga dijangka bakal mencuri tumpuan hadirin warga pendidik yang hadir.

Selain daripada kehadiran dari seluruh Malaysia dan guru-guru di Selangor dari pelbagai institusi (Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi, Institut Perguruan (IPG),Sekolah Swasta dan Persendirian),ramai tokoh pendidik (berkhidmat dan bersara) serta tokoh pendidik jemputan, aktivis pendidikan dari Pendidik dan Kawan juga akan hadir bagi memeriahkan dan menjayakan majlis yang cukup berprestij ini.

Antara tokoh yang akan menyampaikan ucaptama adalah Ustaz Datuk Abu Bakar Chik selaku Mustasyar NGO PENDIDIK dan Dr. Hajjah Halimah Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor.

“Selaku Presiden NGO Pendidik, saya menyeru agar semua warga pendidik dan tokoh pendidik seluruh Malaysia agar dapat hadir untuk memeriahkan dan menjayakan program ini untuk menzahirkan iltizam yang padu dalam usaha memacu halatuju dan masa depan pendidikan negara,” kata Cikgu Mala lagi dengan penuh harapan.


Sumber HD : 2/09/2012


10,000 graduan pendidikan tertipu dengan Menteri Pengajian Tinggi


SEMALAM ReJaM© berborak dengan salah seorang sahabat lama yang merupakan seorang graduan pendidikan namun sehingga kini belum mendapat tempat bekerja sebagai guru.

Nampaknya sahabat ReJaM© itu yang kini bekerja membantu di kedai makan ibunya di Pahang benar-benar marah dengan pengumuman bajet 2013 yang diumumkan oleh Najib Razak kelmarin.

Semua itu gara-gara sebelum ini Utusan Malaysia mengumumkan kononnya akan ada berita gembira untuk 10,000 graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan lepasan Institut Perguruan (IPG) yang kini menganggur.

Rujuk laporan Utusan Malaysia di bawah ini.

Sahabat ReJaM© itu nampaknya hampa dan kecewa. Punyalah tekun dia menyaksikan siaran langsung pembentangan Bajet 2013 di kaca televisyen sedari mula sehingga akhir, namun berita baik yang diharapkannya langsung tak muncul.

"Kalau tak ada berita baik janganlah cakap ada, menghampakan harapan orang, tak guna!" ujarnya sambil mencebikkan bibir.

Sahabat ReJaM© ini antara 10,000 graduan yang dimaksudkan di dalam laporan akhbar di atas.

ReJaM© "Sabarlah, duduk rumah jelah tunggu orang pinang... "

Sumber HD : 30/09/2012


Kecewa layanan KPM


Saya menghadapi banyak karenah birokrasi dalam dunia pendidikan. Anak saya telah digigit oleh seorang murid sekelasnya tahun 1 hingga bengkak dan cedera lengan kirinya. Namun tiada tindakan susulan daripada guru sekolah. Cikgu disiplin, guru GPK 1. Guru Besar juga tidak memberi perhatian yang serius walaupun laporan polis telah dibuat. Malah semua guru sekolah tersebut tidak pernah bertanya khabar murid yang digigit. Adakah jika murid tersebut adalah anak Menteri atau seorang berpangkat Datok barulah guru sekolah bertanya khabar?

Lebih menyedihkan, pejabat Agama Tampin Negeri Sembilan dan Pejabat Pelajaran Tampin (PPD) Negeri Sembilan tidak pernah ambil tahu dan bertanya khabar sedangkan laporan polis telah dibuat pada 25 September 2012. Sehingga hari ini (19 Oktober 2012) tiada seorang pegawai dari kedua-dua pejabat tersebut membuat tindakan susulan.

Adakah jika murid yang kena gigit anak Menteri atau ayahnya berpangkat Datuk, barulah mereka ambil perhatian? Itulah dunia dua darjat dalam isu pendidikan.

Yang pelik, walaupun kes ini adalah benar, murid yang menggigit masih bersekolah dan tiada sebarang tindakan daripada pihak sekolah, PPD Tampin atau Kementerian Pelajaran Malaysia. Adakah jika murid menggigit 100 orang murid atau menggigit anak Menteri barulah diambil tindakan?

Pada 27 September 2012, saya telah menghantar surat aduan kepada Menteri Pelajaran di Kementerian Pelajaran Malaysia di Putra Jaya, namun saya mendapati surat itu tidak sampai ke tangan YB Menteri Pelajaran.

Setelah mendapat maklumat surat aduan tidak sampai kepada Menteri Pelajaran, penulis menghantar surat kali kedua kepada Pegawai Khas Menteri Pelajaran di tingkat 10, Kementerian Pelajaran Malaysia Putra Jaya pada 9 Oktober 2012, namun sehingga hari ini tiada balasan.

Itulah nasib rakyat biasa seperti saya. Slogan pencapaian diutamakan hanya retorik sampah. Rakyat didahulukan hanya moto gula-gula untuk perbodohkan rakyat.

Saya adalah ahli Umno dan isu ini amat mencabar pandangan politik saya. Sikap sekolah, Pejabat Agama Tampin, Pejabat Pelajaran Tampin serta Kementerian Pelajaran Malaysia amat mendukacitakan.

Mungkin berlaku banyak kes buli di sekolah, namun Kementerian Pelajaran mungkin sengaja menyorokkan kes demi menjaga nama baik sekolah. Berapa ramai ibu bapa tidak membawa kes buli ke Mahkamah kerana miskin dan buta undang-undang?

Saya semakin terkilan apabila mendapati GPK1 yang terlibat dalam kes ini telah dipindahkan sekolah dan dinaikkan pangkat kepada Guru Besar.

Yang menyedihkan lagi pelbagai surat telah dihantar melalui emel dan faks kepada beberapa media utama tidak mendapat layanan setimpal. Itulah nasib seorang rakyat biasa yang dilayan seperti sampah.

Hj Saat Hj Sulaiman
Cempaka Bersatu Ent,
Lot 4740 Kedai Taman Pasir Besar ,
73400 Gemas Negeri Sembilan


Sumber HD - 19-10-2012


Guru j-QAF dianiaya


Keputusan perpindahan guru yang diumumkan pada 3 november 2012 menunjukkan berlakunya sikap tidak adil dan zalim Kementerian Pelajaran Malaysia terhadap guru j-QAF yang telah lama berkhidmat di sabah dan Sarawak. Keputusan di luar dugaan bagi kami pasangan suami isteri guru j-QAF ambilan sulung tahun 2005, iaitu kami menjangkakan kami akan dipindahkan ke semenanjung setelah lapan tahun berkhidmat di Sarawak. Apatah lagi guru j-QAF yang baru telah tiba bagi menggantikan tempat kami.

Malangnya, perkara tersebut tidak berlaku malah sebaliknya iaitu guru j-QAF yang bujang dan baru berkhidmat di Sarawak dapat bertukar kembali ke Semenanjung.

Kami tidak pasti apakah yang pegawai di bahagian pertukaran kementerian pelajaran fikirkan sehinggakan sanggup melakukan tindakan tidak masuk akal dengan meluluskan perpindahan tersebut sedangkan kami yang berkeluarga ini disekat. Apakah syarat dan kriteria yang mereka lihat? Apakah pasangan suami isteri guru j-QAF yang berkeluarga serta mempunya anak seperti kami disisihkan dan dinafikan hak berpindah sedangkan dari segi kesusahan dan bebanan golongan kami yang lebih merasainya? Kami yang mempunya anak-anak sangat terbeban berada lama di bumi Sarawak ini.

Masalah dan bebanan ini jauh lebih berat berbanding masalah guru j-QAF yang bujang dan baru pula berkhidmat berbanding kami. Tidak kasihankah mereka melihat kami mengendong anak ke hulu ke hilir menaiki bot, bas dan kapal terbang setiap kali pulang ke kampung? Apatah lagi kesulitan membesarkan anak-anak di tempat orang tanpa bantuan dari keluarga? Kekadang kami terpaksa memendam kesedihan kerana tidak mampu pulang menatap wajah insan tersayang yang meninggal dunia kerana kos penerbangan kami sekeluarga sangat membebankan.

Guru yang bujang bila-bila masa dapat terbang pulang ke kampung dengan selesa. Banyak perbezaan bebanan guru yang berkeluarga berbanding guru yang bujang tetapi apa yang lebih dipersoalkan ialah kenapa tempoh berkhidmat kami tidak diambil kira.

Dulu kementerian memberi alasan kerana tiada pengganti, sebab itu kami tidak dilepaskan. Tetapi sekarang apabila sudah ada pengganti kami masih disekat malah golongan yang lain pula dilepaskan.

Kami memohon belas kasihan kementerian pelajaran menimbang dan meneliti sebaiknya keputusan yang mereka buat kerana sekiranya berlaku ketidakadilan seperti ini boleh menjejaskan semua pihak terutama kepada guru dan murid itu sendiri. Sedarlah para pegawai yang membuat keputusan ini, amalan anda yang tidak adil ini tetap dicatat oleh malaikat. Berlaku adil dan laksanakan amanah tanpa mengira kepentingan diri.

Jika mereka meluluskan perpindahan saudara mara, sahabat, kenalan mereka dengan menggunakan jawatan mereka, ketahuilah mereka telah menafikan hak orang lain. Kementerian Pelajaran perlu memandang serius perkara ini sebelum melaungkan pelan pendidikan bertaraf dunia itu.


Sumber HD - 5-11-2012


Lagi kemelut pertukaran guru J-Qaf


Saya dan rakan-rakan ingin mohon bantuan dan pencerahan atas masalah kegagalan kami berpindah ke Semenanjung setelah lapan tahun berkhidmat di Sarawak. Kami amat kesal dengan birokrasi ini dan juga alasan-alasan yang sering diberikan oleh PPD, JPN & KPM !

Sila perhatikan dan renungkan faktor-faktor permohonan pertukaran kami seperti berikut:

1.Telah tamat tempoh berkhidmat tiga tahun di sekolah asal (perjanjian berkhidmat 36 bulan)

2. Telah berkhidmat lapan tahun di Sarawak.

3. Guru J-QAF 2011 yang sudah tamat latihan, sudah dipostingkan semula kesekolah kami.

4. Guru J-QAF 2012 dalam latihan pun sudah ditempatkan ke sekolah kami.

5. Bilangan guru J-QAF disekolah kami sudah melebihi had / kouta, menyebabkan jadual mengajar individu berkurangan!

6. Ada j-QAF 2005 yang dapat pindah pada Oktober 2012 ini dan ada yang tidak, (macammana tu?).

7. Kami sudah membeli rumah di Semenanjung dan sudah sedia untuk diduduki, bayaran pinjaman perumahan juga sudah dibuat melalui potongan gaji.

8. J-QAF 2005 yang bujang sudah ramai yang berpindah ke Semenanjung bulan Jun 2012 yang lepas.

Persoalan-persoalan yang mesti dirungkaikan segera bagi mengatasi kemelut pertukaran ini ialah:

1. Apakah alasan atau sebab-sebab yang diperlukan oleh KPM lagi untuk meluluskan permohonan kami?

2. JPN Sarawak mengatakan bahawa mereka sudah meluluskan permohonan pindah J-QAF 2005, 2006 dan 2007! Persoalannya, kenapa tidak dihadkan sokongan pindah itu kepada J-QAF 2005 yg masih terkandas di sini? Disebabkan itu, ada juga J-QAF 2006 dan 2007 yang dapat pindah Oktober 2012 ini, dengan alasan mereka telah berkahwin dan berjauhan dengan suami! Ahkan yang bujang pun sudah pun ada yang dapat bertukar. Apakah alasan kami yang berkahwin dan tinggal bersama di sini tidak menyokong permohonan pindah kami?

3. Kenapakah tiada penyelarasan di antara PPD, JPN dan KPM (khasnya Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dengan JPN bagi menentukan keutamaan dalam meluluskan sesuatu pertukaran)? Masing-masing sering menuding jari di atas kesalahan pihak lain!

4. Berapa tahun lagi kami mesti bertahan dan ‘terkandas’ di Sarawak demi untuk memaksa diri dengan merelakan? Atau paksa rela pertukaran atau perpindahan guru J-QAF batch 2006, 2007 dan seterusnya sekarang ini J-QAF batch 2012 yang berjauhan dengan suami atau isteri untuk berpindah lebih awal daripada kami yang berpasangan tinggal di sini?

Harapan kami terhadap isu ini ialah:

1. Buangkan kerenah birokrasi dalam urusan perpindahan dan pertukaran guru ini.
2. Binalah satu penyelarasan di antara PPD, JPN dan KPM, agar mereka yang telah lama tinggal di sini dan lebih lama berkhidmat, diberi kelulusan berpindah terlebih dahulu berbanding yang lain. Janganlah abaikan kami yang berpasangan tinggal di sini dalam soal pertukaran dan perpindahan. Kami juga ada hati, perasaan dan kemahuan untuk berpindah, sebab itulah kami tidak terus putus asa mengisi Eg Tukar saban kali dan saban tahun.

3. Buatlah satu sistem penggiliran pertukaran dan perpindahan guru yang betul dan adil untuk menjamin peluang J-QAF lain untuk pulang berkhidmat di kampung halaman sendiri.

Jika alasan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) yang mengatakan Sarawak kekurangan guru J-QAF, ia tidak lagi boleh diterima pakai kerana keadaan sekarang sudah berbeza. Kebanyakan sekolah sudah menerima guru J-QAF ambilan 2011 yang telah tamat latihan dan juga guru J-QAF pelatih ambilan 2012.

Saya amat berharap berilah perhatian dan keutamaan serta keadilan kepada permohonan kami, agar kami dapat membina kehidupan berkeluarga yang lebih sempurna di kampung halaman kami sendiri, di samping dekat dengan keluarga (ibu, ayah dan adik-beradik yang lain). Jangan sampai tragedi yang menimpa sahabat kami yang telah kematian ayah dan ibunya, barulah beliau dapat berpindah ke Semenanjung, berulang lagi kepada mereka yang lain.

Kami amat berharap masalah dan isu serta kemelut ini akan ditangani dengan segera kerana kami juga adalah rakyat yang menyokong slogan Perdana Menteri ‘Janji Ditepati’!


Sumber HD - 8-11-2012

Beban Pendidik - PBS

Presiden Pendidik : http://www.youtube.com/watch?v=sQ8FttcFrTo



Dasar Pendidikan Negara mahu digugat?



KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) terus berusaha mahu memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Malaysia (BM) di sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK).


Namun Dong Zong sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam iklan surat khabar Cina tempatan menyeru masyarakat Cina keluar berama-ramai untuk proses menentang Dasar Pendidikan Negara (DPN) pada 25 November ini.


Sama ada MCA pun turut serta mahu menangguk di air keruh atau mahu mensensasikan isu agar dapat menarik perhatian pengundi Cina menjelang PRU 13 sesiapapun boleh menjangkakan sedemikian. Justeru MCA berterusan mahu menjadi 'jaguh' dan kononnya akan menyerahkan memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran bagi menentang tambahan masa untuk pengajaran-pembelajaran BM di SJKC tahun 4. Adakah ini benar? Penulis difahamkan, projek permulaan ini hanya berfokuskan kepada murid-murid tahun 4 sahaja? Bagaimana jika meliputi semua kelas di SJK?


Khabarnya MCA ada 25 resolusi untuk menentang DPN. lnikah double standard masyarakat Cina khususnya MCA? Bantuan untuk SJKC sering didesak dan diperolehi tetapi menentang pula DPN. Walhal Timbalan Menteri Pelajaran kini, Datuk Dr Wee Ka Siong adalah 'orang MCA'. Adakah Timbalan Menteri Pelajaran daripada MCA ini gagal menerangkan aspirasi negara melalui sistem pendidikan kepada masyarakat Cina? Jika gagal di manakah maruah Timbalan Menteri Pelajaran ini?Penulis yakin, Dr Wee masih rasional dan bijak berhemah.


Kita tidak mahu apabila timbul kelemahan penguasaan BM di kalangan murid-murid SJK maka 'berbuih-buihlah' ada pihak yang menyalahkan KPM lantaran tidak berusaha mengatasi kekurangan guru dan prasarana. Tetapi apabila KPM mahu meningkatkan dan memantapkan BM di SJK maka di sisi negatif pula yang mereka bersuara. Justeru dengan ayat lain, sampai bilakah kerajaan mesti berlembut dan bertolak ansur?


Oleh itu sampai bilakah tidak ada ketegasan bagi setiap pelan pendidikan yang baik? Suatu ketika idea sekolah wawasan yang baik pun ditentang kerana di sudut hati mereka penuh dengan sampah-sarap yang busuk,hanyir dan meloyakan. Adakah kemungkinan, jika generasi akan datang tidak ada keharmonian, kedamaian dan tidak ada perpaduan dalam kehidupan seharian maka barulah mereka akur dan diam terkedu?


Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik)



Sumber HD - 12-11-2012



Pengisian maklumat atas talian membebankan guru


Saya merupakan guru data sekolah yang bertanggungjawab menyelaraskan data dan maklumat guru di atas talian.

Yang mengecewakan ialah terdapat pelbagai aplikasi yang berbeza-beza dan guru perlu mengisi maklumat yang sama berulang-ulang kali. Contohnya, seseorang guru perlu melaporkan kursus dan seminar yang dihadiri dalam aplikasi eSPLG, e Operasi dan Emis Online.

Tiga aplikasi yang berbeza namun maklumat yang diminta lebih kurang sama sahaja. Di sini saya senaraikan pelbagai macam aplikasi yang diwujudkan oleh KPM untuk diisi oleh guru-guru.

1. Emis Online (Maklumat peribadi pegawai, bilangan murid, kelas dan sekolah untuk statistik dan analisa )
2. E operasi (Untuk kiraan hak perjawatan guru dan pertukaran guru )
3. E pangkat (Untuk kenaikan pangkat )
4. E SPLG (Laporan kursus dan bacaan ilmiah)
5. OPMEN (Operasi Menengah / untuk pengiraan hak guru di sekolah-sekolah))
6. HRMIS (Untuk kegunaan rawatan di klinik atau hospital kerajaan)

Setiap tahun guru-guru perlu menyemak dan mengemaskini maklumat masing-masing iaitu maklumat peribadi, perkhidmatan, gaji, elaun, kursus, sinopsis bacaan buku dan banyak lagi. Yang membebankan ialah sebahagian daripada aplikasi ini hanya boleh diakses untuk tujuan pengemaskinian data oleh guru data sahaja. Guru data perlu mengisi perkara yang sama berulang-ulang kali dengan capaian internet yang sangat perlahan di sekolah. Memanglah jumlah waktu mengajar bagi seorang guru data ialah separuh daripada guru-guru biasa, namun bagi sekolah yang bilangan gurunya 150 orang ke atas sangat membebankan.

Prosesnya sangat remeh iaitu mencetak maklumat guru dari sistem, menyerahkan kepada setiap guru untuk semakan dan mengemaskini data. Setelah data selesai dikemaskini, guru data perlu mencetak semula untuk setiap orang guru dan staf sokongan bagi tujuan pengesahan data.

Kenapa tidak diwujudkan satu sahaja sistem data yang selaras yang dapat dihubungkan kepada aplikasi lain yang diperlukan oleh unit lain di kementerian? Saya percaya semua guru yang memegang jawatan sebagai guru data sebolehnya ingin melepaskan jawatan ini kerana beban tugas yang melampau dan kami tidak mampu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran dan pembelajaran. Ini tidak termasuk statistik dan analisa data yang diminta oleh pihak Pejabat Pelajaran dari semasa ke semasa. Tumpuan kami terhadap P & P sangat terganggu kerana guru-guru sering merujuk dan bertanya hal-hal yang berkaitan dengan ICT, aplikasi di atas talian dan lain-lain perkara diluar bidang tugas seorang guru data.

Sepatutnya seorang pegawai dilantik khas (kerani) disetiap sekolah bagi menjalankan tugas ini. Minat saya hanya untuk mendidik anak-anak di sekolah dengan sepenuh jiwa dan raga dan memberikan sepenuh tumpuan terhadap mereka.

Saya yakin pihak Pakatan Rakyat akan membela nasib para pendidik apabila berjaya menakluki Putrajaya selepas PRU13 nanti.

Sumber HD - 19-11-2012



PBS harus dikaji semula, jangan bebankan guru


KUALA LUMPUR: PAS memandang serius isu yang sedang melanda bidang pendidikan negara mutakhir ini dalam memastikan konsep Negara Berkebajikan PAS menjadi acuan yang dapat menyelesaikannya.



Justeru, Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan Nor Azman Mohamad berkata, pendidikan harus dijadikan sebagai teras dalam Negara Berkebajikan malah dapat membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia amnya.


Tambahnya, gesaan itu selari dengan isu yang sedang melanda pendidikan serta warga pendidik di negara ini setelah Umno BN membawa satu lagi dimensi songsang dalam wahana pendidikan negara dengan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).


Beliau berkata, sistem baharu tersebut umpama nanah yang sedang membarah dalam sistem pendidikan negara setelah 55 tahun Kerajaan Barisan Nasional memerintah, perubahan berkenaan dasar pendidikan yang sering diubah, lebih memburukkan keadaan, kebanyakan dasar itu bersifat ‘market-drive’ dan menanggung kerugiaan berbilion ringgit.


Sebagai contoh, katanya dasar PPSMI yang dilaksanakan di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir menelan belanja sehingga RM5.1 bilion, namum keputusan tahap celik pelajar ketika mana Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik hanya sebanyak 4% sahaja.


PBS yang dilaksanakan pada tahun 2011 hanya berdasarkan penilaian kepada mata kasar guru sahaja. Hal ini mendapat bantahan daripada guru keraja segala tanggungjawab berkenaan peperiksaan dibebankan kepada guru. Setiap aspek seperti menggubal soalan, menyemak dan memasukkan data perlu dilakukan guru yang mengajar.


"Saya menyeru supaya penstrukturan semula perlu dibuat dengan kadar segera bagi meningkatkan kembali mutu pendidikan negara dari terus dimanipulasikan dengan pelbagai dasar yang tidak menguntungkan," ujarnya kepada Harakahdaily.


Sehubungan itu, ujarnya PAS komited dalam memperjuangkan agenda menambah baik taraf hidup guru dengan penambahan elaun insentif sebanyak RM500 seperti dalam tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat yang wajar diberi kepada setiap guru demi meningkatkan lagi tahap kredibiliti dan profesionalisme amnya.

Sumber HD - 19-11-2012


Keluhan guru yang disisihkan


Saya adalah antara ribuan guru malang di negara ini. Nasib kami jelas tidak dipedulikan apatah lagi diperjuangkan oleh kesatuan guru mahupun mana-mana pihak berkaitan.

Dasar JPA dan Kementerian Pelajaran membunuh semangat kami, merugikan kami sepanjang perkhidmatan malah sepanjang hayat. Nasib kami amat malang jika dibandingkan dengan guru-guru lain kebelakangan ini, sedangkan kami juga belajar untuk memperolehi ijazah seperti orang lain dengan wang kami sendiri.

Fahamilah kami, lihatlah apa yang berlaku sebenarnya melalui jadual yang berikut:


BILPERKARADASAR UNTUK KAMIDASAR SEKARANG
1Tarikh Graduasi20012010
2Temuduga Ke DG4120022010
3Pelantikan Ke DG32TAK SEMPATDAPAT
4Lantikan Ke DG4120042010
5Pelarasan Gaji 200715%25%
6DG41 Ke DG4410 Thn Atau 7 + 3 Tahun8 Thn Atau 5 + 3 Tahun


Paling menyedihkan apabila guru yang baru saja dilantik ke DG41, gaji mereka lebih jauh tingginya daripada gaji kami walaupun kami berada di Gred DG44. Sedangkan kami lebih lama berkhidmat.

Kami yang telah lama berkhidmat tetapi bayangkan berapa banyak yang kami rugi sekiranya masih ada 20 tahun perkhidmatan kami berdasarkan mata tanggagaji kami yang jauh lebih rendah. Juga bayangkan ke mana perginya kekananan kami disebabkan dasar JPA dan Kementerian yang sentiasa berubah-ubah.

Apa yang lebih dikesali ialah tiada mana-mana kesatuan guru memperjuangkan nasib kami, yang heboh diperdendangkan sekadar “melepaskan batok di tangga”. Kesatuan guru, JPS mahupun KPM diam seribu bahasa.

Jangan marahkan guru jika mereka beralih arah menyokong Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang. Hakikatnya memang telah ramai pun guru yang menyokong PR akibat dasar JPA dan KPM yang kurang prihatin masalah ini.

Sebenarnya, kami tidak minta mahupun merebut apatah lagi merampas hak orang tetapi biarlah dilayan dan diberikan hak yang seadil-adilnya. Adil sepertimana orang lain dapat. Berlaku adillah untuk masa depan perkhidmatan kami.

Sumber HD - 28-11-2012


Pecat guru: NGO serah memo kepada Jawi


                                 
KUALA LUMPUR: NGO Inisiatif Selamatkan Insan Tertindas (Insan) hari ini menyerahkan memo bantahan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung pemecatan seorang kakitangan jabatan itu yang disifatkan sebagai bermotifkan politik.

Koordinator Insan, Mohd Faris Abdullah menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Jawi pada jam 11.30 pagi tadi, di pejabat Jawi.

Hampir 20 orang menyertai rombongan menyerahkan memorandum tersebut.

Turut serta termasuk Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi, Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Nuridah Salleh, Ketua Penerangan Muslimat Wilayah Salbiah Wahab dan  Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.

Sebelum ini seorang kakitangan sementara Jawi, Qatrun Nada Latfi, yang bertugas sebagai guru sementara di Labuan telah menerima notis pemecatan sebulan.

Pemecatan itu didakwa ada kiatan dengan tindakan beliau menghadiri menghadiri ceramah Pakatan Rakyat yang disampaikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 September lalu.

Qatrun Nada telah disiasat 22 Oktober lalu dan menerima notis pemecatan yang akan berkuatkusa 1 Disember ini.

Bagaimanapun, notis yang diterima beliau pada 24 Oktober itu tidak menyatakan sebab-sebab pemecatan secara terperinci.

Sebelum pemecatan tersebut, Qatrun Nada menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai orang kuat Umno Labuan pada 9 Oktober lepas.

Dalam panggilan itu, individu berkenaan memberi amaran kepada Qatrun Nada agar tidak terlibat dengan kegiatan politik pembangkang.

Qatrun Nada merupakan seorang guru yang bertugas di Sekolah Rendah Agama Islam Rancha-rancha, Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau dilantik sebagai guru sementara di bawah Jawi.

Beliau merupakan bekas penuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan.

Beliau juga merupakan bekas Ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang terlibat dalam demonstrasi menuntut air bersih di UMS Labuan pada 2009.

[Lanjut menyusul]

Sumber HD - 29-11-2012



Jangan jadikan guru mangsa dendam politik


KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) memberi amaran kepada kerajaan Umno BN agar tidak menjadikan guru sebagai mangsa dendam politik mereka.

Presiden Pendidik, Normala Sudirman (gambar) berkata, tindakan tersebut hanya akan menambahkan kebencian guru kepada Umno BN.

"Mengapa ada campur tangan politik untuk kepentingan sesuatu parti terhadap pendidik yang bertanggungjawab mendidik anak bangsa," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemecatan kakitangan sementara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Qatrun Nada Latfi, yang bertugas sebagai guru sementara di Labuan.

Pemecatan itu didakwa ada kaitan dengan tindakan beliau menghadiri ceramah Pakatan Rakyat yang disampaikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 September lalu.

Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala juga berkata, Umno BN tidak berhak mengongkong kegiatan penjawat awam selepas waktu kerja.

"Selepas waktu kerja, seseorang itu berhak melibatkan dalam apa juga aktiviti selagi tidka melangar undang-undang.

"Mengikut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia juga, sebagai seorang warganegara, seseorang berhak menyatakan sokongan mereka terhadap mana-mana pihak kerana ia termaktub dalam perlembagaan Malaysia," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Qatrun terus konsisten menyatakan pendirian beliau.

"Pendidik simpati dnegan apa yang berlaku ke atas Qatrun dan berharap beliau istiqamah dalam pendirian dan prinsip beliau," katanya.

Qatrun yang bertugas di Sekolah Rendah Agama Islam Rancha-rancha, Wilayah Persekutuan Labuan disiasat 22 Oktober lalu dan menerima notis pemecatan yang akan berkuatkusa 1 Disember ini.

Bagaimanapun, notis yang diterima beliau pada 24 Oktober itu tidak menyatakan sebab-sebab pemecatan secara terperinci.

Sebelum pemecatan tersebut, Qatrun menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai orang kuat Umno Labuan pada 9 Oktober lepas.

Dalam panggilan itu, individu berkenaan memberi amaran kepada Qatrun Nada agar tidak terlibat dengan kegiatan politik pembangkang.

Sumber HD - 29-11-2012


Suhakam: Penjawat awam boleh ikuti ceramah parti


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menerima memorandum berhubung pemecatan seorang kakitangan sementara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Labuan.

Ini ekoran Qatrun Nada Latfi yang bertugas sebagai guru sementara menerima notis pemecatan pada 24 Oktober yang berkuatkuasa 1 Disember lalu tanpa menyatakan secara terperinci sebab pemecatan tersebut.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Koordinator Inisiatif Selamatkan Insan Tertindas (Insan), Mohd Faris Abdullah kepada Pesuruhjaya Suhakam, Detta Samen di pejabat Suhakam pagi tadi. Qatrun Nada turut hadir.

Detta Samen selepas menerima memorandum tersebut berkata pihaknya akan mengambil masa seminggu bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan tersebut.

Malah menurut Detta Samen lagi, jika pihak pengadu sudah berurusan dengan peguam dan akan membawa kes tersebut di mahkamah, Suhakam akan turut bersama-sama peguam bagi membantu di mahkamah.

"Dan apa yang kami melihat ia adalah satu tindakan yang tidak wajar, selain dari itu jika pihak pengadu sudah melantik peguam, Suhakam boleh turut sama dengan peguam tersebut di mahkamah," jelasnya.

Beliau berkata, sebagai seorang guru, pengadu boleh mengikuti sebarang aktiviti di luar waktu sekolah dan ia adalah hak seorang individu apatah lagi tidak mengganggu urusan sekolah.

"Semua boleh mengikuti ceramah parti dan tidak kira siapa yang menganjur, sebagai individu mahupun kakitangan awam itu adalah hak mereka dan mereka berhak untuk menilai sendiri seseorang pemimpin atau parti.

"Proses ini adalah bagi memastikan pilihan beliau pada pilihanraya nanti adalah bertepatan, lagipun undi itu rahsia," sambung beliau.

Sementara itu, Mohd Faris memberitahu memorandum yang sama telah diserahkan kepada Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali pada 29 November yang lalu namun sehingga sekarang tidak menerima sebarang jawapan.

Sumber HD - 3-12-2012


4 tahun tunggu kelulusan Ijazah Pertama PJJ


Ingin saya melahirkan rasa kecil hati dan tersinggung terhadap pihak KPM khususnya BPG (Bahagian Pendidikan Guru) dalam menangani masalah guru-guru yang tidak dapat surat kelulusan belajar bagi Program Ijazah Pertama (Pengajian Jarak jauh) yang tidak menepati garis panduan.


Hampir 4 tahun menunggu khabar gembira dan berita baik namum ianya seumpama “Pungguk merindui Bulan”.


Persoalannya yang perlu diketahui umum bahawa sepanjang pengajian tersebut saya dan rakan-rakan guru yang lain terpaksa menghabiskan ribuan ringgit untuk mendapatkan segulung Ijazah, malangnya ada sesetengah guru yang telah mendapat surat kelulusan telah ditarik balik dan ada yang tidak dapat kelulusan langsung.


Kesannya sehingga sekarang kumpulan yang bernasib malang ini tidak dapat dilantik ke gred DG41 walaupun sudah bergraduat 5 tahun. Pihak SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran) tidak dapat melantik kerana ketiadaan surat kelulusan tersebut.


Kenapa pihak KPM dan BPG tidak dapat membantu kumpulan sedikit ini yang bersusah payah mencari ilmu untuk meningkatkan profesionalisme diri.


Sungguh malang nasib guru-guru seperti ini bagaikan terlepas pandang oleh pihak BPG dan seolah-olah tiada tindakan untuk membantu guru-guru yang bernasib malang ini.


Hampir 4 tahun menanti dan terus menanti dan bagaikan tiada kesudahannya dan setiap kali dihubungi maka setiap kali juga skrip yang sama digunakan iaitu menunggu kelulusan Pengarah BPG.


Berapa lamakah tempoh yang diambil untuk mendapatkan kelulusan tersebut walaupun kajian IMPAK GURU-GURU PENGAJIAN JARAK JAUH (PJJ) PROGRAM IJAZAH PERTAMA YANG TIDAK MENEPATI GARIS PANDUAN telahpun dibuat pada tahun 2011 yang lalu dan tiadakah keputusan dan laporan yang patut dikemukakan kepada pihak Pengarah untuk mendapatkan maklumat dengan jelas berkenaan dengan kajian tersebut.


Saya mewakili guru yang senasib memohon jasa baik pihak KPM dan BPG khususnya untuk perhatian Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bagi menyelesaikan perkara ini kerana sudah sampai masanya transformasi guru yang dicanangkan diterjemahkan dalam konsep yang betul dan tepat.

Sumber HD - 29-12-2012


Guru kecewa gagal tukar ikut suami


Saya mewakili ribuan guru wanita di seluruh Malaysia ingin meluahkan kekecewaan kami apabila permohonan kami untuk bertukar ke negeri lain atas alasan mengikut suami tidak diluluskan. Malah, apabila rayuan dibuat, kami tidak akan dilayan disamping perlu menerima kritikan dan herdikan pegawai-pegawai dan kaki tangan di Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ada antara kami yang menghadapi masalah ancaman keselamatan ekoran tinggal bersendirian di rumah sewa. Ada juga antara kami guru-guru wanita mengalami masalah keretakan rumah tangga ekoran perhubungan jarak jauh yang terlalu lama. Sebetulnya, permohonan bagi guru wanita yang ingin bertukar mengikut suami boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja seperti waktu dahulu.

Ribuan permohonan bagi guru wanita yang ingin mengikut suami tidak diluluskan, walhal begitu banyak kekosongan dan juga keperluan guru di negeri berkenaan. Ramai antara kami terjejas kualiti dan tumpuan kerjanya ekoran emosi yang tidak stabil kerana jauh daripada suami malahan ada yang berjauhan dengan anak-anak. Sesungguhnya pihak yang berkenaan perlu peka dan ingat bahawa tempat seorang isteri itu di sisi suami.

Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.


Sumber HD - 9-1-2013


Benarkah guru Sejarah tidak faham sejarah?


LAPORAN sebuah akhbar harian tempatan ada menyebut bahawa Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak bersetuju dengan kenyataan yang mendakwa ramai guru Sejarah tidak faham sejarah negara.

Presidennya, Hashim Adnan menegaskan, adalah tidak mungkin guru Sejarah kabur dalam memberikan penerangan tentang sejarah negara kerana perkara tersebut adalah pengkhususan yang ditekankan ketika berada di universiti.

Justeru beliau telah mengukuhkan sangkalannya benar berdasarkan keputusan para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan awam saban tahun. Adakah andaian ini benar? Saya yakin, Hashim Adnan tersilap menafsir apa yang dimaksudkan guru sejarah tidak faham sejarah.


Sebenarnya tidak faham sejarah; tidak tahu cara penyampaian ilmu sejarah adalah dua situasi berbeza. Namun tidak dinafikan isu ini bersangkut-paut dengan kemahiran bahasa yang mana jelas menimbulkan banyak kekeliruan

Oleh itu kaedah komunikasi yang berkesan guru tersebut perlu pertingkatkan lagi. Dan tidak mustahil ada juga guru yang terbawa-bawa dengan 'ideologi pemikiran'nya yang negatif kerana diselaputi oleh sikap perkauman yang songsang.

Saya sendiri mendapat respons daripada seorang guru/pensyarah pendidikan yang pernah berpengalaman sebagai guru di sekolah selama 15 tahun (selebihnya sebagai pensyarah/pendididik guru di IPGM). Beliau pernah menempuh pengalaman sebenar.

Suatu tengah hari beliau secara kebetulan lalu di koridor sebuah kelas; tingkatan 4.Kebetulan seorang guru sejarah keturunan bukan Melayu sedang berdiri mengajar di hadapan kelas dengan suara lantang yang jelas kedengaran ke cuping telinganya.Ya, antara isi pelajaran yang beliau terdengar ialah begini..."Malaysia telah dibuka oleh Parameswara ketika menemui Melaka....."

Sekilas dengar seperti tidak ada silapnya. Ya, sebagaimana frasa yang diujarkan begini: 'Bilakah Malaysia mencapai kemerdekaan'? lnilah yang boleh mengelirukan jika ada guru sejarah 'tidak jujur' menerangkan tentang sejarah.

Sayugia apabila mengaitkan mengenai pembukaan Melaka oleh Parameswara (ingat Parameswara bukan orang Keling dari benua Keling: istilah fakta dari buku SEJARAH MELAYU tetapi ialah seorang yang beragama hindu (kerana ketika itu pengaruh hindu mendahului selepas animisma)yang mana anak raja dari dinasti Saleindra di Palembang,Sumatera yang mana sudah tentulah daripada rumpun mahawangsa Melayu)sudahlah tentulah belum ada nama Malaysia (bermula 1963).

Melaka walaupun disebut negeri tetapi berstatus sebuah negara yang berkerajaan dan berpelembagaan (Kanun Melaka). Sebab itu dalam buku sejarah Melayu disebut 'Negeri China', Negeri Arab' dan sebagainya bagi merujuk negara yang berkerajaan.

Begitu juga jika ditanya 'Bilakah Malaysia mencapai kemerdekaan'? Harus diingat bahawa kemerdekaan yang dicapai pada 31 0gos 1957 pada ketika itu ialah sebuah kerajaan yang bernama Persekutuan Tanah Melayu yang mana lnggeris menyebutnya 'Malaya'. lstilah 'Malaysia' hanya l;ahir pada tahun 1963 atas idea sebuah gagasan penggabungan Sabah,Saarawak,Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu.

Bahkan tidak salah jika guru Sejarah tersebut menyebut tokoh-tokoh yang dikatakan 'kiri'oleh penjajah lnggeris seperti lbrahim Yaakob, Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, lshak Haji Muhammad dan seumpamanya sebagai pejuang kemerdekaan bangsa dan tanah air di samping tokoh-tokoh yang sedia ada. pokoknya guru sewajarnya bijak main peranan dan berhemah dalam komunikasi.

INILAH realiti sejarah yang sepatutnya guru Sejarah atau sesiapa pun tidak menjadi kabur atau berpura-pura kabur. Kesilapan ini bukan hanya ditujukan kepada guru Sejarah sahaja tetapi kepada orang awam keseluruhannya. Kebenaran itu pahit tetapi kesilapan itu menghancurkan!


Dr Rajiee bin Abdul Hadi, kini tinggal di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.


PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

 Share on Myspace

Sumber HD - 30-1-2013


Jelajah Kebangkitan Pendidik di Shah Alam Ahad ini


                           

KUALA LUMPUR: Warga pendidik dijemput untuk menghadiri program siri Jelajah Kebangkitan Pendidik Kebangsaan yang akan berlangsung pada 3 Febuari ini.

Program sehari anjuran Lujnah Pendidikan PAS Pusat akan dilancarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bermula jam 9.00 pagi di Dewan MBSA Bukit Naga, Seksyen 32 Shah Alam.

Bertemakan "Bangkit Pendidik Memimpin Perubahan" pihak penganjur turut mengadakan ceramah yang akan membariskan beberapa penceramah antaranya mantan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Salleh Jafaruddin, mantan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak Datuk Adnan Ibrahim, mantan Pengarah Pelajaran Negeri Johor Ramlan Sariman, Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS Pusat Datuk Abu Bakar Chik dan Presiden Ngo Pendidik Cikgu Normala Sudirman.

Ceramah ini akan bermula jam 9.00 malam bertempat di Markaz PAS Bukit Naga Shah Alam.

Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan pengarah program Muhammad Abdullah di talian 017 2866571 ataupun boleh dilayari melalui www.ustream.tv/channel/cikgumalatv.


PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

 Share on Myspace

Sumber HD - 31-1-2013


Guru tidur dalam kereta ditukar tergesa-gesa






BERA: Seorang guru terpaksa bermalam dalam kereta akibat ditukarkan secara tergesa-gesa dari sebuah sekolah di Temerloh ke sini oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang yang didakwanya tidak berperikemanusiaan.


Azman Mohd Nazir, 40, berkata beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Felda Mayam dari Sekolah Kebangsaan Paya Pulai, Temerloh dan diminta mendaftar diri ke sekolah barunya pada 16 Januari tapi surat arahan dari JPN itu hanya dapat ke tangannya pada 18 Januari.


“Akibat pertukaran secara tergesa-gesa dan tidak berperikemanusiaan ini, saya terpaksa tidur dalam kereta kerana belum ada kediaman. Tak larat kalau nak berulang-alik dari rumah sejauh 140 kilometer sehari,” katanya ketika ditemui setelah menerima laporan orang ramai.


Katanya, beliau kesal arahan pertukaran dibuat dalam keadaan tergopoh-gapah sehingga guru di sekolah barunya yang sepatut digantikannya, belum berpindah lagi kerana belum mendapat surat tukar.


Tambahnya, sedangkan guru di sekolah lama tempat beliau mengajar masih belum diganti guru baru.


“Yang ruginya ialah murid-murid yang sepatutnya dapat pelajaran yang sempurna. Tetapi oleh kerana saya menjadi seperti kambing hitam, murid-murid pula terbabit sama menjadi mangsa,” katanya yang merupakan guru prasekolah.


Katanya, di sekolah Paya Pulai (sekolah lamanya) selama dua tahun, beliau telah menyiapkan banyak bahan bantu mengajar.


“Saya juga banyak peranan dan sumbangan sebagai guru aset sekolah, guru penyelaras kelas prasekolah, jurulatih catur, guru pembimbing pelatih praktikal, AJK projek perintis I-Think sekolah dan AJK PIBG,” ujarnya.


Ditanya sebab pertukaran, Azman beliau tidak menolak disebabkan faktor politik memandangkan beliau tidak mempunyai masalah moral tetapi mengakui aktif bersama program-program PAS.


Baginya, pertukaran secara tergesa-gesa itu satu penganiayaan dan salah guna kuasa kerana diarah berpindah secara tidak bertamadun.


“Saya masih pegang keratan akhbar kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran (Datuk Fuad Zarkashi) yang mengatakan pertukaran mengejut akan dikaji semula dan akan pastikan lebih jelas supaya prosedur difahami lebih jelas.


“Prosedur biasa pertukaran hanya dua kali setahun iaitu bulan Jun dan Disember,” katanya.


Beliau mengakui banyak kali ditukar sekolah sejak berkhidmat sebagai guru dipercayai atas sebab politik. Tetapi baginya, aktiviti politik dilakukannya di luar waktu bertugas dan beliau tahu sempadan antara tugas berkhidmat sebagai guru dan tugas sebagai ahli parti.


“Sekarang saya terpaksa tidur dalam kereta. Mujurlah PAS Cawangan Mayam bermurah hati mempelawa saya tidur di markas pada masa akan datang,” katanya.


Azman yang belum berumah tangga, berkata beliau menjaga ayahnya yang tinggal bersendirian di Taman Sri Semantan Temerloh. Apabila ditukarkan, jiwanya merasa sedikit tertekan.


Turut sama menziarahi Azman ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bera Musaniff Abdul Rahman dan Setiausaha PAS Kawasan, Mohd Wali Ahmad.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

 Share on Myspace

Sumber HD - 2-2-2013


Guru lepasan IPG lewat diberi penempatan


Kami mewakili sebahagian besar daripada guru-guru pelatih PISMP Ambilan Januari 2009 keluaran Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah menamatkan pengajian pada bulan November 2012.

Untuk pengetahuan semua, sebahagian daripada kami telah ditempatkan secara interim di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) yang majoritinya adalah daripada kaum Cina dan India serta sebahagian daripada kaum Melayu untuk ditempatkan di sekolah disebabkan oleh keadaan guru yang kritikal di SJKC/T.

Bukan untuk menimbulkan isu perkauman di sini kerana mereka ditempatkan di sekolah namun terdapat sedikit situasi yang kurang senang kerana ada sebahagian daripada guru pelatih yang sepatutnya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) telah ditarik ke SJKC/T.

Malah ada dalam kalangan guru pelatih yang tidak fasih bahasa ibunda mereka juga turut ditarik ke SJKC meninggalkan kami yang perlu ke SK terkapai-kapai menunggu penempatan ke SK yang entah bila berkunjung tiba. Menteri berkenaan juga turut mengatakan bahawa guru-guru pelatih yang ke SK perlu ditemuduga terlebih dahulu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang wajib dilalui oleh setiap penjawat awam tidak seperti kumpulan ke SJKC/T yang diberikan interim terlebih dahulu.

Di sini wujud ketidakadilan dalam penempatan guru. Slogan 1 Malaysia tidak dipraktikkan di sini kerana tidak berlaku penempatan di SK. Ada juga aduan dalam kalangan kami iaitu dalam satu kelas, hanya dua orang daripada rakan mereka diinterimkan dan selebihnya terpaksa menunggu.

Masalah kekurangan guru bukan sahaja di SJKC/T malah di SK juga. Ada segelintir guru-guru sekolah daripada senior kami yang tertunggu-tunggu bila kami akan ditempatkan di sekolah mereka bertugas sebagaimana sebelum ini iaitu seawal Januari dan awal Februari guru baru ditempatkan.

Jika masalah ini berlanjutan maka kami akan menjadi kumpulan terlambat dalam sejarah kumpulan PISMP keluaran IPG ditempatkan di sekolah. Kumpulan kami tidak seperti dua kumpulan terdahulu (Ambilan Januari 2007 dan Januari 2008). Kumpulan Pertama mula diserap lebih awal iaitu sebelum temuduga lagi. Begitu juga Kumpulan Kedua diserap seawal Januari 2012 (temuduga sejurus tamat kursus) tanpa masalah yang besar. Kemungkinan Pilihan Raya Umum yang menjelang tiba ini menjadi puncanya.

Kumpulan ketiga ini diibaratkan menjadi ‘tikus makmal’ kementerian. Cukuplah kami menjadi tikus makmal KPM dalam dasar-dasar sebelum ini yang akhirnya entah ke mana seperti PPSMI. Kami berpendapat kalau hendak memberikan interim sekalipun tidak perlulah hanya untuk SJKC/T sahaja, SK pun kritikal juga keperluan guru.

Kami juga guru pelatih PISMP terikat dengan kontrak Perjanjian Pendidikan Guru (PPG) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia yang perlu dipatuhi sebagai rakyat yang bertanggungjawab terhadap undang-undang yang termaktub oleh kerajaan. Di bawah fasal 2.7 (a) di mana kami dikehendaki untuk berkhidmat dengan kerajaan sahaja. Maka kelewatan Kementerian Pelajaran Malaysia memberikan penempatan kepada kami telah menyulitkan kehidupan kami secara amnya.

Kami tidak dapat bekerja sambilan untuk menampung kehidupan selama pengangguran kerana terikat dengan kontrak tersebut. Rasa serba salah turut menyelubungi diri kami. Malahan ada di antara kami yang sudah berkahwin memerlukan wang untuk menyara isteri dan anak. Ketiadaan pekerjaan menganggu kelangsungan hidup kami. Kami selaku guru pelatih keluaran IPGM yang telah dilatih untuk menjadi seorang guru selama 5 tahun setengah sudah tidak sabar lagi untuk menjalankan tugas sebagai seorang pendidik. Kami sangat bersemangat dan amat berkobar-kobar untuk mendidik anak bangsa berkat usaha didikan para pensyarah kami di 27 IPG seluruh negara.

Oleh sebab itu kami amat berharap dengan tersiarnya surat aduan ini di dalam akhbar pihak tuan, ia dapat membuka mata pihak Kementerian Pelajaran Malaysia agar mengambil tindakan segera terhadap masalah kami ini. Tidak timbul isu lambakan guru seperti disiarkan akhbar baru-baru ini sedangkan IPG masih lagi mengadakan pengambilan secara berterusan setiap tahun. Memang benar rezeki daripada tangan Allah yang mengurniakan tetapi kalau kami tidak berusaha, tidak ada gunanya juga. Pendidikan Perguruan bukan untuk diniagakan dan kami juga sebagai guru pelatih tidak mahu dilelong sebagaimana watak di dalam filem ‘3 Abdul’ yang dilelong di pasar untuk masuk sebagai guru di sekolah.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 6-2-2013


Jelajah kebangkitan pendidik di Johor esok


Dengan tema ' Bangkit Pendidik Memimpin Perubahan", Jelajah Kebangkitan Pendidik Kebangsaan anjuran Lajnah Pendidikan PAS Pusat akan diteruskan ke negeri Johor Darul Takzim pada 9 Februari (Sabtu) ini.

Program Jelajah yang bakal diadakan ini bakal berlangsung dengan kerjasama Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dan Persatuan Gerakan kebangkitan Pendidik Kebangsaan (NGO PENDIDIK) juga Sukarelawan Pendidikan Rakyat Kebangsaan (NGO KAWAN).

Program bermula dengan Motivasi & Pemantapan Jatidiri Pendidik 2013 pada jam 9.00 pagi di Dewan Utama TJ Mart Saleng,Kulai Johor. Sasaran peserta adalah semua guru warga pendidik dari pelbagai institusi seperti PASTI Negeri Johor, Guru KPM, Ustaz ,Ustazah ,Pesara Perkhidmatan Pendidikan ,aktivis pendidikan, NGO PENDIDIK, NGO KAWAN dan ahli pas yang berminat mengikuti isu pendidikan dan perguruan di Malaysia.

Manakala jam 2.00 petang pula akan disambung dengan Pelancaran Konvoi Jelajah Kebangkitan Pendidik Kebangsaan di No.31B,Jalan Ledang 25, Taman Bukit Tiram,Ulu Tiram Johor. Edaran Risalah 'Hit & Run' akan disertai dan diiringi dengan 25 buah kereta dan diiringi kenderaan bermotor bakal mengikutI siri jelajah ini ke beberapa tempat tumpuan di DUN Puteri Wangsa.

Tepat jam 9 malam pula "Ceramah Bangkit Pendidik Memimpin Perubahan" akan membariskan tokoh dan ikon pendidikan yang telah mewarnai landskap perjuangan Parti Islam SeMalaysia PAS bertempat di Dataran PASTI Al- Irfan7, No.1, Jalan Beladau 43,Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram Johor.

Antara barisan penceramah yang akan bersama ialah Dato' Salleh Jaafaruddin (Mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia), Tn. Hj. Ramlan Bin Sariman (Mantan Pengarah Pelajaran Negeri Johor), Dato' Hj. Adnan Bin Ibrahim (Mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak) selain daripada YB Salahuddin Bin Ayub (Naib Presiden PAS) dan Dato Mahfodz Bin Mohamed (Pesuruhjaya PAS Negeri Johor).

Turut menyerikan program yang bakal melakar sejarah itu adalah YB Hjh Halimah Bin Ali (Ecxo Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor).

Ceramah boleh dilayari serentak di seluruh dunia di www.ustream.tv/channel/cikgumalatv. Sebarang kemusykilan boleh menghubungi di talian 013-77717009 (Ustaz Abdullah Husin) atau 013- 718 62899 (Ustaz Aminuddin).

Saya selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Negeri Johor merangkap Presiden NGO PENDIDIK menyeru agar semua rakyat Johor yang prihatin dan peka dengan isu pendidikan dan perguruan di Malaysia agar hadir beramai- ramai bagi menjayakan program Jelajah Kebangkitan Pendidik Kebangsaan ini.

Sudah tiba masanya warga pendidik bangkit membuat perubahan untuk menggerakkan gelombang kesedaran rakyat agar membebaskan minda dan jiwa mereka dari sebarang campur tangan politik yang akan merugikan anak bangsa yang pewaris kepimpinan akan datang dalam persada pendidikan negara.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 8-2-2013


Program Deklarasi Pendidik Se-Malaysia di Shah Alam esok


                                  

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor dibawah Jawatankuasa Tetap Pendidika, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor akan menganjurkan Majlis Hi-Tea dan Deklarasi Pendidik Se-Malaysia.

Program bertemakan Bangkit Pendidik Memartabatkan Pendidikan itu akan diadakan di Hotel De Palma Inn, Shah Alam esok bermula jam 2 hingga 5 petang.

Program ini adalah anjuran bersama dengan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) dan Majlis Pemuafakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS).

"Kita mengalukan penyertaan dari semua pihak termasuk mahasiswa, wakil-wakil parti politik dan juga NGO yang memperjuangkan profesionalisma perguruan," kata Presiden Pendidik Normala Sudirman kepada Harakahdaily.

Program ini dijangka dirasmikan oleh EXCO Pendidikan Kerajaan Selangor Dr. Halimah Ali.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.


Sumber HD - 22-3-2013


Guru dibebani sistem mengarut


Sebelum ini kerajaan telah menguar-uarkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji bebanan tugas guru. Sejak tahun 2010 sehingga 2013, jawatankuasa ini masih belum mengemukakan apa-apa penyelesaian bagi isu ini. Belum pun kerajaan mencari jalan penyelesaian untuk bebanan yang disebutkan sebelum ini, timbul pula bebanan-bebanan baru.


Akhir-akhir ini, guru-guru dibebani dengan pelbagai lagi kerja perkeranian secara online dan bukan online. Jika dulu guru hanya perlu mencatat markah pelajar dalam buku rekod, kini terpaksa menghadap komputer berjam lamanya untuk memasukkan pelbagai jenis data dalam pelbagai jenis perisian komputer seperti SAPS, SMM, APDM, SSDM, SSDM-A, SPPPBS, NILAM, dan dan lain-lain lagi. Bayangkan bukan sahaja segala maklumat pelajar di bawah tanggungjawab kami untuk kami isi, malahan guru-guru juga telah menjadi pegawai kesihatan di sekolah. Kami jugalah yang menimbang berat pelajar dan mengira BMI untuk setiap pelajar, menganalisis dan merekodkannya pada setiap bulan.


Dengan adanya sistem PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) pula, waktu tidur bukan lagi pukul 11 malam, tetapi pernah sampai pukul tiga pagi saya menghadap komputer. Saya sentiasa tidur lambat untuk menyediakan dan menanda latihan dalam kapisiti yang begitu banyak setiap minggu sejak PBS dilaksanakan. Demam kami dibuatnya. Saya tidak mampu menyiapkan kerja-kerja PBS seperti membina instrument sendiri, meriso kertas, menanda, menyemak, menyusun dan memasukkan data ke dalam sistem di mana melibatkan 160 orang pelajar bagi setiap 216 soalan. Masalah paling besar ialah semasa ingin memasukkan 160 band pelajar ke dalam sistem. (160 X 216 = 34,560 data). Selepas dimasukkan dalam sistem, kami terpaksa menggeledah fail untuk memasukkan latihan untuk semua pelajar. Jadi bayangkan berapa banyak data dan masa harus diambil untuk menyiapkannya. Sistem sedia ada pula tidak mesra pengguna dan kerapkali menghadapi ‘internal error.’


Bukan sahaja guru-guru merasai keperitan PBS, malahan pelajar apabila ditanya juga mengatakan, “Ruginya masuk tingkatan satu tahun ini (tahun lepas).” Mereka menunjukkan reaksi muak apabila nampak sahaja kelibat guru. Setiap guru yang masuk selepas sedikit penerangan, akan memberikan latihan sehingga ujian yang mereka hadapi dalam satu hari bertubi-tubi melebihi “input”.


Di sekolah kami berhempas pulas menyiapkan kerja-kerja ko-kurikulum, mengisi data, terlibat dalam AJK kecil untuk pelbagai jenis program, menjalankan kelas tambahan dan lain-lain lagi, di rumah juga kerja terpaksa disambung sampai ke pagi. Kami bukanlah robot. Dengan pelbagai tugasan ini, bilakah masanya untuk kami membuat persediaan untuk masuk mengajar dan menjadi pendidik yang efektif?


Bila ditanya tentang PBS dan keluar di kaca televisyen, segala komentar yang diberikan nampak positif, tetapi untuk mengetahui hakikat sebenar, turun dan lihatlah sendiri keadaan guru-guru di sekolah yang makin tertekan. Kami rasa benar-benar diperbodohkan dengan Dialog: Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang disiarkan pada 20 Februari 2013 jam 10 malam di TV1 kerana seluruh guru di Malaysia tahu situasi yang sebenar adalah sebaliknya.


Kami terfikir-fikir mengapakah kerajaan mengambil sistem PBS yang telah dimansuhkan oleh banyak negara maju? Mengapa kerajaan tidak mengkaji dengan mendalam sistem ini? Di negara maju PBS dilaksanakan kerana bilangan pelajar dalam setiap kelas adalah sedikit, guru dibantu oleh “teacher assistant” tambahan pula silibus pelajaran juga sangat sedikit dibandingkan dengan Malaysia dan di setiap kelas ada fasiliti yang lengkap.


Saya sebagai rakyat Malaysia sedih dengan pembaziran secara besar-besaran dalam perbelanjaan yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekejap mahu aplikasi sistem PPSMI, sekejap mahu mansuhkan PPSMI. Ini jugalah yang akan berlaku pada sistem PBS. Apabila pimpinan sudah bertukar, sistem pun akan berubah. Bukankah ini pembaziran namanya. Penukaran buku teks sahaja melibatkan perbelanjaan jutaan ringgit dan ini tidak termasuk kos-kos lain yang lebih besar seperti kursus untuk guru-guru dan lain-lain lagi.


Kasihanilah kami. Di manakah janji kerajaan ingin mengkaji bebanan tugas guru-guru kerana kini bebanan kami bertambah lagi? Kami juga ingin melapangkan masa bersama anak-anak kalau bukan setiap hari pun, sekurang-kurangnya pada hujung minggu kami ingin mengenepikan sebentar kerja-kerja yang berlambak dan keluar makan bersama suami dan anak-anak. Bukankah falsafah pendidikan negara menekankan “berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”. Kami, guru-guru benar-benar perit dengan apa yang kami terpaksa kami lalui hari ini.


Marilah kawan-kawan sekalian, untuk PRU kali ini kita bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, budaya, latar belakang dan fahaman politik menolak sistem pendidikan sedia ada yang menghempap guru-guru pada hari ini.


Jangan sudah terhantuk baru terngadah, cukuplah dengan rekod kita menjadi antara warga paling ramai mengisi ruangan wad jiwa, marilah kita sama-sama berdoa dengan cara masing-masing agar bebanan yang menghempap di dada kita akan terlepas dengan kejayaan parti pembangkang.


Sampai bilakah kita harus membuat begitu banyak kerja perkeranian, kerja pemfailan, pengisian pelbagai jenis data, penandaan, pengisisan data dan penyusunan beratus latihan PBS, aktiviti ko-kurikulum, majlis dan aktiviti rasmi sekolah, kursus, mesyuarat, penandaan buku latihan, kelas tambahan dan bermacam bagai lagi yang begitu banyak sehingga tidak mampu disenaraikan satu-satu. Kita dipaksa melakukan segalanya sedangkan kita bukanlah Aladdin dengan Lampu Ajaib. Kita hanya ada 24 jam sehari. Aladdin pun boleh lari bila tengok senarai tugas yang dicampakkan atas kepala kita.


Marilah kita berikan peluang kepada parti pembangkang untuk membuktikan kata-kata mereka untuk membela nasib guru-guru. Biarlah Menteri-menteri yang cerdik pandai tahu kita warga pendidik juga mempunyai suara dan ada masanya akan berasa letih. Marilah kita berganding bahu menyokong parti pembangkang supaya suatu hari nanti kerajaan pada hari ini akan buka mata kepada keperitan yang terpaksa kita lalui saban hari.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 4-4-2013


Guru-guru diarah iringi calon BN esok




KOTA BHARU: Setiap sekolah di kawasan parlimen Kota Bharu diarah menghantar sekurang-kurang 10 guru bagi mengiringi calon BN pada penamaan calon esok.


(Guru sepatutnya mengajar tetapi dipaksa mengiringi calon BN esok)


Difahamkan arahan lisan daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kota Bharu diterima supaya setiap sekolah memberi sokongan kepada calon BN.


Beberapa guru mendakwa arahan itu dibuat tanpa surat bagi membantu calon BN di Dun Bunut Payong, bekas pegawai di PPD terbabit, Mohd Fakhurazi Abdul Rahim.

Kata mereka ada sekolah diarah meminta guru-guru memakai baju berwarna merah ketika datang pada perarakan calon BN.


“Kami guru-guru dipaksa mengambil tugas ketua cawangan Umno kebelakangan ini. Kalau dahulu hanya guru Kafa yang sering menjadi alat politik.


“Sekarang guru agama dan JQAF pula menjadi mangsa. Setiap sekolah ada guru dilantik sebagai penghubung dengan calon BN,” katanya di sini.


Seorang lagi guru berkata, dua minggu lepas semua guru agama yang mengajar di kawasan parlimen Kota Bharu diarah hadir pada perjumpaan dengan Ketua Bahagian Umno, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh di bangunan Umno.


Katanya, guru-guru yang hadir diminta menandatangani kedatangan pada program yang diadakan pada hari Sabtu.


Menurutnya sehingga sekarang lebih 10 kali guru-guru dikerah hadir pada program Umno bagi mendengar amanat disampaikan pemimpin Umno.


Lebih setahun lalu Harakah membongkar sindiket memindahkan tempat mengundi guru-guru Kafa yang mengajar di sekitar parlimen Kota Bharu ke Dun Bunut Payong.


“Calon BN di Bunut Payong sepenuhnya bergantung harap dengan pengundi dalam kalangan guru. Dengan memaksa guru-guru hadir pada program Umno pemimpin itu bermimpi dia mendapat sokongan ramai,” katanya.


Bekas guru Kafa pula memberitahu beliau dan rakan-rakan sering menjadi mangsa apabila dikerah hadir pada setiap program anjuran Umno.


Difahamkan juga sekolah di kawasan parlimen Kota Bharu diarah mengadakan jamuan dengan menjemput penduduk sekitar datang mendengar ucapan pemimpin Umno.


Seorang bapa mendakwa pada program jamuan yang dihadiri pemimpin Umno di sebuah sekolah di sini baru-baru ini tidak ramai penduduk tempatan datang.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 19-4-2013


Tranformasi ok, kami bukan Tranformers atau Megatron


Tidak dapat dinafikan keputusan PRU 13 telah memperlihatkan peningkatan sokongan golongan muda kepada parti pembangkang.

Walaupun belum dapat membentuk kerajaan, pihak Pakatan Rakyat sudah mampu tersenyum gembira kerana dalam diam, mereka telah berjaya menawan hampir keseluruhan bandar-bandar besar dan ibu negeri di Malaysia.

Antara punca utama Barisan Nasional kehilangan banyak kerusi adalah disebabkan generasi muda pada hari ini makin ramai yang menyokong Pakatan Rakyat.

Golongan yang distilahkan sebagai generasi Y ini adalah golongan yang lahir dalam era teknologi maklumat, suka berfikir dan tidak menerima sesuatu maklumat secara membuta tuli.

Mereka tidak menerima maklumat dari sebelah pihak sahaja tetapi lebih gemar menceduk maklumat daripada kedua-dua belah pihak menerusi internet dan akhbar.
Oleh itu, tidak hairanlah jika Utusan Malaysia dan Harakah kedua-duanya dibeli untuk dibawa balik ke rumah, dibaca dan dikaji.

Walaupun menang, keputusan PRU baru-baru ini telah membuatkan Najib tidur tak lena, mandi tak basah. Najib sedar kedudukannya tergugat dan semakin terancam.

Ini kerana sungguhpun Barisan Nasional memenangi 133 kerusi Parlimen dan menang mudah bagi membolehkan parti itu terus memerintah, tetapi presidennya seolah-olah sedar bahawa Barisan Nasional hanya menunggu masa untuk dimakamkan.

Atas kesedaran inilah, presidennya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sedia memperbaiki kelemahan dalam pentadbirannya dan bersedia mendengar masalah rakyat demi memastikan jentera pentadbiran Barisan Nasional berada dalam kedudukan yang lebih selesa pada PRU 14.

Itu Najib Tun Razak. Bagaimana pula dengan timbalannya, Muhyiddin Yassin yang masih dikekalkan sebagai Menteri Pelajaran? Mungkin kini beliau sedang berangan-angan di atas kerusi empuknya untuk mencipta kuasa enjin paling tinggi supaya guru-guru dapat menjadi “Transformers” paling lasak seiring dengan transformasi yang dilaung-laungkan.

Bezanya, Tranformers ini tidak melawan Megatron, tetapi “Transformers” yang ingin diciptakan Muhyiddin Yassin adalah transformers yang makanannya adalah lambakan fail, ribuan data dan ratusan ‘evidence’ PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah).

Inilah Transformers impian Muhyiddin. Transformers yang mampu bekerja 24 jam tanpa berasa penat, tak perlu tidur, tak perlu makan dan tak perlu berehat.

Adakah Muhyiddin (gambar) tahu bahawa beliau kini semakin dibenci oleh warga pendidik lantaran ketidakpeduliannya dalam menjaga kebajikan warga guru? Nampak bayangan Muhyiddin di kaca televisyen pun sudah cukup untuk membuatkan tekak berasa loya dan mual.

Mana tidaknya, di bawah pentadbirannya, guru-guru pernah dicadangkan untuk bekerja 9 jam pada tahun 2012. Pada tahun lepas juga, yang menjadi tikus makmalnya adalah 5000 orang guru dari 104 buah sekolah di Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak.

Sedarkah beliau para guru bekerja lebih dari 9 jam sehari termasuk waktu yang diperuntukkan di rumah? Itu belum mengambil kira kedatangan pada hari Sabtu dan Ahad untuk program-program sekolah, kelas tambahan, melatih para pelajar dalam aktiviti ko-akademik (contohnya perbahasan dan pidato), sukan (contohnya bola baling dan bola sepak) serta aktiviti unit beruniform (contohnya kawad kaki).

Bukan itu sahaja, segala penat lelah, masa, kesungguhan dan wang ringgit ini dicurahkan dengan ikhlas demi kasih sayang kepada sekolah dan para pelajar tanpa mendapat satu sen pun elaun ‘over time’ atau tuntutan ‘mileage’ sebagaimana kakitangan awam yang lain.

Ingatlah, kami tidak pernah meminta supaya pengorbanan dan jasa kami dikenang. Apa yang kami minta adalah supaya orang atasan prihatin dengan masalah yang kami hadapi. Bila kami suarakan keluhan, Muhyiddin menjawab, “Multi tasking bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi di tempat lain pun berlaku ‘multi tasking’”.

Betapa kecewa dan tergurisnya hati ini. Usahkan nak berterima kasih, jawapan yang diberikan seolah-olah golongan guru ini adalah golongan yang berkira untuk melakukan sesuatu di luar bidang tugasan mereka.

Tetapi tahukah anda ‘selama enggang mengeram selangkas betik berbuah’ itulah yang kami lakukan saban hari? Jika dikaji baik-baik, 70 peratus daripada tugasan yang kami laksanakan adalah tugas-tugas di luar bidang pengajaran.

Saya, bagi pihak warga pendidik ingin menjelaskan sekali lagi, masalah kami bukannya ‘multi tasking’ kerana dari dulu lagi guru melakukan segala-galanya. Di sekolah, guru adalah kerani, supir (pemandu), jururawat, ‘cleaner’, tukang kebun, tukang cat dan segala-galanya.

Kalau masih tidak percaya lihat sahajalah pada hari sukan, yang tercegat di bawah matahari menjadi pengadil untuk pelbagai acara sukan adalah guru dan terbongkok,-bongkok mengutip sampah bersama pelajar selepas acara sukan juga guru.

Selain itu, guru jugalah tukang jahit maskot rumah sukan, tukang cuci berbelas-belas baju perbarisan, tukang masak, dan segalanya-galanya.

Tetapi ini bukanlah masalahnya. Masalah kami pada hari ini adalah tugas yang kami terpaksa laksanakan semakin bertambah dan terus bertambah di bawah pentadbiran Muhyiddin sehingga kami sudah tidak ada masa untuk menanda buku latihan dan kertas peperiksaan pun terpaksa ditanda ala kadar.

Lebih teruk lagi dengan adanya PBS, guru-guru makin tidak menang tangan sehingga terpaksa memberi latihan kepada para pelajar untuk dijawab di rumah.

Tidak kurang juga guru yang memberikan jawapan kepada pelajar dan yang paling membimbangkan apabila kesuntukan masa markah pelajar dimasukkan dalam SPPBS (Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah) secara rawak atau ‘pakai belasah’.

Pelaksanaan PBS yang tidak mengikut prosedur adalah rahsia terbuka di bilik guru. Jadi di manakah ‘validity’ PBS ini?

Ketiadaan ‘validity’ dalam PBS adalah antara punca mengapa PBS tidak diiktiraf oleh golongan pendidik dan ibubapa. Penolakan golongan pendidik terhadap sistem PBS juga terbukti apabila Peperiksaan Akhir Tahun untuk pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua masih dijalankan di sekolah bagi mencari pelajar terbaik untuk Hari Anugerah Cemerlang.

Sama ada Muhyiddin sedar atau tidak, guru-guru tanpa segan silu telah menyuarakan penolakan terhadap sistem PBS ciptaan Menteri Pelajaran itu bersama kroni-kroninya.

Sekiranya guru-guru mengiktiraf PBS, sudah tentu pelajar terbaik akan dipilih berdasarkan keputusan PBS tanpa perlu diadakan lagi Peperiksaan Akhir Tahun.

Terus terang saya katakan saya memang berasa bersalah dan berdosa kerana tidak dapat melaksanakan tugasan melibatkan PBS dengan baik dan kerana itulah saya tampil menulis surat ini.

Apa yang akan saya jawab pada Allah S.W.T nanti kerana tidak melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan telus? Saya juga tidak mahu mengheret Muhyiddin bersama-sama saya di neraka kerana ketidaktelusan dalam PBS.

Jujurnya, kami, guru-guru terpaksa melakukan penipuan secara halus ini sejak PBS diperkenalkan kerana kami memang tidak menang tangan walaupun telah mengorbankan masa tidur dari tujuh jam menjadi tiga jam.

Apabila ramai warga pendidik meluahkan kekesalan terhadap bebanan tugas melampau di facebook, twitter, blog dan lain-lain lagi, kami dikatakan mengkhianati kerajaan.

Kami diambil tindakan tegas sedangkan kami hanya meluahkan perasaan kepada sahabat handai dan keluarga di laman sosial. Salahkah kami jika meluahkan perasaan terhadap bebanan kerja di sekolah yang membuatkan kami ditimpa pelbagai penyakit seperti darah tinggi, ‘depression’ dan ‘migrain’?

Itu juga antara punca kebencian di hati warga pendidik sehingga mendorong kami meluahkan kekesalan di kertas undi dengan memangkah parti pembangkang.

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi haruslah mengambil iktibar kekalahan dua orang timbalan menterinya iaitu Dr Puad Zakarshi dan Datuk Saifuddin Abdullah.

Benarkah kejatuhan kedua-dua timbalan menteri ini adalah satu kebetulan? Atau mungkinkah kejatuhan dua nama besar ini disebabkan ketidakpuasan di hati rakyat, khususnya ibubapa dan guru-guru terhadap sistem pendidikan yang dilihat semakin bercelaru? Fikir-fikirkanlah, renung-renungkanlah dan tenung-tenungkanlah.

Saya secara peribadi berasa amat gembira jika benar apa yang dikatakan oleh Najib yang beliau mahu mendengar masalah rakyat dan memperbaiki kelemahan pentadbirannya. Sememangnya inilah yang patut dilakukan dari dulu lagi dan bukannya mengambil tindakan apabila kakitangan kerajaan meluahkan rasa tidak puas hati.

Guru-guru yang ditangkap mengeluarkan kenyataan yang bersifat memprotes akan ditukar tempat kerja atau dibuang terus. Ini adalah satu tindakan bodoh kerana sudah tentu kebencian yang sedia ada akan bertambah dengan momentum protes yang lebih kencang.

Kepada yang dibuang kerja bukan sahaja mendapat simpati, bahkan mempunyai lesen lebih besar untuk menghentam kerajaan kerana sudah tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Jika kita kaji betul-betul, PRU kali ini menyaksikan polarisasi kaum yang hebat. Majoriti kaum Cina dilihat lebih senang dengan parti pembangkang lebih-lebih lagi DAP. Jika golongan guru yang majoritinya orang Melayu juga tidak menyokong kerajaan ke manakah halatuju dan masa depan Barisan Nasional pada PRU akan datang?

Jadi hargailah kaum guru dan jangan terlalu menindas kami kerana pada hakikatnya kebanyakan kami terdiri daripada orang yang sentiasa berdiri teguh di belakang pemimpin dan sentiasa mendukung agenda dan aspirasi kerajaan dalam memajukan bangsa dan negara.

Besarlah harapan kami, guru-guru di seluruh Malaysia agar Perdana Menteri dapat mengkaji semula sistem PBS yang pada pendapat kami, golongan pendidik, para ibu bapa dan pelajar tidak ada ‘validity’.

Dalam kekalutan berhadapan dengan PBS, timbul ura-ura yang mengatakan pelajar tingkatan 3 pada tahun hadapan akan menjalani pentaksiran berpusat yang menyamai PMR untuk menentukan sama ada mereka layak untuk memasuki aliran Sains, Perakaunan atau Sastera bagi kemasukan ke Tingkatan Empat. Pelbagai persoalan bermain di benak kami. Antaranya:

1. Mengapa perlu ada pentaksiran berpusat lagi setelah pemansuhan PMR (Penilaian Menengah Rendah)?

2. Mengapa kemasukan pelajar ke tingkatan 4 untuk aliran Sains, Perakaunan dan Sastera tidak dibuat berdasarkan keputusan PBS?

3. Adakah ini bermakna Kementerian Pelajaran juga tidak mengiktiraf PBS?

Nampaknya segala keringat yang dicurahkan oleh guru-guru siang dan malam sia-sia sahaja. Bukan sahaja golongan guru tidak mengiktiraf PBS malah Kementerian Pelajaran juga secara tidak langsung telah mengakui kesilapannya memperkenalkan PBS. Kini mereka sedang terkulat-kulat mencari idea untuk menutupi kelemahan PBS. Akhirnya ‘back to square one’ pentaksiran berpusat yang menyamai PMR terpaksa dijalankan.

Jelaslah, PBS adalah kutu yang disangkakan berlian. Ia dibawa masuk pihak-pihak tertentu setelah lawatan singkat ke luar negara. Parasit ini dibawa masuk atas slogan ingin menjana transformasi pendidikan negara.

Demi mendapatkan nama, apa-apa sahaja yang menampakkan berlakunya transformasi diserap tanpa diselidiki dan dikaji terlebih dahulu dan yang menjadi mangsa adalah para pelajar dan guru. Ingatlah, sistem pendidikan bukanlah bahan ujikaji.

Ianya harus diambil dengan serius dan tidak boleh dibuat main-main. PBS sangat tidak sesuai untuk diaplikasikan di Malaysia apatahlagi di peringkat sekolah menengah. Malah negara-negara maju juga telah banyak memansuhkan PBS.

Najib juga ada mengatakan untuk memberi perhatian segera dalam mengurangkan beban tugas guru melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Bagi guru-guru, setiap hari yang berlalu umpama memikul sederetan gunung di atas kepala dan tahun 2025 adalah penantian yang terlalu lama. Sementara mencari jalan penyelesaian terbaik, saya cadangkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat pekeliling agar bilangan aktiviti dikurangkan dan diselaraskan di semua sekolah.

1. Hadkan penglibatan ko-kurikulum di semua sekolah kepada salah satu sahaja sama ada unit beruniform, sukan atau kelab. Jika ingin juga melaksanakan program-program ko-kurikulum dan menjalankan dasar ‘1 Murid, 1 Sukan’ mungkin pihak kementerian boleh mempertimbangkan untuk membawa masuk pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan dan berikan mereka sedikit elaun untuk memantau dan merancang aktiviti ko-kurikulum pada setiap hari di sebelah petang.

2. Begitu juga dengan majlis rasmi di sekolah, Kementerian Pelajaran boleh menetapkan beberapa acara rasmi sahaja untuk dijalankan setiap tahun dan diselaraskan untuk semua sekolah.

(Tugas guru sudah di mana-mana - gambar hiasan)

3. Selain itu keluarkan arahan rasmi kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) agar tidak lagi membebankan guru-guru dengan pemantauan berbagai-bagai fail kerana pada pendapat saya penilaian terhadap prestasi seseorang guru itu perlu dilihat dari aspek pengajaran dan bukannya sistem dokumentasi yang nampak begitu gah dari luar, tetapi jarang dilaksanakan dengan baik.

4. Menteri Pelajaran juga harus sedar arahan untuk mengisi maklumat dalam pelbagai pangkalan data juga semakin menjadi-jadi pada hari ini sehingga kami terpaksa membeli ‘broadband’ semata-mata untuk kerja mengisi data.

Setiap unit di jabatan dan kementerian seperti berlumba-lumba untuk menampakkan kemantapan unit masing-masing dengan memperkenalkan pelbagai pangkalan data diisi. Ada kalanya kami terpaksa mengisi data yang sama berulangkali untuk JPN dan PPD.

Apabila terlalu banyak maklumat yang perlu dimasukkan dalam pelbagai pangkalan data, maka berlakulah penipuan secara halus yang melibatkan angka-angka dan maklumat-maklumat rekaan. Bukan itu sahaja, adakalanya kami terpaksa meninggalkan kelas kerana mengejar tarikh tutup pengisian data. Ini berlaku apabila ada masalah ‘network’ di rumah dan data terpaksa dimasukkan di sekolah keesokan hari sebelum tarikh tutup.

Persoalannya, kami menerima arahan dari kementerian pendidikan untuk melindungi waktu P &P (pengajaran dan pembelajaran), jadi mengapa pada masa yang sama kami dibebani dengan kerja perkeranian yang tidak henti-henti sehingga adakalanya terpaksa meninggalkan kelas?

Jika data sangat diperlukan oleh JPN atau PPD, turunkanlah beberapa orang JPN atau PPD selama seminggu khusus untuk pengisian data. Guru-guru boleh membantu untuk mengagihkan borang-borang kepada pelajar dan selebihnya diuruskan oleh JPN dan PPD kerana sememangnya kami tahu, pegawai PPD dan JPN sukakan maklumat online kerana ianya memudahkan kerja mereka.
Jadi pegawai JPN dan PPD perlu bersama-sama membantu kami, bukan hanya tahu mencari kelemahan guru-guru dan memalukan kami di bilik mesyuarat apabila pencerapan dilakukan atau apabila keputusan peperiksaan tidak baik. Selamilah juga apa yang kami terpaksa lalui kerana anda juga adalah bekas-bekas guru.

Kami dipaksa melakukan pelbagai kerja dalam satu hari. Jadi bilakah masanya untuk kami membuat persediaan untuk mengajar dan menghasilkan keputusan yang cemerlang untuk sekolah?

Sesungguhnya, Najib tidak boleh mengambil masa terlalu lama dalam memikirkan penyelesaian terhadap bebanan tugas guru. Sekiranya, kerajaan tidak mampu menggaji kerani, pembantu guru atau kakitangan luar, sudah sampai masanya pihak kementerian mengurangkan bebanan guru dengan mengehadkan aktiviti di sekolah, menghentikan prosedur penilaian yang berasaskan sistem dokumentasi dan mengurangkan arahan untuk mengisi maklumat dalam pelbagai jenis pangkalan data yang saya kira tidak praktikal kerana tanggungjawab seorang guru adalah mengajar dan bukannya meninggalkan kelas kerana kerja perkeranian.

5. Saya mewakili guru-guru dan saya juga sebagai ibubapa menasihatkan Kementerian Pelajaran untuk menghentikan PBS serta merta demi masa depan anak-anak kami. Jangan bazirkan waktu mereka di sekolah dengan PBS lagi.

Sudah sampai masanya PBS dihentikan dari terus manjadi bahan ujikaji untuk pelajar-pelajar lain. Jadilah kesilapan ini sebagai satu pengajaran agar pihak kementerian lebih berhati-hati dalam melaksanakan suatu sistem baru.

6. Jika pihak Kementerian Pelajaran malu untuk mengakui kesilapan mereka dan takut ego mereka tercalar, jalankanlah PBS tetapi bukan dengan cara penyediaan beratus ‘evidence’ yang perlu ditanda, difailkan dan kemudian diisi pula dalam SPPBS kerana ianya membebankan guru-guru dan langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada pelajar.

Demi kepentingan sistem pendidikan dan pelajar, saya cadangkan PMR dikembalikan semula dan PBS dikekalkan namanya tetapi diganti dengan kerja projek. Mungkin satu tahun pelajar boleh melaksanakan satu kerja projek yang menyumbang lebih kurang 30% dari markah keseluruhan PMR. Ini bermakna 10% markah diperuntukkan bagi satu kerja projek untuk satu tahun, bagi setiap matapelajaran.

Sekiranya kerajaan dapat melaksanakan cadangan saya ini, saya yakin kualiti pengajaran guru-guru akan lebih baik dan sistem pendidikan akan gah semula. Apatah lagi semua ini tidak melibatkan apa-apa kos peruntukan. Jika ini dapat dilaksanakan, saya pasti martabat guru di Malaysia juga akan meningkat secara mendadak seperti guru-guru pada zaman ayah dan ibu kita suatu ketika dahulu yang begitu dihormati dan disegani oleh masyarakat.

Kepada Muhyiddin Yassin, nasihat saya, janganlah asyik ke hulu ke hilir menjaja cerita yang kementerian Tan Sri sedang bermesyuarat untuk menyelesaikan masalah bebanan guru. Kami sudah mula bosan dan putus asa dengan jawapan Tan Sri.

Sampai bilakah Tan Sri mahu bermesyuarat? Kalau Tan Sri dan pemimpin-pemimpin UMNO bertandang, kamilah orang pertama yang akan dikerah untuk memenuhi dewan. Berjam-jam lamanya terpaksa melangut dan menguap di situ. Sebetulnya, kami sudah jemu dan loya dengan ucapan Tan Sri. Kami sudah mula mual dengan janji-janji manis Tan Sri. Adakalanya terasa nak muntah dengan lambakan kerja yang Tan Sri dan anak-anak buah Tan Sri campakkan di atas muka kami.

Pada tahun 2010, Tan Sri tubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji bebanan tugas guru. Belum pun ada apa-apa penyelesaian terhadap isu yang dikekemukakan sebelum ini, timbul lagi kerja-kerja baru. Pada tahun 2012 Tan Sri perkenalkan pula PBS dan bermacam-macam lagi pangkalan data untuk diisi.

Bukan itu sahaja, pada tahun sama Tan Sri juga ada mencadangkan agar guru-guru bekerja mengikut waktu pejabat. Inikah penyelesaian yang Tan Sri mesyuaratkan selama ini? Perangai Tan Sri ini bertepatan sangatlah dengan kata pepatah “tahi yang dulu belum dicuci, kini membuat tahi yang baru”. Jadi, bagaimanakah kami, warga pendidik mahu percaya kepada kata-kata dan janji-janji Tan Sri lagi?

Saya dan warga guru sandarkan harapan kepada Perdana Menteri agar dapat melakukan sesuatu dengan segera untuk mengurangkan bebanan tugas guru dan carilah pemimpin yang lebih berkredibiliti dan mampu berfikir pada masa hadapan untuk menerajui sistem pendidikan dan bukannya pakai tangkap muat. Muhyiddin adalah salah satu contoh pemimpin yang hanya tahu mengangguk dan menggeleng sahaja. Sekiranya Muhyiddin lebih cerdik dari orang bawahannya, sudah pasti sistem-sistem mengarut dalam pendidikan kita tidak ada pada hari ini.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 25-5-2013

Usah cemarkan kemurnian sambutan Hari Guru

‘Atiqah Syairah Shaharuddin,

Negara dihangatkan dengan video sambutan hari guru di sebuah sekolah menengah di Subang yang mempersembahkan Bobo bersama beberapa orang guru dalam salah satu slot persembahan.


Isu ini adalah sangat membimbangkan kerana sebagai salah seorang ikon yang terlibat dalam pembentukan modal insan para pelajar, sebarang aktiviti yang tidak membina nilai diri ini hanya akan membantutkan proses pendidikan di Malaysia.


Sebagai salah seorang guru, saya melihat proses penerimaan anak-anak murid kepada guru itu memerlukan para guru untuk menggunakan pendekatan yang interaktif. Namun demikian, ini bukan alasan untuk kita menggunakan kaedah yang sewenang-wenangnya dan menyebabkan para pelajar keliru untuk mengambil nilai-nilai ilmu dari sosok seorang guru.


Pada hemat saya, guru tidak sepatutnya jadi seperti sebatang jarum. Menjahit segala jenis pakaian, tetapi dirinya sendiri sedang ‘tidak berpakaian’. Demikian juga kita sebagai seorang pendidik, jangan hanya sibuk mencurahkan ilmu dalam masa yang sama kita berkelakuan seperti orang yang tidak memiliki ilmu. Cadangan supaya setiap guru dapat mengikuti kelas-kelas kemahiran bersosial yang mana kita dapat mempelajari kaedah mendekati para pelajar dalam masa yang sama masih di landasan adab, budaya dan agama.


Saya berharap supaya pihak yang bertanggungjawab dapat melihat isu ini sebagai isu serius untuk ditangani. Dalam misi membangunkan agenda pendidikan negara, setiap pihak harus memainkan peranan secara proaktif. Perkara terakhir yang para pelajar perlukan adalah suasana kebanjiran idola tetapi kemarau tauladan dalam kalangan orang-orang dewasa di sekitar mereka.


Guru : 1 Aspirasi, 1 Agenda,


Penulis ialah Exco Latihan dan Pembangunan PKPIM.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 29-5-2013