300,000 tiada IC mahu demo depan JPN 5 Dis
KeadilanDaily, | 10 Nov 2012 |
PETALING JAYA: Himpunan Duduk Bantah akan diadakan depan bangunan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya 5 Disember ini jika Perdana Menteri gagal selesaikan permasalahan kad pengenalan melibatkan lebih 300,000 kaum India di negara ini.
“Najib (Razak) masih ada masa untuk selesaikan masalah ini dan jika tidak, himpunan tetap diteruskan sebagaimana dijadual berlangsung pada jam 10.00 pagi, lapor KeadilanDaily.
“Kami menjangkakan ribuan kaum India terutama mereka yang dinafi dari mendapatkan kad pengenalan sejak sekian lama akan hadir dalam himpunan itu yang kami namakan ‘Duduk Bantah’ ini,” kata Naib Presiden PKR, N Surendran pada sidang media di ibu pejabat parti.
Menurutnya, persediaan untuk himpunan itu sudah mula digerakkan dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), aktivis masyarakat, peguam termasuk pemimpin Pakatan Rakyat terutama berketurunan India sudah mengesahkan kehadiran.
“Kami akan terus duduk bantah dan berkhemah depan pejabat JPN hingga masalah ini diselesaikan. Kami berharap pihak berkuasa menolak dari menjadi kuda tunggakan Najib untuk menghalang himpunan ini,” tegasnya.
Sementara itu, R Sarathrajan yang dinafi dari memiliki kad pengenalan walaupun sijil kelahirannya menyatakan beliau adalah warganegara, turut mengesahkan kehadiran pada himpunan itu.
Sumber HD - 10-11-2012
Isu MyKad: 1,000 demo di JPN, arak ‘IC merah’ Najib
Muhamad Faizal, | 12 Dis 2012 |
PUTRAJAYA: Hampir 1000 orang berhimpun di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini bagi mendesak kerajaan menyelesaikan masalah 300,000 masyarakat India yang tidak mendapat hak kewarganegaraan.
Kumpulan mereka yang rata-ratanya dari kaum India, sebelum itu berarak daripada kawasan berhampiran Istana Kehakiman dan turut disertai pemimpin Pakatan Rakyat.
Mereka yang hadir dari beberapa negeri dari seluruh negara itu berarak sambil membawa replika kad pengenalan merah pemastautin tetap yang tertera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hisammuddin Hussein.
Sementara itu, berlaku sedikit ketegangan apabila sekumpulan peserta marah dengan tindakan pihak yang menutup pintu utama ke jabatan.
Bagaimanapun keadaan dapat dikawal oleh pemimpin yang hadir.
Antara yang hadir termasuklah Naib presiden PKR N Surendran, Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam, R Sivarasa (Subang), Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin (Ampang), Charles Santiago (Klang), Adun Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, M Manoharan (Kota Alam Shah) dan Latheefa Koya.
Dari PAS pula termasuk Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkefly Ahmad serta Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmood.
Bagaimanapun selepas perbincangan, hanya beberapa orang dari mereka dibenar masuk kebangunan untuk mengadakan pertemuan dengan wakil jabatan itu.
[Lanjut Menyusul]
Sumber HD - 12-12-2012
Kerakyatan: Masyakat India berhimpun bantah Mahathir
Aslani M, | 16 Feb 2013 |
KUALA KRAI: Kesal dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan menyalah Tunku Abdul Rahman memberi kerakyatan kepada orang India dan Cina ketika negara mencapai kemerdekaan, masyarakat India akan berhimpun bagi menyatakan bantahan.
Perhimpunan itu dijangka diadakan di Dewan Perhimpunan Cina di Kuala Lumpur pada 23 Febuari ini.
Wakil Persatuan Warisan Anak India Kelantan (SOKMO), Raja Ratnam berkata, kenyataan bekas perdana menteri itu sama sekali tidak boleh diterima masyarakat India.
“Kami akan keluar membuat bantahan terhadap kenyataan bekas perdana menteri terbabit. Kenyataan itu memberi kesan yang besar kerana cuba mengungkitkan perkara yang sudah lama dipersetujui,” katanya pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat parlimen Kuala Krai di sini malam tadi.
Program bermula jam 5 petang dengan ekspreasi anak muda bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan artis Abby Abadi. Lebih 500 anak muda menyertai konvoi bermotosikal bermula dari Pahi ke Guchil.
Biar pun hujan sejak pagi sehingga tengah malam, namun ia tidak menghalang orang ramai terutamanya anak-anak muda memenuhi ruang tempat ceramah. Orang ramai berpayung mendengar ceramah di hadapan pentas.
Hadir sama pada program ceramah itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, bekas Pengerusi Mara, Datuk Tamrin Ghaffar, anggota parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.
Selain itu Adun Guchil, Tuan Zamri Arif Tuan Zakaria, Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim, Ketua Cabang PKR Kuala Krai, Ruslan Putih dan Abby Abadi.
Baru-baru ini Dr Mahathir dilaporkan mengakui bertanggungjawab terhadap projek kad pengenalan kepada warga asing di Sabah dengan mendakwa ia dilakukannya berlandaskan undang-undang.
Bagaimanapun beliau menyifatkan tindakan Tunku Abdul Rahman yang jauh lebih teruk kerana memberi kewarganegara sejuta warga asing pada zaman awal kemerdekaan negara.
Raja yang berasal di Ladang Kerilla, Tanah Merah berkata, kenyataan Dr Mahathir tersebut tidak dapat diterima kerana usaha dilakukan Tunku Abdul Rahman merupakan persetujuan yang dicapai ketika negara mahu mencapai kemerdekaan.
“Oleh itu kami masyarakat India akan berhimpun di Kuala Lumpur pada 23 Febuari ini sebagai menyatakan bantahan terhadap kenyataan tersebut, semata-mata kerana beliau mahu menutup isu projek IC di Sabah,” ujarnya.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
No comments:
Post a Comment